Sabtu, 7 Januari 2017

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Penduduk Sik Terlalu Miskin Sampai Makan Beras Gred Ternakan

Posted: 06 Jan 2017 05:47 PM PST


Kemiskinan tegar masyarakat Melayu di pedalaman Sik, Kedah sudah sampai ke tahap ada yang terpaksa meneruskan hidup dengan bergantung pada makanan yang dikhususkan kepada ternakan.

Biro Media dan Komunikasi Amanah Sik mendedahkan kisah penduduk Kampung Chepir, Ilyas Hassan yang dikatakan kerap membeli beras merah gred paling rendah RM1.20 sekilo di kedai makanan ayam untuk menyara hidup.

Maklumat berkenaan Ilyas yang mengambil upah sebagai pembantu angkat barang untuk peniaga pasar malam di sekitar pekan Sik itu telah disampaikan kepada Amanah Sik oleh pemilik kedai yang menjual makanan dan dedak burung/ayam.

Sehubungan itu, atas dasar peduli rakyat, Ketua Amanah Sik Sulaiman Ibrahim yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan telah menyerahkan sumbangan makanan khas kepada Ilyas bagi membantu meringankan beban warga emas itu.

Daerah Sik yang bersempadan dengan Baling, Kuala Muda, Pendang dan Padang Terap didiami golongan rakyat berpendapatan rendah dengan majoritinya terdiri daripada penoreh getah.

Tinjauan Malaysia Dateline tahun lalu bersama rombongan Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Amanah Nasional diketuai Pengerusinya, Mazlan Aliman mendapati kebanyakan penduduk terbabit hidup dalam keadaan daif tanpa memiliki kediaman yang sempurna.

Hampir 20 keluarga penoreh miskin tegar di Dun Jeniri, Sik yang ditemui ketika itu antaranya di Kampung Pasir Putih, Kampung Padang Pulut, Kampung Sungai Setar dan Kampung Tala mengakui tidak mendapat mana-mana sumbangan berkala daripada pihak berwajib.

Terdapat juga beberapa keluarga terbabit memberitahu bantuan yang mereka perolehi sebelum ini daripada pihak Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberhentikan beberapa tahun lalu tanpa diketahui sebabnya.

Menurut Leman, kisah masyarakat setempat yang tidak cukup makan bukan rekaan dan situasi tersebut boleh dikenalpasti apabila merujuk kepada pekedai runcit sekitar kawasan tersebut.

"Di sini rakyat tidak cukup makan. Saya ronda dari Dun Jeniri ke Dun Belantik, ada kedai runcit kalau kita minta buku hutang, penuh buku hutang itu. Rakyat tiada duit, terpaksa berhutang.

"Ada murid sekolah tidak dapat bayar yuran. Ada penoreh getah yang dapat RM1.70 (sekilogram getah sekerap) kena bahagi dua (dengan pemilik kebun getah), seminggu (dapat) RM80, RM36.

"Nak makan apa (dengan nilai itu) sekarang? Susu anak RM28. Beras RM26. Nak buat rumah, beli bata fikir dulu baik beli susu anak daripada beli bata.

"Saya tahu ada kalangan ahli Pas, Umno tapi yang penting (semua) tetap kena menoreh getah. Hang (Kamu) Pas atau Umno kena menoreh. Kita bercakap soal isi perut, nak bayar yuran sekolah anak," ujarnya dalam satu ceramah di Kampung Landai, awal tahun lalu.

- ataspagar.com

Tiada ulasan: