Selasa, 29 Jun 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Sistem kehakiman sudah tidak bebas ?

Posted: 28 Jun 2010 11:20 PM PDT

DETIK DAILY


KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua telah menimbulkan kontroversi. Ia menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan mahkamah mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas. Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan

Bagi menjelaskan kontroversi ini, TARMIZI MOHD JAM mendapatkan pengamatan pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan simpang-siur isu ini.

Apa pandangan profesor terhadap kedudukan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu?

PROF. DR ABDUL AZIZ BARI: Saya fikir isu ini mudah dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan. Kalau kita lihat undang-undang ia cukup jelas di mana Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 48(1)(e) jelas menyebut bahawa Tian Chua hilang kelayakan kerana beliau telah disabitkan dengan satu kesalahan dan dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000. Dalam kes ini, Tian Chua didenda RM2,000 jadi apa yang tidak jelas? Saya setuju dengan pandangan yang sama yang dinyatakan oleh YB Karpal Singh dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato' NH Chan. Malaysia menjadi bahan ketawa dunia kerana bertengkar dalam soal yang cukup jelas. Orang biasa yang tak belajar undang-undang pun tahu maksud "tidak kurang daripada dua ribu". Apa yang hendak dibelit lagi?

Kalau begitu apa yang jadi kelam kabut dan timbul macam-macam pandangan tentang sama ada Tian Chua masih atau telah terbatal kedudukannya sebagai ahli parlimen?

Saya rasa kita tahu kenapa jadi begitu. Kita tahu kenapa Tian Chua diseret ke mahkamah dan disabitkan. Tetapi selepas kekalahan di kubu mereka di Sibu, Barisan Nasional (BN) jadi takut. Kita boleh faham kenapa SPR sendiri dengan tiba-tiba macam tidak begitu berminat mengadakan pilihan raya. Dan saya sendiri pelik kenapa soal mengelakkan pilihan raya kecil disebut oleh Hakim Dato' Ghazali Cha.

Apakah Profesor menganggap kenyataan hakim berkenaan tidak betul?

Saya tidak fikir hakim berkenaan patut berkata begitu. Kita kena sedar bahawa kes Tian Chua ialah kes jenayah dan dengan itu ia perlu ditangani mengikut undang-undang jenayah. Kalau beliau bersalah beliau perlu dihukum mengikut undang-undang. Pada saya hakim tidak perlu mengambilkira kesan hukuman itu; itu pertimbangan politik bukan undang-undang. Macam juga kes Bung Mukhtar yang berpoligami tanpa kebenaran. Hukumlah mengikut undang-undang yang berkenaan. Jangan kaitkan benda yang tidak relevan. Dan saya amat prihatin dengan kenyataan YB Tian Chua yang menyebut bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak melayan hujahnya yang mahukan keterangan yang diterima oleh majisteret dalam mensabitkan dirinya. Ini cukup penting bagi saya; yakni sama ada benar Tian Chua menggigit anggota polis berkenaan sebagaimana yang dituduh atau sebaliknya.

Mengandaikan Profesor menjadi hakim dalam kes Tian Chua ini, apa yang akan Profesor akan lakukan?

Kalau saya duduk di situ, saya akan timbangkan hujah Tian Chua yang mempertikaikan bukti-bukti yang diterima dalam mensabitkan beliau. Kalau majisteret itu betul, kekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Tian Chua. Kalau tidak batalkan keputusan majisteret itu dan bebaskan Tian Chua. Apa kaitan dan relevannya soal pilihan raya kecil? Di sinilah kesalahan hakim mahkamah tinggi itu. Mungkin dia tidak baca dengan teliti peruntukan perlembagaan tadi walaupun beliau hendak mengelakkan pilihan raya kecil. Apa pun saya sudah katakan tadi, ini tak betul kerana tak ada kaitan. Kalau Tian Chua bersalah dia perlu dihukum; soal sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak tidak ada kaitan. Kerana kesilapan hakim itu seluruh negara jadi kelam kabut sebab isu yang kecil ini. Kita semua jadi bodoh kerana membincangkan satu benda yang cukup jelas; yang tidak ada keraguan.

Apa yang menyebabkan kelam kabut ini timbul?

Pada saya mudah sahaja. Inilah yang berlaku apabila kehakiman sudah tidak bebas. Walaupun ada pihak yang akan menafikan, kita tahu, berdasarkan kes-kes yang dibawa ke mahkamah, undang-undang dibaca dengan pelik dan ganjil. Saya tidak fikir kita tidak tahu mengapa Tian Chua dibawa ke mahkamah. Dan kita tahu mengapa beliau disabitkan atas keterangan yang begitu dipersoalkan. Saya tak nampak logiknya Tian Chua menggigit anggota polis. Lainlah kalau kita memang anti Tian Chua dan sentiasa mencari jalan untuk membatalkan kerusi parlimen yang disandangnya.

Profesor menyebut kehakiman yang tidak bebas; boleh huraikan lebih lanjut khususnya dalam konteks kes Tian Chua ini.

Pertama bebas atau tidak itu adalah soal tanggapan, soal persepsi. Tetapi ini kita rumuskan berdasarkan apa yang berlaku di depan mata kita. Dalam kes Tian Chua ini seperti yang saya katakan tadi ia perlu diputuskan berdasarkan undang-undang; khususnya undang-undang jenayah dan undang-undang keterangan.

Bukan kerja hakim untuk mengatakan bahawa pilihan raya kecil patut diadakan atau tidak. Hakim patut mengelakkan dari dari meletakkan mahkamah dalam kontroversi. Sekarang ini kita lihat ada dua aliran; yang pertama kes-kes diputuskan dengan cara membaca undang-undang melalui cara yang ganjil dan luar biasa dan yang kedua kita lihat hasil akhirnya sering memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Saya tak fikir ini satu kebetulan. Semacam ada sesuatu yang dirancang. Apalagi bila undang-undang tidak dibaca dengan betul.

Awan berbentuk jenazah

Posted: 28 Jun 2010 10:46 PM PDT

SABAH DAILY


KOTA BHARU - Dua anggota tentera di sini terkejut apabila terlihat kepulan awan yang berbentuk seperti jenazah yang dikafan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra awal pagi semalam.

Kedua-dua mereka, Penolong Pengawal Gudang Peluru, Koperal Mahiran Che Taib, 33, dan Koperal Suhaimi Mahsan, 38, dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa di sini mendakwa melihat objek itu pada pukul 6.40 pagi.

Menurut Mahiran, dia melihat kepulan awan berbentuk aneh itu selepas menunaikan sembahyang Subuh di surau kem tersebut.

"Ketika itu saya berjalan keluar dari surau untuk meneruskan tugas di balai pengawal dan menjenguk rakan yang bertugas di menara kawalan di kem tersebut.

"Kemudian rakan saya (Suhaimi) tunjuk isyarat menggunakan tangan supaya melihat ke langit kerana terdapat objek berbentuk jenazah setinggi lebih satu meter dan ia seolah-olah sedang bergerak turun dari langit," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, Mahiran pula berkata, kepulan awan yang berbentuk seperti kalimah syahadah juga kelihatan di atas objek tersebut. -Kosmo

PAS Selangor alu-alukan Azmin Ali

Posted: 28 Jun 2010 10:45 PM PDT

MERDEKA REVIEW


PAS Selangor mengalu-alukan perlantikan Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor yang baru. Perlantikan ini diyakini akan dapat memantapkan lagi jentera PKR Negeri Selangor selain menyumbang ke arah memperkasakan lagi jentera Pakatan Rakyat Negeri Selangor khasnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

PAS Selangor turut yakin Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat Selangor akan dapat menumpukan lebih perhatian ke arah membangunkan Negeri Selangor dengan memberi fokus kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) setelah melepaskan jawatan parti kepada Azmin Ali.

Sesungguhnya Azmin Ali (gambar kiri) memiliki pengalaman yang luas dalam bidang politik dan malah sudah pun menjalin hubungan kerja dengan PAS Selangor sejak beliau dan empat orang ADUN PAS diketuai Hasan Mohd Ali memenangi kerusi di DUN Selangor pada PRU tahun 1999 lalu. PAS Selangor akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau selaku Ketua PKR Negeri.

Selain itu PAS Selangor akan mengaturkan pertemuan segera dengan beliau bagi menyelaraskan gerak kerja politik antara kedua-dua parti selain menantikan kehadiran beliau dalam mesyuarat Pakatan Rakyat peringkat Negeri Selangor.

Pertemuan dengan Khalid Ibrahim (gambar kanan) selaku Menteri Besar juga akan diaturkan dalam waktu terdekat bagi menyatakan sokongan dan keyakinan PAS Selangor terhadap kepimpinan beliau sebagai Ketua Pentdabir Negeri.

PAS Selangor terus komited untuk memastikan kejayaan Pakatan Rakyat bukan hanya dalam mempertahankan Negeri Selangor dengan lebih mantap lagi malah menyumbang ke arah kejayaan untuk menawan Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir bin Mohd Shahir, selaku Ketua Penerangan PAS Selangor, Badan Perhubungan PAS negeri Selangor.

Tian Chua fail kebenaran merayu esok

Posted: 28 Jun 2010 10:23 PM PDT


tianchua Oleh Jamilah Kamarudin


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang @ Tian Chua akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur esok berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan kesalahannya kerana mencederakan seorang anggota polis.

Peguamnya, Ranjit Singh ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengemukakan fail permohonan itu ke pejabat pendaftar esok pagi.

Beliau berkata, permohonan untuk kebenaran merayu itu akan menjurus terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret, dan bukannya rayuan mengenai hukuman yang membabitkan denda sebanyak RM2,000.

"Memandangkan perkara ini pada awalnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Majistret, rayuan tidak boleh dikemukakan secara terus di Mahkamah Rayuan, dan ia berbeza dengan prosedur di Mahkamah Sesyen.

"Jadi selepas failkan permohonan itu, kita akan tunggu sama ada Mahkamah Rayuan akan membenarkan kes Tian Chua untuk didengar disitu atau tidak, terpulang kepada hakim yang menerima kes ini," katanya.

Sementara itu, Tian Chua ketika dihubungi berkata rayuan yang dikemukakan ini merupakan usahanya untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, bukannya untuk mempertikaian denda yang dikenakan ke atasnya sekaligus membuktikan kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.

"Walaupun penetapan hukuman denda telah menjadi pertikaian umum, permohonan untuk menangguhkan hukuman bagi rayuan akan dikemukakan, sebahagian besarnya bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang mempertahankan sabitan tersebut," katanya.

Terdahulu, Tian Chua, 46, didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar pada kira-kira pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 terhadap Tian Chua.

Setelah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Ghazali Cha pada 17 Jun lalu mengurangkan hukuman tersebut kepada denda RM2,000 atau penjara dua bulan, atas pertimbangan mahu mengelak satu lagi pilihan raya kecil di adakan.

Tok Batin, ADUN Perak lawat Sarawak

Posted: 28 Jun 2010 10:18 PM PDT

BERNAMA



Lawatan rakyat dari Semenanjung ke Sarawak akan dapat "membuka telinga dan mata" para peserta untuk memahami kebudayaan dan cara hidup pelbagai kaum di negeri ini, sekaligus memperkukuhkan perpaduan negara.

Penasihat khas di pejabat ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata Malaysia bukan sahaja dilimpahkan dengan kekayaan pelbagai sumber asli tetapi keunikan budaya dan warisan yang menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

"Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana kita hidup aman dan mesra antara satu sama lain dan perbezaan kaum tidak harus menjadi satu masalah atau penghalang pembangunan negara tetapi menambahkan kekayaan negara.

"Jangan jadikan perbezaan kaum, budaya dan agama di kalangan rakyat Malaysia satu bahan pertelingkahan yang akan menjatuhkan negara kita. Biarlah ia menyatupadukan kita," katanya pada majlis makan malam, anjuran Kerajaan Sarawak sempena lawatan Tok-tok batin Orang Asli negeri Perak ke Sarawak, di Kuching, malam semalam.

Seramai 166 Tok Batin serta beberapa ADUN Perak melawat negeri Sarawak selama tiga hari, bermula Ahad.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan Negeri Perak, Datuk Sa'arani Mohamad melawat di sekitar bandar raya Kuching dan juga destinasi pelancongan seperti Kampung Budaya Sarawak.

Dalam ucapan balas, Sa'arani berkata lawatan ke Bumi Kenyalang akan menyuntik semangat kepada para peserta rombongan yang juga penghubung atau wakil kerajaan dengan rakyat setempat untuk mendokong hasrat kerajaan dan meneruskan keseinambungan pembangunan negara.


KDN putus status permit Suara Keadilan esok

Posted: 28 Jun 2010 10:16 PM PDT

Salhan K Ahmad


Kementerian Dalam Negeri akan bermesyuarat esok untuk menentukan status pembaharuan permit penerbitan akhbar Suara Keadilan, kata ketua pengarang akhbar itu Dzulkarnain Taib.

Sehubungan itu, beliau juga perlu menjawab kesemua tiga surat tunjuk sebab yang telah dikemukakan oleh kementerian itu sebelum ini.

"Surat itu mungkin dialamatkan kepada ibu pejabat parti, saya perlu cari surat itu terlebih dahulu dalam fail," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, akhbar itu juga diberikan tempoh selama tujuh hari untuk satu lagi surat tunjuk sebab yang dikemukakan dalam pertemuan Dzulkarnain dengan KDN semalam.

Sementara itu menurut Bernama, dua surat tunjuk sebab pada Januari dan April itu, masing-masing melibatkan kegagalan syarikat akhbar berkenaan menghantar lapan salinan akhbar itu pada setiap keluaran kepada kementerian.Satu lagi surat pada Februari adalah berkaitan tiga laporan akhbar tersebut, bertajuk "Umno dan BN Ketagih Hasil Petronas", "BN Bolot Jualan Saham Pernas" serta "Umno dan BN Merosakkan Institusi Perubatan.

Surat terbaru yang dikemukakan dalam satu pertemuansemalam pula menuntut penjelasan berhubung satu laporan dalam edisi terbaru akhbar tersebut, yang mendakwa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutun (Felda) telah muflis.

Pertemuan selama satu jam itu dihadiri ketua setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam, timbalannya Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz serta Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad.

DAP: Kenyataan nisbah 1:40 berbaur perkauman

Posted: 28 Jun 2010 10:14 PM PDT


MALAYSIA KINI



DAP hari ini menafikan kajian biro keahlian dan daftar pemilih pemuda UMNO bahawa pendaftaran pengundi baru adalah dalam nisbah satu Melayu dan 40 bukan Melayu.

Sebaliknya, menurut Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di lobi parlimen, hari ini, DAP menganggapnya satu kenyataan bebaur perkauman.

Semalam pengerusi biro keahlian dan daftar pemuda Umno, Hishamudin Yahya yang mendedahkan nisbah itu berkata senario berkenaan seharusnya menyedarkan orang Melayu yang kuasa politik mereka boleh terhapus jika enggan terus mendaftar sebagai pengundi atau mengundi pada pilihan raya akan datang.

Trend lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas pilihan raya 2008 juga disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata peningkatan pendaftaran pengundi bukan Melayu adalah kerana DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Bertasbih tapi menghalalkan yang haram

Posted: 28 Jun 2010 10:12 PM PDT

Nik Abdul Aziz Nik Mat


Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama'.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan Umno yang dilihat membekukan golongan ulama'. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga Dun Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan Umno/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan Umno, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A'raf, ayat 96 yang bermaksud:

"...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya..."

Sudikah kiranya pemimpin Umno yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan Umno pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama' yang berminat mahu berada di dalam kubang Umno, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Tidak keluar lesen judi kerana agama?

Posted: 28 Jun 2010 10:05 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPURn: Keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan atas pertimbangan agama dan kesan politik harus dipersoalkan keikhlasannya.

Ini kerana Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berpendapat bahawa hal-hal berkaitan judi telah ada nas yang jelas dan pasti berdasarkan ayat al-Quran di dalam surah Al-Maaidah ayat 90.

Oleh itu, kata timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani (gambar), ia tidak perlu dibincangkan atau ditimbang-timbangkan.

"Kenapa hanya judi sahaja yang dipertimbangkan sedangkan ISA, hudud, rasuah, arak, aurat, pusat maksiat yang semakin membiak di negara ini tidak dibincangkan dalam konteks agama," ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPP juga, katanya mempersoalkan sejak bila kerajaan Umno BN mempertimbangkan sesuatu perkara mengambil kira pendapat rakyat.

Sedangkan, tambahnya sebelum ini mengapa kerajaan tidak pernah mendengar akan rintihan rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya.

"Jelas di sini kerajaan semakin takut akan kebangkitan rakyat yang begitu memarahi kerajaan Umno BN yang suka bertindak mengikut penilaian politik tanpa memikirkan akibatnya kepada rakyat marhaen," ujarnya lagi.

Justeru, tegasnya DPPP mencabar agar kerajaan juga menyatakan pendirian mereka berkaitan hal-hal yang lain yang lebih memerlukan pendapat rakyat.

"Jangan hanya berpura-pura untuk mengambil hati rakyat demi 'survival' politik sahaja," katanya.

Beliau juga mengingatkan Najib agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan atau membuat sesuatu keputusan tanpa membelakangkan kabinet kerajaan Malaysia kerana yang memerintah negara bukannya Umno.

Ini, katanya kerana keputusan yang diumumkan oleh Najib berhubung kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd hanya dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Katanya, Umno bukannya sebuah kerajaan tetapi hanya satu parti politik yang bergabung dengan parti-parti lain di dalam BN membentuk kerajaan.

"Sejak bila mesyuarat MT menentukan polisi negara? Besarkah kuasa MT Umno? Ke mana perginya kabinet kerajaan Malaysia?" soalnya.

Pengundi: Umno punca Melayu tidak daftar

Posted: 28 Jun 2010 10:05 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS berpandangan laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa nisbah 1 orang Melayu dan 40 bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi, ini angka petunjuk kegagalan Umno sebagai tonggak kepada negara pada hari ini untuk menyuntik kesedaran politik di kalangan orang Melayu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berpendapat perkara itu terjadi kerana Umno BN yang berkuasa di negara ini telah menjadikan generasi muda Melayu, hanyut dengan budaya hedonisme yang melampau.

Katanya, orang Melayu yang dilanda dengan budaya itu memang mereka tidak akan mempedulikan soal politik dan apa sahaja gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita.

"Umno mengharap dengan dihadang program hiburan sebegini maka mereka tidak akan mengambil peduli apa yang berlaku kepada negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Maka, katanya Umno BN akan bermaharajalela untuk memfaraid harta negara kerana rakyat Melayu ini tidak mempedulikan apa yang Umno hendak lakukan seperti kapal selam yang tidak boleh menyelam, gadai harta negara seperti Blok L dan M yang berharga RM320 bilion kepada kerajaan Brunei.

"Nampaknya strategi tempang telah makan tuan sehingga orang Melayu sedikit mendaftar sebagai pengundi kerana diulit dengan program hiburan yang semakin menjadi-jadi," ujarnya.

Katanya, PAS berpedapat bahawa akibat longgarnya pegangan agama di kalangan orang Melayu terutama remaja, sehingga mereka tidak ada kesedaran politik untuk mendaftar.

Sejarah, jelasnya membuktikan orang Melayu sedar politik pada peringkat awal apabila golongan islah yang dipimpin oleh ulamak seperti Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh al-Hadi yang pulang daripada Timur Tengah meniupkan kesedaran agama dan politik.

Akhirnya, kata beliau orang Melayu ada kesedaran politik dan bangkit menentang penjajah tetapi keadaan berlaku sebaliknya apabila Umno cuba merenggangkan agama dan politik, dengan membendung fungsi masjid sebagai pusat ilmu untuk menerangkan Islam yang syumul.

Maka sekarang, ujarnya terimalah padahnya kerana orang Melayu sudah mati kesedaran untuk berpolitik dan tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi.

PAS, menurutnya lagi melihat gagalnya orang Melayu mendaftar kerana Umno telah menanamkan budaya takut semasa di pusat pengajian tinggi lagi.

Baginya, politik ugut dan tidak bermaruah dalam pilihanraya kampus, akhirnya mereka menjadi ulat buku yang tidak berdunia dengan masyarakat serta tidak ada kesedaran politik.

Tambahnya, mereka mengambil pendekatan untuk tidak mahu terlibat dalam politik kampus, sehingga setengah kampus terpaksa mewajibkan pelajar turun mengundi, kalau tidak mereka akan diambil tindakan seperti buang daripada asrama.

"Semua ini kesilapan Umno yang mematikan tunas kesedaran politik di kalangan mahasiswa sedangkan mereka ini adalah generasi pelapis negara, sekarang siapa yang rugi," tanya beliau.

Justeru, katanya PAS menyeru supaya ahli yang sudah cukup umur lahir sebelum tahun 1989, diwajibkan mendaftar sebagai pengundi sementara semua jentera parti mesti menjadikan agenda daftar pemilih sebagai program yang diutamakan.

"Semua penceramah, pengkuliah, naqib memberi penekanan dalam ceramah dan kuliah mereka supaya mendaftar sebagai pengundi. Tekankan bahawa dafar mengundi adalah wajib.

"Kalau kuat bertakbir tetapi tidak daftar sebagai pengundi, kuasa Umno BN tidak akan jatuh di dalam PRU yang akan datang. Ini bererti negara akan menuju kepada kehancuran dan muflis," katanya lagi.

Americk: SPRM benar Bala ditemani peguam 5 Julai

Posted: 28 Jun 2010 05:10 PM PDT



KUALA LUMPURn — Detektif persendirian P Balasubramaniam dipercayai akan dibenar ditemani peguamnya ketika diambil keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di London awal minggu depan berhubung dakwaan maklumat terbaru berkaitan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Dalam surat yang dihantar kepada pegawai penyiasat kes Balasubramaniam, peguam detektif persendirian itu Americk Sidhu berkata, beliau difahamkan SPRM telah bersetuju untuk membawa bersama peguamnya.

Salinan surat yang dihantar kepada pegawai penyiasat SPRM Penguasa Abdul Rahman Bachok turut dipanjangkan kepada The Malaysian Insider.

Dalam surat itu Americk mendakwa walaupun pegawai berkenaan sebelum ini menyebut yang peguam Balasubramaniam tidak akan dibenar hadir bersama, tetapi pegawai kanan suruhanjaya telah memberi "lampu hijau" membenarkan peguam pilihan dibawa bersma.

Americk berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehnya SPRM akan membenarkan seorang peguam mengiringi Balasubramaniam pada sesi diambil keterangan kelak.

"Anda (Abdul Rahman) membayangkan dalam surat bertarikh 21 Jun lalu bahawa protokol SPRM tidak membenarkan kehadiran peguam ketika pegawai SPRM mengambil keterangan daripada saksi.

"Kami ingin memaklumkan bahawa kami tidak bersetuju dengan pandangan anda memandangkan pelanggan saya mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk memiliki seorang peguam pilihannya ketika diambil keterangan dan ini akan mengatasi apa jua protokol yang pejabat anda amalkan," katanya.

Selain itu kata Americk, pihaknya juga gembira dengan maklumat terbaru ekoran jaminan Pengarah Siasatan Mustafar Ali, sebagaimana disiarkan dalam media baru-baru ini bahawa seorang peguam akan dibenarkan pada 5 Julai ini.

"Oleh itu kami akan menunggu kehadiran anda (SPRM) di London pada 5 Julai ini," kata Americk dalam surat itu.

Oleh itu kataya, Balasubramaniam akan membawa kesemua dokumen berkaitan untuk tujuan memberi keterangan kepada SPRM pada tarikh berkenaan.

Kelmarin Americk memberitahu The Malaysian Insider bahawa SPRM akan menemui Balasubramaniam minggu pertama bulan depan, tetapi sama sekali tidak membenarkan peguamnya hadir sama.

SPRM akan menemui Balasubramaniam di London pada 5 Julai ini.

Americk berkata, pihaknya kini di peringkat akhir perundingan dengan SPRM.

"Semua sudah dibincangkan kecuali SPRM tidak mahu membenarkan peguam kami untuk hadir sama apabila mereka menemu bual subjek (Balasubramaniam).

"Kami tidak bersetuju dengan ini, dan kami akan mengetahui hasilnya minggu depan," kata Americk lagi.

Peguam Anwar Failkan Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan

Posted: 28 Jun 2010 05:09 PM PDT

TV SELANGOR

Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan semua kenyataan termasuk penuduh, Mohd Saiful Bukhari Azlan, selepas Mahkamah Rayuan menolak usahanya minggu lepas.

Rayuan kepada mahkamah tertinggi itu difailkan oleh peguamnya Karpal Singh tengah hari ini.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mei tahun ini yang menolak rayuan Anwar bagi mendapatkan dokumen dokumen itu.

Anwar, 63, mahukan kenyataan-kenyataan yang mendakwa wujud percanggahan dalam testimoni Mohd Saiful semasa perbicaraan dan dakwaan liwat yang dibuat ke atasnya.

Katanya Mohd Saiful telah memberi keterangan bahawa dakwaan liwat terhadapnya berlaku tapa kerelaannya tetapi Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu mengadakan hubungan seksual secara rela.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Perbicaraan disambung 14 Julai.

BN Beri Amaran Kepada Ketua Kaum Di Sarawak

Posted: 28 Jun 2010 05:05 PM PDT

TV SELANGOR

Mana-mana Ketua Kaum yang menyokong pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta kerana ia adalah satu tindakan salah laku yang amat serius, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.

"Ketua Kaum adalah ejen kerajaan, yang membantu dalam pembangunan masyarakat setempat dan bukannya menentang kerajaan," kata pada majlis penyerahan surat pelantikan dua Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh dan Melayu di Samarahan hari ini.

Di Sarawak, jawatan Temenggong yang mewakili kaum tertentu di peringkat bahagian adalah hirarki tertinggi sistem pentadbiran setempat diikuti Pemanca di peringkat daerah, Penghulu dan akhir sekali Ketua Kaum.

Manyin berkata oleh kerana pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir, semua Ketua Kaum perlu meningkatkan usaha untuk membantu kerajaan memberi maklumat mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri terutama sekali membawa pembangunan ke kawasan pedalaman kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, jawatan Ketua Kaum kini bukan kekal sepanjang hayat dan telah dihadkan tempoh selama empat tahun.

Sultan Johor Tamatkan KMJ 2010, Peroleh Lesen Memandu Keretapi

Posted: 28 Jun 2010 05:04 PM PDT

BERNAMA

JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini tiba di JB Sentral setelah menamatkan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010, dengan menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama yang meliputi empat daerah di negeri ini. Baginda dan rombongan diraja serta peserta kenamaan tiba di JB Sentral pada pukul 5 petang dan disambut kira-kira 500 rakyat jelata.

Selepas memandu sendiri kereta api dan melakukan prosedur 'turn table' bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan pada pagi ini, Sultan Ibrahim telah layak menerima Lesen Memandu Lokomotif Kelas 26.

Lesen itu diserahkan kepada baginda oleh Presiden Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan pada satu majlis di stesen tersebut.

Dengan itu juga, baginda menjadi sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari sejak Jumaat lepas.

Ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) dan sijil pengiktirafan disampaikan kepada baginda oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi.

Dalam ucapan pada majlis penutupan kembara itu di JB Sentral, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman melahirkan rasa bangga rakyat Johor atas kejayaan Sultan Ibrahim memperoleh lesen tersebut.

"Sesungguhnya Kembara Mahkota Johor 2010 ini sangat istimewa kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri memandu kereta api," katanya.

KMJ edisi ke-12 dimulakan pada 2001 hasil cetusan Sultan Ibrahim sendiri ketika menjadi Tunku Mahkota Johor yang bertujuan mendekatkan hubungan keluarga diraja Johor dengan rakyat itu turut disertai isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris, dan dua anakanda baginda iaitu Tunku Aminah serta Tunku Idris.

Universiti Malaysia Perlu Belajar Kesan Keganasan Pelajar

Posted: 28 Jun 2010 05:03 PM PDT

BERNAMA

SINGAPURA: Universiti di Malaysia boleh mengelak dijadikan tempat untuk merekrut anggota oleh kumpulan ekstremis jika pegawai tinggi dan anggota keselamatan mereka dilatih mengesan aktiviti keganasan, menurut sebuah firma perunding keselamatan hari ini.

Joshua Kwai, pengarah dan perunding prinsipal CFE Homefront Security Consultancy (IHSC) berkata tanpa latihan sewajarnya, bukan mudah untuk mengesan sesuatu yang tidak jelas.

Beliau mengulas pendedahan pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini mengenai operasi militan oleh kumpulan ekstremis, seperti Jemaah Islamiah, yang menggunakan universiti awam untuk merekrut pelajar antarabangsa sebagai anggota baru mereka.

Dilaporkan beberapa pensyarah daripada universiti berkenaan turut dikatakan terbabit dalam menyebarkan fahaman ekstremis itu.

Dalam temu bual dengan Bernama di sini, Kwai berkata institusi pengajian tinggi boleh mengambil peranan proaktif dalam menghadapi ancaman atau cabaran baru itu dengan melengkapi warga kerja peringkat tinggi, bahagian kawalan dan keselamatan mereka dengan pengetahuan mengenai langkah menangani keganasan.

Mereka juga boleh mendapatkan bantuan luar terutama daripada firma perunding keselamatan untuk mengkaji atau menyemak dasar atau standard prosedur operasi keselamatan mereka untuk membendung ancaman atau pelanggaran peraturan keselamatan, katanya.

IHSC ialah divisyen perniagaan ICFE (Pemeriksa Jenayah Siber dan Forensik Antarabangsa) Group of Companies yang mengendalikan pengurusan risiko penipuan, penyiasatan dan pencegahan, dengan mempunyai pejabat di Singapura, Malaysia dan Hong Kong.

Divisyen itu, yang menyediakan pelbagai perkhidmatan keselamatan, menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di Singapura dan antarabangsa.

Kwai berkata IHSC mempunyai semua perkidmatan penting yang diperlukan untuk memberi panduan kepada mana-mana pihak untuk menghadapi sebarang aktiviti atau perbuatan jenayah yang boleh memberikan ancaman, bukan sahaja kepada entiti tetapi juga negara.

Katanya terdapat banyak peluang bagi IHSC memperluaskan perniagaannya di Malaysia, berbanding dengan Singapura berikutan pasarannya semakin tepu ekoran mempunyai terlalu ramai pemain tempatan dan antarabangsa manakala projeknya sedikit.

Kwai berkata beliau merancang membangunkan IHSC daripada divisyen perniagaan kepada anak syarikat dalam lima tahun lagi, dan membuka lebih banyak pejabat daripada tiga sedia ada, di lokasi baru seperti Thailand, Indonesia, Brunei, China, India, Jepun dan tempat lain di Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Mengenai kerjaya sebagai anggota keselamatan, katanya mereka perlu berbangga dengan kerja mereka dan menjalankan tugas secara profesional.

Peningkatan Kes Babitkan Kanak-Kanak Membimbangkan: Shahrizat

Posted: 28 Jun 2010 05:02 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perangkaan kes-kes penderaan fizikal, cabul kehormatan dan rogol melibatkan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan apabila kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencecah 2,193, bagi tempoh Januari hingga sekarang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata statistik PDRM juga menunjukkan peningkatan dua kali ganda kes-kes itu di mana 2,236 kes dilaporkan pada 2005 dan 5,744 pada 2008.

"Kes kehilangan kanak-kanak juga membimbangkan dengan jumlah kes yang dilaporkan pada 2008 ialah 982 kes dan daripada jumlah itu, seramai 500 orang masih hilang," katanya dalam ucapan perasmian kempen "Missing Children Reuniting Families" di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1) anjuran Kumpulan Perbankan RHB di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Senator Heng Seai Kie.

Shahrizat berkata Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang diluluskan Kabinet pada 29 Julai tahun lepas bertepatan dengan usaha gigih kerajaan menangani masalah itu.

Shahrizat berkata bagi menyelesaikan masalah itu, kementerian akan mengambil beberapa tindakan segera termasuk mewujudkan talian bantuan kanak-kanak bagi membolehkan kanak-kanak dan orang ramai membuat laporan secara terus kepada pelindung atau pihak berkuasa keselamatan yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Buat masa ini, sebarang aduan mengenai penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak boleh disalurkan melalui Talian Nur 15999, katanya.

Selain itu, kementerian juga mewajibkan semua institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak berpandukan rangka dokumen Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.

"Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian petugas di rumah perlindungan sendiri mendera, mengeksploitasi, merogol dan sebagainya ke atas kanak-kanak," katanya.

Shahrizat berkata kementerian akan mempertingkatkan tindakan bersepadu dengan PDRM dan Jabatan Imigresen bagi memperincikan pembangunan sistem amaran awal tentang kehilangan atau penculikan kanak-kanak.

Sementara itu, kempen "Missing Children Reuniting Families" anjuran Kumpulan Perbankan RHB yang diperkenalkan sejak 2007 diteruskan dengan mengedarkan buku panduan keselamatan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak yang akan diedarkan ke semua sekolah rendah seluruh negara.

Kumpulan perbankan itu memperkenalkan maskot khas sempena kempen ini, Mr Bling, yang akan berkongsi tip keselamatan dan mendidik kanak-kanak menjaga keselamatan diri mereka. -

Suara Keadilan Diberi Tempoh Seminggu Jawab Isu Felda Muflis

Posted: 28 Jun 2010 05:00 PM PDT

BERNAMA

PUTRAJAYA: Akhbar Suara Keadilan akan diberikan tempoh selama tujuh hari bermula hari ini untuk memberi penjelasan berhubung laporan berita yang mendakwa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutun (Felda) telah muflis.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata, selain penjelasan berhubung isu berkenaan, akhbar itu juga diminta memberikan keterangan berhubung kegagalannya menjawab tiga surat tunjuk sebab yang dihantar pada Januari, Februari dan April tahun ini.

Penjelasan bagi ketiga-tiga surat itu katanya, harus diberikan tidak lewat dari pukul 5 petang esok di kementerian berkenaan jika gagal akan berhadapan dengan tindakan tegas.

"Antara tindakan yang boleh diambil termasuk menggantung atau membatalkan permit mereka," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan beliau dengan editor akhbar berkenaan, Dzulkarnain Taib berhubung dengan keputuan Felda untuk menyaman akhbar itu ekoran laporan muka depannya pada keluaran Bilangan 237 bertarikh 21 hingga 29 Jun 2010.

Ketika ditanya mengenai kandungan tiga surat tunjuk sebab berkenaan, beliau berkata surat tunjuk sebab pada Januari dan April, masing-masing melibatkan kegagalan syarikat akhbar berkenaan untuk mematuhi peraturan KDN iaitu menghantar lapan salinan akhbar itu pada setiap keluaran kepada kementerian.

"Setiap akhbar kena hantar lapan salinan kepada KDN, bermula dari waktu ia dicetak untuk setiap keluaran. Kalau akhbar harian hantar setiap hari dan macam dia (Suara Keadilan) seminggu dua kali. Dia tak pernah buat...(ia) tak pernah berlaku," kata Mahmood.

Surat tunjuk sebab pada Februari, katanya mengenai tiga artikel dalam akhbar berkenaan yang bertajuk Umno dan BN Ketagih Hasil Petronas, BN Bolot Jualan Saham Pernas serta Umno dan BN Merosakkan Institusi Perubatan.

"Saya rasa anda semua faham mengenai tanggungjawab ini, janganlah berdegil sangat. Kita hantar peringatan dan berulang kali mengingatkan (mereka)...degillah dan kita panggil (dia) hari Jumaat lepas, dia tak datang juga dan dia keluarkan kenyataan pada kita, jadi tak eloklah keluar kenyataan macam tu kan," tambahnya.

"Ini kali pertama KSU (Ketua setiausaha) panggilkan, KSU tak pernah panggil sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada penjelasan itu perlu dijawab melalui surat atau secara lisan oleh editor, Mahmood berkata segalanya terserah kepada budi bicara pihak akhbar itu untuk menentukannya.

"Terpulang kepada dia. Kami memerlukan penjelasan mereka dan selepas itu kita akan bermesyuarat untuk melihat sama ada penjelasan itu boleh diterima pakai atau tidak.

"Dia janji dia akan datang. Itu sangat adil kerana kita dah bagi dia surat ingatan. Alasan dia kata dia tak terima (surat) jadi itu sangat mustahil," katanya.

Sementara itu, Dzulkarnain ketika ditemui selepas pertemuan itu mendakwa, ketiga-tiga surat tunjuk sebab berkenaan dihantar ke Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Merchant Square, Tropicana, Petaling Jaya sedangkan pejabat operasi akhbarnya di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

"Mungkin (ada kesilapan) dari segi komunikasi sebab pejabat operasi Suara Keadilan terletak di Seksyen 13, Shah Alam dan surat itu dihantar ke ibu pejabat parti di Tropicana.

"Kita perlu lihat surat itu dan kita akan patuh serta telah memberi jaminan untuk beri sepenuh kerjasama kepada KDN," katanya.

Beliau berkata, surat jawapan itu akan dihantar esok manakala surat tunjuk sebab berhubung isu Felda akan dihantar pada kadar segera, seboleh mungkin menjelang Rabu ini.

"KSU mahu kami hantar surat ini secepat mungkin, kalau boleh menjelang 30 Jun kerana mereka juga dalam masa yang sama sedang meneliti permohonan kami untuk memperbaharui permit yang akan tamat pada tarikh yang sama, 30 Jun.

"Permohonan untuk memperbaharui permit itu telah kami hantar tiga bulan lepas," tambahnya.

Dzulkarnain juga mendakwa, beliau telah memohon sedikit masa kerana perlu meneliti tiga artikel yang disebut dalam surat tunjuk sebab berkenaan tetapi Mahmood bertegas agar jawapan bagi ketiga-tiga surat diberikan esok.

Beliau juga menarik perhatian berhubung kegagalan syarikat mematuhi peraturan untuk menghantar lapan salinan akhbar kepadanya bagi setiap keluaran, katanya.

40 Orang Ulamak Masuk Umno – ‘Pendustaan berterusan; dulu, kini dan Selamanya’

Posted: 28 Jun 2010 04:55 PM PDT


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita27/ulamakmuda1.gifKUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) merasa sangat dukacita dengan tindakan Umno 'memperolok-olokkan dan menipu' seluruh rakyat dengan isu kononnya '40 orang ulamak muda masuk Umno'.


Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pendedahan beberapa orang ustaz muda lepasan pengajian agama dari Jordan jelas menunjukkan bahawa Umno telah mempersendakan golongan ulamak muda, sehingga kelihatan seolah-olah berlakunya penyerahan borang masuk Umno kepada Dato' Seri Najib Tun Razak.


Menurutnya, salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, yang telah menafikan dakwaan Umno bahawa 40 Ulama muda menyertai Umno Barisan Nasional.

Katanya, Ustaz Hosni dalam kenyataannya yang dipetik Harakahdaily berkata beliau dan rakan-rakannya hanya dimaklumkan dijemput kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

"Hosni berkata, mereka telah dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.


"Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja," jelas Ustaz Mohd Nor memetik kenyataan Hosni.

Oleh itu, kata Ustaz Mohd Nor, terbukti Umno dengan sengaja memasang perangkap terhadap mereka yang tidak tahu menahu adanya majlis penyerahan borang keahlian Umno.

"Kami (DPPNT) merasa dukacita kerana Umno sanggup memperdaya golongan agama demi memperkukuhkan perjuangan sesat Umno,

"kami juga menyelar kenyataan Datuk Abdullah Mat Zin yang menyokong kemasukan kononnya 40 orang ulama muda ke dalam Umno yang dibuatnya semalam(27 Jun 2010) di Besut yang disiarkan dalam portal Bernama,"tegasnya ketika dihubungi Buletinonline

Katanya, kenyataan Abdullah memperlihatkan kebodohan beliau yang 'tanpa usul periksa', sentiasa 'rela' dipergunakan oleh Umno untuk menghalalkan perjuangan batilnya.

Justeru, beliau menyeru beberapa kerat 'ulama muda' yang tersalah masuk Umno agar membuat pengisytiharan keluar semula dari Umno dan menyertai perjuangan PAS untuk mewujudkan negara yang adil dan berkebajikan terhadap rakyat seluruhnya.

Katanya, kami juga ingin mengingatkan rakyat seluruhnya khususnya bagi negeri Terengganu bahawa kalaulah terhadap ulama pun mereka boleh berbohong, apa lah sangat dengan kita rakyat awam negeri Terengganu.

"Insiden tersebut menjadi bukti yang sangat jelas bahawa memang Umno merupakan parti bohong dulu, kini dan selamanya,"kata Ustaz Mohd Nor

Shaziman: Parlimen tidak akan dipindahkan

Posted: 28 Jun 2010 04:50 PM PDT

Hazlan Zakaria

Menteri Kerja Raya Shaziman Abu Mansor hari ini mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak berniat untuk memindahkan Parlimen ke bangunan baru di Putrajaya.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan menaik taraf bangunan sekarang, dan dalam tempoh berkenaan, Parlimen akan bersidang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Kerajaan mahupun kabinet tidak pernah mengatakan bahawa kita akan memindahkan Parlimen ke Putrajaya. Kita tidak pernah menyatakannya," kata beliau menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dalam ucapan penggulungan kementeriannya.

Jawapan Shaziman itu jelas bercanggah dengan jawatan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pada 9 Jun lalu, yang menyatakan kabinet telah memutuskan untuk membina bangunan baru Parlimen dengan kos RM800 juta.

Kenyataan Mohd Nazri itu telah mencetuskan bantahan orang ramai ekoran nilai sentimental bangunan sedia ada dan juga kerana menggunakan wang pembayar cukai ketika kerajaan sedang cuba meyakinkan mereka supaya menerima pemotongan subsidi.

Shaziman berkata setakat ini, Jabatan Pekerjaan Umum (JKR) telah mencadangkan kepada kabinet supaya kerja pembaikan dijalankan ke atas bangunan sekarang dengan kos RM100 juta.

Katanya, JKR hanya memberitahu kabinet bahawa bangunan Parlimen, 'yang hampir seusia beliau dan mungkin sedikit lebih muda daripada Pokok Sena Mahfuz Omar', perlu diperbaharui, kerana ada beberapa kecacatan struktur.

Menurutnya, kerja menaik taraf yang dicadangkan itu akan memanjangkan usia bangunan Parlimen itu.

"Sama seperti kita, ketika menunjukkan wajah keriput, kita pergi dan melakukan facial (rawatan muka)," kata Shaziman.

Menurutnya, pemindahan sementara Parlimen adalah perlu kerana kerja menaik taraf yang membabitkan penggunaan jentera berat, serta bunyi bising.

PBB tubuh unit siber tangkis pembangkang, blog

Posted: 28 Jun 2010 04:48 PM PDT

BERNAMA



Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah mengambil inisiatif menubuhkan unit siber di bawah Biro Penerangan dan Teknologi Maklumat parti itu bagi menjelaskan isu berkaitan dasar kerajaan, kata Ketua Penerangannya Abdul Aziz Adenan.

Beliau berkata unit itu dikenali Unit Media Baru, akan menangkis dakwaan pembangkang di samping memantau blog dan laman web dengan memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan yang menjejaskan rakyat.

"Kami tidak akan melakukan serangan peribadi tetapi mahu memberikan gambaran lebih jelas mengenai dasar-dasar kerajaan untuk menangkis tuduhan pembangkang," katanya kepada Bernama.

Katanya penubuhan unit itu tepat pada masanya, lebih-lebih lagi selepas permukiman Barisan Nasional (BN) di Taman Negara Mulu di Miri minggu lepas, di mana banyak isu dan masalah dikenal pasti dan dibincangkan sebelum pilihan raya negeri akan datang diadakan.

Mengenai gesaan Presiden PBB dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib, beliau berkata unit itu menyelaraskan tugas utama biro dalam menyelenggara pangkalan data anggota dan menganjurkan latihan komputer untuk membantu menyebarkan fakta yang betul mengenai isu yang diputar-belitkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata timbalan presiden parti Datuk Amar Abang Johari turut menggesa unit siber PBB memantau blog-blog yang antikerajaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Sih Hua Tong berkata pergerakan itu akan terus menggalakkan anggotanya berinteraksi melalui siber termasuk melalui blog untuk "memberikan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku".

Dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu baru-baru ini, SUPP telah menanggung akibat daripada langkah pakatan pembangkang yang menggunakan pendekatan agresif untuk memenangi pilihan raya kecil itu untuk DAP, termasuk memanfaatkan siber.

Bagaimanapun, Sih berkata anggota telah diingatkan agar tidak memutar-belitkan maklumat untuk mendapatkan sokongan siber kerana cara terbaik ialah memberikan penjelasan yang betul mengenai dasar dan program kerajaan bagi membolehkan rakyat mengetahui cerita sebenar di pihak mereka.

Sementara semakin ramai pelawat laman web yang kini tidak lagi mempamerkan sikap antikerajaan yang keterlaluan, beliau berkata anggota Pemuda BN yang mahir internet perlu mensasarkan golongan antikerajaan tegar yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi.


KJ berusaha menangi undi orang muda?

Posted: 28 Jun 2010 04:45 PM PDT

Aidila Razak


ANALISIS BERITA Mei 2010 mungkin merupakan satu bulan yang tenang untuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, sekurang-kurangnya di khalayak ramai, tetapi tidak pula halnya dengan mereka yang mengikuti catatannya di Twitter.

Semasa mengikuti latihan Askar Wataniah, Khairy menghiburkan 8,000 pengikut Twitternya, dengan catatan lucu mengenai latihan ketenteraannya, serta mengenai teman latihannya, Rajah yang berusia 19 tahun.

"Tidak ada politik dalam tentera, dan jika saya dapat tarik pemimpin lain Pemuda, sama ada mereka dari BN, PKR, PAS atau DAP, atau mereka atas pagar untuk menyertai Askar Wataniah sebagai anggota simpanan, itu akan baik untuk negara," kata ahli parlimen yang 34 tahun itu.

Sementara beliau mungkin betul dalam menilai tentera simpanan itu sebagai bebas politik, seseorang itu akan tertanya-tanya jika penglibatannya dalam aktiviti seumpama itu, tidak bermotifkan politik.

Ini termasuk pembabitannya dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia, muncul di muka depan Harper's Bazaar (kanan) dan berlakon dalam projek filem pendek '15Malaysia ', telah menimbulkan pertanyaan: Apakah niat sebenar Khairy?

Mereka yang mengikuti karier Khairy mungkin melihat pendekatan 'budaya pop' yang diambil oleh ahli parlimen MP Rembau itu, dalam percubaannya untuk memposisikan semula dirinya sebagai "radikal moderat".

Mahkamah arah k'jaan dedah perjanjian konsesi air

Posted: 28 Jun 2010 04:40 PM PDT

MALAYSIA KINI



Kerajaan persekutuan mempunyai tujuh hari untuk mendedahkan kandungan laporan audit dan perjanjian konsesi air antara kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan dokumen tersebut - yang diklasifikasikan kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) - diumumkan kepada awam.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail, yang memutuskan bahawa keengganan kerajaan mendedahkan laporan tersebut, tidak mempertimbangkan harapan anggota masyarakat yang terjejas dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, keputusan responden membenarkan penswastaan perkhidmatan air dan peningkatan kadar sewenang-wenangnya, dan pada masa yang sama menggunakan OSA, adalah tidak selari dengan tujuan akta tersebut.

"Ia juga bertentangan dengan prinsip urus tadbir yang baik, akauntabiliti, ketelutsan dan kepentingan rakyat harus didahulukan," katanya dalam hatinya.

Hadhariah memutuskan bahawa oleh kerana kerajaan telah gagal memenuhi prinsip-prinsip tersebut, maka mahkamah terpaksa memerintahkannya untuk berbuat demikian.

Hadhariah membuat keputusan tersebut dalam kes semakan kehakiman yang dikemukakan oleh presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud dan 13 orang lagi, terhadap kementerian Tenaga, Air, dan Telekomunikasi, dan kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan.

Menurut peguam para Plaintif, Ang Heng Leng, ini adalah keputusan penting yang membolehkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah OSA, boleh dicabar demi kepentingan awam dan masyarakat mempunyai hak untuk melihat dokumen tersebut.

Daftar online selesai semua masalah

Posted: 28 Jun 2010 04:38 PM PDT

http://mutaligat.blogspot.com/

Berita Harian hari ini memuatkan berita bahawa nisbah kaum yang mendaftar sebagai pemilih baru 1:40 antara Melayu dan Bukan Melayu memang sesuatu yang tidak memelikkan.

Ini kerana pemuda dan pemudi Melayu memang tidak mengambil pusing tentang kepentingan mendaftar sebagai Pemilih. Mereka leka dengan hiburan dan keseronokan yang ditaja digalakkan oleh kerajaan BN sendiri.

Selain itu ramai remaja dan pemuda melayu yang menjadi mat dan minah rempit juga ramai yang mendiami Pusar Serenti dan terjebak dengan dadah.

Ini berbeza dengan pemuda-pemudi bukan Melayu yang sedar betapa pentingnya mendaftar sebagai pemilih. Mereka tahu dan sedar impak dan kesannya mendaftar sebagai pemilih sebab itu mereka segera mendaftar sebagai pemilih apabila umur mereka mencapai 21 tahun.

Bagi blog ini hanya satu sahaja cara untuk mengatasi masalah ini iaitu SPR diberi kuasa untuk mendaftar pemilih secara automatik di mana pangkalan data mengenai semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun boleh diperolehi terus dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Masalahnya sekarang kita berasa hairan dan pelik mengapa kerajaan tidak mahu memberikan kuasa kepada SPR dan JPN untuk menjalankan pendaftaran secara automatik seperti yang telah lama dituntut oleh BERSIH dan Pakatan Rakyat

Tambah 1,000 Pasti lagi pada masa depan

Posted: 28 Jun 2010 04:37 PM PDT

Mohd Sabri Said


KEPALA BATAS: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani mahu Pasti dikembangkan menjadi 1,000 buah lagi pada masa depan berbanding hari ini yang mencecah 1,000 buah di seluruh negara termasuk Sabah.

Justeru itu, beliau berharap semua jentera Pasti negeri serta guru-guru supaya memastikan pusat asuhan itu terus matang dan cemerlang pada tahun-tahun akan datang.

Beliau juga berkata, Sukan Pasti Malaysia yang diadakan setiap tahun mulai tahun 2005 berjaya membuka mata masyarakat.

Ini, katanya kerana melalui sukan itu masyarakat tahu bahawa Pasti bukan sahaja mengajar Al-Quran dan pembelajaran awalan Islam lain tetapi mengambil berat soal kemahiran permainan sukan seperti bola sepak dan bola jaring sejak kecil lagi.

Kehadiran Pasti, tambahnya, di tengah masyarakat kini kian menyerlah bukan kepada masyarakat Islam sahaja bahkan di kalangan masyarakat bukan Islam.

"Inilah nilai Pasti sejak ditubuhkan 20 tahun lalu di mana kemunculannya di tengah masyarakat berjaya mengubah senario politik dan anggapan Pasti semata-mata mengajar Islam dengan membelakangkan sebarang bentuk kesukanan terutamanya bola sepak yang menjadi sukan kegemaran rakyat negara ini," jelasnya ketika merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan Pasti Malaysia 2010 di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini petang semalam.

Hadir sama menyaksikan pesta sukan kali keenam itu ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Pengarah Pasti negeri, Mohd Asri Harun, Ketua Majlis Guru Pasti Malaysia, Puan Saadiah Abu Bakar serta kepimpinan Pasti yang turut memberikan sokongan padu kepada pasukan yang bertanding.

Terengganu bakal menjadi tuan rumah pesta sukan itu pada tahun depan.

Sementara itu, pasukan bola sepak Selangor sekali lagi menunjukkan taring apabila berjaya mengekalkan kejuaraan apabilan mengalahkan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir.

Pasukan merah kuning itu nyata gah di padang kerana sekaligus memenangi ketogari penjaring terbanyak, Adik Lokman Hakim dan pemain terbaik, Mohd Fakrulrazi Ahmad Shamsuri.

Piala kemenangan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Azrin Abdul Majid kepada semua pemain, juru latih dan ketua kontinjen Selangor.

Pasukan Perak menduduki tempat ketiga mengalahkan Terengganu dengan lambungan syiling apabila kedua-dua pasukan berkesudahan seri 7-7.

Dalam acara bola jaring pula, pasukan Terengganu menang besar mengalahkan Kedah dengan jaringan 10-1 bagi memastikan pasukan mereka paling hebat berbanding kontinjen lain.

Tempat ketiga Selangor yang mengalahkan pasukan tuan rumah juga dengan jaringan besar 12-1.

Bagi ketogari bola jaring, Adik Siti Ainun Majah Zulkifli berjaya menjadi penjaring terbanyak dengan 25 gol manakala Adik Adlin Aqilah Kamarulhisyam mendapat anugerah pemain terbaik.

Sebanyak 13 buah negeri mengambil bahagian iaitu Melaka, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

Tiada ahli parlimen PKR cuba guling Khalid

Posted: 28 Jun 2010 04:32 PM PDT

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa terdapat beberapa ahli parlimen parti itu cuba menggulingkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak berpuas hati dengan cara pentadbirannya.

Beliau berkata, perkara tersebut langsung tidak dimaklumkan kepada beliau untuk dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

"Kedudukan menteri besar memang tak berbangkt. Saya ikuti juga dalam media dan blog tapi saya tidak tahu mengenai perkara ini. Kalau betul-betul ada, takkanlah tidak dibawa kepada saya.

"Kalau nak gugurkan menteri besar (Khalid) mesti dalam makluman saya kerana saya adalah sedikit pengaruh sama ada nak ganti atau tidak. Perkara ini tidak dibangkitkan sama sekali, yang dibangkitkan supaya program kita untuk merakyatkan ekonomi Selangor mencapai matlamat," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Menjelaskan mengenai perletakan jawatan Khalid sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Anwar berkata ianya dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan tugasan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri.

"Tan Sri Khalid terlalu banyak dibebani dengan tanggungjawab seperti menjaga soal pelaburan, diminta untuk menjaga Wilayah termasuk Kampung Baru. Jadi beliau minta untuk melepaskan tugas parti.

"Setelah berbincang, kita minta YB Azmin jaga Selangor dan Datuk Zaid jaga Wilayah.

"Sebab banyak tanggungjawab di negeri ini khususnya, banyak kerja yang dibuat jadi kita pertimbangkan keadaan tersebut dan bagi saya itu tidak ada masalah," katanya lagi.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perkara berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti itu di Shah Alam.

Azmin sebelum ini mengetuai PKR Wilayah Persekutuan dan kekosongan itu akan diambil alih oleh penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.