Nuffnang

Pengikut

DIALOG RAKYAT

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Kutipan GST meningkat, kualiti hidup rakyat menurun

Posted: 24 Jan 2017 03:19 AM PST

USTAZ IDRIS AHMAD 

 


TAHNIAH kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang telah berjaya mengutip RM41.2 bilion untuk tahun 2016, ia melebihi sasaran hanya RM39 bilion. Ini sebagai penanda aras kecekapan pegawai perkhidmatan awam di Malaysia. Pihak Kastam juga mensasarkan kutipan tahun 2017 sebanyak RM40 bilion hingga RM42 bilion.

Pengarahnya, Da­tuk Seri Khazali Ahmad berkata, selain itu, jumlah individu dan syarikat yang berdaftar dengan GST turut meningkat kepada 431,000 sejak pelaksanaan cukai tersebut pada 1 April 2015.

Pada tahun 2015 hasil GST sebanyak RM27.1 ­bilion dalam tempoh 9 bulan.

Pihak Jabatan Kastam hanya melaksanakan polisi kerajaan untuk memastikan bagi membantu kewangan negara, terutama kejatuhan harga petrol di peringkat antarabangsa. Ia menjejas pendapatan negara. Dari setahun ke setahun pendapatan negara melalui Petronas semakin merosot 2014 (RM62 bilion), 2015 (RM44 bilion) dan 2016 (RM31.7 bilion). Maka jalan pintasnya dengan dikenakan GST pada kadar 6%.

Walaupun kerajaan memberi jaminan GST tidak akan berlaku kenaikan harga barang. GST hanya kepada orang kaya, orang miskin tidak kena. GST menstabilkan nilai ringgit. Bebanan  GST akan dibantu dengan BR1M untuk orang miskin. GST akan diguna oleh kerajaan untuk  meningkat kualiti hidup rakyat.

Realitinya semua penyataan di atas hanya ilusi semata-mata. Pendapatan kerajaan semakin bertambah bukan semakin menurun. Misalnya jika dicampur hasil Petronas tahun 2016 sebanyak RM31.7 bilion dan GST pula RM41.2 bilion, berjumlah RM72.9 bilion. Ertinya pendapatan kerajaan semakin bertambah tetapi kenapa kualiti hidup rakyat semakin menurun.

Barang keperluan meningkat. Ikan sardin RM12 sekilo, ikan kembung RM16 sekilo. Daging import daripada RM12 naik RM17 untuk 900 gram. Minyak masak RM13 naik RM21.

Paling sedih sekali kelengkapan hospital tidak mencukupi. Berlaku di depan mata saya sendiri di wad 17 Hospital Taiping, jururawat terpaksa menggunakan tangan untuk bantuan oksigen kepada pesakit kerana tidak cukup alat.

Ke mana wang kita hilang? Cukai dipungut, sepatutnya perlu dikembali kepada rakyat di dalam bentuk perkhidmatan. Rakyat tidak kisah, jika cukai dipungut tetapi mereka mendapat kemudahan yang baik. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

* Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang



Jangan Salahkan PAS Jika Berlaku Pertandingan Tiga Penjuru – Iskandar

Posted: 24 Jan 2017 03:05 AM PST






TUDUHAN terkini dari pemimpin PAN adalah Blok Ketiga merupakan proksi BN untuk melemahkan pembangkang.


Tuduhan ini seperti banyak tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan parti itu adalah meleset. Sekiranya terdapat dua pakatan pembangkang maka serangan terhadap BN akan bertambah.

Dengan dua pakatan pembangkang, lebih banyak pendedahan penyelewengan BN yang akan dapat dilakukan. Maka ini tidak mungkin akan menguatkan BN tetapi di sebaliknya akan melemahkannya.

Sementara tentang pertandingan tiga penjuru semasa pilihan raya umum akan datang, PAS juga tidak seharusnya dipersalahkan jika ia berlaku.

Apabila berlaku tiga penjuru kerana parti Pakatan Harapan memasuki kawasan yang dimenangi oleh PAS atau kawasan yang ditandingi oleh PAS pada pilihan raya umum yang lepas, tidak wajar untuk menuding jari kepada PAS.

Adalah tidak masuk akal PAS yang bersalah apabila parti-parti lain yang mengacau kerusi PAS.

Tambahan pula jika konsep dua penjuru ini tidak lagi dihormati oleh parti-parti lain maka kenapa pula PAS perlu menghormatinya?

Saya menasihatkan pemimpin PAN agar hentikan serangan terhadap PAS tetapi tumpukan perhatian kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Kehadiran PAN telah menimbulkan kecelaruan kepada suasana politik negara.

Oleh itu, memang tepat saranan agar PAN bergabung dengan parti lain tetapi bukan dengan PKR seperti yang disarankan. Saya mencadangkan agar PAN bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan DAP.

Jika ini berlaku maka pemimpin-pemimpin PAN boleh diperuntukkan kerusi-kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor

Fiksyen Sains Dalam Pembelian Senjata China

Posted: 24 Jan 2017 02:46 AM PST


DOKTRIN baru pertahanan China yang diterbitkan pada 26 Mei 2015, antara lain, berkata (dengan izin):

"The world revolution in military affairs (RMA) is proceeding to a new stage. Long-range, precise, smart, stealthy and unmanned weapons and equipment are becoming increasingly sophisticated. Outer space and cyber space have become new commanding heights in strategic competition among all parties."

(Revolusi hal ehwal ketenteraan dunia (RMA) sedang bergerak sebuah pentas baru. Jarak jauh, tepat, pintar, senyap-senyap dan senjata serta kelengkapan tanpa (kawalan) manusia menjadi semakin canggih. Angkasa lepas dan ruang siber telah menjadi menara kawalan baru dalam perlumbaan strategik oleh semua pihak.)

Izinkan saya membawa para pembahas dan pengunjung sekalian ke alam fiksyen sains (science fiction) yang lebih jelas (vivid) daripada dunia nyata (real world).

Apa kata, empat buah kapal operasi persisiran pantai (littoral mission ships/LMS) yang kita beli daripada China Komunis itu sebenarnya apa yang diceritakan di atas?

Contoh kapal perang China yang Malaysia beli


Apa kata ia adalah peralatan tentera jarak jauh yang tepat, pintar dan senyap-senyap (stealthy) milik Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China yang dikawal dari jarak jauh menggunakan satelit di angkasa lepas dan ruang siber?

Ya, empat buah kapal itu dibeli, dibayar dan dimiliki Malaysia serta dikendalikan secara fizikal oleh anggota keselamatan Malaysia tetapi mereka hanyalah robot yang menekan suis (switch) yang sebenarnya di kawal oleh operator siber Tentera Laut PLA.

Ini bukan pun fiksyen sains. Inilah kaedah yang digunakan oleh Amerika untuk mengebom sasaran di merata dunia menggunakan pesawat tanpa juruterbang (drone).

Pewasat drone Amerika boleh terbang beribu batu


Operator sibernya berada di bilik gerakan di ibu pejabat CIA di Langley, Virginia atau di salah sebuah pangkalan Tentera Amerika beribu batu jauhnya dari sasaran.

Apa kata kapal LMS yang Najib beli daripada China itu dipasang dua sistem kawalan (control systems) – satu palsu (dud) untuk dikawal oleh operator kita dan satu lagi tulen dikawal secara siber oleh operator Tentera Laut PLA?

Setiap pergerakan, maklumat dan tindakan LMS itu dikawal dari jarak jauh oleh Tentera Laut PLA yang bertindak sebagai kepal induk (mothership).

Najib dan Hishammudin setuju beli kapal perang littoral China


Apatah lagi China tentunya tidak mahu alat senjata kapal LMS itu digunakan ke atas Tentera Laut PLA yang sedang mengubah peranannya secara agresif daripada pertahanan perairan luar pantai (offshore waters defense) kepada perlindungan lautan terbuka (open seas protection).

Dalam bahasa yang mudah, Tentera Laut PLA tidak lagi mengehadkan operasinya kepada mempertahankan perairan China tetapi menguasai lautan luas.

Maka dalam konteks transformasi ini kita tidak perlu berasa hairan kalau terlihat kapal perang China berlabuh di Sabah, meronda Selat Melaka atau China membina pelabuhan di Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

Dengan berselindung di sebalik rancangan seperti One Belt One Road (Satu Kawasan Satu Laluan) atau OBOR, China sedang memperluaskan kawalan ke atas lalu lintas laut, darat dan udara di Laut China Utara, Laut China Selatan dan Lautan Hindi, khususnya Selat Melaka yang sangat strategik itu.

Tidak menghairankan kalau China bersedia membina dan membiayai pelabuhan dalam (deep water port) berharga berbilion ringgit di Melaka untuk tujuan itu.
Kapal Tentera Laut China kerap kunjungi Malaysia


Hanya orang dungu atau yang menjual kedaulatan negara saja tidak menyedari atau berpura-pura tidak tahu mengapa China begitu bermurah hati "membantu" negara-negara jirannya membangunkan prasarana strategik seperti pembinaan pelabuhan, lebuh raya dan landasan kereta api.

Ini jugalah sebabnya China tiba-tiba begitu berminat dan bermurah hati menawarkan hutang beratus bilion ringgit bagi membina landasan kereta api, pelabuhan dan metropolis mega di Malaysia.

Tidak memeranjatkan langsung jika projek-projek ini dilaksanakan mengikut piawaian dan spesifikasi dwifungsi iaitu untuk kegunaan awam dan tentera.

Misalnya, pelabuhan akan dibina sebegitu rupa bagi menampung kapal dagang dan kapal perang China. Landasan kereta api boleh digunakan untuk pengangkutan awam atau untut mengangkut kelengkapan perang.

Peluru berpandu China guna kereta api


Pemastautin, pekerja, pelajar dan pelancong China pula boleh menjadi saluran mengutip maklumat strategik dan pengintipan.

Beberapa tahun sebelum Jepun menyerang Malaya pada tahun 1941 rakyat tempatan hairan dengan kehadiran ramai penjaja pinggan mangkuk dari Jepun yang masuk ke merata pelosok negeri menjual barang-barang yang orang kampung tak mampu.

Tiba-tiba mereka hilang. Tidak lama selepas itu askar Jepun menyerang dan menawan Tanah Melayu dengan hanya berbasikal. Mereka tahu lebih banyak mengenai jalan dan lorong untuk dilalui daripada askar British yang melarikan diri.

Ingatlah, selagi ada manusia selagi itu ada ancaman perang dan konflik, penaklukan dan penjajahan.

Kalah perang satu hal tetapi menyerahkan kedaulatan negara bulat-bulat kepada kuasa asing kerana berhutang untuk bayar hutang adalah perbuatan khianat dan penderhakaan terhadap negara.


Wallahuaklam.


Seleweng projek ikan RM47.6 juta, 4 pegawai Felda ditahan

Posted: 24 Jan 2017 02:39 AM PST

 
SPRM berkata 4 yang ditahan itu ialah bekas pengarah besar Felda bergelar Datuk, bekas timbalan pengarah Felda (Sumber Strategik), ketua hartanah Felda di London dan pegawai Projek Sturgeon.


sprm_felda_jail_600


PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 4 pegawai kanan Felda termasuk seorang bergelar "Datuk" kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta sejak 2014.

Empat individu itu ialah bekas pengarah besar Felda bergelar Datuk berusia 57 tahun, bekas timbalan pengarah Felda (Sumber Strategik), ketua hartanah Felda di London dan pegawai Projek Sturgeon.

Semua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi dan 1.30 petang hari ini menerusi Op Caviar.

Sumber berkata difahamkan pada Januari 2013, satu mesyuarat diadakan berhubung projek itu, tetapi Lembaga Pengarah meminta salah seorang suspek menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek tersebut untuk dibentangkan.

Bagaimanapun, katanya suspek tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan menubuhkan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014 dan menandatangani perjanjian dengan syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea bernilai RM146.24 juta.

"Siasatan awal SPRM mendapati projek itu tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar Pahang, dan pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea itu seminggu selepas FCSB ditubuhkan," katanya.

Sumber berkata disebabkan unit kewangan juga di bawah pengurusannya, suspek sehingga kini meluluskan kira-kira RM47.6 juta daripada dana Felda bagi membuat pembayaran kepada syarikat Korea itu melalui FCSB tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah sebelum menandatangani perjanjian berkenaan.

"Perjanjian kontrak bagi pelaksanaan projek ikan sturgeon yang ditandatangani itu meliputi pelaksanaan Technology Transfer Service Agreement (TTSA) dan Design and Build Construction Agreement (DBCA).
"Perjanjian itu dipercayai ditandatangani suspek bergelar Datuk dan pengarah FCSB," katanya
.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata pihaknya juga merampas dokumen berhubung projek itu bagi membantu siasatan lanjut.

Semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman esok.

“Datuk dan ayah lahir di Malaya, tapi di usia 12, saya masih IC merah…” – M. Kula Segaran

Posted: 24 Jan 2017 02:34 AM PST


Roketkini.com Foto Ahmad Yusufi


  
IPOH: Isu taraf kewarganegaraan masyarakat India di Malaysia bukanlah perkara baru malah ia telah dibangkitkan banyak kali di Parlimen.

Tanpa penyelesaian menyeluruh, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kula Segaran, perkara itu akan hanya menimbulkan lebih banyak masalah kepada mereka yang masih belum mendapat status kerakyatan.

Tambahan pula, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata bahawa tiada kelonggaran akan diberi kepada kaum India di negara ini untuk memperoleh dokumen pengenalan diri.

"Adakah beliau fikir isu yang menyebabkan penderitaan panjang ini akan selesai jika kerajaan tak beri kelonggaran? Adakah beliau ikhlas untuk memperbetulkan ketidakadilan yang dialami selama ini?" soal Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu.

Menyifatkan kenyataan Zahid itu tidak sensitif, Kula berkata ia hanya membuatkan rakyat tertanya-tanya adakah Timbalan Presiden Umno itu tahu masalah sebenar yang melanda masyarakat India tanpa warganegara tersebut.

"Adalah beliau sedar bahawa ramai yang telah dinafikan untuk mendapat kerakyatan secara tak wajar? Pada umur 12 tahun, saya sendiri bukanlah warganegara dan hanya diberikan IC merah.

"Walaupun, datuk dan ayah saya dilahirkan di Malaya, saya dinafikan kerakyatan. Bagaimana pula dengan yang lain?

"Saya terpaksa berjuang dan diberikan kerakyatan tetapi masih ramai yang lain tak bernasib baik seperti saya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kula, banyak laporan mendedahkan terdapat ratusan ribu kes kerakyatan masyarakat India negara ini dan beliau telah membangkitkan isu ini di Parlimen.

Kenyataan Zahid itu juga jelasnya bercanggah dengan pendirian yang dibuat Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu semasa pelancaran ulang tahun ke-70 MIC.

"Masa itu, Najib kata sudah tiba masanya mereka yang masih belum mendapat kerakyatan mendapatkan hak mereka," jelasnya.

"Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan. Perdana Menteri perlu campur tangan jika Zahid tidak melakukan apa yang sewajarnya dalam menghargai sumbangan dan pengorbanan masyarakat India negara ini," ujar beliau. – Roketkini.com


KATA PEDANG: Annuar Musa patut letak jawatan Pengerusi Mara

Posted: 24 Jan 2017 02:26 AM PST


ISMA WEB
 


 
KELMARIN, Annuar Musa sebagai Pengerusi Mara memberitahu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan dan menggalakkan lepasan UEC memohon pelbagai jurusan ditawarkan, termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

Katanya, walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," kata Annuar.

Macam Pedang tulis semalam, UEC adalah Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

Langsung tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Walaupun, telah berulang kali dijelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengiktiraf sijil ini, ia tetap menjadi salah satu agenda rasis Gabungan Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina  Malaysia (Dong Jiao Zong) dan ahli jawatankuasanya Dong Zong.

Akibat kenyataan Annuar itu pelbagai pihak mengecamnya. Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Perkasa dan Alumni UniKL juga membantah, selain menyifatkan Annuar dan Mara sudah terdesak.

Ketua Penerangan Isma, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Annuar jelas menunjukkan Mara di bawah kepimpinan beliau sudah hilang arah dan hala tuju.

"Mara sudah hilang arah dan hala tuju. Pengiktirafan UEC oleh UniKL adalah tindakan terdesak Mara di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang ternyata gagal. Beliau gagal dalam menangani isu KAFA dan terkait dengan kontroversi pembelian hartanah di Australia," katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, UMNO mungkin akan kehilangan kepercayaan orang Melayu jika langkah itu diteruskan.

"Saya tidak faham apa yang berlaku dengan Mara pada hari ini walhal agensi ini sepatutnya mempunyai pengerusi yang mampu membawa agenda Bumiputera secara berterusan dan relevan dengan perubahan persekitaran," kata pula Yang Dipertua Persatuan Alumni UniKL, Muzammil Arif Kamaruddin.

Kemudian, tiba-tiba sekali lagi semalam tampil Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyelamatkan Annuar dengan menyatakan setakat ini, UniKL tidak berhasrat untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti itu.

Kata Ismail Sabri, walaupun UniKL sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tetapi ia adalah milik penuh Mara yang sehingga kini masih mematuhi falsafah pendidikan negara.

Ismail Sabri sebelum ini pun menyelamatkan air muka Annuar dalam kes Pelaburan Mara dan UniKL menaja pasukan bola sepak Kelantan – The Red Warriors (TRW) – di mana Annuar adalah bekas Presiden Kafa.

Menteri itu mengarahkan Mara dan UniKL menghentikan tajaan itu, selepas mendapati apa yang dikatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) serta pendedahan dokumen tajaan itu, ada kebenaran.

Sebelum ini, tanpa usul periksa, sebaliknya mahu membalas apa yang didedahkan oleh TMJ itu sebagai tidak benar, Annuar menafikan dengan keras penajaan itu dengan berkata, Mara tidak pernah menaja TRW walau sesen pun.

Akhirnya, Annuar mengaku juga mengenai dokumen penajaan yang didedahkan itu.

Itu, adalah apa yang terbongkar dan dapat diketahui umum. Bagaimana, jika ada lagi urusan atau urusniaga yang tersembunyi, sebagaimana isu hartanah Mara di Australia?

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO mungkin tidak sedar apabila dia mengatakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hilang punca apabila mahu mengadakan siri jelajah Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Kata Pedang: Annuar sendiri sudah hilang punca dalam mengendalikan Mara – agensi yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966, hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965. Dan, dia patut letak jawatan.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.


Cadangan jadikan Rukun Negara mukadimah Perlembagaan berbahaya: Timbalan Presiden Isma

Posted: 24 Jan 2017 02:22 AM PST



ISMA WEB



Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI – Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Aminuddin Yahya menyifatkan cadangan beberapa ahli akademik serta aktivis untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan sebagai amat berbahaya.

Ini kerana, katanya, ia bercanggah dengan nilai kemurnian Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Bahkan, dalam Rukun Negara tidak dinyatakan secara jelas tentang kedudukan Islam, sebaliknya hanya menyatakan kepercayaan kepada Tuhan.

Justeru, beliau berkata, cadangan itu akan mengakibatkan Islam diletak sama taraf dengan agama-agama lain yang mana bertentangan dengan Perlembagaan dan menyinggung kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di negara ini.

Selain itu, Rukun Negara juga tidak menyatakan kedudukan orang Melayu yang juga termaktub dalam Perlembagaan.

"Ini akan menghakis kedudukan orang Melayu secara halus. Ia satu usaha yang mesti ditentang dan yang tidak memahami nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan. Cadangan ini merupakan pemikiran liberal yang mahu mencairkan Islam dan kedudukan orang Melayu.

"Kita mohon rakyat dan ahli-ahli Parlimen menolak cadangan ini yang dikatakan akan dilobi kepada ahli-ahli Parlimen sebelum dibentang kepada Parlimen.

"Kita juga menuntut agar cadangan ini dibahas dan dinilai oleh pakar-pakar Perlembagaan terlebih dahulu dan bukan hanya sekelompok kecil manusia," tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sekumpulan ahli akademik dan aktivis telah melancarkan satu inisiatif untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Inisitiaf yang dikenali sebagai Rukun Negara Mukadimmah Perlembagaan (RMP) tersebut bermatlamat antaranya menjadikan dokumen negara itu sebagai garis panduan kepada penggubalan undang-undang negara.

RMP digerakkan oleh lebih 100 individu berpengaruh di kalangan masyarakat awam, termasuk pakar perlembagaan berfikiran liberal, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; ahli akademik, Prof Dr Tan Chong Tin; peguam, Firdaus Husni serta aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar.
Kumpulan itu malah mengalu-alukan rakyat Malaysia supaya tampil menyokongnya menerusi tandatangan selama tiga bulan sehingga 30 April.

Tandatangan yang dikumpulkan akan dipersembahkan kepada persidangan Majlis Raja-Raja dengan harapan raja-raja akan menasihatkan Kabinet dan Parlimen bagi menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan

PKR Tiada Masalah Jika DAP Tuntut Jawatan TPM, Kata Zuraida

Posted: 24 Jan 2017 02:13 AM PST




PKR tidak mempunyai apa-apa masalah sekiranya benar DAP menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri sepertimana yang didedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

LIHAT VIDEO DI SINI

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, ia berdasarkan sikap keterbukaan dan kepelbagaian kaum yang terdapat dalam kalangan blok pembangkang.

"Ya (tiada masalah), atas dasar kita nak menunjukkan kita (meraikan) kepelbagaian kaum," katanya ketika ditanya berkenaan dakwaan bahawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta jawatan TPM daripada Mahathir.

Tambahnya, setakat ini beliau tidak pernah mendengar DAP meminta jawatan tersebut, namun partinya sedia mempertimbangkannya sekiranya parti berasaskan kaum Cina benar-benar mahukan jawatan tersebut.

"Pada prinsipnya saya tidak nampaklah ada permintaan daripada DAP yang dikatakan parti Cina itu meskipun mereka sebenarnya parti berbilang kaum, tidak pernah kita dengar mereka menyatakan hasrat itu.

"Tapi kita sebagai satu pakatan pembangkang yang berbilang kaum, kita alu-alukan kombinasi untuk kepentingan masyarakat berlainan (kaum).

"Kita dalam Pakatan ini memang mempertimbangkan kemungkinan benda-benda macam begini. Tapi mereka (DAP) tidak mintalah," katanya lagi.

Sementara itu, aktivis DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menyokong jika jawatan TPM diberikan kepada calon daripada partinya.

Katanya, sesiapa pun layak dicalonkan TPM asalkan mampu membawa negara ini ke arah yang lebih baik.

"Tidak kiralah siapa yang jadi PM atau TPM yang pentingnya mengikut perlembagaan negara dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja, biarpun ia dari DAP, PKR, Amanah atau Bersatu, bagi kami peluang untuk menyelamatkan negara ini," katanya.


LIHAT VIDEO DI SINI



Pendaftaran MyWatch Dibatalkan RoS

Posted: 24 Jan 2017 02:03 AM PST

 

 


 Jabatan Pendaftaran (RoS) telah membatalkan pendaftaran sebuah pertubuhan yang dinamakan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) berkuat kuasa 14 September 2016.

Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan mendakwa pihaknya sudah membuat rayuan berhubung pembatalan itu lebih sebulan lalu, tetapi belum menerima jawapan RoS.

Pada Rabu lalu, Sanjeevan mendakwa telah pergi ke ibu pejabat RoS di Putrajaya untuk mendapat penjelasan berkenaan status rayuannya.

"Mereka tanya saya kenapa MyWatch masih beroperasi walaupun sudah dibatalkan pendaftarannya. Saya tanya mereka balik, sejak bila dan kenapa ia dibatalkan.

"Kenapa tiada surat rasmi dihantar kepada kami ?", katanya kepada FMT.

Sanjeevan mendakwa pendaftaran pertubuhannya dibuat melalui Twitter dan bukan notis rasmi.

Pengerusi MyWatch itu kini berdepan sekurang-kurangnya 14 pertuduhan jenayah, termasuk pemalsuan, penipuan, fitnah dan pengubahan wang haram.

Kali pertama dia ditahan pada 22 Jun 2016 atas dakwaan memeras ugut "wang perlindungan" RM25,000 daripada seorang pengendali perniagaan nombor ekor.

November tahun lalu, siasatan terhadap Sanjeevan untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram menyebabkan semua kenderaan yang didaftarkan di bawah namanya disita pihak berkuasa

Sanjeevan juga didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, di atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat dengan memperdayakan bahawa dia memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Northumbria dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Pentadbiran dan Pengurusan dari Universiti Camden.

Dia yang merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rembau pernah bertanding jawatan Naib Ketua AMK pusat pada pemilihan PKR 2014, namun tewas.

Mahathir bimbang dengan pengaruh Pas'

Posted: 23 Jan 2017 04:41 PM PST


Mohd Zuhdi Marzuki
Mohd Zuhdi Marzuki
 
SHAH ALAM - Pusat Penyelidikan Pas (PPP) menyifatkan kenyataan Pengerusi Parti Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak memerlukan Pas dalam blok pembangkang menunjukkan 'ketakutan' pihaknya sendiri.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Mahathir sememangnya sengaja mengeluarkan kenyataan ini, tetapi bukan kerana ianya memandang rendah terhadap Pas, sebaliknya beliau bimbang dengan pengaruh Pas.

"Kenyataan seperti ini adalah sebahagian daripada strategi politik beliau.

"Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua Perdana Menteri yang berada di atasnya daripada Tunku Abdul Rahman sehingga Perdana Menteri sekarang.

Kalaupun boleh dikecualikan ialah di zaman Tun Abdul Razak," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Zuhdi berkata demikian, bagi mengulas kenyataan Mahathir di sebuah portal yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu berkata Pas tidak diperlukan.


Katanya lagi, Mahathir yang dikenali sebagai sifat diktator politik inilah yang telah menyebabkan beliau bertindak mencantas semua pimpinan Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang menggugat kedudukannya, daripada Tengku Razaliegh sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Malah beliau juga pimpinan politik yang berani menyanggah Raja-raja Melayu.

"Sekarang beliau berada bersama blok pembangkang, dan dengan sifat diktator politik ini, beliau mahu kesemua parti dan pimpinan pembangkang untuk tunduk kepada gerakan politiknya. Sekarang beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai ketua kepada PPBM, PKR, DAP dan PAN," katanya lagi.

Oleh itu katanya, yang boleh menggugat sikap diktator Mahathir dalam  blok pembangkang ialah Pas, kerana Pas adalah sebuah parti politik yang paling besar selepas Umno.

Katanya lagi, sebab itulah, Mahathir sangat tidak mengalu-alukan Pas, meskipun Muhyiddin Yassin amat mengharapkan hubungan itu.

"Pendirian Pas pula konsisten dalam isu mendaulatkan Syariah Islam dan mempertahankan hak orang Melayu, yang begitu bertentangan dengan strategi Mahathir. Faktor ini juga menjadi faktor tambahan mengapa Mahathir tidak mengalu-alukan hubungan dengan Pas," katanya

Saya mohon maaf, Tok Guru: Suhaizan

Posted: 23 Jan 2017 04:22 PM PST

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - "Saya mohon maaf Tok Guru (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," demikian ujar Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kayat.

Suhaizan berkata, beliau memohon maaf kepada Abdul Hadi kerana gagal sependapat dengan pemimpin itu berhubung kenyataan Pas yang mahu pembangkang yang lain mengikut rentak Pas sekiranya mahu bekerjasama dengan parti itu.

"Saya berbeza pendapat dengan Tok Guru. Kita tidak boleh paksa orang lain menerima cara kita. Kita hanya boleh beri pilihan pada mereka.

"Terpulang pada mereka untuk menerima atau menolaknya. Dari segi menilai pula, biarlah orang lain menilai parti kita dan tidak perlu kita menilai parti kita sendiri bagi pihak mereka," katanya kepada Sinar Online.

Abdul Hadi sebelum ini berkata, mana-mana parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengan Pas, perlu mengikut cara Pas.

Pemimpin nombor satu Pas itu dipetik sebagai berkata, parti Islam itu telah lama bertapak  dan melalui pengalaman jatuh bangun dalam politik, berbanding parti pembangkang lain.

Kerjasama PRU14 Pas, Bersatu belum tamat

Posted: 23 Jan 2017 04:17 PM PST

Pas, Bersatu


SHAH ALAM – Pas mendakwa parti Islam itu masih meneruskan perbincangan dengan Bersatu berhubung kerjasama yang akan dibentuk bagi menghadapi PRU14.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, Pas hanya menolak DAP dan Amanah dalam membentuk kerjasama, namun masih menjalankan perbincangan dengan Bersatu serta PKR.

"Malah malam kelmarin (Sabtu) pun, saya menghadiri Ceramah Perdana Semarak Hijau 3.0 yang diadakan di Hulu Langat bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan kami membincangkan isu bersama iaitu untuk menumbangkan BN pada PRU14 ini.

"Dengan PKR juga ia berjalan seperti biasa dan kami tidak putuskan apa-apa lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan tempoh untuk Pas berbincang dengan gabungan Pakatan Harapan sudah berakhir.

Menurut Mahathir, ini kerana pihaknya telah memberi banyak masa kepada Pas, namun masih tiada sebarang jawapan diterima berhubung kerjasama tersebut.

Menyentuh hal itu, Idris berkata, perbincangan mengenai kerjasama berkenaan masih berjalan sehingga kini namun tidak melibatkan DAP dan Amanah.

"Tun Mahathir bagi masa kepada kita, jadi dia mesti ikut kita," katanya.

Sementara itu, Idris turut memaklumkan bahawa Pas sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku bagi menghadapi PRU14, khususnya tanpa DAP dan juga Amanah.

Katanya, tindakan Pas menolak dua parti berke-naan adalah disebabkan oleh serangan dilakukan mereka terhadap parti Islam itu sebelum ini.


Beri peluang kedua kepada bekas penagih dadah, titah Raja Muda Selangor

Posted: 23 Jan 2017 04:11 PM PST



ISMA WEB




SEPANG – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyeru masyarakat supaya memberi peluang kedua kepada bekas penagih dadah di negara ini agar golongan itu boleh berjaya dan maju dalam bidang yang diceburi.

"Semua orang melakukan kesilapan. Kita tidak harus bermasam muka dengan mereka tetapi menyokong mereka agar menjadi individu yang lebih baik," titah baginda pada program 'Hope & Prosperity' bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini.

Tengku Amir yang juga Presiden Eksekutif SAY mengingatkan bahawa kebanyakan daripada orang yang berjaya akan membuat kesilapan dalam hidup tetapi kuncinya adalah 'untuk terus bangkit semasa anda jatuh'.

"Kita mahu dan perlu belajar bersama-sama. Kita perlu menyokong antara satu sama lain sebagai sebuah komuniti bagi membantu memudahkan peralihan mereka (bekas penagih) selepas keluar dari rumah pemulihan untuk memulakan rutin harian normal," titahnya. 

Pada majlis itu juga, Tengku Amir Shah turut berkenan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Segi Value Holdings Sdn Bhd, Bifrost Group dan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia.

MoU itu bertujuan membantu bekas penagih dadah dengan menyediakan program latihan dan perantisan bagi penghuni yang menamatkan program pemulihan selama dua tahun.

Raja Muda Selangor kemudian dibawa melawat ke pusat latihan kemudahan AirAsia, Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia, dan melihat simulasi penerbangan.

Bertitah kepada pemberita selepas lawatan itu, Tengku Amir berharap lebih banyak syarikat di Selangor akan bekerjasama dengan Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia dan memberi peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah.

Komuniti SAY merupakan organisasi tidak berasaskan keuntungan dan bukan kerajaan, bertujuan untuk mewujudkan masyarakat belia, oleh belia untuk belia. – Bernama

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT