Sabtu, 13 Ogos 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Matthias Chang, Husam Musa saman anak tiri Najib....

Posted: 13 Aug 2016 02:03 PM PDT

Bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan dengan ADUN Salor, Datuk Husam Musa dalam memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB.

 Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

 Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan pada Selasa di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York, menurut The Hollywood Reporter.

 Chang dan Husam menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan.

 Menurut pemfailan mahkamah, Chang dan Husam mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

 Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.

 Goldman Sachs Group dan bekas jurubank Timothy Leissner juga dinamakan.

 Plaintif mendakwa individu-individu dan entiti yang terlibat dalam urus niaga yang menjurus kepada kecurian dana 1MDB. ~ SUMBER

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN PERAK

Posted: 12 Aug 2016 08:50 PM PDT


  Pakatan Harapan khuatir berlaku penipuan besar-besaran dalam penghijrahan pengundi di 10 DUN Negeri Perak 

1. Pakatan Harapan Perak merujuk kepada penwartaan senarai pengundi-pengundi terbaru penggal suku kedua yang diwartakan oleh SPR pada 29/4/2016.

 2. Pakatan Harapan setelah meminta bantuan dari badan pemantau pilihanraya Bersih 2.0 telah mendapati bahawa terdapat sejumlah 30,173 pengundi dalam negeri Perak telah dipindahkan alamat dan pusat pengundi mereka TANPA menerima notis dari SPR.

 3. Jumlah tersebut adalah jumlah paling besar jika dibanding dengan negeri-negeri yang lain. Seramai 118,784 orang seluruh negara telah mengalami nasib yang sama dengan Perak menjadi negeri yang mempunyai pindaan & hijrah jumlah pengundi yang paling tinggi seramai 30,173 orang atau sebanyak 25.4% dari jumlah tersebut. 

4. Pakatan Harapan mendapati bahawa kawasan yang mengalami penghijrahan pengundi terbesar berlaku di 10 kerusi Marginal yang mampu menentukan keputusan PRU-14 di negeri ini. 10 kerusi DUN tersebut mengalami secara purata penghijrahan pengundi seramai 1,814 orang di setiap DUN, satu keadaan yang cukup luar biasa. 

5. Pakatan Harapan juga mendapati dalam 4 kerusi DUN, penghijrahan pengundi adalah lebih tinggi dari keputusan majoriti pada PRU-13 dan ini adalah satu perubahan yang amat terkejut. Keempat-empat kerusi DUN ini adalah DUN Selinsing, Changkat Jering, Pasir Panjang dan Changkat Jong. 

6. Selaras dengan prinsip ketelusan & keadilan, Pakatan Harapan menggesa SPR dengan segera memaklumkan kepada pengundi sendiri jika alamat atau pusat mengundi mereka telah ditukar. Pengundi sendiri yang dipindah tempat mengundi tanpa notis boleh dianggap satu penipuan dan penyelewengan yang secara sengaja untuk memihak kepada Barisan Nasional. Tindakan sedemikian merupakan pengkhianatan kepada sistem demokrasi negara kita. 

7. Sekiranya SPR gagal memberi penjelasan yang telus dan memainkan peranan berkecuali, Pakatan Harapan terpaksa membuat laporan polis dalam tempoh terdekat supaya memelihara sistem demokrasi berparlimen supaya suara rakyat sebenar dijaga.

 Tarikh : 9/8/2016

 YB Dato Seri Nizar Bin Jamaluddin
 Ketua Pembangkang DUN Perak 

YB Tuan Nga Kor Ming (DAP) 
Pengerusi DAP Perak 

YB Senator Dr Muhammad Manuty(PKR) 
Pengerusi PKR Perak 

Tn Haji Asmuni Awi(AMANAH) 
Pengerusi Amanah Negeri Perak  ~ sumber

Tiada ulasan: