Khamis, 6 Oktober 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pembongkaran rasuah Jabatan Air Sabah hanya contoh kecil masalah sebenar rasuah negara

Posted: 06 Oct 2016 06:01 AM PDT

rasuah

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Rampasan bernilai RM112 juta melibatkan dakwaan rasuah dua pegawai Jabatan Air Sabah menggegarkan negara apabila gambar barang-barang sita termasuk wang tunai berkotak-kotak menjadi viral di media sosial.

Akhbar-akhbar arus perdana meletakkan berita tersebut di muka hadapan, dengan tajuk huruf besar 'Luar Biasa' beserta gambar wang tunai berkotak-kotak.

Namun bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, meski negara terperanjat dengan rampasan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini, ia masih kecil jika dibanding dengan graviti masalah rasuah yang sedang dihadapi negara.

Menurut beliau, meski kejayaan SPRM itu dilaporkan dengan meluas oleh media massa, kesemuanya turut mengabaikan berita permohonan bantuan Pejabat Peguam Negara Switzerland yang memohon bantuan pihak berkuasa negara dalam siasatan melibatkan penggelapan dana berjumlah US$800 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

"Lebih memeranjatkan, permohonan pihak berkuasa Swiss itu masih belum dilayan selama sembilan bulan, sejak Januari lalu," ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Bagi Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin, adalah tidak cukup untuk sekadar memberkas perasuah di Jabatan Air Sabah sahaja, malah beliau percaya siasatan dan pemberkasan lanjut perlu dibuat di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, bagi membanteras rasuah sektor awam.

"Mereka (yang diberkas SPRM semalam) hanya pengarah dan timbalan pengarah jabatan yang disangka mempunyai peluang lebih rendah untuk mendapatkan kekayaan melalui salah guna kuasa.

"Jika Jabatan Air boleh ada skandal sebesar ini, bagaimana pula dengan jabatan dan agensi kerajaan yang lain yang sentiasa mengeluarkan tender dan konsesi?" soal Chan yang juga Adun Sri Tanjong.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali pula berkata rampasan SPRM di Sabah menggambarkan bagaimana rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kian meruncing.

"Ini adalah mimpi ngeri buat rakyat yang terpaksa bergelut dengan kesempitan hidup sehari-hari, dengan kuasa beli yang amat terhad lebih-lebih lagi setelah polisi-polisi tempang seperti GST.

"Namun saya ingin secara konsisten mengingatkan, skandal 1MDB yang melibatkan 'Malaysian Official 1' sebagai individu terpenting dalam sektor eksekutif di negara ini masih dilihat belum disiasat secara serius," ujarnya.

Menurut beliau lagi, rakyat tidak lupa dengan angka RM2.6 bilion yang dipercayai telah didepositkan ke akaun peribadi Perdana Menteri namun tiada tindakan setimpal diambil berhubung skandal tersebut.

Semalam SPRM merampas sejumlah RM112 juta wang tunai selain sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah dalam kes rasuah melibatkan projek-projek pembinaan infrastruktur bernilai lebih RM3.3 bilion.

Suspek-suspek didakwa memonopoli kesemua projek untuk diserahkan kepada saudara mara. – Roketkini.com


Rafizi Bawa Masuk Pegawai Risikan Amerika Syarikat Bantu Kempen PRU 14

Posted: 06 Oct 2016 05:42 AM PDT




ndi


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dilaporkan telah membawa masuk seorang pegawai risikan daripada Amerika Syarikat untuk bekerja dengan NGO beliau – Invoke – dalam usaha membantu kempen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pegawai risikan yang dimaksudkan itu ialah Andrew Claster, Timbalan Ketua Pegawai Analisis Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.


Claster kini dilaporkan telah menjadi salah seorang sukarelawan Invoke, yang membantu NGO PKR itu dengan program analisis data pengundi.

"Kami menggunakan maklumat yang ada mengenai pengundi untuk mengenal pasti siapa penyokong kami dan siapa yang dapat diyakinkan dan kami akan gunakan sumber-sumber kami sepatutnya," kata Claster kepada Malaysiakini.

Claster adalah Naib Presiden Penn, Schoen & Berland Associates (PSB) yang berkempen untuk pemilihan semula Senator Hillary Rodham Clinton. Sebelum menyertai PSB, Andrew bekerja di Bank Dunia.

Akaun Permata tidak dibentang di pertemuan anjuran Pembantu Rosmah

Posted: 06 Oct 2016 05:30 AM PDT

Permata

Roketkini.com
 


KUALA LUMPUR- Masih wujud beberapa kekaburan mengenai program Permata Negara naungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor walaupun DAP berkunjung ke salah sebuah pusatnya hari ini.

Ia berikutan hasrat wakil-wakil DAP untuk meneliti akaun Permata yang sudah diaudit secara terperinci belum kesampaian berikutan pihak Permata hanya boleh memberi laporan audit itu selepas DAP menulis surat kepada Ketua Audit Negara.

"Kita masih belum dapatkan laporan penuh daripada Jabatan Audit Negara mengenai Yayasan Permata.

"Kita akan menulis surat kepada pihak Audit Negara untuk mendapatkannya dan kita harap selepas itu, Permata dapat menyiarkannya di laman web agar semua pihak termasuk orang awam dapat menelitinya," ujar Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Delegasi DAP berkunjung ke salah sebuah Pusat Anak Permata Negara yang terletak di Kerinchi sebagai memenuhi undangan Pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor baru-baru ini.

Pelawaan Rizal itu dibuat selepas Bee Yin melahirkan hasrat mahu melihat akaun Permata serta gambaran penuh pengurusan program pendidikan awal kanak-kanak itu.

Wakil DAP lain yang turut hadir terdiri daripada Adun Subang Jaya Hannah Yeoh, Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey dan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Mereka kemudiannya dijemput ke satu sesi taklimat tertutup selama hampir dua jam dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program Permata, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Perunding Kanan Program Permata, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin.

Bee Yin ketika dalam sidang media berkata, pihak DAP mengucapkan terima kasih kepada Permata atas pertemuan hari ini walaupun ada perkara yang masih tidak jelas selain wujud perbezaan pendapat.

"Contohnya seperti mengapa Permata diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri sedangkan ia sepatutnya diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian.

"Lebih baik jika Permata menggunakan dana daripada kementerian itu dan bukan menerima dana dari JPM. Dengan cara itu, ketelusan dan kebertanggungjawaban akan lebih terjamin," jelasnya.

Pembantu Rosmah dijemput ke Pulau Pinang

Pada masa sama, Bee Yin turut menjemput Rizal ke Pulau Pinang bagi mendapatkan gambaran sebenar pengurusan kerajaan negeri itu setelah ia didakwa oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai kononnya terlibat dengan rasuah.

"Kita jemput Rizal ke Pulau Pinang supaya kita boleh adakan sesi dialog seperti ini dan memberikan penerangan jelas kepadanya.

"Sebelum ini, kita sudah pun jemput Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk sesi dialog tetapi beliau menolak," katanya.

Rizal sebelum ini berkata Bee Yin boleh berkunjung ke Permata dengan syarat dalam tempoh tiga hari selepas lawatan itu, beliau mesti bersetuju untuk mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan projek-projek kontroversi Pulau Pinang.

Menurut Bee Yin, segala projek yang dipersoalkan oleh Rizal seperti terowong bawah tanah dan rumah kos rendah di Taman Manggis telah diterangkan berkali-kali oleh DAP, namun ia masih juga dijadikan kontroversi.

"Kita sudah jelaskan ia dalam pelbagai cara seperti dalam ceramah, media sosial, laman web rasmi, tetapi ia tetap juga diungkit berkali-kali.

"Jadi, saya menjemput Rizal untuk datang sendiri ke Pulau Pinang bagi benar-benar memahami isu yang dibangkitkan itu," katanya. – Roketkini.com


Hanya syaitan yang suka duduk dalam jamban, AMK sindir Jamal

Posted: 06 Oct 2016 05:30 AM PDT

ARIF ATAN
Sidang media Jamal berlangsung di sebuah tandas Bangunan Umno Shah Alam semalam.Sidang media Jamal berlangsung di sebuah tandas Bangunan Umno Shah Alam semalam.


Hanya syaitan yang suka duduk dalam jamban, bidas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin mengulas tindakan pemimpin Geng Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengadakan sidang media di dalam sebuah tandas semalam.
"Biasanya yang duduk dalam jamban ini syaitan, yang buat sidang media dalam jamban ini lebih kurang. Saya melihat itu tindakan biadap dan tidak mencerminkan identiti sebagai seorang Melayu dan Islam," jelasnya dalam sidang media AMK di Petaling Jaya, hari ini.
Sehubungan itu, Dr Afif menyifatkan tindakan Jamal mengadakan sidang media di dalam sebuah tandas di bangunan Umno Selangor di Shah Alam itu sebagai tindakan pihak yang membela rasuah.

"Tindakan orang pembela rasuah. Imej Perdana Penteri ingin dipertahankan oleh orang macam Jamal. Itu tahap (penyokong) Perdana Menteri kita," tambahnya lagi.

Jamal semalam mengejutkan petugas media apabila mengoyak dan mencampakkan surat tuntutan permohonan maaf Bersih ke dalam lubang tandas.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menggesa Jamal memohon maaf kerana mendakwa kononnya himpunan Bersih 5 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur 19 November ini diresapi kumpulan pengganas Islamic State (IS) atau Daesh.

Walaupun diancam Geng Baju Merah, AMK akan kerah 5000 ahlinya sertai Bersih 5.Walaupun diancam Geng Baju Merah, AMK akan kerah 5000 ahlinya sertai Bersih 5.

Jamal dalam sidang medianya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 28 September lalu mendakwa sumber-sumber yang boleh dipercayai memberitahu Bersih mahu menjatuhkan kerajaan dengan mengepung tempat-tempat seperti lapangan terbang KLIA1, KLIA2 dan Putrajaya.

Jabatan Orang Asli akui Kerajaan Kelantan tidak peduli

Posted: 06 Oct 2016 05:22 AM PDT

ARIF ATAN
 
 
Orang Asli membantah aktiviti pembalakan yang mengancam kehidupan mereka.Orang Asli membantah aktiviti pembalakan yang mengancam kehidupan mereka.


Kemuncak pergelutan antara syarikat pembalak dengan Orang Asli di Hutan Simpan Kekal Balah di Gua Musang, Kelantan sehingga berlaku tembakan, 28 September lalu dilihat akibat pengabaian kerajaan negeri terhadap hak tanah dan wilayah adat masyarakat berkenaan.

Sumber Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, isu berkaitan kawasan rayau atau saka masih gagal ditangani ketika Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi alasan kononnya operasi syarikat pembalakan di kawasan itu adalah berlesen.

"Bila kita sebut tentang kawasan rayau, di sinilah peranan kerajaan negeri. Kita (JAKOA) cuma boleh maklumkan berkenaan kawasan rayau tapi hak milik adalah kerajaan negeri," ujarnya yang mahu dikenali sebagai Razak ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ditanya tentang peranan yang wajar diambil bagi mengelak ancaman berterusan aktiviti pembalakan terhadap masyarakat Orang Asli, beliau mengakui hal tersebut sama sekali bukan dalam pertimbangan kerajaan negeri.

"Terus terang, kawasan rayau ini tidak pernah pun diambil berat oleh kerajaan negeri sebab tidak ada dalam undang-undang. Pejabat Menteri Besar tidak peduli walaupun memorandum dan bantahan pernah dibuat.
"Sebabnya, kerajaan negeri sudah ada perjanjian dengan syarikat balak tersebut. Banyak kelompangan dalam aspek berkaitan undang-undang berhubung hak Orang Asli," ujarnya.
Razak yang masih berkhidmat di ibu pejabat JAKOA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur berkata, tuntutan Orang Asli juga berdepan cabaran besar apabila Akta 134 tidak mengandungi istilah kawasan rayau walaupun wilayah itu turun-temurun didiami Orang Asli.
"Ancaman pembalakan kepada Orang Asli ini memang banyak. Sungai mereka bergantung tercemar, hasil hutan berkurangan, tanah-tanah yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan Orang Asli juga musnah," tegasnya.

Menurutnya pihak JAKOA telah menyatakan pendirian supaya dalam pengurusan hutan termasuk di negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan mesti mengambil kira kepentingan masyarakat setempat khususnya yang melibatkan kawasan tadahan air dan aktiviti sosioekonomi setempat seperti bercucuk tanam dan mencari hasil hutan.

Hal itu, ujarnya, antara rumusan daripada mesyuarat JAKOA bersama pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, syarikat serta wakil komuniti Kampung Kuala Bering, Gua Musang pada 5 Mei lalu yang kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam surat bertarikh 28 Jun yang ditunjukkan kepada Malaysia Dateline itu, turut dimaklumkan bahawa pihak syarikat telah menggantung semua operasi pembalakan ekoran bantahan penduduk tempatan.

"Sebarang perancangan, permohonan, kelulusan, pengeluaran permit, perjanjian, hasil, keluasan kawasan untuk pembalakan dan penguatkuasaan hutan adalah di bawah seliaan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri," dipetik daripada surat ditandatangani Ketua Pengarah JAKOA, Mohd Jamalludin Kasbi.

Untuk rekod, Perkara 7(3) Akta 134 memberi kuasa kepada kerajaan negeri membatalkan, meminda dan mengubah mana-mana pengisytiharan mengenai rizab Orang Asli yang dibuat di bawah Seksyen 3(1).

Surat JAKOA kepada Suhakam 28 Jun lalu turut menyebut peranan penting kerajaan negeri Kelantan dalam mengiktiraf hak tanah Orang Asli.Surat JAKOA kepada Suhakam 28 Jun lalu turut menyebut peranan penting kerajaan negeri Kelantan dalam mengiktiraf hak tanah Orang Asli.
muka 2muka 2
muka 3muka 3
 

Kakak Datuk Siti bernikah lagi

Posted: 06 Oct 2016 05:17 AM PDT


Kakak Datuk Siti bernikah lagi


KAKAK kepada penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, Saida Tarudin,40, selamat dinikahkan dengan pasangannya hari ini.

Saida melangsungkan pernikahan dengan cinta hatinya, Apit atau nama sebenarnya Hafiizh Che Mat,36 yang aktif dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Dengan sekali lafaz, pasangan sah menjadi suami isteri selepas dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Norhafizi Ab Rahim di Masjid Al Muklisin, Alam Damai Cheras, di sini pada jam 2.40 petang.

Saida menerima tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang dan menerima mas kahwin sebanyak RM80 berserta wang hantaran RM10,000 daripada Hafiizh.

Kedua-duanya menggayakan busana rekaan KS Entourage dan didandan jurusolek terkenal, Epie Temerloh.

Majlis tersebut diadakan secara sederhana dan tertutup membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara dan kawan terdekat sahaja.

Saida menerusi kenyataan media memohon maaf kerana majlis diadakan tanpa kehadiran pihak media atas sebab yang terlalu peribadi.

"Atas permintaan keluarga termasuk anak saya sendiri, majlis ini diadakan tanpa teman media. Benar memang terlalu ramai pihak yang perlu dijaga perasaan mereka. Apatah lagi, ia perkahwinan kedua bagi saya dan suami.

"Saya dengan penuh kerendahan hati bersama ahli keluarga lain memohon maaf di atas kesulitan ini.

"Saya menyedari hal yang baik ini memang perlu dikongsi. Apa-apa pun saya berharap, semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan saya dan suami. Ketika ini kita selesaikan dahulu majlis nikah. Soal ke depan, insya-ALLAH akan diadakan majlis persandingan," kata Saida yang mengenali suaminya sejak empat tahun lalu.

Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah. Apit juga mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinan terdahulu.

Saida mula menempa nama dalam industri hiburan tanah air apabila menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keenam.


#WomensBoatToGaza: MyCare dakwa Israel putar belit

Posted: 06 Oct 2016 05:11 AM PDT

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Dr Hafidzi Mohd Noor


KUALA LUMPUR - Pengerusi MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor mendakwa, Israel telah mencabuli undang-undang Maritim Antarabangsa berikutan penahanan bot Zaytouna- Olivia serta 13 orang aktivis di dalamnya.

Menurut beliau, Israel menggunakan istilah 'blokage' dalam usaha memperdayakan masyarakat antarabangsa sedangkan ia jelas merupakan satu penipuan.

[Artikel berkaitan: #WomensBoatToGaza: Media Israel dakwa tiada keganasan]

"Kesemua anak kapal datang dengan aman tanpa sebarang provokasi malahan tidak membawa senjata ataupun bantuan yang boleh disalah erti oleh pihak mereka.

"Kita dapat lihat dengan jelas bahawa terdapat pelanggaran hak asasi manusia di sini serta tindakan rejim tersebut jelas bertentangan dengan hak asasi manusia," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Sementara itu, beliau juga sempat membuat tuntutan berhubung dengan pembebasan kesemua aktivis  yang ditahan di pelabuhan Ashdod dengan kadar segera.

"Kami ingin menggesa Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggunakan peruntukan mereka dan menjamin keselamatan para aktivis sehingga mereka dibebaskan.

"Selain itu, kami juga mendesak PBB, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil tindakan terhadap insiden ini serta mengutuk polisi Israel dengan mengenakan sekatan politik.

"Di samping itu, kami juga turut menggesa kerajaan Malaysia membuat usul tergempar mengecam tindakan Israel dan menyeru para NGO untuk terus bersatu mengukuhkan misi serta memecahkan sekatan terhadap Gaza," katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau juga turut menyeru pada semua rakyat Malaysia serta dunia memberi tekanan kepada Israel, menjayakan boikot terhadap produk-produk dan juga syarikat yang bersekutu dengan Israel.

Misi #WomensBoatToGaza yang disertai 13 wanita ternama dari pelbagai negara dan agama bermatlamat memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kepungan di Gaza.

SPRM kenal pasti lebih 40 saksi bantu siasatan .

Posted: 06 Oct 2016 05:07 AM PDT

SPRM
Sebahagian wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM50 juta yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dirampas ketika sidang media mengenai kes salahguna kuasa membabitkan empat lelaki, termasuk pegawai berjawatan pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri. - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mengenal pasti lebih 40 saksi bagi membantu siasatan dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.

Sumber SPRM berkata, saksi adalah mereka yang ada kaitan secara langsung dalam proses pemberian kerja-kerja kepada syarikat terlibat.

"Kebanyakan mereka adalah di kalangan kakitangan jabatan itu dan juga kontraktor-kontraktor.

"Selain itu, SPRM telah merakam percakapan enam individu yang dipercayai dapat membantu siasatan.

"Kesemua ahli keluarga suspek memberikan kerjasama mereka dan akan dipanggil kami dalam masa terdekat ini," katanya.

Selain itu, SPRM juga telah membuka semua tujuh peti besi milik timbalan pengarah itu di beberapa bank di Kota Kinabalu yang mempunyai barangan kemas dan wang tunai.

SPRM dijangka akan memanggil pengusaha kedai pajak gadai esok untuk menilai semua barang kemas yang telah dirampas.

Semalam, SPRM menahan dua pegawai kanan kerajaan di Sabah kerana memiliki kekayaan luar kemampuan di mana nilai rampasan dianggarkan RM115 juta.

Dua penjawat awam berkenaan memegang jawatan pengarah (J54) dan timbalan pengarah (J52) sebuah agensi kerajaan kira-kira jam 9.15 pagi di pejabat masing-masing di Kota Kinabalu.

Kedua-duanya mereka mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak tahun 2010 itu dipercayai memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Hasil siasatan, SPRM telah merampas wang tunai lebih kurang RM53 juta daripada kedua-dua suspek tersebut.

Ia melibatkan wang berjumlah RM45 juta daripada pengarah terbabit manakala RM7.2 juta daripada timbalan pengarah tersebut.

Kesemua rampasan itu dibuat di pejabat dan rumah masing-masing.

Susulan penahanan tersebut, SPRM turut menahan dua lagi individu termasuk adik kepada timbalan pengarah terbabit yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 55 tahun dan akauntannya berusia 50 tahun yang dipercayai berperanan membantu untuk menyelenggarakan duit yang diperoleh secara rasuah.

"Siasatan mendapati, suspek pertama dipercayai menggunakan lebih 17 buah syarikat milik adik-beradik beliau dan juga proksi untuk menjalankan kegiatannya.

"Manakala untuk suspek kedua pula menggunakan 21 buah syarikat yang terdapat hubungan kekeluargaan dengannya," katanya lagi.

Dalam kes ini, SPRM akan mendapatkan kerjasama negara lain menerusi 'Mutual Legal Assistance' untuk mendapatkan maklumat berhubung akaun bank yang dimiliki suspek di luar negara.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM jumpa wang tunai RM50j di rumah pegawai GLC]

Jelas sumber lagi, SPRM masih menilai dan menentukan nilai barang kemas, jam tangan dan geran tanah yang telah disita dalam serbuan semalam.

"Selain itu, anggaran nilaian 94 beg tangan pelbagai jenama yang dirampas milik salah seorang isteri suspek itu bernilai lebih kurang RM500,000.


1MDB: Mahkamah putuskan nasib Rafizi 14 November

Posted: 06 Oct 2016 04:51 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Seksyen di sini hari ini menetapkan 14 November ini untuk keputusan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli, bagi dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mac lalu.
 
Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh tersebut selepas peguam tertuduh, Gobind Singh Deo, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas mendengar keterangan Mohd Rafizi yang merupakan saksi tunggal pihak pembelaan hari ini.
 
Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk pihak pembelaan mengemukakan hujahan bertulis dan 31 Okt untuk pihak pendakwaan membalas hujahan berkenaan.
 
Terdahulu, Mohd Rafizi, yang juga naib presiden dan setiausaha agung PKR memberi keterangan daripada kandang tertuduh. Katanya, beliau tidak bersalah atas dua tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu dan memohon agar dia dilepas dan dibebaskan.
 
Mohd Rafizi berkata ia berikutan perkara asas dalam pertuduhan terhadapnya iaitu halaman 98 laporan 1MDB tidak dikemukakan dalam perbicaraan.
 
"Dengan tiadanya halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan, saya diprejudiskan dengan amat sangat kerana tidak boleh merujuk kepada dokumen itu dalam pembelaan saya sepanjang perbicaraan ini.
 
"Saya tidak pernah memiliki halaman lengkap muka surat 98 Laporan Pengauditan 1MDB pada bila-bila masa seperti dinyatakan dalam pertuduhan terhadap saya.
 
"Oleh itu, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak bersalah untuk kedua-dua kesalahan yang saya hadapi dalam perbicaraan ini," katanya. Gobind kemudian memohon mahkamah untuk memanggil semula saksi pendakwaan pertama kes itu iaitu Timbalan Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad @ Mat.
 
Ketika pemeriksaan balas oleh Gobind, Nor Salwani, 49, bersetuju bahawa dokumen yang bertanda 'P13' yang merupakan bahan bukti dalam kes itu adalah sebahagian daripada halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB.
 
Saksi itu turut bersetuju bahawa ada beberapa perenggan dalam halaman 98 yang tidak terkandung pada halaman terakhir 'P13' berkenaan.
 
Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad, Nor Salwani berkata setelah menyemak 'P13' beliau bersetuju ia adalah sebahagian dari halaman 98 laporan 1MDB yang asal.
 
Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
 
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan berkenaan dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan. 
 
 

ROS ambil tindakan jika ada aduan rasmi 'ketidakpatuhan' PPBM - Razin

Posted: 06 Oct 2016 04:49 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) hanya akan menyiasat 'ketidakpatuhan' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya ia menerima aduan rasmi terhadap parti itu.
 
"Sekiranya kita terima aduan rasmi, kita akan membuat siasatan. Jadi selepas kita buat siasatan, kalau aduan itu terbukti, kita akan ambil tindakan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas 'ketikakpatuhan' parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang masih menggunakan perkataan BERSATU sebagai nama rujukan parti, berbanding akronim yang ditetapkan ROS iaitu PPBM.
 
Parti baru itu dilihat enggan menghiraukan arahan ROS apabila terus menerus menggunakan perkataan BERSATU berbanding PPBM dalam program serta ceramah membabitkan mereka.
 
Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, penggunaan nama BERSATU bagi mempromosikan parti boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan kerana jelas penggunaannya melanggar perlembagaan PPBM dan syarat-syarat dalam akta berkenaan.
 
Untuk rekod, pendaftaran parti baru itu diluluskan pada 8 September lalu, namun ROS menolak penggunaan akronim BERSATU sebaliknya menetapkan penggunaan akronim PPBM terhadap permohonan berkenaan.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin Umno melahirkan rasa kurang setuju dengan pemilihan perkataan BERSATU oleh parti itu.
 
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkataan itu sinonim dan sering digunakan, sekaligus boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat.
 
 

Selepas menang Olimpik, tiga pemain badminton berlakon filem

Posted: 06 Oct 2016 04:47 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pemain beregu campuran badminton negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan pemain beregu lelaki Goh V Shem kini bergelar pelakon apabila diambil berlakon dalam sebuah filem tempatan berbahasa Cina yang bertajuk 'Goodbye Mr Loser' yang akan ditayangkan pada Tahun Baru Cina tahun depan.
 
Susulan kejayaan mereka meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio membuka rezeki kepada ketiga-tiganya untuk beraksi pula di layar perak.
 
Liu Ying yang juga seorang model sambilan berkata beliau gembira apabila diberi peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.
 
Beliau berkata kerjaya sebagai pelakon dan model hanya sampingan dan tumpuannya tetap terarah sebagai pemain badminton.
 
"Saya, Peng Soon dan V Shem diberi peluang untuk berlakon, kami sangat teruja. Dalam bidang lakonan untuk menghayati watak adalah susah, tetapi jadi atlet di gelanggang lebih susah lagi," katanya kepada pemberita.
 
Liu Ying menerima penghargaan daripada syarikat pembekal barangan kesihatan OSIM Malaysia hari ini.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata beliau kini sedang giat menjalani latihan untuk menyertai beberapa kejohanan terutama Final Siri Super Dunia Dubai dari 14 hingga 18 Dis ini.
 
"Paling penting adalah tahap kecergasan saya. Fokus saya adalah Final Siri Super di Dubai. Bagi beberapa kejohanan terdekat seperti Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, saya perlu tingkatkan ketahanan fizikal saya," katanya.
 
Sementara itu V Shem berkata berlakon filem adalah lebih sukar berbanding menjadi seorang atlet.
 
Baginya tiga jam penggambaran filem tersebut adalah pengalaman baharu dan menarik baginya walaupun sukar untuk menghayati watak yang diberikan.
 
"Bagi saya lakonan susah berbanding menjadi atlet, mungkin sebab pertama kali saya mencuba. Saya belum fikir untuk menjadi pelakon sepenuh masa," katanya, yang berpasangan dengan Tan Wee Kiong.

ADUN Jorak dilantik setiausaha agung BERSATU

Posted: 06 Oct 2016 04:47 AM PDT

MALAYSIAKINI




Serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mengumumkan pelantikan tiga pegawai tertinggi parti itu.

Ini termasuk anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Johor, dan bekas pemimpin Umno negeri Datuk Dr Shahruddin bin Md Salleh yang dilantik sebagai setiausaha agung.

Selain beliau, akauntan bertauliah lulusan Ireland yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, Datuk Mohamed Salleh Bajuri, dilantik sebagai bendahari agung.

Bekas ADUN Semerak, Kelantan Kamarudin Md Nor pula dilantik sebagai ketua penerangan, menurut presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, bekas timbalan perdana menteri, menjelaskan semua penjawat jawatan itu akan memegang jawatan selama tempoh Majlis Pimpinan Tertinggi, selaras dengan peruntukan Fasal 13.7 perlembagaan parti.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dilantik untuk mengisi jawatan-jawatan kanan dalam PPBM (BERSATU) dan berdoa semoga para penjawat parti yang baru dilantik ini akan dapat menyumbang tenaga dan fikiran dalam memastikan kelicinan perjalanan pengurusan dan pentadbiran parti," katanya.

BERSATU ditubuhkan selepas Muhyiddin dan penyokongnya hilang kepercayaan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak susulan kemasukan wang berbilion ringgit dalam akaun peribadinya serta kontroversi sekitar 1MDB.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi penasihat untuk parti itu.

BMF cabar DiCaprio berdebat mengenai rasuah di Malaysia

Posted: 06 Oct 2016 03:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


NGO alam sekitar antarabangsa, Tabung Bruno Manser (BMF) mencabar bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio berdebat mengenai rasuah di Malaysia

Dalam suratnya bertarikh 4 Oktober, BMF "mempelawa" DiCaprio untuk hadir pada debat awam di kota London pada 14 Oktober ini.

"Kami ingin mempelawa anda untuk membahaskan kesan buruk rasuah besar ke atas masyarakat Malaysia dan alam sekitar.

"Kami juga, khususnya berminat untuk belajar lebih lanjut mengenai hubungan kewangan Yayasan Leonardo DiCaprio, Appian Way Productions dan anda secara peribadi bersama Riza Aziz, Low Taek Jho dan sekutu mereka," petik surat itu.

Appian Way Productions adalah syarikat yang ditubuhkan oleh DiCaprio.

Riza adalah anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah seorang hartawan yang mempunyai hubungan rapat dengan Riza.

Kedua-dua mereka dinamakan dalam saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DOJ) dalam usaha untuk mendapatkan kembali aset lebih AS$ 3.5 bilion yang didakwa telah diselewengkan daripada 1MDB.

DiCaprio juga dirujuk dalam saman berkenaan sebagai 'Hollywood Actor 1' dan adalah didakwa bahawa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai aktiviti perjudiannya bersama Low.

Terdapat juga tuduhan bahawa dana berkaitan 1MDB turut didermakan kepada Yayasan DiCaprio.

Debat itu dianjurkan sempena pelancaran dokumentari Before the Flood di Eropah yang diterbit dan dibintangi oleh DiCaprio.

"DiCaprio harus memahami bahawa kita tidak boleh menyelamatkan alam sekitar jika kita gagal menghentikan rasuah," kata Pengarah Eksekutif BMF, Lukas Straumann dalam satu kenyataan media.

Syarikat: Azizan diperdaya, tapi ada PhD dari AS

Posted: 06 Oct 2016 03:56 AM PDT

MALAYSIAKINI


Selepas kontroversi minggu lalu, Kumpulan Syarikat Richworks menjelaskan bahawa penceramah motivasi Azizan Osman memiliki gelaran doktor daripada sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS).

Richworks berkata Azizan mempunyai kelulusan doktor sains (metafizik) daripada Universiti Gordon, Bradenton, Florida, AS sejak 2009.

Malah, beliau juga dikatakan telah memenuhi syarat untuk sebuah lagi gelaran doktor falsafah (psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom (UK).

"Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat," menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) menegaskan tidak pernah menganugerahkan gelaran ijazah kehormat doktor keusahawanan kepada Azizan.

Sementara itu, berkaitan isu ijazah doktor kehormat Universiti Malaya (UM), Richworks mendakwa Azizan telah "disasarkan dan diperdayakan oleh pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut".

"Kami telah pun membuat laporan polis dan perkara ini sedang disiasat," kata Richworks.

"Semasa proses siasatan dalaman yang kami telah jalankan baru-baru ini, kami telah menjumpai beberapa kelemahan serius berkenaan prosedur-prosedur operasi kami.

"Malangnya, kelemahan ini telah menyebabkan penggunaan ijazah kedoktoran dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai rujukan kepada Dr Azizan Osman yang tidak pernah beliau akui."

Katanya, sebagai sebuah organisasi, mereka amat khuatir dengan keadaan itu dan telah melaksanakan "pelan komprehensif" untuk membetulkan keadaan dengan segera.

Dalam kenyataan hari ni, Richworks berkata mereka kesal dengan kekeliruan dan kesulitan yang telah timbul berkaitan dengan status kelayakan Azizan.

Justeru, katanya, penjelasan itu dibuat untuk "memperjelaskan kemusykilan yang telah timbul dan menyingkirkan apa-apa ketidakpastian".

Semakan Malaysiakini setakat petang 29 September mendapati laman web Richworks memperkenalkan Azizan diperkenal sebagai pemilik "PhD (Hon) Entrepreneurship (UM)".

Azizan turut terkenal sebagai usahawan dan penulis.

Malah, beliau dikatakan pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penganjur seminar motivasi terbesar di Malaysia.

Penagih dadah acu parang pada anggota AADK

Posted: 06 Oct 2016 03:51 AM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang penagih dadah mengacu parang kepada beberapa anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di Lumut malam tadi sebelum dia melarikan diri.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata suspek yang berumur 20-an itu terlebih dahulu memanjat bumbung rumahnya selepas menyedari kehadiran anggota AADK kira-kira pukul 10 malam.

"Suspek yang merupakan seorang penganggur kemudiannya mengacu dan melibas parang yang dipegangnya menyebabkan anggota kami tidak berani memasuki rumah berkenaan.

"Anggota kami cuba memasuki kembali rumah itu, tetapi mendapati suspek telah melarikan diri ke dalam semak samun di kawasan sekitar dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya," katanya dalam sidang media di Lumut hari ini.

Beliau berkata 68 individu diperiksa sepanjang operasi itu yang bermula pukul 6 pagi semalam hingga tengah hari tadi dan 26 daripadanya didapati positif dadah.

Sementara itu dua lelaki ditahan kerana positif dadah dalam Ops Bersepadu di beberapa lokasi di sekitar Teluk Intan hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 42 tahun itu masing-masing merupakan pemandu dan kelindan lori.

Di Kangar pula, dua pegawai AADK Perlis cedera manakala seorang lagi patah tulang pipi akibat bergelut dan terjatuh ketika meyerbu sebuah pondok yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Beseri malam tadi.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata kejadian berlaku ketika pegawainya sedang menjalankan Ops Aduan 29/2016 bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kampung Abi Batas Paip dan Taman Beseri Paya bermula pukul 11 malam.

"Pegawai AADK yang berusia 24 dan 32 tahun itu cedera ketika cuba bergelut dalam usaha menahan beberapa orang penagih dadah yang cuba melarikankan diri dari pondok berkenaan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pegawai itu kemudiannya dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Azizah berkata dalam serbuan itu, seramai empat remaja berusia antara 13 hingga 18 temasuk dua di bawah umur ditahan kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Dua daripada empat remaja berkenaan yang berusia 13 dan 14 tahun yang ditahan itu sudah tidak bersekolah dan bertindak sebagai tokan dengan menjalankan aktiviti pengedaran dan jual-beli dadah dalam kalangan rakan-rakan mereka," katanya.

Beliau berkata imodus operandi terbaru pembekal dadah ialah menjadikan remaja sebagai pengedar kecil-kecilan.

"Kedua-dua suspek turut menjadikan pondok kecil bersebelahan rumah salah seorang daripada mereka sebagai tempat melepaskan gian bersama rakan penagih yang lain," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: