Isnin, 5 Disember 2016

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Zunar Sahut Cabaran IGP Lukis Kartun Donald Duck

Posted: 04 Dec 2016 08:02 PM PST



Pelukis kartun satira politik Zulkiflee Anwar Ulhaque menyahut seruan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mencabarnya menghasilkan beberapa kartun menarik seperti Donald Duck dan bukannya menghina pemimpin negara.

Namun, Zulkiflee, yang lebih dikenali sebagai Zunar, tetap melakarkan kartun berkonsepkan watak-watak Disney itu dengan mesej politik yang tajam.

Lukisan kartun terbarunya Donald Duck dan Mickey Mouse dimuatkan pada laman Facebooknya.

"Jumaat lalu, saya tercari-cari idea untuk melukis, dantiba-tiba ada pula yang mencadangkan saya melukis Donald Duck," kata Zunar memberitahu Malaysiakini, apabila ditanya mengenai inspirasi di sebalik karya seni terbarunya.

"Saya terus capai pen saya dan mula melakar," katanya.

Zunar berkata beliau mahu mengucapkan terima kasih kepada Khalid kerana memberinya "idea yang cemerlang".

"Saya ubah suai sedikit, di Disneyland, ia dinamakan Donald Duck tetapi di Kangkongland, ia dikenali sebagai Donald Dedak," katanya sambil tergelak.

Dedak bermaksud "makanan haiwan", istilah yang sering digunakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk merujuk kepada mereka yang menerima bantuan atau habuan daripada Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya harap Ketua Polis Negara tidak akan tangkap saya kerana mematuhi cadangannya," kata Zunar secara sinis.

Menurutnya, berdasarkan komen yang diterima di laman Facebook, para peminatnya menyukai kartun berkenaan.

Beliau berkata bahawa kartun itu telah dikongsi sebanyak 500 kali dalam masa dua jam sejak ia diterbitkan.

Pada Jumaat lalu, Khalid ketika disoal wartawan sama ada Zunar dibenarkan mempamerkan kartun-kartun kepada awam menasihatkan pelukis kartun satira itumenghasilkan karya-karya yang baik jika mahu berbuat demikian.

Secara berseloroh, Khalid berkata Zunar boleh melukis kartun-kartun seperti "Mcdonalds dan Donald Duck".

Sabtu minggu lalu, Zunar ditahan untuk membantu siasatan berhubung pameran kartun beliau yang diganggu oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno setempat.

Menurut mereka, kartun lakaran Zunar itu menghina Najib dan polis merampas semua kartun yang dipamerkan untuk siasatan.


Nik Abduh Dakwa Calon Perdana Menteri Pakatan Dari DAP

Posted: 04 Dec 2016 03:37 AM PST



KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta umat Islam tidak terpedaya dengan kata-kata penyokong Pakatan Harapan kononnya calon Perdana Menteri Pakatan Harapan jika berjaya memerintah negara adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukan DAP.

Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebaliknya meminta umat Islam Malaysia memerhatikan perkara itu sedalam-dalamnya kerana suasana dan realiti sebenar yang akan berlaku jika Pakatan Harapan memerintah Malaysia bukan seperti didakwa.

"Jika anda berkata, Perdana Menteri akan datang bukanlah daripada DAP, bahkan daripada PKR. Maka DAP tidak boleh berbuat apa-apa ketika laluan pemerkasaan syariah dibuka nanti. Saya berkata, perhatikan apa yang anda hujahkan. Suasana dan realiti di luar adalah sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) ditubuhkan pada tahun lalu bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dibubarkan oleh DAP bagi menyingkirkan PAS daripada gabungan parti pembangkang kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu meminta umat Islam tidak terpedaya dengan dakyah kononnya UMNO berjaya memecahbelahkan PAS dengan parti pembangkang lain menggunakan isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

Beliau turut meminta umat Islam tidak termakan tohmahan kononnya PAS sepatutnya menunggu sehingga kerajaan baru dibentuk bersama Pakatan Harapan yang lebih menjamin keadilan bersama untuk memperkasakan syariat Islam di negara ini.

Beliau sebaliknya meminta umat Islam negara ini bersyukur dengan sokongan UMNO ke atas RUU355 yang merupakan kejayaan bersama umat Islam sambil menerangkan langsung tiada jaminan untuk memperkasakan Islam di Malaysia jika berkerjasama dengan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan.

"Tiada yang rugi selain musuh Islam yang mahukan secara jelas agar Malaysia kekal atau bertambah unsur sekularnya sebagaimana itulah yang disebut secara jelas oleh DAP.

"Jika DAP bermati-matian menolak pemerkasaan hukum syariah , maka apa jaminan DAP boleh bersetuju selepas kemenangan bersama? Adakah kelantangan DAP semasa masih sebagai pembangkang akan bertukar kepada kelembutan selepas memperolehi kuasa?," katanya.

Beliau turut meminta umat Islam memperingati kelantangan dan kelancangan DAP selepas memperoleh kuasa di Pulau Pinang tetapi lencong mempertahan kesalahan sendiri hingga kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS turut menjadi mangsa.

Justeru, katanya, sebenarnya tiada tanda jelas UMNO sedang menipu PAS kerana yang ada adalah sebaliknya apabila UMNO menunjukkan keikhlasan kerana terpaksa `berpeluh' berhadapan rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang mengugut keluar BN jika RUU355 diteruskan yang pastinya tidak menguntungkan UMNO.

"Keyakinan saya ialah, PAS di landasan yang benar ke arah penyatuan umat Islam di atas jalan Islam, syariat Islam dan tali Islam yang kukuh dan sempurna," katanya. -Kedahnews.com


Tiada ulasan: