Selasa, 5 Julai 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Setelah Kau Hentam Dan Kafirharbikan Mereka, Kau Ajak Masuk Islam...

Posted: 05 Jul 2016 02:24 AM PDT

Ajak masuk Islam selepas 'kafir harbi' memalukan, kata Amanah

PETALING JAYA: Amanah hari ini menganggap tindakan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menjemput Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memeluk Islam sebagai bertentangan dengan cara dakwah Islam.

Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang berkata ia lebih-lebih lagi selepas kontroversi "kafir harbi" yang dicetuskan Abdul Rahman.

"Kalau sudah mengajak bergaduh dengan menimbulkan isu kafir harbi, selepas itu nak mempelawa masuk Islam, itu bukan cara Islam," kata Ahmad kepada FMT.


"Kalau sebelum kita ajak masuk Islam kita sudah tunjukkan wajah yang hodoh seperti berkasar, macam mana nak tarik minat mereka untuk masuk Islam."

Abdul Rahman semalam menjemput Kit Siang dan Guan Eng memeluk agama Islam demi perpaduan. "Tidak akan ada huru-hara dan kita juga boleh menumpukan kepada pembangunan," kata Abdul Rahman semalam.

Sebelum ini, kenyataannya melabel DAP dan golongan menentang pelaksanaan hudud sebagai "kafir harbi" (golongan memerangi Islam) mengundang kecaman pelbagai pihak.

Ahmad menasihatkan Abdul Rahman berfikir panjang sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Dia banyak keluarkan kenyataan yang bercanggah dengan cara Islam. Saya kesian. Harap-harap dia berfikir panjang sebelum keluarkan kenyataan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata tindakan Abdul Rahman itu tidak sihat dan menimbulkan persoalan mengenai kaedah Islam.

"Banyak lagi cara lain yang boleh dicontohi misalnya cara Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik orang bukan Islam untuk meminati Islam. Kalau tidak dapat tarik pun dapat mendekatkan mereka dengan Islam, mereka memahami dan menghormati Islam sudah baik.

"Tetapi apa yang dilakukan Mufti Pahang sebaliknya," kata pemimpin Amanah itu.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir menasihatkan Abdul Rahman memohon maaf dan menarik semula kenyataan kafir harbi yang sebelum ini mencetuskan kontroversi itu.

"Mufti Pahang perlu belajar lagi dan berhenti keluar kenyataan. Jika dibiarkan Islam akan rosak," katanya.

ULASAN GB

"Kepala Tok Dia" (meminjam kata-kata balu Almarhum Syed Jamal tatkala mengulas isu perobohan Arca Purnama oleh DBKL).

Setalah kau kafirharbikan mereka, setelah kau cemari Islam dengan melabel secara nafsu dan melulu terhadap DAP, sekarang kamu ajak mereka memeluk Islam.


Begitukah cara umat Islam diajar berdakwah?

Dan nak tanya juga parti yang menyokong mufti berkanaan, UMNO dan PAS, setelah kamu bermusuh dengan semua orang sekarang kau kibarkan "panji perpaduan". Bukankah itu jelas dan nyata KHAWARIJ?


PAS nampaknya bermusuh dengan semua orang, semua parti kecuali UMNO. Baguslah tu. Boleh kongsi kezaliman UMNO bersama. Satu untuk engkau dua untuk aku....




[VIDEO & GAMBAR] Serangan Pengebom Berani Mati Di Madinah, Qatif & Jeddah

Posted: 05 Jul 2016 01:01 AM PDT

RIYADH: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan berani mati di Arab Saudi pada Isnin, selepas berlakunya dua serangan di tempat lain di rantau ini, sebelum berakhirnya Ramadan.

Tiada pihak yang serta-merta mengaku bertanggungjawab untuk ketiga-tiga serangan, dengan yang terbaharu dilancarkan di bahagian luar Masjid Nabawi di Madinah, menyebabkan empat anggota pasukan keselamatan terbunuh dan beberapa yang lain cedera.

Sejak akhir 2014, Arab Saudi telah dilanda serangan bom dan tembakan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Negara Islam (IS) tetapi beberapa serangan pada hari yang sama, yang terdahulu berlaku di Qatif dan Jeddah adalah luar biasa.


Masjid Nabawi yang terletak di bahagian barat, adalah salah sebuah tempat suci bagi umat Islam, di mana makam Nabi Muhammad SAW terletak di sini dan menarik jutaan pengunjung setiap tahun.

"Pasukan keselamatan telah mengesyaki seorang lelaki yang sedang menuju ke arah Masjid al-Nabawi dan lalu di kawasan letak kereta pelawat," kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

"Apabila mereka cuba menahannya, dia bertindak meletupkan dirinya dengan tali pinggang letupan yang dipakainya, menyebabkan dia dan empat anggota keselamatan lain maut," kata kenyataan itu, sambil menambah lima lagi mengalami kecederaan.

Kementerian itu berkata, serangan maut di Madinah berlaku ketika solat Mahgrib selepas umat Islam berbuka puasa.

Pengeboman di Madinah dan Qatif pada Isnin berlaku serentak.

Dalam letupan di Jeddah, dua pegawai keselamatan cedera, kata Kementerian Dalam Negeri.

Penduduk Qatif berkata bahagian badan ditemui berhampiran sebuah masjid kumpulan Syiah dan Kementerian Dalam Negeri mengesahkan ia adalah pengeboman berani mati sambil menjelaskan bahawa 'bahagian badan tiga orang telah ditemui' di lokasi itu tetapi identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

"Pengebom berani mati, pasti. Saya dapat melihat badannya terbelah," kata seorang saksi serangan di Qatif.

Seorang lagi saksi, yang hanya mahu dikenali sebagai Ayman, memberitahu AFP bahawa berlaku dua letupan berhampiran masjid kumpulan Syiah.

Memetik kenyataan kerajaan di Twitter, Al Jazeera melaporkan korban di kalangan pegawai keselamatan berlaku selepas mereka menghalang penyerang berkenaan memasuki masjid.

Ketika kejadian kawasan Masjid Nabawi dipenuhi ramai orang, termasuk warga asing, yang bersedia untuk berbuka.

Beberapa saksi memberitahu mereka langsung tidak menyangka letupan berkenaan adalah serangan pengganas bunuh diri.

Warga Afrika Selatan, Ziyaad Patel, 36, berkata pada awalnya dia beranggapan bunyi itu datang daripada letupan meriam atau mercun meraikan sesuatu.

"Tetapi kemudian saya dapati gegarannya sangat kuat, seperti ada bangunan runtuh," katanya kepada AP.

Pengeboman pertama pada Isnin berlaku berhampiran konsulat Amerika Syarikat di Jeddah, telah dilakukan oleh seorang penduduk Pakistan yang kemudian dikenal pasti oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai Abdullah Qalzar Khan, seorang pemandu swasta berusia 35 tahun yang tinggal bersama isteri dan ibu bapanya di Jeddah selama 12 tahun.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, General Mansour al-Turki telah memberitahu saluran berita kerajaan, Al-Ekhbaria, bahawa pengebom berada lebih dekat dengan masjid di kawasan itu berbanding konsulat.

Kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan berkata bahawa sebahagian tali pinggang bahan letupan pengebom telah meletup.

Kedutaan AS di Riyadh melaporkan tiada kecederaan di kalangan kakitangan konsulat.

Pada Ahad, berlaku serangan di ibu negara Iraq, Baghdad yang mengorbankan lebih daripada 200 orang. Sebelum itu, pada Jumaat berlaku serangan di Dhaka, beberapa hari selepas lapangan terbang Ataturk di Istanbul diserang.





[VIDEO] Shafie Apdal Keluar UMNO, Rakyat Sabah Bangkit

Posted: 04 Jul 2016 07:51 PM PDT

Shafie umum keluar Umno

SHAH ALAM – Susulan penggantungan jawatan beliau sebagai Naib Presiden Umno sebelum ini, Datuk Shafie Apdal hari ini mengumumkan untuk keluar daripada parti berkenaan.

Menurut Shafie, walaupun telah keluar dari Umno, beliau akan tetap meneruskan perjuangan di Sabah demi rakyat di negeri itu yang telah memilihnya sebagai wakil rakyat.


"Perjuangan kita akan diteruskan di bumi Sabah ini. Perjuangan kita akan diteruskan di Sabah dan di Semenanjung untuk membela bangsa dan negara.

"Saya mohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan saya, salah laku saya selama saya memimpin Umno ini," katanya ketika berucap dalam program Rakyat Bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebentar tadi

24 Jun lalu, Majlis Tertinggi Umno(MT) memutuskan agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung dari jawatannya.

"Saya dah fikir panjang, tuan-tuan nak saya letak jawatan. Selama ini saya bertahan, bersabar.

"Jadi saya berhenti serta-merta. Saya sayang Umno, tapi jangan hina saya, jangan zalimi saya dalam Umno," katanya.

Dalam ucapannya, Shafie mengingatkan rakyat di negeri itu agar tidak menjual undi mereka hanya untuk mendapat wang bernilai RM300-RM500 namun mereka menderita bagi tempoh lima tahun berikutnya.

"Jangan pilih saya sebab parti, sebab agama, sebab bangsa atau warna kulit tapi undi saya kerana perkhidmatan saya," katanya yang disambut sorakan oleh penyokong yang hadir di program tersebut.

Selain itu, dalam sidang media selepas pengumuman itu, Shafie turut menafikan dakwaan yang menyebut beliau menyertai parti lain.

Beliau turut memaklumkan masih belum memutuskan perancangan untuk masa depan politiknya selepas ini.

IKLAN BERBAYAR


ULASAN GB

Gelombang kebangkitan rakyat Sabah begitu ketara dengan kehadiran ribuan rakyat di perhimpunan Shafie Apdal di atas.

Ertinya rakyat Sabah sudah celik. Mereka tidak mahu lagi menjadikan Sabah sebagai "simpanan tetap" UMNO/BN.

Peringatan dari Shafie untuk rakyat Sabah adalah jelas:

Shafie mengingatkan rakyat di negeri itu agar tidak menjual undi mereka hanya untuk mendapat wang bernilai RM300-RM500 namun mereka menderita bagi tempoh lima tahun berikutnya.

Sebagai seorang Naib Presiden UMNO, tentunya pengaruh Shafie Apdal bukan sedikit khususnya di negeri Sabah.

Mohd Salleh Tun Mohd Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Abdul Rahman Dahlan, Menteri di JPM tidak besar mana pengaruhnya di kalangan rakyat Sabah berbanding Shafie Apdal.

Kedua-duanya boleh menganjurkan perhimpunan sepentas dan melihat apakah rakyat Sabah menyokong mereka seperti sokongan yang diberikan keapda Shafie Apdal. Ada berani?




Tiada ulasan: