Selasa, 16 Ogos 2016

.

.


Untuk negara Husam tidak gentar ditangkap

Posted: 15 Aug 2016 07:20 AM PDT

SUSUPAN TENGAHARI

Husam dan Mathias didamping pimpinan Amanah dalam
sidang akhbar menjelang tengah hari tadi., 
Salah seorang wartawan yang hadir dalam sidang akhbar Husam Musa dan Mathias Chang di sebuah restoran di Lembah Pantai menjelang tengah hari tadi, bertanya kepada Husam apakah beliau tidak takut ditangkap oleh Najib Razak ekoran tindakan yang dilakukan sekarang ini.

Soalan itu timbul mungkin wartawan berkenaan melihat kepada kerakusan Najib selama ini menggunakan apa sahaja instrumen dan akta untuk mempertahankan tindakan dan kedudukannya dengan menangkap sesiapa yang cuba mengugatnya.

Adun Salor itu memberi reaksi kepada pertanyaan itu tanpa sedikit pun menunjukkan rasa bimbang, dengan berkata; "Saya tidak fikir sesiapa akan tangkap saya kerana saya bertindak bagi pihak negara, dan pasti perdana menteri akan sokong saya."

Husam bergambar kenangan selepas sidang akhbar.
Sambungnya lagi dalam nada sinis; "sesungguhnya perdana menteri tidak akan menahan seseorang yang cuba hendak mendapatkan kembali harta yang dicuri. Tidak mungkin!" Jawaban Husam itu menunjukkan bekas Naib Presiden Pas itu sudah bersedia berhadapan dengan apa jua risiko dalam membela hak rakyat.

Husam pasti tahu natijah kemungkinan yang didepaninya dengan apa yang sedang dilakukan.

Menurut akal waras, iya, kenapa Najib harus tangkap dan marah dengan tindakan Husam dan Mathias itu. Bagi orang waras tidak perlu berasa takut bahkan perlu berterima kasih atas tindakan mereka berdua kerana mengambil tanggungjawab demi negara. Berusaha membawa balik wang negara (1MDB) yang disalah gunakan adalah satu tanggungjawab terpuji dan perlu disokong.

Najib sebagai PM orang bertanggungjawab ke atas negara ini patut berterima kasih dan salute kepada keberanian mereka berdua kerana beliau sendiri tidak berani berbuat demikian. Seharusnya tugas untuk mengembalikan wang rakyat yang "dimakan" di luar negara itu diperjuangkan entiti yang lebih dominan dan berkedudukan daripada Husam dan Mathias, misalnya Pemuda Umno, Pemuda parti agama, atau pun Perkasa(m). Mereka tidak boleh mendiamkan diri kerana diam itu bersubahat.

Tetapi semua mereka membisu seribu bahasa, bahkan ada yang berfikiran gila mahu menunggu empat orang saksi mengesahkan apa yang berlaku itu baharu hendak bertindak?

Sebelum ini berkali-kali Najib dan agennya menjelaskan bahawa tidak ada kehilangan dan salah guna wang dan kedudukan (kuasa) dalam syarikat strategi 1MDB itu. Bagaimana pun dalam masa sama, beliau gagal menunjukkan bukti konkrit atas dakwaanya ini menyebabkan orang ramai konfius.

Sementara beberapa pihak lain dalam penyiasatan mereka pula menunjukkan ada tanda-tanda berlaku penyelewengan, termasuk siasatan oleh Bank Negara (BNM), SPRM, PDRM dan juga PAC. Pengumuman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk menyaman bagi menyita dan merampas aset yang dibeli daripada wang 1MDB, telah memeranjatkan Najib dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi hasil siasatan badan-badan di Malaysia.

Husam juga menegaskan tugas dan tanggungjawab menyelamatkan wang dan aset negara adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat negara ini. Manakala tindakan beliau bersama Mathias itu adalah sebagai rintisan kepada tindakan lebih menyeluruh dan berkesan lagi dari itu. Dalam pada itu katanya dia akan memaklumkan tindakan itu kepada Raja-Raja Melayu dan juga perdana menteri.

Langkah Husam itu juga dilihat sebagai keberanian dan kesanggupannya menyingsing lengan baju dan seluar untuk negara. Perjuangan beliau dan tindakannya makin global dan tidak terkepung di laman rumah sahaja. Tindakan itu juga sebagai tambahan kepada ikhtiar untuk membenteras rompakan ke atas khazanah negara dan ia perlu disokong.

Rakyat yang kesal dan sedih apa yang berlaku ke atas 1MDB seharusnya bangun bersama Husam dan Mathias itu dengan sepenuh hati dan dokongan bukan sahaja dengan tenaga dan fikiran tetapi juga material. Mungkin untuk tujuan ini perlu ada pihak yang membentuk sebuah tabung untuk membantu Husam dan Mathias dalam membela dan menyelamat wang negara khususnya yang dicuri daripada 1MDB itu.  

Pun begitu seberapa banyak wang dikupul ia tidak menjamin tugas itu berjaya, tetapi setidak-tidaknya sumbangan berkenaan menunjukkan kita juga ada tanggungjawab demi negara.

Sepanjang sidang akhbar itu Husam didampingi penguam terkenal yang juga bekas Presiden Majlis Perguam Zainon Zakaria serta beberapa pemimpin Parti Amanah Negara, antaranya Dr Mohd Hatta Ramli, Raja Kamarulbahrin Shah Raja Ahmad, penasihat Amanah, Ustaz Ahmad Awang, Faiz Fadzil dan lain-lain. Sidang media itu mendapat liputan mengejutkan apabila semuua media hadir kecuali media PB.
Tindakan Husam dan Mathias itu bukan merupakan tindakan personal atau bersifat individu, jauh sekali kerana dengki terhadap Najib. sebalik ianya boleh dianggap tindakan nasional yang perlu disokong oleh setiap warga yang ada tanggungjawab dan maruah kepada negara dan benciklan kepada pengkhinat.

Rakyat yang kesal dan sedih apa yang berlaku ke atas 1MDB seharusnya bangun bersama Husam dan Mathias itu dengan sepenuh hati dan dokongan kekuatan materian dan fikiran. Mungkin untuk tujuan ini perlu ada pihak yang membentuk sebuah tabung untuk membela dan menyelamat wang negara khususnya yang dicuri daripada 1MDB itu.

Pada 11 Ogos 2016, Husam dan Mathias telah memfailkan saman tuntutan (class action) kepada lapan individu di mahkamah selatan New York, Amerika Syarikat. Lapan defendan itu ialah;
1. Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada Najib Razak,
2. Low Taek Jho.
3. Goldman Sachs Group Inc.
4. Timothy Leissner.
5. Christopher Joey Mcfarland.
6. RedGranite Picture Inc.
7.Derba Whelan Johnson.
8. Metropolis IX Capital Advisors, LLC.
[wm.kl.3:55 pm 16/08/16]

Abdul Wahab pergi membawa jasa tidak disebut

Posted: 15 Aug 2016 07:20 AM PDT

BELESUNGKAWA

Allahyarham Abdul Wahab Yunus.
Ada seuntai bicara berbunyi "politik tidak kotor, tetapi yang kotor ialah pemainnya". Bagi saya disebabkan pemain dan politik itu senyanwa maka politik itu sendIri menjadi kotor secara automatik.

Tenguklah kepada gaya dan game politik era media sosial ini, bukan sahaja setakat mencerca dan memaki hamu sesama sendiri tetapi sanggup merentapkan tali silaturahim.

Betapa kotornya pemain politik, mereka bukan sanggup menikam kawan dan mengambil seteru sebagai kawan asalkan mereka mendapat keuntungan duniawi, tetapi segala masa indah dan susah senang selama merentasi lautan perjuangan terlupa dan sirna begitu sahaja. Dalam dunia politik juga jasa dan budi pemainnya tidak akan dikenang.

Seolah-olah budi, jasa dan pengorbanan dalam politik laksana fatamorgana!

Terutamanya di kalangan pemain politik hari ini yang penuh dengan emosi dan dendam serta meletakkan material sebagai matlamat. Pantang berseleheng apa lagi mereka yang mengambil langkah "minggat" meninggalkan parti, maka mereka akan dimusuhi hingga ke akhir hayat. Segala jasa dan budi individu itu kepada sesebuah parti itu tidak lagi akan dikenang. Bahkan mereka akan dikeji sampai sanak saudaranya turut sama merasai sakit dan pedihnya tindakan itu.

Allahyarham (kiri) bersama Tun Razak (kanan).
Paling mendukacitakan apabila sikap ini menjadi pegangan dan "sunnah" dalam parti berunsurkan agama. Ini sangat memelik dan menyedihkan. Misalnya apa yang dialami oleh Allahyarham Mohd Asri Muda, apabila beliau tidak bersama Pas, beliau tidak dipedulikan lagi. Segala jasa dan pengorbanan besarnya dilupakan begitu sahaja.

Tidak cukup dengan sikap itu, pengikut diajar mencerca dan mencacinya. Asri digambar dan diratib seolah-olah tidak pernah hadir ke dalam Pas? Demikian zalimnya politik.

Jadi tidak hairanlah kalau pemergian Abdul Wahab Yunus, 75 selepas Maghrib semalam, berita mengenai ketiadaanya sepi daripada dipertuturkan oleh orang-orang bekas parti asalnya itu. Pelayar media sosial yang cenderung kepada parti itu seakan tidak berasakan sesuatu atas pemergian sang tokoh yang tidak pernah disenandungkan itu.

Kebetulan pula generasi muda dalam Pas hari ini tidak mengenali dan pernah diperkenalkan siapa dia Abdul Wahab Yunus itu yang bagi saya beliau bukan saja tokoh politik penting dari negeri Penyu itu tetapi dunia politik itu sendiri.

Ramai yang tidak mengenali Allahyarham. Di Terengganu bagi saya beliau adalah antara orang yang menjadi nadi penting penggerak kepada Pas di negeri itu. Apa yang ada hari ini, berkembangnya Pas adalah hasil dari benih yang ditanam dan disiram dari titik peluhnya di tahun 50an hingga 80an.

Makanya kalau kita tidak sombong dan ego dengan keadaan yang ada kini, dan kita juga manusia insaf, kehilangan Abdul Wahab itu sesuatu yang terkesan. Ia akan dianggap satu kerugian dalam bidang politik dan lain-lain juga. Penglibatannya dalam dunia siasah di Terengganu sungguh hebat dan tidak ada tolak bandingnya.

Justeru itu, sebaik saya menerima khabar mengenai ketiadaanya semalam menerusi rakan Face book saya, Cikgu Aziz, jatung seakan terhenti berdetak beberapa ketika. Saya sungguh terkilan kerana sebelum ini memang saya bercadang untuk menziarahi beliau apabila mengetahui beliau sakit diserang angin ahmar dan berulang alik ke hospital. Beberapa kali saya memasang niat dan telah pun berkomunasikasi dengan Cikgu Aziz, untuk menziarahi Allahyarham, tetapi tidak kesampaian. Terima kasih cikgu Aziz.

Saya mungkin terkesan dengan ketiadaan itu sebab saya mengenali dan sedikit sebanyak mengikut perkembangan dan tawarikh politiknya. Saya mengenali beliau sejak akhir 70-an lagi, malahan pernah berjumpa dan bercakap perihal politik secara spontan. Kali terakhir berjumpa dengan beliau ialah semasa mesyuarat Parti Keadilan Nasional (PKN) yang diadakan di Dungun.

Abdul Hadi ketika menziarahi Allahyarham.
Penglibatan beliau dalam Pas boleh dianggap terawal. Beliau menyertai Pas pada tahun 1956. Yakni dalam dekad awal penubuhan Pas di negeri tersebut. Beliau mula menggalas amanah dalam Pas dengan memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Dungun. Jawatan itu mengesahkan bahawa beliau anak muda yang prihatin kepada agama dan bangsa.

Tahun 1960 - 1961 beliau memegang jawatan Setiasuaha Pas Dungun yang kemudian menjadi Yang diPetuanya dari tahun 1979 hingga 1983.

Bacaan talkin di kuburan Allahyarham.
Peranan dan penglibatan beliau tidak terhad di Dungun sahaja. Pada tahun 1968 hingga 1975 dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu kemudian dari tahun 1975 hingga 1982 dilantik pula menjadi Pesuruhjaya.

Penglibatan beliau lebih meluas lagi ke peringkat nasional apabila dipilih menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas tahun 1975 hingga 1982. Tahun 1973 hingga 1975 dilantik menjadi Bendahari Agung Pas. 

Kronologi atau sejarah perjuangan beliau itu menarik .

Selama bergerak dalam Pas beliau menjadi wakil rakyat dua kali. Kali pertama menjadi Adun di kerusi Ulu Dungun tahun 1964 hingga 1969. Manakala kali kedua menjadi ahli Parlimen Dungun apabila menang pilihan raya tahun 1969. Beliau mewakili kerusi itu hingga tahun 1978.

Penyertaan Pas ke dalam Barisan Nasional (BN) tahun 1973 beliau dilantik menjadi Setiasuaha Kementerian Kewangan, berkhidmat di bawah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Jawatan ini adalah tertinggi disandangnya dalam kerajaan.

Peranan dan penglibatan Allahyarham dalam perjuangan bukan sahaja terbatas dalam dunia politik. Beliau juga merupakan aktivis sosial dengan menyertai berbagai persatuan atau Ngo. Antara persatuan atau Ngo yang disertainya ialah menjadi Pengerusi Persatuan Sejarah Dungun, AJK persatuan itu peringkat negeri.

Beliau juga merupakan Pengerusi Dalam Komuniti Dungun. Selain itu Allahyarham turut terlibat dalam bidang ekonomi pernah menjadi Pengerusi Dewan Perniagaan Bumiputera cawangan Terengganu. Beliau juga menjadi ahli lembaga pengarah kepada bererapa syarikat perniagaan milik Kerajaan.

Apabila membaca kronolgi dan tawarikh perjuangannya, tidak sepatutnya di hujung senja Abdu Wahab di sisih dan bersendirian. Tetapi takdir Tuhan tidak siapa dapat elakkan. Ini semua berlaku apabila beliau tidak betah dalam Pas. Pergolakan dan krisis kepimpinan dalam Pas memisahkan beliau dengan parti agama itu. Dikira panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Apabila Asri meninggalkan Pas tahun 1982/83 dan menubuhkan Hamim, Allahyarham ikut sama bersama Asri. Ini satu tindakan terpuji kerana beliau merupakan penyokong bekas Presiden Pas itu. Abdul Wahab seorang yang bukan mengkhianati kawan dan ketua.

Seperti dinukilkan di atas tadi, tindakan beliau keluar Pas itu dianggap sebagai satu dosa dan tindakan yang perlu dikecam. Di sinilah kejamnya politik yang digerakkan oleh pemain politik yang penuh emosi oleh mereka yang tidak faqeh erti dan istilah politik itu sendiri.

Dalam hubungan perjuangan Pas di Terengganu Abdul Wahab merupakan sebatang dian yang membakar diri untuk menerangi orang terkemudian. Tidak banyak orang mengenang jasa dan pengorbannya. Kesilapan yang tertakdir, meninggalkan Pas menyebabkan beliau tidak pernah menerima apa-apa anugerah atau pun cendermata daripada Pas. Sebaliknya kalau boleh disebut anugerah tertinggi pernah diterimanya ialah anugerah Tokoh Terbilang Umno Dungun. Simbolik anugerah berkenaan beliau dipakai tengkolok oleh Najib Razak dalam satu majlis di UITM Dungun. Ia sangat ironis.

Mungkin ziarah beberapa pemimpin Pas pada saat beliau sakit sedikit sebanyak menenangkan hidup Allahyarham dan mungkin menjadikan birai matanya lembab. Walaupun ziarah itu dianggap lewat, tetapi ia boleh juga dicatatkan sebagai budi parti yang pernah dianggotainya. Presiden Pas Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempat menziarah Allahyarham sewaktu terlantar di rumahnya beberapa tahun lalu.

Semalam 11 Zukaedah 1437 bersama 14 Ogos 2016 tokoh yang tidak pernah putus asa, berkecil hati dengan apa yang berlaku dan dilakukan ke atasnya telah kembali menghadapi penciptanya. Beliau pergi meninggalkan seorang balu dan 11 orang anak dalam usia 75 tahun.

Kerana prejudis tidak banyak Pas menulis sejarahnya tetapi pengkaji dan sarjana akan datang, ahli sejarahwan yang mulia tetap akan mencungkil dan cuba mengenali siapa dia Abdul Wahab. Sejarah Pas Terengganu tidak boleh menimbus namanya. Semoga rohnya ditempatkan di makam orang mutaqim. Al Fatihah. [wm.kl.10:16 pm 15/08/16]
* Dedikasi buat cikgu Aziz Dungun.

Tiada ulasan: