Selasa, 24 Januari 2017

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO] PAS Alat BN, Bermuka-muka & Buang Masa Pembangkang...

Posted: 23 Jan 2017 11:42 PM PST

Pas hantar 'diplomat' bermanis-manis muka, kata Husam

Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa menyifatkan terdapat dua paksi dalam Pas yang perlu difahami supaya gabungan parti pembangkang tidak membuang masa ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

"Tidak dinafikan ada dua paksi dalam Pas. Bila Pas nak berunding dengan rakan-rakan pembangkang untuk melengahkan mereka, Pas akan hantar Datuk Tuan Ibrahim dan Datuk Mustafa Ali sebagai 'diplomat' untuk bermanis-manis muka, membuang masa pembangkang.


"Tetapi yang memegang keputusan utama adalah komponen pemimpin yang lain. Kalau kita gagal memahami kedudukan ini kita akan diheret," tegasnya ketika slot 'hard talk' yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad di Ampang malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, strategi tiga penjuru boleh digunakan ke atas Pas di Kelantan pada pilihan raya akan datang jika parti tersebut menganggu gabungan pembangkang di luar negeri itu.

"Ada pelbagai cara. Saya melalui Amanah Kelantan menggunakan strategi tiga penjuru Pas ke atas parti itu. Mereka kena ingat strategi yang sama boleh dikenakan terhadap Pas di Kelantan.

"Dengan strategi tiga penjuru, bukan saja Pas akan hilang kerajaan yang satu-satunya Pas ada tetapi InsyaAllah parti yang menjadi alternatif kepada Barisan Nasional di Kelantan adalah Bersatu, Amanah dan Pakatan Harapan.


"Dalam konteks Pas di Kelantan, sokongan utama kepada Pas datang dari saluran 1 tetapi daripada kajian, saya dapati mereka juga paling tinggi menolak kerjasama Pas-Umno. Jadi, jangan terkejut kalau Amanah menang di Kelantan," jelasnya diikuti tepukan gemuruh hadirin di dewan De Palma Hotel Ampang itu.

Mengulas lanjut tentang kewujudan PPBM, Husam dalam slot yang dimoderatorkan pensyarah Dr Maszlee Malik itu berpendapat parti berlogokan bunga raya berkenaan penting dalam menangkis ketakutan orang Melayu.

"Saya sangat menghargai Bersatu kerana membantu menghilangkan kebimbangan orang Melayu jika mereka ingin menukar kerajaan. Tempat Umno itu sudah ada pihak yang datang bersama dalam susunan pembangkang dengan syarat ada sinergi dengan gerakan Datuk Anwar Ibrahim.

"Pembangkang sampai tahap sekarang adalah sebab hasil inisiatif Datuk Anwar Ibrahim dalam menyatukan gerakan-gerakan di luar BN. Peranan Dr Mahathir sangat penting dan kritikal pada masa ini. Bersatu mesti lebih berperanan jika kita ingin berjaya," ujarnya lagi.

Forum tersebut yang mengisi slot dalam Majlis Makan Malam anjuran Amanah Titiwangsa dan Seputeh turut menyaksikan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said serta persembahan muzik kumpulan Tremolo dan Wayfarers.


Salahuddin: Blok ketiga itu alat BN


Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat gabungan beberapa parti yang membentuk "blok ketiga" adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, berkata ia terhasil daripada suatu perancangan sulit dan rapi pihak yang berkenaan selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) kian mendapat sambutan daripada rakyat.

Dalam kenyataannya Salahuddin berkata, disebabkan itu kewujudan blok ketiga itu dijangka boleh memberi sumbangan kepada kemenangan BN.

Justeru, katanya, rakyat mesti diyakinkan bahawa kewujudan blok ketiga terbabit memang perancangan rapi untuk melemahkan pakatan pembangkang.

"AMANAH dan parti rakan dalam HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan blok ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN,"
katanya.

Ketika beberapa parti bergabung dalam HARAPAN, PAS bersama beberapa parti lain membentuk kerjasama berasingan dan menganggap mereka sebagai "blok ketiga".

Ia diwujudkan sebagai satu lagi pilihan kepada pengundi selain BN dan HARAPAN.

BERSATU cuba membawa PAS menyertai HARAPAN namun mereka bertegas menolak kerana enggan bekerjasama dengan AMANAH serta DAP.

Beberapa pihak pula menganggap PAS mengambil sikap begitu kerana mengikut percaturan mereka, parti berkenaan memiliki kelebihan dengan tidak menyertai HARAPAN.

Salahuddin berkata, pada masa sama AMANAH menganggap BERSATU sebagai parti yang boleh diteladani.

Alasannya - parti itu dilihat bersegera memperkukuh posisi mereka bersama HARAPAN untuk "menentang kezaliman BN" yang didakwanya mengalami skandal terbesar ketika ini.

"Rakyat wajib menolak parti politik yang hanya ingin menjadi King Maker dan kelihatan pro-BN.

"Ini adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang,"
katanya.
-mk




VIDEO BERKAITAN











FEATURED ADS



Tiada ulasan: