Rabu, 10 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Thanggeswary, wanita pertama dilantik Speaker DUN Perak

Posted: 10 Aug 2016 04:43 AM PDT

 
Pencalonan Thangeswary dibuat Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Datuk Dr Mah Hang Soon (BN-Chenderiang).


S. Thangeswary


IPOH: Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangeswary hari ini dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baharu bagi menggantikan Datuk Seri S.K Devamany yang meletak jawatan.

Pemilihannya sebagai wanita pertama menjadi Speaker DUN Perak dibuat setelah memperoleh 30 undi berbanding calon pembangkang yang juga Anggota Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang mendapat 24 undi, manakala empat lagi berkecuali dalam pengundian yang dijalankan hari ini.

Terdahulu, pencalonan Thangeswary dibuat Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Datuk Dr Mah Hang Soon (BN-Chenderiang) sebelum bermulanya Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, persidangan DUN Perak Ke-13 di sini.

Sementara itu, pencalonan Sivakumar dibuat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Amanah-Changkat Jering) dan disokong Chang Lih Kang (PKR Teja).

Proses pemilihan sebelum itu tertangguh hampir 30 minit selepas DAP dan PKR mempertikaikan penyerahan nama calon kerajaan negeri bagi jawatan tersebut yang didakwa lewat.

Setiausaha DUN Perak Shahrul Azam Shaari menjelaskan pihaknya menerima borang pencalonan daripada pembangkang pada 26 Julai pukul 2.30 petang, manakala BN menyerahkannya pada pukul 3 petang 1 Ogos lalu iaitu tarikh akhir penyerahan borang.

"Untuk maklumkan, tiada peruntukan dalam perintah tetap kerajaan atau pembangkang atau bahagian dewan untuk mengumumkan sebarang pencalonan," katanya.

Kerusi Speaker DUN Perak kosong selepas Devamany meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet 27 Jun lepas.

Penyokong Perak kesal ‘cemuhan’ TMJ

Posted: 10 Aug 2016 04:34 AM PDT

 
Ia selepas TMJ berkata Perak negeri bermasalah untuk pasukan lain.


tmj_perak_bola_600


PETALING JAYA: Kelab Penyokong Bola Sepak Perak kesal dengan kritikan lantang Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pasukan bola sepak negeri lain.

"Biar TMJ nak kata apa, katalah. Dia ada kuasa, banyak duit, tak apalah. Kita tunggu laporan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Siapa yang benar dan siapa yang salah," kata pengerusinya Mohd Jamil Osman.

"Namun kita sedihlah, beliau (TMJ) kata macam itu. Saya anak jati Perak dan kita ada maruah kita,"
katanya kepada FMT.

TMJ sebelum ini berkata pasukan Johor Darul Ta'zim dan pasukan lain akan menghadapi masalah setiap kali berkunjung ke Perak.

Ia berikutan kekecohan membabitkan penyokong Perak dan JDT selepas perlawanan Liga Super di Stadium Perak baru-baru ini.

Jamil berkata dia sedih penyokong Perak dipersalahkan berhubung insiden itu.

Mengulas lanjut, penyokong pasukan bola sepak Perak juga mengambil keputusan untuk tidak ke Stadium Larkin dalam perlawanan Piala Malaysia diantara Perak dan JDT.

"Ini bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk dan mengelakkan kekecohan di Stadium Perak berulang," katanya.

Jamil berharap perbincangan dapat dilakukan segera antara kelab penyokong bola sepak Perak dengan JDT dalam masa terdekat.

"Kita nak main bola bukan nak gaduh-gaduh. Kita lihat kejadian ini bukan penyokong yang selalu pergi (buat kecoh) tetapi penyokong yang tak selalu pergi ke stadium yang lakukan.

"Ini memberi masalah kepada pasukan Perak apabila datang ke gelanggang lawan seperti ke Stadium Larkin nanti," katanya.

1MDB: Kerajaan perlu jawab mereka bersalah atau tidak, kata ahli PAC BN

Posted: 10 Aug 2016 04:32 AM PDT

 
Kuasa menyiasat serta menentukan samada wujud kes atau tidak sebenarnya terletak dalam bidang kuasa eksekutif, iaitu polis dan Jabatan Peguam Negara.





PETALING JAYA: Kerajaan perlu memutuskan samada orang yang dinyatakan dalam laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) lima bulan lalu bersalah atau tidak.

Ahli PAC Barisan Nasional Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana rakyat mahukan jawapan.

"Rakyat masih ternanti-nanti keputusan kerajaan daripada polis yang menyiasat 1MDB dan AGC (Jabatan Peguam Negara) yang boleh menentukan sama ada mereka yang dinyatakan dalam laporan PAC itu melakukan kesalahan atau tidak.

"Kerajaan perlu membuat keputusan segera kerana perkara ini sudah terlalu lama berlarutan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aziz mengulas desakan Ahli PAC Pakatan Harapan supaya jawatankuasa membuka semula siasatan terhadap 1MDB, susulan aduan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), yang mahu menyita aset-aset "yang terbabit atau boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan" daripada syarikat milik kerajaan itu.

Ahli Parlimen Tony Pua semalam berkata PAC perlu mengenalpasti identiti 'Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut dalam aduan itu.

Menurut Tony, aduan DoJ menyatakan sejumlah AS$681 juta dimasukkan ke akaun peribadi MO1.
Menurut Aziz, pendesak sebenarnya sudah tersalah terka.

"Keputusan untuk membuka semula siasatan PAC terhadap 1MDB tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian konkrit kerana kuasa menyiasat serta menentukan samada wujud kes atau tidak adalah dalam bidang kuasa eksekutif iaitu polis dan AGC," jelasnya.

Di awal kenyataannya, Aziz berkata kerajaan selaku badan eksekutif perlu segera mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab seperti disyorkan dalam laporan PAC April lalu.

"Di pihak PAC, kita sudah menyatakan beberapa isu utama yang gagal dihuraikan sepanjang prosiding 1MDB sejak Mei 2015.

"la termasuk beberapa transaksi yang mencurigakan seperti pembayaran US$700 juta daripada 1MDB terus ke akaun pemegang saham syarikat yang dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan PetroSaudi," ujarnya.

Pemuda DAP pula sokong himpunan #TangkapMO1

Posted: 10 Aug 2016 04:31 AM PDT

BORHAN AHMAD
 
 
Pemuda DAP juga sokong himpunan #Tangkap MO1.Pemuda DAP juga sokong himpunan #Tangkap MO1.


Pemuda DAP (DAPSY) pula tampil ke depan menyokong tuntutan Gabungan #TangkapMO1 dan menyeru masyarakat umum khususnya anak muda untuk turun dalam perhimpunan awam yang akan diadakan pada 27 Ogos di Dataran Merdeka dan juga himpunan bertempat di Johor Bahru pada 13 Ogos 2016.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Ketua DAPSY Selangor, Teh Hoong Keat dan Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Leong Yu Sheng, kedua-duanya berkata, Anak muda wajib menampil ke barisan hadapan sekali dan turun melawan rejim pemerintahan yang rasuah dan menelan wang rakyat tanpa mengendahkan hidup mati rakyat jelata.

Gabungan #TangkapMO1 adalah usaha sekumpulan mahasiswa/wi yang bertujuan untuk mendesak penangkapan individu MO1.

Gabungan tersebut turut menuntut untuk membebaskan semua institusi awam seperti PDRM dan SPRM daripada cengkaman rejim pemerintahan Umno dan BN.

"Seperti mana yang diungkap oleh Jurucakap Gabungan #Tangkap MO1, Anis Syafiqah, "bangkit kita teguh, diam kita roboh".

"Tanah air kita tidak pernah terlepas daripada skandal rasuah besar-besaran sejak pemerintahan UMNO BN.
"Mendiamkan diri dalam situasi kezaliman hanya akan mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan rakyat akan ditindas," kata mereka berdua dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, DAPSY akan menggerakkan jentera yang sedia ada dan menyokong penuh usaha #TangkapMO1 dan sekali lagi menyeru anak muda bangkit melawan kezaliman rejim #NajibMO1.

DAP Sarawak desak batal permit kerja pengurusan tertinggi Petronas

Posted: 10 Aug 2016 04:29 AM PDT

 
Mendakwa Petronas menangguh janji dua tahun lalu, Chien Jen berkata sudah sampai masanya Ketua Menteri menunjukkan kepentingan rakyat Sarawak didahulukan.


Chong-Chieng-Jen1


PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak perlu susuli tindakan pembekuan permohonan permit baharu kakitangan Petronas, kata Pengerusi DAP negeri Chong Chien Jen.

Mendakwa syarikat minyak dan gas negara menangguh janji dua tahun lalu untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak watan dalam operasinya di Sarawak, Chieng Jen mencadangkan sudah sampai masanya untuk menarik balik permit kerja kepada pengurusan tertinggi dan pertengahan Petronas.

"Kerajaan Sarawak perlu memulakan pembatalan permit-permit kerja sedia ada untuk pengurusan tertinggi dan pertengahan Petronas, bagi mencapai sasaran 70% anak watan di peringkat itu.

"Keadaan ini akan menguji keutamaan kerajaan Sarawak, samada ia mendahulukan kepentingan anak watan, atau kemahuan Putrajaya dan Petronas," kata Ahli Parlimen Bandar Kuching itu.

Beliau menambah isu memberi peluang pekerjaan kepada anak watan sudah dipersetujui antara Petronas dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada November 2014.

"Adenan melaporkan persetujuan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di bulan yang sama," kata Chien Jen.

"Bagaimanapun, lebih 20 bulan sudah berlalu, sekadar 39% jawatan pengurusan dan 46% jawatan pengurusan pertengahan dalam operasi Petronas di Sarawak diisi anak watan."

Merujuk kenyataan daripada Petronas semalam yang menyatakan "kumpulan yang terdiri daripada kakitangan berkelayakan, terlatih dan berdedikasi – tanpa mengira asal mereka" penting untuk operasinya di Sarawak, Chieng Jen menganggap ia alasan untuk mempertahankan dasar pekerjaan, yang tidak menguntungkan rakyat Sarawak.

"Henti beri alasan dan ambil langkah segera membetulkan komposisi kakitangan yang berat sebelah dalam operasi Petronas di Sarawak.

"Rakyat Sarawak yang berkelayakan, terlatih dan berdedikasi untuk mengisi pengurusan peringkat tertinggi dan pertengahan dalam operasi Petronas Sarawak adalah lebih dari mencukupi. Tetapi, kami tidak diberi peluang di Petronas," kata Chien Jen.

Adun Kota Sentosa menambah kenyataan Petronas seolah menandakan syarikat itu bertegas mempertahankan komposisi kakitangan di peringkat jawatan pengurusan dan pengurusan pertengahan di Sarawak sekarang ini.

"Kita akan tengok apakah kerajaan negeri akan akur kepada Petronas dan kuasa di Putrajaya," katanya.

Mat Sabu ajak bersolidariti bersama anak muda, #TangkapMalaysianOfficial1

Posted: 10 Aug 2016 04:27 AM PDT

MALAYSIA DATELINE
 
 
Mohamad Sabu02Mohamad Sabu02


Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyambut salam anak muda dan akan bersolidariti bersama mereka dalam perhimpunan '#TangkapMalaysianOfficial1' 27 Ogos ini.

Dalam satu kenyataannya hari ini, pemimpin Amanah yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata, rakyat mesti bersuara sebelum Malaysia menuju kehancuran ekonomi serta keruntuhan sistem pentadbiran di bawah Datuk Seri Najib Razak.

"Anak muda perlu bangun memulakan kebangkitan pada himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 yang bertanggungjawab membawa negara Malaysia menjadi pincang, kemunduran ekonomi dan pemerintahan diktator.

"Ayuh, salam solidariti buat anak-anak muda daripada kami semua!" kata Mat Sabu, tokoh politik yang banyak menggerakkan himpunan jalanan dan demonstrasi sebelum ini dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak seperti sedang memanggil rakyat ke jalan raya apabila institusi awam utama hampir semua musnah di zaman pemerintahan beliau ketika ini.

Katanya, Peguam Negara yang cuba menyiasat skandal 1MDB diarah berhenti. Anggota-anggota Jabatan Peguam Negara yang dikatakan akan menyediakan kertas pendakwaan, dijumpai mati di dalam tong drum.

Kakitangan SPRM, bermula daripada ketua pengarah sehingga pemimpin lainnya dipendekkan tempoh khidmat dan ada yang ditukar ke tempat tidak perlu.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis yang cuba menyiasat isu 1MDB juga ditukar, katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang menyuarakan tentang 1MDB, diberhenti dan dipecat daripada ahli Umno. Begitu juga menteri dan menteri besar, katanya.

Bagi beliau, semua aparatus kerajaan yang dibentuk di bawah kerajaan yang berpelembagaan, telah dihancurkan oleh Perdana Menteri Najib Razak.

"Rakyat perlu menukar pemimpin ini, namun sistem pilihan raya negara juga banyak kepincangannya," katanya.

Kalau dahulu, katanya, undi awal hanya kepada tentera dan polis, kemudian dilebarkan kepada keluarga mereka. Sekarang pegawai-pegawai yang bertugas untuk SPR juga perlu mengundi awal

Terima RM90 juta: Pemuda PAS P.Pinang buat laporan polis

Posted: 10 Aug 2016 04:25 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


Mohd-Azam-Abd-Samat-480x384


BUKIT MERTAJAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) hari ini membuat laporan polis terhadap portal berita Sarawak Report yang didakwa memfitnah pemimpin parti itu menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laporan itu dibuat Naib Ketua Pemuda DPPNPP Ahmad Rafaei Abdul Rashid di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di sini. Beliau berkata berita yang dilaporkan Sarawak Report itu jelas sekali adalah fitnah dan berniat jahat terhadap PAS serta pimpinan parti berkenaan.

"Ini juga telah memberi persepsi buruk kepada PAS yang selama ini memperjuangkan tentang rakyat, kebajikan dan kebaikan tiba-tiba dapat duit pula.

Jadi, ini satu benda yang memburukkan imej kami.

"Kami nafikan laporan Sarawak Report itu. Kayalah kalau betul kami terima dana RM90 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan tersebut.

Ahmad Rafaei berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut dan meminta Sarawak Report menarik balik laporan berita itu.— Bernama


349 saman dikeluarkan akibat main Pokemon Go

Posted: 10 Aug 2016 04:00 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


A man uses a mobile phone in front of an advertisement board bearing the image of Pokemon Go at an electronic shop in Tokyo


TAIWAN, : Walaupun hanya dilancarkan tiga hari lalu di Taiwan, sebanyak 349 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang bermain Pokemon Go semasa memandu.

Menurut Agensi Polis Kebangsaan, kebanyakan 349 saman yang dikeluarkan sejak Sabtu lalu dikenakan kepada pengguna motosikal.

Memetik Shanghaiist.com, bagi kesalahan memandu dan menunggang sambil bermain Pokemon Go serta menghalang lalulintas, Kerajaan Taiwan telah mengenakan denda sebanyak 3,000 NTD (RM384) bagi pemandu kenderaan, 1,000 NTD (RM128) bagi penunggang motosikal dan 300 NTD (RM38).

Sementara itu, Perdana Menteri Taiwan, Lin Chuan turut mengeluarkan amaran di laman Facebook rasmi miliknya berhubung fenomena global ini.

"Tangkap makhluk ini, tetapi jangan biarkan kemalangan berlaku kepada anda," katanya dipetik theguardian.com.

Sementara itu, Taiwan Railways berkata, ramai orang dikesan menangkap Pokemon di sepanjang landasan kereta api hanya beberapa jam selepas permainan ini dilancarkan di negara itu.

Ekoran itu, pihaknya mengeluarkan larangan kepada orang ramai untuk bermain permainan tersebut di landasan di stesen kereta api dan di kawasan lain yang boleh menyebabkan kemalangan.

Kementerian Pertahanan Negara turut mengeluarkan amaran menjauhkan diri dari pangkalan tentera, kem dan kawasan larangan lain.

Beberapa negara seperti Iran bagaimanapun mengharamkan permainan Pokemon Go atas sebab kebimbangan keselamatan.

Dalam pada itu, pemaju Pokemon Go, Niantic menghapuskan 'Pokestop dan Gyms' di taman peringatan Bom Hiroshima selepas mendapat pemintaan daripada pihak berkuasa bandar.

Puteri Umno menari ‘gelek’ tidak dikenakan tindakan – Mas Ermieyati

Posted: 10 Aug 2016 04:00 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


MAS ERMIEYATI SAMSUDIN


KUALA LUMPUR: Tiada tindakan dikenakan terhadap Puteri Umno Kota Bharu selepas rakaman tarian gelek pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan pergerakan itu Khamis lalu menjadi viral dalam media sosial, kata Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. 

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dan Puteri Umno Kota Bharu juga memohon maaf berkenaan insiden itu.

"Saya telah menegur perkara itu (tarian) dan mereka juga memohon maaf serta kesal berkenaan perkara itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran Hari Kebangsaan dan Silang Budaya, di Muzium Negara dekat sini hari ini.

Mas Ermieyati berharap agar insiden itu tidak akan berulang, sebaliknya memberi fokus kepada usaha untuk meningkatkan keanggotaan Puteri Umno yang kini hampir mencecah 400,000 orang sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji kejayaan Puteri UMNO dalam pementasan teater muzikal 'Mencari Sumaiyah' di Istana Budaya di sini sejak 8 Ogos lepas.

Beliau berkata teater itu menggambarkan perjuangan Puteri UMNO yang telah 15 tahun berada dalam persada politik tanah air.

"Ia mengisahkan tentang empat orang wanita muda bersahabat yang ingin mencari kejayaan tetapi dengan kecekalan dan persahabatan itulah mereka dapat mengatasi pelbagai masalah dan cabaran akhirnya mereka berjaya," katanya.

Teater muzikal dengan kerjasama Hyper Pictures dan Tall Order Sdn Bhd itu turut dibintangi artis-artis terkenal seperti Erra Fazira dan Afdlin Shauki dan akan dipentaskan sehingga 14 Ogos ini.— Bernama


Kerajaan Perak akan beri insentif kepada Jun Hoong – Zambry

Posted: 10 Aug 2016 03:58 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


zambrykadir


IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan memberi insentif kepada penerjun negara Cheong Jun Hoong atas kejayaannya meraih pingat perak bersama-sama gandingannya Pandelela Rinong pada Sukan Olimpik Rio.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri sedang memikirkan jumlah insentif yang akan diberi memandangkan atlet itu telah mencipta sejarah menjadi anak Perak kedua meraih pingat di sukan Olimpik.

"Sebelum ini, Cheah Soon Kit (pemain beregu badminton) memenangi pingat perak dalam Olimpik Atlanta 1996, sekarang Jun Hoong meraih Perak, jadi sudah tentu kita berbangga.

"Jadi kerajaan negeri akan beri sesuatu kepada beliau selain insentif yang akan diberikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN). Saya akan umumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Jun Hoong dan Pandelela memenangi pingat perak yang merupakan pingat pertama untuk Malaysia menerusi acara 10m platform seirama wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk di Rio De Janeiro awal pagi tadi dengan mengumpul 344.34 mata.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata MSN akan mengkaji jumlah insentif yang akan diberi kepada Jun Hoong.

"Kebiasaannya MSN akan memberi insentif sebanyak RM15,000 kepada pemenang individu, manakala berpasukan seperti bola sepak atau hoki seorang akan diberi RM5,000," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman berkata beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang tuduhan dan spekulasi berhubung kekecohan yang berlaku selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak Sabtu lalu.

"Semua pihak diminta menunggu hasil siasatan polis dan tidak termakan dengan sebarang elemen provokasi oleh pihak ketiga yang jika dibiarkan hanya akan menimbulkan dendam," katanya.

Mengenai perlawanan Piala Malaysia antara Perak dan JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, Johor, malam ini, beliau yakin tuan rumah akan mengambil langkah sewajarnya dan berharap penyokong kedua-dua pasukan tidak melakukan sebarang provokasi.


JPJ: Jangan main Pokemon Go ketika memandu

Posted: 10 Aug 2016 03:52 AM PDT

Pokemon GO


ARAU - Pengarah Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) Perlis, Muhammad Afifudin Mohd Zohdi menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan permainan Pokemon Go dengan bermain sambil memandu.

"Perbuatan memandu sambil bermain Pokemon Go adalah satu tindakan bahaya dan pihak JPJ akan mengeluarkan saman atas kesalahan terbabit.

"Di Perlis belum ada kes kemalangan berpunca daripada ketagihan permainan Pokemon Go dan kita berharap perkara sebegini tidak akan wujud," katanya dalam satu sidang media di sini.

Menurutnya, pihak JPJ akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan semua pengguna jalan raya di Perlis mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Tambah Muhammad Afifudin, mereka yang taksub dengan Pokemon Go ini perlu berhati-hati dan tidak membahayakan diri sendiri dalam bermain.

"Jangan kerana satu permainan yang tidak mendatangkan manfaat kita sanggup mengancam nyawa sendiri," ujarnya.


Ibu hamil curi sarung kaki bayi dibebaskan

Posted: 10 Aug 2016 03:43 AM PDT

Ibu hamil curi sarung kaki bayi dibebaskan
Tertuduh (tengah) berpakaian penjara selepas dibuka gari dan dipimpin anggota penjara keluar dari mahkamah selepas dibebaskan.
 
 
KOTA BHARU – Seorang ibu sarat mengandung yang kisahnya menjadi viral di laman sosial kerana dijel akibat mencuri sarung tangan bayi, dibebaskan mahkamah tinggi, di sini, tadi.

Wanita hamil lapan bulan itu dibebaskan selepas Hakim, Ahmad Bache mengurangkan hukuman penjara daripada 14 hari kepada tiga hari.

Ahmad Bache membuat keputusan itu terhadap Tuan Maziham Yasma Tuan Abdul Wahab, 38, pada semakan semula penghakiman terhadap tertuduh. Keputusan sekali gus mengetepikan hukuman Majistret, Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri, pada 8 Ogos lalu.

Isnin lalu, tertuduh dihukum penjara 14 hari dan denda RM3,000 selepas mengaku salah dengan niat mencuri dua selipar kanak-kanak, enam pasang baju kanak-kanak dan satu t-shirt kanak-kanak serta tiga pasang sarung tangan bayi yang keseluruhannya bernilai RM165 di pasar raya Tesco pada jam 3.55 petang, 21 Mac 2009.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sarat mengandung dijel 14 hari]

Katanya, tempoh penjara tiga hari yang dijalani bermula dari tarikh sabitan Isnin lalu itu sudah memadai dengan keadaan diri tertuduh yang sarat mengandung dan bakal melahirkan anak kelimanya dalam tempoh empat minggu lagi.

"Mereka yang bersalah atau mengaku salah di atas kesalahan yang dilakukan, perlu dihukum mengikut undang-undang. Sebagai House of Justice, mahkamah bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan awam.

"Mahkamah meneliti hak kamu, walau bagaimanapun kepentingan awam tetap mendahului kepentingan diri kamu sendiri. Mahkamah juga perlu menyampaikan mesej yang sewajarnya kepada masyarakat," katanya.

Beliau turut mengingatkan tertuduh, keputusan itu tidak bermakna tertuduh atau orang awan boleh melakukan jenayah sewenang-wenangnya dengan alasan keadaan diri yang hamil.

"Kes ini khusus kepada kamu yang perlu berehat di rumah dalam keadaan sekarang (bakal bersalin), tetapi ingat, saya memberi amaran kepada sesiapa pun, tidak boleh melakukan jenayah dengan menggunakan apa-apa alasan sekalipun," katanya.

Beliau turut mengekalkan hukuman denda RM3,000 dan denda itu sudah pun dijelaskan tertuduh pada hari hukuman diputuskan di mahkamah majistret, di sini, pada Isnin lalu.

Tertuduh pada prosiding itu juga mengaku `tidak sedar` ketika melakukan perbuatan curi itu dan meminta maaf serta menyatakan kekesalannya.

Tertuduh diwakili barisan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan diketuai Muhammad Hasif Hasan, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainul Wardah Shahidan.

Tertuduh ditahan pada hari kejadian, tujuh tahun lalu, dan dibebaskan dengan jaminan polis serta hanya dapat dikesan pada 2 Ogos 2016 selepas waran tangkap dikeluarkan.

Dia yang bekerja sebagai wakili jualan di sebuah pasar raya di sini, tinggal bersama suami yang bekerja sebagai buruh di Kampung Aur, Jalan Tawang, Bachok. Mereka mempunyai empat anak berusia 12, 9, 5 dan 4 tahun.


Tiada ulasan: