Sabtu, 7 Januari 2017

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Tumbuk Mata Tunang, Polis Bantuan Didenda RM1,500

Posted: 07 Jan 2017 03:14 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PETALING JAYA: Gara-gara menumbuk mata tunangnya, seorang anggota polis bantuan sebuah universiti awam didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mat Yusof, 33, setelah dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Audrey Anne Chua Wei Lian, 20, dengan cara menumbuk mata sebelah kanan wanita itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 1-2-3, Pangsapuri Lagoon Perdana, Jalan PJS 9/1, Bandar Sunway, di sini pada 4 pagi, 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superitendan V. Nara memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

"Hukuman yang setimpal harus diberikan mengambil kira faktor tertuduh merupakan seorang anggota polis bantuan dan dia seharusnya lebih bijak mengawal emosi," katanya.

Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia masih menanggung dua anak di kampung dan telah insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama. -- Bernama

Fama Jamin Bekalan Sayur, Buah Tidak Terputus Di Kawasan Banjir

Posted: 07 Jan 2017 03:07 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tan Sri Badruddin Amiruldin (kiri) ketika memeriksa ayam daging yang dijual pada program lawatan kerja tinjauan harga dan bekalan di pasar tani Kelana Jaya, hari ini. Turut bersama Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak (kanan).
 
 
PETALING JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan di negeri dilanda banjir seperti Kelantan serta Terengganu tidak akan terputus.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata Fama mempunyai logistik yang mencukupi untuk menyalurkan bekalan dari Cameron Highlands ke negeri-negeri terlibat.

"Fama bekerja sepenuh masa sepanjang musim banjir bagi memastikan rakyat khususnya di Pantai Timur tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan di Pasar Tani Kelana Jaya di sini, Sabtu.

Badruddin berkata meskipun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan berkurangan akibat banjir, beliau memberi jaminan bahawa harga yang dikenakan adalah berpatutan.

"Pengurangan harga lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran semasa itu masih kekal walaupun sekarang musim banjir, kerana pasar tani di seluruh negara memegang konsep susah senang bersama," katanya.

Badruddin berkata Fama juga melaksanakan Program Pasar Tani Khas Musim Banjir supaya pengguna di kawasan dilanda banjir dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan.

Katanya program itu dijalankan sejak semalam di outlet jualan terpilih iaitu di pasar tani, MyFarm Outlet, Pusat Transformasi Luar Bandar, Desaraya, Agrobazar Kedai Rakyat dan My Best Buy Fama di 40 lokasi terpilih di Kelantan dan Terengganu. -- Bernama

KDN Saran Audit Periksa Prestasi Irda

Posted: 07 Jan 2017 03:05 AM PST

Oleh: KATHLEEN ANN KILI 
 
 
Nur Jazlan pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa ribut di Kompleks Tan Sri Rahmat di sini, Sabtu.
 
 
JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyarankan kepada Jabatan Audit Negara untuk menjalankan audit prestasi Lembaga Pembangunan Wilauyah Iskandar (Irda), terutama susulan kelewatan projek pemulihan Sungai Segget.

Timbalan menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ketika ini, jabatan itu hanya menjalankan pemeriksaan terhadap aspek kewangan Irda, walaupun kerajaan menyalurkan berbilion ringgit pelaksanaan projek itu.

"Ketika saya mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Irda melalui proses audit jabatan itu tetapi hanya melibatkan aspek kewangan dan saya anggap ia tidak adil kerana Irda adalah agensi di bawah kendalian kerajaan Pusat yang menerima peruntukan berbilion ringgit.

"Ia diwujudkan untuk merancang, melantik perunding dan kontraktor bagi melaksanakan projek sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan apabila selesai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa ribut di sini, Sabtu.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai menggesa jabatan itu untuk menjalankan audit secara menyeluruh bagi projek Sungai Segget yang dikendalikan Irda.

"Sebagai wakil rakyat, saya dapat lihat adanya kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek itu apabila berlaku 12 kejadian banjir sejak 15 bulan lalu.

Peruntukan untuk fasa satu dan dua projek yang mencecah RM30 juta dan RM40 juta itu telah disalurkan untuk tujuan landskap, sedangkan isu banjir tidak ditangani, malah semakin serius," katanya.

Nur Jazlan berkata, adalah tidak wajar jika Irda menunding jari kepada pihak lain susulan kejadian banjir di sepanjang Jalan Wong Ah Fook sedangkan mereka telah dilantik sebagai agensi profesional untuk meneliti perkara itu.

Irda ditubuhkan sebagai agensi profesional untuk mengambil alih tugasan pihak berkuasa tempatan  bagi memantau projek utama di wilayah Iskandar Malaysia.

"Saya menyokong idea dan projek itu tetapi adalah sesuatu yang mengecewakan untuk mereka menuduh pihak lain sedangkan mereka yang perlu mengambil pelbagai pertimbangan untuk mengendalikan projek itu," tambahnya.

Pelbagai pihak telah mengkritik Irda susulan banjir kilat yang melanda sepanjang Jalan Wong Ah Fook  di mana projek baikpulih sungai berkenaan dijalankan pada 2 Januari lalu susulan hujan berterusan di kawasan itu.

Irda dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa banjir kilat itu bukan kerana limpahan Sungai Segget, sebaliknya kerana saluran air tersumbat dan limpahan dari tapak pembinaan berdekatan Jalan Meldrum dan Jalan Trus di sini.

Penjenayah Parah Ditembak Polis

Posted: 07 Jan 2017 03:00 AM PST

MSTAR ONLINE


 
 
KOTA KINABALU: Seorang penjenayah parah terkena dua das tembakan yang dilepaskan anggota polis dalam satu operasi pencegahan jenayah di Taman Bukit Setia, Sepanggar dekat sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Menggatal yang sedang melakukan operasi di kawasan perumahan itu terserempak dengan sebuah kereta yang dilaporkan terlibat dalam kes samun di Keningau pada Jumaat.

"Apabila dihampiri, polis mendapati ada seorang lelaki di kerusi pemandu sedang bermain telefon bimbit dan meminta suspek keluar daripada kenderaan itu.

"Suspek enggan berbuat demikian menyebabkan polis bertindak memecahkan cermin kereta dan tiba-tiba suspek bertindak agresif dengan mengambil sebilah parang pemotong daging lalu cuba melibas seorang daripada anggota polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, Sabtu.

Beliau berkata bagi mempertahankan diri, polis melepaskan dua das tembakan yang mengenai bahagian ketiak dan tulang rusuk kanan suspek yang berusia 35 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan itu.

Katanya suspek kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan parah akibat terkena tembakan itu namun stabil selepas menerima rawatan.

Chandra berkata siasatan awal mendapati suspek yang baru keluar dari penjara pada Oktober tahun lepas terlibat dalam kira-kira 12 kes samun, pecah rumah dan curi kereta di sekitar Kota Kinabalu sejak awal Disember dan satu kes pecah rumah di Keningau tengah hari Jumaat.

"Kereta yang digunakan suspek juga dilaporkan hilang kira-kira pukul 4 pagi Khamis lepas di Taman View KKIP, Sepanggar.

"Suspek itu juga dipercayai ketua kumpulan jenayah yang dikenali sebagai Geng Saldi dan aktif melakukan jenayah di sekitar Kota Kinabalu," tambahnya.

Beliau berkata pihaknya percaya terdapat beberapa lagi individu yang terlibat dalam kumpulan itu dan pihaknya sedang mengesan saki-baki geng berkenaan.

PAS mendahului usaha membantu mangsa banjir

Posted: 07 Jan 2017 02:57 AM PST

DR RIDUAN MOHAMAD NOR


 

FAJAR awal 2017 dikejutkan dengan banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu, dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pangkalan kepada PAS semenjak dekad 50-an. Hujan yang mencurah-curah semenjak hujung Disember 2016 akhirnya menakung air sehingga beberapa daerah terkesan teruk dengan banjir awal tahun. Rantau Panjang, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh antara daerah yang ditenggelami air di Kelantan. Manakala Besut, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu terpaksa memindahkan ribuan mangsa banjir ke tempat pemindahan.

Semenjak hari pertama banjir, PAS melalui Khidmat Malaysia dan rangkaian sivilnya telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu pengemasan rumah mangsa-mangsa banjir. Anggota Jabatan Amal dengan identiti baju merah merun dengan jumlah ribuan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat, disertai oleh ahli-ahli Legislatif PAS.

Benar, banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi, krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat. Semenjak hari pertama yang menyaksikan susun atur plan strategik keselamatan negara yang sangat lemah.

Benar, kenaikan air adalah secara mendadak namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara. Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir.

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah. PAS sendiri sebagai gerakan Islam telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat "tentera merah" atau anggota Unit Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas. Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini. Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga di setiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat.

Setiap kali banjir berakhir juga, petugas-petugas PAS terutama Unit Amal melakukan operasi pembersihan rumah ke rumah, membersihkan masjid, sekolah dan lain-lain lagi. Dakwah bil hal ini berjaya meruntuhkan tembok kaca antara gerakan Islam dengan masyarakat, terutama penyokong Umno BN yang sangat skeptikal dengan perjuangan Islam. Bantuan banjir daripada pintu rumah kepintu rumah juga lebih berkesan berbanding apa yang dibuat oleh pemimpin kerajaan yang mengerah rakyat berhimpun untuk mengagihkan bantuan. Rakyat menjadi muak dengan majlis propaganda politik pemerintah walhal nilai bantuan adalah amat kecil.

Dalam kesungguhan pesta membantu bencana banjir ini juga, pelbagai NGO berada di barisan hadapan membantu rakyat Kelantan dan Terengganu. Antaranya Muslim Care Malaysia yang menggerakkan aset mereka seperti bot-bot, kenderaan pacuan empat roda. Juga mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir walau tanpa suluhan lensa publisiti. Juga NGO seperti KAMI, Papisma, Pertubuhan Nisa', Pertubuhan Asatizah, dan lain-lain lagi. - HARAKAHDAILY 





Janji projek tebatan banjir sejak berpuluh tahun

Posted: 07 Jan 2017 02:55 AM PST

ASLANI M 


 

KOTA BHARU: Sebelum ini sudah dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan Thailand bagi  membina projek tebatan banjir di tebing Sungai Golok, yang menjadi sempadan kedua-dua negara.

Bagaimanapun kerajaan Thailand sudah lama melaksanakan keputusan tersebut, sebaliknya Malaysia sehinga sekarang tidak melaksana apa yang diputuskan.

Janji untuk membina tebatan banjir sudah kedengaran sejak berpuluh tahun lepas, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pentadbiran negara.

Dan setiap kali banjir melanda, janji sama dilafazkan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Dan terbaru janji itu diulang pula Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata persetujuan untuk membina tebatan banjir di Sungai Golok di Rantau Panjang sudah lama kedengaran.

"Sudah dipersetujui kedua-dua negara. Thailand pun sudah lama melaksanakan persetujuan tersebut dengan membina benteng di sebelah mereka.

"Namun malangnya kerajaan Malaysia tidak melaksanakan sehingga sekarang. Mungkinkah kerana Kelantan  bukan ditadbir BN.

"Sedangkan sempadan di Sungai Golok merupakan sempadan antara negara dan bukan hanya sempadan antara Thailand dan Kelantan," katanya pada pelancaran Kempen PAS Pilihanku dan penutup Seminar Kekal Kelantan Putik hari ini.

Kelmarin ketika meninjau kawasan dilanda banjir di Rantau Panjang Timbalan Perdana Menteri sekali lagi mengumumkan projek tebatan banjir di Sungai Golok yang dijangka dibina tahun ini.

Banjir yang melanda sempadan Kelantan sejak minggu lepas kini memenuhi pula Pengkalan Kubor, Tumpat disebabkan tiada benteng sungai.

Sedangkan benteng di sebelah Tak Bai, Thailand semakin ditinggikan bagi menghalang limpahan air Sungai Golok. - HARAKAHDAILY

Umno guna parti serpihan hadapi PAS di Kelantan?

Posted: 07 Jan 2017 02:14 AM PST

ASLANI M 


 

KOTA BHARU: Mungkinkah peristiwa 1978 berulang kembali di Kelantan apabila parti serpihan bekerjasama dengan Umno bagi menumbangkan kerajaan PAS?

Ketika itu Berjasa, parti serpihan PAS yang diketuai Datuk Mohamad Nasir  bekerjasama dengan Umno bagi menumbangkan kerajaan negeri.

Suasana serupa juga dilihat boleh berlaku pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-14 apabila serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) beriya-iya benar mahu bertanding di Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kemunculan PAN terutamanya di kawasan marginal PAS sedikit sebanyak boleh menjejaskan usaha bagi mempertahankan kerusi tersebut.

"PAN mungkin bekerjasama dengan Umno untuk tumbangkan kerajaan PAS di Kelantan seperti yang pernah dilakukan Berjasa pada PRU 1978.

"Kemungkinan itu tidak dapat ditolak, boleh jadi Umno taja calon daripada PAN di kawasan yang mereka anggap boleh menang," katanya pada seminar Kekal Kelantan dan Budaya Politik Matang Sejahtera di Putik, hari ini.

Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan pimpinan PAS negeri.

Sempena program itu seramai 700 anak muda menyertai konvoi motosikal bermula dari Masjid As-Salam ke Putik.

Oleh itu Mohd Amar mengajak jentera PAS di semua peringkat melipatgandakan usaha bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.

PAN sebuah parti serpihan ditubuh bekas-bekas pemimpin PAS selepas mereka gagal mempertahankan jawatan pada muktamar PAS di Kuala Selangor pada 2015. Difahamkan ahli parti itu sekarang kira-kira 21,000 orang di seluruh negara.

Ustaz Ahmad pula berkata pendukung PAS di Kelantan hendaklah sama-sama mempertahankan kerajaan negeri di atas satu kesatuan bertindak.

"Kita hendaklah berusaha sedaya mungkin bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang. Sekarang kelihatan muncul satu kesedaran cinta kepada perjuangan.

"Kalau kita sayangkan Kelantan hendaklah kita mempertahankan kerajaan negeri seumpama Rasulullah SAW dan para sahabat mempertahankan Kota  Madinah ketika perang Ahzab," katanya.

Sempena program itu juga dilancar gimik keahlian PAS ke satu juta yang dimiliki Ibrahim Salleh dari Wakaf Bharu, Tumpat. - HARAKAHDAILY 

Himpunan RUU355 satukan umat Islam

Posted: 07 Jan 2017 02:12 AM PST

IZWAN ABDUL HALIM


 
 
SHAH ALAM: Umat Islam Malaysia akan disatukan secara besar-besaran pada Himpunan RUU355 sebagai sokongan kepada usaha meminda akta tersebut di Parlimen pada Mac nanti.

Himpunan yang mensasarkan penyertaan seramai 300,000 hadirin sempena angka 355 pada akta tersebut akan diadakan pada Sabtu, 18 Februari bermula jam 3 petang hingga 11.30 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, himpunan itu juga sebagai solidariti umat Islam terhadap segala isu yang perlu dimuafakati bersama NGO-NGO dan masyarakat dalam konteks negara dan ummah sejagat.

"Supaya kita dapat beri penjelasan terhadap kewajaran untuk akta ini dipinda dan mengapa dengan mengharap sokongan khususnya dari Ahli-ahli Parlimen.

"Juga sebagai suntikan semangat untuk kita menghadapi cabaran dan tentangan dari mereka yang tidak memahami serta dibimbangi mengambil kesempatan mencetuskan suasana tidak harmoni.

"Jadi dengan himpunan ini kita memurnikan suasana dan kurangkan tekanan serta menghilangkan kebimbangan.

"Juga untuk menghilangkan kekeliruan dengan mendidik masyarakat untuk berhimpun secara aman harmoni mengikut peraturan dan akta sedia ada," ujarnya pada sidang media khas di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini.

Menurutnya, himpunan bertemakan 'Syariat Diperkasa, Rakyat Sejahtera' itu mendapat dukungan daripada lebih 200 NGO Islam dalam negara.

Menurutnya, ketika ini pihak beliau sedang menghubungi pihak-pihak terlibat untuk persiapan tempat dan jemputan kepada semua pihak termasuk kalangan bukan Islam.

Pada sidang media itu, beliau juga mengisytiharkan pelancarkan logo khas himpunan dan ungu sebagai warna rasmi himpunan. - HARAKAHDAILY 

Apa yang kukuh dengan ekonomi Malaysia, Irwan?

Posted: 07 Jan 2017 01:57 AM PST

 
Oleh Amran Ahmad


Bagi Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah ekonomi negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah kukuh.Dalilnya, menurut beliau, pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam, setiap kali beliau ke restoran dan pasar raya, rakyat sibuk membeli-belah dan melancong.

Sebaliknya, bagi Mohd Irwan, kemerosotan ekonomi dan nilai ringgit berlaku disebabkan oleh tanggapan yang dicipta oleh sesetengah pihak yang mesti diperbetulkan.

Kata beliau yang juga pengerusi 1MDB, isu seperti skandal firma pelaburan negara itu dan dakwaan pentadbiran Najib, punca kemerosotan mata wang negara hanya semata-mata tanggapan.

Jika benar kata Mohd Irwan, semua itu sekadar tanggapan, rakyat negara ini mampu menarik nafas lega setiap kali membuka dompet.

Ini kerana harga barangan atau perkhidmatan sama ada kekal atau tidak naik.

Rakyat negara ini juga tidak akan mengeluh ketika berbelanja bagi membeli peralatan dan baju sekolah anak-anak dan ketika mengisi petrol mulai 1 Januari lalu.

Jika benar apa yang berlaku hari ini hanya tanggapan, rakyat juga tidak perlu risau mengenai jangkaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa 45,000 hingga 50,000 pekerja akan kehilangan punca pendapatan tahun ini!

Mampukah rakyat senyum?

Mengapa rakyat tidak mampu tersenyum sedangkan apa yang berlaku itu hanya sekadar tanggapan.
Di sebalik semua 'tanggapan' Mohd Irwan ini, denyut nadi rakyat merasai, mengalami, menempuhi serta menyaksikan sebaliknya.

Tiga hari lalu, rakyat dikejutkan dengan nilai ringgit yang menjunam ke paras terendah baru iaitu RM4.5002 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.

Dengan mencecah titik terendah pada nilai RM4.88 berbanding AS$1 pada bulan Januari 1998, BMI Research mengeluarkan amaran bahawa matawang tempatan itu diramalkan jatuh lagi.

Malah ini diperakui oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz yang berkata ringgit hanya akan pulih dalam suku ketiga tahun ini.

Kesan kejatuhan nilai ringgit yang terus merudum turut memberi kesan ke atas harga emas di peringkat tempatan walaupun harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa menurun.

Akibat kejatuhan nilai ringgit, kebanyakan kedai emas di peringkat tempatan tidak dapat menurunkan harga kerana menggunakan dollar Amerika dalam urusan jual beli.

Justeru, jualan komoditi tersebut sebagai barang kemas bakal terjejas sehingga 20 peratus meskipun perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir.

Rakyat terus derita

Jualan barang-barang kemas juga dikatakan akan merosot kerana ramai orang tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan serta musim sesi persekolahan baharu.

Tempias kejatuhan matawang tempatan juga menyebabkan rizab antarabangsa Bank Negara merosot sekitar RM8 bilion setelah kini berlegar-legar di tahap AS$94.6 bilion (RM423.3 bilion) pada 30 Disember yang lalu.

Pada pertengahan bulan lalu, ia berada pada paras AS$96.4 bilion (RM431.4 bilion).

Di samping itu, Bursa Malaysia terus kekal dalam wilayah negatif setelah mengejutkan pasaran dan penganalisis apabila membuka tirai 2017 dengan kedudukan cukup lesu.

Walaupun mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih tinggi, namun, keberterusan bursa tempatan untuk kekal sangat zon tersebut wajar diberikan perhatian.

Prestasi bursa pagi ini didorong momentum belian terhadap saham-saham berwajaran tinggi selain pengaruh harga minyak mentah dalam persekitaran pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada masa yang sama, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) turut menzahirkan kebimbangan pengilang mengenai kesan kenaikan harga gas terkumpul sehingga 22.6 peratus menjelang akhir tahun 2019.

Selain kesan harga terhadap keadaan ekonomi dan pasaran secara lazimnya, kenaikan tersebut akan menjejaskan daya saing industri berbanding pesaing peringkat serantau.

Tambahan pula, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia menunjukkan pengecutan pengeluaran pembuatan selama 21 bulan berturut-turut dengan tiada tanda-tanda pemulihan.

Gajah dan semut

Selain para pengilang, rakyat Malaysia secara umumnya akan terus 'menderita' jika jangkaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjadi kenyataan.

Kata Fomca, rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan harga barang dan perkhidmatan supaya tidak terlalu terkesan dalam kehidupan seharian.

Justeru, apakah tinjauan Mohd Irwan yang mengatakan orang ramai masih mengunjungi pasaraya dan makan di restoran wajar untuk menggambarkan ekonomi Malaysia masih kekal kukuh.

Mungkin Mohd Irwan tidak nampak sebenarnya rakyat yang berada di pusat membeli belah itu mungkin melepak di sana-sini akibat menganggur.

Mungkin juga sekadar berkongsi suasana penghawa dingin atau tandas awam serelah terpaksa an hidup di jalanan meminta makanan dan sedekah.

Mungkin juga ada yang diberhentikan kerja cuba merayau-rayu mencari pekerjaan bagi menyara hidup keluarga mereka.

Sudah sampai masanya bagi Mohd Irwan melihat secara menyeluruh. Janganlah seperti kata pepatah Melayu 'gajah di pelupuk mata tidak terlihat, semut di seberang lautan terlihat jelas'.


AMRAN AHMAD adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini. Beliau pernah berkhidmat di media arus perdana dan kini mula melihat 'gajah' dan 'semut' di sekeliling negara ini.

Naik Pangkat jadi KSU Walau Terlibat Rasuah ?

Posted: 07 Jan 2017 01:54 AM PST


 
Oleh DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR


1. Suatu yang mengejutkan negara tentang sektor Perkhidmatan Awam bilamana SPRM menahan seorang pegawai tinggi kerajaan iaitu Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) yang menyertai perkhidmatan awam selama lebih 33 tahun bermula dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981 dikatakan terlibat dengan rasuah sejak tahun 2010 sedangkan beliau menjawat jawatan sebagai KSU kementerian kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada bulan Oktober tahun 2015.

2. Persoalan yang berbangkit sekarang ialah SPRM mendakwa penglibatan KSU tersebut dengan perbuatan rasuah semenjak tahun 2010 dimana secara tidak langsung menunjukkan 'amalan rasuah' KSU ini berlaku sebelum beliau dilantik sebagai KSU KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah .

Perlantikan beliau sebagai KSU merupakan kenaikan pangkat dari jawatan yang beliau pernah sandang sebelum ini sebagai Timbalan KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pegawai Kewangan Negeri Selangor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya,Pegawai Daerah Sepang,KSU Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani  dan terakhir sebagai KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bermula 16 Okt 2015.

Yang menghairankan saya ialah bagaimana beliau boleh dinaikan pangkat dalam keadaan beliau sudah pun terlibat dengan pengambilan rasuah semenjak tahun 2010?.

3. Apakah sistem saringan dalaman perkhidmatan awam begitu lemah sehingga tiada penapisan terhadap pegawai bermasalah.

"Berdasarkan tangkapan yang dibuat ia menunjukkan SPRM telah lama 'menghidu' kegiatan rasuah KSU tersebut.

Bagi saya ini menunjukan sistem kenaikan pangkat dan pemilihan calon untuk kenaikan pangkat perkhidmatan awam kanan dibuat secara yang sangat tidak bertanggungjawab".

4. Kenaikan pangkat perkhidmatan awam berada dibawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan terletak dibawah pengawalan Jabatan Perdana Menteri yang anggotanya dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.Apa yang berlaku kepada kenaikan pangkat KSU KKLW yang kini ditahan dan disiasat oleh SPRM adalah suatu yang sangat memalukan.

"Amat memalukan apabila seorang yang berjawatan tinggi dikatakan berkelayakkan,berpengalaman dan berkredibiliti menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri".

5. Apakah yang telah Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa lakukan terhadap cadangan kenaikan pangkat terhadap Datuk Mohd Arif Abd Rahman dari jawatan Pegawai Kewangan Negeri kepada TKSU sehingga ke jawatan KSU.

Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan mengumumkan perlantikan Datuk Mohd Arif sebagai KSU KKLW pada 16 Okt 2015 menyatakan yang Datuk Mohd Arif mempunyai kelayakan,pengalaman dan kredibiliti.

Tan Sri Dr Ali Hamsa perlu memberi penjelasan sebelum memberi penghargaan dan kenaikkan pangkat kepada mana-mana pegawai Perkhidmatan Awam.

Menjadi harapan 30 juta orang rakyat Malaysia agar Datuk Mohd Arif Abdul Rahman dihukum dengan setimpalnya atas kesalahan yang sudah lama beliau lakukan serta menyebabkan kerugian besar kepada negara dan rakyat.

"Perbuatan rasuah bukan sahaja bertentangan dengan ajaran agama Islam serta nilai-nilai dan tatasusila murni kemanusiaan, tetapi ia juga boleh menjejaskan imej negara dan integriti Perkhidmatan Awam.

Rasuah dapat dihindarkan jika seseorang itu sentiasa berpegang kepada ajaran agama dan moral serta nilai-nilai murni kemanusiaan, di samping melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan cekap, jujur dan amanah serta tulus ikhlas semata-mata kerana Allah SWT".

Negara yang karam dengan rasuah adalah negara yang malang!

#RasuahAdalahNajis
#RasuahMenjijikkan
#RasuahMusuhNegara
#MalaysiaTanpaRasuah
#PerangiRasuah
#SelamatkanMalaysia.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

Larang budak sekolah buka ruang jenayah

Posted: 07 Jan 2017 01:50 AM PST





 
Oleh Rahman Imuda

Hari ini saya membaca kisah Tan Yao Chun, seorang kanak-kanak berumur 7 tahun yang dibenarkan untuk mendaftarkan diri di sekolah rendah walaupun bergelar stateless.

Dia dilahirkan di Hospital Hatyai, ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya warganegara Myanmar. Ayah Tan gagal untuk mendaftarkan kelahiran anaknya di Kedutaan Malaysia di Thailand. Akibatnya Tan Yao Chun tidak memiliki sijil kelahiran.

Memetik kenyataan Datuk P Kamalanathan selaku timbalan menteri pendidikan, anak-anak stateless kini sudah boleh mendaftarkan diri di sekolah kerajaan dengan syarat salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan warganegara Malaysia dan mendapat sokongan daripada ketua kampung atau wakil.

Cerita seperti ini bukanlah sesuatu yang asing untuk orang yang menghabiskan masa selama hampir 13 tahun belajar di sekolah kerajaan di Sabah seperti saya.

Ramai kawan-kawan saya ketika itu perlu berhenti sekolah kerana menghadapi masalah dokumen pengenalan diri padahal mereka mempunyai potensi dan keinginan untuk belajar.
Bagaimana anak-anak stateless lahir?

Sepanjang tulisan ini saya akan mengambil Sabah sebagai contoh khusus berkenaan isu stateless  agar memudahkan pembaca untuk memahami isu kritikal ini.

Kebanyakkan imigran yang datang ke Sabah secara haram berasal dari negara Indonesia dan Filipina.
Sesetengah daripada mereka memilih untuk berkahwin dengan orang tempatan dan sebahagian lagi lebih selesa untuk berkahwin sesama sendiri.

Apabila anak mereka lahir, pasangan yang salah seorang daripada mereka warganegara Malaysia akan cuba mendaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara, manakala pasangan yang kedua-duanya terdiri daripada rakyat asing berkemungkinan besar tidak akan mengambil apa-apa usaha untuk mendaftarkan kelahiran anak.

Akibat birokrasi yang terlalu tinggi untuk mendaftarkan kelahiran anak-anak yang mempunyai ibu bapa warga asing ini dan ditambah dengan kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa anak-anak ini, maka lahirlah golongan anak-anak stateless.

Terdapat juga kes anak-anak yang dilahirkan di luar negara tetapi tidak didaftarkan di kedutaan Malaysia menyebabkan anak-anak ini menjadi stateless, seperti kes Tan tadi.

Anak-anak stateless dilayan seperti binatang

Secara teknikalnya mereka ini tidak wujud (invisible child) dan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan turut dinafikan.

Mereka tidak mempunyai negara, menetap di Malaysia sebagai 'anak haram' dan jika ingin pulang ke negara asal ibu bapa, mereka juga akan memegang status yang sama di sana.

Saya ingin persoalkan, adakah kerana kesilapan ibu bapa mereka yang datang secara haram di Malaysia menyebabkan anak-anak stateless ini menerima hukuman seteruk ini?

Mereka tidak berdosa, seseorang itu tidak bertanggungjawab tentang bagaimana keadaan kelahirannya ke muka bumi ini.

Akhirnya kebanyakan anak-anak ini tidak dihantar ke sekolah kerajaan atau swasta tetapi digunakan untuk membantu ibu bapa mencari pendapatan.

Seawal usia lima hingga 10 tahun mereka sudah terpaksa membanting tulang melakukan pekerjaan saat anak-anak lain sedang menyiapkan kerja sekolah di rumah.

Kebanyakan anak-anak yang bekerja ini belum lagi mengenal huruf atau nombor dan perlu berhadapan dengan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sekali-sekala hal ini menerbitkan air mata untuk mereka yang mengikuti cerita mereka secara mendalam.
Melalui tekanan-tekanan inilah ada di antara mereka yang silap memilih jalan yang salah dengan terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan berunsur jenayah.

Mereka merasakan diri mereka tidak disayangi dan dipedulikan oleh sesiapa di samping rasa cemburu yang timbul apabila melihat anak-anak lain memiliki kehidupan yang lebih mudah.

Pendidikan adalah hak asasi

Selain daripada makanan, pakaian dan tempat perlindungan, pendidikan juga merupakan hak asasi yang sewajarnya diberikan kepada semua manusia khususnya kanak-kanak tanpa mengira status kewarganegaraan yang dia miliki.

Saya harus memberi kredit kepada Kementerian Pendidikan apabila memberi peluang kepada Tan untuk belajar dan saya juga mencadangkan agar selepas ini anak-anak stateless diberikan ruang yang lebih besar untuk menikmati pendidikan asas.

Saya pernah mengenali seorang pelajar yang cemerlang dalam SPM tetapi gagal melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi akibat memegang status "memohon taraf kewarganegaraan Malaysia".

Ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya merupakan warga Indonesia. Saya fikir sudah masanya Kementerian Pengajian Tinggi membuka ruang untuk 'kes-kes' khas seperti ini.

Sudah pastinya mereka tidak boleh diberikan manfaat yang sama seperti warganegara Malaysia kerana itu adalah sesuatu yang mustahil.

Kita beruntung kerana Malaysia memiliki banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjenama kemanusiaan dan kebajikan.

Seharusnya mereka lebih berfungsi dalam membantu anak-anak stateless di negara sendiri berbanding memberikan tumpuan sepenuhnya pada isu antarabangsa.

Mereka boleh sahaja mewujudkan sekolah untuk memberi pendidikan kepada anak-anak stateless ini (hal ini sudah berlaku) dan memberi bantuan kewangan sekirannya pada masa hadapan anak-anak ini diberi ruang untuk belajar di peringkat pengajian tinggi.

Kesimpulan

Pemerintah harus mengakui mereka tidak dapat membendung kedatangan warga asing secara haram seperti mana yang berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Oleh itu, mereka perlu mencari solusi terbaik untuk menguruskan kedatangan "pelancong-pelancong" ini.
Terutamanya berkaitan anak-anak stateless, jika tidak dapat menguruskan mereka di atas nama pemerintahan, maka urus dan bantulah mereka di atas nama kemanusiaan.

* Rahman Imuda adalah aktivis mahasiswa.

Hannah: Jangan mungkir janji lagi

Posted: 07 Jan 2017 01:40 AM PST

hannah-yeoh-3
OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh menggesa Kerajaan Persekutuan tidak menangguh lama pembinaan Klinik Kesihatan Subang Jaya yang diperjuangkan penduduk selama ini.

Beliau berkata, ia merupakan keperluan asas penduduk yang selama ini terpaksa berkunjung ke klinik kerajaan di Kelana Jaya dan Puchong untuk mendapatkan rawatan asas kesihatan.

"Saya harap sangat Kerajaan Persekutuan ada duit untuk melaksanakan projek ini untuk manfaat rakyat.

hannah-yeoh-5

"Dengan populasi Subang Jaya yang semakin padat, pembinaan klinik kesihatan kerajaan ini adalah sangat diperlukan terutama warga tua dan kanak-kanak," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini,

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan permohonan tukar guna tanah tapak sekolah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan pembinaan klinik, dalam satu surat bertarikh 9 Disember 2016.

Hannah berkata, keputusan KPM itu juga tidak seharusnya dipertikai memandangkan ia digunakan untuk kepentingan umum.

"Saya harap tiada pihak membangkitkan isu ini kerana kesihatan juga sama penting dengan pendidikan," katanya.

Pada 2012, Yeoh dilaporkan berkata, Klinik Kesihatan Subang Jaya dijadual dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dengan kos RM8 juta, namun tiada sebarang perkembangan.

"Jadi, untuk kali ini, kita akan sentiasa memantau dan menyemak perkembangannya bagi memastikan janji mereka ditepati," katanya.-NFN-

Selangor Fruit Valley jana industri agro-pelancongan

Posted: 07 Jan 2017 01:37 AM PST

selangor-fruit
OLEH ERMIZI MUHAMAD

KEPONG : Selangor Fruit Valley (SFV) yang sebelum ini dihentikan operasinya bagi proses pemuliharaan bakal dibuka semula secara rasmi Februari ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pembukaannya sekali gus diyakini mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan industri agro-pelancongan negeri untuk tempoh 2017.

"Apabila ia dibuka Febuari ini, SFV juga menyediakan tempat memproses madu kelulut yang diusahakan usahawan tani muda yang dilatih menerusi program Agrogems (Pertanian Agro Generasi Muda).

"Pengunjung boleh mengambil peluang ini untuk merasai kemanisan dan keaslian produk madu kelulut yang dihasilkan sendiri usahawan tani tempatan," katanya.

SelangorKini dimaklumkan, SFV bakal dirasmikan sendiri Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali penghujung Februari ini.

SFV dikenali masyarakat setempat sebagai dusun buah-buahan yang terletak di Rawang dan menjadi antara pusat tanaman buah-buahan tropika terbesar di Malaysia.

Kawasan berkeluasan 1,000 ekar itu sebelum ini turut mendapat perhatian Negara China untuk mengadakan kerjasama ekonomi dalam bidang pertanian bersama Selangor.

Ia susulan rangka kerja delegasi International Oversea Retrunees Promotion Association of Lianing China yang diberi peluang melihat sendiri perkembangan sektor pertanian negeri di SFV, Ogos lalu.

Pembangunan SFV di kawal selia di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
=EZY

Tiada ulasan: