Nuffnang

Pengikut

DIALOG RAKYAT

sumber :-

DIALOG RAKYAT


Husam disindir samakan perjuangan Nik Aziz dengan parti Amanah

Posted: 02 Sep 2016 05:27 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyindir ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang mengaitkan perjuangan parti yang baru disertainya, Amanah kononnya menyamai perjuangan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
 
ADUN Wakaf Bharu itu dengan tegas berkata, Allahyarham Nik Aziz tidak pernah sesekali mengkhianati perjuangan Islam, jauh sekali mengkhianati perjuangan parti yang dipimpinnya sebagaimana yang dilakukan Amanah pada hari ini.  
 
"(Allahyarham) Tok Guru (Nik Aziz) tak pernah khianat dengan perjuangan Islam, Tok Guru tak pernah bawa lari kerusi orang Islam. Kalau nak sebut, nama Amanah, perkataan Amanah itu sendiri sekarang ini macam kotor sikit. 
 
"Orang nak sebut amanah pun tak mahu sebab dikaitkan dengan parti itu, sedangkan amanah ini sifat Rasulullah S.A.W.
 
"Kalau nak sebut, orang yang melarikan kerusi, orang yang langgar baiah, orang yang kena (tindakan) disiplin, untuk nak dikatakan dengan amanah, memang tak (sesuai)," sindirnya.
 
Husam, yang menyertai Amanah beberapa hari lalu berkata, mana-mana ahli PAS yang mahu mencontohi perjuangan Allahyarham Nik Aziz perlu menyertai Amanah kerana perjuangan parti itu menyamai kehendak perjuangan Islam yang diamalkan ulama itu.
 
Bekas Naib Presiden PAS itu juga melahirkan keyakinannya bahawa Amanah mampu menyelamatkan Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. 
 
Mengulas berhubung perkara itu, Che Abdullah berkata PAS Kelantan 'tidak akan duduk diam' dan sentiasa bersiap sedia menghadapi mana-mana pihak yang cuba untuk merampas kerajaan negeri. 
 
"Apa-apa saja yang jadi ancaman kepada kerajaan Islam Kelantan, kita tak akan ambil ringan," ujarnya. 
 
Husam sebelum ini dilaporkan bakal ditawarkan memikul tanggungjawab mengepalai Amanah Kelantan demi merampas kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
 
Tawaran berkenaan ekoran Amanah Kelantan meyakini pengalaman Husam yang didakwa mampu membawa perubahan kepada politik di negeri berkenaan.
 
"Belum dapat dilihat. Maknanya, pengalaman beliau dalam pimpinan PAS Kelantan, sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan sudah pun mengenali cara beliau dan sebagainya. Hari ini beliau dengan pasukan lain. Kita akan hadapi," katanya, mengulas mengenai 'prestasi' bekas pemimpin PAS itu.
 
Amanah dilaporkan akan bermesyuarat pada 5 September ini bagi menentukan jawatan Husam di dalam parti.

Bapa ADUN direman tujuh hari bantu siasatan kes rasuah

Posted: 02 Sep 2016 05:27 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
GEORGETOWN: Mahkamah hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas bapa seorang ADUN berhubung kes rasuah untuk mendapatkan rumah mampu milik di negeri ini.
Lelaki berusia 68 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah) Muna Maria Azmi selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.
Lelaki itu tiba di Bahagian Reman pada 11.20 pagi dan keluar kira-kira 50 minit kemudian.
Tahanan reman itu akan berakhir pada 8 September ini dan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Semalam SPRM menahan lelaki itu bagi membantu siasatan dakwaan kes rasuah untuk mendapatkan rumah mampu milik di negeri ini.
Isu urusan 'rasuah untuk rumah' itu terbongkar Isnin lepas, apabila Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri.

Siasat tandatangan palsu Rafizi dalam surat pecat Chegubard

Posted: 02 Sep 2016 05:23 AM PDT

Oleh Mohd Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR perlu menyiasat dakwaan tandatangan palsu Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada surat pemecatan keahlian Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard daripada parti itu.
 
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata dakwaan itu serius kerana membabitkan pemimpin kanan PKR dalam isu rasmi parti.
 
"Satu tindakan yang wajar perlu diambil oleh kepimpinan PKR untuk menyiasat perkara ini dengan teliti untuk mengetahui adakah surat itu benar-benar dikeluarkan oleh Rafizi," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Terdahulu Chegubard memberitahu Antarapos beliau dihubungi kakitangan Ibu Pejabat PKR pada 26 Ogos (Jumaat) lalu dan dimaklumkan berita mengenai pemecatannya.
 
Selepas membuat sedikit penyelidikan, Chegubard mendapati tandatangan Rafizi pada surat pemecatannya adalah palsu. 
 
Justeru Chegubard menempelak Rafizi yang sehingga kini berdiam diri walaupun mengetahui tandatangannya dipalsukan oleh pihak tertentu dalam usaha menutup mulutnya perihal kontroversi Paya Indah Wetlands.
 
Chegubard sebelum ini mendedahkan tindakan kerajaan negeri PKR di Selangor yang dipimpin Datuk Seri Azmin Ali meluluskan pengezonan semula zon hijau di tapak Paya Indah Wetlands yang kemudiannya membawa kepada kelulusan ubah status tanah lot 68054, milik Gamuda Bhd.
 
Tindakan meluluskan dua permohonan itu dibuat secara tergesa-gesa sebaik sahaja Azmin diangkat menjadi menteri besar, dakwa Chegubard.
 
Bekas ketua Cabang Rembau itu kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas dicabar Azmin.
 
Mengulas perkembangan itu, Ahmad Marthada berkata jika tindakan memecat Chegubard diambil semata-mata untuk menutup mulut reformis itu, PKR hanya mencalarkan integritinya sendiri.
 
"Tindakan membuang (keahlian PKR) itu diambil seolah-olah satu cara untuk mendiamkan beliau (Chegubard). Dan ini bertentangan dengan prinsip dan perjuangan PKR yang cuba menekankan kepada isu-isu  ketelusan dalam urus tadbir dalam kerajaan. 
 
"Ini bagi gambaran  bahawa apa yg diperjuangkan PKR itu tidak sama apa yang mereka lakukan," tambah Marthada.
 
 

Aktivis pelajar Tangkap MO1 saman polis

Posted: 02 Sep 2016 05:09 AM PDT

MALAYSIAKINI


Tiga aktivis pelajar perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1 (MO1) hari ini memfailkan saman terhadap polis di Mahkamah Tinggi Ipoh kerana mendakwa dinafikan akses kepada undang-undang ketika ditahan bulan lalu.

Pelajar berkenaan - Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, Mohamad Luqman Nul Hakim Zul Razali dan Muhammad Ashraff Nazrin Noor Azman - ditangkap pada 20 Ogos lalu apabila cuba untuk memasuki kampus Seri Iskandar UiTM di Ipoh, Perak untuk mempromosikan himpunan Sabtu lalu.

"Plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka berhak untuk mendapatkan perkhidmatan undang-undang dan akses kepada peguam seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah," kata peguam Mohd Fitri Asmuni.

Beliau berkata aktivis pelajar itu juga mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan polis menafikan mereka akses kepada bantuan guaman tidak mengikut perlembagaan.

Ketiga-tiga mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Inspektor Khoo Thean Heng, yang juga pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan dinamakan sebagai responden.

Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Awi & Co.

Kebajikan pesara tentera jadi agenda Rafizi sebelum ke penjara

Posted: 02 Sep 2016 05:09 AM PDT

MALAYSIAKINI


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, kebajikan pesara tentera akan menjadi agenda utamanya menjelang beberapa bulan akan datang sebelum kemungkinan dirinya dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi untuk membela diri atas tuduhan membocorkan dokumen sulit berkaitan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Oleh kerana saya juga sedar saya mungkin mempunyai masa beberapa bulan sahaja lagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara, saya telah umumkan bahawa hal ehwal kebajikan pesara tentera adalah antara agenda utama saya.

"Saya akan melawat setiap kem tentera yang besar di seluruh Malaysia dan akan memenuhi jemputan kumpulan-kumpulan pesara tentera yang menjemput saya berdialog dengan mereka melalui program yang diberi nama Hargai Perajurit: Misi Angkat Kebajikan Perajurit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dialog pertama akan diadakan di Setiawangsa iaitu berdekatan kem tentera utama di Lembah Klang pada 7 September ini dan diikuti dengan acara yang sama di Lumut, Butterworth, Kuantan, Telok Kemang dan beberapa lokasi lain.

Rafizi, yang juga adalah naib presiden PKR, telah beberapa kali membangkitkan isu kelewatan pembayaran oleh LTAT kepada pesara tentera.

Katanya, beliau terus menerima aduan seumpama itu setakat ini sedangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak pernah memberi maklumbalas mengenai masalah yang ditimbulkanya.

"Terbaru, saya akan mengemukakan 95 lagi senarai pesara-pesara yang belum menerima bayaran caruman mereka kepada LTAT dan UGAT untuk diselesaikan segera kerana mereka telah menunggu lama untuk mendapatkan hak mereka," katanya.

Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berdepan dengan dua pertuduhan menmgikut OSA kerana didakwa mendedahkan dokumen sulit di lobi Parlimen pada 24 Mac.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika didapati bersalah.

Rafizi juga didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iv) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun maksimum jika sabit kesalahan.

Pemuda Pas Kelantan kesal Umno mungkir sokong deklarasi

Posted: 02 Sep 2016 05:07 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Ahmad Fadhli menunggu kehadiran wakil wakil parti politik khususnya Umno yang tak kunjung tiba.Ahmad Fadhli menunggu kehadiran wakil wakil parti politik khususnya Umno yang tak kunjung tiba.


Ketua Pemuda Pas Kelantan Ahmad Fadhli Shaari melahirkan rasa kesal dengan kegagalan Pemuda Umno Kelantan hadir pada majlis perisytiharan 'Deklarasi Kota Bharu' bagi menyatakan sokongan parti-parti politik Melayu-Islam di negeri itu terhadap Rang Undang-undang Akta 355 (RUU 355), 30 Ogos lalu.

RUU 355 itu bakal dibentangkan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Malah Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat itu hairan dengan kegagalan wakil Pemuda Umno untuk hadir memandangkan Umno sudah secara rasmi menyatakan sokongan terhadap RUU 355.

"Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Ibrahim telah menyusun sidang media hari ini (30 Ogos) beberapa hari yang lepas.

"Ia merupakan satu detik bersejarah sekiranya berjaya dilaksanakan iaitu sayap-sayap anak muda di semua parti-parti yang dianggotai oleh masyarakat Melayu Islam di negeri ini iaitu Pas, Umno, PKR dan Amanah duduk semeja untuk bersetuju dengan satu tajuk yang penting.

"Kali ini tajuknya ialah sokongan terhadap Rang Undang-undang Akta 355," tulis Ahmad Fadhli di laman Facebooknya.

Lokasi program itu, ujarnya diadakan di sebuah hotel atas permintaan Pemuda Umno yang mahukan tempat berkecuali manakala masa juga ditentukan sayap Umno itu.

Deklarasi Kota Bharu hanya ditandatangani wakil Pemuda Pas dan AMK Kelantan.Deklarasi Kota Bharu hanya ditandatangani wakil Pemuda Pas dan AMK Kelantan.

"Sepanjang saya sebagai Ketua DPPNK (Dewan Pemuda Pas Kelantan), belum pernah dewan hotel ditempah semata-mata untuk sebuah sidang media. Biasanya ia dibuat di bangunan DPPNK Syabab Point atau di mana-mana lokasi bersesuaian.

"Bahkan jika laporan polis dibuat, sidang media hanya dilaksanakan di tepi jalan sahaja. Hari ini, ratusan ringgit dibelanjakan untuk menyewa dewan hotel bagi memberi laluan kepada detik bersejarah, kelahiran Deklarasi Kota Bharu," ujarnya dalam tulisan bertajuk 'Nota kesal terhadap Pergerakan Pemuda Umno'.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana semua wakil parti yang telah memberi persetujuan untuk menyokong RUU355 itu gagal hadir ke sidang media.

"Saya faham jika Ketua AMK Kelantan dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan tidak hadir, kerana telah diketahui secara umum bahawa parti masing-masing belum memutuskan secara rasmi pendirian terhadap RUU355 ini.

"Boleh jadi bagi menghormati pendirian pucuk pimpinan, rombongan pemuda mereka tidak hadir. Alhamdulillah, Ketua AMK hadir kemudiannya walaupun sekadar untuk menurunkan tandatangan, ia sudah cukup baik," nukil beliau.

Menurutnya, program itu adalah platform terbaik untuk Pemuda Pas dan Pemuda Umno "bersalaman di hadapan kamera bagi menghiasi dada akhbar keesokan harinya".
"Bukankah Umno paling suka jika digambarkan bahawa Pas sedang berbaik dengan Umno?" soal beliau.
Kegagalan Pemuda Umno untuk hadir, ujar beliau hanya menebalkan sangkaan tidak baik di kalangan masyarakat.

Beliau turut mempersoalkan komitmen Umno untuk memberi laluan kepada RUU355 ekoran sikap yang ditunjukkan Pemuda Umno Kelantan itu.

"Kita tunggu dan lihat. Adapun Pas, langkah kaki memartabatkan satu demi satu tuntutan syariat akan diteruskan.

"Biarpun hanya seorang diri memikul panji di tengah medan, percayalah Pas tidak akan berganjak dari kedudukan kakinya pada hari ini.

"Bersama sokongan Umno atau tidak, ke hadapan Pas melangkah," ujarnya.

PAS mahu pertahan Putrajaya, belum bincang dengan Pribumi - Iskandar

Posted: 01 Sep 2016 09:40 PM PDT

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad mengulangi kenyataannya bahawa PAS tidak akan melepaskan mana-mana kerusi milik parti itu untuk ditandingi oleh parti pembangkang lain.
 
Malah katanya, PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang pernah ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Amanah Putrajaya yang mahu bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Pribumi, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Putrajaya.
 
"Kita tidak ada perbincangan lagi dengan (Pribumi) BERSATU. Buat masa ini semua kerusi yang PAS bertanding pada PRU 2013 akan ditandingi oleh PAS pada PRU akan datang," katanya kepada Antarapos menerusi Whatapps.
 
Baru-baru ini Pengarah Komunikasi Amanah Putrajaya, Mohd Radzi Abu Bakar mencadangkan Mahathir bertanding di kerusi Putrajaya menggantikan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa bagi menghadapi Umno-BN pada PRU14.
 
Menurut Mohd Radzi, idea itu juga telah dipersetujui Husam yang sebelum ini diletakkan sebagai calon pembangkang di Putrajaya pada PRU13 atas tiket PAS.
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub hari ini menyambut baik saranan berkenaan namun berkata satu perbincangan ke arah itu perlu dijalankan antara PH dan Pribumi sebelum apa-apa keputusan dibuat.
 
 

Amanah mesyuarat 5 September tentukan jawatan Husam dalam parti

Posted: 01 Sep 2016 09:39 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Kedudukan ADUN Salor, Datuk Husam Musa dalam Amanah akan ditentukan selepas parti itu bermesyuarat Isnin ini (5 September).
 
Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, mesyuarat itu perlu berikutan tindakan Husam sebelum ini yang menolak jawatan peringkat nasional dalam parti itu.
 
"Kita akan bincang 5 September ini di Wisma Amanah di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, selepas menyambut kepulangan Husam dari Kuala Lumpur semalam.
 
Husam yang juga bekas naib presiden PAS mengumumkan menyertai Amanah pada satu majlis makan malam di Cyberjaya, Selasa lalu.
 
Penyertaan Husam ke dalam Amanah adalah selepas empat bulan beliau dipecat daripada PAS susulan lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno.
 
Dalam pada itu Abdul Rahim berkata janjinya untuk menyerahkan jawatan pengerusi Amanah Kelantan kepada Husam apabila pemimpin itu menyertai Amanah, masih dipegang.
 
Bagaimanapun dalam reaksi kepada perkara itu, Husam berkata, soal jawatan dan kedudukan dalam parti adalah tidak penting bagi dirinya dan terpulang kepada Amanah untuk menentukan kedudukannya dalam parti itu. 
 
 

Zika: Pesakit wanita beransur pulih

Posted: 01 Sep 2016 09:26 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pesakit wanita yang dijangkiti virus Zika di negara ini dilaporkan semakin pulih selepas menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).
 
Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) HSB, Datuk Dr Christopher Lee berkata simptom jangkitan yang dialami wanita berusia 58 tahun itu termasuk ruam sudah hilang.
 
"Kami akan melakukan ujian darah ke atasnya hari ini dan sekiranya keputusan itu negatif, dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya hari ini.
 
Dr Lee berkata ruam ringan yang dialaminya sudah hilang dalam masa dua atau tiga hari dan ujian darah terakhir didapati negatif.
 
Namun, hospital membuat keputusan untuk menahannya lebih lama bagi memastikan tiada jangkitan terhadap orang lain.
 
Katanya, ujian darah pada hari ini akan disahkan semula untuk memastikan dia bebas daripada virus Zika.
 
Wanita itu mendapat jangkitan Zika selepas pulang melawat anaknya di Singapura pada pada 21 Ogos.
 
Pada awalnya wanita itu mengalami ruam dan demam serta mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Klang.
 
Dia kemudiannya dirujuk ke HSB dan pada 31 Ogos lalu, sampel air kencingnya didapati positif virus Zika.
 
Anak perempuannya yang bekerja dan tinggal di Paya Lebar, Singapura turut dijangkiti virus itu.
 
Suami dan beberapa ahli keluarga lain wanita itu yang tinggal bersama di kediaman mereka di Ambang Botani masih belum menunjukkan sebarang tanda jangkitan.
 
Dr Lee berkata jika seorang wanita yang dijangkiti virus Zika, cecair pada farajnya mungkin mengandungi virus itu sehingga dua bulan selepas dia pulih.
 
"Jadi, jika dia melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dalam tempoh dua bulan, lelaki itu boleh dijangkiti virus Zika.
 
"Virus itu juga boleh kekal dalam sperma lelaki sehingga enam bulan selepas pesakit pulih," katanya.
 
 

ADUN Sungai Pinang hadir ke SPRM

Posted: 01 Sep 2016 09:25 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGETOWN: ADUN DAP Sungai Pinang, Lim Siew Khim, tiba di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, di sini, pagi ini bagi membantu siasatan berhubung isu mengatur pemilikan hartanah sebuah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang.
 
Ketua Wanita DAP Pulau Pinang itu tiba bersama peguamnya, Ram Karpal Singh dan RSN Rayer, bagi sesi merekod percakapan berhubung isu berkenaan yang turut membabitkan bapanya, Lim Kiat Seong. 
 
Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung tindakan Kiat Seong, 68 dan beberapa individu lain, yang mengatur pemilikan hartanah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang, di sini, sejurus menerima maklumat di laman sosial.
 
Ia susulan pendedahan rakaman video klip berdurasi 5.21 minit yang menjadi viral di laman sosial, memaparkan perbualan Kiat Seong bersama dua lelaki sedang membuat rundingan, dipercayai berhubung pemilikan hartanah sebuah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang, di sini.
 
 

KJ serahkan pemacu pena 'panas' TMJ kepada SPRM

Posted: 01 Sep 2016 09:21 PM PDT

MALAYSIAKINI


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan menyerahkan pemacu panas yang diberikan kepada beliau oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai dakwaan rasuah dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jemputan media telah diedarkan oleh pembantu Khairy memberitahu bahawa menteri itu akan menyerahkan pemacu pena tersebut di ibu pejabat SPRM, Putrajaya esok pagi esok.

Semalam, Khairy berkata beliau masih mengkaji kandungan pemacu pena tersebut bagi membolehkannya menjelaskan kepada SPRM mengenai apa jua elemen rasuah yang wujud didalamnya.

"Jika tidak, SPRM akan ketawa kepada saya dan berkata, 'Mengapa kamu berikan dokumen-dokumen ini terhadap kami?" jelas beliau.

Khairy telah mendapat pemacu pena tersebut pada 26 Ogos yang lalu.

Beliau sebelum ini berkata, pemacu pena mengandungi 279 muka surat dokumen dan berjanji bahawa tidak akan menyembunyikan apa-apa jika terdapat salah laku.

Menteri jelaskan kenapa DOJ tidak sebut nama MO1

Posted: 01 Sep 2016 09:19 PM PDT

MALAYSIAKINI


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan menjelaskan kenapa Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tidak menyebut nama sebenar 'Malaysian Official 1' (MO1).

Merujuk kepada wawancara beliau dengan BBC, yang disiarkan dalam laman sesawang perbadanan penyiaran itu, beliau berkata adalah jelas apa yang disebut sebagai 'MO1' itu merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Banyak yang lain juga disebut oleh DOJ. Tetapi, jelas sekali, tidak seorang pun daripada mereka, termasuk MO1, dinamakan sebagai subjek penyiasatan.

"Seperti yang akan disahkan mana-mana peguam, perbezaan antara disebutkan nama sebagai subjek dalam saman sivil, dan sekadar dirujuk dalam sesuatu penyiasatan, adalah perkara hitam putih," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, setelah siasatan menyeluruh dilakukan pelbagai pihak berkuasa, perdana menteri disahkan tidak terlibat dengan sebarang salah laku.

"Maka, keterangan yang wujud adalah jelas dan perbuatan Tun Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri) untuk memberi gambaran buruk akan gagal sekali lagi, sama seperti cubaan beliau sebelum ini untuk menumbangkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik telah mengalami kegagalan teruk," katanya.

Abdul Rahman berkata Dr Mahathir dan sekutu baharunya daripada pembangkang sengaja mencampuradukkan kedua-dua perkara itu untuk memperdaya rakyat Malaysia.

"Kegagalan bantahan yang dianjurkan proksi mereka untuk bertanya siapakah sebenarnya MO1, adalah tidak relevan kerana MO1 tidak dinamakan sebagai subjek dalam mana-mana saman sivil DOJ," kata beliau.

Jamal: RM1,000 untuk perwakilan Umno hasil derma, tabungan

Posted: 01 Sep 2016 09:16 PM PDT

MALAYSIAKINI


Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos menjelaskan pemberian RM1,000 kepada setiap ketua cawangan dan perwakilan parti itu adalah hasil sumbangan pihak tertentu dan tabungan yang dibuat mereka sebelum ini.

Malah, Jamal berkata sumbangan tersebut diperolehi oleh mereka bagi tujuan lawatan sambil belajar ke Dubai yang sepatutnya dijadualkan pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, kata Jamal lawatan tersebut terpaksa dibatalkan berikutan nahas helikopter yang mengorbankan ahli parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noriah Kasnon di Sarawak awal Mei lalu.

"Ekoran pengumuman saya (Ahad lalu) ramai yang bertanya dari mana saya dapat wang tersebut.

"Sebenarnya ia adalah hasil kami menabung serta sumbangan ahli korporat dan beberapa pihak lain untuk kami buat lawatan sambil belajar ke Dubai pada awal tahun lalu.

"Tetapi pilihan raya kecil terpaksa diadakan ekoran insiden yang melibatkan bekas ahli parlimen sungai Besar, Noriah Kasnon dan kita terpaksa batalkan," kata Jamal kepada Malaysiakini.

Malaysiakini pada Ahad lalu, melaporkan Jamal terpaksa membatalkan janjinya untuk membawa semua ketua cawangannya bercuti ke Dubai.

Sebaliknya, janji percutian itu ditukarkan dengan pemberian wang tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua cawangan berkenaan.

Namun, selepas mendapatkan penjelasan dari Jamal sendiri, pihaknya berkata wang RM1,000 itu diagihkan kepada setiap ketua cawangan dan termasuk 646 perwakilan Umno.

Bagaimanapun, susulan laporan itu, ahli parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran mendesak Jamal mendedahkan sumber kekayaannya atau berdepan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Jamal berkata sumbangan berkenaan juga dibuat beliau kerana tidak mahu ada pihak di kalangan perwakilan parti yang berkecil hati dengan tindakannya untuk hanya mengagihkan peruntukan kepada ketua cawangan mereka.

Justeru, atas keadilan semua pihak beliau bertindak sedemikian.

"Apabila berlaku PRK saya lihat semua orang bekerja seikhlas hati, jadi bagaimana saya hanya mahu membawa ketua cawangan saja.

"Peruntukan ini agak besar sebab itu mesyuarat kali ini saya telah buat keputusan supaya peruntukan itu diberi sama rata.

"Semua orang dapat rasa dan tidak akan ada perasaan tidak puas hati di mana kali ini saya bagi RM500 dan baki lagi RM500 kita akan beri pada tahun hadapan. Maksudnya semua dapat," kata Jamal.

Malah, ketika ditanya berapakah jumlah agihan tersebut ini jawapannya:

"Kos tiket penerbangan dan penginapan sahaja hampir RM700,00," katanya ringkas sebelum mengakhiri perbualan.

Puluhan bantah kehadiran bekas presiden Sri Lanka di KL

Posted: 01 Sep 2016 09:10 PM PDT

 Lu Wei Hoong



Puluhan rakyat mewakili pelbagai parti politik dan NGO India mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah kehadiran bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dalam satu sidang antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Bantahan itu memaksa pihak berkuasa mengerahkan pasukan polis termasuk unit anti rusuhan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghalang penunjuk perasaan menghampiri tempat sidang itu diadakan.

Setakat ini, belum ada laporan berhubung kejadian yang tidak diingini oleh penunjuk perasaan itu.

Sebahagian besar mereka mahu kerajaan segera mengusir Rajapaksa, yang didakwa mereka membunuh ratusan ribu penduduk berketurunan Tamil semasa perang saudara Sri Lanka yang berakhir pada tahun 2009.

'Terima kasih mufti Wilayah kerana sokong RUU355'

Posted: 01 Sep 2016 09:07 PM PDT

MALAYSIAKINI


 PAS mengucapkan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang menyeru semua anggota parlimen, khasnya yang beragama Islam menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).

"Semoga langkah yang diambil oleh Mufti Wilayah akan menyemarakkan lagi usaha dalam memahamkan masyarakat umum terhadap RUU (rang undang-undang) 355 dan bergerak senada bagi menyokong rang undang-undang tersebut secara harmoni dan berdakwah," kata timbalan presidennya.
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga yakin semua mufti menyokong RUU persendirian berkaitan yang akan dibentangkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai anggota parlimen Marang.
Ini kerana, kata Tuan Ibrahim ia sebahagian dari meningkatkan martabat Mahkamah Syariah.

"Alangkah baiknya kalau semua mufti mengeluarkan gesaan yang sama kepada semua ahli parlimen," katanya.
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam "bayan linnas" (penjelasan permasalahan semasa) semalam mengupas panjang cadangan pindaan bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah.

Katanya, anggota parlimen yang beragama Islam wajib menyokongnya kerana ia dapat memartabatkan keadilan Islam dan memelihara maslahah umat supaya terjamin dan dihormati.

Anggota parlimen bukan Islam pula, kata Zulkifli, diseru menyokongnya kerana "ia dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah".

Katanya, anggota parlimen perlu menunjukkan tanggungjawab perlu menyokong keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam di kawasan parlimen masing-masing.

Hadi dijadual membentangkan semula cadangan pindaan itu dalam sesi parlimen akan datang (bulan depan) setelah mohon menangguhkannya dalam sesi lalu atas alasan tidak cukup masa.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berharap langkah Mufti Wilayah itu akan menyemarakkan lagi usaha memahamkan masyarakat umum terhadap RUU 355.

Beliau juga berkata isu RUU itu tidak perlu dipolitik atau dipolemikkan kerana ia "tanggungjawab semua umat Islam".

Polis nafi UFO berlegar di Kuala Krai

Posted: 01 Sep 2016 08:41 PM PDT

SINAR HARIAN
UFO
Visual kapal angkasa yang diviralkan menerusi media sosial
 
 
KOTA BHARU - Polis hari ini menafikan kononnya terdapat objek terbang yang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar di ruang angkasa Kuala Krai sepertimana diviralkan menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk kawasan berkenaan berhubung kejadian tersebut.

"Video itu disebarkan oleh pihak tertentu tanpa mengetahui sebabnya," kata beliau ketika dihubungi di sini, malam tadi. Selain penyebaran video berdurasi 1 minit 25 saat menerusi media sosial itu, ia turut mengaitkan maklumat itu kononnya daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dengan meletakkan perkataan "BERNAMA".

Berita yang diviralkan itu menyebut: "Penduduk Kuala Krai Kelantan dikejutkan dengan objek dipercayai U.F.O. berlegar-legar di ruang angkasa berhampiran pusat cembong batu nang.

"Kejadian disaksikan dengan jelas oleh penduduk kampung selama beberapa minit sebelum objek tersebut hilang meninggalkan kawasan tersebut. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika kejadian berlaku.." - Bernama

100,000 belum dapat kerakyatan Malaysia

Posted: 01 Sep 2016 08:41 PM PDT

kerakyatan Malaysia
 

TERDAPAT sekurang-kurangnya 100,000 kaum Cina yang menjadi penduduk tetap di negara kita masih belum memperoleh warga kenegaraan, demikian dinyatakan oleh Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah.

Beliau berharap pihak kerajaan memandang serius mengenai perkara ini dan dapat menyelesaikannya dalam tempoh terdekat.

"Kebanyakan kaum Cina yang tidak mempunyai kad pengenalan ini adalah terdiri daripada golongan tua. Mereka telah lama memohon tetapi masih belum diluluskan oleh kerajaan," katanya kepada Sin Chew Jit Poh.

Menurut Yin Huah, di bawah Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan, sesiapa yang dilahirkan di Persekutuan sebelum merdeka, maka seseorang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara.

"Sejak lebih daripada beberapa dekad lalu, pelbagai kaum telah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia. Bagaimanapun, bagi kaum Cina, mereka sering kali menghadapi kegagalan ketika melalui temu duga akibat masalah bertutur dalam Bahasa Malaysia.

"Kebanyakan mereka sudah lama bermastautin di negara kita sehingga menjadi generasi ketiga dan mempunyai ramai cucu cicit. Mereka juga telah lama memberi sumbangan kepada negara kita. Oleh itu, tidak ada sebab kenapa permohonan mereka untuk menjadi warganegara kita ditolak," katanya.


Sultan Selangor nikahi pembaca berita

Posted: 01 Sep 2016 08:32 PM PDT


Sultan Selangor selamat diijabkabul


SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijabkabulkan dengan seorang pembaca berita sebuah stesen televisyen tempatan, Norashikin Abdul Rahman, 45 pada 31 Ogos lalu.
 
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pernikahan itu dijalankan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

"Majlis pernikahan selamat disempurnakan pada pagi 31 Ogos di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang secara sederhana dan ringkas atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

"Majlis dihadiri Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir, Imam Paduka Tuan, Mohd Rasid Mahful, Bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin, bapa serta ahli keluarga pengantin perempuan," katanya dalam satu kenyataan.‎

Difahamkan, Norashikin yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan sebelum ini, pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005).

Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Sultan Selangor ke-9 yang memerintah negeri Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Pada tahun 1968, baginda berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal dan dikurniakan dua puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Setelah berpisah pada 1986, baginda berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat, Nur Lisa Idris Abdullah pada tahun 1988 (berpisah pada 1997) dan mempunyai seorang putera, Tengku Amir Shah hasil perkahwinan tersebut.

( FOTO: ANTARAPOS.COM )

Post Pic

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT