Isnin, 30 Mei 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Deklarasi Rakyat dikawal sistem integriti, nafi terlibat skandal pembelian data

Posted: 30 May 2016 07:32 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Ketua Sekretariat Deklarasi Rakyat Dato Kamarudin JaafarKetua Sekretariat Deklarasi Rakyat Dato Kamarudin Jaafar


Sekretariat Deklarasi Rakyat hari ini menafikan sekeras-kerasnya pernah berurusan dengan pengaturcara komputer bebas, Azharuddin Othman yang mendakwa dirinya telah menjual 900,000 nama daripada pangkalan data dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sekretariat itu juga menegaskan tidak pernah terlibat dalam urus niaga dengan Syarul Ema Rena Abu Samah, 26, yang menggunakan nama 'Ratu Naga' di laman sosial Facebook yang dikatakan terpalit sama dalam isu berkenaan.

Ketua sekretariat itu, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya telah mengambil langkah-langkah yang sewajar dan mencukupi untuk membuang tanda tangan 'palsu' sejak deklarasi tersebut dilancarkan.

"Sejumlah 1,071,997 tanda tangan atas talian yang disahkan dan terkini diterima. Kami turut menolak sejumlah 253,505 tanda tangan kerana berlakunya pertindihan dan ketidak lengkapan. Baki 200,000 dikumpul dalam bentuk kertas.

"Proses audit ke atas tanda tangan yang diterima dijalankan secara berterusan bagi memastikan integriti dan kesahihannya.

"Sekretariat percaya apa yang akhirnya diserahkan kepada Yang DiPertuan Agong adalah dokumen yang dipercayai dan bebanan tanggung jawab yang diserahkan oleh mereka yang menanda tangani dokumen itu," jelasnya dalam kenyataan seperti dipetik Malaysiakini.

Minggu lalu, Azharudin mendakwa beliau ditipu dalam penjualan ratusan ribu nama untuk menipu tandatangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat.

Beliau mendakwa dihubungi oleh Ema yang menjanjikannya bayaran RM5,000 sebagai habuan.

Pangkalan data itu, katanya, adalah antara yang dibekalkan kepada semua parti-parti politik pada pilihan raya umum ke-13.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, gerakan itu sentiasa komited dengan perjuangannya untuk membawa mereka yang melakukan rasuah besar-besaran ke muka pengadilan.

"Usaha-usaha ini (dakwaan tanda tangan palsu) bertujuan memperkecilkan sokongan rakyat kepada Deklarasi Rakyat selain melawan mereka yang berjuang demi menjayakan agenda reformasi," ujarnya

BSI ditutup, surat Bank Negara dalam radar Deklarasi Rakyat

Posted: 30 May 2016 07:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


Dua perkembangan terbaru berkaitan 1MDB berada dalam radar pemantauan sekretariat Deklarasi Rakyat, kata setiausahanya, Datuk Kamarudin Jaffar, hari ini.

Pertama ialah penutupan Bank BSI dan permulaan prosiding jenayah oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura, ekoran pelanggaran peraturan penggubalan wang haram, berkaitan 1MDB.

Yang lain ialah surat Bank Negara bertarikh 6 April 2016, oleh pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Kamarudin Jaffar menambah, dua perkembangan itu dilihat memburukkan reputasi dan kredibiliti Malaysia.

"Surat itu mengesahkan Good Star Limited dimiliki oleh Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low), dan bukan Petrosaudi International.

"Dokumen tersebut menyokong dakwaan Wall Street Journal bahawa "Daripada pelaburan AS$1.83 bilion oleh 1MDB yang dipegang oleh Petrosaudi International Limited, sekurang-kurangnya AS$1.03 bilion telah disalurkan kepada Good Star Limited, yang dimiliki oleh Jho Low".

Namun begitu, tambah Kamarudin, kedua-dua Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Bank Negara mengatakan kes 1MDB telah ditutup.

Ini berlaku ketika sekurang-kurangnya tujuh negara serata dunia, ujar beliau, sedang menjalankan penyiasatan berkitan 1MDB, dan mereka dilihat tidak bersetuju dengan tindakan peguam negara dan bank pusat tersebut.

"Penutupan kes berkaitan 1MDB terus mengheret Malaysia ke kemelut reputasi, kredibiliti kewangan dan integriti fiskal antarabangsa.

Kes Orang Asli Temiar lawan k'jaan Kelantan didengar

Posted: 30 May 2016 07:11 AM PDT

Hari ini menandakan hari pertama pendengaran bagi kes hak tanah Orang Asli Temiar dari Pos Belatim, Kelantan terhadap kerajaan negeri dan Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan memerintahkan perbicaraan semula kes itu hampir dua tahun lalu.

Pendengaran hari ini menyaksikan dua wakil daripada tujuh buah kampung di Pos Belatim - Angah Along dari Kampung Chermal dan Hassan Alang dari Kampung Belatim - memberi keterangan mereka di hadapan hakim di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Peguam S Yogeswaran, yang mewakili kaum Temiar berkenaan berkata tiga lagi saksi dari pihak pemohon akan memberikan keterangan mereka pada perbicaraan akan datang pada 15 dan 16 Ogos serta pada 24 dan 25 Ogos.

Tiga saksi daripada kerajaan negeri Kelantan juga dijangka memberikan bukti mereka.

Suku Temiar itu memfailkan permohonan ke mahkamah yang menyatakan bahawa mereka mempunyai hak-hak adat di bawah undang-undang adat.

Ini berikutan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan menandatangani perjanjian dengan pihak lain untuk membangunkan tanah berkenaan, tetapi mereka tidak gembira kerana projek itu menceroboh ke atas tanah mereka.

Suku Temiar berkenaan berpendapat bahawa tanah mereka tidak boleh diberi tanpa pampasan, jika mereka mempunyai hak-hak tanah adat.

Mereka pertama kali mendapati tanah mereka akan dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit lima tahun lalu.

Mereka kemudian memfailkan semakan kehakiman pada tahun yang sama terhadap kerajaan negeri dan pentadbir tanah. Semakan kehakiman telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2014.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan kemudian mengarahkan perbicaraan semula, memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam keputusannya untuk membuang kes itu.


Husam tak ikut prosedur rayuan, kata PAS

Posted: 30 May 2016 07:09 AM PDT

 
 
Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dipecat perlu mengikut prosedur dengan menghantar surat kepada Setiausaha Agung PAS sekiranya ingin membuat rayuan berhubung pemecatannya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan perlembagaan parti, Pejabat Agung PAS akan membawa surat tersebut ke Jawatankuasa Kerja PAS pusat yang bertindak sebagai Mahkamah Rayuan.

"Pada saya kalau hantar surat (rayuan) selain daripada (langkah) itu, ia tidak mengikut peraturan.

"Kalau di mahkamah pun kita kena ikut prosedur. Apa susah sangat hantar surat kepada setiausaha agung?" katanya pada sidang media sempena Muktamar tahunan PAS ke-62, di Kota Bharu, hari ini.

Husam yang juga Adun Salor dipecat daripada PAS pada 24 Mei lalu melalui sepucuk surat daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Beliau sebelum ini dilaporkan akan menghantar surat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memohon membatalkan pemecatannya sebagai anggota parti itu.

Takiyuddin berkata, beliau menyerahkan permohonan Husam yang dibuat tanpa mengikut prosedur itu kepada jawatankuasa terbabit untuk pertimbangan.

"Setakat ini saya difahamkan beliau tidak lagi berparti dan telah menerima surat mengatakan beliau tidak lagi mewakili PAS sebagai Adun. Dia anggap parti Bebas," katanya.

Boleh datang sebagai pemerhati

Ditanya mengenai hasrat Husam untuk menghadiri Muktamar yang akan bermula esok, katanya, PAS tidak menyekat Husam.

"Dia boleh datang, kita bagi dia sebagai pemerhati sajalah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai usul pada Muktamar kali ini beliau berkata, PAS tidak akan menyentuh isu berkaitan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menurutnya, AMANAH bukan satu isu untuk dibahaskan walaupun parti itu ditubuhkan serpihan bekas pemimpin-pemimpin PAS.

"Untuk kami, AMANAH bukan satu isu. Kita tak perlu ambil tahu dan mereka tak perlu susah-susah fikir hal kita.

"Saya rasa presiden (juga) tidak akan sentuh langsung," katanya yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.


Saya akan saman malu: Azmi

Posted: 30 May 2016 07:07 AM PDT

Saya akan saman malu: Azmi
AZMI


ALOR SETAR - "Saya akan ambil tindakan saman malu kerana ada cubaan menjatuhkan reputasi saya," tegas Timbalan Speakar Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain berkenaan insiden di hadapan Aman Central melibatkan dirinya pada 15 Mei lalu yang kini menjadi viral di laman sosial.

Menurutnya, tindakan itu diambil terutamanya kepada pihak yang memfitnah dirinya mencederakan seorang wanita, iaitu teman kepada lelaki yang mendakwa dia dipukul oleh Azmi.

"Saya akan buat laporan kepada pihak berwajib selepas menerima pandangan peguam agar tindakan diambil kepada mereka yang terlibat memburuk-burukkan keadaan tidak benar di laman media sosial.

"Fitnah dan viral itu boleh menjejaskan reputasi saya sebagai timbalan speaker dan Adun, malah menjatuhkan maruah keluarga saya," katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Adun Bayu turut bersimpati dengan wanita yang terlibat dalam kejadian itu kerana dilayan buruk oleh teman lelakinya.

"Saya lihat apa yang berlaku kepada wanita itu. Masa dia dikasari, saya ada tegur sikap lelaki tersebut," katanya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 33 saat di hadapan Aman Central, Alor Setar memaparkan insiden pergelutan empat individu.

Dalam rakaman itu, Azmi didakwa mencederakan seorang wanita.

Dalam pada itu, dua individu tampil menjadi saksi kejadian berkenaan dan memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam kelmarin.

Azamuddin Mansor, 18, dari Kepala Batas, berkata, wanita berkenaan ditarik kasar sebelum ditolak masuk di tempat duduk belakang kereta.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas wanita berkenaan cuba menenteramkan lelaki berkenaan dari meneruskan pergaduhan.

"Saya hanya  sedar kejadian ketika wanita berkenaan menarik lelaki itu supaya tidak teruskan pergaduhan. Kemudian Datuk (Azmi) dan anak-anaknya menuju ke kenderaan mereka semula.

"Tetapi lelaki itu menarik teman wanitanya dengan kasar dan menolak dia ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Selepas itu dua orang awam dilihat menghampiri lelaki itu untuk meredakan keadaan," katanya kepada Sinar Harian.

Azamuddin berkata, dia tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selepas menyedari ramai pengguna media sosial bertindak membuat tuduhan melulu biarpun tidak mengetahui kejadian sebenar.

Seorang lagi saksi, Siti Hajar Azmi, 25, berkata, insiden berkenaan bukan hanya berlaku dalam tempoh 33 saat seperti yang dirakam.

"Ia berlaku lebih panjang dari itu. Waktu kejadian saya ada di seberang jalan. Apa yang saya nampak lelaki berkenaan bertindak kasar kepada wanita itu apabila menarik dan menolaknya masuk dalam kereta. Sikap lelaki itu memang kasar, wanita itu hanya mahu leraikan keadaan," katanya.


Aksi silap mata ‘menetak’ peserta undang masalah

Posted: 30 May 2016 07:05 AM PDT

 
"Dalam aksi itu Limbad yang mengajak saya untuk menjadi sukarelawan, dia kemudian menetak leher dan perut saya berkali-kali."


silap


PETALING JAYA: Aksi seorang ahli silap mata terkenal di Indonesia mengundang masalah apabila salah seorang peserta digunakan dalam persembahan kini merungut kesakitan.

Ahli silap mata itu, Limbad disiasat polis selepas peserta yang juga pelawak, Ramli Hiola atau lebih dikenali sebagai Amoy menghadapi sakit di bahagian perut dan terdapat kesan luka yang semakin membesar selepas dia 'ditetak' dalam persembahan silap mata sehari sebelum itu.

"Dalam aksi itu Limbad yang mengajak saya untuk menjadi sukarelawan, dia kemudian menetak leher dan perut saya berkali-kali.

"Selepas aksi itu saya tidak berasa apa-apa tetapi apabila saya bangun pada keesokan harinya perut saya sakit dan ada kesan luka yang semakin membesar," katanya.

Dia dikatakan ditetak menggunakan parang mata di Kotamobagu pada 23 Mei lalu.

Kerana terlalu sakit Amoy mendapatkan rawatan di hospital dan ditahan di wad selama beberapa hari.

"Doktor memberitahu ada luka di bahagian dalam perut saya dan darah yang terkumpul menyebabkan kesan lebam," jelasnya.

Jurucakap polis mengesahkan perkara itu sedang menyiasat dan sedang menunggu Limbad hadir untuk siasatan lanjut.

Anak jati Kuala Kangsar mohon BN tukar calon

Posted: 30 May 2016 06:57 AM PDT

 
Hanya beri kelebihan pada PAS sekiranya Mastura kekal calon BN


Syed-Rosli-Jamalullail


PETALING JAYA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir digesa supaya menukar calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail membuat gesaan itu kerana merasakan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid hanya memberi kelebihan kepada PAS.

"Saya anak jati Kuala Kangsar dan dibesarkan di sana dan saya merasakan tindakan yang dibuat pucuk pimpinan terutama Dr Zambry amat memeranjatkan dan ini sebenarnya berkemungkinan memberi impak yang negatif kepada UMNO dan BN.

"Ada masa lagi tukar calon lain. Saya sebagai anak jati Kuala Kangsar mohon pucuk pimpinan menukar calon sebelum penamaan calon pada 5 Jun ini," katanya kepada FMT.

Sebelum itu, Syed Rosli juga telah memuat naik beberapa status yang agak keras di laman Facebooknya yang dilihat sebagai tanda protes dengan pemilihan Mastura seabgai calon BN di Kuala Kangsar.

Menjelaskan bantahannya, Syed Rosli berpandangan calon PAS mempunyai ciri-ciri tertentu yang memberi kelebihan kepada kempen parti Islam itu sekiranya Mastura kekal calon BN.

"Kelebihan calon PAS (Dr Najihatussalehah Ahmad) boleh berbahasa Mandarin. Ini memberi sedikit kelebihan untuk menarik pengundi Cina.

"Selain itu calon BN (Mastura) juga yang tidak dapat turun berkempen kerana dalam iddah menyebabkan pengundi beralih kerana tidak mengetahui tentang perancangan untuk membangunkan Kuala Kangsar dan manfaat kepada pengundi di sana," jelasnya.

Sementara itu, Syed Rosli turut mengkritik pemilihan ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN di Sungai Besar.

"Sepatutnya dia (Budiman) menolak dan beri peluang calon lain. Kita mahu barisan pelapis muda yang lebih layak dan sedang menunggu peluang daripada BN," katanya.

Pak Lah gesa BN selesai ‘hudud’ secara konsensus

Posted: 30 May 2016 06:53 AM PDT

 
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan mengulas panjang berhubung isu tersebut


badawi-hudud


KUALA LUMPUR: Kembali ke meja rundingan dan cari penyelesaian secara konsensus, pesan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada pucuk pimpinan BN.

"Ya ia sepatutnya begitu (penyelesaian secara konsensus)," katanya selepas program di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang berhubung isu tersebut ketika ditemui pemberita tadi.

Pada 26 Mei lalu, usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Marang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi menambah hukuman jenayah syariah dibenarkan dibentang di dalam Dewan Rakyat.

Pengkritik usul Hadi itu mendakwa sekiranya pindaan Akta 355 itu diluluskan ia akan membuka laluan kepada perlaksanaan hudud di Kelantan.

Penyegeraan pembentangan usul Hadi itu mengundang kecaman daripada MCA, MIC dan Gerakan.

Malah beberapa menteri seperti Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Seri Wee Ka Siong mengancam untuk meletakkan jawatan jika RUU tersebut diluluskan.

Dalam pada itu, Pak Lah berkemungkinan turun berkempen membantu BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Ya saya akan bantu kempen. InsyaAllah, tengoklah," katanya yang juga merupakan Pengerusi IKIM.
Katanya lagi, BN boleh mengekalkan kemenangan di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut sekiranya usaha digandakan.

"Anda perlu bekerja keras. InsyaAllah kita boleh menang," katanya.

Setakat ini, PAS dan BN telah mengemukakan calon bagi kedua-dua kawasan parlimen tersebut, dan Pakatan Harapan dijangka membuat pengumuman Rabu ini.

Siswazah perubatan rosakkan patung kuil layak dibicara

Posted: 30 May 2016 06:49 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Laporan psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan pada 19 Mei lepas menyatakan Fathi Munzir Nadzri, 29, layak dibicarakan di mahkamah dan boleh membela diri bagi kedua-dua pertuduhan itu.


Fathi-Munzir-Nadzri,-29,


IPOH: Seorang siswazah perubatan yang menghadapi dua pertuduhan kerosakkan patung di dalam sebuah kuil dan memiliki senjata berbahaya di sini pada April lepas, layak dibicarakan di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab berkata laporan psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan pada 19 Mei lepas menyatakan Fathi Munzir Nadzri, 29, layak dibicarakan dan boleh membela diri bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Tertuduh, yang hadir di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi sebutan semula kes itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim D.Sunita Kaur Jessy.

Fathi Munzir, yang kelihatan tenang, didakwa merosakkan patung-patung di Kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil di hadapan Angsana Mall dan memiliki sebilah parang pada kira-kira 5 petang pada 24 April lepas.

Bagi pertuduhan merosakkan patung, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memiliki sebilah parang, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 29 April lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Fathi Munzir menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bahagia selama sebulan.

Sebelum ini, mahkamah turut membenarkan Fathi Munzir diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan ia dibayar pada 25 Mei lepas apabila tertuduh didapati layak dibicarakan.

Mahkamah menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Mior Fadhli Mior Shaifuddin.

Turut hadir lima peguam pemerhati diketuai A.Silvanathan yang juga pengerusi kuil berkenaan.
-Bernama

'Kalau anti-Islam, MCA tak terima Ridhuan Tee dulu'

Posted: 30 May 2016 06:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


MCA menerima peletakan jawatan Ridhuan Tee Abdullah tetapi menolak dakwaan mereka anti-Islam atau bersifat melampau.

"MCA tidak pernah dan tidak akan menjadi sebuah parti politik yang melampau.

"Inilah sebabnya apabila Ridhuan Tee mohon jadi anggota MCA 16 tahun lalu, MCA tidak tolak semata-mata kerana beliau beragama Islam.

"Jadi berhentikan menuduh MCA sebagai musuh Islam," kata Setiausaha Pengelola MCA Datuk Yoo Wei How.

Berhubung enakmen hudud Kelantan pula, katanya, MCA sentiasa menentangnya kerana pendirian bahawa dalam sebuah negara pelbagai kaum, kepelbagaian Malaysia perlu dipertahan.

Katanya, retorik semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

Yoo turut mendakwa Ridhuan (gambar) menyampaikan pandangan melampau dalam tulisan-tulisannya.

Yoo juga berkata, keanggotaan Ridhuan dalam MCA menunjukkan beliau tidak menjadi Melayu dan identitinya sebagai orang Cina kekal.

"Sebagai anggota (MCA), beliau terus mendapat kebebasan bersuara dan masyarakat Cina berharap beliau dapat menjadi jambatan kepada Islam, tetapi perkataan dan perbuatannya tidak menunjukkan yang lebih baik daripadanya," katanya.

 Ridhuan memberitahu Malaysiakini, beliau keluar MCA kerana membantah penentangan berterusan parti itu terhadap hudud dan enggan "menanggung dosa" kerananya.

Ketegangan dalam BN muncul kembali selepas kerajaan mengusulkan untuk mempercepat rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah bagi memberi lebih kuasa padanya.

Ismaweb pula melaporkan bekas anggota MCA seumur hidup itu menyifatkan MCA terlalu perkauman dan "menjadi musuh Islam".

Temui anak di dasar kolam renang

Posted: 30 May 2016 06:39 AM PDT

Zainudin Ahmad
Zainudin Ahmad


PORT DICKSON – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan mangsa terbaharu lemas di kolam renang ketika bercuti bersama keluarganya di sebuah hotel di Telok Kemang sekitar jam 1.30 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Zainudin Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut Mohamad Ashrad Hakim Aziezi ditemui di dasar kolam renang dewasa hotel oleh orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, kanak-kanak ini bersama rombongan lima buah keluarga datang dari Tanjung Malim, Perak menginap di hotel berkenaan.

"Siasatan awal polis mendapati, semasa kejadian, mangsa mandi di kawasan kolam renang kanak-kanak bersama sepupunya sementara ahli keluarga yang dewasa termasuk ayahnya mandi di kolam dewasa.

"Bagaimanapun, kanak-kanak itu disedari hilang oleh ayahnya dan ketika mencari ada pengunjung lain yang melihat mangsa berada di dasar kolam renang dewasa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Port Dickson sebentar tadi.

Zainudin berkata, kanak-kanak tersebut dikejarkan ke hospital dengan bantuan pihak hotel, walau bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik pemeriksaan diberikan di hospital.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Dalam pada itu, Zainudin berkata, aspek keselamatan ketika beriadah di kolam renang terutamanya membabitkan kanak-kanak perlu dititik beratkan sama ada pihak hotel mahupun ibu bapa dan penjaga.

"Pihak hotel perlu menyediakan penjaga kolam yang cukup terutamanya pada musim cuti sekolah ataupun cuti umum kerana jumlah pengunjung yang bercuti meningkat daripada hari biasa.

"Ibu bapa penjaga juga jangan lalai terhadap tanggungjawab mereka menjaga keselamatan anak," katanya.


Muktamar Pas: Perwakilan bebas bawa usul

Posted: 30 May 2016 06:37 AM PDT

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan


KOTA BHARU - Pas tidak akan menyekat sebarang usul yang bakal dibawa perwakilan di Muktamar Pas yang bermula esok.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan atau syarat kepada perwakilan bagi menyuarakan pendapat.

"Bagaimanapun kita nasihatkan perwakilan rasional dan tidak menimbulkan perkara yang tidak menguntungkan parti," katanya dalam sidang media Khas sempena Muktamar Pas kali ke 62 di sini hari ini.

Dalam masa yang sama Takiyuddin turut menafikan kenyataan pihaknya merancang untuk merahsiakan ucapan dasar yang dibuat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, pada muktamar kali ini pihaknya mengadakan satu taklimat tertutup yang dibuat oleh Setiausaha Agung dan Presiden pada 1 Jun, bagi membincangkan soal pengurusan parti.

"Kita buat taklimat tertutup itu bagi mengurangkan masa ucapan presiden yang sebelum ini banyak menyentuh soal pengurusan.

"Oleh itu pada tahun ini, ucapan Presiden pada 2 Jun boleh fokus melibatkan kepentingan semua ahli," katanya.


Ustaz apa hukum 'left group' WhatsApp?

Posted: 30 May 2016 06:35 AM PDT

Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus


SHAH ALAM - "Bila kita 'left group' bukan kita putus silaturahim...putus silaturahim ini haram dosa besar, berat sangat itu sebagai contoh kalau putus silaturahim ini ada bapa saudara buang bapa saudara 'left group' bukan sampai tahap begitu," demikian penjelasan pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus ketika ditanya mengenai hukum seseorang yang bertindak 'left group' WhatsApp.

Azhar Idrus berkata, oleh itu jika seseorang itu hendak 'left group' mereka disarankan agar memberitahu terlebih dahulu agar tidak menimbulkan sebarang andaian yang negatif.

"'Left group' ini ada pelbagai alasan, kadang-kadang sebab kita tidak suka keadaan orang yang berbual dalam itu, kadang-kadang kita rasa grup itu tiada faedah, dan kadang-kadang terlalu banyak grup.

"Cuma sebaik-baiknya kalau kita tidak nyatakan sebab biarlah orang tahu sebabnya, bila orang sudah tahu mereka tidak tertanya-tanya... Bila kita nak keluar minta maaf, nyatakan sebab, jadi boleh 'left group' tiada masalah," katanya  ketika menjadi panel dalam Program Bersama Ustaz Azhar Idrus, Aku, Ramadan dan Facebook  di Dewan Sultan Muhammad ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam.

Dalam pada itu, Azhar Idrus menyarankan agar pengguna media sosial menggunakan platform teknologi itu,  untuk menyebarkan dakwah dan perkara-perkara yang baik melaluinya.

"Bukan perkongsian hadis dan dakwah-dakwah sahaja, perkongsian tentang ilmu semasa seperti 'bagaimana untuk memasak dengan baik' juga boleh dikongsi di media sosial," katanya.


RUU: Berikan hak kebebasan mahkamah, orang Islam

Posted: 30 May 2016 06:27 AM PDT

SINAR HARIAN

Dr Shamrahayu Ab Aziz
Dr Shamrahayu Ab Aziz


PUTRAJAYA - Mahkamah syariah sewajarnya diberikan hak dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka yang tidak mengganggu bidang kuasa mahkamah sivil, begitu juga sebaliknya, kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Beliau berkata, usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas, tidak sedikit pun mengganggu bidang kuasa mahkamah sivil tetapi ia memperkasa institusi mahkamah syariah.

Ia tidak mengganggu bidang kuasa yang diberikan oleh undang-undang dan perlembagaan kepada mahkamah sivil, sekiranya ada pihak tertentu yang mempertikaikan cadangan pindaan itu, mereka seharusnya melihat semula apakah yang bercanggah dari segi perlembagaan, katanya.

"Kalau mereka cuma meletakkan satu anggapan bahawa ia membuka laluan supaya hudud boleh diamalkan, ia tidak betul kerana mahkamah syariah belum lagi boleh mengendalikan kes berkaitan curi, merompak atau membunuh.

"Kalau sampai kita membicarakan kes curi dan bunuh di mahkamah syariah, barulah ia dikatakan menggugat Perlembagaan Persekutuan," jelas beliau kepada media selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Wasatiyyah dan Perlembagaan Malaysia, Satu Pandangan' di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dr Shamrahayu berkata orang Islam seharusnya diberikan kebebasan hak beragama sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan konsep perlembagaan memberikan hak kepada orang Islam untuk kebebasan beragama selagi ia tidak bercanggah dengannya.

Susulan itu, pembentangan cadangan rang undang-udang pindaan berkenaan tidak sepatutnya dipolemikkan, katanya.

Beliau berkata tentangan dalam kalangan ahli politik bukan Islam mengenai cadangan pindaan itu haruslah ditangani dengan meningkatkan kefahaman mereka mengenai konsep meraikan kepelbagaian sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Dr Shamrahayu menarik perhatian bahawa rang undang-undang mengenai mahkamah syariah itu juga bukanlah kali pertama diperkenalkan.

"Ketika diperkenalkan pada 1965, ia mendapat banyak sokongan dan ketika pindaan kali pertama pada 1984 tidak pernah ada bantahan seperti yang dihadapi hari ini," katanya.

"Ketika 1965, denda adalah RM1,000 dan hanya selepas 20 tahun ia dipinda kepada RM3,000 namun persoalan mengenai pindaan itu tidak pernah timbul kerana ia tidak mengubah apa-apa bentuk jenis kesalahan kerana yang diubah cuma penambahan jumlah hukuman malah tidak mengacau orang bukan Islam," katanya. - Bernama


Perkasa cabar pemimpin MCA-MIC-Gerakan letak jawatan

Posted: 30 May 2016 12:35 AM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Dr Amini Amir AbdullahDr Amini Amir AbdullahPertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyatakan pendirian pertubuhan itu mengalukan sesiapa sahaja yang tidak hormat kepada hak orang Islam dan Islam sebagai Agama Persekutuan, mereka boleh meletak jawatan dalam kerajaan.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, Dr Amini Amir Abdullah berkata, tiga pemimpin utama parti komponen Barisan Nasional itu seharusnya tidak perlu campur tangan dalam isu umat Islam.

" Presiden MCA, Presiden Gerakan, MIC dan DAP harus berpegang kepada pepatah di mana bumi dipijak di situ langit di junjung.

"Perkasa menganggap tindakan Datuk Seri Liow dan Datuk Mah sebagai satu bentuk ugutan kepada Kerajaan Malaysia.

"Tindakan Kerajaan Malaysia adalah demi kebaikan sistem perundangan Islam di Malaysia dan kepentingan agama dan umat Islam.

"Hanya yang hormat kepada asas Perlembagaan Negara dan kaum majoriti perlu berada dalam kerajaan.

"Kenapa Datuk Seri Liow dan Datuk Mah cuba campurtangan dalam isu ini. Adakah mereka juga terikut-ikut dengan rentak DAP dan barisan pembangkang yang lain? Adakah terdapat konspirasi tertentu MCA, Gerakan dan DAP dalam isu ini? Kenapa pula ketika ini diberikan tekanan kepada Kerajaan Malaysia? Bukankah molek sekiranya ia dibincangkan dalam "kamar" sendiri tanpa ugutan meletakkan jawatan?,"soalnya dalam satu kenyataan.

Pertubuhan itu mengulas mengenai tindakan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MCA (merangkap Menteri Pengangkutan) dan Datuk Mah Siew Keong, Presiden Gerakan (merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang akan meletakkan jawatan dalam kabinet sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 Rang Undang2 Persendirian Untuk Meminda Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (2016) diluluskan.

Menurut Dr Amini lagi, sebarang ugutan kepada Kerajaan Malaysia atas perkara Islam merupakan penghinaan dan tidak hormat kepada kedaulatan YDP Agung sebagai Ketua Agama Islam dan Payong Negara serta tidak memahami kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

"Apakah hak Datuk Seri Liow dan Datuk Mah serta Presiden MIC untuk membantah RUU ini yang melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah dan penambahbaikan penghukuman?

"Datuk Seri Liow dan Datuk Mah tidak mempunya Locus Standi Untuk membantah RUU ini kerana ia hanya akan melibatkan umat Islam. Mereka seperti tidak kisah dan tidak mahu memahami bahawa RUU ini hanya melibatkan umat Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam," ujarnya.

Justeru Perkasa menyeru supaya parti-parti komponen BN menyokong RUU persendirian seperti yang telah dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini.

"Perkasa meminta agar MCA dan Gerakan tidak menjadi seperti barah dalam daging dalam isu RUU ini.

"Perkasa berpendapat bahawa pindaan ini tidak sama sekali menyentuh hak orang bukan Islam kerana ia hanya melibatkan permerkasaan kuasa kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang terdapat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"RUU juga merupakan cadangan bagi peningkatan hukuman bagi membolehkan Mahkamah Syariah diperluaskan yang kuasa lebih besar melebihi kuasa yang sedia ada. Sebagai contoh, jika RUU diluluskan, hukuman sebat boleh mencecah sehingga maksimum 100 kali sebatan.

"Perkasa berharap agar Datuk Seri Najib tidak akan berganjak dalam pendiriannya mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016." jelasnya.

Mastura tak sertai kempen bukan satu isu - Khairy

Posted: 30 May 2016 12:12 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA KANGSAR: Ketidakhadiran calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid semasa tempoh berkempen tidak harus dijadikan isu oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang.
 
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata ketidakhadiran calon dalam kempen PRK itu bukanlah kali pertama berlaku di negara ini.
 
Khairy mengambil contoh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, Selangor, M Manoharan yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 tetapi tidak berkempen kerana sedang menjalani tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak.
 
"Manoharan yang dalam ISA bukan sahaja boleh bertanding, malah menang ebagai ADUN," katanya ketika berucap pada program Pemuda Prihatin Kuala Kangsar .
 
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ketidakhadiran Mastura alam kempen PRK Kuala Kangsar kerana edah dan ia dibuat setelah mendapat asihat daripada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
 
"Mufti Perak beritahu hukum edah itu memang betul, beliau tidak boleh keluar rumah, tapi tidak dihalang untuk bertanding," kata Khairy.
 
Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura yang juga balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Kair-il Anuar Wan Ahmad dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.
 
Mastura, 55, menerusi tayangan video berkata beliau tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam hukum agama Islam apabila seseorang wanita kematian suami.
 
Selain itu, Khairy turut mengajak semua anggota Pemuda Umno dan BN supaya sama-sama membantu kemenangan Mastura dalam PRK Kuala Kangsar selain meningkatkan jumlah majoriti undi.
 
"Kemenangan ini penting untuk kita teruskan pembangunan di Kuala Kangsar, bawa perubahan sebagaimana yang menjadi hasrat Wan Khair-il Anuar," katanya.
 
Pada PRU13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
 
PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun depan berikutan kematian Wan Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
 
 

Rafizi serah maklumat kepada SPRM dakwaan rasuah kerajaan Selangor

Posted: 30 May 2016 12:09 AM PDT

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membuat laporan mengenai dakwaan rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Saya telah serahkan maklumat yang saya ada setakat ini mengenai aduan-aduan yang diberikan kepada saya bersabit dengan pentadbiran kerajaan Selangor dan individu tetentu.
 
"Saya tidak boleh memberikan maklumat secara terperinci kerana ia menyalahi undang-undang (kerana terikat dengan Akta SPRM).
 
"Apa yang saya harapkan kita perlu memberikan ruang kepada SPRM untuk jalankan siasatan tanpa diganggu oleh politik dan persepsi lain," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat SPRM di sini.
 
Beliau ditemani oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan dua anggota parlimen, iaitu Wong Chen (Kelana Jaya) dan G Manivannan (Kapar).
 
Rafizi membuat laporan tersebut selepas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan biro politik membuat keputusan membenarkan beliau berbuat demikian.
 
Susulan mesyuarat biro politik PKR, Wan Azizah mengarahkan Rafizi untuk mengemukakan semua bukti berhubung dakwaan permintaan wang dan perempuan untuk berurusan dengan kerajaan Selangor yang dibangkitkan sebelum ini kepada SPRM.
 
Terdahulu, Razfizi menyifatkan laporan yang dibuat ini adalah 'hadiah' terbaik kepada peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemimpin dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matalmat asal perjuangan reformasi.
 
Minggu lalu Rafizi dalam satu perbualan Whatsapp yang 'terbocor' mendedahkan beliau menerima aduan bahawa wujud permintaan habuan wang dan 'perempuan' ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.
 
Rafizi mengakui beliau menulis dalam ruang sembang berkumpulan aplikasi WhatsApp mengenai kejadian rasuah wang dan seks membabitkan kerajaan Selangor.
 
 

BELUM TERLAMBAT UNTUK MASTURA TARIK DIRI BAGI ELAKKAN BN KALAH DAN NAJIB TERUS DILEMAHKAN

Posted: 30 May 2016 12:06 AM PDT

shahbudindotcom


Berbanding pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN di Sungai Besar yang tidak menimbulkan banyak isu, kecuali kedudukannya yang sudah menjadi Adun sedikit dipertikaikan, tetapi keputusan mencalonkan Mastura Mohd Yazid untuk bertanding di Kuala Kangsar dilihat sebagai pemilihan terburuk sepanjang sejarah UMNO sejak ia ditubuhkan.

Bukan saja kedudukannya sebagai balu Wan Khairil Wan Ahmad yang baru meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak menjadi pertikaian kerana seolah-olah kerusi Ahli Parlimen merupakan harta warisan keluarga yang boleh difaraidkan, malah pemilihannya juga menggambarkan tiada yang layak di kalangan pimpinan UMNO bahagian Kuala Kangsar yang selama ini merekalah bersengkang mata dan banyak berkorban membawa obor perjuangan.

Lebih memburukkan lagi ialah kerana Mastura juga didapati ahli dan Ajk UMNO cawangan Chembong, dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.

Sudahlah pimpinan UMNO bahagian diketepikan, anak tempatan Kuala Kangsar dan anak kelahiran Perak juga nampaknya turut tidak dijadikan pertimbangan.

Semua ini memungkinkan berlakunya rasa tidak puas hati, sabotaj, memulaukan kempen, tidak turun mengundi dan sebagainya daripada kelompok UMNO sendiri.

Ditambah lagi kedudukan Mastura yang masih dalam edah dan tidak boleh keluar rumah untuk berkempen serta bertemu pengundi, pemilihan beliau sebagai calon benar-benar kelihatan cacat serta menjejaskan peluang untuk meraih kemenangan.

Sedikit sabotaj atau tidak turun mengundi daripada kelompok yang rapat dengan UMNO Bahagian Kuala Kangsar saja sudah memadai untuk memungkinkan BN kecundang kepada pihak lawan pada 18 Jun nanti, lebih-lebih lagi kemenangan pada 2013 lalu hanyalah 1,082 undi sahaja.

Kekalahan BN di Kuala Kangsar tidak dapat dielakkan akan memberi kesan buruk kepada imej Najib yang sudah sedia dibelit dengan pelbagai isu kebelakangan ini.

Najib sendiri diketahui amat mengharapkan kemenangan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, tidak saja untuk menjadi sedikit penawar bagi memulihkan imejnya, tetapi juga sebagai persediaan memacu persaingan dalam PRU 14 akan datang.

Malangnya, semua harapan Najib itu akan musnah jika BN kalah sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar atau di kedua-duanya.

Lebih mengaibkan jika kekalahan itu hanyalah disebabkan pemilihan calon yang tidak cermat dan tidak tepat sehingga timbul terlalu banyak isu yang akhirnya pengundi membuat keputusan tidak memberikan undi mereka.

Berdasarkan respon awal daripada beberapa pihak di Kuala Kangsar, isu utama di kalangan UMNO ialah berkaitan pemilihan calon. Isu-isu lain hampir tidak berbangkit sama sekali.

Ramai yang menolak dan tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura atas kedudukannya sebagai balu wakil rakyat terdahulu dan mereka mahukan anak tempatan atau sekurang-kurangnya orang Perak juga sebagai calon.

Pemilihannya sebagai calon yang pada awalnya dijangka mampu meningkatkan rasa simpati pengundi, kini beransur-ansur membesar dengan bayangan perasaan tidak puas hati, marah, kecewa dan luka sehingga harapan untuk menang semakin jauh daripada gapaian.

Kekalahan BN tentu saja akan menjadikan kedudukan Najib terus dilemahkan menjelang pilihanraya akan datang, sama ada melalui serangan pembangkang yang bergabung bersama Tun Mahathir atau dengan kemungkinan munculnya gerakan daripada dalam UMNO sendiri.

Dalam soal ini, Mastura harus ada pertimbangan yang rasional dan tidak membiarkan dirinya menjadi penyebab untuk menjadikan kedudukan seorang Perdana Menteri terus dilemahkan.

Jika dahulu beliau selalu menemani Wan Khairil untuk berkempen dan bertemu pengundi dengan tujuan bahawa kemenangan suaminya akan menambah-kukuhkan UMNO, Mastura kini sebaliknya mampu mengukuhkan UMNO dan kedudukan Najib serta  memberi lebih cahaya kepada kemenangan BN di Kuala Kangsar dengan segera menarik diri daripada bertanding sebelum penamaan calon pada 5 Jun depan.

Kembalikanlah segera watikah pencalonan yang sudah diterima dan biarlah UMNO Perak memutuskan semula calon baru yang lebih sesuai yang tidak lagi menyebabkan timbulnya isu edah, kesukaran berkempen sehingga terpaksa menggunakan kaedah multimedia, isu calon luar, jawatan wakil rakyat difaraidkan, rasa tidak puas hati pengundi, kemungkinan sabotaj di kalangan UMNO sendiri dan sebagainya.

Tanpa semua isu dan elemen negatif itu, calon BN yang baru nanti pasti lebih berpeluang untuk mengekalkan kerusi Kuala Kangsar, malah tidak mustahil dengan majoriti yang lebih baik lagi dan seterusnya mengelakkan nama Najib dipertaruhkan untuk lebih diaib serta dijatuhkan.

Berbeza dengan Budiman yang boleh meneruskan perjuangannya di Sungai Besar kerana tidak banyak isu yang timbul berkaitan dirinya yang boleh menjejaskan harapan mencapai kemenangan, Mastura sebaik-baiknya harus melakukan sedikit pengorbanan demi masa depan UMNO dan Najib.

Inilah masanya untuk membuktikan "Love PM" bukan sekadar kata-kata di depan Najib semata-mata.





MP jelaskan kekeliruan usul dibaca Hadi

Posted: 30 May 2016 12:01 AM PDT

 
 
Khamis lepas menyaksikan ahli parlimen pembangkang berang selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membawa cadangan untuk mengemukakan usul dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kekeliruan timbul selepas Hadi bangun dan membaca rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 seolah-olah ia adalah bacaan pertama rang undang-undang.

Bagaimanapun Ahli Parlimen PKR N Surendran menjelaskan bahawa ia bukan rang undang-undang, sebaliknya usul bagi mendapatkan kebenaran agar sebuah rang undang-undang persendirian dibawa ke hadapan.

"Semua media melaporkan bahawa rang undang-undang itu keluar - rang undang-undang itu tidak pernah keluar. Ia adalah satu usul, bukan rang undang-undang," kata Surendran kepada Malaysiakini.

Memetik Peraturan Mesyuarat 49, Surendran berkata rang undang-undang persendirian hanya boleh dibawa jika seorang ahli parlimen mendapat kebenaran dewan.

Hadi, katanya, telah memfailkan usul untuk mendapat kebenaran dewan bagi membawa rang undang-undang ahli persendirian itu.

Satu lagi kekeliruan mengenai perkara itu mungkin disebabkan perbezaan prosedur antara rang undang-undang kerajaan dan rang undang-undang persendirian di mana ia tidak perlu meminta izin sebelum dibawa ke bacaan kali pertama.

Dalam kejadian Khamis lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Hadi menjelaskan rang undang-undang itu dan Hadi kemudian meminta usul itu ditangguhkan.

Oleh itu, usul Hadi untuk mendapatkan kebenaran dewan bagi membawa rang undang-undang persendirian itu belum diputuskan kerana usul itu masih belum diluluskan.

"Ini bermakna pada sesi parlimen akan datang, apa yang perlu diputuskan pertama adalah usul untuk membawa rang undang-undang persendirian.

"Tiada rang undang-undang persendirian sehingga usul itu ditentukan. Jadi Hadi perlu membentangkan usul yang sama sekali lagi pada sesi akan datang.

"Tidak ada bacaan pertama atau kedua kerana usul bagi kebenaran belum diluluskan lagi," kata Surendran

Langkawi bakal jadi pulau pelancongan kosmetik

Posted: 29 May 2016 11:58 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Tanah berkeluasan 243 hektar di Kampung Ulu Melaka telah dikenal pasti sebagai lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan, kilang, pusat jualan serta pusat penanaman herba.


Datuk-Mohd-Rawi-Abd-Hamid


LANGKAWI: Langkawi bakal dijenamakan sebagai destinasi pelancongan kosmetik menerusi pembangunan Langkawi Cosmetic Island membabitkan pelaburan RM200 juta yang diilhamkan menyerupai Loire Valley di Perancis bagi menarik minat lebih ramai pelancong berpendapatan tinggi ke pulau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, setakat ini tanah berkeluasan 243 hektar di Kampung Ulu Melaka telah dikenal pasti sebagai lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan, kilang, pusat jualan serta pusat penanaman herba.

Melalui pewujudan pusat itu katanya, pengeluar pelbagai jenama kosmetik terkemuka dunia akan membuka cawangan dan menghasilkan produk mereka sepenuhnya di Langkawi bermula daripada proses mendapatkan bahan mentah seperti herba dan bunga sehingga ke produk akhir.

"Kami mahu wujudkan tempat memproses minyak wangi dan kosmetik kerana mereka sedar kebanyakan (minyak wangi dan kosmetik) menggunakan herba dari dunia tropika dan Langkawi oleh kerana ada sinergi pelancongan jadi ia adalah tempat terbaik (untuk mewujudkan pusat kosmetik)," katanya selepas menghadiri perasmian Hotel St Regis semalam.

Mohd Rawi yang juga ADUN Ayer Hangat berkata, lokasi itu dipilih berdasarkan nasihat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama BioTech Corporation.

"Ia juga akan mewujudkan aktiviti ekonomi hiliran memandangkan harga getah jatuh. Kami boleh bekerjasama dengan pertubuhan peladang dan petani untuk mereka usahakan tanaman bahan mentah ini (herba dan bunga) dan kalau boleh bukan saja di Langkawi tapi di seluruh Kedah seperti Padang Terap dan Baling," katanya.

Dalam ucapan ketika menghadiri perasmian Hotel St Regis semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebuah pusat kosmetik akan dibangunkan di Langkawi dan beliau mahu perancangan itu dilaksanakan dengan cara kreatif.

Kira-kira 5,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dan dalam tempoh lima tahun kata Mohd Rawi, ia bakal menjana pendapatan sebanyak RM500 juta, selain turut merancang membina sebuah institut pengajian minyak wangi dan kosmetik.

Antara tanaman yang telah dikenal pasti sesuai ditanam di Langkawi ialah bunga kemboja, melur, ros, cempaka, kenanga, vetiver grass dan setakat ini syarikat produk kesihatan tambahan, Biolpha merupakan syarikat pertama yang mengesahkan akan membuka cawangan di pusat kosmetik itu.– BERNAMA

1 lawan 10, tapak tangan penjenayah putus ditetak mangsa

Posted: 29 May 2016 11:55 PM PDT

 
Tiga kenderaan tiba-tiba mengepung kereta mangsa sebelum 10 penjenayah muncul dan merompak beliau.


machete


PETALING JAYA: Seorang bekas komando berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rompakan 10 penjenayah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Cameron Highlands kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada malam Sabtu lalu ketika John Bah Tuin melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan, dari Mensun ke Ringlet.

Aktivis hak asasi manusia, Siti Kasim berkongsi detik-detik cemas John di Facebooknya dengan memaklumkan ketika kejadian John memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk membuat panggilan.

"Tiba-tiba tiga kenderaan mengepung keretanya. Kumpulan lelaki itu menyuruh beliau keluar dari kereta dan cuba merompaknya.

"Malang buat perompak-perompak itu, mereka tersilap orang.

"John ialah seorang lelaki sasa dan kuat," tulisnya di Facebook beliau.

John yang merupakan Orang Asli dan seorang pengusaha rumah inap desa sempat mencapai parang yang diletakkan di tepi pintu kereta dan segera menghayun ke arah penjenayah itu menyebabkan tapak tangan seorang penjenayah terbabit terputus.

Bagaimanapun beliau cedera di bahagian kepala serta badan kerana ada di kalangan penjenayah itu yang bersenjatakan topi keledar dan pisau kecil.

Mangsa kemudiannya menghubungi rakan beliau sebelum pulang ke rumah. Beliau membuat laporan polis keesokan harinya.

Selepas menceritakan detik-detik cemas itu kepada rakannya, mereka bertindak memuat naik ke laman media sosial sehingga menjadi perhatian ramai.

CCTV di KL lebih banyak berbanding Australia

Posted: 29 May 2016 11:49 PM PDT

DBKL kini menumpukan kepada usaha penambahbaikan infrastruktur di sekitar Kuala Lumpur bagi mengekang jenayah ragut berleluasa.


datuk-bandar-KL


KUALA LUMPUR: Kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Kuala Lumpur tidak akan ditambah lagi walaupun jenayah ragut terus berlaku.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata jumlah CCTV di ibu kota kini sudah terlalu banyak dan melebihi bilangan yang ada di negara Australia.

"CCTV sudah banyak, tidak tambah lagi. Sudah lebih 1,000, lebih banyak dari Australia," katanya pada sidang media di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan Prasarana Malaysia Berhad, hari ini.

Amin berkata pihaknya kini lebih tertumpu kepada usaha penambahbaikan infrastruktur yang ada di sekitar Kuala Lumpur bagi mengekang jenayah ragut daripada terus berleluasa.

"Kita buat lampu jalan, tempat yang gelap kita lampukan. Kita buat cermin, kita buat 'divider'. Kita bekerjasama dengan polis dan jabatan perancangan bandar.

"Mana-mana kawasan panas yang ada jenayah itu, DBKL akan menambah baik infrastruktur," katanya.
Beliau berkata setakat ini lebih 1,000 CCTV dipasang dengan 300 daripadanya disambungkan terus kepada polis.

Sebelum ini, New Straits Times melaporkan dua bulan pertama pada tahun ini, sebanyak 194 kes ragut berlaku di Kuala Lumpur. Jumlah itu melebihi tiga kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu hanya 63 kes saja.

Pada 2014, Kuala Lumpur merekodkan 593 kes, manakala Selangor mencatat 845 kes.

Manakala, pada tahun lalu jumlah kes meningkat daripada 604 kes kepada 950 kes.

Pembaziran makanan di Malaysia sangat tinggi

Posted: 29 May 2016 11:46 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY
 
 
Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia.


BAZIR-MAKANAN


KUALA LUMPUR: Statistik menunjukkan bahawa jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia.

Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Hazilah Gumri berkata kajian itu juga mendapati bahawa isi rumah yang terdiri daripada lima anggota membelanjakan secara purata RM900 sebulan untuk makanan dan bahawa satu perempat daripadanya terbuang ketika penyediaan, memasak dan penggunaan.

"Ini bermakna kira-kira RM225 (benar-benar) dibuang ke dalam tong sampah setiap bulan, yang jumlahnya mencapai RM2,700 setahun," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "How Consumers Can Benefit From Reducing Food Waste" (Bagaimana Pengguna Boleh Mendapat Faedah Dengan Mengurangkan Sisa Makanan) di forum MYSaveFood baru-baru ini.

Forum sehari itu dianjurkan oleh sekretariat MYSaveFood di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek.

Hazilah berkata walaupun 80 peratus daripada sisa makanan itu dianggap "sesuatu yang tidak dapat dielakkan", 20 peratus adalah "yang boleh dielakkan".

SWCorp menyelia sistem pengurusan sisa pepejal di Kuala Lumpur, Putrajaya, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, kuantiti sisa makanan biasanya didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.

"Ia berlaku semasa (bulan) Ramadan, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Semasa perayaan, orang ramai cenderung memasak atau menempah banyak makanan untuk tetamu mereka. Akhirnya, satu pertiga atau satu perempat daripada makanan itu

terbazir," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian forum tersebut.

Kurangkan sisa makanan



Hazilah berkata bagi mengurangkan sisa makanan, isi rumah perlu memastikan untuk hanya membeli ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit sekadar memenuhi keperluan mereka.
"Kemudian, masak makanan secukupnya setiap hari dan jika terdapat sisa, simpanlah sebaiknya supaya boleh dimakan kemudian.

Sebaliknya, lebihan makanan itu boleh diberikan kepada kepada jiran. Atau boleh juga diberi makan haiwan peliharaan," katanya, dan menambah kata bahawa rakyat Malaysia juga perlu belajar membuat kompos daripada sisa makanan dan menggunakannya sebagai baja untuk tanaman mereka.

Tambah beliau, dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu untuk makanan, sekali gus pembaziran makanan dapat dikurangkan, isi rumah bukan sahaja boleh menjimatkan wang tetapi juga mengurangkan kesan karbon dan melindungi alam sekitar melalui pelepasan metana yang lebih rendah daripada tapak pelupusan.

Hazilah berkata usaha itu juga boleh membantu menjimatkan tenaga dan sumber serta mencegah pencemaran alam sekitar yang berkaitan dengan proses pembuatan dan pengangkutan yang semakin meningkat malah, mengumpul sisa makanan dan kemudian menimbusnya.

"Isi rumah boleh membantu masyarakat dengan menderma semua makanan tidak disentuh bagi mengelakkan pembaziran dengan memberikannya kepada golongan yang memerlukan," tambah beliau.

Kehilangan makanan membimbangkan

Menyentuh isu kehilangan makanan – merujuk kepada makanan khusus untuk manusia yang terbazir ketika pengeluaran, selepas penuaian, pemprosesan dan pengedaran – Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa MARDI Dr Ainu Husna MS Suhaimi, yang turut berucap di forum itu, berkata jumlah yang mengejutkan iaitu 1.3 bilion tan metrik makanan – bernilai RM4.4 trilion – hilang atau terbazir bersama-sama sistem makanan setiap tahun di seluruh dunia.

"Ia (makanan hilang) merangkumi satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan dan cukup untuk memberi makan tiga bilion orang," katanya, sambil menambah bahawa setiap tahun, Malaysia kehilangan kira-kira 28.5 peratus daripada beras yang dituai, bernilai RM918 juta.

"Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran negara ini pula, dianggarkan 20 hingga 50 peratus hilang setiap tahun, ketika pasca penuaian."

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata jumlah kehilangan makanan dan sisa makanan Malaysia adalah "membimbangkan" dan telah menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit untuk tujuan pengurusan sisa.

Bercakap pada majlis perasmian forum itu, beliau berkata dengan mengambil kira magnitud dan kerumitan masalah kehilangan makanan dan bahan buangan, kerjasama dan perkongsian daripada pelbagai pihak amat diperlukan untuk mencapai hasil yang berkesan.

Sehubungan itu, katanya adalah penting agar semua pihak terlibat untuk meningkatkan tahap kesedaran dan mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan.
-Bernama

PRK Kuala Kangsar: Strategi ‘kempen tanpa calon’ BN

Posted: 29 May 2016 11:41 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY


Strategi itu dibuat dengan mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam yang berkaitan tempoh edah seseorang wanita yang kematian suami.


zahid-hamidi-Datin-Mastura-Mohd-Yazid,


TOKYO: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan strategi 'kempen tanpa calon' bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar susulan calonnya, Datin Mastura Mohd Yazid, yang masih berada dalam tempoh edah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata strategi yang julung kali diguna pakai jentera BN semenjak parti itu ditubuhkan, telah mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam yang berkaitan tempoh edah seseorang wanita yang kematian suami.

"UMNO mengadakan perbincangan dengan beberapa ulama, termasuk mereka yang menganggotai jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, selain turut berbincang dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, bagi mendapatkan pandangan dan pendapat," katanya kepada wartawan Malaysia di sini bagi menjernihkan beberapa pendapat yang berbeza tentang kedudukan calon BN dari segi kedudukan edah dalam hukum Islam.

Beliau berkata beberapa kaedah telah dicari untuk memperkenalkan Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran, selain melalui komunikasi tanpa lisan.

"Yakinlah, kaedah ini telah kami (BN) fikirkan bagi menghormati hukum yang telah ditentukan dan diharap pengundi di Kuala Kangsar yang hampir 60 peratus beragama Islam memahami situasi itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata strategi kempen tanpa calon itu telah dijelaskan kepada pemimpin komponen parti BN yang bukan beragama Islam di Kuala Kangsar supaya mereka dapat menjelaskan isu berkenaan kepada para pengundi.

Beliau berkata Mastura akan berada di rumahnya sepanjang kempen diadakan kerana masih dalam tempoh edah.

Ditanya mengenai penerimaan Mastura oleh pengundi di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad Zahid berkata calon BN itu mempunyai kelebihan tersendiri yang berpengalaman luas dalam bidang politik negara dan banyak bergaul dengan pengundi kawasan itu semasa suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan dari 2004.-Bernama

Hudud: Ultra kiasu bangkit bersatu, mana orang Melayu?

Posted: 29 May 2016 11:38 PM PDT

 
Ridhuan Tee berkata jika umat Islam tidak berhak ke atas cara hidup dan undang-undang, tiada lagi yang tinggal kepada umat Islam hari ini.


ridhuan-tee-hudud


PETALING JAYA: Penceramah kontroversi Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menempelak tindakan berdiam diri pemimpin Melayu dan Islam yang tidak melawan golongan membantah pelaksanaan hudud di negara ini.

Beliau berkata hak orang Melayu dan Islam seharusnya dipertahankan daripada dihuru-harakan oleh puak yang digelar 'ultra kiasu' dalam negara ini.

"Jika umat Islam tidak berhak ke atas cara hidup dan undang-undang, apakah lagi yang tinggal kepada umat Islam hari ini? Sudahlah kekayaan ekonomi dibolot oleh orang lain. Sampai ke peringkat nak dapatkan cara hidup sendiri pun tidak dibenarkan.

"Apakah mereka sudah lupa negara ini berasal-usulkan kepada ketuanan Melayu dan Islam? Peliknya, dalam kalangan kita sebagai umat Islam, tidak ada yang berani melawan ultra kiasu. Ke mana hilangnya semua telur itu," tulisnya dalam kolumnya di Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen baru-baru ini ditentang beberapa pihak.

Bukan saja DAP tidak bersetuju dengan pembentangan RUU itu, malah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam turut mengugut meletakkan jawatan daripada Kabinet jika RUU itu diluluskan di Parlimen.

Sementara itu, Ridhuan juga menggesa pihak yang menentang pelaksanaan RUU itu membuktikan jika ada kes menunjukkan orang Islam menzalimi orang bukan Islam.

"Kenapa kita boleh menerima cara hidup dan undang-undang barat serta komunis tetapi begitu memandang hina kepada Islam?

"Pernahkah umat Islam atau pemerintah Islam mengambil hak bukan Islam selama ini? Buktikan kepada saya berapa kes orang Islam menzalimi bukan Islam?," katanya.

Katanya, kerajaan Malaysia terlalu baik kerana tidak bertindak seperti China yang mengharamkan lima media sosial seperti Google, Instragam, Twitter, Facebook dan Snapchat bagi mengekang pengaruh Barat daripada merosakkan mereka.

"Kenapa ultra kiasu tidak bantah kerajaan negara China bertindak sedemikian. Sekiranya, Malaysia melaksanakan sedemikian, sudah tentu akan riuh-rendah atau roboh Parlimen dengan hiruk-pikuk suara ultra kiasu ini," katanya.

RUU itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir yang akan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibentangkan dalam sidang itu.

Hadi kemudiannya memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober nanti.

Jika RUU itu diberi lampu hijau daripada Dewan Rakyat, ia akan membuka laluan kepada PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Tiada ulasan: