WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- ‘PECAT HUSAM: PENGARUH PAS KELANTAN MEROSOT TERUK’
- KUALA KANGSAR: SOKONGAN BUKAN MELAYU KEPADA AMANAH MELUAS
- DUA PRK: MAHFUZ CADANG PAS BERALAH, TANDING SATU KERUSI SAHAJA
- ADUN PAS KUBANG ROTAN KETEPI SOAL POLITIK, TUMPU DEKLARASI RAKYAT
‘PECAT HUSAM: PENGARUH PAS KELANTAN MEROSOT TERUK’ Posted: 11 May 2016 05:50 AM PDT 'Pecat Husam: Pengaruh Pas Kelantan merosot teruk'Pemecatan Husam Musa daripada Pas bakal mengundang kemerosotan pengaruh yang lebih parah ke atas parti Islam itu. Hal ini kerana ahli melihat layanan Pas terhadap Husam sangat berbeza berbanding sesetengah pemimpin yang tidak diambil tindakan meskipun berbuat pelbagai salah laku menurut perlembagaan parti. Khasnya di Kelantan, ramai ahli Pas bakal mengalihkan sokongan mereka kepada kumpulan lain bila mana Husam telah dipecat. Sesungguhnya sumbangan Husam kepada pemodenan Pas Kelantan amat besar dan bermakna. Tanpa bela diri Amatlah malang sekiranya pemimpin Pas baru atau yang telah pencen menghina Husam serta memburukkan peribadi beliau. Bukan bermakna Husam itu maksum tetapi ketika hayatnya, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat tidak pernah 'mengata' Husam sama ada dalam hal politik atau peribadi. Impak perpecahan dalam kalangan Pas Kelantan sebelum Husam dipecat telah pun jelas kelihatan, inikan pula selepas Daeng Sanusi Daeng Mariok sebagai pengerusi Jawatankuasa Disiplin mengumumkan pemecatan Husam. Pemecatan tanpa membuka ruang perbicaraan dan memanggil Husam membela diri memperlihatkan seolah-olah Pas sangat gelojoh dan tidak sabar-sabar hendak memuaskan nafsu sesetengah pimpinan parti itu yang mahu menguasai sepenuhnya hirarki parti. Kesan buruk kepada pemecatan Husam tentulah tidak boleh dielakkan pada pilihan raya akan datang. Kedudukan kerusi yang dimenangi Pas diramal menjunam kerana pengundi Kelantan adalah pengundi yang mengenang budi. Untung Amanah Kemunculan parti baru yang berhasrat meneruskan legasi Nik Aziz dan Fadzil Nor serta dipimpin oleh bekas-bekas aktivis Pas profesional yang membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) pasti akan mendapat sambutan di Kelantan. Hal ini kerana pengundi di Kelantan sangat berani untuk berubah. Amanah dijangka mampu mengugat penguasaan Pas yang bertapak di negeri itu sejak tahun 1990an. Secara umumnya, diramalkan 10 DUN Kelantan akan terlepas dari kawalan Pas. Perubahan ini bukan kerana pengundi beralih kepada Umno BN tetapi hilang kepercayaan kepada Pas yang sering bergolak dan tidak jelas perjuangannya menentang BN. Catatan: Penulis merupakan rakan rapat bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Dato' Harun Taib. Penulis bimbang dengan tindakan golongan muda Pas daripada Dewan Penyelidikan Pas Pusat hingga kepada penasihat Presiden Hj Hadi yang jauh terpesong daripada kaedah perjuangan Tok Guru Nik Aziz dan ustaz Fadzil Noor. |
KUALA KANGSAR: SOKONGAN BUKAN MELAYU KEPADA AMANAH MELUAS Posted: 11 May 2016 05:43 AM PDT Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar berlandaskan persefahaman yang di meterai bersama PKR dan DAP kata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu menegaskan ketetapan bahawa parti itu akan bertanding kerusi-kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh Pas dicapai menerusi mesyuarat presiden Pakatan Harapan, justeru harus di jadikan sandaran dalam pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar di Perak. "Kalau ikut prinsip asal semasa mesyuarat Presiden Pakatan Harapan, mana-mana kerusi yang ditandingi Pas, oleh kerana Amanah menggantikan PAS, maka mana-mana kerusi yang Pas bertanding, automatik Amanah akan ambil tempat itu bertanding mewakili Pakatan Harapan," katanya kepada sebuah portal berita. Kerusi parlimen Kuala Kangsar adakah kubu Umno dan secara lazimnya adalah saingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas. Namun dengan kemunculan Amanah, PRK Kuala Kangsar di jangka menyaksikan saingan tiga penjuru atau lebih di samping meletakkan PKR di dalam keadaan politik yang agak tersepit. Ini kerana PKR mempunyai kerjasama politik dengan Amanah menerusi Pakatan Harapan dan pada masa sama masih menjalin permuafakatan dengan Pas. Meskipun tewas di semua 13 kerusi yang ditandingi di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, Amanah meletakkan harapan tinggi pada PRK Kuala Kangsar memandangkan parti itu mempunyai penyokong agak ramai berbanding negeri lain. Namun parti itu memerlukan sokongan kuat PKR untuk memberi cabaran kepada BN. "(Kami) memang kuat di Perak, dan keduanya, hampir 30 peratus pengundi Kuala Kangsar adalah bukan Melayu. Dan orang bukan Melayu akan tolak Pas, itu berdasarkan pengalaman saya di Changkat Jering dan Bukit Gantang," kata Nizar. Bagaimanapun Nizar yang juga Adun Changkat Jering itu berkata, keputusan muktamad akan diputuskan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan pada 15 Mei ini. "Kena buat keputusan dulu sama ada yang mewakili Pakatan Harapan itu siapa dia. Kalau Pakatan Harapan setuju Amanah yang akan mewakili Pakatan Harapan, maka Amanah akan masuk bertanding dan bekerja kuat," kata Nizar. Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lal. Selain Wan Mohammad Khair-il, turut terkorban dalam insiden itu adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, bersama empat penumpang lain. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan calon bebas. Calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim memperoleh 447 undi. BN juga mengekalkan kerusi parlimen Sungei Besar dengan Noriah memperoleh majoriti 399 undi, menewaskan calon Pas Mohammed Salleh M Husin |
DUA PRK: MAHFUZ CADANG PAS BERALAH, TANDING SATU KERUSI SAHAJA Posted: 11 May 2016 05:36 AM PDT Pas dan Amanah dicadangkan agar berbincang antara satu sama lain bagi membolehkan kedua-dua parti itu bertanding satu kerusi setiap parti dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar nanti. Ahli parlimen Pas dari Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan cara itu akan membolehkan mereka tidak bertembung antara satu sama lain dan memberikan tumpuan untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN). "Saya cadangkan Pas bertanding satu kerusi manakala Amanah pula bertanding satu kerusi lagi. Jadi mereka tidak perlu bertembung antara mereka tetapi menghadapkan jentera masing-masing untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya kecil itu," katanya kepada Malaysia Dateline. Mahfuz yang kini pengerusi jawatankuasa Deklarasi Rakyat negeri Kedah berkata, dengan cara ini kedua-dua parti boleh memberikan sumbangan untuk kepentingan rakyat sebagaimana yang dihasratkan oleh gerakan Deklarasi Rakyat. Beliau yakin dengan formula satu lawan satu ini sahajalah akan dapat mengalahkan BN dalam pilihan raya kecil ini dengan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. BN berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang berpecah dan bertembung antara satu sama lain dalam pilihan raya itu. "Kita harap kekalahan BN dalam pilihan raya ini akan menekan Datuk Seri Najib agar berundur demi kepentingan rakyat dan negara dan memulihkan keyakinan negara luar kepada Malaysia yang sedang teruk tercemar kini," kata bekas ketua penerangan Pas itu. Mahfuz yakin, jika kedua-dua boleh bertolak ansur dan memberikan tumpuan untuk kepentingan rakyat, semua pihak akan membantu kedua-dua parti untuk menang dalam pilihan raya kecil itu. "Saya tidak perlu cadang mana-mana kerusi untuk ditandingi Pas dan Amanah, terserahlah kepada kedua-dua parti itu untuk berunding demi kepentingan kedua-dua pihak dan rakyat," kata Mahfuz. Pilihan raya Kuala Kangsar dan Sungai Besar perlu diadakan ekoran kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan itu dalam kemalangan helikopter ketika berkempen dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. Dalam pilihan raya umum lalu, calon Pas di Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim tewas di tangan Wan Mohamad Khairil dengan majoriti 1082 manakala calon Pas Mohamad Salleh Husin tewas kepada Datuk Noriah Kasnon dengan majoriti 399 undi sahaja. Pada dasarnya, kerusi yang ditandingi oleh Pas akan ditandingi oleh Amanah bagi mewakili Pakatan Harapan selepas pakatan baru itu dibentuk selepas pecahnya Pakatan Rakyat. |
ADUN PAS KUBANG ROTAN KETEPI SOAL POLITIK, TUMPU DEKLARASI RAKYAT Posted: 11 May 2016 05:32 AM PDT ADUN Pas Kubang Rotan ketepi soal politik, tumpu Deklarasi RakyatTanpa mengesahkan mahupun menafikan khabar angin mengenai kemasukannya ke dalam Amanah, Adun Kubang Rotan, Kedah Mohd Nasir Mustafa memberitahu, fokus beliau pada masa ini adalah pada gerakan Selamatkan Malaysia. "Nantilah dulu. Saya buat masa ini belum lagi bersedia untuk bercakap banyak soal parti. Banyak lagi kerja perlu kita lakukan dan tumpuan saya sekarang ialah dalam Selamatkan Malaysia," jawabnya ketika dihubungi Malaysia Dateline ekoran khabar angin beliau mahu sertai Amanah. Sehubungan itu, ujarnya, politik kepartian melampau harus diketepikan pada masa ini dengan mengutamakan taktikal tertentu. "Malaysia dalam keadaan berbahaya jika membiarkan pemimpin bermasalah untuk terus menegakkan benang yang basah. "Kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan untuk mengekalkan kuasa dengan berterusan melakukan kemungkaran dan penyelewengan," tegasnya yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah yang meletakkan jawatan itu baru-baru ini. Mengulas lanjut siri jelajah Selamatkan Malaysia melibatkan gerakan progresif termasuk NGO dan Dr Mahathir, beliau berkata, semua pihak perlu bersatu demi perubahan dan reformasi yang adil dan memberi manfaat kepada rakyat. "Isu paling kritikal sekarang tentang penyelewengan 1MDB dengan menanggung hutang lebih RM50 bilion dibimbangi akan membawa akibat kepada kita semua. "Pelaburan 1MDB yang dijamin oleh kerajaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kegagalan membayar hutang," tegas Nasir lagi. Dalam hal berkaitan, Setiausaha Amanah Kedah, Aris Awang pada 4 Mei lalu di Facebook memberitahu Nasir mengaku meletak jawatan secara rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah pada 1 Mei lalu. Aris pada catatan di Facebook beberapa jam selepas itu turut menyeru Nasir membuat satu keputusan yang bermaruah meninggalkan Pas kerana tidak berdosa sama sekali menjadi keahlian Amanah. "Hang dok dalam (Pas) tu lagi pun depa anggap hang pengkhianat dah. Depa buat mesyuarat pun tak habaq kat hang. Kat majlis kenduri pun depa dok mengelak dari bersalam dengan hang. Padahal hang tu Timbalan YDP. Adun lagi. Bukan pemeriksa kira-kira," katanya. Aris juga mengajak Nasir untuk meneruskan perjuangan yang pernah dipelopori oleh Almarhum Ustaz Fadhil Nor dan Tuan Guru Nik Aziz bersama Amanah sebagai wadah baru Amanah. "Biaq pi lah depa (Pas) nak pusing roundabout berapa kali pusing pun. Kita kena terus bergerak menuju hala tuju yang jelas. Hidup kita bukan lama mana. Buat apa buang masa pusing roundabout lama-lama. Islam Rahmatan Lil Aalamin," tambahnya lagi |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan