Isnin, 10 Oktober 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


'Kalau lambat tak tahu apa nasib saya'

Posted: 10 Oct 2016 04:13 AM PDT

Shakira Buang


LIHAT VIDEO DI SINI

Kusaini Kassim, peserta konvoi BERSIH yang ditendang anggota gerakan Baju Merah dua hari lalu berkata beliau tidak tahu nasib yang bakal menimpanya jika tidak diselamatkan seorang anggota trafik.

Kusaini, 49 berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada anggota keselamatan berkenaan yang bertugas di tempat kejadian ketika itu.

"Nasib baik ada seorang anggota trafik datang selamatkan saya walaupun agak lambat keluarkan saya dari kumpulan itu. Tapi kalau lambat lagi tak tahulah macam mana," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menceritakan kejadian itu, Kusaini berkata beliau dan rakannya menyertai Konvoi Bersih 5 di sekitar Sabak Bernam Selangor, sebelum memutuskan untuk pulang awal kerana urusan keluarga.

"Saya hadir dalam program BERSIH tapi saya kena pulang awal kerana ada majlis keluarga. Dalam perjalanan balik ke rumah saya dari Sabak Bernam ke Padang Terap saya kena melalui jalan itu (tempat kumpulan Baju Merah berkumpul)," jelasnya.

Bagi mengelak terlanggar ahli kumpulan terbabit, Kusaini membuat keputusan memberhentikan motosikal Kawasaki ER6 yang ditunggangnya di bahu jalan, manakala rakannya sempat berpatah balik.

"Bila saya berhenti tiba-tiba saya terjatuh dan mereka menarik bahu saya, serang saya dan baling telur," kata Kusaini.

Bimbang jumlah anggota Baju Merah

Kusaini berkata beliau bimbang melihat jumlah anggota kumpulan itu dan membuat keputusan untuk tidak melawan, sebaliknya berharap ada pihak yang akan membantunya.

"Saya bimbang sebab takut mereka tengah geram," katanya.

Ditanya mengenai tindakan anggota kumpulan itu menendangnya, Kusaini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Susulan kejadian itu, Kusaini membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam dan turut menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Buat masa ini ok, tidak ada apa-apa. Saya ada ke klinik, membuat 'scan' x-ray. Saya rasa ok sekarang ini tidak ada apa-apa," katanya.

Konvoi Bersih 5 di seluruh negara memasuki hari ketiga Sabtu lalu dan mereka berlepas dari 6 lokasi.

Mereka bertolak dari Sungai Petani, Kedah; Kulai, Johor; Kota Bharu, Kelantan; Teluk Intan, Perak; Bintulu, Sarawak dan Tawau, Sabah.

Perjalanan konvoi itu adalah sebahagian daripada jelajah 7 minggu anjuran Bersih 2.0 bagi mempromosi perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

MCMC 'tutup mulut' Jamal?

Posted: 10 Oct 2016 04:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


Selepas mengeluarkan kenyataan dililhat banyak pihak berbaur hasutan kini 'mulut' ketua gerakan baju merah Datuk Seri Jamal Md Yunos bagaikan ditutup.

Semuanya kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menutup akaun Facebook yang mempunyai kaitan atau menggunakan nama ketua Umno Sungai Besar itu.

"Semua akaun FB yang menyerupai akaun saya Jamal Md Yunos atau JamalYunos serta yang ada gambar saya, termasuk FB original saya ditutup oleh pihak FB dan MCMC semenjak malam tadi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini sebentar tadi masih ada beberapa akaun menggunakan nama beliau masih boleh diakses.

Antaranya, https://www.facebook.com/DatoJamalMdYunos/?fref=ts dan https://www.facebook.com/datojamal.yunus?fref=ts&hc_location=ufi.

Beliau yang semakin popular sejak akhir-akhir ini ekoran kemunculannya bersama kumpulan baju merah mendepani penyokong BERSIH berkata akaun asli miliknya dipercayai akan dapat diaktifkan semula tidak lama lagi.

Kata Jamal, akaun berkenaan - yang didakwa beliau miliknya yang sebenar - tidak boleh dikemas kini selama tiga hari.

Malam tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menjalankan siasatan ke atas Jamal ekoran kenyataan di satu akaun Facebook di bawah nama "Dato Jamal Yunos" dianggap menghasut.

Jamal bagaimanapun mendakwa kenyataan yang turut mengaitkan insiden 13 Mei dan "parang terbang" itu dipalsukan.

Belau juga menuding jari kepada DAP sebagai dalang pemalsuan berkenaan.

Sehubungan itu malam tadi satu laporan polis telah dibuat Presiden Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM), Mohd Azli Jaafar di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam.

Aduan juga dibuat kepada MCMC.

Laporan menyebut posting didakwa palsu oleh Jamal itu mendapat reaksi agak luar biasa iaitu 2.8 juta like, 4.8 juta komen dan 6,209 perkongsian.

Mengulas lanjut Jamal tetap positif dengan penutupan akaun Facebook beliau.

Katanya, dengan penutupan oleh MCMC itu kebenaran akan terbukti dan pada akhirnya keadilan akan berpihak kepada beliau.

"Akaun FB saya telah ditutup oleh MCMC. Akaun FB tersebut adalah akaun palsu yang saya yakin dipalsukan oleh kumpulan BERSIH 5 yang mana mereka kecewa dan marah kepada saya kerana berjaya menggagalkan semua konvoi yang mereka nak buat.

"Jadi, sebab itu mereka cuba mencari jalan lain untuk bertindak balas.

"Saya yakin kebenaran dan keadilan akan berlaku di situ kerana sistem perundangan negara kita ini sama rata dan sama adil serta keadilan ini akan membawa kebenaran," kata Jamal.

Adakah samseng ini macai untuk bela Presiden Umno?

Posted: 10 Oct 2016 03:58 AM PDT

 ARIF ATAN
 
 
Provokasi baju merahProvokasi baju merah


Pemuda Amanah Nasional menyelar kepimpinan Umno-BN ekoran gejala samseng oleh kumpulan Geng Baju Merah di beberapa lokasi di seluruh negara yang mengasari peserta konvoi Bersih 5 hari ini.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, sifat dan perangai seorang anak lelaki yang lazimnya mengikut kelakuan bapanya dapat dilihat pada aksi ganas sebahagian penyokong Umno itu hanya demi mempertahankan presidennya yang rasuah.

"Bapak borek anak rintik apabila Presiden Umno melakukan jenayah rompakan dan korupsi dan ahlinya menjadi macai membela Perdana Menteri dengan juga melakukan perbuatan jenayah.

"Kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, adakah samseng-samseng ini macai yang kamu mahu lahirkan untuk membela Presiden kamu?" bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau yang juga peguam berkata, kejadian ganas itu mencerminkan gejala samseng yang diamalkan oleh ahli Umno ketika berdialog dan berdebat ditolak sebagai satu bentuk budaya masyarakat yang bertamadun.

"Sebelum ini Ketua Baju Merah, Jamal telah berlagak samseng mengoyakkan surat tuntutan daripada Pengerusi Bersih 2, Maria Chin sehingga digelar 'syaitan' oleh rakan sejawat saya, Dr Afif dari AMK (Angkatan Muda Keadilan).

"Anak muda tidak harus mendapat tauladan kepimpinan samseng kerana itu perkara yang bertentangan dengan akhlak Islam, adab Melayu dan pembinaan insan yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak satu tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap individu yang melakukan perbuatan sepak terajang itu.

"Tangkap dan bicarakan di mahkamah untuk dihukum sewajarnya. Perhimpunan Bersih hendaklah dihormati kerana ia adalah hak Perlembagaan di bawah Perkara 10 selaras dengan amalan demokrasi dalam negara ini.

"Kumpulan Baju Merah hendaklah ditegah oleh pihak polis daripada mengganggu siri perhimpunan Bersih yang diadakan di seluruh negara," tegasnya lagi.

Di Sabak Bernam, Selangor petang tadi, kumpulan samseng baju merah menyerang lelaki yang bertshirt Bersih dengan menendang dari belakang sebanyak dua kali sehingga mangsa terbaring ke atas jalan raya.

Mangsa kemudiannya dibantu seorang anggota polis trafik ketika pada masa sama sekumpulan anggota polis berseragam tidak jauh dari lokasi berkenaan dilihat tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan kekasaran geng samseng Umno itu.

Umno diminta ambil tindakan terhadap Jamal

Posted: 10 Oct 2016 03:45 AM PDT

Umno diminta ambil tindakan terhadap Jamal
Fitri (tengah) ketika ditemui pada sidang media di sini, hari ini.


IPOH - Umno perlu mengambil tindakan terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang didakwa menjadi dalang kepada provokasi semasa Konvoi Bersih 5 di Sabak Bernam, 8 Oktober lalu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, tindakan tegas perlu dikenakan bagi menjadi pengajaran dan tauladan kepada ahli Umno lain supaya tidak melakukan perkara sama.

"Dalam salah satu manifesto BN pada 2013 adalah memberi jaminan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. Jadi, insiden yang berlaku ini jelas bertentangan dengan apa yang dijanjikan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dibaling telur angkara masuk kawasan lawan]

"Selaku ketua Umno bahagian dan ketua yang menggerakkan kumpulan baju merah ini, kami mahu tindakan tegas diambil atas kebiadapan yang telah dilakukannya terhadap orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Wisma Amanah Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Pemuda Amanah Perak, Safarizal Saleh dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah Perak, Saqif Ansorullah.

Terdahulu, insiden di Sabak Bernam itu dilaporkan berlaku melibatkan seorang pemuda bermotosikal berkuasa tinggi memakai baju Bersih 5 yang diserang segelintir penyokong kumpulan baju merah.

Menurut beliau, pihaknya bukan sahaja kesal dengan provokasi dan serangan fizikal yang berlaku malah mempersoalkan tindakan Jamal yang menganggu perjalanan konvoi Bersih 5 itu.

"Kita tak faham apa tujuan mereka. Tujuan kita adakan konvoi dan seterusnya perhimpunan aman ini adalah untuk menuntut pembersihan dalam sistem pilihan raya. Ia juga bebas dilakukan mengikut lunas Perlembagaan," katanya.

Fitri berkata, beliau juga tidak menolak rata-rata ahli dalam kumpulan baju merah itu merupakan penyokong Umno berdasarkan beberapa bukti foto dan video yang telah tersebar di laman sosial.

"Walaupun ada menteri seperti Nazri Aziz, Khairy Jamaluddin menafikannya, kita percaya rata-rata daripada mereka adalah ahli Umno sepertimana bukti yang kita ada dan yang telah diviralkan," katanya.


SPRM perlu buru ahli politik, gesa Transparency Malaysia

Posted: 10 Oct 2016 02:21 AM PDT

 
Menurut statistik SPRM, hanya 2 ahli politik ditahan pada 2015 dan 2 lagi setakat Oktober tahun ini.


Akhbar Satar


KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu ahli politik juga, susulan tangkapan berprofil tinggi beberapa penjawat awam mutakhir ini.

Badan pemantau ketelusan itu memetik statistik SPRM yang menunjukkan hanya 2 ahli politik ditahan daripada 670 orang pada 2015 dan 2 lagi setakat Oktober tahun ini.

"Kebanyakan kes ini barangkali bukan kes berprofil tinggi," kata Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan. "Mereka tidak disiarkan di media."

Katanya tinjauan Barometer Rasuah Malaysia 2014 menunjukkan parti politik paling korup di Malaysia, diikuti polis dan penjawat awam.

"Orang ramai tidak percaya ahli politik ada integriti, telus mahupun bertanggungjawab.

"Ketika rakyat bergelut untuk meneruskan kehidupan, ramai ahli politik menikmati kekayaan. Gaya hidup mereka mewah.

"Mereka ada rumah mewah di Malaysia dan di luar negara," tambah Akhbar.
Beliau berhujah ahli politik, termasuk penggubal dasar dan undang-undang, tidak sepatutnya melanggar undang-undang.

"Ahli politik perlu menunjukkan teladan kepada rakyat," katanya.

Akhbar turut menyentuh ketiadaan kuasa pendakwaan untuk SPRM, menyebabkan mereka yang tidak maklum akan hakikat itu menyangka badan pencegahan rasuah bersikap memilih, terutamanya dalam kes melibatkan ahli politik.

"Ramai tidak sedar SPRM tidak ada kuasa untuk memulakan pendakwaan terhadap kesalahan amalan rasuah, mereka hanya ada kuasa untuk menyiasat.

"Jadi, tidak benar untuk dakwa SPRM bersikap memilih, terutamanya kes melibatkan ahli politik," kata Akhbar, dan menambah hanya Peguam Negara yang boleh memutuskan soal pendakwaan seperti yang termaktub dalam Perkara 143(3) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden TI-M itu juga percaya para hakim perlu memainkan peranan dengan menjatuhkan hukuman maksimum ke atas mereka yang disabit kesalahan rasuah, sebagai amaran kepada orang lain.

Beliau meyimpulkan ahli politik yang jujur, disegani dan tiada cacat cela akan membantu SPRM memerangi rasuah.

HARAPAN KEPADA MAJLIS RAJA-RAJA

Posted: 10 Oct 2016 02:16 AM PDT

 shahbudindotcom


Esok 11 hingga 13 Oktober 2016, akan berlangsung Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Selain sudah mempersembahkan Deklarasi Rakyat kepada Yang Dipertuan Agong, Tun Mahathir Mohamad pada minggu lalu turut mengumumkan bahawa deklarasi yang ditandatangani oleh 1.2 juta penandatangan itu akan juga dipersembahkan kepada semua Raja-Raja Melayu.

Berikutan kemelut yang berterusan dalam negara, ramai yang mengharapkan Majlis Raja-Raja yang mupa bermesyuarat esok akan dapat berbuat sesuatu demi kepentingan rakyat dan negara.

Mungkinkah, sebagaimana sebelum ini Majlis Raja-Raja membuat teguran terhadap kerajaan berkenaan penyiasatan terhadap 1MDB, maka kali ini sekali lagi Majlis Raja-Raja akan menunjukkan keprihatinannya?
 
 
 
 
Di bawah ini pula ialah kenyataan media oleh Mahfuz Omar dalam isu yang berkaitan. Sama-sama kita mendoakan.


KENYATAAN MEDIA MAHFUZ OMAR, AHLI PARLIMEN POKOK SENA - PALING TIDAK MAJLIS RAJA-RAJA BOLEH MEMPERAKUI KANDUNGAN DEKLARASI RAKYAT DAN MENYATAKAN HILANG KEPERCAYAAN KEPADA NAJIB.

1.  Hari ini rakyat menanti dengan penuh debar akan keputusan Majlis Raja-Raja yang akan bermesyuarat pada 11 Okt - 13 Okt 2016 bagi membincangkan hal-hal yang bersangkut paut dengan kepentingan rakyat dan negara. Di saat rakyat sedang berhempas pulas dengan keperitan hidup  menanggung kos kehidupan yang meningkat akibat dari PM Najib dan kerajaan Umno BN  yang ampunya angkara adalah tidak wajar Majlis Raja- Raja membiarkan keadaan menjadi  lebih buruk.

2. Kerosakan ekonomi kewangan negara berpunca dari korupsi, 1MDB dan isu salah guna kuasa PM Najib dengan mencengkam institusi perundangan membawa kesan kepada kehilangan kepercayaan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa. Adalah suatu yang sangat tidak wajar untuk membiarkan PM Najib terus berdiri gagah sebagai PM Malaysia dengan menyerang dan bertindak terhadap rakyat yang membongkar segala penyelewengan yang dilakukannya dengan mencengkam institusi perundangan melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan.

3.Apa yang  lebih menyedihkan apabila Raja-Raja iaitu kuasa Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong dalam urusan keselamatan dan pengistiharan darurat dirampas oleh PM Najib melalui akta MKN yang diwujudkan dengan menyalah-gunakan kuasa majoriti mudah di Parlimen memansuhkan kuasa Yang Di Pertuan Agong (YDPA).

4. Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada kali ini sangat penting untuk Raja-Raja menterjemahkan ungkapan 'Raja dan rakyat berpisah tiada'. Tanpa rakyat tiada lah Raja. Walaupun  sukar untuk Majlis Raja-Raja khususnya  YDPA untuk memecat PM Najib tetapi paling kurang Majlis Raja-Raja boleh memperakui kandungan 'Deklarasi Rakyat' yang di tandatangani 1.2 juta rakyat Malaysia dan menyatakan  hilang kepercayaan kepada PM Najib tetapi tidak dapat bertindak untuk memecatnya kerana halangan undang undang. Walaupun ada pertikaian dalam mentafsirkan kandungan kuasa YDPA dalam Perlembagaan. Tetapi sudah cukup bagi saya untuk mengubat luka hati rakyat Malaysia serta memberi makna  'Raja dan rakyat berpisah tiada'.

 Ampun Tuanku

DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
10 Okt 2016/9 Muharam 1438H.
 
 
 

Tubuh ‘Majlis Pengangkutan’ buang masa, kata pengusaha teksi

Posted: 10 Oct 2016 02:12 AM PDT

 
Sebuah persatuan pemandu teksi mempersoalkan penubuhan MPN kerana sudah wujud 2 badan yang masih tidak dapat menjalankan tugas dengan berkesan.


Liow-Tiong-Lai


PETALING JAYA: Pengusaha pengangkutan awam hari ini mempersoalkan keperluan menubuhkan Majlis Pengangkutan Nasional (MPN) yang bakal dipengerusikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

MPN akan berperanan membantu menyelesaikan masalah dihadapi di setiap negeri.

Bagaimanapun, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) berkata kewujudan pihak berkuasa sedia ada seperti Jabatan Pengangkutan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih belum memberikan kesan yang diharapkan.

"Sedangkan dengan bantuan SPAD dan JPJ pun sudah haru biru industri pengangkutan, ini ditambah lagi sebuah badan yang kononnya dapat membaik pulih isu berkaitan pengangkutan yang dihadapi di setiap negeri," kata Presiden PERS1M, Kamaruddin Mohd Hussain, kepada FMT.

Secara berseloroh, beliau turut menawarkan diri mempengerusikan MPN.

"Buat apa habis duit kerajaan tubuhkan itu ini. Kita perkasakan apa yang ada dahulu. Betulkan masalah sedia ada, baru fikirkan buat penambahan badan pertubuhan baru," katanya.

MPN ditubuhkan sebagai platform membincang, mengkaji dan menyelasaikan isu berkaitan pengangkutan yang dihadapi di setiap negeri membabitkan kementerian dan semua agensi berkaitan di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali kesal kerana penubuhan MPN tidak mengambil kira pendapat mereka yang berkepentingan dalam industri pengangkutan awam.

"Sebagai salah seorang orang berkepentingan di dalam industri, sepatutnya saya dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya terdapat sebarang perubahan, rombakan atau penubuhan.

"Sekarang saya sendiri keliru dengan peranan dan agensi berkait pengangkutan ini. Apa salahnya mereka menghubungi kami mendapatkan maklum balas atau sebarang cadangan sebelum menubuhkan sebuah lagi agensi bagi menyelesaikan masalah industri pengangkutan," katanya.

Polis Ambil Keterangan Siti Kassim Malam Ini

Posted: 10 Oct 2016 01:57 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Siti Kassim.
 
 
PETALING JAYA: Peguam dan aktivis Siti Kassim dipanggil polis kerana menunjukkan jari tengah kepada penonton yang hadir pada forum mengenai Rang Undang-Undang Syariah PAS bulan lepas.

Siti berkata dia akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pukul 8 malam Isnin.

"Adakah saya menyesal melakukannya? Nah dalam keadaan ini saya tidak mempunyai cara lain untuk menyatakan rasa meluat saya kepada mereka yang mengganggu saya," tulisnya dalam laman Facebook Siti Kasim pada Isnin.

Siti menunjukkan jari tengah kepada penonton yang mengejek tindakannya kerana membantah forum PAS bertajuk 'Pindaan Akta 355: Antara Realiti Dan Persepsi" pada 5 September lalu.

Forum tersebut diadakan bagi mengulas kontroversi usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Usul itu dibentangkan sebagai rang undang-undang (RUU) persendirian Mei lalu tetapi akan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat akan datang.

Maria Chin Fail Saman Terhadap Jamal Yunos

Posted: 10 Oct 2016 01:54 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah memfailkan saman terhadap ahli politik, Datuk Jamal Md Yunos kerana didakwa membayangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil itu sebagai ejen kumpulan militan IS.

Pada 28 September lalu, Maria mendakwa Jamal melontar kata-kata berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Maria berkata Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu pada 4 Oktober lalu sekali lagi melemparkan kenyataan fitnah terhadap Bersih pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Balai Polis Bukit Aman.

Beliau berkata kenyataan itu disiarkan oleh media cetak dan pelbagai portal berita dalam talian.

Bercakap kepada pemberita di sini selepas memfailkan saman di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi, peguam utamanya, N. Surendran mendakwa kata-kata yang dilemparkan Jamal didakwa memfitnah Maria kerana beliau adalah pengerusi Bersih.

"Menuduh Bersih dengan dakwaan serius itu, ia adalah fitnah terhadap beliau.

"Kami akan menyoalnya (Jamal) dan mendedahkan dakwaan terhadap anak guam kami adalah pembohongan semata-mata," kata Surendran

Pelakon Drama Aidil Aziz Didakwa Edar 465 Gram Ganja

Posted: 10 Oct 2016 01:52 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Aidil Aziz. Foto dari Instagram miliknya
 
 
KUALA LUMPUR: Pelakon drama Aidil Aziz dan dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Jumaat, atas pertuduhan mengedar 465.61 gram ganja dua minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Aidil, 29, atau nama penuhnya Mohd Aidil Abdul Aziz, Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 36, dan warga Filipina, R. Guevara Cortez, 33, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ganja seberat 465.61 gram di No 1 Jalan Ampang Ulu, di sini, pada 12.40 tengah hari, 24 September lepas.

Aidil, Omar Sayeed yang bekerja sendiri dan Guevara seorang jurutera teknologi maklumat didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed manakala Aidil diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Omar Sayeed diwakili peguam G. Jaya Prem manakala Guevara tidak diwakili peguam.
 
Mahkamah menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes dan laporan kimia. Turut hadir di mahkamah anggota keluarga tertuduh dan juga pelakon drama 'Kaza'. - Bernama

KKM Siasat Isu Ambulans Lewat

Posted: 10 Oct 2016 01:46 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan siasatan lanjut berhubung kes kelewatan ambulans dan penggunaan peralatan lapuk yang menyebabkan kematian dua pesakit walaupun kes itu disifatkan sebagai terpencil.

Isu tersebut dibangkitkan selepas penyebaran dalam laman sosial tentang kes seorang lelaki di Subang Jaya meninggal dunia akibat kelewatan ambulans mengambil masa 35 minit untuk tiba di lokasi.

Mangsa mengadu sakit dada dan kesukaran kenafasan ketika membuat panggilan kecemasan itu.

Akaun media sosial yang menggunakan nama Syahiza Radzi turut mendakwa ambulans berkenaan tidak dilengkapi tabung oksigen.

"Apabila melihat rekod panggilan, operator mengambil masa tujuh minit bermula daripada menerima panggilan kecemasan untuk menghubungi pihak hospital bagi menghantar ambulans.

"Jumlah keseluruhan panggilan yang diterima operator untuk ambulans pada hari tersebut? Satu (sahaja)," dakwa pemilik akaun itu.

Awal September lalu, seorang mangsa kemalangan jalan raya terbunuh ketika dibawa menaiki ambulans di Jelebu, Negeri Sembilan.

Mangsa dipercayai terhumban daripada pengusung kerana tidak diikat dengan kemas selain ahli keluarga mangsa mendakwa ambulans tiba lewat selama 20 minit.

Mengulas tentang dua kes tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, beliau percaya dua kes itu sebagai kes terpencil, tetapi pihak kementerian tetap menyiasat insiden terbabit.

"Kebiasaannya, ambulans akan mengambil masa sehingga 15 minit. Mereka pasti tiba.

"Jadi saya percaya kes ini terpencil dan saya tidak maklumat terperinci. Kami akan melancarkan siasatan lebih lanjut," kata beliau.

Noh Nak Ajar Azmin Urus PPR

Posted: 10 Oct 2016 01:43 AM PDT

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
Noh meninjau permasalahan penduduk di PPR Lembah Subang 2 ketika mengadakan lawatan kerja pada Isnin. -fotoBERNAMA
 
 
SUBANG: Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa menyerahkan kembali pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 kerana didakwa tidak diselenggara dengan baik.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung isu berkenaan pada Selasa.

"Kerajaan negeri tolong kembalikan pengurusan PPR Lembah Subang 1 kepada pihak kementerian.

"Saya dimaklumkan bahawa rumah dan tanah adalah milik kerajaan Persekutuan, dari segi undang-undang itu ialah harta kami...harta kerajaan Persekutuan," katanya pada Isnin.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke PPR Lembah Subang 2 di sini.

Selain itu menurut Noh, sejak pengurusan PPR Lembah Subang 1 diserahkan kepada kerajaan Selangor beberapa tahun lalu, penduduk perumahan itu hidup serba daif terutama daripada aspek pengurusan lif dan pelupusan sampah.

"Cukup-cukuplah...sudah lebih lapan tahun memerintah, saya lihat kerajaan negeri tidak mengambil berat, tidak ambil peduli rakyat.

"Serah kepada kita,  biar kita ajar, kita nak sekolahkan kerajaan negeri bagaimana nak membela nasib orang miskin bandar.

"Jadi kerajaan negeri tolong serahkan dengan cara baik sebagai mana kami serahkan pengurusan dengan cara baik," katanya.

Samseng baju merah: Surat terbuka MP kepada IGP

Posted: 10 Oct 2016 01:31 AM PDT


 
Oleh LIM LIP ENG


Saya menulis surat terbuka ini bagi mendapat jawapan kepada beberapa kerunsingan orang ramai terhadap perilaku anggota Umno berbaju merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Pertamanya, kenapa Jamal dan ketua-ketua samseng baju merah tidak ditahan dalam lokap sementara menunggu pertuduhan jenayah di mahkamah seperti yang biasa dilakukan terhadap orang awam yang didakwa melakukan kekerasan dan intimidasi jenayah?

Adakah laporan media dan rakaman video gelagat samseng budak-budak Jamal terhadap peserta konvoi BERSIH 5 sepanjang dua minggu lalu palsu belaka?

Adakah rakyat sekarang boleh meniru aksi serangan samseng baju merah tersebut ke atas peserta konvoi BERSIH 5, seperti menendang kereta, merosakkan cermin sisi kereta dan mencederakan serta mengugut orang lain di hadapan mata anggota polis tanpa risau akan ditangkap?

Atau adakah ini satu keistimewaan yang dikurniakan kepada samseng baju merah yang melakukannya atas nama Umno?

Adakah saya atau siapa-siapa sahaja kini dibenarkan undang-undang untuk menuduh sesebuah organisasi telah diresapi anasir Da'esh berdasarkan khabar angin seperti yang dilakukan oleh Jamal terhadap BERSIH?

Adakah saya juga kini boleh membuat tuduhan liar terhadap sesiapa sahaja, contohnya terhadap Ketua Polis Negara dan Jamal, kononnya telah mengupah pengikut-pengikut untuk memalsukan akaun Facebook saya di mana saya mengulangi ugutan rusuhan kaum 13 Mei; sepertimana Jamal telah menuduh DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam hal akaun yang didakwa palsu oleh Jamal semalam?

Jamal didakwa telah menulis di akaun "Facebook palsu" berkenaan: "Ini mesti LGE DAP Ketua Menteri P Pinang yang mengupah budak-budaknya memalsukan akaun FB saya."

Jika saya membuat tuduhan tidak berasas terhadap Tan Sri Khalid Abu Bakar, adakah Tan Sri akan terus mengeluarkan arahan tangkapan melalui Twitter supaya saya diberkas kerana fitnah jenayah, kutukan dan caci maki terhadap reputasi baik Tan Sri?

LIM LIP ENG adalah Ahli Parlimen Segambut

Dr M: Tanpa si 'korup' pun, Umno tiada masa depan

Posted: 10 Oct 2016 01:28 AM PDT

DETIK DAILY
 



WAWANCARA Liku politik Tun Dr Mahathir Mohamad memang sukar dibaca dan penuh warna-warni – daripada pengkritik Tunku Abdul Rahman kepada perdana menteri lebih dua dekad.Justeru, walaupun seperti berpatah arang berkerat rotan dengan Umno, banyak pihak masih mencongak kemungkinan beliau kembali ke pangkuan parti Melayu itu.


Ini kerana, Mahathir sebelum ini dalam kempen-kempennya hanya menyasarkan serangan pada sosok Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukan Umno-BN.

Soalnya, adakah mungkin Mahathir kembali pada Umno jika Najib bukan lagi orang nombor satu parti itu, seperti ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur pada 2009?

"Tidak, saya tidak fikir begitu.

"Saya sudah lepas tahap itu," katanya tegas dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lepas.
Beliau malah beranggapan, parti yang dianggotai lebih 60 tahun itu, kini sudah melepasi tahap boleh diselamatkan, walaupun "pemimpin korup" berundur?

Dalam wawancara kira-kira 20 minit di Putrajaya it, Mahathir juga keberatan menamakan secara langsung siapa yang dipercayainya untuk mengepalai negara ini.

Bercakap soal Muhyiddin, yang memimpin serpihan Umno Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU), Mahathir hanya berkata beliau yakin bekas timbalan Najib itu akan dapat memimpin parti.
Bagaimanapun, kelihatan berhati-hati, pemimpin 91 tahun itu berkata, bab memimpin negara, itu soal yang lain.

Soalan: Kenapa BERSATU ada pengerusi dan presiden?
Mahathir: Kita tidak mahu tumpukan kuasa pada seorang individu. Jika tidak, jika ada salah guna kuasa, majlis (tertinggi) tidak mampu membendungnya.

Jadi lebih baik ada sebuah badan dipengerusikan oleh seorang pengerusi, yang akan menyeimbangkan kuasa presiden.

Ada orang tuduh Tun cuba kekang Muhyiddin dengan jadi presiden?
Itu biasalah orang kata. Tapi saya sudah terlalu tua untuk kawal orang. Tetapi saya percaya bekerjasama dua orang lebih baik berbanding usaha seorang.

Ada orang kata Muhyiddin tidak mampu pimpin parti. Boleh BERSATU hidup tanpa Tun?
Saya rasa BERSATU boleh hidup. Sudah tentu Muhyiddin ada di situ tetapi tidak bermakna dia akan kekal jadi presiden.

Kita akan buat pemilihan dan terpulanglah kepada anggota-anggota untuk tentukan sama ada beliau mampu teruskan atau tidak. Kita parti yang demokrasi.

Tun rasa Muhyiddin mampu memimpin?
Saya rasa buat masa ini, dengan sokongan diberikan, beliau boleh memimpin, (berhenti sekejap) parti. Sama ada beliau boleh pimpin kerajaan itu soal lain.

Apa peranan Mukhriz dalam parti?
Dia anggota parti dan jika dia dipilih untuk sebarang jawatan, dia ada hak bertanding. Dan jika dia terpilih dia terpilihlah.

Ada yang kata Tun mahu jadi menteri mentor macam mendiang Lee Kuan Yew.
Saya tidak ada cita-cita jadi menteri, menteri kanan atau menteri mentor atau apa pun.

Annuar Musa kata jika Mukhriz mahu jadi perdana menteri dia boleh balik pada Umno.
(Ketawa kecil) Saya rasa Umno tak akan hasilkan perdana menteri selama-lamanya.

Selain Muhyiddin, siapa yang Tun lihat mampu pimpin negara ini?
Ada banyak orang yang tidak dibenarkan masuk Umno khususnya. Sebab pemimpin Umno takut orang lebih baik daripada mereka masuk parti dan singkirkan mereka.

Pemimpin Umno makin hari jadi kurang dan kurang berkemampuan kerana mereka hanya benarkan orang kurang berkemampuan masuk parti.

Dan bila mereka mati, parti akan dipimpin oleh pemimpin yang lebih teruk. Dan bila orang itu pula mati, kualiti kepimpinan terus jatuh.

Boleh Tun namakan seseorang secara khusus yang Tun lihat boleh jadi pemimpin untuk negara ini?
Saya tidak boleh sebut secara khusus tetapi kita ada ramai orang yang minat masuk Umno contohnya, (tetapi) mereka ini disekat daripada masuk Umno.

Malah, Mukhriz pun dulu tidak dibenarkan masuk Umno.

Jadi saya harap bila kita tubuhkan BERSATU, mereka ini akan sertai kita kerana kita tiada sekatan terhadap kemampuan (mereka).
 
Ada nampak sesiapa dari kalangan orang muda untuk jadi pemimpin?
Saya tidak akan namakan mereka tetapi saya fikir mereka lebih terdidik daripada pemimpin sedia ada.

Bila orang muda ini berkuasa, patutkah mereka rujuk pada generasi lebih tua?
Generasi tua akan pergi. Mereka akan mati. Tidak ramai akan akan terus hidup. Mereka yang umur macam saya, berapa lagi yang tinggal? Mereka akan jadi tidak berupaya atau meninggal dunia.

Anak Tun, Mukhriz, cadang bataskan tempoh perjawatan perdana menteri kepada dua penggal. Tun sokong?
Ini trend seluruh dunia. Ada yang bataskan kepada sepenggal, ada yang dua penggal.

Tetapi apa yang penting, perdana menteri harus diberikan masa untuk berfikir, untuk faham kerjanya, untuk gubal dasar-dasar dan laksanakannya.

Dalam kes saya, saya ada 22 tahun dan oleh itu saya ada banyak masa untuk buat dan teliti semula apa yang telah dibuat.

Tetapi saya fikir jika seseorang itu terlalu lama (pegang jawatan), dia mungkin salah guna kuasa.
Dalam kes saya, saya putuskan letak jawatan, tanpa tekanan daripada sesiapa.

Tun tidak rasa cadangan ini ironik, memandangkan Tun sebagai perdana menteri paling lama di Malaysia?
Saya rasa Mukhriz sandarkan pada kejayaan saya. Pada masa saya, saya tidak dengar sesiapa pun suruh saya berundur. Saya letak jawatan sendiri.

Tetapi sekarang orang ramai mahu perdana menteri letak jawatan sekarang, jika boleh sebelum penggal pertama tamat. Ini kerana soal pencapaian (perdana menteri).

Jika pemimpin korup berundur, Umno boleh diselamatkan?
Ia tidak boleh diselamatkan lagi. Orang ramai sudah benci padanya.

Tun ada pertimbang untuk balik selamatkan Umno jika pemimpin-pemimpin sebegitu berundur?
Tidak, saya tidak fikir begitu. Saya sudah lepas tahap itu.

Tun menyesal tinggalkan Umno?
Saya memang kesal, kerana ia parti saya. Saya jadi anggota sejak tahun 1946. Saya malah pernah jadi presidennya. Tidak mudah untuk saya putuskan untuk tinggalkan parti itu.

Tetapi ia kini menjadi parti yang berbeza, bukan Umno asli yang diasaskan oleh tokoh pengasas-pengasnya.

Tun faham sekarang kenapa bekas-bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn yang tinggalkan parti?
Mereka sebenarnya tidak tinggalkan parti. Mereka anggota parti itu. Tetapi bila saya tubuhkan Umno baru (selepas Umno diharamkan pada 1988), mereka tidak masuk semula. Itu saja.

Tun faham sekarang kenapa mereka putuskan tidak masuk semula Umno?
Saya rasa situasi tidak sama. Saya tidak curi duit, saya tidak buat apa-apa salah.

Tetapi mereka ada hak untuk tidak sokong saya secara langsung atau bersama parti-parti lain.
Ehsan:Malaysiakini 


Yahudi berpuasa tetapi tolak hukum jenayah Islam

Posted: 10 Oct 2016 01:19 AM PDT

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK 





PERISTIWA Asyura (10 Muharram) mengingatkan kita tentang selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel daripada Firaun, kaum dan kezalimannya, serta tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya di dalam laut yang menandakan berakhirnya sebuah pemerintahan yang zalim.

Ini ditunjukkan oleh  orang Yahudi di Yathrib yang berpuasa pada 10 Muharram. Nabi SAW bertanya mereka tentang puasa tersebut. Lantas mereka beritahu bahawa pada 10 Muharram itulah Musa diselamatkan dan Firaun tenggelam, lalu mereka berpuasa sebagai tanda syukur. Nabi SAW menyebut bahawa 'kami lebih berhak dengan Musa daripada kamu'. Nabi perintah para Sahabat berpuasa 9 Muharram dan 10 Muharram supaya tidak sama dengan Yahudi.

Peristiwa di atas memberi pengajaran kepada kita dalam beberapa perkara:

1.Nabi dan umatnya lebih berhak dengan Nabi Musa daripada orang Yahudi.

2.Orang Yahudi sedia berpuasa tetapi tidak bersedia menerima ajaran Taurat yang lain seperti hukum jenayah, bahkan mereka telah mengubah hukum-hukum di dalam Taurat tersebut. Perkara ini hampir sama dengan masyarakat kita yang bersedia untuk berpuasa tetapi tidak bersedia menerima hukum jenayah yang ada di dalam al Quran.

3.Dalam ibadat berpuasa pun, Nabi SAW perintahkan kita supaya tidak sama dengan Yahudi, maka apatah lagi dalam perkara kehidupan yang lain.

4.Nabi Musa dan Bani Israel selamat daripada Firaun, bala tentera dan kezalimannya. Kezaliman Firaun sampai kepada kemuncak apabila mengaku dirinya Tuhan dan menzalimi Bani Israel.

Zalim banyak tahap. Paling tinggi syirik kepada Allah. Allah sebut: 'Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman paling besar." Syirik pula ada yang terang seperti menyembah berhala. Ada pula yang tersembunyi seperti ria' (ibadat untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain).

Ada juga syirik yang berbentuk mengadakan hukum selain hukum Allah. Yahudi banyak mengubah hukum dalam Taurat, termasuk hukum terhadap penjenayah zina. Barangkali ada umat Islam yang berpuasa Tasua dan Asyura, hari ini dan esok tetapi kuat pula menentang usul pindaan RUU 355. Yang tak puasa langsung, lagi kuat menentang.

Zalim juga berlaku dalam bentuk sistem pemerintahan, politik, ekonomi dan lain-lain. Pada zaman Firaun, tenaga dan keringat diperas daripada Bani Israel. Yang ada harta tetapi tiada tenaga, dipaksa bayar cukai kepada Firaun. Kekayaaan, emas, perak sangat mewah, tetapi bukan untuk rakyat. Piramid yang hebat bukan untuk rakyat tetapi untuk makam seorang raja.

Inilah peninggalan sistem Firaun yang diwarisi. Justeru, Asyura bukan sahaja untuk berpuasa sunat atau mengacau bubur asyura, tetapi ia juga mengingatkan kita bahawa sebenarnya selamat daripada sistem zalim dan pemerintahan yang zalim itu adalah nikmat yang besar. – HARAKAHDAILY

Penulis adalah Timbalan 1, Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu, Dewan Ulama PAS Pusat dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu


Mursyidul Am PAS baharu sedia galas tanggungjawab dengan penuh amanah

Posted: 10 Oct 2016 01:12 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


hashim-jasin


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS yang baharu, Hashim Jasin bersedia menggunakan pengalaman luasnya dalam dunia politik bagi menggalas tanggungjawab yang diberi dengan penuh amanah.

Hashim, 77, yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Perlis, berkata tugas yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan baik terutamanya bagi membantu Majlis Syura sama ada dalam soal kepartian atau hukum syarak.

"Saya akan cuba buat semampu mungkin. Sebenarnya saya masih terkejut dengan pelantikan semalam kerana saya sendiri hadir dalam mesyuarat itu dan tidak menjangka akan dilantik.

"Bagi saya, semua dalam Majlis Syura layak menjadi Mursyidul Am kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan tanggungjawab berat selama ini. Dengan jaminan ahli Majlis Syura, kami akan bersedia membantu satu sama lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Majlis Syura Ulamak PAS menerusi mesyuarat yang diadakan di Pejabat Agung PAS semalam sebulat suara memilih dan melantik Hashim sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Allahyarham Haron meninggal dunia bulan lepas kerana komplikasi jantung di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat.

Hashim merupakan antara pemimpin PAS paling kanan dan mempunyai kelulusan Ijazah Pertama Sastera Arab dan Perundangan Islam dari Universiti Baghdad Iraq selain pernah menjadi Anggota Parlimen Arau (1998), Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang (1999 hingga 2004) dan Pesuruhjaya PAS Perlis (2009 hingga 2013).— Bernama


‘Skandal’ Sabah bukti rasuah makin membarah – Anwar

Posted: 10 Oct 2016 01:08 AM PDT

INTAN NUR IDAYU


anwar-sprm-sabah


KUALA LUMPUR: Rampasan lebih RM114.5 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, baru-baru ini adalah bukti bahawa amalan rasuah semakin berlarutan dan terus membarah di dalam negara ini.

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata satu dasar yang jelas diperlukan bagi menjana perubahan dalam sistem tatakelola, pembanterasan rasuah serta ketelusan dalam proses pembidaan tender-tender kerajaan.

"Bayangkan jika pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah ini mampu mengumpul dana RM200 juta, apakah ini merupakan petanda tatakelola dan pengurusan buruk Kerajaan Pusat?

"Sepatutnya wang rakyat dan Jabatan Air Sabah diurus khusus untuk memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat Sabah.

"Maka, insiden ini membuktikan bahawa amalan rasuah sudah parah dan terus membarah di negara kita yang tercinta ini," kata Anwar dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Anwar berkata demikian ekoran daripada laporan baru-baru ini yang mana SPRM menjumpai wang tunai di dalam sebuah rumah salah seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dalam serbuan ke rumahnya.

Lantaran itu, Anwar berpandangan dengan adanya dasar yang jelas, beliau percaya ia akan dapat menjamin pengurusan teratur, jaminan nasib rakyat serta undang-undang dan penguatkuasaan kemas.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa pihaknya masih menantikan tindakan tegas SPRM terhadap kes pencurian wang negara yang didakwa berjumlah lebih RM16 bilion khususnya selepas pemfailan kes oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

"Tanpa tindakan tegas SPRM dalam isu ini, ia bagai memberi isyarat bahawa Perdana Menteri dan kroni-kroninya kebal undang-undang, dan institusi-institusi dimanipulasi untuk tindakan yang selektif," katanya.


Ais kiub perlu akuan halal

Posted: 09 Oct 2016 06:31 PM PDT

Ais kiub perlu akuan halal
Musa (kanan) dan Lokman (tengah) pada sidang media diadakan.


NILAI – Pemprosesan yang dilakukan bagi pembuatan ais kiub memerlukan produk terbabit mendapat perakuan sijil halal demi memastikan tahap kebersihan dan kualiti ais yang dihasilkan.

Presiden Persatuan Profesion Eksekutif Halal Malaysia (PEHMA), Dr Lokman Ab Rahman berkata, walaupun ais kiub  berada di bawah kategori produk neutral, namun ia masih belum boleh disahkan halal.

"Sebenarnya kalau mengikut prosedur tidak perlu halal kerana ia dikategorikan sebagai produk neutral sama seperti air laut dan air paip.

"Tapi disebabkan penghasilan ais kiub ini melibatkan pemprosesan, ia juga memerlukan pengesahan halal sama ada dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Program Professional Halal Analyst di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini semalam.

"Pembuatan kiub ais  ini melibatkan beberapa proses untuk sampai kepada pengguna dan itu mungkin ruang berlaku pencemaran yang turut melibatkan soal keselamatan dan mutu ais.

"Bagi saya ais kiub juga perlu ada sijil halal. Mana-mana syarikat yang rasa mampu memohon sijil halal, digalakkan buat permohonan kerana bagi saya ia satu keperluan hari ini," katanya.

Beliau berkata, selain membuat permohonan mendapatkan sijil halal, semua syarikat pengeluar makanan juga perlu memastikan penghasilan produk mereka menepati peraturan atau  standard ditetapkan.

"Bila Jakim sudah beri pengiktirafan halal bermakna mereka perlu patuh pada keseluruhan peraturan dan standard ditetapkan, bukannya hanya mengejar keuntungan semata-mata.

"Tapi apa yang mengecewakan apabila mereka beri alasan tidak faham sedangkan ketika permohonan itu dibuat telah dinyatakan prosedur yang perlu dipatuhi," katanya.

Jamal tidak mewakili peribadi Melayu, jangan jadi macam Jamal!

Posted: 09 Oct 2016 06:12 PM PDT

SHEIKH OMAR ALI
 
 
Tindakan ini bukan membela Melayu sebaliknya memalukan orang MelayuTindakan ini bukan membela Melayu sebaliknya memalukan orang Melayu
Kelakuan ala samseng kumpulan baju merah diketuai Jamal Yunos keatas peserta konvoi Bersih 5 adalah amat memalukan dan tidak menggambarkan keperibadian Melayu.

Perbuatan Jamal seperti merentap kain pemidang di Teluk Intan, mengadakan sidang media dalam jamban, insiden baling telur dan menerajang peserta konvoi Bersih 5 di Sabak Bernam adalah jelas sekali sebagai tindakan tidak bertamadun.

Tindakan ini bukan membela Melayu, sebaliknya memalukan orang Melayu. Jamal, anda bertanggungjawab kerana memalukan orang Melayu!

Sejak Bersih 1, 2, 3 dan 4 yang lalu, rakyat Malaysia berbilang bangsa termasuklah orang Melayu telah turut sama menyertainya.

Pengalaman peribadi saya sendiri sepanjang menyertai himpunan Bersih, rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang telah turun berhimpun atas semangat patriotik.

Kami mahu sistem pilihan raya dan sebuah kerajaan yang bersih. Ini akan memastikan Malaysia berjalan atas landasan yang betul demi masa depan anak bangsa termasuklah orang Melayu.

Saya fikir, Jamal yang lebih obses dengan kelakuan samseng dan membuat PC di dalam jamban pastinya tidak akan faham perkara ini.

Jamal pastinya lebih tidak faham suasana persaudaraan rakyat yang wujud sewaktu himpunan Bersih.
Jamal mana tahu ada orang-orang cina yang menjadi bentang untuk keselamatan peserta Bersih beragama Islam yang sedang menunaikan solat berjamaah.

Jamal juga tidak akan pernah terbayang bagaimana para peserta bersih tak kira bangsa saling bergilir-gilir menjaga keselamatan sewaktu tidur malam ketika Bersih 4 yang lalu.

Jamal tak tahu ada peserta Bersih berbangsa Cina dan India yang membantu mencurahkan air mineral kepada peserta muslim untuk mengambil wuduk ketika himpunan berlangsung.

Contoh-contoh diatas mungkin tipikal, tetapi amat penting dalam mencerminkan luhurnya hati budi setiap warga kita tanpa disuntik prejudis antara setiap anak bangsa.

Jamal memang tidak akan faham kerukunan rakyat ini kerana orang yang berkelakuan samseng dan bermentaliti 'jamban' pastinya lebih memilih untuk bertindak melulu ikut emosi samata-mata.

Lebih malang lagi, jika Jamal bertindak sedemikian kerana telah disumbat dedak ke mulutnya.

Dedak? Oh tidak... tak mungkin Jamal si pembela Melayu ini makan dedak. Jamal tidak akan memalukan orang Melayu dengan mengambil dedak demi misi-misi ala samseng tertentu. Betul tak Jamal?

Apapun, tindakan Jamal dan kumpulan baju merahnya ini tidak lebih sekadar menambah malu dan menjatuhkan maruah keperibadian orang Melayu.

Tidak perlulah Jamal berterus-terusan mendabik dada menjadi hero pembela Melayu.

Melayu ala samseng mana yang Jamal wakili? Melayu UMNO? Melayu yang masih pertahankan Najib yang amalkan kleptokrasi? Melayu yang berkawan dengan Jho Low? Yang rompak duit rakyat melalui skandal 1MDB sehingga nama Malaysia 'masyhur' seantero dunia?

Sungguh, Jamal tidak mewakili keperibadian orang Melayu. Jadi, janganlah kita jadi macam Jamal.

*  SHEIKH OMAR ALI adalah penolong setiusaha publisiti DAP Johor

Lebih 1000 anggota bomba Kelantan siap sedia hadapi kemungkinan banjir awal

Posted: 09 Oct 2016 06:07 PM PDT

BERNAMA
 
 
Musim tengkujuh di pantai timur Semenanjung mula tiba. Gambar fail.Musim tengkujuh di pantai timur Semenanjung mula tiba. Gambar fail.


Lebih 1,000 anggota tetap dan sukarela Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir berlaku lebih awal tahun ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata 650 anggota tetap dan lebih 500 bomba dan penyelamat sukarela yang berdaftar di seluruh Kelantan akan dikerah pada bila-bila masa jika bencana alam itu mula melanda.

"Kami juga menyelenggara lebih 60 bot termasuk satu bot jenis Amfibia dan peralatan menyelamat yang mampu digunakan pada bila-bila masa jika diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Sepak Takraw Anggota Bomba dan Penyelamat Kelantan sempena Hari Sukan Negara di Dewan Majlis Daerah Pasir Puteh di sini, malam tadi.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh menjuarai kejohanan itu manakala BBP Kuala Krai di tempat kedua, sementara BBP Bachok dan Tanah Merah masing-masing di tempat ketiga.

Mengulas lanjut, Azmi berkata pihaknya kini giat mengenal pasti kawasan rendah dan berisiko dilanda banjir terutama di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu.

Beliau berkata banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 akan dijadikan tanda aras untuk mempertingkat keupayaan menghadapi situasi lebih mencabar seperti meredah arus deras dan memasuki kawasan hutan serta rumah kediaman yang padat dengan penduduk.

"Jika keadaan banjir bertambah buruk kami akan memohon bantuan anggota bomba dan penyelamat dari negeri lain yang tidak dilanda banjir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata tiga balai bomba dan penyelamat baharu dijangka mula dibina hujung tahun ini atau awal tahun depan di Pasir Puteh, Kota Bharu dan Kuala Krai.

Beliau berkata ketiga-tiga balai bomba berkenaan amat penting untuk dibina berdasarkan pembangunan pesat di kawasan tersebut.

Rampasan RM114.5 juta: Siapa bakal kambing hitam di Sabah

Posted: 09 Oct 2016 06:05 PM PDT

 MOHD ALI HASHIM
 
 
Konvoi Bersih 5 dilepaskan di Sungai PetaniKonvoi Bersih 5 dilepaskan di Sungai Petani


Siapa yang akan dikambing hitamkan selepas rampasan RM114.5 juta di Sabah kali ini, satu Kemungkinan besar yang merupakan antara agenda tersembunyi pihak tertentu yang  tidak dapat dinafikan.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar semasa ceramah Bersih 5 yang telah diadakan di hadapan Yayasan Aman, Sungei Petani sempena gerakan konvoi Bersih di utara.
"Kita telah lama bersama dan kenal siapa pemimpin Umno.

"Jika bukan untuk kambinghitamkan mana-mana individu, isu ini tidak akan timbul pada waktu sekarang.
"Apa sebenarnya agenda yang tersirat disebalik isu rampasan terbesar SPRM terhadap dua penjawat awam kerajaan di Sabah, " tanya beliau lagi.

Malah katanya, sudah menjadi lumrah dalam Umno dan BN untuk mengkambinghitamkan individu lain bagi menutup kebobrokkan yang dilakukan oleh pimpinan mereka.

Beliau juga berkata, hanya masa yang akan membuktikan siapa yang akan menjadi mangsa kambing hitam menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Tegasnya lagi, tindakan untuk mengkambinghitamkan mana-mana mangsa adalah bagi menutup jerung besar yang sedang mengatur strategi untuk melepaskan diri bukan sesuatu yang mustahil.

"Begitu juga dengan laungan 'Hidup Melayu' yang sengaja dimainkan untuk menutup kebanjingan salah laku pemimpin Umno.

"Mereka perkudakan anak-anak muda dengan baju merah untuk jadi samseng jalanan.

"Ramai budak sekolah, pakai baju merah, ada lambang Umno terpampang, yang masih hingusan diajak buat kacau dan ganggu konvoi Bersih, " jelasnya lagi.

Ujarnya lagi, tindakan memperbodohkan anak-anak muda Melayu dengan aksi samseng dan mengganggu pergerakan konvoi Bersih amat memalukan.

"Kalau dah teringin sangat nak adakan himpunan, buatlah dimana saja.

"Kenapa mesti bersikap seperti samseng, pukul orang, seolah-olah negara ini tidak ada polis.

"Pihak berkuasa dan beri izin, kita konvoi dan berhimpun, kenapa nak halang, sekat dan ganggu orang lain, " tegasnya lagi.

Beliau juga menyeru anak-anak muda Melayu supaya jangan dibodohkan oleh Umno dengan hanya laungan 'Hidup Melayu' semata-mata, tetapi hidup anak muda dalam penuh beban.

"Bersih 5 memperjuangkan hak semua rakyat yang tidak mendapat pembelaan termasuklah pilihan raya yang bersih adil.

"Kita tuntut supaya hak besuara dan demokrasi sepenuhnya dilaksanakan, tanpa disekat oleh kerajaan.
"Kesemua tuntutan adalah untuk masa depan generasi muda termasuk rakyat yang ada di Sabah dan Sarawak, " tambahnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, anak-anak muda Melayu jangan terpedaya dengan dakyah Umno dengan mengganggu pergerakan konvoi Bersih 5 yang sedang bergerak sehinggalah ke kemuncaknya pada 19 November yang akan datang.

Lawan Bersih 5 secara intelektual, nasihat Perkasa kepada Baju Merah

Posted: 09 Oct 2016 05:56 PM PDT

Astro Awani
Lawan Bersih 5 secara intelektual, nasihat Perkasa kepada Baju Merah
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mendesak pemimpin kanan UMNO supaya menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya patuh kepada undang-undang. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya berdepan kumpulan Baju Kuning secara intelektual bukan menggunakan kekerasan.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan kumpulan Baju Merah sering menggunakan provokasi sebagai tanda tidak bersetuju dengan pihak lain termasuk Bersih 5.

"Kita boleh tidak bersetuju dengan kumpulan Baju Kuning (Bersih 5) tetapi ada caranya untuk kita bertindak balas iaitu dengan cara demokratik, cara intelektual, cara perbahasan, cara memberi hujah atau jawapan yang boleh diterima orang ramai kenapa kita tidak bersetuju.

"Kala cara menunjuk samseng, nak tunjuk kekuatan secara provokasi yang boleh mendatangkan kecederaan secara fizikal ia sesiatu yang tidak baik," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Ibrahim juga menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya membuat tindakan yang boleh memalukan umat Islam kerana kekerasan dan keganasan bukan ajaran Islam.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mendesak pemimpin kanan UMNO supaya menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya patuh kepada undang-undang.

"Kumpulan Baju Merah ini dikaitkan dengan UMNO kerana yang terlibat adalah dari kalangan yang mendokomg UMNO, jadi saya rasa elok sangat kalau Perdana Menteri atau pemimpin kanan UMNO, kalau tak nak rugi dari segi sokongan rakyat, elok nasihatkan kumpulan Baju Merah supaya mengikut undang-undang.

"Begitu juga kumpulan Baju Kuning, mereka juga perlu mengikut undang-undang," katanya lagi.

Ibrahim turut mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak tegas terhadap kumpulan-kumpulan yang melakukan keganasan dan kekerasan.

"Jangan sampai nasi menjadi bubur," tegas beliau.

Awal hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mengecam tindakan ganas yang dicetuskan penyokong Baju Merah ke atas aktivis Bersih 5 dalam kejadian di Sabak Bernam pada Sabtu.

Katanya, amalan demokrasi di negara ini tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.

"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam.
 
"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang terlibat," katanya.

Pada Sabtu, viral di media sosial video menunjukkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang memakai baju Bersih 5 dikepung oleh sekumpulan peserta Baju Merah.

Pada mulanya penyokong Baju Merah tersebut menolak motosikal lelaki itu dan kemudian salah seorang peserta Baju Merah menendang lalu mereka melemparkan objek seperti botol dan telur ayam ke arahnya. 
 
 

Halakan terajang kamu kepada MO1, cabar Pemuda Amanah

Posted: 09 Oct 2016 05:54 PM PDT

ARIF ATAN
 
 
Kenderaan milik Khairuddin Daud dipecahkan oleh samseng anti Bersih di Tawau hari iniKenderaan milik Khairuddin Daud dipecahkan oleh samseng anti Bersih di Tawau hari ini


Pemuda Amanah Nasional mencabar kumpulan samseng baju merah yang dikepalai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos supaya mengadakan demonstrasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, mereka harus berhimpun di PWTC menuntut Presiden Umno yang juga Perdana Menteri sebagai Malaysian Official 1 (MO1) untuk meletakkan jawatan jika mereka mempunyai maruah.

"Tuntut juga MO1 untuk ditangkap dan dibicarakan atas perbuatan jenayahnya dan jika kamu berani halakan sepak terajang kamu ke arah MO1," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas insiden geng penyokong tegar Umno itu melempar telur dan menerajang individu bertshirt Bersih di Sabak Bernam, Selangor siang tadi, Faiz berharap kejadian itu tidak mematahkan semangat rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Pemuda Amanah melahirkan simpati kepada mangsa yang menyertai konvoi Bersih ini dan mengharapkan beliau terus bersemangat untuk terus berjuang demi perubahan yang lebih baik kepada negara.

"Rakyat usah bimbang dengan kejadian ini yang seharusnya dijadikan suntikan semangat perjuangan menjatuhkan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti," ujarnya.

Mengulas kempen Bersih 5 yang rancak berlangsung di seluruh negara, beliau berkata, himpunan Bersih 5 adalah titik mula kepada perjuangan berkenaan.

"Rakyat diseru turun beramai-ramai pada 19 November ini. Politik takut yang diamalkan oleh Umno ini harus ditolak oleh rakyat demi masa depan negara," tambahnya lagi.

Konvoi Bersih 5 hari ini menyaksikan aksi provokasi daripada pihak penyokong Umno yang bertshirt merah.

Di Alor Setar, kumpulan samseng bermotosikal itu dipercayai dikepalai Ketua Pemuda Umno negeri, Syed Hafiz Syed Mustapha cuba menyekat konvoi Bersih yang hendak bergerak dari Jalan Bahiyah pagi tadi.

Mereka menjerit-jerit termasuk mendesak orang Melayu jangan menjadi "balaci Cina".

Di laluan Teluk Intan-Bidor pula, Jamal mengetuai kumpulan samseng berbaju merah itu dengan membuat sekatan sebelum pihak polis menghentikan semua kenderaan samseng berkenaan bagi membolehkan konvoi Bersih dan pengguna jalan raya lain bergerak.

"Kalau saya pegang stereng, saya tidak tahu apa jadi, nasib kawan saya pegang stereng, saya duduk di belakang," tegasnya ketika ditanya pemberita.

Sementara itu di Kota Tinggi, salah seorang geng samseng berkenaan bertindak agresif menghalang konvoi Bersih sebelum ditangkap oleh pihak polis.

"Ini Kota Tinggi. Ini Kota Tinggi. Hey, Ini Kota Tinggi maa... Yang bersuara sekarang anak jati Kota Tinggi. This is Kota Tinggi. Kota Tinggi sudah Bersih. Dah. Habis. Cukup. Jangan huru-harakan," ucap seorang wanita bertudung ungu.

Di Tawau, cermin kereta peserta #KonvoiBersih Sabah antaranya milik Khairuddin Daud
dipecah manakala tayar dibocorkan oleh kumpulan samseng pro-Umno.

Pekerja wanita muda ditemui mati dalam bilik spa

Posted: 09 Oct 2016 05:49 PM PDT

ASTRO AWANI


Pekerja wanita muda ditemui mati dalam bilik spa
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. - Gambar fail
 
 
KOTA KINABALU: Seorang pekerja wanita berusia 22 tahun ditemui mati oleh pengurusnya di sebuah spa di Jalan Mat Salleh, Tanjung Aru, di sini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata mangsa, yang baru bekerja di spa berkenaan sejak tiga bulan lepas, ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan mulut berdarah dan kaku dalam salah sebuah bilik di premis berkenaan.

"Polis menerima panggilan daripada pengurus spa berkenaan pada pukul 11.39 pagi dan pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kesan selongkar atau geledah di dalam bilik berkenaan.

"Tiada sebarang senjata dan sebarang sebarang ubat-ubatan yang dijumpai di kawasan sekitar lokasi berkenaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan.
 
Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. - BERNAMA 
 
 

Aman pilihan kami, ambil tindakan kepada provokator, kata koordinator Bersih

Posted: 09 Oct 2016 05:45 PM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Samudin KambaliSamudin Kambali


Tindakan kumpulan 'Baju Merah'yang melintangkan lori di kawasan lampu isyarat mengejutkan peserta konvoi Bersih 5 Kulai = Keluang.

"Kami mendesak agar tindakan susulan dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia agar aksi sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan," kata koordinator konvoi, Samudin Kambali dalam satu kenyataan.

Tidak cukup setakat itu katanya, mereka juga menghamburkan kata-kata kesat dan maki hamun selain turut mengetuk kenderaan peserta konvoi bersih.

"Kami mempersoalkan apakah kuasa yang mereka ada sehingga sewenang-wenangnya bertindak menghalang lalu lintas.

"Tindakan itu cukup mengejutkan kami yang baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di masjid berdekatan," katanya.

Menurutnya, keadaan ini tidak mematahkan semangat peserta dan mengubah laluan kami ke Kluang melalui Renggam dengan jayanya.

"Walaupun terkilan tindakan itu, kami tidak patah semangat dan akan tetap akan meneruskan konvoi ini sehingga ke kemuncak Himpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 19 November nanti kerana kami tegas yakin bahawa ini ialah himpunan yang patriotik dan demoktratik," katanya.

Bagaimanapun bagi beliau konvoi Bersih 5 Kulai-Kluang etarikh 8 Oktober itu telah berlangsung dengan jayanya.

"Pujian dan ucapan tahniah kepada PDRM Johor di atas komitmen dan kawalan keselamatan yang cukup baik demi memastikan konvoi ini berlangsung aman.

"Berhubung ugutan dan provokasi pihak 'Baju Merah, Pihak konvoi Bersih 5 Selatan sedia memberi kerjasama kepada pihak Polis DiRaja Malaysia dan mengubah laluan agar objektif konvoi ini berlangsung aman tercapai," katanya.

Adalah menjadi kewajipan katanya, bagi peserta Konvoi untuk mematuhi undang-undang yang termaktub dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.

"Kami memilih jalur aman dalam menyampaikan tuntutan kami," katanya.

Namun menurutnya, pihak konvoi kecewa dengan tindakan provokasi yang dilakukan oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai 'Baju Merah' yang menyebabkan wujudnya situasi tidak aman.

"Kami mendesak agar tindakan susulan dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia agar aksi sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan.

"Insiden ini bukan kali pertama.

"Insiden di Teluk Intan dan Sabak Bernam memberi isyarat, tindakan tegas perlu diambil.

"Hak berhimpun dilindungi oleh perlembagaan. Tetapi samseng dan gangsterisme merupakan kesalahan dibawah undang-undang dan membahayakan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: