Isnin, 10 Oktober 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Redah banjir 2 jam bawa anak sakit ke hospital

Posted: 09 Oct 2016 06:49 PM PDT


ANDHRA PRADESH - INDIA. Foto yang memaparkan seorang bapa menjunjung anaknya berusia  enam bulan yang sakit mengharungi banjir selama dua jam untuk mendapatkan rawatan menyentuh hati netizen.

Pangi Satiabu, seorang petani dari kampung Kudumusare Andhra Pradesh di mana banjir besar berlaku menyebabkan hampir semua laluan menghubungkan bandar dan hospital terdekat tersekat menyebabkan dia terpaksa meredah banjir paras leher untuk ke hospital.

Pangi memutuskan untuk membawa anak perempuannya deman teruk selama beberapa hari lalu walaupun dilarang oleh keluarganya kerana bahaya yang perlu dilalui ketika meredah banjir.
Bayi itu kelihatan nyenyak tidur di tangan bapanya itu sepanjang perjalanan.

Memetik CCTV News, bayi berkenaan dimasukkan di Pusat Kesihatan Primer di Chintapalli
Menurut doktor dari pusat kesihatan penjagaan kesihatan, bayi berkenaan masih berada di hospital namun telah melepasi tahap bahaya.‎

"Bayi berkenaan telah diberikan rawatan yang sewajarnya dan berdasarkan pemeriksaan, dia terkena jangkitan virus," kata doktor.‎

Hujan lebat melanda kawasan itu selama 20 hari menyebabkan berjuta-juta penduduka terjejas dan terperangkap.

Tindakan bapa berusia 30 tahun itu mendapat pujian netizen yang menunjukkan kasih sayang seorang bapa kepada anaknya.

"Cinta ibu bapa tanpa syarat, tidak kira kaya atau miskin," tulis netizen.

Jangan ambil ringan sakit dada

Posted: 09 Oct 2016 06:41 PM PDT



GAYA hidup moden serta pemakanan kurang sihat merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada meningkatnya penyakit koronari arteri atau salur darah tersumbat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini terbukti apabila statistik menunjukkan antara 20 dan 25 peratus kematian yang dicatatkan di hospital-hospital kerajaan adalah disebabkan serangan sakit jantung.

Ini ternyata suatu yang amat membimbangkan kerana trend sebegini tidak banyak berubah sepanjang 10 tahun lalu.

Malahan, jumlah pesakit muda yang diserang sakit jantung turut menunjukkan peningkatan, sekali gus membuktikan bahawa corak kehidupan seharian kini boleh dikatakan turut menyumbang kepada peningkatan ini.

Serangan sakit jantung sering kali terjadi apabila pengaliran darah ke dalam jantung tersekat akibat salur darah yang tersumbat kerana kehadiran 'atherosclerosis'.

Sungguhpun sakit jantung sering diklasifikasikan sebagai 'penyakit lelaki' namun kaum wanita juga turut terdedah kepada penyakit ini, terutama mereka yang sudah mengalami menopause.

Selain itu, perubahan gaya hidup dalam kalangan wanita, termasuk merokok dikatakan turut menyumbang kepada berlakunya serangan sakit jantung dalam kalangan kaum berkenaan.

Simptom ketika serangan sakit jantung

Menurut Pakar Jantung dan Perubatan Dalaman Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Ahmad Maujad Ali, simptom yang paling kerap dialami ketika berlakunya serangan sakit jantung adalah kesakitan pada bahagian dada, terutama di bahagian tengah atau sebelah kiri dada.

Menurutnya, sakit berkenaan boleh juga merebak sehingga ke bahu, lengan, tengkuk, rahang atau bahagian belakang badan.

"Ada kalanya sakit ini boleh disalah anggap sebagai ketidakhadaman atau sakit peptik ulser.
Sesetengah pesakit pula mungkin akan berpeluh dengan banyak, merasa mual serta pening.

"Bagaimanapun, simptom sebegini sering kali tidak hadir apabila ia melibatkan pesakit yang berusia atau mereka yang mengidap penyakit diabetes," katanya.

Jelasnya, sekiranya seseorang mempunyai simptom sebegini, maka beliau perlulah ke mana-mana hospital berhampiran dengan segera di mana pemeriksaan electrocardiogram (ECG) serta darah boleh dilakukan.

Menurut Dr Ahmad Maujad, pemeriksaan darah yang dikenali sebagai 'cardiac markers' itu adalah bertujuan mengesahkan berlakunya serangan sakit jantung serta keseriusannya.

Katanya, ini akan membolehkan rawatan segera diberikan kepada pesakit kerana kelewatan mendapatkan rawatan akan menyebabkan kerosakan lebih teruk terhadap jantung.

Dua kaedah rawatan

Secara umum, terdapat dua kaedah rawatan untuk sakit jantung iaitu kaedah penggunaan ubat-ubatan dan kaedah rawatan 'invasive', bergantung kepada jenis serangan sakit jantung serta keadaan kesihatan pesakit.

Bagi kaedah penggunaan ubat-ubatan, pesakit biasanya akan diberi ubat mencairkan darah seperti Streptokinase atau agen antiplatelet seperti Clexane, Fondaparinux, Aspirin atau Clopidogrel.

Bagi kaedah 'invasive' pula, kata Dr Ahmad Maujad, ia merujuk kepada prosedur angiogram.

Menurutnya, sekiranya salur darah didapati tersumbat, maka prosedur angioplasty boleh dilakukan, di mana salur darah yang tersumbat akan dibuka menggunakan sejenis belon khas atau stent.
"Bagaimanapun, ada sesetengah pesakit yang mempunyai salur darah tersumbat yang teruk di mana hanya pembedahan pintasan jantung sahaja yang boleh dilakukan," katanya.

Galak amal gaya hidup sihat

Walaupun setelah melalui proses rawatan, langkah mengawal punca serangan sakit jantung seperti darah tinggi dan diabetes adalah penting.

Selain ubat untuk mengawal kedua punca ini, menurut Dr Ahmad Maujad, pesakit akan turut dinasihatkan supaya menjaga kesihatan jantung mereka dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, adalah juga penting untuk pesakit memahami kepentingan meneruskan pengambilan ubat-ubatan mereka selain pemeriksaan berkala oleh doktor.

"Tiada gunanya mereka memasang stent di dalam salur darah kalau selepas itu gaya hidup mereka tidak berubah kerana ini akan menyebabkan penyakit berkenaan berulang," katanya.

Tiada ulasan: