Nuffnang

Pengikut

Kerabu Bersuara ®

sumber :-

Kerabu Bersuara ®


Catatan Khas 2: Intipati Syarahan Perdana Asia Barat yang Bergolak, Ke Mana Kita.?

Posted: 10 Jan 2017 05:22 AM PST



Catatan Khas 2: Intipati Syarahan Perdana Asia Barat yang Bergolak, Ke Mana Kita.?

Catatan ini adalah sambungan kepada Catatan 1 Muqaddimah semalam.
Diharap semua dapat membacanya dengan teliti dan sabar kerana catatan ini memuatkan 2000 patah perkataan yang diambil daripada bahagian kedua,iaitu 30 minit ucapan Tuan Guru Presiden PAS.

1. Bahagian C: Perkembangan Politik Antarabangsa
Tuan Guru Presiden memulakan ulasan isu Asia Barat ini dengan merujuk kepada kata-kata Norman Dodd, tokoh kewangan yang disiarkan dalam Wall Street Journal pada tahun 1982 bahawa "Amerika sanggup mencetuskan peperangan demi ekonomi sebagaimana Eropah menjana ekonomi melalui Perang Dunia Pertama dan Kedua."

Seterusnya, Tuan Guru Presiden PAS merujuk kepada sebuah artikel tulisan Leftenan Kolonel Ralph Peters, yang diterbitkan dalam Armed Forces Journal pada Jun 2006 bahawa badan penyelidik tentera Amerika sedang menggubal peta baru dunia.
Peta ini dibuat bagi menggantikan peta lama yang dibuat melalui Perjanjian Sykes-Picot dan Perjanjian Laussane.
Perjanjian di Lausanne, Switzerland dahulunya dibuat yang melibatkan tokoh Barat dan juga Kamal Attartuk yang membuat keputusan membubarkan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada 1916 (kini sudah genap 100 tahun).

Selepas itu, Syarif Hussain, Raja Hijjaz (kawasan merangkumi Mekah,Madinah dan Taif) mula mencetuskan pemberontakan dan perang terhadap pemerintahan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Dia mendapat sokongan British melalui Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir, Sir Henry McMahon yang terbukti melalui surat perutusan antara mereka berdua.

Pada masa yang sama, di Riyadh pula Abdul Aziz bin Saud berjaya menggulingkan Ibnu Rasyid, pemerintah di bawah Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Abdul Aziz bin Saud menubuhkan kerajaan baru dengan dokongan Thomas Edward Lawrence (Lawrence of Arabia). Ini sejarah yang perlu diketahui.

Kemudian, berlakulah Perang Dunia Pertama yang melibatkan Turki dan Jerman menentang Rusia dan Eropah.
Di atas semangat kebangsaan Arab, Revolusi Agung Arab, mereka menentang Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Tanpa dinafikan memang wujud kezaliman Kerajaan Uthmaniyyah, tetapi adakah boleh kita menjatuhkan Kerajaan Orang Islam dengan memohon bantuan daripada orang bukan Islam.?

Tuan Guru Presiden PAS membaca firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat 51 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (pendukung,pembimbing,kawan) kamu. Mereka bersahabat antara satu sama lain walaupun berbeza agama. Barangsiapa yang berwalikan mereka akan termasuk dalam kalangan mereka.
Sesungguhnya Allah tidak mengasihi kaum yang zalim."

Akibat berwalak kepada Barat, jatuhlah Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah maka berlakulah peta negeri Arab pada hari ini mengikut Perjanjian Sykes-Picot. Sykes ialah nama diplomat British manakala Picot ialah nama diplomat Perancis.
Apabila Lenin mengalahkan Tsar di Rusia, terdapat dokumen menunjukkan Menteri Luar Rusia juga terlibat dalam Perjanjian Sykes-Picot ini.
Peta negara pada hari ini dibuat berpandukan perjanjian ini.
Syam menjadi Lubnan dan Syria di bawah naungan Perancis.
Iraq, Arab Saudi di bawah naungan Barat.
Negara baru iaitu Jordan ditubuhkan.
Perjanjian Balfour pula dibuat bagi menubuhkan negara Israel.
Pengaruh Perjanjian Sykes-Picot ini melarat sehingga ke Asia Tenggara.
Berlakunya pembahagian seperti Malaysia di bawah British, Indonesia di bawah Belanda, Kemboja di bawah Perancis, Filipina di bawah Sepanyol.

Badan penyelidik Tentera Amerika mencadangkan agar peta berpandukan Perjanjian Sykes-Picot ini perlu diubah.
Pada tahun 2006, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice telah mendedahkan dalam satu kenyataan di Tel Aviv, Israel bahawa adanya Agenda Asia Barat yang baru ("New Middle East") untuk memecahkan semula negara di Asia Barat termasuklah Asia Tengah, Turki, Afghanistan, Pakistan dan mungkin juga Asia Tenggara ada termasuk juga.

Peta baru ini adalah seperti berikut;

a) Algeria akan dipecah kepada dua- bangsa Arab dan Barbar
b) Libya akan dipecah kepada tiga- ikut zaman Rom dulu
c) Mesir akan dipecah kepada tiga- bangsa Arab, Selatan Mesir dan Kristian Koptik
d) Sudan akan dipecah kepada dua- bangsa Afrika dan Arab
e) Arab Saudi akan dipecah kepada tiga- Riyadh, Kota Suci Mekah & Madinah, dan Syiah Ismailiyyah di Selatan Saudi yang bergabung dengan Syiah Houthi Yaman.
f) Yaman akan dipecah kepada dua- Yaman Utara dan Yaman Selatan
g) Irag dipecah kepada empat- Syiah, Sunni, Kurdish dan Torkuman
h) Syria dipecah kepada dua- Syiah Alawi dan Sunni
i) Lubnan dipecah kepada tiga- Sunni, Syiah dan Kristian
j) Turki akan dipecah kepada dua- Bangsa Turki dan Kurdish
k) Iran akan dipecah kepada dua- Bangsa Parsi dan Pashtun

Inilah peta baru yang dirangka oleh mereka dengan nama peta berdarah (Blood Borders) yang memerlukan pertumpahan darah berlaku seperti Perang Dunia Pertama dahulu atas nama semangat perkauman dan mazhab.

Beberapa tokoh Amerika termasuklah Joe Biden, Naib Presiden US membuat kenyataan bahawa Amerika sedia menolong Sunni bagi melawan Syiah.
Dimomokkan Iran adalah ancaman, bukannya Israel.
Iran dikatakan akan menubuhkan Negara Syiah yang bermula daripada Bahrain sehingga Yaman.
Tuan Guru Presiden PAS berpandangan adalah bodoh sekiranya Iran mahu melakukan sedemikian kerana penganut Syiah hanyalah 10% sahaja daripada 1.3 billion ummat Islam. Ia bagaikan seperti membunuh diri mereka sendiri.

Namun, malangnya orang Arab sendiri yang menjadi bodoh kerana menari mengikut gendang yang dipalu oleh kuasa Barat.
Agenda pertama mereka, memecahkan Lubnan.
Krisis Perang Lubnan sudah berlaku dahulu bagi menjayakan agenda mereka memecahkan negara tersebut kepada Sunni, Syiah dan Kristian.

Almarhum Ustaz Fathi Yakan, sudah tahu mengenai agenda Barat ini. Beliau mengambil langkah bertahalluf dengan kumpulan Syiah di Selatan Lubnan. Malangnya, beberapa tokoh ikhwan terikut dengan agenda Barat sehingga menyebabkan Almarhum Ustaz Fathi Yakan keluar daripada Ikhwan lalu menubuhkan Jabhat al-Amal al-Islami.
3 bulan sebelum Almarhum Ustaz Fathi Yakan meninggal dunia, Tuan Guru Presiden PAS sempat bertemu dengan beliau.
Ramai dalam kalangan kita gagal membaca agenda Barat ini.
Mereka gagal dalam usaha memecahkan Lubnan.

Seterusnya, Iraq dan Syria menjadi sasaran Barat.
Selepas Perang Teluk Pertama, Iraq dipecahkan kepada kelompok Sunni, Syiah dan Kurdistan.
Hari ini, orang Sunni Iraq baru bising atas campurtangan Iran tetapi mereka tidak sedar yang mereka sendiri melakar peta tersebut yang diagendakan oleh Barat.
Demografi Iraq jikalau dicampurkan kesemua Arab, Torkuman dan Kurdish, maka Sunni boleh menjadi majoriti. Namun, orang Arab tidak boleh terima bangsa Kurdish maka Kurdish terasing di utara Iraq dengan pemerintahan sendiri.
Maka, apabila Arab Iraq bergabung, Syiah yang dapat menjadi majoriti. Mengapa mahu bising atas kegagalan mereka sendiri.?

2. Sememangnya tidak dinafikan adanya kelemahan dan kezaliman pemerintah, malangnya Barat menentukan sikap melalui apa yang diatur dengan nama Arab Spring yang bermula pada tahun 2010.
Sekiranya diperhatikan, negara yang menjadi sasaran dibezakan mengikut antara negara yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan Perjanjian Madrid-Oslo.

Perjanjian ini dimeteraikan bagi menyelesaikan masalah Palestin dan Yahudi-Israel yang ditaja oleh Barat dengan kaedah kewujudan 2 negara di Palestin iaitu satu untuk Arab dan satu untuk Yahudi.
Ini akan membuatkan orang Arab akan mengiktiraf kewujudan negara Israel yang merampas tanah Palestin pada tahun 1948.
Banyak pemimpin negara Arab bersetuju dengan perjanjian ini kerana mungkin sebagai tanda mengenang jasa kepada Barat yang memberikan kuasa kepada mereka dahulu.
Kaedah 2 State Solution ini diterima oleh PLO Palestin, tetapi ditolak oleh kesemua gerakan Islam termasuk Hamas,Tanzim Jihad, PAS dan Ikhwanul Muslimin. PAS tetap menganggap Israel adalah negara yang haram.
Malangnya, banyak negara Arab dan negara Islam menerima kaedah 2 State Solution ini termasuklah Malaysia.

Negara yang menolaknya pula ialah Algeria, Libya, Iraq, Yaman, Sudan dan Syria.
Arab Spring dicetuskan bagi mewujudkan demokrasi di negara Arab. Malangnya, mereka hanya menjulang demokrasi di negara yang menolak Perjanjian Madrid-Oslo tetapi pada masa sama mereka menerima diktator di negara yang bersetuju Perjanjian Madrid-Oslo.
Ini mesti kita baca kesemuanya...

3. Pada awal tadi, Tuan Guru Presiden sudah menyebut bahawa Amerika sanggup berperang demi ekonomi. Kepentingan ekonomi adalah pada sumber tenaga petroleum yang banyak di negara Arab termasuk Sudan, Libya, dan juga negeri Islam yang dijajah Soviet dahulu di Asia Tengah.
Demi menguasai kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi ini, mereka perlu menguasai laluan dunia iaitu Selat Gibraltar, Babul Mandab (pintu Laut Merah), Selat Hormuz, dan termasuk juga Selat Melaka dan Laut China Selatan.

4. Mereka menimbulkan kekacauan di negeri ini termasuk Syria, negara yang bersempadan dengan Israel. Tanpa dinafikan, sememangnya Basyar Assad ini zalim.
Hafiz Assad sama Parti Baath dengan Presiden Iraq, Saddam Hussain tetapi mereka pernah berkrisis.
Dalam Perang Teluk Pertama, Barat menggunakan Saddam Hussain dan Iraq bagi menyerang Iran yang baru sahaja mengalami Revolusi pada tahun 1980.
Semua negara Arab yang bersetuju dengan Perjanjian Madrid-Oslo telah bersama dengan Iraq bagi menyerang Iran.
PAS pada ketika itu bersama Iran. Ramai rakan Arab yang menuduh PAS sudah menjadi Syiah kerana menyokong Iran.
PAS membaca politik, bukan sahaja Kitab.
Syria pada ketika itu tidak bersama dengan Iraq dalam menentang Iran.
Lalu, Syria dijadikan pengkalan bagi kumpulan Palestin yang menolak Perjanjian Madrid-Oslo iaitu Hamas dan Tanzim Jihad.
Dalam Perang Lubnan, persenjataan Israel gagal menghapuskan Hamas, Hizbullah dan Tanzim Jihad.
Israel anggap pengkalan penentangnya yang paling dekat ialah di Syria berbanding yang jauh di Yaman dan Sudan.

5. Tuan Guru Presiden PAS mengingatkan kita agar tidak menjadi Melayu yang mudah lupa. Israel dulu pernah menyerang Pelabuhan Sudan yang dianggap juga pengkalan penentangnya.
Maka, selepas Iraq kacau-bilau, Syria pula dijadikan sasaran kerana ia pengkalan hadapan bagi menghadapi Israel.
Mereka tidak mempedulikan siapa Basyar Assad, yang penting ialah menghapuskan pengkalan hadapan ini.

6. Lebih kurang 6 tahun lalu termasuk media Al Jazeera yang pro-Barat mendedahkan beberapa negara Arab terlibat dalam menghantar Kumpulan Al Qaeda ke Syria bagi mencetuskan kekacauan atas nama menentang kezaliman Basyar Assad.
Almarhum Necmetin Erbakan, pernah ditemui oleh pemimpin gerakan Islam untuk mengisytiharkan revolusi di Syria, namun Almarhum melarangnya kerana nanti akan termasuk dalam strategi Barat musuh Islam.

Tetapi, mereka tetap memilih cara revolusi khususnya ketika Arab Spring yang telah berjaya menjatuhkan Ben Ali, Hosni Mubarak dan Ali Abdullah Salleh, lalu dianggap Basyar Assad boleh dijatuhkan dengan kaedah yang serupa.
Kekacauan di Syria lebih ganas atas nama menentang kezaliman. Ianya serupa seperti Perang Dunia Pertama dahulu atas nama menentang kezaliman Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Sedangkan di belakang kita adanya penyakit yang lagi besar daripada kezaliman itu.

7. Sekiranya kita lihat, kawasan yang dikuasai oleh DAESH di Iraq dan Syria adalah kawasan yang penuh dengan sumber minyak dan gas. Wakil Syria di PBB mendedahkan adanya negara Arab yang membeli 60,000 Toyota Hilux untuk dibekalkan kepada DAESH.
Persenjataan kepada mereka ini dibekalkan melalui Turki yang adanya Pengkalan NATO.
Kita perlu sedar bahawa Israel merupakan tonggak yang mempertahankan kepentingan Barat.
Minyak diniagakan oleh kumpulan DAESH yang menguasai kawasan tersebut.
Bukankah ini adanya "batu di sebalik udang", bukan lagi udang di sebalik batu.?

8. Tuan Guru Presiden PAS mengingatkan agar kita faham percaturan Barat ini.
Ianya bukan masalah kaum ataupun mazhab.
Kaum dan mazhab dijadikan sumbu untuk menyalakan api yang mempraktikkan peta yang sedang dilakar oleh Barat.
Malangnya, banyak ulamak dan ustaz kita yang tak baca buku dan artikel politik, hanya lebih kepada Facebook dan Kitab sahaja sehingga tidak boleh membuat penilaian atas apa yang berlaku di Asia Barat.

9. Keadaan sangat menyulitkan bagi menyelesaikan masalah ini. Kita tidak tahu apa hikmah di sebaliknya.?
Namun, ada pengamat politik Islam yang mengatakan Allah menjadikan perempuan yang mengandung itu mengeluarkan darah sebelum melahirkan bayi yang segar. Begitulah juga, kebangkitan Islam yang akan berlaku selepas ini. Mereka hanya mampu merancang, Allah menggagalkan perancangan mereka.
Ada hadis Nabi yang menyebut kadang-kadang Allah tolong agama ini melalui orang jahat.
Dalam sejarah Bani Israel, mereka meninggalkan ajaran Kitab Taurat, membunuh para Nabi dan ulamak, Allah menjatuhkan Bani Israel melalui bala tentera yang bukan Islam.

10. Bukan sahaja Asia Barat yang mahu dibahagikan oleh Barat tetapi termasuk juga Asia Tengah (Turkmenistan, Tajikistan, Uzbekistan) kerana mereka menganggap Rusia sudah lemah.
Mereka mahu mengalahkan Rusia dan China dalam kerakusan bagi menguasai politik dunia.
Kapal Terbang MAS yang ditembak jatuh itu menjadi mangsa dalam krisis di Ukraine. Malaysia laksana pelanduk di tengah gajah yang berperang.
Rusia bertindakbalas terhadap Barat yang menggunakan Ukraine bagi menentangnya.
Panglima Tentera NATO memberikan taklimat mengenai Peta Baru ini, orang Turki pun marah.
Oleh sebab itulah, kini adanya gabungan Turki, Iran dan Rusia.
Ini membuatkan adanya perimbangan dalam percaturan politik Asia Barat. Kumpulan yang ditaja oleh Barat mula mengalami kekalahan di Syria.
Namun, berita ada melaporkan Presiden Obama yang akan berundur ini sempat meluluskan bantuan pelancar roket anti-pesawat kepada kumpulan yang ditajanya di Syria.
Hati-hati, kumpulan ini nanti akan kembali ke negara asal mereka dan meneruskan perjuangan tersebut mengikut kehendak mereka.
Ini adalah bencana lagi kepada negara ummat Islam.

11. Akhirnya, Tuan Guru Presiden PAS menyeru agar kita semua sedar dan insaf atas kekalutan yang berlaku ini adalah petanda dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan bencana. Tidak ada jalan lain bagi menyelamatkan kita melainkan kembali kepada Islam sebenar yang bersumberkan Al Quran, Hadis, pandangan Ulamak muktabar yang bebas daripada pengaruh kuasa politik yang tidak bertanggungjawab.
Beliau turut berpesan agar segala maklumat ini boleh disemak secara ilmiah melalui internet media baru untuk meyakinkan dan menambah kesedaran.

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2017

Surat Mufti Wilayah Kepada Ustaz Zamihan

Posted: 09 Jan 2017 08:38 PM PST



DASAR KETERBUKAAN PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk perbincangan dan diskusi yang boleh membuahkan manfaat kepada umat Islam dan seluruh masyarakat Malaysia secara amnya.

2. Kebelakangan ini, kami mendapati ada beberapa kenyataan daripada Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain berkenaan kami yang seakan tersasar daripada maksud sebenar yang ingin kami nyatakan. Malah, ianya langsung tidak menggambarkan pendirian kami dalam isu-isu tersebut. Sebagai contoh kenyataan bahawa "Mufti mengharamkan untuk membaca Surah al-Fatihah selepas solat" di sini https://goo.gl/RMwQag. Kami dapati, ianya berpunca daripada 2 faktor terbesar:

a. Tidak membaca keseluruhan artikel yang kami keluarkan.
b. Hanya bergantung kepada sebaran di media sosial semata-mata.

Kami akan jawab salahfaham beliau dengan tuntas sebentar lagi di web rasmi.

3. Dengan ini, kami mempersilakan kepada Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain untuk datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi merungkai salahfaham dan isu-isu yang dibangkitkan, yang sedikit sebanyak mencalarkan imej kami selaku Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain boleh menghubungi Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, Penolong Mufti (Istinbat) di talian 03 8870 9118 untuk tujuan temujanji. Pegawai-pegawai di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan amat berbesar hati menerima kehadiran Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain.

4. Tidak ada apa yang kami ingin capai daripada pertemuan ini melainkan keharmonian dan solusi bagi salahfaham ini. Kami amat tidak selesa jika kemelut ini berpanjangan dan mengeruhkan hubungan sesama Muslim. Dalam masa yang sama, kami berpegang kepada prinsip dan paksi kebenaran serta sedia menarik sebarang kenyataan kami sekiranya dapat dibuktikan salah. Kami menjunjung prinsip yang ditegaskan oleh Saidina Umar al-Khattab:

الرجوع إلى الحقّ خير من التمادي في الباطل
Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.

Kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan terus tetap atas asas kebenaran dan tidak ada masalah untuk terus menghormati pandangan yang berbeza atas masalah ijtihad.

5. Akhir sekali, kami dengan rendah diri memohon maaf kepada Sahibul Fadhilah Ustaz Zamihan bin Mat Zain sekiranya terdapat tutur kata kami yang mungkin mengguris hati dan terkasar bahasa. InsyaAllah, kita doakan pertemuan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

*Gambar ini ketika Seminar berkenaan Jihad dalam Islam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada bulan Mac 2015

GOL FAIZ SUBRI MELAWAN HUKUM FiZIK?

Posted: 09 Jan 2017 06:59 PM PST



GOL FAIZ SUBRI MELAWAN HUKUM FiZIK?
Artikel oleh : Ibn Jawi

Sedang menjadi bualan hangat di dada-dada akhbar mengenai kemenangan Faiz Subri pada sebuah anugerah berprestij bola sepak di mana beliau telah memenangi FIFA PUSKAS AWARD #TheBest Goal in 2016. Walaubagaimanapun, dilihat timbul beberapa ulasan yang kurang tepat bagi menerangkan fenomena tendangan ajaib beliau dimana beberapa skrip berita menyebut "Gol Faiz Subri melawan Hukum Fizik". Benarkah begitu?

Sebenarnya, gol ini bukanlah sesuatu yang "Khawariqul 'Adah" (Mencarik Adat) kerana ianya sememangnya mempunyai penjelasan di sebalik Hukum Fizik. Ianya suatu yang tidak bertentangan dengan hukum alam tabii. Ini kerana ianya boleh dihurai melalui Bernoulli's Principle. Menurut Bernoulli's Principle, apabila velocity (halaju) bendalir tinggi, maka pressure (tekanan) menjadi rendah dan apabila velocity (halaju) bendalir rendah, maka pressure (tekanan) menjadi tinggi.

Jika kita lihat pada ulang tayang, Faiz Subri melakukan sepakan dengan menyentuh pada titik bawah sebelah kiri bola (warna hijau pada bola dalam ilustrasi). Ini menyebabkan bola bergerak ke arah pintu gol sambil diiringi putaran (rotation warna merah dalam ilustrasi) yang berlaku pada bola tersebut mengikut paksinya (garis putus-putus dalam ilustrasi). Putaran bola pada paksinya menyebabkan bola bergerak merentasi medium udara dengan perbezaan "velocity" dan "pressure" di kedua-dua sisi bola tersebut. Oleh itu, Magnus Effect akan berlaku apabila sisi "high pressure" akan memberi daya serenjang ke atas sisi "low pressure" sepanjang pergerakan bola ke arah pintu gol lalu membentuk lencongan "ajaib".

Oleh itu, ianya bukanlah sesuatu yang melawan hukum Fizik bahkan sememangnya mengikut hukum Fizik. Ianya bukanlah sesuatu yang di luar adat kebiasaan untuk dilabel sebagai "fenomena" mencarik adat. Maka, gol "ajaib" yang dikatakan sebagai melawan ukum Fizik oleh penyampai berita mungkin hanyalah sekadar "hiperbola" iaitu bahasa kiasan bagi menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud sebenar.

#IlmuTauhid
#IlmuFizik
#IlmuSastera

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT