Sabtu, 13 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera

Posted: 13 Aug 2016 06:25 AM PDT

Blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera
Sidang media di Ibu Pejabat Pas, di sini hari ini. –Foto Sinar Online


KUALA LUMPUR- Pas hari ini mengumumkan bahawa kerjasama politik parti itu, bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) kini akan dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Mengumumkan perkara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,perkara itu dipersetujui bersama antara Pas dan Ikatan dalam mesyuarat bersama pada dua Ogos lalu, di ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut.

"Persefahaman politik ini menjadi satu gagasan baharu kepada lanskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

"Justeru rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok Umno/BN: dan satu lagi jalur politik yang menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat Pas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hadi berkata, pendekatan Gagasan Sejahtera akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.

"Kita akan memperjuangkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok...menyokong kebaikan berasaskan kebenaran, bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata.

"Politik damai dan Diplomasi serta politik berasaskan penyelesaian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif Gagasan Sejahtera adalah membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat," katanya.

Oleh itu ujarnya, pendekatan budaya politik matang dan sejahtera ini memberi pilihan kepada rakyat yang telah bosan dengan budaya politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidakstabilan sosial dan ekonomi.

Terdahulu Pas dan Ikatan sebelum ini, menjalinkan kerjasama yang dikenali sebagai Blok Ketiga.


BERSATU LEBIH MEMUDAHKAN PERUBAHAN

Posted: 13 Aug 2016 06:19 AM PDT

shahbudindotcom


Pada pilihanraya umum 2013, BN berjaya mengekalkan kuasanya dengan meraih kemenangan di 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat sebanyak 89 kerusi daripada  222 jumlah keseluruhannya.

Daripada 133 kerusi yang dimenangi BN itu, 88 diraih melalui calon-calon UMNO. Ini bermakna jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat hanya lebih satu kerusi berbanding kekuatan UMNO. Banyak kerusi BN disumbangkan melalui Sabah dan Sarawak.

Pada pilihanraya 2008 pula, daripada 140 kerusi yang dimenangi oleh BN, 79 kerusi dimenangi atas tiket UMNO. Berbanding pilihanraya 2008, jumlah kemenangan kerusi UMNO meningkat sebanyak 9 kerusi dalam pilihanraya 2013 lalu.

Di sebalik pelbagai isu melanda Najib Razak dan negara, UMNO pada hakikatnya masih mampu menang banyak kerusi bagi memastikan BN terus berkuasa. UMNO dan parti-parti kompenan BN kecundang di banyak kerusi bandar, separa bandar dan pengundi campuran, tetapi masih dominan di luar bandar, kampung-kampung Melayu serta Felda.

Kemampuan BN menang itu adalah disebabkan UMNO masih dilihat parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu, sesuai dengan komposisi Melayu yang meliputi kira-kira 65 peratus penduduk negara ini. 

Dalam Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang benar-benar bersifat Melayu. DAP pelbagai kaum dan PKR juga pelbagai kaum, sementara Pas adalah parti Islam. 

Oleh kerana tidak ada yang benar-benar memperjuangkan Melayu, di sinilah UMNO mengambil kesempatan. Walaupun wujud pelbagai isu berkaitan Najib dan Rosmah pada pilihanraya 2013, UMNO masih menang banyak kerusi kerana  kejayaannya memanipulasi pengundi luar bandar dengan memainkan sentimen UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

Sementara pengaruh media sosial memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat dalam konteks pengundi bandar, luar bandar dan campuran, mainan sentimen Melayu dengan dibantu elemen 3M iaitu "money, machinery, media", telah memberi kelebihan kepada UMNO.

Meskipun kita seharusnya menolak perkauman dan mahu semua rakyat hidup harmoni tanpa mengira agama dan bangsa, realiti politik Malaysia masih jauh untuk bebas daripada hakikat itu. Tambahan lagi, masih banyak kerusi Parlimen dan DUN di negara ini dihuni oleh majoriti pengundi Melayu luar bandar, miskin dan ketinggalan.

Dalan konteks BN, meskipun MCA, MIC dan Gerakan semakin ditolak kerana pengundi bandar, separa bandar dan campuran lebih memihak kepada pembangkang yang kerap memainkan isu rasuah, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya, UMNO sebaliknya tetap punya kelebihan di kawasan luar bandar, kampung dan Felda berdasarkan mainan sentimen Melayu sambil dibantu faktor 3M tadi.

Oleh itu, untuk mengalahkan BN dalam PRU 14, penguasaan UMNO haruslah dipecahkan terlebih dahulu. PKR dan Amanah sukar memikul tanggungjawab itu, begitu juga dengan Pas, walaupun parti Islam itu agak dominan di bebarapa kawasan Melayu di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Di sinilah pentingnya BERSATU dan itulah juga sebabnya mengapa BERSATU ditubuhkan dengan bertunjangkan Melayu dan Bumiputera. Walaupun BERSATU bercorak Melayu dan Bumiputera, ia tidak seharusnya dilabel perkauman selagi ia sedia menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan yang mengandungi parti-parti pelbagai kaum serta menghormati hak-hak bangsa lain.

BERSATU tidak lain bertujuan untuk memberi saingan kepada UMNO dan mengurangkan sebanyak mungkin daripada 88 kerusi yang dipegangnya sekarang. Parti-parti lain yang mewakili Pakatan Harapan boleh terus menumpukan kepada kawasan bandar, separa bandar dan juga campuran yang memang merupakan lubuk mereka.

Dengan bantuan pemimpin-pemimpin berpengalaman seperti Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, penguasaan UMNO di luar bandar dan kawasan Melayu lebih mudah dileraikan, lebih-lebih dengan wadah BERSATU yang mirip macam UMNO dan ditunjangi oleh bekas-bekas pemimpin UMNO.

Di Sabah, jika Shafie Apdal bergerak dengan platform "Sabah untuk rakyat Sabah"  yang mirip seperti berlaku di Sarawak yang mana slogan mereka ialah "Sarawak untuk rakyat Sarawak", beliau tidak mustahil mampu mengurangkan beberapa kerusi UMNO di negeri tersebut.

Yang penting, selain menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan, BERSATU melalui pengalaman Tun Mahathir mesti berunding sebaik mungkin dengan Pas dan Amanah bagi memastikan hanya pertandingan satu lawan satu dengan UMNO.

Mesti ada tolak ansur dan berlapang dada dalam perundingan di antara BERSATU, Amanah dan Pas. Yang penting UMNO serta BN mampu dikalahkan dan Najib dapat disingkir keluar dari Seri Perdana.

BN hanya boleh dikalahkan jika penguasaan UMNO terhadap pengundi Melayu dapat dipecahkan. Selagi hanya UMNO yang boleh berkokok tentang Melayu, selagi itulah BN akan berkuasa dan Najib kekal di Seri Perdana. 

Pakatan Harapan dengan disertai oleh BERSATU akan menerima sokongan pengundi Melayu yang jauh lebih baik, tambahan lagi dengan adanya pengaruh Tun Mahathir.

Sebab itu, kehadiran BERSATU mula menimbulkan cuak dan bimbang kepada UMNO dan BN. Bukan saja pemimpin-pemimpin UMNO mula mengatakan orang Melayu tidak perlu sebuah parti lain selain UMNO, bahkan warna merah dan nama BERSATU pun turut memercikkan peluh dingin buat mereka.

Lebih parah, MCA yang bersifat perkauman Cina pun seperti sedang mabuk apabila menolak BERSATU dengan mengatakan wujudnya sebuah lagi parti perkauman Melayu akan memecah-belahkan rakyat negara ini. 

Macam-macam dijadikan alasan untuk menolak kewujudan BERSATU dan ia tidak lain kerana mereka semakin nampak kuasa dalam genggaman bakal terlepas jika BERSATU berjaya memecahkan sedikit saja dominasi UMNO terhadap pengundi Melayu. 

PAS akan saman Sarawak Report di UK bulan depan

Posted: 13 Aug 2016 05:50 AM PDT

MALAYSIAKINI


PAS akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dalam masa sebulan ini.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS akan memfailkan saman itu di England.

"Kita telah membuat keputusan akan membawa kes itu ke mahkamah di England kerana kita difahamkan media tersebut berpusat di sana.

"Kita kenal queen counsel (peguam kanan) yang pernah ada hubungan dengan kita dalam kes sebelum ini.
"Dalam masa terdekat, dalam masa sebulan ini," kata Abdul Hadi dalam sidang medianya di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Isnin lepas PAS membidas Sarawak Report selepas laman pemberi maklumat itu mendakwa parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report kerana didakwanya berniat jahat dan mencemar nama baik parti serta dasar Islam yang menjadi teras kepada parti itu.

Sementara itu, PAS mengulangi pendirian untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Abdul Hadi berkata, ini kerana sehingga kini parti itu belum berdaftar secara sah.

"BERSATU belum daftar lagi, jadi kita tunggu dan lihat," ujar beliau yang juga ahli parlimen Marang.

Bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu secara rasmi mendaftarkan BERSATU untuk menyaingi wadah politik lamanya Umno.

ROS akan membuat keputusan sama ada meluluskan pendaftaran itu.

Setakat ini, Umno menentang penggunaan nama BERSATU atas alasan ia sering digunakan dan mendatangkan kekeliruan masyarakat.

Pemimpin-pemimpin BERSATU mungkin mengambil alih parti sedia ada jika pendaftaran mereka ditolak



‘Daging babi halal’ telah diambil tindakan

Posted: 13 Aug 2016 05:45 AM PDT

'Daging babi halal' telah diambil tindakan
Paparan skrin rakaman berita yang disebarkan.
 
 
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pihak berkuasa Korea Selatan telah mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang bertanggungjawab meletakkan label halal pada daging babi keluarannya.

Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal Jakim berkata, pihak Jakim telah mendapatkan penjelasan daripada rakan strategik di Korea susulan ia menjadi viral baru-baru ini.

"Berikutan rakaman berita berkaitan produk daging babi yang ditandakan sebagai halal di Korea menjadi viral, Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah bertindak mendapatkan penjelasan mengenainya daripada rakan strategik Jakim di Korea," katanya dalam satu kenyataan, hari ini,

Rakaman berita yang telah diletakkan sari kata bahasa Indonesia dari sebuah stesen TV di Korea yang tersebar menyebut pengusaha daging mentah ditahan selepas menggunakan logo halal palsu pada daging keluarannya.

Melalui rakaman itu, pihak terbabit mendakwa tidak tahu tindakannya mencampurkan daging lembu halal dengan daging babi ketika memproses merupakan satu kesalahan.

Mengulas lanjut, Jakim berkata pihaknya diberitahu perkara itu berlaku susulan daripada sikap rakus pihak industri yang tidak memahami konsep halal.

"Untuk makluman pengguna, berdasarkan penelitian atau pemantauan pihak berautoriti di Korea, kejadian ini berpunca daripada sikap rakus pihak industri yang tidak memahami konsep halal dan beranggapan bahawa label halal adalah tanda perniagaan yang boleh membantu memasarkan produk mereka.

"Ekoran daripada kejadian itu, tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa Korea di atas sikap tidak bertanggungjawab syarikat terbabit dalam penyalahgunaan tanda halal tersebut," katanya.


Pemuda Pakatan Harapan sokong himpunan #TangkapMO1

Posted: 13 Aug 2016 05:39 AM PDT

MALAYSIAKINI


Pemuda Pakatan Harapan hari ini sepakat dalam menyatakan sokongan terhadap himpunan aman #TangkapMalaysianOffical1 (#TangkapMO1) yang dijadualkan pada 27 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, dalam kenyataan bersama, Pemuda Pakatan Harapan berkata, gabungan itu akan menggerakkan segenap jentera parti bagi memberi sokongan mobilisasi, keselamatan dan perundangan dalam perhimpunan tersebut.

"Menyedari tanggungjawab dan keperluan untuk menyelamatkan Malaysia daripada jenayah peringkat tertingi, Pemuda Pakatan Harapan untuk menyatakan sokongan, " katanya dalam kenyataan itu.

Kenyatan tersebut ditandatangani oleh Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda DAP Wong Kah Woh dan Ketua Pemuda AMANAH Mohd Sany Hamzan.

Selain himpunan di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini, acara sama bagi mendesak tindakan pada "Malaysian Official 1" akan turut diadakan di Johor dan Sabah.

Kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai "Gabungan #TangkapMO1" berkata perhimpunan di Kota Kinabalu akan diadakan sama dengan acara di Kuala Lumpur iaitu 27 Ogos.

Manakala di Johor Bahru pula, menurut mereka, akan berlangsung lebih awal pada 13 Ogos "sebagai kempen menuju perhimpunan kemuncak".

Mengulas lanjut, kenyataan bersama itu menyebut, Pemuda Pakatan Harapan juga turut mengingatkan kerajaan, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pentadbir universiti agar memberi ruang kepada mereka.

"Pemuda Pakatan Harapan mengingatkan kepada kerajaan Malaysia, PDRM, pentadbir universiti supaya dapat memberi ruang kepada mahasiswa dan anak muda bersuara. "Suara mahasiswa ".

Akui kesilapan kamu, Muhyiddin beritahu Najib

Posted: 13 Aug 2016 05:36 AM PDT

MALAYSIAKINI


Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hendaklah mengakui kesilapan yang pernah dilakukannya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas timbalan Najib itu berkata, bekas bosnya itu tidak seharusnya bertindak sebaliknya dengan berpura-pura kononnya semua dalam keadaan baik.

"Presiden Umno terpalit dalam banyak skandal yang saya boleh katakan mencecah perkadaran global, inilah yang menjadi keprihatinan setiap rakyat Malaysia.

"Kamu sedang duduk di kerusi itu, jadi, menjadi tanggungjawab kamu untuk melindungi kepentingan negara," kata Muhyiddin lagi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen menderma darah di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, hari ini.

"Jika kamu hadapi masalah hari ini, kamu harus akui kesilapan yang dibuat. Bukan lagi rahsia. Seluruh negara, seantero dunia tahu mengenainya," ujar beliau lagi.

Kira-kira dua bulan yang lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk memecat Muhyiddin bersama-sama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno yang berkata keputusan berkenaan dicapai sebulat suara.

Kata Najib, tindakan kedua-dua mereka berkempen bagi pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Susulan pemecatan beliau, Muhyiddin dilihat terus aktif menentang bekas bosnya itu dengan menyertai beberapa ceramah mengkritik Najib dan Umno.

Terbaru, Muhyiddin mendaftar parti politik baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau BERSATU yang menyasarkan untuk bertanding melawan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Salah guna kuasa penjawat awam sasaran Dzulkifli

Posted: 13 Aug 2016 05:01 AM PDT

SINAR HARIAN
Datuk Dzulkifli Ahmad
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ketika wawancara khas dengan Bernama di pejabatnya hari ini. - Foto Bernama


PUTRAJAYA - Transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada 2009 telah menampakkan perubahan ketara dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Berpegang kepada prinsip adil, amanah dan tegas dalam melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang, suruhanjaya itu terus komited untuk membasmi jenayah rasuah di negara ini, khususnya dalam kalangan penjawat awam bagi membendung isu ketirisan hasil kerajaan serta memastikan keadilan sentiasa ditegakkan.

Perkara itu antara penekanan yang diberi oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama hari ini, yang merupakan penampilan sulungnya bersama media selepas pelantikannya pada 1 Ogos lepas.

Ikuti temu bual Penolong Editor Bernama, Sharifah Nur Shahrizad Syed Sharer dan Ketua Meja Jenayah Syarifah Hunaini Syed Ismail bersama Dzulkifli yang mengulas pelantikannya serta fokus utama beliau dalam menerajui organisasi rasuah itu.

Berikut adalah transkrip temu bual Bernama dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad :

Bagaimana Datuk melihat pelantikan Datuk sebagai 'bos' baharu SPRM daripada sebelum ini sebagai Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara?

DZULKIFLI: Pelantikan ini saya terima sebagai satu amanah kepada diri saya, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempercayai kebolehan saya serta memberi peluang untuk menerajui SPRM.

Walaupun amanah yang diberikan kepada saya adalah berat, namun saya berjanji akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh kerana saya bukan sahaja perlu menjawab kepada manusia tetapi saya perlu menjalankan amanah ALLAH.

Sewaktu menjadi Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara, pihak kami telah pun bekerjasama dengan SPRM dalam perkara-perkara yang terarah kepada isu-isu rasuah dalam memastikan bahawa ketirisan hasil dan pendapatan negara ditangani.

Dalam pada itu, saya turut melihat pelantikan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah kesinambungan daripada hasil kerjasama positif yang telah dilaksanakan antara Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara dan SPRM.

Pengalaman yang saya jana ketika berfungsi sebagai Pengarah Pasukan Penguat kuasa Pemulihan Hasil Negara serta keterlibatan saya dalam pendakwaan beberapa kes rasuah, jenayah perdagangan dan pengubahan wang haram berprofil tinggi akan saya kongsikan bersama pegawai-pegawai SPRM. Ini sudah tentu dapat melancarkan dan membantu memperluaskan lagi usaha-usaha pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah.

Hari pertama bertugas, Datuk berikrar untuk bertindak adil. Boleh Datuk huraikan maksud Datuk?

DZULKIFLI : Sebagaimana maksud adil yaani meletakkan sesuatu itu pada tempatnya mengikut haknya maka begitu jugalah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita.

Adil yang saya maksudkan ialah berteraskan prinsip undang-undang dan memelihara hak yang mengadu dan yang ditohmah.

Pengadu mempunyai hak untuk melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu. Begitulah, individu yang ditohmah juga ada hak untuk dipertahankan sehingga dia dibuktikan bersalah.

Oleh itu, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang berpegang kepada moto, (adil, amanah, dan tegas), SPRM akan terus memastikan keadilan sentiasa ditegakkan dan hak individu akan terus dipelihara sehingga dibuktikan bersalah.  

Setiap tindakan SPRM akan dipastikan diambil secara tegas tanpa rasa gentar berdasarkan undang-undang serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu.

Setiap aduan akan dinilai secara saksama tanpa memilih bulu. Kesemua yang dinyatakan di atas dimaksudkan sebagai konsep adil.

Terdapat persepsi berhubung pelantikan Datuk memandangkan kebiasaannya ketua pesuruhjaya SPRM dilantik daripada kalangan 'orang dalam' SPRM, sedangkan Datuk dilihat sebagai 'orang luar'. Timbul pelbagai persepsi, apa pandangan Datuk?

DZULKIFLI: Melantik orang luar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bukanlah perkara yang luar biasa.
BPR/SPRM pernah diterajui oleh pegawai Polis, pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.  

Justeru saya bukan pegawai pertama dari Jabatan Peguam Negara yang diberi kepercayaan untuk menerajui SPRM.

Dalam masa sama, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kesemua anggota SPRM yang telah dan sedang terus memberi kerjasama baik kepada kepimpinan saya.

Saya percaya selagi kita berpegang kepada prinsip adil, amanah dan tegas serta melaksanakan setiap tanggungjawab tertakluk kepada undang-undang dan peraturan, tindakan saya pasti diterima dengan baik oleh warga SPRM.

Apakah fokus utama Datuk dalam masa terdekat ini?

DZULKIFLI: Fokus utama saya dalam masa terdekat ini ialah untuk memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Penumpuan akan diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.
Golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

Di samping itu, peranan pegawai integriti akan diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan. Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

Penguat kuasa undang-undang seperti polis mahupun SPRM selalunya dilihat hanya berani menangkap 'ikan bilis' dan bukannya 'jerung'. Jadi di bawah kepimpinan Datuk, apa yang SPRM akan laksanakan terutamanya dalam menangkis persepsi umum ini.

DZULKIFLI : Ingin saya tegaskan di sini bahawa, isu ikan bilis mahupun jerung hanyalah berkaitan persepsi.  

SPRM pernah menyiasat banyak kes berprofil tinggi sebelum ini. Kebanyakan kes profil tinggi juga dibawa ke muka pengadilan dan hukuman dikenakan terhadap individu yang berprofil tinggi.

Justeru, kini tugas dan peranan saya bukan hanya tertumpu kepada meneruskan usaha untuk menyiasat kes berprofil tinggi malah juga memfokuskan kepada kes-kes berkepentingan rakyat.

Ini tidak bermakna bahawa kita akan meminggirkan kes-kes yang kecil kerana kesalahan rasuah ini tidak bersempadan. Sama ada kecil atau besar nilai rasuah, ia tetap satu kesalahan.

Dalam masa yang sama, perancangan yang teliti akan terus dilakukan bagi mempertingkatkan keupayaan pegawai-pegawai SPRM selain dapat menangkis segala persepsi buruk.

Apakah cabaran utama yang Datuk jangka akan dihadapi oleh SPRM dalam masa terdekat ini dan bagaimana Datuk menghadapinya?  

DZULKIFLI: Sejak dari dahulu lagi usaha memerangi rasuah menjadi satu perkara yang sering dipolitikkan.

Segala tindakan yang diambil oleh SPRM dalam membendung gejala rasuah dalam negara sering menjadi isu dan polemik politik.

Inilah cabaran utama yang sering dihadapi oleh SPRM. Namun saya percaya, cabaran seumpama ini mampu diatasi oleh SPRM apabila ia terus bertindak dengan adil, amanah dan tegas serta melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang.

Apa yang ingin dicapai oleh Datuk sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam tempoh setahun?

DZULKIFLI: Saya berharap tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah secara punitif dan preventif akan dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Namun saya sedar perkara ini agak mustahil sekiranya rakyat tidak bekerjasama dengan SPRM. Justeru rakyat perlu sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah.
Ini kerana isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat.

Namun demikian, usaha memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi adalah usaha secara kolektif dan tidak harus diletak atas bahu sesebuah agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, SPRM akan menggiatkan lagi kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara serta agensi penguatkuasaan yang lain agar usaha memerangi rasuah dapat dijalankan secara holistik sehingga membuahkan hasil yang berkesan.

Apakah penambahbaikan yang ingin dilakukan Datuk dalam SPRM?

DZULKIFLI: Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Abu Kasim Mohamed yang telah menerajui SPRM sebelum ini, serta membawa banyak perubahan kepada SPRM. Saya menghargai sumbangan beliau dan dalam masa yang sama, saya ingin mempertingkatkan lagi keupayaan dan kecekapan pegawai-pegawai dalam menjalankan siasatan kerana dengan perkembangan teknologi sekarang, transaksi rasuah menjadi semakin rumit.

Di samping itu, saya ingin melihat peranan SPRM dalam usaha meningkatkan integriti sama ada di sektor awam dan swasta diperkemaskan lagi agar ia memberi impak yang lebih tinggi.

Pada hemat saya, faktor utama yang mendorong gejala rasuah semakin berleluasa adalah kerana sikap tamak pada golongan yang mempunyai kuasa dan kedudukan sama ada di kalangan mereka yang berjawatan tinggi mahupun rendah.

Justeru SPRM akan memberi fokus kepada usaha-usaha dan tindakan merampas semula harta-harta yang diperoleh hasil daripada gejala rasuah yang dijalankan dengan menggunakan kemampuan dan kuasa penguatkuasaan yang sedia ada seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam masa yang sama, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat dan amaran kepada mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa agar menghentikannya dengan kadar serta merta sebelum SPRM mengambil tindakan. - Bernama


Sistem pencukaian untuk Uber, Grabcar dikaji

Posted: 13 Aug 2016 04:54 AM PDT

SINAR HARIAN
Uber, Grabcar, teksi
Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan tidak bercadang mengenakan cukai ke atas pemandu Uber dan Grabcar, sebaliknya mengkaji sistem pencukaian ke atas platform perkhidmatan tersebut.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata ini disebabkan platform aplikasi Uber dan Grabcar berupaya mengaut keuntungan berjuta ringgit hasil operasi di negara ini.

"Kita (kementerian) tak nak kenakan cukai kepada pemandu teksi, tetapi kita nak tengok bagaimana kementerian boleh laksana pencukaian ke atas platform (Uber dan Grabcar) ini... sebab pemandu juga perlu membayar 25 peratus kepada platfrom ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Komuniti 1Malaysia dan Kembara Jalur Gemilang bagi kawasan parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju 2016, di sini hari ini.

Johari berkata, ketika ini kementerian itu sedang memikirkan kemungkinan platform tersebut didaftarkan sebagai sebuah syarikat di negara ini, bagi memudahkan pendapatan keuntungan yang diperoleh Uber dan Grabcar, diketahui.

"Kita tengah fikirkan untuk mewajibkan platform ini didaftarkan... jadi kita boleh tengok berapa banyak pendapatan mereka, dan dari sini berapa cukai yang mereka perlu bayar," katanya.

Menurutnya tindakan ini adil bagi golongan yang mengaktifkan ekonomi (pemandu) serta mereka yang menyediakan platform untuk ekonomi (Uber dan Grabcar).

"Kita tidak boleh kenakan cukai ke atas pemandu kerana mereka juga cukup-cukup makan...tidak adil bagi mereka," katanya.

Selain itu, Johari berkata kementerian itu tiada halangan untuk membantu pemandu teksi turut menikmati hasil pengembangan ekonomi negara meski pun bersaing dengan pasaran ekonomi digital (Uber dan Grabcar).

"Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka, jadi kita tidak boleh hentikan ekonomi digital memasuki pasaran ekonomi kita... macam Uber dan Grabcar, kita tidak boleh tahan mereka kerana sistem ini diterima pakai di seluruh dunia.

"Namun, yang perlu ditekankan ialah cara untuk menjaga kebajikan pemandu teksi sedia ada. Kerajaan akan memikirkan insentif yang boleh membantu para pemandu ini, termasuk meningkatkan pendapatan dan membiayai kereta mereka yang telah lama," katanya.

Johari berkata, kebajikan pemandu teksi juga perlu diutamakan agar mereka dapat menjana pendapatan, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan pada masa hadapan.

"Perkara ini turut dikaji oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi menyelesaikan isu berkaitan pemandu teksi, termasuk tambang bersesuaian kerana ini melibatkan imej negara," katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan akan meneruskan pembinaan laluan Mass Rapid Transit (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) serta menambah perkhidmatan komuter bagi mengimbangi keperluan masyarakat, terutama di bandar.

"Di samping memberi keselesaan, infrastruktur ini memberi peluang kepada masyarakat, terutama di bandar yang tidak mampu menaiki teksi, dan memerlukan kenderaan awam yang lebih murah... ini yang kita mahu seimbangkan," katanya.

Sementara itu, program Semarak Komuniti 1Malaysia kali ini melibatkan kesemua 17 Komuniti 1Malaysia di Parlimen Titiwangsa, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Hadir sama pada majlis itu, anggota parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari dan anggota parlimen Wangsa Maju Datuk Hamdan Mohd Yusoff. - Bernama


Fokus pulihkan saham FGV, kata Pas

Posted: 13 Aug 2016 04:49 AM PDT

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan


SHAH ALAM - Pas menyarankan kerajaan memberi tumpuan memulihkan kedudukan saham Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGV) demi 100,000 peneroka yang dijanjikan hasil pelaburan syarikat itu, sebelum ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, FGV sebaliknya bertindak menyalurkan sejumlah besar wangnya bagi kempen melindungi beruang matahari.

"Krisis yang melanda syarikat korporat itu masih diperkatakan sehingga hari ini kerana ia masih belum dapat diatasi.

"Daripada konflik kepimpinan yang menerajuinya sehinggalah kepada prestasi pasaran semasa dan kedudukan saham FGV yang masih kekal di bawah RM2.00," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tahun lalu, FGV dilaporkan telah memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi menjalankan usaha pemuliharaan Rafflesia dan Beruang Matahari melalui penubuhan Pusat Konservasi dan Interpretif Rafflesia (RCIC) di semenanjung Malaysia dan Program Konservasi Beruang Matahari.

Sehubungan itu, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh bertanya kepada kerajaan langkah strategik yang diambil demi meningkatkan prestasi pasaran saham yang pernah mencapai nilai RM5.39 pada awal-awal hari saham tersebut diniagakan pada 2012.

"Jika jutaan ringgit dapat disalurkan bagi menyelamatkan kepupusan spesies haiwan tersebut, apakah suatu yang terlalu sukar bagi kerajaan memenuhi harapan 100,000 peneroka yang pernah dijanjikan dengan keuntungan berlipat kali ganda hasil pelaburan daripada FGV suatu ketika dahulu.

"Apakah faktor tersebut benar-benar berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dunia atau sememangnya krisis kepimpinan Felda telah mengalami 'deficit-trust' yang menyumbang kepada kesan negatif terhadap keyakinan para pelabur. Rakyat khususnya peneroka Felda berhak mendapatkan jawapannya," katanya.

Tiada ulasan: