Jumaat, 30 September 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mahkamah tetapkan 6 Disember pengurusan kes rasuah Guan Eng

Posted: 30 Sep 2016 06:13 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Disember ini bagi pengurusan kes, lanjutan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.
 
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan menyiapkan dokumennya yang dalam jumlah banyak dan menyerahkan kepada pasukan pembelaan dan mahkamah.
 
Hadhariah berkata beliau tidak mahu kes itu tertangguh.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud dan Mohd Dusuki Mokhtar. Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Phang.
 
Pada 30 Jun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
 
Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.
 
Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai, 2014.
 
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
 
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.
 
Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Lim mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya. Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town, pada 28 Julai 2015, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Bekas pemilik banglo itu, Phang turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan pada tarikh sama.
 
Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
 

RUU 355: PAS bidas Mufti Pulau Pinang

Posted: 30 Sep 2016 06:11 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa Rang Undang-undang 355 tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia, dilihat seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.
 
Sambil membidas kenyataan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bagi menegakkan perintah Allah.
 
"Apa kehendak Allah? Kehendak Allah ialah RUU ini memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan syariat Allah.
 
"Adakah selama ini dengan Akta 355 yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah menghukum pesalah syariah hanya sekadar 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan itu bertepatan dengan syariah?
 
"Adakah mufti memperakui perkara ini? Adakah mufti bersetuju Akta 355 ini bertepatan dengan syariah?," kata Khairuddin yang dipetik sebuah portal.
 
Semalam, Wan Salim meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul Hadi yang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
 
Wan Salim berkata, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.
 
"Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT, tetapi RUU 355 hanyalah satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia," petik kata mufti itu semalam.
 
 

Saksi wanita kes bunuh Kevin Morais didakwa beri keterangan palsu

Posted: 30 Sep 2016 06:04 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang saksi wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi, Selasa lalu.
 
S Yogeswari, 37, yang merupakan saksi ke-37 pendakwaan dalam kes pembunuhan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor.
 
Yogeswari, didakwa memberi keterangan palsu semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan palsu) yang mana dia (tertuduh) mengetahui keterangannya adalah palsu.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada 11 pagi, 27 September lalu.
 
Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.
 
Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah bahawa pada 2 Ogos 2015 sehingga 11 September 2015, kenderaan itu ada bersamanya pada setiap malam, pada tarikh tersebut.
 
Keterangan itu bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah, Inspektor M Vasu pada 27 September 2015, iaitu kenderaan tersebut tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh tersebut.
 
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Izzat Fauzan menawarkan wang jaminan RM10,000 dan memohon mahkamah membenarkan jaminan yang tidak terlalu rendah mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh selain bagi menjamin kehadirannya ke mahkamah.
 
Peguam V Rajehgopal yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang telah ditinggalkan suami dan mempunyai pendapatan yang rendah.
 
"Tertuduh beri kerjasama yang baik kepada pihak polis, tertuduh juga bersedia menerima syarat tambahan jika ditetapkan mahkamah," kata peguam itu yang juga merupakan peguam kepada dua tertuduh yang terlibat dalam kes pembunuhan Kevin Morais.
 
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 November untuk sebutan semula kes.
 
 

Kerjasama boleh dicapai jika pembangkang terima Gagasan Sejahtera - PAS Kelantan

Posted: 30 Sep 2016 06:01 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kerjasama PAS bersama parti-parti pembangkang yang lain hanya boleh dicapai sekiranya mereka menerima Gagasan Sejahtera, tegas seorang pemimpin PAS Kelantan.  
 
Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata demikian mengulas gesaan beberapa parti politik pembangkang yang mahu PAS turut 'bersama' dalam usaha menentang Umno-Barisan Nasional (BN) dengan mewujudkan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
 
Gagasan Sejahtera adalah blok baru yang dianggotai PAS bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa). 
 
"Jika semua sepakat dan menerima Gagasan Sejahtera, ia akan menjadi tindakan berjaya. Jika mereka tidak terima, maka tak boleh bersama. 
 
"Kita tidak pernah tutup ruang perbincangan. Jika ia benar berlaku, maka ia satu langkah positif, langkah yang baik," ujarnya kepada Antarapos, hari ini.
 
Sebelum ini PKR dan DAP menyuarakan gesaan mereka terhadap PAS supaya bersatu dalam usaha mengalahkan Umno-BN supaya tidak berlakunya pertandingan tiga penjuru.
 
Bagaimanapun langkah itu kurang disenangi PAS memandangkan ia secara langsung 'menjalin' kerjasama dengan Amanah, yang merupakan parti serpihannya.
 
Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP terkubur tahun lalu ekoran perbalahan berterusan PAS dengan DAP yang enggan bersetuju bersabit dasar Islam yang dibawa PAS.
 
Hingga kini, PAS hanya mengekalkan tahaluf siyasinya dengan PKR, berdasarkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor.
 
Kerjasama PAS dan pembangkang dikatakan akan digerakkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),  Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal berkongsi pentas dengan beberapa pimpinan tertinggi PAS di Kuala Terengganu esok.
 
Diajukan hal itu, Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan menyifatkan ia perkara yang baik dalam tujuan memastikan pembangkang tidak bertembung kerusi sesama mereka.
 
"Yang kita bincang sekarang adalah untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN. 
 
Muhyiddin sebelum ini menyatakan keyakinannya mampu menjadi pengikat agar PAS bersama pembangkang dalam usaha mengelakkan pertandingan tiga penjuru pads PRU14.
 
Menerusi Program 'Himpunan Harapan Semua' di Terengganu esok, Muhyiddin akan bersama bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali.
 
 

Kegigihan Chegubard menguji kekuatan moral PKR

Posted: 30 Sep 2016 06:00 AM PDT

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Badrulhisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bukan lagi ahli PKR. Surat terakhirnya kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meminta penjelasan pemecatannya tidak berjawab.
 
Bagaimanapun ini nampaknya tidak menggusarkan aktivis politik yang mendakwa pernah termasuk dalam kumpulan pembuat dasar atau "duduk dalam kelambu" parti itu. 
 
Chegubard terus menegur dan membidas apa yang dilihatnya tidak kena dengan parti diasaskan untuk melakukan reformasi terhadap sistem hidup di negara ini.
 
Dalam kenyataan medianya yang mutakhir, Chegubard mengingatkan betapa herotnya sikap dan pendirian politik pimpinan PKR.
 
Beliau mendakwa apabila Datuk Seri Shafie Apdal keluar Umno kerana mengkritik isu1MDB dan derma RM2.6 billion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, maka pimpinan PKR menyambutnya bagai seorang wira. 
 
"Ini amat pelik dan penuh hipokrasi kerana bila saya sendiri bercakap soal korupsi Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR saya dipecat dan dituduh memburukkan imej parti dan memecah-belahkan parti," katanya. 
 
Lantas Chegubard mempersoalkan di mana dan apakah bezanya PKR dengan Umno dalam perkara ini?
 
Namun kecenderungan meraikan Shafie Apdal sebenarnya merugikan, malah membawa bala politik kepada PKR sendiri.
 
Ia sekaligus mempamerkan betapa penilaian dan bacaan politik PKR dangkal. Mereka seolah-olah rabun akan natijah politik isu berkenaan kerana sibuk meraikan sesiapa sahaja yang memusuhi musuhnya iaitu Umno.
 
"Antara hujahnya konon Shafie akan membawa lari orang-orang Umno keluar dan Umno khususnya di Sabah akan lumpuh.
 
"Minggu lepas Shafie mengumumkan menubuhkan parti, belum pun apa-apa lagi bukan orang Umno keluar parti tetapi ADUN PKR diculik Shafie," kata Chegubard.
 
Chegu Bard membidas sebagai pelik sikap Presiden PKR memuji tindakan ADUN yang menjadi Naib Presiden lantikan PKR itu sebagai 'betul' dan menyertai parti tempatan Sabah kononnya bagi menumpukan isu tempatan. 
 
"Ini secara tidak langsung mengiktiraf tindakan tersebut dan membayangkan Keadilan gagal bertindak sebagai parti Sabah.
 
"Terkini dalam masa terdekat beberapa lagi ADUN dan pimpinan PKR Sabah akan umum bersama parti Shafie dan dijangka PKR pula akan lumpuh di Sabah," katanya.
 
Chegubard terkenal dengan aktiviti membongkar pelbagai skandal dan isu yang dianggapnya merugikan rakyat dan maklumat yang diperolehinya kali ini menunjukkan PKRlah yang terkesan sikap pimpinan tertingginya. 
 
Yang lebih menggusarkan Chegubard ialah "penghijrahan" beberapa pemimpin PKR Sabah ke parti Shafie itu didorong oleh dedak yang ditabur beberapa tokoh korporat negeri itu. 
 
Jika maklumat itu benar bermakna segala tuduhan PKR terhadap penyokong-penyokong tegar Umno yang didakwa mudah diumpan dedak sebenarnya adalah masalah yang sama dihadapi PKR di Sabah kini.
 
"Ini penting kerana benar perubahan perlu 'diasak' tetapi adakah perubahan yang dicitakan boleh dicapai dengan cara begini? Jangan sampai lari dari mulut harimau masuk mulut buaya...," kata Chegubard.
 
Beliau juga mendakwa bahawa ada pimpinan PKR yang menghubunginya supaya beliau tutup mulut dan menerima pemecatannya dari parti itu.
 
"Saya diam. Namun keadaan tidak berubah. Kartel Azmin menyerang saya dengan fitnah termasuk fitnah seks yang jijik (contohnya oleh AMK PJS).
 
"Malah terbaru ada yang menghubungi keluarga saya kononya mereka ada bukti kerana mereka memasang penyiasat pensendirian mengekori saya. 
 
"Itu belum lagi beberapa teman yang rapat dengan saya diugut dengan pelbagai cara agar menjauhi saya. Perangai pemimpin seperti ini lebih buruk dan jijik dari pemimpin Umno," katanya.
 
Chegubard adalah termometer moral PKR. Bagaimanapun adalah agak jelas pimpinan PKR tidak selesa kehadiran dan fungsi yang dimainkannya dalam parti hingga sanggup memecat keahliannya. 
 
"Presiden PKR di bawah kawalan dan tekanan kartel Azmin yang boleh memuji tindakan ADUN keluar PKR, wajib menjawab surat saya. 
 
"(Dalam) 48 jam jika tidak mendapat jawapan jangan salahkan saya kerana membuat aduan polis berkenaan tandatangan palsu dan laporan ROS juga. 
 
"Saya tegaskan saya bercakap soal keadilan terhadap diri saya yang bercakap mendedahkan berkenaan korupsi Azmin yang saya buktikan, adakah ia salah?," katanya.
 
Kenyataan media berkenaan dibuat pada Selasa, 27 September lalu. Ini bermakna besar kemungkinan, Chegu Bard sudahpun ke balai polis membuat laporan perihal tandatangan palsu digunakan pegawai PKR dalam pengurusan kes pemecatannya.
 
 

Agamawan patut sokong, bukan politikkan RUU 355

Posted: 30 Sep 2016 05:57 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
  
SHAH ALAM: Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak perlu dipolitikkan kerana ia jelas merupakan satu usaha bagi memartabatkan agama Islam.
 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata, sokongan daripada semua pihak amat diharapkan apatah lagi daripada golongan agamawan.  
 
"Kita harapkan supaya semua golongan agamawan memberikan sokongan kerana ini adalah untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
 
"Perkara yang baik perlu disokong, tidak perlu dipolitikkan," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa RUU 355 tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia.
 
Wan Salim dalam kenyataannya semalam juga meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul yang bakal dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda akta berkenaan.
 
Menurut Wan Salim lagi, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.
 
Enggan mengulas lanjut, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut bersetuju dengan padangan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyangkal kenyataan mufti berkenaan.
 
Mohd Khairuddin dalam reaksinya menyifatkan kenyataan Wan Salim seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.
 
Malah beliau sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa  Hadi pada sidang Dewan Rakyat akan datang adalah bagi menegakkan perintah Allah. 


Pakatan Harapan Bakri bantah persempadanan semula

Posted: 30 Sep 2016 05:48 AM PDT

HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Anggota Sekretariat Pakatan Harapan Parlimen Bakri menunjukkan persempadanan baru pilihan raya yang dicadangkan SPR.Anggota Sekretariat Pakatan Harapan Parlimen Bakri menunjukkan persempadanan baru pilihan raya yang dicadangkan SPR.


Pakatan Harapan Parlimen Bakri, Johor mewujudkan pasukan khas bagi melaksanakan bantahan persempadanan semula kawasan pilihan raya P.145 Bakri.

Mereka mendakwa, dalam cadangan suruhanjaya pilihan raya (SPR), N.12 Bentayan akan mempunyai jumlah pengundi sebanyak 27,056 orang, N.12 Simpang Jeram (25,383) dan N.14 Bukit Naning (16,848 orang).

Dalam cadangan ini juga, SPR telah memindahkan Daerah Mengundi Bukit Treh dari N.12 Bentayan ke N. 08 Bukit Pasir dan juga memasukkan Daerah Mengundi Bandar Barat dari N. 15 Maharani ke dalam N. 12 Bentayan.

Menurut perenggan 2 (C) Bahagian 1, Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan, jumlah bilangan pengundi setiap konstituensi dalam satu negeri mestilah lebih kurang sama.

Johor mempunyai jumlah pengundi sebanyak 1,649,131 orang. Ini bermakna secara purata setiap Bahagian Pilihan Raya Negeri adalah sebanyak 29,500 orang setiap kawasan.

Menurut Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Parlimen Bakri Ahmad Anwar Asyraf, tindakan SPR ini telah menjadikan komposisi demografi pengundi di dalam N.12 Bentayan tidak seimbang dan seolah-olah mempunyai motif untuk menjadikan N.12 Bentayan sebuah konstituensi yang dimonopoli oleh kaum Cina.

Justeru katanya,  pasukan khas ini akan bertemu dengan pengundi-pengundi berdaftar di setiap kawasan Dewan Undnagan Negeri (Dun) dalam Parlimen Bakri untuk memberikan penerangan.

"Pasukan khas ini juga akan mendapatkan 100 orang pengundi yang berdaftar dalam senarai pemilih menandatangani surat bantahan yang akan dikemukakan kepada SPR sebelum 14 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, sesiapa yang ingin menyuarakan bantahan dan menandatangani surat bantahan ini boleh hadir ke Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, 22A-1, Jalan Hashim, 84000 Bandar Maharani Bandar DiRaja, Muar, Johor atau menghubungi petugas yang dipertanggungjawabkan mengikut kawasan seperti berikut:

Chua Wee Beng (kawasan N.12 Bentayan): 012-680 1612

Hussein Ibrahim (kawasan N.13 Simpang Jeram): 013-263 5880

Khidir Ismail (kawasan N.14 Bukit Naning): 011-3387 1813

Beliau turut memberitahu, ketiga-tiga parti iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Bakri, DAP Parlimen Bakri dan Parti Keadilan Rakyat Parlimen Bakri telah bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Pakatan Harapan Parlimen Bakri.

Sekretariat ini akan beroperasi di Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, No. 22A-1, Jalan Hashim, 84000 Bandar Maharani Bandar DiRaja, Muar.

Ahmad Anwar yang juga pegawai khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan telah dilantik sebagai Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Parlimen Bakri.

Rasuah: Inspektor polis sarat mengandung dipenjara dua tahun

Posted: 30 Sep 2016 05:46 AM PDT

BERNAMA
 
 
Rasuah jika tidak dibendung menjadi barah masyarakat.Rasuah jika tidak dibendung menjadi barah masyarakat.


Seorang pegawai polis wanita yang sarat mengandung menangis teresak-esak selepas dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini akibat bersetuju menerima rasuah RM4,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran terhadap pembebasan Inspektor Suriati Mohd Shafie, 35, yang hamil sembilan bulan, daripada pertuduhan itu.

Selepas mendengar keputusan itu Suriati menangis teresak-esak dan dia kemudiannya ditenangkan oleh rakan-rakan wanitanya.

Ab Karim berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Nasir Nordin, telah terkhilaf semasa membuat keputusan di akhir kes pembelaan yang melepas dan membebaskan Suriati pada 23 Jan 2015.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata rasuah adalah kesalahan serius terutama bagi mereka yang menjaga keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang kerana melibatkan amanah dan integriti bukan sahaja kepada seseorang bahkan kepada jabatan dan masyarakat.

"Sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor yang menjalankan penyiasatan, kamu seharusnya memegang amanah untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, malangnya, kamu tidak berbuat demikian.

"Kesalahan rasuah jika tidak dibendung akan menular seperti kanser dan akan melumpuhkan pentadbiran negara," katanya.

Terdahulu, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili Suriati selaku responden, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya sedang mengandung sembilan bulan selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Suriati yang berkhidmat 10 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa bersetuju menerima rasuah RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon yang disyaki terlibat kes samun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara 8.30 malam dan 9.30 malam pada 22 Jan 2013.

Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu mahkamah turut memerintahkan Suriati membela diri terhadap satu lagi pertuduhan meminta suapan RM6,000 daripada Nurullizean sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya itu pada 1 tengah hari, di tempat dan hari sama, mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi pegawai polis ASP S. Ravintharan, 53, yang turut didakwa bersama-sama Suriati bagi pertuduhan bersetuju menerima rasuah di tempat dan tarikh sama, antara 8.30 malam dan 9.30 malam juga diarah membela diri.

Ravintharan selaku responden yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent sebelum ini turut dilepaskan dan dibebaskan.

Mahkamah menetapkan 6 Okt untuk Suriati dan Ravintharan membela diri.

Polis kesan individu buat ancaman bom Bursa Malaysia

Posted: 30 Sep 2016 05:42 AM PDT

BERNAMA
 
 
Bursa MalaysiaBursa Malaysia


Polis sedang mengesan orang yang bertanggungjawab membuat ancaman bom palsu di bangunan Bursa Malaysia Berhad dan Kuil Kortumalai Sri Ganesar di Jalan Pudu Lama di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata seorang petugas pejabat keselamatan Bursa Malaysia telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang memaklumkan akan berlaku letupan di kedua-dua lokasi berkenaan selepas solat Jumaat.

"Susulan itu, pekerja itu bersama rakan setugas datang membuat laporan polis dan kami menghantar Unit Pengesan Bom serta Unit Anjing Pengesan di kedua-dua lokasi tersebut namun tiada bom dijumpai.
"Selepas kira-kira tiga jam membuat pemeriksaan, polis mengesahkan bahawa panggilan bom ini adalah palsu," katanya, dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
Tinjauan Bernama pada 1.30 tengah hari mendapati pengurusan kuil berkumpul di luar bangunan itu sementara polis melakukan pemeriksaan dalam kuil.

Di luar bangunan Bursa Malaysia pula, kira-kira 1,000 orang termasuk kakitangan Bursa Malaysia, Bank HSBC dan Astro Awani berkumpul kira-kira 1 kilometer dari bangunan itu.

Pada pukul 3.23 petang polis mengesahkan tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dan bangunan itu selamat.

Kakitangan bangunan itu mula menjalankan operasi mereka seperti biasa selepas pengumuman itu dan kuil meneruskan upacara sembahyang seperti biasa.

Tiada ulasan: