"BERANI KERANA BENAR!" |
Posted: 16 Aug 2016 07:42 PM PDT Oleh ANGAH bukannya gatal. Bukan juga sudah membuntingkan anak dara orang. Angah tahu hukum hakam. Menghampiri zina sahaja sudah jatuh hukum haram, apatah lagi kalau kita melakukannya. Tetapi Angah tetap dengan pendirian, ingin mendirikan rumah tangga di saat tahun akhir pengajiannya.Kerana cinta... Di saat, sahabat yang lain sibuk menyambung pelajaran, Angah sudah mencari pekerjaan. Pada saat gaji sahabat berijazah sudah memasuki lima angka,Angah bersyukur dengan gaji pada tahap pendidikan diploma.Angah sedar dia mempunyai tanggungjawab pada isteri tercinta.Semua dilakukan kerana cinta... Ramadan,2013. "Kenapa tak balik rumah mama?," soal Angah ketika teksi yang dinaikiku berhenti di hadapan rumah teresnya. "Saja, tak sudi ke adik duduk sini?," soalku semula. "Bukanlah, nanti mama bising, bukannya awak yang jawab.Angah yang kena jawab,kena leter," balas Angah. Aku mencemik. Lagi seminggu akan tibanya Syawal.Ramadan yang tersisa, aku ingin luangkan di rumah Angah yang tinggal bersama isterinya. Begitu ceria Kak Leen menyambut kedatanganku. Keadaannya mencambahkan simpati.Sejak setahun yang lalu,Kak Leen lumpuh separuh badan. Sel kanser sudah menyerang saraf tunjangnya membuatkan hari ini dia menyambut kedatanganku di atas kerusi roda. Kak Leen wanita yang ceria,cekal dan penyayang.Mungkin kerana itu jodohnya adalah dengan Angah.Bukankah Allah sudah berjanji,wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya.Dan aku masih tidak mengerti kenapa masih ada orang yang masih mempertikaikan kebahagiaan pasangan ini. "Adik cuti lama?," soal Kak Leen. Aku lebih rapat dengan kakak iparku ini daripada isteri Along. Isteri Along, Kak Mas adalah 'seangkatan' dengan mama. Kaki membeli-belah dan mengumpul barang- barang berjenama. Dan kalau berbual dengan Kak Mas, topiknya ialah, bumi Eropah mana sudah dijejaki, berapa ekar tanah sudah dimiliki, atau tahu tak apa keluaran Louis Vuitton terkini. "Lama tak lama juga. Dua minggu," aku menjawab. Kak Leen menganggukkan kepala.Tangannya sedang membasuh sayur untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa. "Kenapa tiba-tiba adik balik sini?, mama tahu tak?," Kak Leen menyoal siasat. Aku tahu, dia cukup tidak suka aku melawan mama. "Soalan lebih kurang Angah je. Nampak sangat tak suka adik kat sini. Nak berdua dengan Angah je lah tu," aku mengusik Kak Leen.Dia ketawa. "Sudi, 1,000 kali Kak Leen sudi. Cuma, kasihanlah kat mama kalau adik tak beritahu mama adik balik sini.Nanti dia tertunggu-tunggu". Aku mendiamkan diri.Memang mama tidak tahu aku pulang ke rumah Angah. Kalau mama tahu, dia sanggup datang mengambilku di universiti.Angah masuk ke dapur, terus menegah Kak Leen daripada membuat kerja. Tergelak aku melihat pergaduhan kecil mereka. Satu perkara yang aku suka tentang pasangan ini ialah, langsung tidak menunjukkan apa yang mereka tanggung.Masih mampu bergelak tawa, bergaduh manja di hadapanku. Kak Leen masih mampu membahagiakan Angah walaupun dalam kondisi yang begitu. Dan Angah,tetap menerimanya seadanya. Malam itu, usai sahaja Kak Leen tidur, Angah keluar dari bilik tidur mereka.Angah duduk di sebelahku yang sedang menonton televisyen. "Mama telefon adik tak?," soal Angah. Aku mengangguk sahaja.Bukanlah aku ingin bersikap biadap tetapi aku menjadi rimas pula dengan soalan tentang mama sahaja. "Adik cakap apa kat mama? Dia telefon Angah, suruh awak tu balik rumah sana," sambung Angah lagi.Bicaranya lembut, tidak kedengaran nada dia menghalau.Dia cuma mahu aku dan mama berhubungan baik, dia tidak mahu hubungan itu rosak sebagaimana dia. "Adik cakap, adik nak raya dengan Angah. Sebab dah tiga kali Angah tak raya sekali dengan kami," jawapan aku membuatkan Angah tergamam.Tiga kali raya, Angah beraya dengan keluarga Kak Leen. Aku tidak berjauh hati tetapi mama mula menganggap Angah anak derhaka, anak tidak kenang budi. Sudahlah kahwin tanpa restunya, tiga tahun raya di sebelah menantunya. "Angah kasihan kat Kak Leen.Biarlah ada masa-masa ni dia beraya dengan keluarga dia. Keluarga kita bukan berkenan sangat kat dia," perlahan jawapan Angah. Aku sedar saat itu, Angah mementingkan kebahagiaan Kak Leen. Nilai kesanggupan Angah berkorban buat isterinya begitu tinggi. Mama cuma tidak suka kepada Kak Leen kerana dia merasakan Kak Leen menyusahkan hidup anak bujangnya. Mama tidak akan dapat menimang cucu daripada keturunan Angah. Mama juga geram kerana Angah sanggup tidak sambung belajar kerana mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kecilnya. Hidup dengan Angah dan Kak Leen di sisa-sisa Ramadan ini juga mengajarku. Mengajarku untuk jadi tabah, setabah Kak Leen menghadapi penyakitnya.Mengajar aku menjadi sabar, sesabar Angah menjaga Kak Leen dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mengajar aku untuk reda, reda bagaimana redanya pasangan ini dengan kehidupan mereka. Dan mengajar aku, kita hanya merancang, Allah yang menentukan... "Angah, kenapa ni?,"ketika aku keluar bilik, untuk bersahur yang terakhir Ramadan itu, Angah kelam kabut. Mukanya juga serabut. "Kak Leen sakit. Angah nak hantar ke hospital," kata Angah sambil membuka pintu. Aku membuka pintu bilik Angah, dan kelibat Kak Leen terbaring di atas katil. Nafasnya turun naik dengan cepat dan matanya tertutup.Dahinya berkerut, menahan kesakitan. Angah masuk ke bilik dan mencempung tubuh Kak Leen. Aku terus mencapai kardigan.Kepala menyarung instant shawl sahaja. Masuk kereta, aku memangku Kak Leen di tempat duduk belakang. Jantung aku berdebar kuat. Tuhan, kuatkan Kak Leen... Namun, Allah telah mentakdirkan, Ramadanku yang terakhir tahun itu adalah bersama dengan Angah, menemani isteri terlantar di hospital. Malam raya yang kebiasaannya diisi dengan kesibukan menyambut lebaran, tahun itu aku dan Angah sama-sama suram di hospital. Wajah Angah muram dan serabut, tidak tenang seperti selalu. Subuh, pagi raya. Aku tersedar ketika sayup-sayup bunyi azan kedengaran. Badan diregangkan dan saat mata jelas terbuka, Angah sedang memegang tangan Kak Leen. Genggaman tangan yang membuatkan aku menyedari sesuatu. "Kak Leen dah tiada," begitu tenang Angah bersuara. Mataku berair dan air mata berjuraian turun. Baru beberapa jam aku terlelap, Kak Leen pergi ketika itu. Dahi sejuk Kak Leen aku cium. Angah tersenyum pahit melihat perlakuanku. Angah membuat segala kerja menguruskan jenazah. Dari memandikan sehingga saatnya jasad Kak Leen diturunkan ke liang lahad, Angah ada bersama.Setitik pun air mata Angah tidak tumpah. Atau mungkin belum tumpah. Aku lihat begitu berat Angah ingin meninggalkan persemadian isterinya. Tangannya aku genggam erat, setabah dan sekuat mana pun Angah, aku tahu, perasaan sedih tetap ada. Ramadan, 2015 "Jauh termenung," aku menegur Angah yang duduk di beranda rumah. Dia tersenyum sahaja. "Esok raya," katanya. Aku mengangguk mengiakan. Sayup-sayup terdengar suara mama dan Kak Mas berbual sambil membuat kuih raya. "Maknanya dah dua tahun Kak Leen pergi,". Kenyataan itu membuat aku tersentak. Selama dua tahun itulah, Angah hidup sendiri.Hidup sunyi yang semestinya aku tidak akan mengerti. Aku tidak membalas,membiarkan Angah hanyut dalam kerinduan.Membiarkan Angah mengenang isteri yang pernah hadir dalam hidupnya. Aku mendongak memandang bulan. "Buat apa ni. Lepak tak ajak," Along pula menyapa kami berdua. Dia duduk di sebelah Angah. "Tak tolong Kak Mas buat kuih Long?," soal Angah. Along menggeleng. "Tak nak.Nanti aku jadi tukang rasa. Takut termakan cincin mama atau Kak Mas. Ngeri!," Kami bergabung tawa. Sempat lagi Along membuat lawak. Sejak Kak Leen pergi, Along banyak meluangkan masa dengan Angah. Lagi-lagi pada tahun pertama Angah menduda. Dan mama juga mula menghampiri anak yang selama ini dia rasakan menjauh diri. Mungkin itulah hikmah Allah mengambil Kak Leen. Semua mula merapati Angah. Semua mula menghulur bahu untuk berkongsi beban kesedihan Angah. Dan Angah kuat dengan sokongan yang diterimanya. Satu lagi aku belajar waktu Ramadan ini, Allah meletakkan kita di dalam situasi yang Dia tahu kita boleh hadapi dan apa yang terbaik untuk kita. Kerana apa? Kerana cinta... |
Olimpik: Di mana kurangnya atlet kita? Posted: 16 Aug 2016 07:36 PM PDT OLIMPIK Rio 2016 sudah bermula lebih 10 hari sejak pembukaan gilang-gemilang di stadium bolasepak Maracana, Rio de Janeiro pada 5 Ogos lalu. Dalam persaingan sengit bagi membuktikan siapa yang berjaya mengatasi segala cabaran untuk muncul sebagai pemenang dan merasa berdiri di podium menerima kalungan pingat, malah lebih istimewa untuk bergelar pemilik pingat Olimpik - walau cuba dinafikan - kita perlu secara gentleman mengakui yang kita agak tersentak dengan pencapaian atlet negara jiran tetangga. Kelmarin, di celah-celah negara yang berjaya merangkul emas di temasya sukan paling berprestij dunia itu misalnya terselit negara jiran kita di sempadan sebelah utara, Thailand, menduduki tangga ke-18. Bukan satu emas bahkan dua, di samping masing-masing satu pingat perak dan gangsa. Malaysia sehingga artikel ini ditulis, baru meraih satu pingat perak. Pingat yang dihadirkan menerusi jaguh terjun papan anjal wanita negara, Pandelela Rinong kali ini bersama pasangan regunya, Chong Jun Hoong. Pencapaian lebih baik sedikit daripada Olimpik London 2012. Harapan emas yang tinggal kini adalah menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang jika di atas kertas, mengikut ranking dunia, tidak ada masalah untuk merangkulnya. Namun adat bertanding, ada hari menang dan ada hari kalah. Harapan penulis, dan sudah pastilah harapan seluruh rakyat Malaysia, kilauan emas yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akan hadir menerusi badminton - satu-satunya acara sukan yang cukup diyakini, yang selama ini telah meletakkan nama negara di peta dunia. Tentulah lebih manis dan istimewa apabila acara sukan yang tidak sah diperkatakan jika tidak menyebut nama Malaysia sebagai antara gergasi badminton dunia itu yang menghilangkan dahaga emas negara sejak sekian lama. Bukan penulis tidak mengharapkan emas daripada acara sukan lain namun rasanya harapan dan impian ini lebih signifikan dan relevan dengan gelaran jaguh badminton dunia yang dipegang oleh atlet negara kita itu. Kita seharusnya tahu mengukur baju di badan sendiri. Jika terbukti badminton dan acara terjun yang mampu menjanjikan pingat, tidak salah jika kita membuat pelaburan besar dalam kedua-dua acara sukan ini. Rangka pelan strategik dengan sasaran emas. Vietnam berjaya melakukannya dengan acara menembak. Singapura pula dengan renang. Jadi tidak salah untuk kita mengimpikannya dalam sukan badminton yang telah kita kuasai sejak sekian lama. Penulis bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa kita memerlukan barisan atlet pelapis dengan segera. Tokyo 2020 mungkin terlalu hampir untuk kita meletakkan sasaran emas kepada pengganti Chong Wei, namun tidak terlalu ambitious atau bercita-cita tinggi untuk kita merangkul perak atau gangsa. Apa yang penting seperti dikatakan Khairy, kita perlukan pelapis. Tidak kiralah dalam sukan badminton, acara terjun mahupun berbasikal yang kita juga mempunyai wakil yang dibanggakan. Di mana atlet kita 10 tahun akan datang? Adakah mereka akan berdiri di podium atau masih sekadar menjadi pemerhati? Penulis percaya semuanya terletak pada perancangan mantap dan teratur oleh organisasi sukan yang dipertanggungjawabkan. Pada masa sama, pastikan atlet kita dibimbing agar mempunyai set minda yang betul untuk bersungguh-sungguh, berhempas pulas sepenuh daya mengejar gelaran juara dalam bidang sukan yang diceburi mereka. Bukan sekadar berpuas hati berjaya melayakkan diri ke 'temasya' Olimpik. Dalam Coretan Marhaen dua tahun lalu, Neymar da Silva Santos JĂșnior pernah menjadi bahan coretan penulis apabila pemain lincah Brazil yang ketika itu baru berusia 22 tahun terpaksa melupakan aksi dalam Piala Dunia FIFA 2014 akibat kecederaan tulang belakang gara-gara disinggung lutut pemain Colombia, Juan Zuniga. Justeru ketika membelek-belek laporan akhbar tentang Olimpik Rio 2016, kelmarin, penulis agak terkejut apabila membaca tajuk berita, Bisa Neymar makin menjadi. Nampaknya Neymar telah 'meninggalkan' kecederaan dua tahun lalu, bukan setakat pulih bahkan membantu pula pasukan bola sepak negaranya melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Honduras. Dalam perlawanan yang menyaksikan Brazil membenam Columbia 2-0 itu, Neymar menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. Penulis tidak pasti berapa lama tempoh yang diperlukan oleh seseorang atlet untuk pulih daripada kecederaan dan kembali beraksi di padang atau pentas pertandingan. Namun jika apa yang dilakukan oleh Neymar ini sesuatu yang menakjubkan, kita perlu belajar daripadanya. Penulis tertarik dengan kata-kata legenda bola sepak Korea Selatan, Lee Young-pyo ketika menjadi pengulas sukan Piala Dunia FIFA 2011; "Anda tidak menyertai pertandingan untuk mencari pengalaman tetapi untuk membuktikan keupayaan." Mungkin dengan cara berfikir seperti itu pasukan bola sepak Korea Selatan kini semakin berjaya dan jauh meninggalkan kita. Ini pun kita perlu belajar juga. |
Tidur lewat malam punca masalah kesihatan Posted: 16 Aug 2016 07:28 PM PDT OLEH NOR AMILINA ISMAIL TIDUR adalah salah satu keperluan bagi manusia. Menurut pakar kesihatan, fungsi tidur adalah lebih penting berbanding makanan kerana tidur adalah salah satu keperluan bagi manusia sejagat. Seorang manusia mampu hidup sehingga 40 hari tanpa makanan dibandingkan hanya 11 hari tanpa tidur. Oleh itu, mereka yang suka tidur lewat malam harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan penyakit dan risiko kesihatan lain akibat kekurangan tidur. Kebanyakan mereka yang sering tidur lewat malam adalah golongan mahasiswa universiti, remaja dan tidak ketinggalan juga golongan tua. Rata-rata mahasiswa universiti lebih suka tidur lewat malam kerana mereka menggunakan waktu tersebut untuk membuat tugasan ataupun mengulangkaji pelajaran. Mereka seharusnya sedar bahawa tidur memainkan peranan penting dalam melancarkan peredaran darah dan memperbaiki sel-sel tubuh manusia. Ketika kita tidur, badan diberi ruang untuk merehatkan minda dan fizikal tubuh setelah penat seharian belajar. Mereka yang kurang tidur dengan sendirinya akan mengalami masalah kesihatan. Jika masalah kurang tidur ini berterusan, maka masalah kesihatan akan membawa kepada penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok, diabetes, obesiti dan sebagainya. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan tidur yang cukup untuk mengelakkan diri daripada mengalami masalah kesihatan. |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan