Sabtu, 7 Januari 2017

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Tanda lahir boleh jadi sel kanser

Posted: 06 Jan 2017 05:45 PM PST

Bayi baru lahir biasanya memiliki tanda lahir di kawasan tertentu pada tubuhnya. Mengikut kepercayaan masyarakat, tanda lahir disebabkan ketika hamil si ibu melihat gerhana bulan, malah ada juga yang mengaitkannya dengan keinginan si ibu pada sesuatu ketika hamil tidak dipenuhi.

Ada juga segelintir masyarakat yang percaya bahawa tanda lahir boleh memberi tuah atau malang kepada seseorang.

Semua itu sekadar mitos kerana tanda lahir sebenarnya bersifat kongenital, iaitu pigmen melanin pada kulit yang tidak sekata hadir ketika lahir atau muncul sejurus selepas kelahiran, biasanya dalam tempoh beberapa bulan.

Boleh menyerupai pelbagai bentuk berwarna kemerahan, kehitaman, atau jingga. Memiliki tanda lahir adalah sesuatu yang normal, namun sehingga kini penyebab wujudnya tanda tersebut pada bayi dari segi saintifik masih belum dapat dipastikan.

Jika dilihat dari segi perubatan, sebahagian tanda lahir adalah disebabkan oleh pembuluh darah yang terkumpul atau tidak tumbuh normal. Ada juga tanda lahir terjadi kerana pigmen tambahan pada kulit.

Menurut Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Yin Yin, pada umumnya, tanda lahir bukanlah sesuatu yang berbahaya, tetapi ada kemungkinan untuk tanda itu bertukar menjadi sel kanser dalam keadaan tertentu.

Ujarnya, terdapat dua jenis tanda lahir, iaitu tanda lahir vaskular (salur darah tidak terbentuk dengan sempurna) dan tanda lahir berpigmen (sel-sel yang menyebabkan pigmen pada kulit berkembang lebih daripada normal).

"Tanda lahir vaskular disebabkan oleh pembuluh darah yang abnormal di bawah kulit, yang mana kadang-kadang sekumpulan saluran darah akan tumbuh bergumpal. Tanda yang timbul biasanya berwarna kemerahan atau ungu. Kehadirannya sering dijumpai pada kawasan wajah, leher dan kepala.

"Tanda lahir vaskular boleh terjadi dalam bentuk salmon patches, hemangiomas atau port wine stains. Rawatan laser adalah antara kaedah yang boleh membantu menghilangkan tanda lahir jenis ini.
"Manakala tanda lahir berpigmen pula akibat daripada kelompok sel berpigmen pada kulit. Tompokan yang timbul biasanya berwarna coklat.

"Ramai yang tidak tahu bahawa tahi lalat adalah sejenis tanda lahir. Selain dalam bentuk tahi lalat, tanda lahir jenis ini juga boleh membentuk tompokan cafe-au-lait (jingga) atau tompokan Mongolian (kelabu kebiruan)," katanya.

Jelas Dr. Yin Yin, meskipun peratusan kes tanda lahir bertukar menjadi kanser sangat kecil, masyarakat masa kini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dalam penjagaan kesihatan anak mereka sejak dari kecil lagi.

Beliau melihat perubahan yang ketara apabila ibu bapa sangat mengambil berat tentang perubahan yang berlaku kepada bayi mereka walaupun hanya sekadar tanda lahir.

Tidak berniat untuk menakutkan ibu bapa, dia menyarankan agar ibu bapa yang mempunyai bayi dengan tanda lahir supaya berjaga-jaga.

Ini kerana, jika berlaku perubahan pada saiz, warna, bentuk atau bengkak seiring dengan peningkatan usia, ada kemungkinan tanda lahir akan bertukar menjadi sel kanser kulit.

Bayi yang lahir dengan saiz tanda lahir sangat besar, juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser kulit.

"Beberapa tahun yang lalu, saya pernah mendapat kes seorang wanita sihat dan aktif dalam lingkungan usia 20-an yang menghidap sawan buat kali pertama.

"Selepas melakukan pemeriksaan rupa-rupanya tahi lalat yang bersaiz separuh daripada belakang badannya adalah penyebab kepada sawan tersebut.

"Wanita tersebut tidak tahu bahawa tanda lahir yang dimiliki telah menjadi sel kanser dan simptom sawan yang dialami adalah kerana sel kansernya telah menyerang bahagian otak.

"Melihat keadaan ini, saya merumuskan agak sukar untuk menjangkakan tempoh masa tanda lahir bertukar menjadi sel kanser.

"Jadi ibu bapa perlu berjaga-jaga dan dapatkan rawatan dengan lebih awal jika menyedari adanya perbezaan pada tanda lahir pada bayi mereka," katanya.

Jika bayi mempunyai perubahan pada tanda lahir mereka, pemeriksaan biopsi perlu dilakukan di mana sel kulit pada tanda lahir akan diambil untuk diuji.

Jika dikesan mempunyai sel kanser, bahagian tersebut akan dibuang dan ada kemungkinan bahagian tersebut ditampal dengan kulit bahagian anggota badan lain.

Katanya, jika tanda lahir yang mahu dibuang bersaiz besar, pembedahan menggantikan kulit baharu perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Parut yang terjadi akan dirawat dengan kaedah lain, contohnya laser, pada masa hadapan.

Namun, pembedahan hanya digalakkan kepada mereka yang berkemungkinan tinggi mendapat kanser atau tanda lahir yang menjejaskan penampilan fizikal seperti pada bahagian muka atau bahagian lain yang mudah kelihatan.

"Jika tanda lahir terletak di kawasan tersorok dan tidak berlaku sebarang perubahan saiz atau warna, ibu bapa tidak perlu risau. Ada kemungkinan tanda lahir akan hilang apabila bayi meningkat dewasa atau warnanya menjadi semakin pudar.

"Pembedahan amat berisiko kepada bayi kerana menggunakan bius sepenuh badan, jadi seeloknya ibu bapa tidak memilih kaedah ini jika tanda lahir pada bayi mereka tidak berbahaya," katanya.

Permata seni yang meninggalkan kita

Posted: 06 Jan 2017 05:41 PM PST

Dunia hiburan tahun 2016 sesekali dirundung hiba apabila ada di antara ahlinya dipanggil Ilahi.Namun benarlah kata pepatah, mereka pergi meninggalkan nama.Walaupun tiada lagi di dunia ini, lakonan, lagu-lagu dan jasa anak-anak seni ini tetap menjadi memori terindah buat peminat-peminatnya.





AL-FATIHAH

15 Mac - Abdul Rahman Othman (Man Dayak) - Pemain Drum Band Rock Lefthanded

18 Mac - Datuk Adnan Abu Hassan - Komposer Dan Pemuzik

19 Mac - Neng Yatimah - Pelakon Veteran

8 April - Mr. Os (Nama Sebenar: Mohd Yusof Abdul Hamid) - Pelawak Dan Pelakon

25 April - Samantha Schubert - Bekas Pertandingan Ratu Miss Malaysia World 1991, Model dan Pelakon

30 Mei – Ghani (Freedom) (Nama Sebenar: Ghani Karim) – Gitaris Kumpulan Freedom

5 Jun – Izaruddin Shariff – Gitaris Kumpulan Crosstown

21 Jun – Linda Helmi – Pelakon

2 Julai – Aziz Singah – Pelakon

7 Julai - Tamam Idris – Pelakon

12 Ogos – Shafiee Jaafar (Piee) – Pelawak Veteran
6 Oktober – Salleh Brothers (Mohammad Salleh Mohammad Deril) – Ahli Kumpulan Nasyid Brothers

7 Oktober – George Abraham – Personaliti Veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM)

2 November – Arab (Syed Azlan Syed Abu Bakar) – Penyanyi, Komposer.

29 Disember: Tan Sri SM Salim - Penyanyi

SM Salim
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menziarahi jenazah Tan Sri SM Salim pada 29 Disember lalu. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR

10 hal tidak mustahil pada 2017

Posted: 06 Jan 2017 05:37 PM PST

Oleh Johardy ibrahim

MINGGU lepas saya seru agar kita tidak bercerita tentang hal-hal klise terutama perihal azam tahun baharu. Maklumlah hari ini kita sambut hari pertama 2017. Tetapi hari ini dan esok kita masih cuti, izinkan anda dihiburkan dengan lawak kering Merrepak iaitu sesuatu yang tidak lucu, melainkan bila anda terasa libas sindiran. 

Peratusan untuk terkena sindiran adalah rendah sekiranya anda membaca Merrepak dengan nada maha serius. Bertenang. Senyum. Lapangkan dada. Merrepak ini ringan dan santai semata-mata.

Jadi saya tidak akan menceritakan kepada anda betapa tahun baharu ini membawa sedikit kemurungan setelah dinasihatkan doktor untuk berehat sebulan kerana masalah kaki. Ini diterjemahkan tiada aktiviti berbasikal dan futsal. Tidak, hal ini saya simpan sendiri.

Juga saya tidak akan ceritakan bagaimana tercuit hati bila mengetahui beberapa sahabat dalam industri, sudah dan akan meninggalkan kerjaya tidak lama lagi. Pergilah kerana kerjaya wartawan ini hanya tawarkan intangible wealthness iaitu kemewahan tidak ketara pada pandangan mata. Tidak mengapa, hanya yang kental berupaya kekal.

Berikut, adalah harapan dan sasaran yang jika tidak sukar sangat dicapai, memadai sekadar angan-angan sahaja:

1 Harga barang tidak melangit

Minggu lepas, berbeli peralatan sekolah anak. Makin terasa peritnya. Belum lagi dikira barangan makanan yang dibeli secara mingguan. Habis semua pasar raya yang isytihar tawar harga rendah dikunjungi. Sama saja. Kalau tak murah pada makanan basah, ia mahal pada makanan tin. Kos kehidupan makin meresahkan. Siapa lagi boleh kita salahkan?

2 Rakan setugas bermasalah

Kadar kesilapan yang dicatat tahun lalu, mendorong markah prestasi menurun. Seharusnya ada kesedaran pada individu berkenaan menginsafi kesilapan dan berusaha memperbaiki prestasi untuk tahun 2017. Tetapi ayat ini pun ulangan dari 2015 dan 2016. Statik. Pasif. Letih kita menanggung tsunami jiwa.

3 Ego

Ego adalah aksesori yang wujud standard dalam setiap individu. Sama macam hazard light dalam kereta, jangan pasang semasa memandu dalam hujan lebat. Ini peraturan sebenar. Hazard light hanya dipasang bila kereta tidak bergerak. Tetapi masih ramai terus memandu dengan memasang lampu hazard. Samalah ramai yang tebal dengan ego. Orang nampak ego anda. Orang nampak bahaya anda walhal ego sepatutnya tidak dinyalakan.

4 Aktif dalam kerja kebajikan

Dalam situasi ekonomi semasa, golongan kurang bernasib baik akan merasa impak paling teruk. Kita iaitu golongan yang sibuk beratur berjam-jam menukar kad ATM baharu minggu lepas, berperanan besar untuk membantu dalam apa cara sekali pun. Antara ciri-ciri manusia bertamadun dan berakhlak ialah kesudian membantu mereka yang memerlukan.

5 Berterima kasih dan memaafkan

Dua perkataan yang paling sukar dan jarang dituturkan ialah 'terima kasih' dan 'saya minta maaf'. Ketahuilah, kedua-dua perkataan ini penuh barakah dan magis. 'Terima kasih' pantas mencetuskan senyuman. 'Saya minta maaf' akan lahirkan kelegaan dalam hati penutur dan orang yang dituturkan. Cubalah.

6 Berkayuh basikal

Sehingga minggu lepas, saya berjaya 'menghasut' seorang lagi sahabat untuk turut serta dalam aktiviti berbasikal. Dalam sehari, tiga kedai basikal kami kunjungi sebelum dia membuat keputusan muktamad. Tidak perlu basikal mahal. Mulakan dengan yang sederhana. Kenali basikal dan gaya kayuhan peribadi anda. Esok-esok upgrade, bila sudah konsisten dan basikal tidak jadi tempat jemuran baju.

7 Kembali ke Anfield

Ok, bagi kaki bola tanamkan azam untuk menonton perlawanan di stadium sebenar kelab pujaan masing-masing. Liverpool musim ini cergas dan mantap di bawah kendalian Jurgen Klopp. Tempah tiket dengan Malaysia Airlines, yang juga syarikat penerbangan global rasmi LFC untuk ke sana. Harga mampu beli!

8 Beli kereta

Anda yang berhajat berkereta baru, sewajarnya bersedia sekarang kerana banyak model baharu telah dan akan dilancarkan ke pasaran Malaysia. Saya hanya mengidamkan sebuah 4x4 terpakai untuk mengangkut basikal ke pinggiran hutan. Maksud saya, carilah kereta yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda, bukan ikut hati anda.

9 Kesihatan

Orang kata bila cecah usia 40 baru nak bertaubat, baru hendak jaga kesihatan. Pengalaman memberitahu bahawa hendak jaga kesihatan, kena mula dari usia awal. Malaslah hendak ceramah. Lu pikir sendirilah.

10 Politik

Harapan ini, termasuk dalam kategori 'mustahil'. Rakyat Malaysia berpolitik 24 jam, dari usia semuda 13 tahun ke 90 tahun. Mereka tidak segan-segan menyuarakan pandangan politik mereka, sama ada berdasarkan kajian teliti atau sekadar membaca tajuk berita sensasi di Facebook atau Twitter. Kalau tidak larat membaca pandangan politik mereka, unfollow sahaja. Merrepak akan kekal apolitical bagi tahun 2017. Selamat Tahun Baru 2017 kepada anda pembaca setia Merrepak. Teruskan senyum-senyum.

2017 rasanya bukan tahun PRU

Posted: 06 Jan 2017 05:34 PM PST

Oleh Timmy Say 

Ringgit menutup 2016 pada kadar RM4.49 kepada AS$1.Felda pula menutup tirai 2016 dengan keputusan penuh kontroversi membeli 37% kepentingan saham Eagle High Plantation pada harga AS$505.4 juta menggunakan FIC Properties Sdn Bhd.

Saham Felda Global Venture pula terus menjunam ke RM1.55, berbanding harga RM4.55 sesaham ketika ia disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bajet 2017 yang menyaksikan pelbagai peruntukan dipotong tidak menampakkan ia sebagai satu bajet pilihan raya.

Kerajaan pula tidak sengaja memberi isyarat 2017 merupakan tahun penuh cabaran dengan "hadiah" kenaikan 20 sen untuk harga diesel dan RON95.

Kebanyakan barangan dan makanan mentah negara diimport. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan inflasi terus kepada harga makanan dan kos sara hidup. Lihatlah betapa ramainya ibu bapa yang merana minggu terakhir sebelum sekolah bermula untuk menyediakan persediaan sekolah anak.

Nampaknya 2017 bukanlah tahun yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Terdapat 3 penentu bagi BN menentukan tarikh PRU14. Pertama ialah nilai ringgit.

Jika nilai ringgit tidak pulih ke tahap menghampiri RM4 kepada AS$1, malah terus jatuh menghampiri RM4.80 kepada AS$1, pilihan raya akan terus ditunda sehingga Parlimen terbubar secara tersendirinya pada 2018.

Kedua, ialah harga minyak sedunia. Sekiranya harga minyak terus naik, dividen Petronas kepada kerajaan akan pulih, maka ketika itu kerajaan berkemampuan untuk membuat bajet pilihan raya bagi 2018 tanpa perlu menaikkan kadar GST.

Dengan adanya dana yang mencukupi, maka penentu ketiga boleh dicipta iaitu "feel-good factor" atau mood positif di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Kejayaan melancarkan MRT bukanlah satu daripada "feel-good factor". Kesan positif MRT pada rakyat akan terbantut selagi rakyat Malaysia tidak dapat mengikis kebergantungan dan tabiat mereka menggunakan kenderaan sendiri.

Perbalahan antara parti pembangkang juga sukar dijadikan penentu untuk pilihan raya diadakan. Ini kerana parti pembangkang berkemungkinan besar akan berkompromi pada saat-saat akhir untuk bersama jika mereka terhidu mood rakyat terhadap kerajaan adalah negatif.

BN pernah melalui kempen "Asal bukan BN" yang menyaksikan rakyat sudi mengundi sesiapa saja asalkan ia bukan calon BN-Umno sehinggakan calon pembangkang yang tidak dikenali juga menang di tempat dirasakan selamat.

Tidak mustahil angin akan bertiup kembali apabila rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang sukar dihadapi.

Nilai statistik dan peratusan ekonomi positif yang dikeluarkan pakar ekonomi kerajaan tidak akan dapat meyakinkan rakyat sekiranya rakyat tidak dapat merasai perkembangan ekonomi dalam kehidupan mereka.

Ekonomi akan menjadi faktor penentu terbesar kemenangan di PRU14.

Kerana itulah, rakyat perlu berhati-hati agar tidak terseret dalam perbalahan antara kaum, agama dan sentimen perbezaan budaya yang sengaja dicipta untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan kehidupan mereka.

Jadikanlah 2017 untuk mengerti indahnya redha Allah

Posted: 06 Jan 2017 05:15 PM PST

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 

SEKALI lagi menjelang tahun baru 2017, saya berada di Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia kerana memenuhi pelbagai program bersama masyarakat. Berpeluanglah saya merasai riuh rendah sambutan tahun baru dengan dentuman bunga api di angkasa raya.

Selesai program di Bandar Baru Utama Batang Kali malam itu, saya dan sahabat amal berkereta untuk pulang ke ibu kota. "Nanti kita bermotor sahaja ya di Kuala Lumpur?" tanya beliau kepada saya bimbangkan kesesakan di tengah bandar raya.
Sebagaimana dijangka, kesesakan di mana-mana sahaja biarpun menjelang tengah malam di tengah-tengah ibu kota. "Ramai orang, sambut tahun baru!" laung beliau ketika di atas motor kepada saya sebaik kami berada di dalam kesesakan.

Itu sekadar gambaran ringkas bagaimana rakyat jelata dilalikan dengan suasana sambutan tahun baru. Terlintas di fikiran, apakah ini suatu ubat pelali buat sementara waktu bagi menyembuhkan buat seketika penyakit resah rakyat oleh pemerintah?

Kelekaan di sana sini menyambut tahun baru menjadikan rakyat lupa sejenak pada cabaran yang telah dimaklumi pada 2017. Mereka lupa sebentar harga-harga minyak mentah di Malaysia naik antara 15 sen dan 20 sen. Mereka lupa seketika kemungkinan kesan rantaian dari kenaikan harga minyak yang telah biasa ditempuh selama ini setiap kali harga minyak berubah.

Benarlah firman Allah S.W.T dalam Surah "Sad" ayat 24 yang menerangkan bagaimana kezaliman yang berleluasa antara manusia akan menjadikan mereka saling menindas antara satu sama yang lain. Sang penguasa yang bertakhta hanya fikir bagaimana kuasa di genggaman tidak terlucut dari tangan. Pelbagai kecaknaan palsu diberikan kepada rakyat agar mereka bahagia dengan mereka biarpun sekadar satu malam sewaktu menyambut tahun baru.

Para peniaga juga tahu datangnya tahun baru bermakna rakyat wajib berbelanja untuk persiapan pelbagai barang baru. Anak-anak yang melangkah ke alam persekolahan misalnya wajib disiapkan peralatan serba baru. Tahun baru samalah musim perayaan. Ia peluang untuk meraih keuntungan berganda saban waktu.

Demikianlah Allah SWT memperingatkan penindasan ini akan terus berlaku hinggalah bangkitnya rakyat dengan semangat keimanan dan terus melakukan amalan soleh. Apakah rakyat Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam telah sedia kembali kepada keimanan dan melazimi amalan soleh dalam kehidupan?

Di sekeliling kita diperlihatkan pertelingkahan sesame sendiri bagai tiada penghujung. Masjid-masjid terus sepi dari diimarahkan. Solat berjemaah menjadi luar biasa bila pimpinan atasan berusaha mengamalkan untuk diikuti sekalian rakyat.

Apakah suasana tahun baru ini sebenarnya memberi satu tanda sebagai muhasabah betapa kita sebenarnya masih malu-malu untuk kembali kepada Islam? Memadailah pelbagai kesempitan dan kesesakan hidup yang kita lalui selama ini.

Allah SWT dan RasulNya telah sejak dari awal merangsang kita untuk kembali kepada keimanan dan ketaqwaan. Janji Allah betapa kita akan bahagia dengan iman dan taqwa di dunia sudah cukup untuk kita bersungguh-sungguh tanpa menantikan janji-janji palsu manusia yang hanya dilafazkan untuk dimungkiri.

Jadikanlah 2017 sebagai kelangsungan usaha untuk kita lebih mengerti indahnya redha Allah dan bukan sekadar difahami sebagai umpanan yang tiada nilai.

Tiada ulasan: