Jumaat, 27 Mei 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Terima lebih AS$1 bilion dalam akaun peribadi, sudahkah Bank Negara siasat Najib?

Posted: 27 May 2016 12:55 AM PDT

Tony Pua 3
Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, hari ini mempersoal sama ada Bank Negara telah menjalankan siasatan ke atas wang berjumlah lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kemungkinan berlakunya pengubahan wang haram.

Beliau mengajukan pertanyaan itu berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara Switzerland telah memulakan prosiding jenayah terhadap Bank BSI SA kerana gagal mencegah penyelewengan dan kesalahan rasuah membabitkan pegawai kerajaan berkaitan dengan 1MDB.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa kewangan Singapura telah menutup operasi Bank BSI di pulau itu atas sebab "pelanggaran serius keperluan anti pengubahan wang haram, pengawasan operasi pengurusan bank yang lemah dan salah laku oleh kakitangan bank."

"Apa yang Bank Negara lakukan bagi melindungi integriti sistem kewangan kita? Di negara lain, semua syarikat yang berurusan dengan 1MDB mula dikenakan tindakan.

"Sebelum ini, Bank Negara menggembar-gemburkan bagaimana 1MDB memindahkan wang berjumlah AS$1.83 bilion secara haram ke luar negara dan menuntut agar syarikat itu mengembalikan wang tersebut dengan segera.

"Namun, akhirnya 1MDB hanya perlu membayar sedikit denda yang tidak dinyatakan jumlahnya. Malah, hari ini, Bank Negara membenarkan dirinya dipergunakan oleh individu-individu yang mungkin melakukan pengubahan wang haram dengan mengatakan kes 1MDB ditutup," katanya.

Menurut Tony, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Puad Zarkashi baru-baru ini memberitahu pelajar-pelajar Malaysia di Australia bahawa Najib telah berbincang dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan menerima kelulusan untuk membawa masuk wang itu.

"Jadi, soalan saya untuk Bank Negara ialah, benarkah Najib mendapat kelulusan untuk membawa masuk wang sebanyak itu dan benarkah Bank Negara mengetahui sumber dana tersebut? Jika ya, ia telah mencalarkan reputasi negara," katanya.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menegaskan, walaupun Najib dan sekutunya dalam UMNO-BN mendakwa wang itu merupakan 'derma' dari kerabat Arab Saudi, ia tetap tidak membebaskan Najib dari skop Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2003.

Katanya, ia berikutan 'derma' tersebut mungkin berasal dari sumber tidak sah atau haram melalui satu mekanisme pengubahan wang haram yang kompleks.

"Oleh itu, Bank Negara perlu menjelaskan sama ada mereka telah menyiasat Najib atau belum. Berdiam diri bukanlah satu pilihan," ujarnya.

Jelasnya lagi, kegagalan Bank Negara untuk menyiasat atau mengesahkan perkara itu membuktikan bahawa agensi tersebut telah mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi integriti sistem kewangan di negara ini. – Roketkini.com

Usul ‘hudud’ bakal jadi bahan kempen burukkan Pakatan Harapan

Posted: 27 May 2016 12:53 AM PDT

ariff (1)
Oleh Hafiz Zainuddin dan Fatih Hasan Nordin


KUALA LUMPUR, 27 MEI: Walaupun PAS boleh menafikan apa yang diusulkan presidennya di Parlimen semalam adalah 'hudud', ia dijangka menjadi bahan kempen kepada parti Islamis itu untuk memburukkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Ariff Sabri Aziz, berkata dalam kedua-dua PRK itu, kempennya akan berkisar tentang PAS sebagai pejuang hudud manakala pula DAP pula digambarkan sebagai penentang hudud.

Sehubungan itu, jelasnya, mana-mana calon Pakatan Harapan yang bersahabat dengan DAP akan dituduh sebagai penentang hudud.

"Itu saja pemimpin mereka nak kata dan sudah tentu dilihat cuba menjejaskan calon Pakatan Harapan, khususnya jika Parti Amanah Negara yang bertanding," katanya kepada Roketkini.

Malah, Ariff yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pahang berkata, usul 'hudud' itu yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga bertentangan dengan kerjasama PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang menyatakan hudud tidak sesuai lagi dilaksanakan di Malaysia yang mempunyai pelbagai agama dan kaum.

"Saya hairan bagaimana Hadi boleh buat perkara ini, sedangkan sebelum ini dia bermuafakat dengan Ikatan, dan masa itu beri komitmen tidak akan usulkan 'hudud'. Macam mana kita boleh percaya sikap yang macam ini? Mula-mula cakap lain, lepas itu cakap lain.

"Jadi kita nak tengok apa kata Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Sebelum ini Naib Presiden Ikatan, Datuk Tony Looi, pernah kata dia akan keluar dari parti jika PAS bentangkan usul hudud. Bagaimana dengan Kadir?" soal beliau.

Selain bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, tindakan Hadi membawa usul rang undang-undang persendirian berkaitan Mahkamah Syariah itu – walaupun umum melihatnya sebagai 'hudud' – lebih bermotifkan politik.

Ariff berpendapat tindakan itu juga merupakan ujikaji PAS terhadap penerimaan Ahli-Ahli Parlimen lain, sama ada pembangkang atau Barisan Nasional, kepada usul parti tersebut berhubung undang-undang jenayah Islam.

Malaysiakini telah melaporkan bahawa Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, menyatakan, PAS akan membawa isu 'hudud' itu sebagai bahan kempen dalam dua pilihanraya kecil tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Parlimen semalam: "Kita akan bawa benda ini (isu rang undang-undang persendirian) dalam pilihanraya kecil nanti."

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari, pula mempersoalkan niat Hadi yang enggan membahaskan usul yang dibawanya sendiri, sebaliknya menangguhkannya hingga Oktober depan, sedangkan selama ini PAS bersungguh-sungguh membawakan usul tersebut.

Semalam juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan DAP tidak akan bersetuju dengan apa juga pindaan yang menjejaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial, termasuk usul PAS yang melibatkan RUU persendirian berkaitan Mahkamah Syariah.

Beliau berkata keputusan itu diambil bukan kerana sentimen agama tetapi demi menjaga hak setiap rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kami tegaskan ini bukan suatu tentangan terhadap agama Islam atau Mahkamah Syariah tetapi untuk menegakkan kedudukan Perlembagaan sebagai perundangan tertinggi negara," katanya – Roketkini.com

Enggan bayar pampasan mangsa banjir kilat, DBKL tak bertanggungjawab

Posted: 27 May 2016 12:50 AM PDT

lipeng



KUALA LUMPUR: Walaupun lebih seratus kenderaan mengalami kerosakan akibat banjir kilat di jalan raya ibu kota pada 12 Mei lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan memberi apa-apa pampasan kepada pemilik kenderaan yang terlibat.

Menyifatkan tindakan DBKL itu amat tidak bertanggungjawab, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, berkata seperti mangsa bencana alam yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab membantu semua individu yang mengalami kerugian disebabkan banjir kilat itu.

"Kita tahu bahawa kerajaan ada menyumbang bantuan wang, makanan dan sebagainya kepada mangsa banjir atau mana-mana bencana alam sebelum ini. Jadi, saya tidak faham mengapa lebih seratus pemilik kenderaan itu dikecualikan.

"Ia jelas membuktikan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan tidak ikhlas dan tidak berperikemanusiaan. Semua pemilik kenderaan itu juga perlu dibantu seperti mangsa-mangsa yang lain," katanya kepada Roketkini hari ini.

Hujan lebat yang bermula kira-kira lewat petang di ibu kota pada 12 Mei lalu telah menyebabkan banjir dan menjejaskan empat jalan utama, iaitu Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu.

Kejadian itu mengakibatkan lebih seratus kenderaan ditenggelami air dan mengalami kerosakan teruk di hadapan kompleks Istana Negara serta menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa ekoran banyak kenderaan terkandas di tengah-tengah jalan raya.

Namun, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan mengeluarkan kenyataan bahawa DBKL tidak akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku atas alasan "ia tindakan Tuhan dan DBKL tidak mengawal hujan dan angin."

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut menegaskan, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap bencana tersebut kerana pembangunan di ibu kota yang tidak terkawal serta kurang pemantauan merupakan antara punca ia berlaku.

"Memang hujan pada hari tersebut luar biasa lebat, tetapi saya percaya pembinaan tak terkawal bangunan pencakar langit, projek MRT atau kerja pelebaran terowong Jalan Duta ada menyumbang kepada berlakunya banjir itu.

"Malah, kos memberi pampasan kepada seratus pemilik kenderaan itu tidaklah besar mana, jadi saya kecewa mengapa kerajaan enggan membayarnya kepada mangsa.

"Sedangkan, pegawai tinggi kerajaan boleh pula dihantar ke luar negara menaiki jet mewah dan dapat menginap di hotel berkelas lima bintang yang menelan berjuta-juta ringgit," katanya. – Roketkini.com



Polis kerah 107 anggota buru suspek kes samun di Kajang

Posted: 27 May 2016 12:45 AM PDT

MALAYSIAKINI


Polis mengerahkan sejumlah 107 pegawai dan anggota bagi memburu seorang penjenayah yang melarikan diri selepas empat rakannya daripada satu kumpulan samun ditembak mati berhampiran Plaza Tol Sungai Long, semalam.
  
Ketua Polis Daerah Kajang ACP, Othman Nanyan berkata pihaknya menggunakan pelbagai elemen penyiasatan bagi mengesan suspek terbabit yang dipercayai mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.
  
Lima individu cuba melakukan samun di sebuah rumah di Kajang pagi semalam namun gagal sebelum empat daripada mereka ditembak mati di Sungai Sekamat berhampiran Plaza Tol Sungai Long, Kajang.
  
"Seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri ketika insiden tembakan berlaku dan ketika ini kita sedang mengesan suspek berkenaan yang mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam.
  
Katanya, ekoran kecederaan parah akibat tembakan, beliau percaya suspek tidak mampu melarikan diri jauh dan akan dikesan dalam masa terdekat.

Othman berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti empat suspek yang ditembak mati tersebut berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka.
  
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.
  
Dalam pada itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai bergerak aktif melakukan kegiatan jenayah samun berkumpulan dan bersenjata sekitar daerah itu sejak awal tahun ini.
  
"Setakat ini 20 kes samun pecah rumah di sekitar Kajang dilaporkan iaitu sebanyak 14 kes di Kajang, Beranang (3), Semenyih (2) dan satu kes di Batu 9.

"Kalau dilihat secara keseluruhan pada lima bulan pertama tahun ini kes samun pecah rumah di kawasan ini meningkat berbanding sebelum ini," katanya sambil menambah polis telah mengenal pasti kawasan-kawasan 'panas' yang mungkin menjadi sasaran penjenayah.

Katanya, terdapat 15 kawasan 'panas' yang kini diberi perhatian polis antaranya kawasan perumahan baharu di Bandar Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Saujana Impian dan Country Height.
  
Othman berkata modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyasarkan rumah-rumah tertentu yang telah dikenal pasti dan akan bertindak bermula pada lewat tengah malam.
  
"Suspek akan masuk secara paksaan iaitu dengan mengumpil  besi jeriji  pintu dan menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu rumah mangsa dan bertindak mengikat penghuni rumah sebelum menggeledah rumah terbabit," katanya.
  
Bagi mengekang jenayah itu, Othman meminta orang ramai agar segera melaporkan kepada polis jika ada sebarang pergerakan yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka terutama pada waktu malam.
- Bernama


Tanpa harga lantai getah, hidup penoreh tambah merana

Posted: 27 May 2016 12:41 AM PDT

AHMAD DAIE ISMAIL
 
 
IMBAS KEMBALI... Demonstrasi penoreh getah Baling menuntut kuatkuasa harga lantai getah sekerap.IMBAS KEMBALI... Demonstrasi penoreh getah Baling menuntut kuatkuasa harga lantai getah sekerap.

Kerajaan perlu menyegerakan tuntutan rakyat agar harga lantai RM3.50 sekilogram sekerap dilaksanakan bagi meringankan bebanan rakyat di kampung-kampung yang sedang menderita dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Malah ada penduduk menyatakan harga tersebut belum memadai jika dibandingkan dengan perbelanjaan dapur dan perbelanjaan harian yang tidak stabil sekarang ini.

"Kerajaan perlu tunaikan segera permintaan ini sesuai dgn keadaan ekonomi sekarang terutama yang melibatkan orang kampung," kata Zilkifli Hanafi, 55, penoreh di Batu Hitam berasal dari pekan Kuala Nerang dan merupakan seorang pesara tentera.

Ismail IbrahimIsmail IbrahimBagi Ismail Ibrahim, 86, harga lantai ini perlu dilaksanakan secepat mungkin sebagai satu usaha untuk mengeluarkan golongan penoreh dari kelompok kemiskinan tegar.

Manakala Jamaluddin Jaafar, 48, juga pesara tentera beranggapan nilai RM3.50 itu belum memadai.

"Kerajaan sepatutnya meletakkan RM5.00 sebagai harga lantai sesuai dengan nilai semasa bagi melepaskan rakyat dari paras miskin," ujarnya.

Tambah Jamaluddin, jika dibandingkan harga ikan kembung sekitar RM7.00 sekilogram, manakala beras 5kg berharga RM13.00, keadaan ini sudah tentu tiada keseimbangan antara pendapatan dengan kos sara hidup harian rakyat.
   
Justeru itu tambah beliau, kerajaan perlu segera menetapkan harga lantai getah untuk membantu rakyat.

Penoreh dari kampung Seberang Padang Sanai, Mohd Sirajuddin, 54, bersetuju supaya kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram.

Menurutnya, harga getah sekerap RM2.20 sekilogram menyukarkan penoreh menyara hidup memandangkan harga barangan dan pekhidmatan semakin mahal.

"Sebelum ini kemarau keras susu getah berkurangan, sekarang pula musim hujan, getah tidak boleh ditoreh, ertinya pendapatan rakyat sentiasa berkurangan," katanya.
   
"Rakyat susah yang amat-amat," keluh seorang peniaga kedai runcit dari Kampung Ulu, Azli Alias, 41.
   
Mohd SirajuddinMohd SirajuddinMenurutnya, kerajaan perlu menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM5 sekilogram bagi membantu penoreh dan pekebun kecil getah.

"Dulu pemimpin BN kata barang makanan tiada GST tapi sebenarnya ada. Ini membuktikan kerajaan sekadar berbohong untuk mengaburi mata rakyat semata-mata," kesal Azli.
   
Seorang penoreh, Mohd. Aris, 39, berpendapat dengan menetapkan haga lantai getah sekerap kepada RM5 sekilogram akan memberi sedikit nafas  kepada penoreh.
  
Walaupun kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan melaksanakan mekanisme penetapan harga di ladang, ianya belum mencukupi.

Usaha memperkukuhkan mekanisme penentuan harga getah melalui Panel Penasihat Harga Getah juga tidak banyak membantu pekebun kecil dan penoreh.
  
Ini kerana sistem yang dilaksanakan tidak menyeluruh dan tidak menepati sasaran sebenar iaitu penoreh memandangkan tidak semua penoreh menjadi pemilik kebun.
   
"Sikaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana sebab belanja dan pendapatan tak seimbang terutama di musim hujan," kata peniaga air tebu, Abu Seman Ismail, 46, seperti dilapor keluaran terbaru akhbar Amanah.
   
Harga sekerap yang tidak stabil turut menjejaskan pendapatan peniaga kecil kerana pelanggan mereka daripada kalangan penoreh terpaksa berhemah dalam berbelanja.
Ini lebih dirasai terutama ketika hampir bulan Ramadan dan hari raya yang memerlukan perbelanjaan keperluan dapur yang lebih besar.
   
Sulaiman IbrahimSulaiman IbrahimSebelum ini rakyat Kedah telah mengadakan beberapa siri demonstrasi derita rakyat di Baling dan Sik bagi menuntut kerajaan menetapkan harga lantai sekerap kepada RM3.50 sekilogram.
   
Sementara itu Pengarah Biro Tanah dan Luar Bandar AMANAH Kedah merangkap Ketua AMANAH Kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim turut berharap kerajaan manunaikan segera tuntutan rakyat bawahan ini.
   
Menurutnya lagi, jika kerajaan enggan menetapkan harga lantai getah, AMANAH akan terus membuat desakan.
   
"AMANAH akan menyusun demontrasi tuntutan harga lantai ini bagi membawa suara rakyat bawahan sehingga kerajaan membuat satu penyelarasan bagi harga getah di negara ini," tegas Sulaiman.

Tapak karnival hari Peladang Kedah ditutup akibat ribut

Posted: 26 May 2016 09:58 PM PDT

MALAYSIAKINI


Tapak Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah di Taman Jubli Emas di Alor Setar terpaksa ditutup buat sementara malam tadi apabila banyak khemah rosak akibat dilanda ribut petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata penganjur kini membuat taksiran jumlah kerugian serta khemah yang terlibat dalam kejadian ribut pada pukul 6 petang itu selain menjalankan kerja pembaikan.
  
Katanya, pameran veterinar di kawasan ternakan ditutup serta merta akibat terjejas teruk manakala pameran lain akan terus beroperasi seperti biasa bermula pukul 10 pagi ini.
"Kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku," katanya dalam kenyataan malam tadi.
  
Suraya yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa Induk sambutan itu berkata khemah jualan tanaman landskap yang rosak akan diganti dengan khemah baru manakala peniaga yang terlibat akan dipindahkan ke khemah baru bermula hari ini.

Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah berlangsung semalam sehingga 29 Mei ini dari pukul 10 pagi hingga 10 malam melibatkan pameran, jualan tanaman landskap, jualan makanan dan pameran veterinar.- Bernama


PRK: Fokus kempen mungkin sasar pengundi Cina

Posted: 26 May 2016 09:57 PM PDT

Kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang bakal menyaksikan pilihan raya kecil pada 18 Jun ini mungkin merupakan  kerusi majoriti pengundi Melayu.

Namun bilangan pengundi Cina di situ adalah signifikan - terutamanya di Sungai Besar, di mana terdapat lebih 14,000 pengundi Cina.

Dengan sokongan Cina mungkin menjadi 'penentu' di kedua-dua pilihan raya kecil itu, maka BN dan pembangkang masing-masing mendakwa mempunyai kelebihan dalam meraih undi masyarakat Cina.

Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke menyuarakan keyakinan bahawa sokongan kaum Cina tidak akan pergi kepada BN kerana pelbagai skandal yang melanda Umno.

"Kami berharap, dan kami yakin, pengundi Cina akan menyokong calon Pakatan Harapan di kedua-dua kerusi.

"Kami melihat tidak ada sebab mengapa orang Cina akan mahu menyokong BN," kata Loke kepada Malaysiakini.

Loke juga menegaskan bagaimana pengundi Cina mengundi PAS dalam pilihan raya sebelum ini kerana parti Islam itu mewakili Pakatan Rakyat ketika itu, tetapi kini gabungan itu sudah berkubur.

"Bagi kedua-dua pilihan raya kecil, itu, pengundi Cina pasti tidak akan menyokong PAS kerana isu-isu yang telah berlaku pada tahun-tahun kebelakangan ini, dan khususnya selepas apa yang berlaku semalam," katanya.

Loke merujuk kepada Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang Ahli di Parlimen semalam tetapi Hadi, bagaimanapun, memutuskan untuk menangguhkan perbahasan mengenai RUU itu sehingga sidang Parlimen akan datang.

Loke juga berkata faktor tambahan yang akan memihak kepada Pakatan Harapan adalah populariti ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim, yang telah dapat menyelesaikan banyak isu tanah di kawasan itu.

"Pengundi Cina tempatan gembira dengan kerajaan Selangor (yang diterajui Pakatan Harapan), di mana banyak geran tanah telah diberikan selepas pilihan raya umum 2008," katanya.

Bagaimanapun, Loke mengakui Kuala Kangsar merupakan satu cabaran yang lebih sukar bagi Pakatan Harapan, kerana kerajaan negerinya bukan dari pakatan pembangkang.

"Tetapi dalam pilihan raya umum lalu, pengundi Cina di Perak telah menyokong Pakatan dan saya yakin bahawa trend ini akan berterusan."

Bagaimanapun, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, Loke percaya ini akan memberi kelebihan kepada BN kerana undi Melayu berpecah.

"Oleh itu, walaupun kita yakin orang Cina akan menyokong Pakatan Harapan, kita perlu bekerja lebih keras jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar, kerana undi Melayu akan berpecah," katanya.

Dan Pakatan Harapan akan perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan pengundi muda supaya pulang mengundi.

"Kebimbangan bagi sokongan kaum Cina tidak begitu banyak mengenai parti mana yang mereka akan sokong, apa yang kita bimbang ialah kadar keluar mengundi. Kami bimbang pengundi luar tidak pulang mengundi," kata Loke.

Loke mungkin yakin pengundi Cina memberikan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan tetapi Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berpendapat majoriti tipis pengundi akan kembali kepada BN, dengan memetik contoh pilihan raya negeri Sarawak.

Ekoran kemungkinan peratusan keluar mengundi tidak akan menggalakkan sepertimana kebiasaannya dalam pilihan raya kecil sebelum ini, Yong berkata kemungkinan pengundi muda Cina pulang untuk mengundi, oleh itu, akan berkurangan.

"Jika itu berlaku, ia akan memberi memihak kepada BN," katanya.

Selain daripada peratusan keluar mengundi yang rendah boleh menjejaskan peluang Pakatan Harapan, Yong berkata pengundi mungkin bosan dengan perbalahan dalaman antara parti-parti pembangkang.

Dan pengundi Cina pasti akan menjadi penentu, sekiranya berlaku ada pertandingan tiga penjuru, katanya.

Gerakan, oleh itu, akan menggunakan sistem Jalinan Rakyat (JR) di mana kempen parti itu adalah dari rumah ke rumah untuk memahami masalah dan keperluan rakyat.

Ini, katanya, akan bermula selepas hari penamaan calon dan merupakan strategi untuk mereka lebih memahami rakyat.

"Seperti yang anda tahu, pembangkang akan membangkitkan isu 1MDB dan GST, jadi kami mahu tahu sama ada isu-isu ini benar-benar memberi kesan kepada rakyat," katanya.

Berdasarkan kajian akar umbi parti itu, tambahnya, warga emas mungkin tidak kisah tentang isu-isu tersebut.

Akhirnya, perkara yang paling penting adalah isu-isu seharian serta hal-hal keselamatan, katanya.

"Sekumpulan besar pengundi Cina di Sungai Besar terbabit dalam bidang pertanian, ada yang menjadi nelayan. Kita tahu ada masalah dalam bidang-bidang berkenaan. Gerakan sedang menelitinya bersama dengan MCA," katanya.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon pula berpendapat bahawa trend pengundian Cina akan merupakan campuran semua faktor.

Like Yong, Chong turut memetik perbalahan dalaman di kalangan parti komponen Pakatan Harapan, serta pertembungan antara pemimpin tertinggi PKR Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Selain faktor-faktor itu, katanya, ia juga bergantung kepada parti mana yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Semua ini akan memberi kesan kepada pola pengundian Cina," kata Chong yang baru-baru ini telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu pilihan raya MCA bagi Sungai Besar.

Sepertimana Loke, Chong juga tidak fikir orang Cina akan memberi sokongan mereka jika calon PAS bertanding. Dan DAP pula tidak akan berani untuk berkempen untuk PAS, katanya.

"Ia masih terlalu awal, tetapi berdasarkan pra-analisis, kali ini kita (BN) mempunyai peluang yang sedikit lebih baik daripada pilihan raya lepas, apabila kita menang dengan majoriti tipis.

"Tetapi walaupun kita mempunyai sedikit kelebihan, keadaan akan berubah. Bagi pihak kami, kami telah memulakan kempen kami. Kami akan bermula dengan bekerja keras untuk mendapatkan sokongan daripada ahli MCA," katanya.

Semua pemimpin Melayu dalam parti perlu martabatkan Akta 355

Posted: 26 May 2016 09:54 PM PDT

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Hassan BasriHassan BasriKejayaan Pas membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian Pindaan Mahkamah Syariah (Akta 355) di Dewan Rakyat semalam, adalah kemenangan untuk pemimpin parti Melayu dan umat Islam di negara ini, kata Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Perkasa juga menegaskan dalam suasana Islam kini diancam dengan wujudnya pelbagai kelompok fahaman tentang agama yang songsang dengan memberi laluan kearah pembentangan usul tersebut, ia dilihat selari dengan apa yang diperjuangkan NGO ini.

"Sebagai NGO yang mendominasikan perjuangan Melayu dan Islam mengucapkan tahniah kepada Pas yang telah berjaya membentang RUU persendirian Pindaan Mahkamah Syariah (Akta 355) di Dewan Rakyat semalam.

"Dalam masa yang sama Perkasa berterima kasih kepada kerajaan yang memberi laluan untuk Pas membentangkan RUU itu setelah beberapa kali tertangguh," ujar Hassan Basri, Ketua Penerangan Perkasa hari ini.

Dalam kenyataannya  Hassan berkata, bagi pemimpin parti perlu bekerjas keras untuk memberikan kefahaman kepada rakan komponen mereka dalam BN dan pakatan pembangkang untuk memahami Akta 355 ini.

"Sesungguhnya usaha memertabatkan Mahkamah Syariah yang sebelum ini terikat dan terbatas dengan had hukuman 356 (3 tahun penjara, 5 ribu ringgit dan 6 sebatan) untuk ditambahbaik.

"Perkasa menyokong penuh dan berada dibelakang Pas dalam usaha meminda RUU ini dan sentiasa mendokong Islam agama persekutuan selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

" Justeru itu, Perkasa suka mengingatkan kepada penentang pindaan ini khusus parti-parti bukan Islam baik dari kerajaan seperti MCA, MIC, SUPP dan sebagainya mahu pun pembangkang terutama DAP dan sekutunya supaya memahami bahawa pindaan RUU Akta 355 Mahkamah Syariah hanya dikhususkan untuk pelaku jenayah umat Islam sahaja.

"Sudah tentunya tidak timbul persoalan dikalangan pemimpin parti dan masyarakat bukan Islam di negara ini.

"Apa perlunya mereka hendak menjadi juara untuk menentang sesuatu yang tidak bersangkut paut dengan kepercayaan, bangsa dan agama mereka kecuali mereka ada agenda jahat untuk mengkesamping perlembagaan islam sebagai agama persekutuan.

"Perkasa menyeru dan mengajak umat Islam untuk kita bersatu mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan dengan merentasi sempadan fahaman politik dan ideologi." ujarnya.

Akhirnya terpancar senyuman di wajah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas berpeluang membentangkan usul RUU Akta 355 semalam di Dewan Rakyat. -Foto MD oleh Wan Zahari Wan Salleh.Akhirnya terpancar senyuman di wajah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas berpeluang membentangkan usul RUU Akta 355 semalam di Dewan Rakyat. -Foto MD oleh Wan Zahari Wan Salleh.
Semalam Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Presiden Pas, membentangkan Usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016.

Usul ini merupakan kali keempat sejak tahun lalu usul serupa berada dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, namun masih belum berkesempatan untuk dibahaskan.

Abdul Hadi ketika membentangkan usul itu berkata ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Beliau berkata ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Beliau kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang di bawah peraturan mesyuarat 15 (5).

Dakwaan rasuah: Rafizi lapor SPRM Isnin Depan

Posted: 26 May 2016 09:50 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli akan membuat laporan mengenai dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan keputusan presiden parti dan biro politik.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata laporan tersebut akan dibuat di pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira 11.30 pagi Isnin depan.

Susulan mesyuarat biro politik PKR, Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan Rafizi untuk mengemukakan semua bukti berhubung dakwaan permintaan wang dan perempuan untuk berurusan dengan kerajaan Selangor yang dibangkitkan sebelum ini kepada SPRM.

"Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi," katanya.

Rafizi mengakui beliau menulis dalam ruang sembang berkumpulan aplikasi WhatsApp mengenai kejadian rasuah wang dan seks membabitkan kerajaan Selangor.

Dalam kenyataan itu, Rafizi turut menafikan dakwaan bahawa beliau 'dibeli' Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Umno untuk mensabotaj PKR yang akan membolehkan beliau melarikan diri daripada pelbagai dakwaan di mahkamah yang sedang hadapinya.

Rafizi berkata oleh sebab itu beliau menyerahkan dulu kepada keputusan Presiden dan Biro Politik untuk menentukan sama ada boleh melaporkan aduan salah laku terus kepada pihak berkuasa seperti SPRM.

"Keputusan itu saya buat dengan mengambil kira rencam pandangan mengenai isu ini dan jika tidak berhati-hati, niat baik saya untuk saling ingat mengingati akan bertukar menjadi polemik politik yang boleh merenggangkan lagi kebersamaan di dalam parti," katanya.


Hadi tangguh bentang RUU hudud

Posted: 26 May 2016 09:47 PM PDT

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon menangguhkan usul meminda Akta 355 berkaitan hudud walaupun rang undang-undang persendirian (RUU) itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan pada sidang Parlimen hari ini.

Hadi memohon RUU itu ditangguhkan ke sesi akan datang dan ia diluluskan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata RUU untuk meminda Akta 355 yang bertujuan membuka ruang kepada pelaksaan hudud di Kelantan ditangguhkan bagi memberi peluang 'masa' kepada ahli Parlimen.

"Kita beri peluang masa kepada ahli-ahli dan hari ini hari terakhir parlimen sidang ini," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

RUU bagi meminda kuasa Mahkamah Syariah disenaraikan dalam kertas perintah parlimen sebagai item No 15, iaitu yang terakhir dalam kertas perintah itu dan akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden PAS.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad ketika ditemui media di parlimen berkata PAS mahu semua ahli parlimen terlibat di dalam perbahasan RUU ini supaya tiada siapa yang akan mempersoalkannya.

"Kita memberikan satu peluang kepada kita (ahli parlimen) semua, jika ada yang terlepas hari tidak ada yang mengatakan tidak dapat berbahas (RUU persendirian) ini," ujarnya.

Pada 18 Mac tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau rang undang-undang hudud.

Langkah itu akan membenarkan Hadi mengusulkan RUU pula bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 bagi membuka laluan perlaksanaan hudud di Kelantan.


Sasaran PTPTN kutip RM15 bilion hutang belum tercapai

Posted: 26 May 2016 09:45 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA KANGSAR: Sasaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) untuk mengutip balik pinjaman sebanyak RM15 bilion sejak ia ditubuhkan 19 tahun lalu belum tercapai.
 
Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi tempoh 1997 hingga Februari lalu, PTPTN sekadar mampu mengutip balik pinjaman berjumlah RM7.49 bilion.
 
"Walaupun sudah ada peningkatan daripada segi kutipan balik secara bulanan yang diperoleh PTPTN menerusi beberapa pendekatan termasuk pemotongan gaji, tetapi kita masih belum mencapai sasaran sepatutnya.
 
"Sejak ditubuhkan hingga sekarang kita telah mengeluarkan RM55 bilion kepada peminjam dan kita sasarkan untuk mengutip balik sekurang-kurangnya RM15 bilion," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN serta Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), di sini Khamis.
 
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata sepanjang tahun ini pula PTPTN telah berjaya mengutip balik pinjaman berjumlah RM980 juta.
 
Shamsul Anuar berkata PTPTN masih mengkaji dan melihat pendekatan yang bersesuaian untuk melaksanakan potongan gaji terhadap sektor lain bagi membayar balik pinjaman PTPTN.
 
"Kaedah dan pendekatan kita untuk setiap sektor berbeza tetapi apa yang penting kita nak capai sasaran kita," katanya.
 
Pada majlis itu, Yayasan Perak menyumbangkan RM9,400 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 47 pelajar Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin yang disampaikan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Sharipah Zulkifli.
 
PTPTN pula memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada 50 keluarga pelajar bagi meringankan beban perbelanjaan harian. - BERNAMA
 
 

Muka depan palsu Time: Bicara kes Sivarasa 1 Ogos

Posted: 26 May 2016 09:43 PM PDT

MALAYSIAKINI


Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 1 Ogos untuk perbicaraan kes Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang didakwa memuat naik muka hadapan palsu majalah Time membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di laman Facebooknya.

Hakim Amernudin Ahmad menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya. Mahkamah juga menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes itu.

Sivarasa, 60, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman akaun Facebook 'Sivarasa Rasiah' dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Peguam itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 7.41 malam, 22 Mac lalu dan 4.59 pagi, 23 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di No A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala peguam Melissa Sasidaran mewakili Sivarasa.- Bernama



Sg Besar tiada dalam fikiran Dr Khir

Posted: 26 May 2016 09:39 PM PDT

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo berkata dia tidak terlintas pun untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Ditemui media selepas berakhir parolnya selama dua hari Khir berkata apa yang dimahukannya kini adalah berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

"Saya tak terfikir pun tentang itu," katanya mengenai pilihan raya kecil Sungai Besar yang dijadual diadakan pada 18 Jun ini.

Khir adalah menteri besar ke-13 Selangor yang berkhidmat antara Ogos 2000 hingga Mac 2008 apabila BN dikalahkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua pembangkang dan meletakkan jawatan pada pada 2010 selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam.

Selepas disabitkan kesalahan Khir yang ketika itu menjadi ADUN Sungai Burung meletak jawatan dan dihukum penjara 12 bulan.

Beliau diberikan parol pada akhir Mac lalu selepas menghabiskan tempoh enam bulan di penjara.

Di bawah peraturan parol Khid mesti melaporkan diri ke pejabat Lembaga Parol di Klang setiap minggu dan perlu mematuhi 41 syarat ditetapkan sepanjang tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun kata Khir beliau bersedia membantu jentera parti untuk memenangkan BN jika diminta.

"Kalau diperlukan saya akan tengok (keadaan) macam mana. Sungai Sesar adalah kawasan saya.
Bahagian ini saya yang asaskan dulu. Pecah daripada kawasan tanjung karang, kawasan saya.

"Saya ada ahli keluarga di situ dan saya masih menziarahi mereka," katanya.



 
 
 

Integriti PAN mungkin terhakis dalam isu 2 PRK serentak

Posted: 26 May 2016 09:27 PM PDT

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Pada Isnin, 23 Mei lalu, Parti Amanah Negara (PAN) menggesa PKR menghentikan rundingan memujuk PAS supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar khususnya 18 Jun depan.
 
"Adalah semakin nyata bahawa usaha rundingan ini telah gagal atas sebab pendirian PAS mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan sebagai milik tradisi mereka.
 
"Oleh itu, Amanah (PAN) mengesyorkan PKR menerima kenyataan bahawa PAS tidak akan menarik diri dan tumpuan diberi untuk mengukuhkan cabaran PH di dua kerusi tersebut.
 
"Sudah cukup masa dan usaha ditumpukan kepada perundingan dengan PAS. Umum mengetahui PAS menolak usaha ini dan oleh itu persoalan tiga penjuru yang bakal berlaku bukan kehendak dan sikap PH," kata Pengarah Komunikasi PAN,  Khalid Samad. 
 
Sebaliknya, Khalid berkata PAN nekad bertanding di kedua-dua PRK berkenaan lantas adalah lebih elok Pakatan Harapan (PH) membuat persiapan menghadapi tentangan BN dan PAS.
 
Yang pasti sebelum itu, PAS memang tegas tidak akan berganjak daripada keputusan bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cekal tidak akan membuat 'pusingan U'.
 
Anehnya, walaupun yakin dan garang menyatakan ia sudah nekad mahu meletakkan calon dalam kedua-dua PRK itu PAN mahu Mesyuarat Majlis Presiden PH disegerakan bagi memuktamadkan calon parti mana yang akan mewakili PH.
 
Bagaimanapun keesokan harinya, Selasa, 24 Mei, Khalid sekali lagi tampil dengan nada yang agak lunak. Beliau berkata, hasrat PAN bertanding PRK Sungai Besar bertujuan 'menyelamatkan hubungan PKR dan PAS di Selangor'.
  
"Bagi PAN, biarlah kami yang bertanding kerana kita tidak mahu PAS dan PKR bergaduh. Sebab ia akan menjejaskan hubungan di dalam kerajaan (negeri)," katanya.
 
Khalid juga mendakwa PAN yakin mampu meraih sokongan Melayu-Islam, apatah lagi dengan kedudukan parti itu sebagai pengganti PAS di dalam Pakatan Harapan.
 
Mana satu yang betul? PAN mahu Pakatan Harapan abaikan perisytiharan PAS ia akan bertanding di kedua-dua PRK berkenaan, atau PAN menuntut supaya PH memperakukan hanya ia (PAN) sahaja bertanding dalam kedua-dua PRK?
 
Politik apa yang hendak dimainkan oleh PAN? Pertama, PAN minta PKR henti rundingan dengan PAS. Kedua, PAN mendesak supaya ia 'diberi restu' untuk menentang BN dan PAS. Bagaimana dengan kepentingan PKR?
 
Sehubungan itu, benarkah tuntutan PAN itu ikhlas bertujuan mahu PKR terus memelihara tahaluf siyasinya dengan PAS? Bebal sangatkah ahli-ahli politik PKR hingga boleh dihujah begitu remeh?
 
Apakah dengan mengacungkan nama Presiden dan Timbalan Presidennya memadai "memujuk" PKR menarik diri? 
 
Menurut Khalid PAN berpendapat adalah sukar bagi PKR bertanding menentang PAS pada kedua-dua PRK itu memandangkan kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai hubungan yang baik.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PKR dan PAS masih boleh berbincang berhubung isu calon bagi memastikan hanya satu calon daripada pembangkang menentang BN pada kedua-dua PRK.
 
Menteri Besar Selangor itu menegaskan, segala keputusan muktamad hanya boleh ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. 
 
Bagaimanapun PH kini agak kalut dalam menentukan tarikh mesyuarat. Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail cuba menyalahkan PAS menyebabkan dua mesyuarat yang dijadualkan sebelum ini batal. 
 
"Kita masih menunggu respon dari PAS. Kita sudah ada mesyuarat tertutup sebelum ini.  Memandangkan PAS bertanding di dua kerusi berkenaan pada pilihan raya sebelum ini isu itu menjadi asas dalam rundingan kita," katanya.
 
Namun Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menyelar kenyataan Presiden PKR itu: 
 
"Apa kena-mengena? Masalah gaduh isteri dan suami orang, takkan jiran sebelah nak tentukan cerai atau tidak di kalangan mereka? Itu rumah orang, kita tak campur," sindirnya kerana menganggap itu masalah di kalangan kerabat PH.
 
Mesyuarat berkenaan sepatutnya diadakan Isnin lalu selepas ditunda pada Khamis minggu sebelumnya. Bagaimanapun semalam (26 Mei) mesyuarat PH ditangguh lagi. Alasannya, beberapa ahli majlis presiden tidak dapat hadir.
 
Menilai alasan-alasan PAN yang tidak konsisten dalam isu mahu bertanding dalam PRK berkenaan, jelas menunjukkan bahawa parti amat ghairah mahu menguji sokongan pengundi Melayu-Islam sahaja. 
 
Sekaligus ia membayangkan PAN khuatir meskipun menghebahkan ia adalah pengganti PAS dalam Pakatan Harapan, ia sendiri belum pasti berapa ramai sebenarnya ahli PAS sudah meninggalkan PAN untuk menyertai PAN. 
 
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah medan paling sesuai bagi PAN mendapatkan jawapan ini. Jika ia kalah sekalipun alasan munasabah sudah ada dalam tangan iaitu ia kalah kerana berlaku pertandingan tiga penjuru.
 
Strategi formula pembangkang ialah satu lawan satu. Bagaimanapun PAS berdegil meletakkan calon. Maka PAN boleh sahaja berhujah bahawa PAS sudah "kacau daun".
 
Alasan kononnya demi memelihara hubungan baik PAS-PKR, maka ia layak bertanding hanyalah helah untuk mendapat publisiti melonjakkan diri sebagai sebuah parti nasional. 
 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad membidas tepat kenyataan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad yang mendakwa partinya layak bertanding di Sungai Besar demi menjaga hubungan baik PKR-PAS di Selangor.
 
"Itu, secara bahasa mudahnya adalah analogi tak tepat. Bagaimana nak mendamaikan? Kamu nak melawan kerajaan (BN) atau PAS? Kita nak lawan BN," tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.
 
Meskipun mendakwa sejak penubuhannya September tahun lalu, PAN sudah mempunyai wakil-wakil rakyatnya sendiri di peringkat DUN dan Parlimen, ia sebenarnya dimenangi melalui tiket PAS pada pilihanraya umum 2013. 
 
PAN mahu dikenali sebagai parti Amanah, namun ia didokong di dewan undangan negeri dan dewan rakyat oleh pemimpin yang tidak amanah dan melanggar bai'ah dengan PAS.
 
Isu integriti ini jika tidak diurus baik oleh pimpinan PAN, boleh menyebabkan wibawa dan haknya mengakui ia sebuah parti Islam akan hilang nilai di mata rakyat. 


Tiada ulasan: