Ahad, 14 Ogos 2016

.

.


Berfikirlah secara akademik

Posted: 13 Aug 2016 07:30 PM PDT

POJOK PAGI

Lain gaya dan nadanya kalau orang cerdik bercakap. Ia tidak "senget sebelah" dan tidak menokok tambahkan apa-apa maklumat dan cuba membuat pusingan Y atau pusingan U. Orang cerdik jauh lebih bertanggungjawab.

Saya merujuk ini kepada pandangan Pengerusi Yayaysan 1 Malaysia, Dr Chandara Muzaffar (foto) berhubung kehebuhan orang membuat cerita kononnya Amerika ingin mencampuri urusan negara ini. Tanggapan itu bermula atau ditarik ke situ apabila Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) yang mengemukakan saman awam berkaitan dengan pembelian aset di negara itu yang dipercayai menggunakan wang daripada syarikat menjadi "merdutanda Malaysia" 1MDB.

Dr Chandra menolak sama sekali dakwaan itu dan menganggap apa yang dilakukan Amerika itu mengikut amalan tradisi negara berkenaan dalam menjaga wibawa dan integritinya.


Dr Chandra dikenali seorang intelektual yang berfikir secara rasional dan melihat segala isu dengan fakta. Dia pernah menyertai gerakan Reformasi dan seterusnya menjadi timbalan presiden kepada Parti Keadilan Nasional (PKR) awal penubuhannya.

Saya sudah "menasihati" beliau agar jangan sertai politik kerana orang akademik tidak sesuai dan tidak akan dapat bertahan laman dalam kubang politik.

Mereka tidak mungkin dapat menerima teori "4C" yang saya kemukakan; kontroversi, eksploitasi, publisiti dan hipokrasi.

Ternyata pandangan saya terhadapnya betul. Akhirnya beliau minggat dari kubang politik, dan kembali menjadi pemikir bebas memperjuangkan hak asasi menerusi NGO yang ditubuhnya sendiri. Dr Chandra tidak tahan dengan segala kerenah dan mainan munafik ahli politik.

Pandanganya berhubung kehebuhan kononnya Malaysia sekarang ini hendak dicampuri Amerika, sangat jelas dan tepat. Beliau memberi pandangan yang boleh, bahkan patut dikutip semua orang untuk melihat isu itu dengan adil dan saksama. Tidak perlu kita menjadi pengikut dan pendengar setia tanpa menyelidiki hujung pangkal.

Katanya 1MDB bukan bermula di Amerika, tetapi ia bermula di dalam negara. Sebelum Amerika bertindak mengambil tindakan undang-undang syarikat itu telah disiasat oleh beberapa pihak dan badan di negara ini. Mulanya ia turut disiasat oleh Bank Negara apabila berlaku pengeluaran wang ke luar yang banyak.

Selain itu SPRM juga ikut sama menyiasat. Sebuah badan khas SPRM bersama polis (PDRM), Bank Negara dan lain-lain ditubuhkan untuk menangani isu 1MDB. Begitu juga ia mendapat perhatian serius oleh PAC. Asasnya isu 1MDB hebuh di Malaysia. Jadi menurutnya tidak berbangkit dan tidak boleh dianggap Amerika hendak mencampuri ususan negara ini.

Pandangan beliau itu berasas wajar diambil dan diterima sebagai pandangan yang konkrit. Kita tidak perlu menganggap sesuatu yang kita buat sendiri, seperti penganut anamisme, yang buat patung kemudian menyembahnya sebagai Tuhan. Orang Melayu suka bersikap anamisme, menyembah Tuhan yang bukan Tuhan. DNA anaminse yang tertinggal dalam tubuh badan Melayu seharusnya disirnakan.

Mereka (Melayu zaman batu) buat berbagai-bagai patung dan simbol yang dianggap Tuhan yang kemudian menjadi hantu. Lucunya mereka lari lintang pukang sampai tercabut jubah dan serban kerana takutkan hantu yang dibuatnya itu. Keadaan itu sama dengan tuduhan terhadap Amerika yang kini berasap kononnya hendak campur tangan ke atas Malaysia.

Bagi mereka yang celik mata dan minda tidak mendatar akan menilai sejauh mana dakwaan berkenaan. Ia sengaja dibuat kerana motif tertentu. Amerika mengemukakan saman awam itu benar, tetapi menuduh Amerika hendak campur tangan itu rekayasa semata-mata yang sangat dangkal.

Berapa ramai orang yang berfikiran dangkal di Malaysia ini? Saya tenguk yang mengepalai kedangkalan cara berfikir dalam isu ini ialah para pemimpin Umno khasnya yang menjadi pendolor punggung Najib dan menanti makanan di jemburan dapur Rosmah Mansor. Keadaan ini menyesalkan sekali. Inilah para pemimpin pemusnah zaman.

Yang memainkan isu kononnya Amerika hendak mencampuri urusan Malaysia mereka inilah, yakni pemimpin Umno. Tengok dalam perasmian mesyuarat agung bahagian parti itu seminggu dua ini penuh dan sendak dengan cerita Amerika atau kuasa asing hendak campur tangan.

Bagi yang cerdik mereka tahu isu dimainkan atau direkayasa kerana hendak menangkis dakyah pembangkang yang menggunakan skandal 1MDB sebagai isu untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Isu Amerika hendak campur tangan adalah isu yang mahu mengalih pandangan. Itu sahaja.

Hari Umno terutamanya Najib tertekan dengan isu itu kerana beliau sedang disorak oleh dunia. Negara mana yang tidak mengetahui cerita 1MDB yang kehilangan wang beratus ribu juta? Negara yang entah berentah pun mungkin sudah mempertuturkan hal ini.

Kenapa Muhyiddin Yassin, Shafei Afdal dan Mukhriz Mahathir menerima nasib dipecat daripada Umno ialah kerana isu atau skandal berkenaan. Mereka tidak boleh menerima apa yang berlaku dan pembabitan presiden Umno sungguh mengaibkan. Bagi orang-orang bermaruah seperti Muhyiddin, Shafei Afdal itu mereka enggan bersubahat dengan kebusukan menimpa Najib.

Justeru pandangan Muzaffar itu berasas dan bernar. Bagi Chandra isu 1MDB bukan isu campur tangan kuasa asing tetapi ia merupakan isu tentang integriti, amanah, prinsip dan tangugngjawab pemimpin. [d'kramat 10:13 am 14/08/16]

Syukur misi kemanusiaan, kebajikan dapat diteruskan

Posted: 13 Aug 2016 06:01 AM PDT


KENYATAAN

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Apabila saya jatuh sakit pada akhir tahun lepas, terfikir kepada saya, apakah segala kegiatan saya akan terhenti? Salah satu kegiatan yang paling diingati ialah menggerakkan misi kemanusiaan dan berkebajikan di kalangan penjengok blog saya dan juga rakan-rakan Facebook.

Sedar atau tidak media sosial menjadi wasilah (instrumen) untuk saya berkolaborasi dengan anda sekalian melakukan misi atau kegiatan itu.

Setiap kali saya menggerakkan misi ini, ia tidak pernah mengecewakan. Para penjengok memberi sokongan dan dokongan padu mengikut kemampuan masing-masing. Paling saya sukai sumbangan dan komitmen itu dibuat dengan seikhlas hati.

Barang kali tidak manis kalau saya menyebut satu persatu apa yang telah kita capai bersama melalui misi ini. Solidariti kita menerusi alam maya ini dalam menggerakkan misi kemanusiaan atau pun mengeratkan tali silaturahim amat baik dan mengharukan saya. Paling sangat mengesankan ialah semasa saya sakit, semua memberi kepedulian yang amat tinggi. Jazakalah.

Misi kemanusiaan dan kebajikan ini bermula sejak lebih sedekad lalu. Mungkin ada kalangan kita tidak sedar bagaimana kita semua ikut berpartisipasi membantu sesama manusia, baik mereka yang ditimpa kemalangan malapetaka ataupun kemelaratan hidup.

Tidak manis kalau disebutkan di sini satu persatu kerana ia boleh dianggap riak. Tetapi, kita khasnya saya tidak boleh menolak hakikat yang misi dan komitmen kita semua memberi natijah yang baik dan bermakna. Kita berjaya membentuk ukhwan Islamiah tanpa mengenal wajah antara satu sama lain. Ia ada suatu perhubungan unik sebenarnya.

Paling merujakan juga kita bukan terbentuk menerusi sebuah badan atau organisasi kebajikan yang dibentuk sedemikian rupa. Kita terbentuk dengan sendiri atas rasa kemanusiaan dan keinsafan yang tinggi dan mendalam serta saling mempercayai antara satu sama lain.

Pun begitu kita melangkah sama kencang dan sama jauh dengan mereka, organisasi yang besar dan berpelembagaan. Misalnya, misi kemanusiaan yang terbentuk secara automatik menerusi blog ini ikut sama berpartisipasi terhadap mangsa tsunami di Aceh tahun 2004 dan gempa bumi di Jawa Barat. Saya ke sana membawa bantuan dan sumbangan bukan sahaja semasa berlaku tsunami, tetapi bersambungan pada hampir setiap tahun tahun-tahun berikutnya.

Apa yang menjadi tumpuan kebajikan di sana ialah terhadap anak-anak yatim yang berada di pasentran atau pondok atau pun madrasah. Setiap menjelang Ramadhan dan tiba hari raya korban saya akan berusaha untuk menyedekahkan seekor dua lembu atau kambing bagi dijalankan korban.

Penglibatan kita bukan setakat di Nusantara sahaja, misi kita ini menjangkau hingga ke Palestin. Tahun 2012 semasa saya ke sana sempat menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Pelestin yang melarat. Semua itu bukan wang saya bersendirian melainkan perkongsian dengan anda sekalian dan individu-individu yang prihatin yang disalurkan menerusi tabung blog ini. Saya hanyalah perantaraan sahaja.

Sewaktu banjir melanda Kelantan akhir tahun 2014, misi kemanusiaan  blog ini juga turut menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana itu. Sekurang-kurang dua treler beras dan berbagai keperluan dan makanan serta pakaian dikirimkan kepada mangsa banjir. Seperti saya kata, sumbangan kita laksana hanya sebutir beras dalam sebuah bendang sahaja, tetapi walaupun begitu ia memberi erti besar bahawa kita juga terpanggil dan mempunyai saham berkebajikan.

Tidak terlupa juga saya nukilkan di sini ialah mengenai sumbangan penjengok blog ini kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membina lebuh raya di negeri itu. Mungkin tidak percaya kalau saya sebutkan sejumlah RM29,000 telah berjaya dikumpul untuk projek itu, dan cheqnya diserahkan kepada Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Al Fatihah sekali).

Dan sekali lagi misi penuh suci ini akan diteruskan lagi. Sempena Aidi Adha ini saya bercadang untuk melaksanakan Korban di sebuah perkampungan Melayu terletak di pinggir Kota Bangkok. Pintu hati terbuka untuk melakukan korban di sini tatkala saya melawat ke perkampungan itu tahun lepas. Kehidupan kira-kira 4,000 penduduk jauh ketinggalan berbanding dengan rakyat asal, bangsa Thai. Dan apa yang menarik perhatian saya ialah nasib kira-kira 30 anak yatim piatu yang tabah menjalani kehidupan secara ala kadar sahaja.

Doakan semoga niat saya ini termakhbul. Sehubungan itu saya mengalu-alukan mana-mana kawan dan penjengok yang ingin sama melakukan Korban atau memberi sumbangan untuk kebajikan ini. Rakan yang ingin ikut serta Berkorban atau menyumbang boleh hubungi atau Whatsaap saya di nombor 019 2336996 Atas segalanya terima kasih. [wm.kl.8:07 pm 13/08/16]

Tiada ulasan: