Isnin, 10 Oktober 2016

.

.


Umno tidak bermimpi lagi di Kelantan?

Posted: 09 Oct 2016 09:47 PM PDT

RENCANA KHAS

Umno Kelantan akan mengadakan konvensyen tahunan pada 15 Oktober ini. Sekali lagi tema yang di pilihan "PRU14 Kelantan Milik BN? Jikalau tidak salah tajuk ini juga menjadi tema konvensyen tahun lepas. 

Tajuk atau tema itu menampakkan UBN Kelantan optimis sekali akan membentuk kerajaan selepas Piraum 14 kelak. Dengan memberi fokus kepada iltizam itu mungkin ia mampu membangkitkan semangat ahli, penyokong dan rakyat Kelantan untuk menukar tampuk kerajaan Kelantan. Tema itu bisa mengasak ahli-ahli dan penyokong UBN agar bergerak ke arah menjadi kerajaan di Kelantan.
Apakah unjuran yang diletakkan oleh UBN sehingga ia yakin akan menumbangkan kerajaan Pas Kelantan? Tentu UBN ada strategi dan rahsia tersendiri dalam perkara ini. Ia menarik untuk kita jenguk melihat kemungkinan ini dengan membuat perkiraan dari luar kerahsiaan parti berkenaan. Apakah harapan UBN itu sebuah realiti atau pun ia masih merupakan igauan berpanjangan?

Ketiadaan Nik Aziz dan Husam.
Ketiadaan Nik Aziz dan Husam untungkan UBN.
Lama sebelum ini UBN mengimpikan akan menawan Kelantan selepas Pas kehilangan kepimpinan spiritual mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Para pemimin UBN yakin kalau Pas tidak lagi dipimpin oleh murabbi ummah itu mereka akan mampu untuk menewaskan Pas. UBN percaya kekuatan Pas Kelantan bukan kepada pencapaian dalam kerajaan tetapi kerana ketokohan Nik Aziz sebagai tokguru dan ilmuan terulung. Ketaksuban kepada Nik Aziz mengemaskan undi kepada Pas.

Ketokohan Nik Aziz dalam bidang itu tidak tertanding oleh UBN. UBN tidak berjaya memacakkan seorang yang setanding dengan bekas Mursyidul Am itu. Walaupun UBN telah berusaha mengirimkan beberapa tokoh agama ke Kelantan bagi menyaingi pengaruh Nik Aziz, namun ia tetap tidak berhasil. Tokoh-tokoh itu malangnya terkulai begitu sahaja mati sebelum dipanggang.

Beberapa pensiun dari Pusat Islam atau kini dikenali dengan Jabatan Hal Ehawal Kemajuan Islam (Jakim) seperti Zainal Abidin Abdul Kadir, (bekas pengarahnya) Che Min Che Mat, Mustapa Toib dan lain-lain pernah dihantar untuk menyaingi pengaruh Nik Aziz tetapi tidak berjaya. Malahan tokoh-tokoh itu membuat cemar pula kepada UBN dengan sikap sarkastik mereka terhadap Nik Aziz. 

UBN sangat menyedari akan hal ini. Tokoh-tokoh profesional dari berbagai-bagai bidang tidak berjaya mengatasi kehebatan Nik Aziz. Antara tokoh-tokoh profesional yang dipertaruhkan UBN termasuklah Awang Adek Husin, bekas naib Gebenur Bank Negara, Apandi Ali, serta Mustapa Mohamed sendiri yang pakar dalam bidang ekonomi.
Kini Nik Aziz sudah pun lebih setahun meninggalkan dunia dan menyerahkan khazanah kerajaan Pas Kelantan kepada Ahmad Yakob. Ahmad dianggap tidak setanding dengan Nik Aziz. Beliau hanya seorang ustaz yang kerjayanya sebagai guru tanpa apa-apa ketrampilan yang spesifik. Kemunculan Ahmad dalam Pas tidak sama dengan kemunculan Nik Aziz, yang sebelum dibawa turun ke Kelantan (1982) Nik Aziz sudah mencipta nama dalam gelanggang Pas sebagai Ketua Dewan Ulama.

Malahan kehadiran Ahmad itu sendiri sebagai TMB kemudian menjadi MB adalah atas nasib kerana ketika itu Pas berhadapan dengan TMB sedia ada Abdul Halim Abdul Rahman yang dikatakan cuba mengkhianti kepimpinan tokguru dengan mahu merampas kerusi MB. Ahmad adalah penanggung jawatan itu menerusi nasib bukan karismatiknya ditambah dengan politik khianat dalam Pas.

Justeru dalam perkiraan UBN Ahmad bukan ancaman atau pokok keramat kepada mereka. UBN tidak merasa "seriau" dengan Ahmad. Bahkan Ahmad boleh dijinakkan dengan berjanji untuk mengatasi masalahnya. Sebaliknya orang yang digeruni UBN ialah Husam Musa exco kanan yang dicanang bakal mengambil alih kepimpinan kerajaan Kelantan daripada Nik Aziz. Kalau MB Kelantan kini dipegang Husam mungkin konvensyen Umno ditukar kepada mauduk lain?

Ini kerana UBN dapat merasakan Husamlah orang yang menjana politik Kelantan dan antara pemain utama dan arkitek menjadikan kerajaan Pas Kelantan sebuah kerajaan mirip Islam progresif. Beberapa projek atau idea ditetaskan Adun Salor itu khasnya dalam soal pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan rakyat disenangi oleh orang ramai yang sekaligus menjadi beliau popular.

Jadi apabila Husam tidak lagi bersama Pas, UBN semacam bernasib baik mereka hilang kedua orang yang membayangi mereka selama ini. Lebih menarik dan dikira menguntungkan UBN lagi, selain mereka terselamat dari berdepan dengan kedua-dua mereka itu perkembangan dan senario politik Pas Kelantan kini juga memihak kepada mereka.

Sikap rakyat Kelantan.


Apa yang berlaku itu kemujuran kepada UBN kerana perubahan itu yang kesekian lama dinantikan. Sebenarnya bukan itu sahaja fenomena yang menghalang UBN untuk tawan Kelantan. Sikap rakyat Kelantan yang setia dengan Pas dan sukar untuk melupainya menyebabkan UBN payah untuk menguasai Kelantan. Kelantan dikenali sebagai kubu Pas sejak tahun 1959.

Dalam neraca politik orang Kelantan mereka menimbang dua parti sahaja, kalau tidak Umno, Pas. Sebab itu kedua-dua parti itu sudah bertukar ganti memerintah Kelantan. Dalam membuat pemilihan dan pertimbangan ini mereka melihat kepada beberapa faktor berkaitan dalam kedua parti itu. 

Antaranya ialah komitmen dan ketokohan (saksiah) pemimpin parti-parti berkenaan. Soal "deliver"  sesebuah kerajaan itu tidak begitu penting buat mereka kerana sikap orang Kelantan yang qanaah menerima apa sahaja yang ada. Didikan dan dogma agama yang fanatik menjadikan mereka bersikap demikian. Rela dan redha.

Dari segi komitmen yang dilihat ialah untuk melaksanakan Islam di Kelantan. Mereka mahu Kelantan yang dijolok dengan nama Serambi Makkah dikekalkan. Walaupun kehidupan dan sistem digunapakai tidak mencerminkan Islam 100%, tetapi cukup kalau nama itu dipertahankan. Mereka sangat obses dengan perkataan Islam. Misalnya Kota Bharu digelar Bandaraya Islam tetapi dari segi pencapaian dan praktikalnya jauh "jelek"

Mengenai tokoh atau latar pemimpin yang dilihat ialah keperibadian dan latar belakang. Jika seseorang itu berkelulusan agama, berpakaian budaya Arab, juban dan serban, ada janggut walaupun tak ada misai, menjadi minat mereka walaupun keperibadian tokoh berkenaan boleh dipertikaikan. Mereka sangat mempercayai kepada gambaran saksiah demikian kerana mereka kuat dipengaruhi persekitaran keagamaan. Watak-watak dan peribadi demikian disumbat ke dalam kepala mereka sebagai ahli jannah. Walhal rupa bentuk itu tidak merupakan sifat diterangkan agama dan jaminan ahli syurga. 

Itulah dua perkara yang diperhati oleh rakyat Kelantan di samping itu persepsi Pas sebagai parti Islam manakala Umno sebagai parti sekular menjadi "neraca budi" buat mereka walaupun hakikatnya tidak begitu. 

Nah, hari ini sesuai dengan perubahan masa dan anjakan zaman, tanggapan begitu sudah tidak ada lagi. Rakyat Kelantan atau pengundi muda kini sudah banyak berubah dan mereka mempunyai kompas tersendiri. Bagi mereka warna pakaian dan hanya mendengar janji di atas kertas bukan menjadi perhitungan mereka sangat. Generasi atau pengundi hari ini mahu melihat kenyataan atau hasil yang dibawa. Maka beberapa perubahan ini memberi kelabaan kepada UBN.

Ahmad ubah pendekatan politik kerana terdesak.
Manakala dari segi keperibadian pemimpin UBN telah berjaya menampilkan seorang tokoh bersifat dan saksiah demikian; merendah diri, hidup simple dan stail orang kampung walaupun otak antarabangsa. Dia dimaksudkan ialah Mustapa Mohamed. 

Dan apakah kombinasi di antara Pas kehilangan tokoh utama dan perubahan persepsi rakyat Kelantan kepada politik serta kemampuan UBN melahirkan watak seperti Mustapa itu akan mengutungkan UBN, atau pun ia berkeadaan status quo? UBN terus tergua-gai dengan mimpi indahnya?

Kelemahan kerajaan Pas.

Selain daripada keadaan itu apa juga yang boleh menyebabkan rakyat Kelantan berubah pandang dari Pas kepada UBN ialah berhubung kelemahan kerajaan Kelantan dalam pentadbiran. Kerajaan Pas Kelantan relatif gagal membawa perubahan dari segi pembangunan material di Kelantan. Beberapa aspek pentadbiran masih lagi menjadi pendebatan dan polemik tanpa kesudahan sehingga memualkan. 

Kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah air, jalan raya, sampah sarap serta mengatasi masalah mangsa banjir, adalah antara faktor yang meletakkan kerajaan Pas Kelantan sebagai gagal, atau tidak berkeupayaan. Gara-gara itu jugalah Ahmad telah mengambil uslub baharu Pas dengan berbaik-baik dengan Putrajaya untuk mendapat baksis bagi dilaksanakan projek untuk rakyat. Dan usaha itu berjaya atas bantuan Mustapa Mohamed.

Kalau pun ada perubahan hanya dalam bidang kerohanian. Itu pun setakat slogan atau lambang (bill board) atau pun pandangan luaran sahaja. Dari segi hakikatnya masih jauh. Contoh untuk melaksanakan hukum Hudud kerajaan Pas Kelantan masih terkial-kial dan tergagap-gagap dan menangih simpati Umno.

Apa lagi dari aspek pembangunan material Pas gagal, sama ada ia gagal kerana tekanan dan diskriminasi Putrajaya atau sebaliknya, pokoknya gagal. Aset semulajadi milik Kelantan seperti hutan, bahan meneral, manusia yang rajin dan gigih dan sebagainya gagal dijana dengan baik kerana tiada kepakaran.

Ekoran kegagalan ini juga menyebabkan Kelantan berhadapan dengan masalah kewangan berpanjangan. Tanpa menguar-guarkan kepada rakyat kerajaan Persekutuan secara diam-diam membantu pentadbiran kerajaan Kelantan terutamanya dua tahun ke belakangan ini.  Tanpa bantuan itu sudah pasti Kelantan sudah bankrup wal lingkup.

Merumuskan mengenai masalah dihadapi Pas Kelantan kini yang menatijahkan ia membuka jalan kepada UBN untuk menguasai negeri itu seperti mana berikut:

  1. Ketiadaan Nik Aziz sebagai tokoh kerohanian atau pokok keramat yang juga dianggap menjadi wali penjaga kerajaan Pas Kelantan. 
  2. Ketiadaan Husam Musa yang menjadi master mind politik Pas dan ikon kepada anak-anak muda. 
  3. Pas kini sudah berpecah dua apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).
  4. Kelemahan kerajaan Kelantan dalam pentadbiran gagal untuk memberi keyakinan kepada pengundi yang kerajaan Pas mampu membawa perubahan sesuai dengan perkembangan semasa.
  5. Perubahan pendekatan politik Umno dibawah kepimpinan Mustapa yang menjalinkan ukhwah bersama Pas membuka dimensi baharu di kalangan pengundi khasnya pengundi muda. 
Itulah faktor-faktor besar yang membuka ruang kepada UBN mengambil alih kerajaan Kelantan. Faktor itu ditambah pula dengan kehadiran tokoh UBN Kelantan yang humble dilihat berjiwa rakyat Mustapa Mohamed. Selepas Tengku Razaliegh Hamzah memimpin Kelantan dan berjaya mengambil alih kerajaan Kelantan daripasa Pas tahun 1978, Mustapalah dinilai berpeluang mencatat rekod itu. Tahun 2008 semasa Mustapa memimpin Umno Kelantan parti itu sudah hampir-hampir untuk merampas Kelantan dengan kekurangan dua kerusi sahaja. 

Tengku Razaleigh Hamzah
Semasa Tengku Razaleigh Hamzah mengambil alih Kelantan dahulu Pas berpecah dengan tertubuhnya Berjasa. Senario sama pada tahun 1978 itu kini muncul apabila Pas berpecah mewujudkan Amanah. Berdasarkan kepada sejarah itu, peluang UBN untuk merampas Kelantan sangat besar.

Mungkin ada yang cuba hendak mencari justifikasi bagi menidakkan peluang UBN ini dengan menyebut bahawa Umno juga kini berpecah dengan wujudnya PPBM. Dalam konteks di Kelantan kehadiran PPBM tidak memberi kesan besar kepada UBN. Sehingga kini PPBM masih belum dilembagakan di Kelantan tidak seperti Amanah yang sudah mula membuat gerakan untuk menggantikan Pas.

Soalnya apakah dengan suasana itu UBN akan berjaya untuk takluk Kelantan dalam Piraum akan datang?
Selain perkembangan muasir ini memihak kepada UBN, tetapi kata kuncinya terletak ditangan UBN sendiri. Sejauh manakah kesungguhan dan keazaman para pemimpin parti itu untuk membentuk kerajaan di Kelantan. Pintu terbuka dan suasana kondusif bagi UBN tidak semestinya ia seacara automatik UBN akan berjaya. Masih banyak perkara yang perlu ditinjau dan dikaji.

Misalnya untuk memastikan pengundi muda memberi perhatian kepada UBN, parti itu perlu mengemukakan tawaran-tawaran menarik yang munasbaah buat mereka. Mungkin anak muda tidak mahu mendengar projek mega seperti keretapi laju, pembesaran lapangan terbangan atau lebuh raya 10 lorong, tetapi cukup apa-apa tawaran semasa untuk mereka menerusakan kehidupan. Perkara paling mendesak ialah pekerjaan. Anak muda perlu perkara yang boleh "makan la"

Sehingga ini belum ada apa tawaran daripada UBN. Apakah ia bergerak secara senyap?  Ia akan dapat disaksikan dalam manifesto nanti. Sebenarnya tawaran dalam manifesto bukan sesuatu yang merujakan lagi. Yang paling baik ialah UBN cuba laksanakan sekarang juga sebelum pilihan raya.

Begitu juga dari segi gerak kerja, parti itu masih belum tampak. Hari ini tidak ada apa-apa program berskala besar di Kelantan yang membentuk gelombang baharu ke arah itu. Yang tampak ialah kegiatan parti dilakukan di peringkat bahagian atau kawasan masing-masing.

Di peringkat bahagian pun hanya beberapa ketua bahagian sahaja yang aktif dan berinisiatif menjalankan kegiatan parti di bahagian masing-masing yang berbentuk sosial dan menyalurkan kebajikan kepada rakyat. Antara bahagian yang dominan ialah Rantaun Panjang. Kerajinan Abdullah Md Yassin, membawa beberapa menteri ke kawasan itu dan beliau sendiri berjumpa dengan menteri, memberi gambaran perkembangan Umno Rantau Panjang meriah.

Ramzi Abdul Rahman
Ketua bahagian lain ialah Ramzi Abdul Rahman di Kuala Krai. Kejayaan paling bermakna dan akan dikenang di Kuala Krai ialah pembinaan hospital bercirikan hospital dalam taman di Kuala Krai bernilai lebih RM286 juta. Hospital itu katanya akan menyediakan 200 pakar yang memberi keutamaan kepada penduduk di tiga daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli. Perwujudan hospital ini sudah pasti menjadi mercutanda peribadi buat Ramzi.

Lain-lain ketua bahagian yang aktif, tentulah di Jeli dimana Mustapa sendiri sebagai ketua, di Machang yang diketuai Jazlan Yacob yang juga timbalan menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Di lain-lain kawasan walaupun ada projek dan aktiviti tetapi ia tidak setara dengan bahagian-bahagian disebutkan tadi. Kalau pencapaian UBN di Kelantan berpandukan kepada kegiatan di bahagian, ini menyebabkan UBN masih belum mampu untuk menguasai Kelantan kerana berapalah sangat kerusi DUN di bahagian berkenaan.

Ia mungkin akan menjadi kenyataan kalau aktiviti sosial dan kebajikan rakyat, menyedia kemudahan asas dilakukan bukan berdasarkan lokaliti tertentu khasnya yang diwakil oleh ketua yang aktif dan kreatif atau berjawatan menteri, tetapi sebaliknya dilaksanakan merata di seluruh Kelantan melibatkan bukan sahaja ahli Umno tetapi seluruh rakyat.

Adalah diharap konvensyen itu nanti akan mengemukakan gagasan dan tawaran menarik untuk rakyat Kelantan. Paling penting juga para pemimpin UBN Kelantan khasnya ketua-ketua bahagian mengangkat bai'ah berjanji dengan tekad untuk selamatkan Kelantan dari terus dijeruk oleh kerajaan Pas yang ternyata tidak berkeupayaan kini. [wm.kl.11:57 am 10/10/16]

DNA samseng ada dalam tubuh Umno?

Posted: 09 Oct 2016 04:16 AM PDT

ULASAN PETANG

Hormat semua. Geram bercampur sedih melihat foto-foto aksi macam mana orang berbaju merah menyepak dan menendang orang berbaju kuning. Orang baju merah dipercayai budak-budak Umno berperangai haiwan manakala budak-budak baju kuning mereka yang menyokong Bersih 5, yang menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

Salah aksi ahli baju kuning dibelsah kumpulan baju merah.
Budaya apa yang mereka sedang lakukan dan ajaran syaitan mana yang mereka anuti?

Bagi mereka yang belum pernah melihat aksi ini akan kesal dan terkejut dengan budaya samseng ini. Mereka tidak akan percaya kalau ia sekadar dicerita tanpa disertakan audio video bersama.

Budaya ini biasanya dianuti oleh mereka yang tidak cukup sekolah dan belum sampai tahap tamadun. Berketurunan generasi zaman batu.


Sebenarnya perangai ini diwarisi Umno sejak lama dahulu. Perangai samseng ini telah pun diguna pakai Umno pada tahun-tahun 60-an, terutamanya disaat Umno-Perikatan kalah di beberapa buah negeri dalam Piraum tahun 1959 dan kehilangan banyak kerusi di beberapa buah negeri seperti Selangor dan Perak.

Untuk memastikan orang ramai tidak menyokong pembangkang, Umno yang menulangi Perikatan telah mewujudkan skuad Pemuda tahan Umno. Skuad ini akan mengugut dan memukul mana-mana penyokong pembangkang. Mereka akan gunakan kekerasan, ugutan, provokasi dan sebagainya.

Lebih teruk daripada itu skuad ini akan menganggu kenteteraman rumah tangga pendokong pembangkang, dengan mengeksploitasikan undang-undang pemimpin pembangkang ditangkap dan dibuang daerah. Ada juga yang difitnah dan sengaja dikurng berbulan-bulan.

Skuad ini akan bertindak ganas, akan robohkan pagar atau tangga rumah orang dikenali menyokong pembangkang, halang perjalanan mereka dengan menebang pokok-pokok kayu dan mengalangkannya di atas jalan, pancitkan tayar basikal, motosikal dan kereta. Lebih dahsyat dari itu membakar jambatan untuk menghalang rakyat daripada menunaikan kewajiban mereka sebagai pengundi.

Sebahagian daripada kesadisan dan sikap terorisme pemuda tahan lasak Umno ini saya saksi sendiri. Ia berlaku di hadapan saya 55 tahun lampau. Mangsanya terdiri daripada sepupu saya dan bapa saudara saya serta ayah saya juga. (Al Fatihah untuk mereka).

Beberapa hari ayah saya bersama bapa saudara, rakanya dan sepupu terpaksa melarikan diri dalam sagu (rumba) tidak jauh dari rumah kerana dikejar dan dicari pemuda tahan lasak Umno.

Makan minum mereka terpaksa dicatu. Saya adalah antara orang yang membawa mangkuk tingkat berisi nasi dan sedikit lauk pauk dan air kepada ayah yang berlindung dalam hutan sagu. Beberapa hari juga saya menjadi utusan penghantar bekalan makanan.

Di hari mengundi pula skuad ini lebih ganas lagi. Mereka akan rampas kad pengenalan sesiapa yang diketahui menyokong pembangkang. Penampar Jepun atau penampar sira akan dihadiahkan kepada sesiapa yang masih bertegas untuk sokong pembangkang, yang ketika itu pembangkang adalah kerajaan di Kelantan.

Saya masih ingat dan menyaksi sendiri satu kejadian di simpang balai sah kampung saya. Gemula Pak Ya Mek Nab keluar rumah untuk menuju ke pusat pengundian. Sampai di tengah jalan terserempak dengan salah seorang skuad pemuda tahan lasak bernama Che Wil.

Cik Wil mendekati Pak Ya dan bertanya; "Pak Ya nak mengundi gapa?" Tanya Cik Wil.

"Undi begapa lagi, undi hak dok atas langit (bulan bintang maksudnya calon Pas)," jawab Pak Ya sambil menujuk ke langit.

"Nak undi Pas dih...," kata Cik Wil saat itu juga melayangkan sebutir penampar ke pipi kanan Pak Ya. Pak Ya hampir terhuyung hayang. Tanpa mempedulikan salakan anjing skuad pemuda tahan Umno itu Pak Ya terus berjalan menuju pusat pengundian sambil mengosok-gosok pipinya. Pak Ya tidak melawan. Dan Allahyarham menjadi pendokong Pas sampai mati. Manakala Cik Wil pula ditakdirkan mati kena tembak di Golok beberapa tahun selepas itu.

Nah, itulah kisah kesadisan skuad Pemuda Tahanan lasak Umno. Ia wujud sejak tahun 60-an lagi. Jadi kalau ia berterusan sampai ke hari ini yang dibawa oleh kumpulan baju merah tidak menghairankan.

Kenapa budaya ini diguna pakai semula ialah kerana UBN sudah berasa yang mereka dalam keadaan tertekan dan akan kalah dalam Piraum 14. Penggunaan tindakan sadis dan jahat itu kerana Umno tidak ada pilihan lain untuk menyelamatkan kerajaan UBN. Ia bukan tindakan tersendiri kumpulan baju merah itu tetapi ia adalah direstui oleh Umno.

Ini boleh diandaikan begitu kerana tidak ada apa-apa kecaman daripada pemimpin tertinggi Umno terhadap apa yang berlaku. Begitu juga dengan tindakan polis seakan "memba" dalam hal ini. Kenapa? Kalau pihak keselamatan bertindak tegas dan ingin mencegah kejadian ini ia boleh dilakukan sejak awal-awal lagi tanpa membiarkan sampai tercetuskan pertempuran dan tindakan ganas.

Dan kejahatan ini tidak akan habis kerana DNA kejahatan dan kesadisan itu berada dalam darah dan daging Umno. Satu-satu cara untuk menghapuskan kejahatan yang sudah mendarah daging ini, UBN hendaklah dikemotrapikan dalam Piraum ke- 14 nanti. Itu sahaja satu-satu ubat dan pencegah paling berkesan. Kalahkan UBN dalam pilihan raya. [wm.kl.7:20 pm 09/10/16] * Tulisan ini diubai suai dari status Fb saya. 

Tiada ulasan: