Perbezaan politik sama sekali tidak pernah menjadi halangan untuk Allahyarham sentiasa berusaha bagi menyatukan umat Islam dalam menegakkan perjuangan Islam. Allahyarham bukan sahaja aktif dalam politik tetapi juga adalah tokoh perubatan Islam dan ulama yang cukup disegani. Atas sebab itulah, pemergian Allahyarham bukan sahaja amat dirasai oleh pemimpin, ahli dan penyokong Pas tetapi seluruh umat Islam di negara ini.

Sepanjang membuat liputan perjuangan politik Pas sejak awal 1990-an, tidak pernah penulis melihat Allahyarham membuat kenyataan atau me­lakukan tindakan politik yang boleh memecahbelahkan umat Islam.
Bagi penulis, Allahyarham adalah ulama yang benar-benar mahu menjadikan politik sebagai platform bagi menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia. Justeru, Allahyarham sentiasa berhati-hati dalam sebarang kenyataan atau ucapannya ke­rana tidak mahu umat Islam terus berpecah-belah.

"Saya menyeru ahli Pas jangan menyerang sesiapa, sama juga saya menyeru kepada bukan Pas supaya tidak menyerang Pas. Kenalilah siapa musuh kita yang sebenar dan kenalilah kawan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Berpada-padalah menya­yangi kawan kamu, mungkin satu hari dia akan menjadi musuh kamu dan berpada-padalah membenci musuh kamu kerana mungkin satu hari dia berubah menjadi kekasih kamu."

Beberapa rakan dalam Pas pernah memberitahu, Allahyarham amat tidak menyenangi perbuatan mana-mana pe­mimpin parti tersebut yang tidak menjaga adab Islam ketika berpolitik termasuk memaki hamun lawan politik mereka.

Allahyarham berkata: "Dalam bermusuhan, me­nyerang dengan kata-kata yang tidak sepatutnya bukan daripada akhlak Islam tetapi menasihati apa sahaja yang boleh membawa kebaikan adalah ajaran Islam. Jauhilah fitnah kerana akibatnya kamu tidak dapat menanggung balasannya."

Allahyarham yang berkelulusan dalam bidang syariah dari Universiti Ain Shams, Kaherah dan pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1977 hingga 1985 dilihat sentiasa bercakap dan menyatakan pendirian berdasarkan prinsip mencari keredaan Allah.

Walaupun ada ketikanya pendirian Allahyarham dalam soal politik khusus­nya berkaitan kerjasama dalam pakatan pembangkang tidak disenangi namun Allahyarham tidak pernah berundur walaupun setapak daripada pendirian tegasnya terutama bagi mempertahankan prinsip perjuangan Pas. Allahyarham menegaskan: "Kita berpolitik kerana mencari keredaan Allah, jawatan bukan matlamat, yang memegang jawatan adalah yang memegang amanah."

Disebabkan pendirian itulah, Allahyarham pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 di Perlis.

Allahyarham menyifatkan tindakan beberapa pemimpin Pas keluar daripada parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai meninggalkan perjuangan Islam. Atas prinsip ini jugalah Allahyarham sentiasa tegas dan berani mempertahankan pendirian Pas bagi melaksanakan hukum hudud khususnya dalam berhadapan dengan DAP.
"Pas tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang," tegas Allahyarham ketika Pas diasak oleh DAP supaya tidak berjuang untuk melaksanakan hukum hudud.

Satu lagi fakta menarik mengenai Allahyarham yang me­nyertai Pas sejak 1974 ialah sentiasa menyatakan yang benar walaupun pahit biarpun ada sesetengah pihak menganggap kenyataan yang dikeluarkan itu tidak menguntungkan politik Pas.

Di bawah kepemimpinan beliaulah, Dewan Ulama Pas membuat keputusan meminta parti itu mengkaji semula tahaluf siyasi dengan DAP yang dilihat sejak dulu menentang ­perjuangan Islam Pas.

Bagi umat Islam, pemergian Allahyarham bermakna mereka bukan sahaja kehilangan seorang tokoh yang disegani dan dihormati, malah seorang tok guru yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk me­nyampaikan ilmu-ilmu Allah melalui ceramah dan kuliah agama. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Allahyarham menubuhkan pusat perubatan Islam yang memberi manfaat kepada jutaan umat Islam Malaysia. Allahyarham ialah ­pengasas Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa').

Pada Mac tahun lalu, Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am Pas bagi menggantikan Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat.

Kini Pas sekali lagi kehilangan Mursyidul Amnya manakala umat Islam kehilangan seorang ulama berwibawa, namun semangat perjuangan, titisan pengorbanan dan ilmu yang disampaikan oleh Allahyarham pasti akan kekal sehingga akhir hayat.

Semoga Allah mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat syurga yang kekal abadi kepada Allahyarham. - AL FATIHAH.