Dunia Berwarna Luna Version 2 |
| PKR dan PAS : Halatuju selepas ini???? Posted: 04 Jun 2010 04:33 AM PDT Kemana PKR dan PAS selepas ini? Oleh: Suhaimi Al-Maniri Minggu lepas, 28-30hb. Mei, 2010 kira-kira 2,500 perwakilan dan pemerhati Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkampung di Kota Bharu, Kelantan bagi mengadakan Kongres Nasional ke-6. Minggu hadapan, 9-13hb. Jun 2010 giliran ahli PAS pula berkampung di Kota Bharu, Kelantan mengadakan Muktamar Tahunan ke-56. Semua hotel dan rumah tumpangan di sekitar Kota Bharu menjadi tempat persinggahan ahli-ahli PKR dan PAS. Malah peniaga-peniaga di Pasar Besar Siti Khatijah dan sekitarnya termasuk di Pengkalan Kubur, Tumpat dan Rantau Panjang boleh tersenyum kerana Kelantan menjadi destinasi tumpuan pelancong domestik dalam beberapa minggu ini kebelakangan ini. Dua tahun kebelakangan ini, yakni tahun lepas (2009) dan tahun ini PKR dan PAS nampaknya memilih negeri dan tempat yang sama untuk mengadakan Kongres Nasional dan Muktamar Tahunan mereka. Tahun lepas, PKR dan PAS sama-sama memilih Shah Alam, Selangor. Tahun ini mereka memilih Kota Bharu, Kelantan pula. Selepas Kongres PKR, menjelang Muktamar PAS Saya tidak pasti, sama ada pemilihan tempat Kongres Nasional PKR dan Muktamar Tahunan PAS berlaku secara kebetulan atau sengaja dirancang sebegitu rupa bagi menampakkan kerjasama erat PKR-PAS. Jika tahun depan, kedua-dua parti ini memilih Kedah dan Pulau Pinang pula sebagai negeri mereka berkampung, mungkin DAP pun boleh turut serta. Inilah keunikan yang ada dalam parti-parti Pakatan Rakyat (BN) yang tidak ada pada Barisan Nasional (BN). Ketika parti-parti dalam PR mula serasi, parti-parti dalam BN pula semakin bercakaran. Paling teruk sengketa antara UMNO dan MIC. Malah lain-lain parti dalam BN pun semakin mencurigai tindak tanduk UMNO sebagai tunggak BN. Berbalik kepada Kongres Nasional PKR yang sudah berakhir, khabarnya tidak banyak yang terungkai dari sebelumnya. Cuma kali ini perwakilan PKR mula mempertikaikan kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR) yang tidak menghargai perjuangan aktivis bawahan PKR yang tidak mempunyai status 'elit' tetapi setia menjadi penggerak parti. Bagi meredakan keadaan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor memberikan sedikit harapan kepada perwakilan dan pemerhati Kongres Nasional untuk melantik 'Pegawai Pembangunan DUN' bagi menggantikan peranan 'exco angkat' yang diamalkan sebelum ini. Perlantikan Pegawai Pembangunan DUN/Parlimen atau seumpamanya (Penyelia DUN/Parlimen) telah lama diamalkan di Kelantan. Mungkin inilah satu-satunya yang dipelajari oleh PKR dari Kelantan yang diperintah oleh PAS yang boleh digunapakai dalam menyemarakkan semangat ahli-ahli dan pendokong-pondokongnya di Selangor yang dikuasai oleh mereka. Ketika saya berjumpa dengan seorang kenalan lama yang merupakan aktivis PAS di Selangor, beliau menyebut Menteri Besar Selangor itu terlewat dua tahun. Beliau berpendapat, exco tidak perlu dibebankan untuk menjaga beberapa kawasan pilihanraya 'angkat' yang tidak ditandinginya. Katanya, tugas exco dan Menteri Besar adalah membangunkan negeri. Selain itu, PKR mula memperkenalkan konsep baru dalam perlembagaan mereka. Keutuhan parti itu juga bakal teruji lagi dengan pindaan perlembagaan barunya bulan depan yang membolehkan keseluruhan ahli layak untuk mengundi memilih presidennya. PKR menjadi satu-satunya parti politik yang membenarkan ahli memilih Presiden mereka secara langsung. Bagaimanapun Anwar Ibrahim, Ketua Uumum PKR dilaporkan berkata, disiplin parti akan ditingkat melalui proses penyusunan semula keseluruhan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung dalam pemilihan selepas ini. Dari jangkaan saya, PKR akan terus kekal dipimpin oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Untuk itu, Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dicadangkan oleh ketua biro latihannya Mustafa Kamil Ayub sebagai 'profesor sepenuh masa' di 'Universiti Politik Keadilan'. Selepas melihat apa yang dilakukan oleh PKR, tiba masanya kita melihat apa persiapan yang akan dilakukan oleh PAS pula dalam muktamarnya nanti demi memastikan parti tersebut terus mendapat sambutan rakyat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.. Perkara ini dijangka menjadi tumpuan dan perhatian perwakilan dalam perbahasan mereka selain daripada membincangkan beberapa tindakan politik terbaru parti tersebut dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS mennggantikan Kelab Penyokong PAS untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangkakan oleh Datuk Mustapa Ali, Setiausaha Agong PAS akan diadakan pada April, 2011. Keutamaan kepada PAS sekarang adalah mempertahankan Kedah yang menjadi penanda aras baru kepada kemampuan PAS memerintah negara selepas ini. Kemampuan PAS meneruskan kesinambungan memerintah Kedah sekarang ini adalah bergantung kepada 3 ADUN PKR dan seorang ADUN DAP untuk terus istiqamah dengan kerajaan PAS-PKR-DAP dalam Pakatan Rakyat. Dengan dua orang ADUN PKR yang pernah menjadi exco Kedah telah keluar parti menjadi bebas, tidak ada apa yang mustahil perkara ini boleh berlaku dimasa hadapan. Lebih-lebih lagi bila seorang exco Kedah, Lim Soo Nee (PKR) dalam ucapannya dalam ceramah 'Bubar DUN Kedah ?' pada 22hb. Mei lepas di Kota Sarang Semut sempena Ijtimak PAS Kedah mendedahkan UMNO/BN sentiasa berusaha untuk mendapatkan beliau meninggalkan PKR. Setelah terbukti UMNO/BN telah berjaya di Perak kerana 'kelalaian' PR membubar DUN lebih awal sebelum ketiga-tiga ADUN PKR dan DAP mengistiharkan diri menjadi ADUN bebas menyokong BN. Sebab itu Menteri Besar Kedah sekarang tidak boleh tidur lena, kerana UMNO/BN sentiasa berusaha menggangu gugat Kerajaan Kedah. Pergolakan politik di Kedah belum berakhir berbanding dengan Pulau Pinang yang diterajui DAP dan Kelantan yang telah diterajui oleh PAS sejak 2 dekad yang lepas. Malah kerajaan camporan DAP-PKR-PAS dalam Pakatan Rakyat di Selangor juga belum tentu selamat dari ancaman UMNO/BN tetapi lebih bernasib baik berbanding dengan Kedah kerana majoriti kerusi DUN yang diperolehi mereka adalah lebih besar. Jika Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah berjaya melepasi penggal ini dan seterusnya memenangi pilihanraya umum ke-13 sekali lagi dengan majoriti kerusi PAS sendiri bermakna peluang BN untuk kembali semula memerintah Kedah selepas itu semakin sukar. Perkara ini telah berjaya dibuktikan oleh Kerajaan Kelantan pada penggal 2004-2008 yang diperintah oleh PAS dengan kelebihan satu (1) kerusi sahaja. Tetapi kerajaan camporan PAS-PKR-DAP di Perak walaupun dengan kelebihan tiga (3) kerusi hanya mampu bertahan tidak sampai setahun selepas memenanginya dalam pilihanraya Mac, 2008. Selamat bermuktamar kepada PAS! |
| Kenyataan media Ahli Parlimen Titiwangsa tentang isu pembangunan Kg Baru Kuala Lumpur. Posted: 04 Jun 2010 04:21 AM PDT Sikap Menteri Wilayah Persekutuan yang mengemukakan kertas kabinet berkenaan pembangunan Kg Baru dengan cadangan membuka peluang 40% kepada kaum bukan Melayu adalah amat dikesali. Rata-rata pemilik dan pewaris aset-aset Kg Baru tidak bersetuju dengan cadangan ini. Pendirian menolak cadangan ini bukanlah bersifat perkauman tetapi adalah merupakan satu pendirian tegas pemilik dan pewaris dalam mempertahankan Kg Baru sebagai satu-satunya aset Melayu Islam dalam kawasan di tengah-tengah Kota Metropolitan KL. Selama 110 tahun pemilik dan pewaris mempertahankan Kg Baru meski pun dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit disekelilingnya, tiada sebab untuk mereka melepaskan pegangan kerana kelemahan kerajaan yang memerintah. Mereka lebih rela membangunkan Kg Baru dengan cara dan kemampuan sesama mereka sendiri daripada aset yang penuh sejarah dan sangat berharga ini dilepaskan sebahagian atau mungkin juga akhirnya terlepas langsung kerana tidak mampu bertahan dengan himpitan pembangunan dan tawaran wang ringgit yang lumayan. Ramai yang melihat cadangan 60:40 ini menyerlahkan kegagalan kerajaan Pusat yang diterajui UMNO/BN. Kegagalan pertama adalah kegagalan untuk mempertahankan satu-satunya kawasan atau kampung yang 100% milik Melayu Islam walau pun UMNO selamanya mengaku sebagai pejuang dan juara Melayu. Tunjukkan dimana ditengah-tengah Kota Metro KL yang boleh dikatakan kemegahan dan kepunyaan Melayu Islam, mungkin ada beberapa buah seperti Maju Junction; sedangkan UMNO menerajui Kerajaan Pusat selama hampir 53 tahun. Kegagalan kedua ialah UMNO mengakui bahawa tanpa kaum Bukan Melayu orang Melayu tidak boleh maju, tidak mampu membangunkan kampung sendiri, tiada daya upaya untuk berdiri-sendiri dengan lebih bermaruah. Malang sekali kerana maruah Melayu diperlekehkan oleh tidak lain tidak bukan oleh UMNO yaang tunjang perjuangannya adalah Melayu, Apakah kerajaan begitu sengkek sehingga tidak mampu menyediakan satu dana yang sewajarnya untuk membangunkan sebuah Kg Tradisi ditengah-tengah KL. Kemana lagi orang Melayu mahu dipinggirkan, ke Flat mana, ke Pangsapuri mana lagi sambil berputih mata melihat tanah mereka tergadai, Mungkin Menteri WP akan mengatakan kita kena bersiakap realistik, jangan emosional dalam isu Kg Baru ini. Apakah tidak realistik untuk terus mempertahankan tanah tumpah darah Melayu ini yang diwariskan oleh Kerajaan British sebelum merdeka. Sekali lagi disini saya menggariskan beberapa perkara dasar yang perlu diberi perhatian dalam proses Pembangunan Kg Baru: 1- Pembentukkan Badan Amanah yang disertai oleh wakil-wakil dari setiap kampung dalam Kg Baru, wakil penjawat MAS, wakil NGO-NGO dan individu yang diiktiraf oleh anak-anak Kg Baru, wakil dari pihak kerajaan iaitu DBKL, KWPKB, JPM dan Wakil Rakyat Titiwangsa. 2- Penubuhan Konsortium Pemaju yang terdiri dari pemaju-pemaju kalangan anak-anak Kg Baru bagi memastikan kebertanggung-jawaban yang tinggi terhadap kelangsungan pembangunan yang boleh juga diterajui GLC seperti Tabung Haji yang menjaga kepentingan Melayu Islam. 3- Dana Khas yang sewajarnya dari Kerajaan Pusat dengan itu tidak perlu penglibatan pihak swasta mahupun pelabur-pelabur asing bagi memastikan pemilikan yang berterusan dan bagi memberi keyakinan kepada pemilik dan pewaris akan pengekalan aset mereka. 4- Memastikan pemilikan 100% kekal ditangan Melayu Islam tanpa kompromi. 5- Pembangunan mesti mengambil kira pembangunan yang berimbang antara pembangunan fizikal, mental dan spiritual. Pembangunan yang tidak diurus dengan amanah dan jujur akan melahirkan bangunan-bangunan konkrit yan diisi oleh keruntuhan akhlak, kebobrokan budaya dan kepincangan sosial. 6- Masjid Kg Baru hendaklah menjadi nadi pembangunan bagi memastikan pemusatan terhadap Aqidah dan Syariah Islam itu menjadi agenda utama. 7- Pembangunan yang menjurus kearah Kg Baru sebagai Pusat Sehenti Melayu dimana segala-segalanya berkenaan Melayu ada diwakili disini termasuk dari konsep arkitek, buadaya, ekonomi, sosial dan kesenian serta sejarah Melayu. Adalah diharapkan Menteri Wilayah Persekutuan konsisten dengan kenyataan dan tindakan beliau untuk tidak mempolitikkan isu pembangunan Kg Baru. Pembangunan Kg baru mampu diteruskan sekiranya ada keikhlasan, kejujuran, amanah dan komitmen yang tinggi dari semua pihak yang terlibat. Dr Lo'Lo' bt Datuk Hj Md Ghazali Ahli Parlimen Titiwangsa |
| You are subscribed to email updates from Dunia Berwarna Luna Version 2 To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan