Ini kedengaran amat mudah, seumpamanya ketagihan itu satu pilihan, namun pilihan untuk ketagih rokok atau tidak terletak di tangan masing-masing. Bulan Ramadan pula merupakan satu peluang yang boleh digunakan bagi mengekang tabiat ketagihan terhadap rokok.

Rokok sememangnya mengakibatkan ketagihan. Ini kerana angkara nikotin, iaitu sejenis bahan yang digunakan. Ia bukan sekadar menjadikan perokok semakin tegar dengan ketagihan, tetapi juga akan mengurangkan tahap toleransi terhadap bahan itu, menjerumuskan mereka untuk meningkatkan pengambilan, tanpa had waktu dan wang. Perangkap nikotin ini akhirnya bukan setakat mengikat kaki dan tangan, malahan juga pemikiran, menjadikan perokok tidak akan lekang dengannya.

Bagi perokok, berpuasa selama 14 jam sehari itu adalah satu amalan yang secara tidak langsung akan mematikan sementara mereka terhadap rokok. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak berfikir apa-apa tentang rokok. Mereka tidak melihat, menyentuh atau menghidu asap rokok. Suasana ini membantu mereka untuk melupakan terus rokok ketika dalam tempoh tersebut.

Walaubagaimanapun, imaginasi mereka terhadap rokok muncul semula selepas mereka berbuka puasa. Keadaan ini berlaku kerana berbuka itu sesuatu yang sinonim dengan merokok. Bagi sesetengah perokok, rokok adalah makanan. Waktu berbuka puasa adalah waktu makan, dan mereka memilih rokok sebagai menu pilihan. Lantaran mereka telah mendidik hati, jiwa, pemikiran dan perasaan mereka bahawa tidak merokok itu bukanlah selamanya, sekadar 14 jam sehari sahaja.

Para perokok, sama ada tegar ataupun novis, hanya perlu tahu bahawa tempoh tepu selama 14 jam sehari itu boleh dipanjangkan lagi bakinya dan perlulah diisi dengan pelbagai aktiviti yang produktif. Mereka perlu dididik lagi bahawa masa tambahan yang ada sebanyak 10 jam itu boleh disibukkan dengan pelbagai aktiviti lain yang ­akhirnya akan menjadikan mereka alpa terus terhadap rokok. Buatlah amalan bertadarus, disambung pula dengan aktiviti bangun malam. Sudah pasti, jenama rokok tiada ruang untuk muncul sebagai lintasan-lintasan hati di bulan yang suci murni ini.

Peringatan yang seringkali diutarakan kepada kita bahawa tabiat ini tidak sesuai dilakukan kerana kesan buruk kepada kesihatan diri dan badan serta membazir wang. Ia perlulah dipraktikkan dan barulah hikmah dan fadilat Ramadan itu terbukti berkesan.

Ramadan adalah bulan yang baik untuk memantapkan kesihatan diri dan mengurangkan pembaziran. Sehubungan itu juga, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 iaitu pada 23 Mac 1995 telah menetapkan ia sebagai haram.

Ramadan adalah satu bulan yang penuh dengan kemuliaan, keampunan dan rahmat. Ini sesuai dengan gelarannya sebagai penghulu segala bulan dan sudah pasti sebagai penghulu segala bulan ini, ia memiliki pelbagai keistimewaan serta kebaikan, khusus kepada umat Islam.

Namun pada asasnya, keampunan dan keberkatan yang dijanjikan pada bulan ini akan menjadi sia-sia jika umat Islam tidak mengambil peluang dan tidak peduli dengan limpah kurnia kemewahan yang telah dijanjikan Allah itu. Ini bertitik tolak daripada kesanggupan dan kekuatan semangat perjuangan yang wujud dalam diri setiap individu itu dan akan terserlah dalam bentuk amalan dan perbuatan serta tingkah laku mereka sendiri.

Dalam erti kata lain, bulan ini adalah satu bulan di mana pemikiran, perbuatan dan sikap individu Muslim itu dilatih dan dibentuk agar menjadi lebih bertanggungjawab dan terurus. Oleh itu, bulan Ramadan juga adalah satu bulan yang dikenali sebagai bulan pentarbiahan dan latihan diri untuk menjadi lebih bertakwa dan beriman.

Di bulan ini, sebarang tingkah laku dan perbuatan yang baik itu bukan sahaja dituntut untuk dibentuk dan diamalkan, malahan akan diberi ganjaran pahala secara berlipat kali ganda pula. Matlamatnya pula ialah agar individu Muslim itu lebih dekat dan semakin bertakwa kepada Allah, dan berkekalan dalam ketakwaannya pada setiap masa.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.

Pembentukan akhlak dan perangai yang terpuji lebih mudah berlaku dalam bulan ini. Ini memandangkan kepada hasrat mulia setiap individu Muslim itu, iaitu bagi memperoleh amalan puasa yang sempurna, yang tiada cacat celanya dan yang diterima Allah. Kesempurnaan puasa ini pula amat bergantung kepada niat dan amalan-amalan lain yang tidak membatalkan, merosak atau mengurangkan pahala puasa tersebut.

Kesempurnaan pahala puasa seseorang itu akan terjejas walaupun puasanya tidak terbatal, sekiranya terdapat amalan lain yang boleh menjejaskan pahala puasa itu. Sekiranya mereka berpuasa, tetapi puasanya itu tidak mampu memberi sebarang kesan yang baik kepada dirinya atau kepada orang lain di sisinya, maka amalan puasanya masih belum cukup sempurna untuk membantunya memperoleh pahala yang sewajarnya.

Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW daripada At Tabrani yang bermaksud: Betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga sahaja.

*  PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).