Nuffnang

Pengikut

.

sumber :-

.


Salam Aidifitri, terima kasih yang tidak terhingga...

Posted: 03 Jul 2016 07:22 PM PDT

CATATAN RAYA

 اَلْحَمْدُلِلّهِ bersyukur kita (saya dan isteri) ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi peluang dan kesempatan melalui hari-hari tersisa untuk dipenuhi dan dimaknakan dengan segala amal jariah dan perjuangan menegakkan "amal maruf nahil munkar".

Bagi diri saya dan juga isteri, kesyukuran mendalam kepadaNya, Tuhan Rabul Jalil, kerana masih diberikan kesempatan dan peluang untuk sama-sama merayakan hari Kemenangan ini - Idufitri sekali lagi. Dalam saat nafas seperti menghujung, masih ada ruang dan peluang dikhaskan buat saya dan isteri, inilah yang memberikan seribu makna dan keisanfan buat kami berdua, orang yang ingat dan mangasihi kami, juga anak-anak, keluarga dan rakan taulan.
Seperti sedia maklum akhir tahun lepas saya diuji dengan sedikit ujian dalam hidup ini setelah melangkah ke bendul separuh abad. Selama enam bulan saya seperti dalam medan sebuah peperangan yang amat mencabar jiwa, berulang alik dari rumah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) di Cheras, dan ada kalanya "tersendur" dalam bilik rawatan dan perehatan (ward).

Atas: Isteri jaga saya, bawah saya juaga dia.
Namun dengan sokongan pelbagai pihak, isteri, anak-anak dan keluarga serta rakan taulan media sosial, (Facebook), blog dan sebagainya, saya tabah dan opensif menerima ujian takdir itu dan menganggapnya sebagai satu peringatan dan peluang diberikan kesihatan ini sebagai peluang keemasan untuk menunjangkan kesyukuran.

Melalui detik dan saat ujian itu, paling terasa sekali ialah apabila saya terpaksa menangguhkan perjalanan rutin saban tahun ke Makkah dan Madinah. Di mana halangan seperti ini tidak pernah terjadi sejak lebih 25 tahun lampau. Semua jadual perjalanan ke sana senantiasa berjalan tepat pada waktunya. Mac dan April juga persiapan untuk ke Makkah dan Madinah bersama isteri dan anak-anak sudah tersiapkan.

Lantaran itu penangguhan dan halangan tersebut sangat mencekam jiwa dan saya mengira saya telah atau akan melakukan wida' dari jauh kepada Baitullah dan makam Rasullulah. Namun  اَلْحَمْدُلِلّهِ semua itu tidak terjadi dan saya masih ada "kuota" untuk terus menjadi tetamu Allah.

Sejujurnya hidup harus berani, jangan mudah berputus asa. Juga perlu tabah penuh bersemangat dan yakin hingga tahap Kulhaqkul yakin. Kita tidak akan berlalu begitu sahaja, tanpa ada pamitan ajal daripadaNya. Perhitungan sebenar ialah di Yaumimasyhar. Selagi pintu maut tidak diketuk dan terkuak kita tidak perlu menyiapkan kain kafan dan batu nisan.

Semuan terletak dan tergenggam dalam tangan-Nya. Akhirnya beberapa hari menjelang Ramadhan Kareem tiba, saya ke turun ke bumi suci Madinah tul Munawarah dan Makkah tul Mukarramah memegang puasa di sana. Paling membahagiakan sempat solat terawih di masjidi Haram sebanyak tiga malam.

Ramai yang membimbangi akan keadaan saya dengan pemergian itu. Doktor yang merawat dan menyelia saya juga keberatan untuk melepaskan saya. Proses kemotrapi tidak memungkinkan untuk seseorang yang baru melaluinya berjalan begitu jauh apa lagi ke tempat yang disendaki manusia. Namun atas keyakinan di kedua bumi itu penuh keberkatan, dengan menyakini kehadiran ke sana adalah penawar bagi saya, saya meneruskan hajat. Saya menyerahkan diri kepada Dia penuh tawakal, yang telah saya yakini bahawa hidup dan mati adalah ditanganNya.

Sekembali dari mengerjakan umrah, saya sihat dan semangat semakin kuat. Tiada apa-apa implikasi terhadap diri saya. Liang roma yang sebelum ini tertutup dan mati kerana bahana kemo juga mula membuka perlahan-lahan. Dan bulu-bulu serta rambut, misai dan janggut yang sebelum ini gugur bagaikan rumput di padang kering di musim panas, tumbuh kembali.

Memerhati perkembangannya, tatkala berada di "jerung" malam, laksana melihat rumput yang membiak selepas hujan tatkala merentasi benua sahara kesekian musim. Ia sesuatu yang menakjub dan mengharukan. Air mata tumpah berlinangan dalam gelap malam tanpa disedari dengan tangan meraba di dada merasai dengup jantung sambil mendesah;  "ah aku masih hidup dan ada di sini."

Sai pertama ditolak. Foto sebelah selfie. 

Paling menggembirakan sekembali dari Makkah dan setelah dua minggu melalui Ramadhan, Tuhan mengandakan anugerah buat saya, mengurniakan cucu yang ketiga. Muhammad Al Fateh yang menjadi Putra Ramadhan zahir ke dunia, seberat 2.7 kg mengiringi kelahiran sepupunya Muazamku, Harith Ummar. Keduanya lahir menjejaki cucu pertama Imamku Khalif Ummar yang kini sudah berusia mencecah lima tahun dan sangat "geletah".

Ujian ke atas hidup bukan berhenti di situ sahaja. Ujian adalah proses pematangan keimanan dan ketakwaan kita. Ia sesuai dengan bunyi sepotong firman;  "Apakah kamu sudah berasakan kamu beriman sedangkan kamu tidak diuji?" Ujian, percubaan dan dugaan itulah kayu ukur kepada tahap keimanan dan ketakwaan kita.

Dalam putaran malam-malam menjelangnya Lailatu qadar, isteri saya pula jatuh sakit. Penderitaan kerana mengalami batu hempedu yang ditanggung sejak bertahun lalu dan baru diketahui setahun lepas, tidak dapat ditahan lagi. Ia hanya menunggu masa senggang sahaja untuk meletup. Selama enam bulan beliau ikut menanggung cemas dan resah, menjaga saya tanpa mengalpanya walau sekacing mata. Sebaik urusan saya selesai, bermula urusannya pula.

Semua seperti dijanjikan. Sedang elok saya mampu mengagahi diri, dia pula sakit. Sakit yang dirawat dengan pengubatan alternatif dan menangguhkan pembedahan, tidak membaik, akhirnya pembedahan membuangkan pundi hempedu dilakukan. Empat hari "tersendur" di hospital Columbia Asia, Setapak. Giliran saya dan anak-anak pula menjaganya.

Pembedahan berhasil. Sebanyak enam biji batu sebesar 1.2 cm hingga 1.5 cm berjaya dikeluarkan. Pembedahan yang pantas itu dibuat perkiraan agar kami dapat menyambut Aidiftri dan bercadang untuk beraya di kampung halaman. Lebih penting penyakit itu tidak "memborak". Namun tidak semua yang kita aturkan berjalan mengikut kehendak kita kerana Dia mempunyai peraturan lebih sempurna.

Isteri saya mengalami jaundice (penyakit kuning). Penyakit itu walaupun dipantau tetapi tidak menunjukkan kesan mahu berkurangan. Setelah dianalisa darah dan melakukan imbasan imej (CT Scan) ia berpunca daripada sebiji batu (floating) lagi masih tersumbat dalam saluran hempedu. Tiada ada pilihan lain, satu lagi pembedahan (endoskopi) terpaksa dijalankan.

Di Columbia Asia tidak ada peralatan untuk endoskopi, menyebabkan pihak hospital itu merujuk kepada Hospital KPJ Tawakkal Kuala Lumpur. Saya tidak mahu sebut mengenai pembiayaan itu, apabila memasuki dua buah hospital swasta, tambah lagi dalam situasi gawat kita hanya diminta menyediakan biayanya sahaja. Apa dinamakan budi, simpati dan ehsan tidak ada dalam kamus perkhidmatan hospitaliti mereka.  Di sinilah menyebabkan banyak keluahan diluahkan apabila mengenangkan sakit dan kos perubatannya bagi orang-orang macam kita? (Orang macam kita ni, orang sesak la..).

Iya sebelum ini saya sering bermadah apabila berbicara fasal sakit dan perkhidmatan perawatan. Kata saya, sakit di Kuala Lumpur hanya milik orang kaya raya sahaja. Orang miskin jangan sesekali cuba atau belajar sakit. Parah keadaanya.

Bagaimana pun bagi saya itu, itu hanya senandung hiburan sahaja. Kata orang menjadi modal untuk bercakap dan menghentam kerajaan semata-mata. Kita harus sedar dan peka dengan realiti kehidupan hari ini. Selagi kita yakin dengan Tuhan, kita tidak akan berasa susah sebenarnya, kerana Dia akan membantu dengan caraNya dan kita tidak menyedari bagaimana Rahmatnya mengelilingi kita.

اَلْحَمْدُلِلّهِ keadaan isteri saya dan saya juga beransur baik. Kerehatan sepenuhnya kami laki bini waktu ini. Biarlah Aidifitri ini menjadi taman reakreasi buat kami untuk berihat menjadi daya perawatan dan trapi buat kami. Dan pada kesempatan ini saya, isteri dan keluarga mengambil peluang menyampaikan salam Idufitri kepada semua dengan harpan semoga perayaan ini membahagiakan kita dengan penuh keberkatan daripada Allah SWT. Selamat hari raya. [wm.kl.9:48 am 04/07/16]

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT