Khamis, 6 Oktober 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Buat duit dengan game

Posted: 05 Oct 2016 09:41 PM PDT

Oleh Afiq Hanif

Industri game di negara ini semakin mendapat perhatian terutama dalam kalangan remaja.
Ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan namun menempa nama di persada antarabangsa.

Namun, kita perlu bertindak bukan saja sebagai pengguna namun potensi lebih besar iaitu bersedia menjadi pembangun game terbabit.

Di Malaysia, program lima hari seperti Level Up KL menjadi pemangkin kepada anak muda, pembangun game tidak kira bernaung di bawah syarikat atau bergerak bebas untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bukan saja sembang kosong tetapi menuntut ilmu dan membuka peluang di peringkat lebih tinggi.

Level Up KL akan berlangsung 5 hingga 9 November ini di Kuala Lumpur yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan turut ditaja Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) dalam usaha melahirkan bakat dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi setaraf pembangun game lain yang popular.

Sejauh mana tarafnya? Sudah pasti di peringkat tertinggi apabila ia menjadi acara Asia Tenggara dan bukan membabitkan seminar semata-mata tapi peluang menjual produk kepada pembangun luar atau memperkenalkan produk kepada penerbit berpotensi.

Selama lima hari, aktiviti dianjurkan begitu menarik minat seperti seminar industri, padanan rangkaian (bertindak sebagai networking) dan perniagaan, Anugerah Game Mudah Alih Antarabangsa SEA (IMGA), SEA Game Jam 2016, padanan projek, pensijilan Unity dan GameFounders Asia - Demo Day.

Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin berkata, ia kali kedua Level Up dianjurkan memandangkan sebelum ini tiada acara khusus untuk pembangun game dan hanya tertumpu pengguna semata-mata seperti Comic Fiesta atau acara e-sukan lain.

"Tiada acara atau program khusus untuk pembangun memasarkan produk mereka," katanya.
Katanya, Malaysia memerlukan acara berkredibiliti seperti Level Up bagi industri game dan seminar sendiri seperti Persidangan Pembangun Game (GDC) di Amerika Syarikat atau Casual Connect yang paling hampir dengan Malaysia.

"Fokus banyak kepada pengguna dan tumpuan perlu diberikan kepada pembangun game sama ada mereka mempunyai syarikat atau pembangun bebas," kata Hasnul.

Level Up KL mempunyai dua fokus utama iaitu SEA Game Jam iaitu pertandingan membangunkan game dalam masa 48 jam secara berkumpulan tidak kira sama ada dari Malaysia atau negara Asia Tenggara lain.

Selain itu, kami mempunyai IMGA yang sudah bertapak lebih 11 tahun dan MDEC membawanya secara eksklusif ke Malaysia.

"Pengadil akan datang dan memilih aplikasi game mudah alih terbaik di peringkat Asia Tenggara selepas mereka bermain sendiri game terbabit," katanya.

Malah, MDEC turut menawarkan pensijilan game Unity bagi memberi pengiktirafan antarabangsa sebagai pakar dalam pembangunan aplikasi game yang tiketnya juga ditawarkan bersama Level Up pada harga murah.

Level Up sebelum ini mendapat sokongan padu daripada pembangun Indonesia.

Menariknya juga, antara pemenang pada salah satu acara tahun lalu memperoleh geran Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) bagi memperkasakan produk mereka.

"Hadir ke Level Up dan memperoleh geran IPCC berjaya membuktikan produk mampu ke pergi jauh ke depan," katanya.

Kenapa pembangun perlu menyertai Level Up?

"Ia acara khas untuk pembangun game dengan tema 'Level Up Locally Growing Globally', inisiatif MDEC dalam menaik taraf keupayaan mereka," kata Hasnul.

Ia platform sesuai untuk belajar, mencipta hubungan rangkaian dan menjual produk masing-masing memandangkan Level Up acara bersifat serantau dengan kehadiran nama besar seperti EA, Sony, Ubisoft dan Bandai Namco.

"Mereka mungkin mencari pembangun untuk membangunkan sesuatu iaitu vendor mereka," katanya.
Katanya, syarikat gergasi ini mempunyai akses kepada peserta Level Up dan mampu melihat keupayaan syarikat tempatan.

"Mereka juga akan memberi seminar dalam beberapa siri khas," kata Hasnul.

Sehingga kini, Level Up mengesahkan 35 penceramah dan masih menyasarkan sehingga 50 lagi bagi sesi seperti panel perbincangan atau 'keynote'.

"Kami sasarkan sekurang-kurangnya 400 pembangun hadir.

"Tahun lalu kami mencatatkan lebih 450 peserta namun kami tidak boleh membuka lebih banyak ruang kerana mahu pembangunnya mendapat sesi lebih rapat dengan aktiviti yang ada," jelas Hasnul.
Terdapat 60 pembangun dan penerbit berstatus MSC yang ada di Malaysia sekarang namun lebih 700 penggiat industri berada di Malaysia.

"Lebih ramai lagi hanya sebagai pencinta game sebab itu kami mahu mereka ini melangkah ke perniagaan," katanya.

Hasnul berkata, pencipta game sangat teruja membangunkan game namun ramai tidak mengambil peluang perniagaan hasil game terbabit.

"Ya, kamu boleh buat game yang bagus tapi jika tiada pelan perniagaan, anda tidak boleh membawa game anda ke lonjakan berikutnya sebab itu wujudnya Level Up ini dan aktiviti lain seperti GameFounders," tegas Hasnul.

MDEC menawarkan mentor juga bagi membolehkan mereka sedia untuk maju.
"Syarikat game bukan lagi game saja tapi menjadi syarikat analisis data yang boleh membaca data pengguna dan melihat peluang menghasilkan pendapatan daripadanya," kata Hasnul.

Ramai yang berupaya mencipta game tapi ramai yang tidak tahu menarik perhatian pengguna membayar sesuatu daripada game terbabit. Akhirnya pengguna bermain secara percuma saja.

"Kami mahu mereka faham bagaimana buat duit daripada game ini kerana ramai pengguna tak mahu membayar untuk game tapi ada syarikat tempatan yang berjaya membuatkan pengguna bayar secara berterusan untuk game dibangunkan," jelas Hasnul.

MDEC juga kini dalam proses membuka hab Level Up di Kuala Lumpur sebagai pusat komuniti untuk pembangun game yang dilengkapi akses teknologi dan program mentor.

"Kalau anda bersedia atau mahu menjadi sebahagian pencipta game, sertai kumpulan di Facebook terlebih dulu seperti GameJam Collective Malaysia dan Game HQ untuk menyertai perbincangan dan mempelajari selok-belok mengenai pembangun game," kata Hasnul.

Hutan fesyen ada wifi

Posted: 05 Oct 2016 09:41 PM PDT

Masuk hutan tetapi bergaya dengan pakaian cantik persis mengunjungi pusat beli-belah. Malah, boleh memuat naik gambar, video serta status di laman sosial saat berada di dalam hutan berusia 130 juta tahun itu.

Ini tentunya bertentangan dengan 'etika' berpakaian ketika menyertai aktiviti penerokaan alam semula jadi terutama di hutan.

Biasanya, gajet terutama telefon pintar pula hanya digunakan sebagai kamera untuk merakam gambar atau video. Jika ingin memuat naik ke media sosial, kita biasanya akan melakukannya selepas ke luar dari hutan.

Bagaimanapun, di Fashion Forest Awana, Genting Highland, penerokaan di dalam hutan dipterokarpa atas (upper dipterocarp) di ketinggian 3,000 meter dari atas laut itu, anda boleh memakai pakaian kasual dan santai.

Anda juga tidak akan terputus dengan talian Internet, malah boleh memuat naik gambar, video dan status di laman sosial pada bila-bila masa.

Hutan ini juga menjadi lokasi 'Poke Stop' dan 'Gym' dalam permainan Pokemon Go.

"Pokok pun ada rupa sendiri. Ada bentuk sendiri. Flora dan faunanya juga pelbagai dan sangat menarik untuk diteroka," kata Pengarah Trek Events, Eddie Chan selaku pemandu pelancong alam semula jadi (nature guide) ketika kunjungan penulis ke hutan itu, baru-baru ini.

Apabila alam semula jadi bertemu teknologi, proses penerokaan akan lebih menarik dan mengujakan. Ini sekali gus mendekatkan pengunjung dengan alam semula jadi.

Keterujaan saat menemui pokok, buah, serangga dan haiwan dan terus memuat naik ke laman sosial membuatkan pengunjung dapat segera berkongsi rakan.

Kerjasama Resort World Genting dan Treks Nature membawa alam semula jadi dengan cara bergaya antara faktor kenapa ia dinamakan 'Fashion Forest'.

Mula dibuka pada 1997, Fashion Forest juga diberi bagi menggambarkan haiwan dan hidupan di hutan itu sebagai 'supermodel' manakala pengunjung yang berjalan santai ketika menerokai hutan ini seolah-olah melakukan 'catwalk'.

Menurut Chan, Fashion Forest bagaikan medan peragaan yang menawarkan pelbagai keistimewaan sukar diperoleh di tempat lain.

"Di sini, warna hutan berlainan, tidak hanya hijau. Flora dan faunanya juga berwarna-warni.

"Haiwan di sini juga pelbagai. Ada lima spesies burung enggang boleh dilihat di sini," katanya.

Kemudahan Internet tanpa wayar (wiFi) yang disediakan membantu pengunjung 'melihat lebih banyak, mengetahui lebih lanjut dan menikmati lebih banyak' keseronokan secara praktikal melalui alat bantuan visual.

Memulakan penerokaan, pengunjung akan menemui lima kawasan di Fashion Forest iaitu Galeri 1, 2, 3, 4 dan 5.

Menuruni anak tangga, pemandangan pokok menghijau menjadi santapan mata cukup mengujakan. Di Galeri 1, pengunjung dapat melihat keindahan pokok tinggi yang mempunyai pelbagai bentuk.
"Kalau kamu perhatikan betul-betul, pokok tinggi di hadapan ini tak sama bentuknya dengan yang di belakang?" tegas Chan walaupun ia spesies yang sama.

Kerana itulah beliau menegaskan pokok juga ada rupa tersendiri.

Tidak ada nama pokok diletakkan kecuali kod bar yang boleh diimbas menggunakan aplikasi yang dimuat naik di telefon pintar. Sebaik diimbas, nama dan maklumat pokok berkenaan akan tertera.

Memasuki Galeri 2, lantai di kawasan itu dibersihkan tanpa tumbuhan bagi membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak melihat lebih dekat titik permulaan pertumbuhan pokok.
Beberapa pokok yang sudah mati turut diukir dengan ukiran menarik.

"Di sini, artis boleh mengukir di pokok, tapi mesti di pokok yang sudah reput. Mereka boleh menzahirkan idea dan kreativiti di pokok berkenaan.

"Secara tidak langsung ia dapat memberikan kelainan, sesuai dengan objektif Fashion Forest," katanya.

Di Galeri 3 pula, kelihatan anak pokok baru tumbuh, sekali gus pengunjung boleh melihat proses pertumbuhan berkenaan.

Tatkala khusyuk mendengar penerangan Chan, rupa-rupanya kami ada pemerhati. Lutung (dusky leaf monkey) comel, tetapi garang antara spesies monyet yang menghuni di sini.

Dari lantai yang bersih, kemudian ditumbuhi pokok kecil, di Galeri 4 pula penuh dengan daun pokok kering.

Di sini, semuanya dikekalkan kerana ia mempunyai kepentingan sendiri terutama dalam proses pembelajaran. Pengunjung boleh belajar mengenai serangga dan macam-macam lagi. Apabila terjumpa buah, kita boleh tahu ia jenis apa berdasarkan pokok di sekelilingnya.

Galeri 5 pula mempunyai pokok besar termasuk yang sudah berusia lebih 130 juta tahun. Namun, disebabkan matahari sudah mula melabuhkan tirainya, kami tidak dapat meneruskan penerokaan hingga ke bahagian lebih dalam.

Sepanjang penerokaan, wifi yang disediakan bagaikan satu bonus. Sedang asyik meneroka, kami sempat memuat naik gambar di laman sosial Instagram dan Facebook.

Hanya beberapa minit selepas dimuat naik, ia mendapat maklum balas luar biasa daripada kawan-kawan. Secara tidak langsung, ia menjadi promosi kepada Fashion Forest.

Di sebelah malam, penerokaan di sekitar Awana Genting diteruskan dengan aktiviti herping. Herping ialah aktiviti mencari reptilia atau mamalia di dalam hutan pada waktu malam.

Diketuai Steven Wong, iaitu Ketua Koordinator untuk Herpetofauna Special Interest Group, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Selangor, kami berpeluang menemui beberapa spesies katak dan cicak di sekitar Awana Genting Resort.

Berbekalkan lampu suluh, berjalan di dalam gelap dengan cuaca dingin cukup mendamaikan. Kaki berjalan manakala mata pula mencari hidupan alam yang aktif pada waktu malam.

Pelbagai spesies katak dapat dilihat, antaranya katak puru sunda, katak rumput, katak sawah hijau, katak pokok berjalur empat dan dark-sided chorus frog. Cicak juga antara hidupan yang ditemui.

Aksi mendebarkan di jalan raya

Posted: 05 Oct 2016 09:33 PM PDT

Tidak berputus asa menghasilkan karya terbaik, Pekin Ibrahim berharap filem kedua arahannya, KL Wangan mampu berdiri setanding filem antarabangsa.

Malah dia yang turut beraksi dalam filem itu mahu taruhan terbarunya berjaya menembusi pasaran luar negara dan meraih penghargaan seperti karya terdahulu, Mat Moto.

Bertemu di lokasi penggambaran KL Wangan baru-baru ini, Pekin berkata, dia bersyukur filem itu mendapat sokongan dan tajaan penuh Volkswagen Malaysia.

Baginya satu penghargaan yang tidak ternilai apabila syarikat pengeluaran kereta antarabangsa memandang karya seni anak tempatan.

Malah bajet filem yang kini melebihi RM5 juta tidak menjadi masalah buat penaja untuk terus menyalurkan dana.

"Syukur, mereka percayakan saya. Justeru, saya kena bekerja lebih keras bagi memastikan penggambaran filem ini berjalan lancar.

"Insya-Allah penggambaran akan berakhir sekitar dua bulan. Soal kos saya tidak mahu lokek dan apa sahaja diperlukan kru produksi saya cuba penuhi kerana mahu setiap babak yang dihasilkan nampak lebih realistik.

"Jika di Hollywood ada Fast and Furious, saya di Malaysia pula ada KL Wangan. Wangan saya ambil sempena nama perlumbaan kereta yang sudah lama menjadi kegilaan masyarakat Jepun.

"Banyak kajian saya lakukan untuk menghasilkan filem ini. Malah saya sedang menyenarai pendek pelakon undangan dari Hollywood untuk tampil sebagai cameo.

"Andai perlu ke Los Angeles untuk merakamkan babak membabitkan pelakon itu, tidak mustahil saya dan kru akan ke sana," katanya yang berpuas hati dengan pembikinan filem itu.

Meskipun berdepan banyak dugaan, Pekin gembira dikelilingi tenaga kerja profesional. Malah masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan sehingga memudahkan segala urusan.

"Saya tahu bukan mudah menguruskan ramai kru. Filem ini menggunakan kepakaran 40 kru, 10 pelakon lagak ngeri dan 20 pelakon aksi gaduh.

"Satu cabaran besar apabila saya perlu memastikan ia berjalan lancar. Namun saya bersyukur setiap mereka tahu kerja masing-masing. Malah kami akan sama-sama berbincang bagi memastikan setiap babak dapat dihasilkan sebaik mungkin.

"Menariknya, menerusi filem ini saya menggunakan kamera jenis Phantom. Saya bawa jurukamera dari Singapura untuk menguruskan kamera ini. Setiap hari tiga kamera kami gunakan bagi mendapatkan sudut yang menarik dan realistik.

"Babak berlumba di jalan utama yang banyak kereta juga tidak mudah untuk kami. Saya perlu memastikan tiada aksi kemalangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar meskipun babak berkejar di sekitar jalan di Pavilion dan KLCC hampir berlaku kemalangan," katanya.

Sambung Pekin, dia tidak salah memilih barisan pelakon kerana semuanya profesional.

Malah, Faizal Hussein sendiri banyak melakukan aksi lagak ngeri tanpa menggunakan khidmat orang lain.

"Saya kagum dengan semangat setiap pelakon dalam menjayakan filem ini. Masing-masing komited dan bersungguh.

"Abang Faizal misalnya, saya tidak menyangka dia mahu lakukan sendiri babak aksi. Pada mulanya bimbang juga tetapi saya akur apabila dia cakap mahu cabar diri," katanya.

Pekin berkata, boleh dikatakan semua jenis kereta ada dalam filem ini. Justeru, dia berharap semua pelumba atau penggemar kereta akan berpuas hati menonton filem itu nanti.

Sinopsis

Mengisahkan Hong dan Yudi yang ada sejarah yang panjang dalam perlumbaan drag. Mereka bermula dari bawah hinggalah mendapat kepercayaan memandu kereta berkuasa besar.

Selepas sekian lama tidak menyertai sebarang perlumbaan berikutan sibuk dengan perniagaan masing-masing, mereka bertemu di jalan raya. Ketika berlumba, Hong kemalangan.

Hong cuba mencari pemilik kereta yang menyebabkan dia kemalangan tanpa menyedari kereta itu sebenarnya milik Yudi.

Bermulalah pelbagai agenda dan pergelutan yang akhirnya menemukan mereka dengan Ejay. Siapakah Ejay? Apakah kaitan Ejay dengan Hong dan Yudi?

Bila dunia terbalik

Posted: 05 Oct 2016 09:27 PM PDT

Sebuah kafe di Jerman semakin terkenal di media sosial kerana mempunyai konsep unik yang memaparkan segala-galanya dalam keadaan terbalik.

Kafe Toppels yang terletak di pinggir jalan di Wertheim itu dibuka awal tahun ini dan mendapat sambutan hebat daripada pelancong yang begitu teruja melihat konsepnya yang unik dan mengagumkan itu.

Selain hiasan dalamannya yang mengelirukan, kedudukan kafe itu juga terbalik apabila atapnya berada di bawah sementara sebuah kereta yang tergantung dalam keadaan agak berbahaya diletakkan di bahagian atas bangunan itu.

Kafe itu milik keluarga Toppels dan semua barangan yang diletakkan terbalik itu juga kepunyaan mereka.

Dalam bilik mandi, singki, tandas dan tab mandi semuanya dalam keadaan kucar-kacir, sekali gus memberi kelebihan kepada pengunjung untuk mengambil gambar dalam keadaan terbalik dengan kepala mereka seakan masuk ke dalam tandas.

Di dapur pula, buah-buahan yang diletakkan di atas meja seolah-olah tergantung manakala di bilik tidur kanak-kanak sebuah kit lumba kereta melekat pada lantai.

Jadi tidak hairanlah, kafe itu menjadi pilihan pengunjung terutamanya yang gemar berselfie supaya kelihatan seperti mereka berdiri di atas siling.

Tonton dengan Orion

Posted: 05 Oct 2016 04:55 PM PDT

Peranti realiti maya (VR) semakin mendapat tempat di hati pengguna teknologi sebagai aksesori tambahan hiburan telefon pintar mereka setakat ini.

Malah, harga yang semakin merudum menjadi pemangkin semangat untuk mendapatkan set VR berbanding setahun dua dulu.

Penguji berjaya memperoleh Orion S1 yang mempunyai harga patut iaitu hanya RM288 saja malah lebih murah jika anda melihat beberapa laman e-dagang di Malaysia.

Cara gunanya hampir menyamai Google Cardboard apabila anda memerlukan telefon pintar untuk dimuatkan di ruang depan, tetapi kaedah memasukkannya sangat mudah dengan satu klip saja pada skrin depan.

Dari aspek rekaan, ia nampak seakan-akan agak terlalu plastik, tetapi dengan keupayaan menyokong telefon bersaiz 4.6 inci hingga 6.2. inci memang berbaloi memilikinya.

Bersaiz 240 x 180 x 100mm, Orion S1 mempunyai butang tambah tolak di atas skrin bagi memudahkan pengguna zum masuk atau keluar mengikut keselesaan sudut pandangan mata sendiri.

Jangan risau dengan bunyi bising kerana set VR ini mempunyai fon telinga sendiri yang disambungkan ke telefon meskipun sudut pasangnya mungkin sedikit kurang selesa namun ia bukan masalah besar.

Orion S1 juga mempunyai pembesar suara stereo yang terletak di sisi fon telinga sekiranya pengguna memilih untuk mahu audio kuat.

Terdapat butang OK untuk memilih kandungan yang terpapar di skrin manakala butang 'Volume Down' boleh digunakan sebagai 'rewind' atau 'skip'.

Sudut ruang kepala boleh diselaraskan mengikut keselesaan, tetapi kalau anda sayangkan rambut, memang sukarlah menggunakannya.

Penguji mendapati set ini lebih sesuai untuk menonton video secara lebih dekat dan aplikasi juga memerlukan sedikit penambahbaikan dari aspek kandungan.

Selepas menonton melebihi 40 minit, penguji mencabut set VR ini dari kepala dan berehat sebentar sebelum menyambung kembali siri yang digemari.

Mungkin itulah yang patut anda lakukan apabila menggunakan mana-mana set VR bagi mengelakkan mata dan minda terlalu 'stress'.

INFO
ORION S1
- HARGA: RM288
- PENGEDAR: ECS ICT Berhad
- CIRI: Set VR
- PRO: Harga murah
- KONTRA: Rekaan

Tiada ulasan: