Selasa, 2 Ogos 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Jangan bazir duit rakyat beli plat kenderaan

Posted: 02 Aug 2011 03:53 PM PDT

Ahmad Danial


MELAKA: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Muhammad Aizat Baharuddin kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat ingin melakukan pembaziran yang besar mengenai pembelian tender nombor pendaftaran kenderaan kerajaan.

Aizat berkata maklumat pembelian tender nombor pendaftaran kereta itu diperoleh dari Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka yang menyatakan bahawa sejumlah RM317,000 tender telah dibuat atas nama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

"Ianya melibatkan perbelanjaan tender nombor pendaftaraan kereta yang bernombor MCC 1 sehingga MCC 15.

"Bayangkan RM317,000 duit rakyat digunakan untuk tender nombor pendaftaran kereta, ianya tidak masuk akal dan ianya suatu pembaziran duit rakyat?" kata Aizat.

Beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya dapat membezakan antara keperluan dan kehendak rakyat bukannya membelanjakan duit rakyat sesuka hati.

Katanya, pembelian nombor kenderaan langsung tidak memberi faedah kepada rakyat, lebih-lebih lagi ianya melibatkan kos yang besar.

Tambahnya, kerajaan perlu memikirkan nasib rakyat Melaka yang rata-rata hari ini masih belum berada pada taraf hidup yang memuaskan.

Menurutnya, masih ramai lagi di kawasan luar bandar di Melaka hidup miskin, buktinya dengan program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kerajaan negeri sendiri laksanakan ketika Pilihan Raya Kecil di Merlimau dahulu.

"Rakyat Melaka juga masih terbeban dengan kenaikan harga barang, dan baru-baru ini kerajaan negeri juga telah menaikkan tarif air sebanyak 20%," ujar Aizat lagi.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Melaka menggesa agar kerajaan negeri membatalkan tender untuk mendapatkan nombor plat tersebut kerana ianya tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat, banyak lagi program-program yang menguntungkan rakyat boleh dilaksanakan dengan wang sejumlah RM317,000 tersebut.

Baru-baru kerajaan negeri menukar kereta rasmi kerajaan dari Proton Perdana kepada Nissan Teana.

Kemungkinan besar plat itu akan digunakan oleh kereta rasmi kerajaan tersebut.

Ampun Tuanku, Patik pohon tolak bubar Parlimen

Posted: 02 Aug 2011 03:50 PM PDT

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

"Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.

Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.

"Kita boleh terima kalau nama orang yang baru sahaja seminggu dua meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih walaupun zaman sekarang zaman teknologi yang membolehkan nama si mati dibuang hampir serta merta dari daftar pemilih.

"Tetapi kebanjiran begitu banyak warga asing bukan lagi perkara yang boleh dikompromikan. SPR boleh dituduh terang-terangan terlibat membiarkan kedaulatan dan keselamatan negara ini terancam.

"Sebagai agensi kerajaan, SPR tidak sepatutnya dilihat menjadi pihak yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi. Tuntutan-tuntutan lain ialah mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Sebab itulah kita mohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan antaranya tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen selagi tuntutan Bersih tidak dipenuhi.

"Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.

"Jangan sampai nanti orang melihat SPR bukan sahaja tidak mahu membersihkan daftar pemilih malah menjadi dalang utama yang mengotorkan daftar itu dengan kebanjiran warga asing tersebut," kata Mahfuz.

Kebanjiran warga asing dalam daftar pemilih itu didedahkan oleh blog Perisik Rakyat (http://www.perisik-rakyat.com).

Blog itu mendedahkan sehingga 169 nombor Kad Pengenalan Pemastautin tetap Bukan Warganegara Malaysia yang dikesan telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.

Namun begitu, menurut siasatan Harakahdaily, tidak semestinya nombor kad pengenalan yang mempunyai angka -71- di tengah adalah warga asing. Ini kerana, angka -71- di tengah menunjukkan lahir di luar negara.

Menurut pendedahan Perisik Rakyat, antara warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi bernama Mismah.

Menurut laporan Malaysiakini pula, Mismah diterima sebagai pengundi baru di Ijok, di mana Ahli Dewan Undangan Negerinya ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimennya ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dzulkelfy Ahmad.

Menurut Malaysiakini, Mismah didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.

Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahkan dakwaan itu.

Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.

Umno Pasir Puteh terdesak cipta gimik murahan

Posted: 02 Aug 2011 03:47 PM PDT

Rizal Tahir


PASIR PUTEH: "Saya tidak hadir pada majlis Selamat Tinggal PAS dianjurkan Umno, bagaimana pula akhbar menyiarkan saya yang bercakap di majlis itu.

"Macam mana akhbar boleh melaporkan saya yang mengeluarkan kenyataan di majlis berkenaan sedangkan saya tidak ada di situ," kata Zakaria Mat Husin, 53.

Zakaria diminta menjelaskan laporan sebuah akhbar harian yang mendakwa beliau bersama 20 pengikut menyertai Umno pada majlis dihadiri Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman di Kampung Alor Pasir baru-baru ini.

Lebih aneh lagi Zakaria dilaporkan bercakap kepada pemberita di majlis berkenaan sedangkan beliau tidak berada di situ.

Akhbar terbabit dalam laporannya menyebut Zakaria kononnya mendakwa PAS sekarang seolah-olah tidak yakin dengan perjuangan dan dasarnya sentiasa berubah-ubah.

Sebaliknya Zakaria ketika dihubungi menjelaskan beliau pernah didatangi Zawawi di rumahnya bagi menariknya menyertai Umno sebelum ini.

"Saya mengakui dikunjungi Zawawi untuk mengajak menyertai Umno dan pada masa yang sama ada orang mengambil gambar saya.

"Dia juga ada tanya perhimpunan anjuran Bersih dan peguam Ambiga. Saya pun tak sangka pemimpin Umno itu mendedahkan pula kepada media kehadirannya ke rumah saya kononnya saya mahu masuk Umno.

"Saya tidak jadi penghulu, PAS sokong Ambiga demontrasi Bersih, masalah PAS sendiri antara beberapa soalan yang ditanya Zawawi," ujarnya.

Oleh itu Zakaria berkata, beliau tidak pasti sama ada program 'Selamat Tinggal PAS Kami Kecewa PAS Sokong Ambiga' benar-benar wujud atau rekaan ketua Umno itu semata-mata.

Malah katanya pada pertemuan di rumahnya beliau menegaskan kepada Ketua Umno terbabit sekiranya beliau sertai Umno sudah tentu hanya akan menjadi seperti kain buruk kerana sudah banyak berlaku kepada orang lain.

Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Pasir Puteh, Drs Zainuddin Awang Hamad berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap Zakaria.

Menurutnya, tindakan Zawawi dianggap sebagai terdesak untuk meraih sokongan sehingga perkara yang tidak pernah berlaku direka demi politik murahannya.

Dalam laporan akhbar terbabit juga ketua Umno Pasir Puteh itu mendakwa lebih 3,000 penyokong PAS menyertai Umno kebelakangan ini.

Zawawi yang juga bekas guru sebelum ini dikatakan memperalatkan Pejabat Pelajar Daerah bagi memaksa guru-guru hadir pada perlancaran gelombang merah di Pasir Puteh.

Malah dalam banyak laporan media proUmno sebelum ini, di mana sahaja beliau pergi tentunya ada program penyokong PAS menyertai Umno.

Ramai melihat Zawawi terpaksa mempopular dirinya memandangkan kedudukannya sebagai ketua bahagian tergugat dijangka dicabar pemimpin lain yang lebih berwibawa dan berpendidikan tinggi.

Seorang penyokong Umno yang rapat dengan Timbalan Ketua Baagian Pasrr Puteh, Rujhan Salleh mengakui Zawawi hanya lulusan Maktab Perguruan tidak sesuai berada di kedudukan sekarang.

Mengapa dulu tak ingat tambah menteri India

Posted: 02 Aug 2011 03:43 PM PDT

Khairil Abdul Rahim


JERANTUT: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) melihat pelantikan Presiden MIC Datuk G Palanivel sebagai menteri kedua daripada kaum India dalam kabinet hanyalah untuk memancing undi kaum itu yang mula menolak BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Timbalan Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata, sudah begitu lama kaum itu diwakili hanya oleh seorang menteri dalam kabinet kerajaan sehinggalah berlaku perubahan sokongan kepada pembangkang.

"Dulu mengapa tak ingat nak tambah menteri India, mengapa baru sekarang?" soalnya ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melantik Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pengumuman itu dibuat buatnya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan MIC ke-65 di Pusat konvensyen Putrajaya (PICC) Sabtu lalu.

Balasubramaniam yang juga Pengerusi DHPP Pahang berkata, pertambahan satu menteri bukan bermakna membawa pembaharuan kepada kaum India tetapi sebaliknya Palanivel sendiri yang naik pangkat.

"Kalau kita tengok berlaku swing sehingga 70 peratus undi kaum India kepada Pakatan Rakyat pada PRU yang lalu ialah kerana mereka sedar kebajikan mereka tidak lagi dibela oleh BN melalui MIC.

"Orang India merupakan lebih kurang 7 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia iaitu sekitar 1.8 juta. Kebanyakan mereka masih berada di estet atau di pinggir bandar yang masih perlukan bantuan kebajikan dan sebagainya.

"Kalau masyarakat India diberi penempatan seperti tanah, rumah atau sebagai contoh kalau kerajaan beri dana RM50 juta untuk masyarakat India, ia mungkin ada perubahan sedikit.

"Tetapi yang dapat hanyalah menteri. Itu bermakna hanya kenaikan pangkat Palanivel iaitu dulu timbalan menteri sekarang jadi menteri," ujarnya.

Menurut Balasubramaniam, orang India juga perlukan tanah sama ada untuk tempat tinggal atau bercucuk tanam.

Beliau menceritakan, baru-baru ini ketika Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob datang ke Jerantut, ada ketua cawangan MIC yang minta selesaikan masalah pemohonan tanah yang diusahakan oleh sejak zaman bapa mereka tetapi belum lulus.

"Bukannya orang India minta tanah baru, tapi tanah yang telah lama mereka usahakan. Begitu juga dengan masalah kebajikan kaum," ujarnya.

Badar serah memo bantah Lynas kepada PM

Posted: 02 Aug 2011 03:42 PM PDT

Helmi Ibrahim

PUTRAJAYA: Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) telah melengkapkan proses mewujudkan rantaian komunikasi secara rasmi dengan agensi kerajaan berhubung bantahan rakyat terhadap pembinaan dan pengoperasian loji Lynas di Gebeng dengan mengunjungi Perdana Menteri di Putrajaya pada 29 Julai 2011.

(Rombongan Badar bergambar di depan bangunan JPM di Putrajaya selepas menyerahkan memorandum)

Badar dengan di wakili oleh Pengarahnya Andansura bin Rabu, Haji Zulkefly Omar selaku Penasihat Badar serta lima AJKnya bersama-sama dengan 40 orang penduduk Balok dan sekitarnya hadir seawal pagi di perkarangan Pejabat Perdana Menteri dengan hasrat untuk menyampaikan memorandum bantahan terus kepada Perdana Menteri.

Dalam sidang medianya selepas pertemuan tersebut, Haji Zulkefly memaklumkan bahawa Badar tetap bertegas dengan pendiriannya iaitu menentang sekeras-kerasnya pembinaan dan pengoperasian loji Lynas melalui memorandumnya kepada wakil Perdana Menteri dan berharap agar suara hati penduduk ini sampai ke pengetahuan beliau dan mendapat perhatian sewajarnya.

"Walaupun kita tidak dapat berjumpa secara bersemuka dengan Perdana Menteri pada hari ini tetapi kita tetap berlapang dada dan maklum akan kesibukan beliau dalam menangani pelbagai masalah yang bertimpa akhir-akhir ini. Namun begitu kita mengharapkan beliau tidak terlepas pandang dalam isu yang kronik ini sebelum ianya membarah dan menimpa rakyat dan negara tercinta ini.

"Kita telah menemui semua pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini bagi memaklumkan dan menyerahkan Memorandum Bantahan kita seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), MITI, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Menteri Besar Pahang dan akhirnya kepada Perdana Menteri sendiri selaku ketua kerajaan. Kita memahami bidang kuasa setiap jabatan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan dan oleh sebab itulah kita telah turun untuk bertemu dengan semua pihak yang di nyatakan tadi," jelas Haji Zulkefly.

Mereka berharap suatu tindakan yang konkrit dan pantas dapat di ambil oleh Perdana Menteri selaku rakyat Pahang sendiri yang mana daerah yang di wakili beliau tidak terlalu jauh dengan kawasan tapak loji kontroversi tersebut.

Seterusnya beliau menambah, respon yang di berikan oleh pihak Perdana Menteri amat jauh berbeza dengan sikap Menteri Besar Pahang yang mana beliau tetap menghantar wakil untuk bertemu Badar berbanding tindakan yang di tunjukkan sewaktu mereka mengunjungi pejabat MB Pahang tempohari.

Respon yang di berikan oleh pejabat MB Pahang ternyata jauh berbeza dengan slogan yang di war-warkan iaitu 'rakyat di dahulukan' dan sikap tidak bertanggungjawab ini seharusnya menyedarkan rakyat Pahang akan keperluan menilai semula teraju utama negeri mereka.

Beliau juga menasihatkan pegawai kerajaan agar bersikap professional dan berani untuk menerima kunjungan rakyat dan juga mendengar apa sahaja rungutan dan komen dari mereka.

Sebagai "stakeholder" rakyat berhak mendapat penjelasan dan berhak menuntut agar suara mereka di beri perhatian dan pertimbangan sewajarnya.

Selain Mismah, 52 lagi PR jadi warganegara dikesan

Posted: 02 Aug 2011 03:23 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Jangan terkejut jika bukan Mismah sahaja yang statusnya penduduk tetap disebelah pagi bertukar menjadi warganegara sebelah petang, malah pertukaran serupa turut melibatkan ramai lagi.

Selepas heboh laporan menceritakan "kecekapan luar biasa" Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menukar taraf kewarganegaraan Mismah dalam masa empat jam, 52 lagi kes serupa ditemui PAS Titiwangsa.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Timbalan Yang Dipertua PAS Titiwangsa Khairul Anuar Manap mendedahkan perkara itu dikesan kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, kira- kira jam 9.15 pagi tadi, petugas IT PAS Wilayah Persekutuan dan Titiwangsa berjaya mengesan 52 orang pemilih yang berstatus penduduk tetap di dalam Rang Daftar Pemilih suku ke-2 bagi tahun 2011.

Kemudiannya senarai tersebut dikeluarkan dan disemak di dalam sistem semakan MyKad dan MyPR Jabatan Pendaftaran Negara di alamat http://www.jpn.gov.my/semakic/ dan mendapati kesemua 52 orang tersebut berstatus Permastautin Tetap atau PR.

Senarai status penduduk tetap yang di kesan itu ialah, 28 nama di parlimen Titiwangsa, Segambut (5), Batu (8), Wangsa Maju (4), Bandar Tun Razak (1), dan Lembah pantai (6).

"Petugas IT PAS wilayah terus mencetak atau "print screen" semua gambar kad penduduk tetap tersebut daripada sistem semakan JPN dan menyertakan senarai nama dan dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pendaftaran Negara (SPR) Wilayah Persekutuan di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abd Aziz untuk tujuan bantahan.

"Kira-kira jam 2.30, iaitu sebelum mengisi borang bantahan senarai Rang Daftar Pemilih, pegawai SPR mengesahkan kesemua senarai 52 orang itu adalah warganegara melalui sistem semakan JPN.

"Petugas PAS cuba mengesahkan semula dan ternyata semua nama tersebut telah bertukar menjadi warganegara hanya selepas berberapa jam," ceritanya.

Lebih pelik katanya, bagaimana semua 52 nama itu boleh terlepas masuk dalam rang daftar pemilih sedangkan semuanya berstatus penduduk tetap atau soalnya, apakah ada suatu komplot antara SPR dan JPN dalam usaha memenangkan parti Umno BN.

Sehubungan itu, beliau berharap agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak berkuasa dalam negara dan dapat menyelesaikan dengan kadar segera sebelum tindakan yang lebih drastik diambil.

Petang tadi, negara digemparkan dengan seorang penduduk tetap (PR), Mismah yang memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru, bertukar menjadi warganegara dalam masa beberapa jam.

Dia kini mempunyai MyKad biru, berdasarkan semakan pada sistem dalam talian yang sama JPN di mana butiran identifikasi dirinya direkodkan.

Pendedahan dan penemuan terbaru itu bakal memberi tekanan baru kepada SPR yang selama ini mendakwa tiada manipulasi dalam daftar pemilih dan senarai pemilih sudah dibersihkan.

Menjelang PRU ke-13, dijangkan lebih banyak lagi pendedahan akan dibuat Pakatan Rakyat berhubung penyelewengan pihak tertentu dalam usaha memenangi pilihan raya dengan cara yang tidak demokratik.

Pakatan selamatkan RM200 bilion wang rakyat

Posted: 02 Aug 2011 03:22 PM PDT

Aziz Muda


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan satu belanjawan yang baik bagi tahun 2011 untuk semua rakyat di negara ini, di samping menyelamatkan RM200 bilion wang rakyat yang tiris dalam belanjawan yang disediakan dan diibentangkan oleh kerajaan BN bagi tahun lalu.

Bagi mencapai matlamat itu, Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan belanjawan yang menekankan kesemua subsidi akan disalurkan terus kepada rakyat, khususnya golongan sasar, bagi menjadikan belanjawan itu benar-benar berguna kepada pelbagai lapisan rakyat negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah belanjawan yang turut menekankan tentang penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin Umno BN, sehingga menyebabkan peruntukan subsidi RM200 billion untuk petroleum tidak sampai kepada orang ramai.

Menurut beliau, peruntukkan tersebut cukup besar. Ia sepatutnya sampai kepada sasaran, tetapi terjadi di sebaliknya ekoran sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin Umno BN yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan subsidi itu bagi kepentingan mereka sendiri.

Katanya, kejadian itu menyebabkan rakyat menjadi amat terhimpiit dengan kenaikan harga petrol dan diesel, walaupun mereka tidak sepatutnya menerima bebanan itu ekoran subsidi yang begitu besar yang telah disediakan oleh kerajaan.

"Begitu juga dengan subsidi bagi padi atau beras untuk petani. Walaupun subsidinya ada dan jumlahnya agak besar, tetapi para petani tetap juga tak dapat, tetap terus miskin dan hidup susah.

"Sebaliknya yang mendapat subsidi itu adalah orang yang dah kaya yang memiliki syarikat-syarikat besar terutama Bernas," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Jawankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahlli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzullkefly Ahmad, pemimpin PKR dan DAP telah mengadakan rundingan dengan ahli-ahli ekonomi utama di tanah air di tempat yang sama.

Rundingan tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan ekonomi, termasuk langkah-langkah untuk mengatasi inflasi di negara ini, di samping mendapatkan pelbagai pandangan untuk digarap oleh Pakatan Rakyat dalam belanjawannya bagi tahun 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini.

Pada sidang media bersamanya dengan Datuk Seri Anwar itu, Mohamad menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu akan turut menekankan langkah-langkah yang akan dilakukan di negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat untuk kepentingan rakyat.

"Langkah-langkah tersebut seperti yang terdapat dalam Buku Jingga. Antaranya termasuklah mengadakan skim kifalah bagi ibu tunggal seperti yang dilakukan oleh Kerajaan kelantan yang akan turut dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat lain termasuk Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

"Selain itu, kita juga akan turut menyediakan subsidi yang akan disalurkan terus kepada rakyat termasuk subsidi petroleum dan lain-lain subsidi sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara pada pilhanraya umum akan datang," tegas beliau.

Suruhanjaya perlu siasat Pagi MyPR petang MyKad?

Posted: 02 Aug 2011 03:18 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut mereka dengan pendedahan bahawa seorang penduduk tetap bernama Mismah adalah berstatus penduduk tetap paginya sudah berubah kepada warga negara pada petangnya.

Ekoran itu, Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan.

Dewan Pemuda PAS, katanya, mendesak agar suatu siasatan dibuat berhubung dengan kejadian ini.

"Suatu Suruhanjaya Di Raja perlu dibentuk dengan segera bagi menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) berhubung dengan isu yang cukup memalukan negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.

(Kad MyPR Mismah pada sebelah pagi)

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dipersoalkan bagaimana mudahnya menjadi warganegara Malaysia pada waktu ini, katanya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini mengeluarkan berita "PR Didaftar Sebagai Pengundi" pada jam 1.06 petang, 2hb Ogos 2011.

Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.

Kad Pengenalan di bawah di salin pada jam 1.06 petang 2hb Ogos 2011 :

Kad Pengenalan sudah bertukar menjadi biru pada jam 2.30 petang hari yang sama 2hb Ogos 2011 setelah Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 petang. Ini memberi maksud bahawa Mismah menjadi warganegara dalam beberapa jam sahaja.


(Kad MyKad Mismah pada sebelah petang selepas dibuat laporan pada sebelah paginya)

Nama Mismah terdapat dalam WEB SPR sebagai "Sedang Dalam Pameran Rang" seperti di bawah :

Mismah adalah individu yang telah daftarkan sebagai pengundi di Dun Ijok, Selangor walaupun beliau adalah seorang PR. Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sedang mempamerkan maklumat bakal-bakal pemilih di seluruh negara sekarang ini.

Dewan Pemua PAS, kata Suhaizan, sebenarnya telah mengesan lebih awal bagaimana PR khususnya daripada Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi. Mereka di daftarkan hampir di setiap negeri.

(Keratan semakan dengan SPR status Mismah sebagai pengundi)

"Kita telah memuat turun data-data kad pengenalan PR dengan banyak sekali. Dewan Pemuda PAS sudah menjangkakan sama ada "server" JPN akan di tutup atau PR ini akan bertukar menjadi warganegara dalam sekelip mata.

"Ternyata jangkaan Pemuda PAS benar apabila Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 maka status PR dengan mudah bertukar kepada warganegara. Ini lah bukti yang jelas bahawa negara Malaysia dalam keadaan yang cukup merbahaya apabila status warganegara dipermainkan oleh pihak berkepentingan dalam negara ini," katanya.

Dr Rosti letak jawatan Naib Canselor Unisel

Posted: 02 Aug 2011 03:16 PM PDT

THE MALAYSIAN INDSIDER

SHAH ALAM — Datuk Dr Rosti Saruwono mengambil keputusan meletakkan jawatan selaku Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan notis 24 jam berkuat kuasa esok.

Beliau mengesahkan peletakan jawatannya menerusi khidmat pesanan ringkas sebagai membalas SMS yang dihantar oleh Bernama bagi mendapatkan pengesahan berita tindakannya itu.

"Ada keputusan yang saya tak sanggup laksanakan iaitu untuk melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya," katanya dipetik Bernama Online.

Menurut sumber, Rosti (gambar) telah diarahkan oleh kepimpinan Unisel untuk melucutkan jawatan tiga pegawai iaitu Pendaftar Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah.

Berasal dari Klang, Selangor, Rosti pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan rektor pertama Universiti Teknologi Petronas sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Semasa dilantik, Rosti berkata beliau tidak akan menjadi "Pak Turut" kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik.

KDN haram buku Islam Evil in the Name of God

Posted: 02 Aug 2011 03:14 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan penerbitan terhadap buku bertajuk "Islam Evil in the Name of God" kerana mengandungi fakta penceritaan yang palsu.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Abdul Aziz Mohamed Nor berkata, fakta penceritaan yang terkandung dalam buku itu palsu semata-mata khususnya yang melibatkan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. dan kesucian agama Islam.

"Penerbitan ini nyata sebahagian daripada propaganda anti Islam untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat bukan Islam supaya membenci Islam dan merupakan usaha jahat pihak tertentu yang sengaja mahu menimbulkan kebencian dan sentimen negatif terhadap Islam.

"Sekiranya penerbitan ini dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan dipetik Bernama Online.

Langkah itu diambil mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Justeru menjadi satu kesalahan menurut Subsyeksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya ada pihak yang mencetak, menerbit dan seumpamanya terhadap buku tersebut.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Iklan rasis: Pakatan mahu tindakan keras ke atas 8TV

Posted: 02 Aug 2011 03:11 PM PDT


KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat mahu tindakan dikenakan ke atas saluran milik Media Prima, 8TV kerana menyiarkan iklan Ramadan yang menunjukkan sikap orang Cina semasa bulan Ramadan.

Gesaan itu dibuat selepas saluran itu menarik balik iklan tersebut berikutan kritikan ke atas klip yang menggambarkan seorang gadis "Cina" makan di depan khalayak ramai sambil mengenakan pakaian ketat semasa berkunjung ke bazar Ramadan.

"Seseorang harus mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana menghina Islam dan menggambarkan agama lain tidak menghormati agama lain," kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata adegan-adegan dalam iklan itu "terlalu dramatik" di bulan Ramadan seperti orang Islam "tidak mengambil peduli orang lain makan, minum atau merokok di kawasan awam."

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga mengkritik kumpulan media yang dikawal Umno sambil menyifatkannya sebagai "iklan tidak mementingkan sensitiviti dan amat kesat," dengan "jika iklan itu tiada kaitan dengan kerajaan, tindakan serta-merta akan diambil oleh pihak berkuasa."

"Media Prima perlu bertanggungjawab dan tindakan perlu diambil oleh kerajaan," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini.

Terlebih dahulu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima mempertahankan penyiaran iklan itu dengan meminta orang ramai "bertenang" dan tidak buat tindakan terburu-buru.

Dalam iklan itu, seorang gadis mengenakan baju tanpa lengan sambil memegang sesikat pisang.

"Wow, saya rasa saya telah menjadi perhatian! Saya suka! Dan, saya sayang anda semua!" kata gadis dalam video itu.

Iklan itu kemudian mencadangkan agar gadis itu tidak memakai pakaian yang ketat dengan mesej "jangan pakai pakaian ketat dan mendedahkan tubuh anda."

Kemudian, gadis itu dilihat telah memakai baju kurung dan disambut dengan senyuman oleh orang ramai di bazar.

Terdahulu selebriti tempatan dan penulis lagu Pete Teo dalam komennya menerusi Twitter berkata: "Mahu melihat iklan TV Ramadan yang teruk? Yasmin Ahmad di mana anda? Apa sudah jadi dengan AhmadIzhamOmar?"

Kedua-dua Lim dan Dzulkefly juga berkata, ini bukan kali pertama Media Prima membenarkan tayangan iklan yang kontroversi semasa Ramadan.

Tahun lalu, TV3 terpaksa menarik balik iklan sempena Aidilfitri yang mana memasukkan elemen-elemen agama lain termasuk termasuk watak Santa Claus.

Jabatan Penjara nafi 32 pelajar lelaki didera di Penjara Kluang

Posted: 02 Aug 2011 03:04 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Sebahagian daripada pelajar yang mendakwa mereka didera ketika program motivasi di Penjara Kluang. — Foto ihsan Sinar Harian
PUTRAJAYA — Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di Johor Baru bahawa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata hasil siasatan awal mendapati, dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.

Bagaimanapun, katanya siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya terdapat pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu menyelesaikan aduan itu, bolehlah kemukakan kepada beliau di talian 03-8732 8081.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata mereka juga boleh e-mel maklumat itu kepadanya di zulkifli@prison.gov.my atau menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Penjara (Puan) Rusmiza Anuar di talian 03-8732 8388.

"Pihak kami akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari semasa ke semasa dan berharap dapat selesaikan kes pada 5 Ogos ini," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, sekumpulan pelajar sekolah berkenaan mendakwa mengharungi pengalaman mengerikan apabila didera petugas program selepas menyertai kem motivasi ala banduan selama tiga hari dua malam di Penjara Kluang, mulai petang Jumaat lepas.

Mereka mendakwa bukan sahaja rambut digunting pendek ala banduan, malah turut ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara apabila ada di antara pelajar turut digari hingga mereka trauma.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata program motivasi seumpama itu, yang dikenali sebagai Program Pencegahan Jenayah 'Price of Freedom', telahpun dilaksanakan sebanyak enam kali sebelum ini.

Katanya program itu telah dilaksanakan di SMK Bandar Penawar, Kota Tinggi; pelajar-pelajar Jabatan Kebajikan Masyarakat Zon Selatan; Sekolah-sekolah daerah Bandar Tenggara; SMK Tun Syed Nasir, Johor Baru; SMK Seri Rahmad dan SMK Majidee.

"Program ini telah mendapat persetujuan daripada Pejabat Pelajaran Daerah, pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) di daerah yang berkaitan.

"Tiada sebarang masalah yang telah dibangkitkan dan pihak Jabatan Penjara dimaklumkan program tersebut telah memberi kesan yang baik kepada kemajuan pelajaran pelajar yang terlibat," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa hampir keseluruhan kursus motivasi itu dijalankan di kem Kopen Training Consultant di Kluang dan sebahagian program di penjara olok-olok Penjara Kluang bagi pelajar-pelajar merasai suasana di dalam penjara.

Zulkifli, bagaimanapun memberi jaminan bahawa sekiranya hasil siasatan mendapati berlakunya perkara seperti yang didakwa oleh para pelajar terbabit, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib ke atas anggota yang terlibat.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata satu pertemuan melibatkan ibu bapa dan para pelajar terbabit, pengurusan sekolah berkenaan dan Penjara Kluang akan diadakan esok bagi mencari penyelesaian berhubung kes tersebut.

"Selepas perjumpaan esok, saya minta Pengarah Pelajaran Johor untuk sediakan laporan penuh supaya dapat ambil tindakan seterusnya," kata beliau.

Ditanya bentuk tindakan sekiranya hasil siasatan mendapati dakwaan para pelajar terbabit tidak benar, Abdul Ghafar berkata "kita nasihat sahaja".

Beliau berkata kursus motivasi itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar menerusi pembelajaran dan pendidikan pencegahan jenayah dan pihaknya akan meneliti program berkenaan, sama ada perlu diubah modul kursus itu atau sebaliknya.

Ramadan: Ekoran kecaman, Media Prima tarik balik iklan rasis

Posted: 02 Aug 2011 03:02 PM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Ekoran tekanan daripada orang ramai, Media Prima Bhd memutuskan untuk menggugurkan iklan sempena Ramadan, yang disifatkan banyak pihak sebagai berbaur rasis dan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Ketua pegawai operasi Media Prima Ahmad Izham Omar (gambar) mengumumkan keputusan itu menerusi Twitter ekoran kritikan pelbagai pihak sejak awal hari ini.

"OK kawan-kawan. Kami menarik balik iklan itu. Terima kasih atas keprihatinan anda," kata Ahmad Izham dalam mesejnya yang dikeluarkan menerus Twitter pada pukul 3.40 petang tadi.

Ahmad Izham kelihatan mengambil ringan isu ini dengan mengubah topik perbincangan tujuh minit kemudian.

"Dan, sekarang perkara lebih penting ... adakah satu seksyen bunyi hon lebih baik berbanding empat trombon? Atau hanya tiga trombon sudah memadai?" tulis beliau lagi.

Awal hari ini, bekas ketua eksekutif 8tv ini cuba meredakan keadaan dengan meminta orang tidak membesarkan iklan berkenaan yang menasihatkan bukan Islam supaya bersopan ketika bulan Ramadan.

Diterbitkan sebagai pengumuman perkhidmatan publik menerusi 8tv, tiga iklan menggambarkan seorang budak perempuan 'Cina' makan secara terbuka, mengenakan pakaian kurang sopan dan kurang beradab ketika Ramadan seolah-olah mencetuskan kurang senang di kalangan umat Islam.

Umat Islam di negara ini berpuasa sejak semalam selama sebulan.

Iklan-iklan itu mengesyorkan agar bukan Islam menjauhkan diri daripada tingkah laku sedemikian dan mahu mereka memahami dan menghormati bulan Ramadan.

Tahun ini, Media Prima berhadapan dengan kritikan apabila menyiarkan iklan sempena Aidilfitri, didakwa membawa gambaran dan mesej penganut Kristian.

Iklan itu turut ditarik balik ekoran kritikan orang ramai khususnya kalangan Muslim.

PRU-13: MB Perak nafi adakan pilihan raya olok-olok

Posted: 02 Aug 2011 02:59 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMUR— Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menafikan pihaknya pernah mengendalikan pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Anda kena tanya dari mana mereka dapat laporan itu, sumber-sumber dan oleh kerana kami tidak mengadakan sebarang pilihan raya olok-olok ... ini bukan daripada sumber-sumber Umno, saya boleh memberitahu anda dengan segera bahawa ini bukan daripada ... kami tidak mengadakan sebarang pilihan raya olok-olok," kata beliau kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Menurut laporan Astro Awani hari ini, Zambry (gambar) berkata laporan yang dibawa oleh The Malaysian Insider semalam hanya satu andaian.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, Barisan Nasional (BN) Perak sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan sedang melakukan pelbagai usaha progresif untuk memastikan perikatan itu menguasai negeri.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Meri lalu memutuskan mengadakan simulasi pilihan raya olok-olok mengikut bahagian parti pada bulan Julai.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan BN boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut keputusan pilihan raya olok-olok melainkan parti-parti komponennya meletakkan muka-muka popular yang berpotensi dan memastikan jentera di peringkat akar umbi menjana sokongan pengundi.

The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya latihan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan BN boleh kehilangan sehingga 15 daripada 56 kerusi di Johor, dikuasai Pakatan Rakyat.

Persekitaran itu tidak pernah diduga tetapi BN telah hilang enam kerusi di Johor pada pilihan raya umum 2008.

Daripada enam kerusi itu PAS menguasai dua manakala DAP pula enam.

Difahamkan Perlis, di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi, kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan salah satu daripada tiga bahagian Parlimen di tangan Pakatan Rakyat disebabkan kemarahan penduduk negeri itu mengenai isu Wahabi termasuk tindakan meletakkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dalam senarai pengganas.

"Pilihan raya olok-olok ini menunjukkan banyak kelemahan. Dan, isu Wahabi tidak membantu," kata satu sumber Umno kepada The Malaysian Insider.

Seorang pemimpin Umno yang semakin meningkat juga memberikan sentimen yang sama sambil menegaskan, BN perlu meletakkan muka-muka baru untuk menyegarkan kedudukan perikatan itu sementara memastikan jentera peringkat bawah peringkat aktif bagi mendapatkan sokongan menyeluruh.

"Masalahnya ialah jentera Umno boleh bekerja jika diberikan motivasi, tetapi ahli parti komponen kelihatan tidak diberikan motivasi," kata pemimpin Umno itu.

Beliau mendedahkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran tindakan melompat parti melibatkan tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi dengan Zambry menolak laporan The Malaysian Insider bahawa kemenangan hanya boleh dipastikan jika calon yang betul dipilih kali ini.

Dalam pada itu Bernama Online memetik Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata beliau yakin BN tidak akan kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum akan datang berikutan sokongan rakyat terhadap BN didapati semakin meningkat.

Beliau berkata ini berdasarkan pengumuman Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin bahawa pilihan raya olok-olok yang dijalankan parti itu sejak Mei lepas menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap Umno dan BN di seluruh negara.

"Sokongan terhadap BN sudah meningkat berbanding dahulu. Jadi tanggapan Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang menyatakan pembangkang akan menawan Perak dan NS adalah kurang tepat jika mengambil kira pilihan raya olok-olok yang dibuat oleh Umno," kata Subramaniam di Gemas hari ini.

Dalam masa yang sama, Subramaniam meminta pemimpin dan anggota MIC supaya peka dengan permasalahan rakyat kerana keadaan politik pada hari ini tidak serupa dengan dahulu.

"Jangan biarkan orang lain naikkan permasalahan rakyat. Biar MIC jadi wira dan ke hadapan dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat kita," katanya.

Timbalan Presiden MIC itu yakin dengan memperjuangkan isu rakyat, sokongan akan kembali kepada BN.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pula berkata sehingga ini semua itu adalah andaian dan hanya akan terbukti apabila pilihan raya nanti.

Zahid juga percaya kepimpinan Menteri Besar Besar Perak mampu mempertahankan BN di negeri itu.

Tender projek: Kontraktor Melayu Pulau Pinang dakwa MCA rasis

Posted: 02 Aug 2011 02:56 PM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR— Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang mengecam sambil mendakwa MCA memainkan sentimen perkauman dengan melabel Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai anti-Cina hanya kerana kebanyakan projek di bawah sistem tender terbuka diberi kepada kontraktor Bumiputera.

Pemangku Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang Datuk Izham Merican berkata, "nampaknya MCA begitu jahil sekali" kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri, termasuk yang melebihi nilai RM200,000 dan memilih yang paling baik dari segi harga dan kualiti.

"Dengan hanya mempertikaikan pemberian kontrak kepada Melayu, adakah MCA bersifat perkauman, dengan memandang rendah keupayaan kontraktor Melayu yang dianggap tidak setaraf atau sebaik dengan kontraktor lain?

"Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang menolak dengan sekeras-kerasnya sentimen perkauman MCA yang menghina kontraktor Melayu dengan persepsi negatif ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA Puan Tan Cheng Liang baru-baru, Izham menegaskan, MCA harus ingat bahawa dalam semua kaum ada golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, begitu juga di kalangan masyarakat Cina sendiri.

Dalam sistem tender terbuka, katanya, pemberian kontrak di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak mengetepikan kaum lain.

"Saya sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Pemangku Yang Dipertua telah berjumpa dengan Ketua Menteri supaya membantu warga kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh Ketua Menteri.

"(Ia) menunjukkan sikap profesionalnya, beliau tidak mencampur aduk hal politik dan tidak memilih kaum untuk membantu dan selalu bercakap berdasarkan fakta dan ini amatlah disanjungi," kata Izham lagi.

"Malah ahli-ahli persatuan saya amat menghargai pendekatan YAB Ketua Menteri yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat kebenaran ketua bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini.

"Saya hendak mengingatkan bahawa isu penawaran kepada kaum Bumiputera tidak harus dipolitikkan dan atau dijadikan isu perkauman," katanya lagi.

Izham juga menambah, sebagai sebuah NGO yang mempunyai ahli daripada pelbagai parti walaupun kebanyakannya terdiri daripada ahli Umno, perjuangan pihaknya adalah menentukan warga kontraktor terbela.

Kata Izham, pada hari ini ramai kontraktor yang gulung tikar dan keadaan yang dialami dalam industri pembinaan tidak lagi seperti suatu ketika dahulu dan "kami merayu kepada kerajaan pusat supaya dapat membantu menangani masalah ini."

"Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan ketua menteri yang telah pun berusaha dan telah mengatasi masalah-masalah yang dikemukakan oleh pihak persatuan," katanya lagi.

Malah kata beliau, seperkara lagi untuk makluman sekiranya kontrak ditawarkan kepada Bumiputera, harus diingat bahawa kebanyakan pembekal-pembekal adalah bukan Bumiputera dan golongan pekerja-pekerja juga kebanyakan bukan kaum Bumiputera.

"Oleh itu, bagi tiap-tiap projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada kontraktor Bumiputera dengan cara tersendirinya memberi peluang kepada kaum-kaum lain.

"Saya sebagai Timbalan Yang Di Pertua dan Pemangku Yang Dipertua persatuan ingin menyatakan bahawa setakat hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang tidak pernah mengetepikan kaum Bumiputera dalam industri pembinaan dan sebagai pemimpin beliau bersikap terbuka walaupun dicemuh oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja tidak faham akan dasar kerajaan negeri," katanya lagi.

Umno sudah tidak ada ruang bebas bersuara, dakwa bekas menteri

Posted: 02 Aug 2011 12:20 AM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kesal kerana Umno kini sudah tidak lagi menyediakan ruang untuk memberi perbezaan pendapat, mendakwa parti kaum Melayu itu telah beralih daripada dasar-dasar dipraktikkan oleh presiden-presiden terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak.

Bekas menteri kerajaan pusat dan ahli Majlis Tertinggi Umno ini memberitahu The Malaysian Insider, beliau turut bimbang dengan budaya politik semasa dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sambil menegaskan, ia jauh berbeza berbanding pendekatan terbuka dan telus yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

"Malangnya, keadaan sudah banyak berubah dalam Umno sendiri sejak era Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn. Ketika itu ada banyak kebebasan untuk menyuarakan pandangan kami, ruang untuk perbezaan pendapat dan debat terbuka," kata beliau.

"Tetapi sekarang anda tidak ada persekitaran sedemikian," kata Kadir dengan menekankan faktor-faktor yang membawanya untuk menyertai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Kata beliau langakh itu akan membolehkannya memberi pandangan mengenai isu-isu semasa, yang tidak boleh dilakukan dalam Umno sendiri.

Bekas menteri pelancongan itu merujuk kepada kritikan sesetengah pihak ke atas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah yang melahirkan pendiriannya mengenai cara pentadbiran Najib mengendalikan isu perhimpunan Bersih 2.0.

"Ia hanya satu komen, tidak bermakna beliau telah bertindak bertentangan dengan parti atau kerajaan tetapi kini ada gesaan agar beliau (Saifuddin) dipecat dari Umno," kata Kadir.

"Ini tidak berlaku pada masa-masa lalu," katanya lagi.

Kadir juga membandingkan kepimpinan Umno semasa dengan masa lalu dan menggunakan kes bekas Ketua Pemuda Umno dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris untuk mengetengahkan poin beliau.

"Kebanyakan daripada kami dalam Pemuda Umno tidak bersetuju apabila Datuk Harun dikenakan tuduhan rasuah.

"Kami menjadi saksi tentangan ke atas kerajaan ketika itu. Kami berkempen bagi Datuk Harun di seluruh negara... tetapi tiada tindakan diambil ke atas kami, meskipun ada perbezaan pendapat," katanya.

"Itu bukan bermakna kami bertindak menentang BN ataupun kerajaan, ia hanya perbezaan pendapat," kata Kadir.

Meskipun kesal dengan keadaan semasa dalam Umno, Kadir berkata beliau akan kekal dalam parti itu.

"Saya masih memegang jawatan dalam parti... ada banyak perkara dalam Umno yang saya setuju, sesetengah dasarnya," kata beliau yang juga bendahari Umno Kulim Bandar-Baharu.

Kadir merupakan salah seorang timbalan presiden Amanah yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang.

Kes Liong Sik: Pendakwa mahu panggil Mahathir berhubung isu PKFZ

Posted: 02 Aug 2011 12:18 AM PDT



Dr Ling Liong Sik ketika berehat di luar bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi. — Foto oleh Jack Ooi


KUALA LUMPUR — Pihak pendakwa akan memanggil bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai saksi dalam kes skandal berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Projek itu diketengahkan ketika Dr Ling (gambar) memegang jawatan Menteri Pengangkutan di bawah kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Timbalan pendakwa raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Dr Ling juga ada menulis satu surat kepada Dr Mahathir pada 2002 tetapi kandungannya tidak didedah.

MENYUSUL LAGI

Enam pemimpin PSM bebas Jumaat lalu dicaj esok

Posted: 02 Aug 2011 12:13 AM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan Jumaat lalu daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat, akan dicaj di Butterworth esok kerana memiliki bahan-bahan subversif.

Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar (gambar) mengesahkan perkara itu hari ini.

"Saya baru menerima panggilan daripada peguam saya, polis ada mengatakan bahawa mereka akan mengeluarkan waran tangkap jika kami tidak muncul esok," kata beliau ketika dihubungi kepada The Malaysian Insider tengah hari tadi.

"Kami akan hadir, biar mereka mendakwa kami dan kita akan lihat ke mana kita akan pergi dari sana," kata beliau lagi.

Ragunath Kesavan, salah seorang peguam mewakil mereka berkata, keenam-enam pemimpin terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 48 Akta Pertubuhan dan Seksyen 29 Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Jumaat lalu, selain Dr Jeyakumar, lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, telah dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Mereka ditahan sejak 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Sebelum itu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Pelajar Dirogol Masa Ponteng Sekolah

Posted: 02 Aug 2011 12:09 AM PDT

SABAH DAILY


MAHANG - Seorang bapa berusia 56 tahun yang dipanggil ke sekolah untuk berjumpa guru anak perempuannya berusia 16 tahun terkejut apabila dimaklumkan anaknya dirogol dua pelajar lelaki. Gambar fail.

Rahsia perlakuan sumbang itu terbongkar apabila mangsa dipanggil seorang guru lelaki untuk membuat pengakuan terhadap kejadian yang berlaku kepada diri mangsa. Bapa mangsa yang kecewa dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Mahang.

Pada hari kejadian, mangsa bersama dua rakan perempuannya mengambil keputusan untuk ponteng sekolah. Mereka turut ditemani tiga pelajar lelaki lain. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk pergi ke sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit.

Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dirogol dua pelajar lelaki berusia 15 tahun di hadapan seorang rakan perempuannya.

Rakan mangsa tidak berbuat apa-apa dan terus merahsiakan tentang kejadian itu. Selepas dirogol, mangsa terus balik ke rumah.

Jurucakap polis berkata, memandangkan mangsa masih di bawah umur, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. -SH

Peningkatan mendadak pendaftaran pengundi baru di Melaka

Posted: 02 Aug 2011 12:08 AM PDT

"Dari mana datangnya mereka ini?," tanya Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.



PETALING JAYA: PAS Melaka meluahkan rasa bimbang peningkatan mendadak jumlah pengundi baru yang berdaftar di negeri itu dalam tempuh enam bulan pertama tahun ini.

Dalam suku kedua tahun 2011 sahaja, seramai 14,288 pengundi baru didaftarkan berbanding suku pertama hanya 6,394 pengundi baru yang berdaftar.

"Dari mana datangnya mereka ini?," tanya Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek ketika dihubungi FMT hari ini.

"Kita tidak kisah jika mereka benar-benar rakyat Malaysia yang sah untuk menjadi pemilih. Apa yang dirisaukan ialah mereka merupakan pemilih-pemilih yang diprojekkan oleh pihak tertentu dengan pemberian kad pengenalan 'percuma' dan didaftarkan sebagai pemilih.

"Selain itu kita juga bimbang jika pengundi-pengundi baru ini juga adalah pengundi lama yang didaftarkan sekali lagi dengan menggunakan 'modus operandi' sebelum ini iaitu dengan mendaftarkan mereka menggunakan kad pengenalan lama," katanya.

Menurut beliau, jumlah peningkatan yang tinggi itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka baru-baru ini.

Kaji senarai pemilih

Kamaruddin berkata, pihaknya akan mengkaji senarai pemilih berkenaan untuk memastikan mereka adalah pengundi tulen.

"JIka ada senarai yang meragukan, PAS Melaka akan membuat bantahan kepada SPR," tambahnya.

Ketua Penerangan PAS Melaka itu juga mendakwa, Umno menggunakan agensi kerajaan untuk menjalankan kempen mendaftarkan pengundi baru.

Katanya, baru-baru ini Umno bahagian Bukit Katil semasa mengadakan kempen mendaftarkan pengundi baru telah memberi minyak pelincir motosikal kepada anak-anak muda yang mendaftarkan nama mereka.

Beliau berkata, Umno yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja untuk mendaftarkan nama pemilih baru.

"Ada anak muda yang tidak tahu nama mereka telah didaftarkan dalam senarai pemilih. Maklumat ini kita perolehi dari tinjauan yang kita buat di kalangan anak-anak muda di Melaka.

"Ini bermakna Umno mendaftarkan siapa sahaja sebagai daftar pemilih supaya orang melihat seolah-olah ramai pemuda menyokong parti itu," katanya.

Balu peserta Bersih 2.0 fail notis usul inkues

Posted: 02 Aug 2011 12:06 AM PDT

"Tujuan saya ikhlas. Ketentuan Allah saya terima. Tetapi saya dan keluarga perlu mengetahui bagaimana dan cara kematian beliau," kata Rosni Malan.



KUALA LUMPUR: Balu peserta Bersih 2.0 Baharuddin Ahmad, 59, yang meninggal dunia semasa perhimpunan 9 Julai lalu memfailkan notis usul bagi menuntut siasatan mengenai punca kematian suaminya.

Rosni Malan, 55, yang hadir di mahkamah bersama dua anaknya ditemani peguam pemerhati keluarganya Ahmad Jufliz Faiza memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini melalui Tetuan Patrick Dass & Co kira-kira 2.30 petang tadi.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, inkues mengikut tatacara Kanun Prosedur Jenayah tersebut termasuklah tuntutan agar dokumen dan laporan bedah siasat arwah suaminya itu didedahkan.

"Tujuan saya ikhlas. Ketentuan Allah saya terima. Tetapi saya dan keluarga perlu mengetahui bagaimana dan cara kematian beliau.

Siapa dan pihak mana yang bertanggungjawab dan setakat mana tanggungjawab itu terbatas? Ini semua akan memberi pengajaran kepada kita yang hidup ini.

"Terdapat banyak tuduhan yang dibuat mengenai kematian suami saya tetapi apa yang saya tahu dan maklumat yang ada menunjukkan sebaliknya. Suami saya sentiasa sihat sebelum ini dan tiada tanda-tanda dia mengalami sakit yang serius.

"Saya harap jika orang ramai ada bukti-bukti yang berkaitan dengan suami saya, bolehlah kemukakan kepada peguam saya atau hadir di mahkamah nanti untuk beri keterangan," katanya dilobi mahkamah.

Rosni berkata permohonan itu difailkan kerana sehingga hari ini pihak majistret atau Jabatan Peguam Negara masih tidak memberi respon kepada surat peguam yang dihantar walaupun tempoh masa telah diberikan.

Polis pada 10 Julai lalu mendakwa kematian Baharuddin yang juga seorang pemandu teksi adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca dari gas pemedih mata.

Namun persoalan menghantui keluarganya apabila arwah dikatakan patah tulang dada dan juga tiga batang gigi, satu teka-teki yang masih belum disahkan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur apabila sehingga sekarang enggan mengeluarkan laporan bedah siasat.

Pak Samad rasmi kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’

Posted: 02 Aug 2011 12:00 AM PDT

Ia bertujuan menjadikan media alternatif sebagai akses utama maklumat rakyat di negara ini.



PETALING JAYA: Kempen 'Jom Baca Media Alternatif', anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), yang akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said Ahad ini bertujuan menjadikan media alternatif sebagai akses utama maklumat rakyat di negara ini.

Selain memberi pendedahan, memberi persepsi terbuka dan mendidik rakyat mengutamakan kesahihan berita, kempen yang bertemakan "Baca dan Banding" ini turut memberi peluang kepada mereka melihat realiti Malaysia melalui dimensi yang berbeza.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Sekretariat Media SMM Ahmad Shukri Kamarudin berkata program serta kempen bermula hari Sabtu 6 Ogos ini. Selain edaran risalah turut disertakan buah tangan kepada warga kota pada hari tersebut.

Program pada 6 Ogos (Sabtu) bermula jam 3.00 petang menjurus kepada 'Flash Mob' sekitar Kuala Lumpur dengan memakai baju khas kempen yang turut tertera alamat laman sesawang media alternatif.

Kemuncak kempen pada 7 Ogos (Ahad) akan dirasmikan oleh Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) bermula jam 2 petang.

"Beliau (Pak Samad) mengesahkan kehadirannya pada perlancaran kempen 'Jom Baca Media Alternatif' Ahad ini.

Perlancaran ini dijangka akan diadakan selepas siri wacana 'Mahasiswa Selamatkan Rakyat' yang akan memfokuskan kepada isu pembinaan loji Lynas yang turut menjadi isu utama diperjuangkan oleh SMM dan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR)," katanya.

SMM merupakan ikatan kerjasama beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-M), Kumpulan Anak Muda Independen (Kami) serta 'Malaysian Student and Youth Democratic Movement' (Dema).

[Gambar Faisal Hasnoon/Flickr]

Duit Raya RM42.6 juta untuk peneroka Felda

Posted: 01 Aug 2011 11:57 PM PDT

BERNAMA

Pemberian itu adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda di samping membantuperbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran.



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ha i ini mengumumkan kesemua 112,635 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menerima wang Hari Raya membabitkan peruntukan berjumlah RM42.6 juta.

Beliau berkata pemberian itu adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda di samping membantu perbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, Najib berkata kaedah pemberian wang Hari Raya kepada kesemua peneroka adalah sama dengan tahun lalu dan kadar bayaran terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda.

"Seramai 100,357 peneroka atau 89.1 peratus yang bersama Felda akan menerima RM400 seorang dan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM40.14 juta. Seramai 12,278 atau 10.9 peratus peneroka yang tidak bersama Felda pula menerima RM200 tiap seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.46 juta," katanya.

Pemberian wang Hari Raya kepada peneroka dilaksanakan sejak 2003.

Najib berkata bayaran tahun ini meningkat RM5.41 juta atau 14.54 peratus berbanding bayaran tahun 2010 iaitu RM37.20 juta.

Pada tahun lalu, peneroka yang bersama Felda atau yang menjual hasil kepada Felda menerima RM350 seorang manakala yang tidak bersama Felda RM150 seorang.

Bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda seluruh negara, katanya.

"Saya berharap pemberian wang ini akan dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal," katanya.

Najib turut menyeru kepada peneroka yang tidak bersama Felda agar dapat kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan.


‘Tiada rundingan PKR-Kita’

Posted: 01 Aug 2011 11:55 PM PDT

Ketua PKR Temerloh Ahmad Nizam Abdul Hamid berkata keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Pakatan Rakyat negeri dua minggu lalu.



PETALING JAYA: PKR Pahang tidak akan berunding dengan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) dalam menentukan pembahagian kerusi di negeri itu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti.

Ketua PKR Temerloh Ahmad Nizam Abdul Hamid berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Pakatan Rakyat negeri dua minggu lalu.

"Keputusan kita jelas, Pakatan Rakyat tidak boleh berunding dengan Kita. PKR tidak boleh, PAS dan DAP pun tidak boleh. Asas penolakan rundingan dengan Kita ialah parti itu bukan gabungan Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua PKR Pahang, Mohd Nor Jaafar yang juga Ketua Cabang PKR Jerantut yang mahu mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Kita dalam PRU 13.

Mohd Noor meninggalkan PKR dan menyertai Kita dan dilantik sebagai Penyelaras Kita negeri Pahang kerana parti itu belum ditubuhkan secara rasmi di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Nizam yang juga AJK PKR Pahang berkata, Mohd Nor memang mahu berunding dengan pimpinan PKR negeri kerana mahu menuntut beberapa kerusi untuk Kita.

Bagaimanapun katanya, PKR tidak mahu dan tidak boleh berunding dengan Mohd Nor kerana parti beliau, Kita bukan gabungan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menafikan laporan beberapa blog bahawa Mohd Nor telah mengadakan rundingan dengan PKR Pahang berhubung pembahagian kerusi di negeri itu.

Mohd Nor ketika dihubungi hari ini bagaimanapun, mengesahkan beliau telah menemui Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman di Kuantan, namum ia hanya perbincangan biasa.

"Saya memang ada meminta Datuk Fauzi memberikan peluang kepada Kita untuk bertanding tiga atau empat kerusi Dun (Dewan Undangan Negeri) di Pahang.

"Dia tanya saya Dun yang mana yang Kita mahu tetapi malangnya semua kerusi sudah ada calon PKR," kata Mohd Nor.

33 Pelajar Kursus Motivasi Dakwa Didera

Posted: 01 Aug 2011 11:50 PM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Sekumpulan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Baru mendakwa mereka telah didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang minggu lalu, lapor akhbar-akhbar tempatan hari ini.

Dalam program selama tiga hari itu, mereka bukan sahaja dibotakkan kepala tetapi mendakwa dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan diarahkan untuk memakai baju persalinan banduan.

Seorang pelajar, Mohd. Fakhrullah Masali, 16, mendakwa, pihak sekolah memberitahu program tersebut merupakan kem motivasi bagi pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan akan diadakan di hotel.

Namun, Jumaat lalu mereka dibawa ke Penjara Kluang dan diminta menyerahkan semua barangan peribadi kepada pihak urus setia kursus.

"Saya agak terkejut sebab pada mulanya kami diberitahu akan menjalani kursus motivasi di hotel selain diberi beberapa kemudahan lain.

"Namun apabila tiba di sana, kami dilayan tak ubah seperti banduan, malah dikejutkan seawal 4.30 pagi untuk latihan kawad dan sebagainya," katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Berita Harian memetik mangsa berkata mereka bukan sahaja rambut digunting pendek ala banduan, malah turut ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar turut digari sehingga mereka trauma.

Kata laporan itu, lebih mengejutkan, pelajar mendakwa dua guru pengiring kumpulan pelajar yang dipilih atas alasan mempunyai masalah disiplin ponteng sekolah dan kelas, merokok serta terbabit dengan pergaduhan hanya mentertawakan tindakan wadar ke atas mereka.

Seorang lagi pelajar, Firdaus Mohammad, 16, memberitahu, mereka turut didera melakukan pelbagai aktiviti termasuk tekan tubi, berguling atas jalan dan ketuk ketampi sebanyak 150 kali.

Dakwanya, peserta juga dimarah dan dipukul sehingga ada yang menangis akibat tidak tahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor Baru Khalid Mohamed yang menerima aduan tersebut berkata, satu memorandum ditandatangani oleh ibu bapa peserta terbabit akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak urusetia kursus tidak sesuai dan sewajarnya tidak berlaku.

"Saya harap pihak kementerian menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru terlibat termasuk pihak Jabatan Penjara Kluang.

"Kami rasa marah dan terkejut apabila para pelajar berkenaan dihantar ke penjara umpama seorang penjenayah malah turut digari. Tindakan seumpama itu seperti tidak bertamadun dan zalim," katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Datuk Samsol Bari Jamali ketika dihubungi hari ini mengakui pihaknya sedia maklum dengan program berkenaan iaitu pelajar menjalani simulasi kehidupan di penjara.

Menurutnya, sekolah berkenaan bukan yang pertama menjalani aktiviti itu, malah sebelum ini dua buah sekolah lain pernah mengikuti aktiviti sama.

"Konsultan dilantik oleh pihak sekolah juga adalah yang biasa dilantik oleh Pejabat Pendidikan Daerah Johor Baru dan mungkin modul sahaja berbeza. - malaysian insider

Tiada ulasan: