Sabtu, 14 Mei 2016

.

.


Subky ramal Pas akan kalah, selepas itu menang besar

Posted: 13 May 2016 05:36 PM PDT

SESUDAH SUBUH

Sore semalam bersembang dengan tokoh wartawan dan veteran Pas Subky Latiff yang datang menziarahi saya bersama sdr Zulkifli Sulong bekas editor Harakah. Lama juga mereka di rumah saya sambil bertanya kesihatan saya, kami sempat berbual berbagai tajuk terkini.
.
Subky dan Zulkifli datang ziarah bertanya khabar saya.
Sebagai wartawan tentulah mauduk perbicaran utama kami mengenai perkembangan media massa selain soal politik negara terkini. Dalam kesempatan itu antara yang sempat dibicarakan (bertanya khabar) mengenai akhbar Harakah, lidah rasmi Pas. Suatu masa dulu akhbar ini pernah menjadi akhabar alternatif nombor satu negara bagi pembaca yang sudah muak dan hilang kepercayaan kepada akhabr arus perdana (PB).


Kelarisan akhbar ini sehingga oplanya mencecah ratusan ribu untuk satu-satu keluaran memberi keuntungan besar kepada Pas. Parti agama itu dapat membeli beberapa buah bangunan menjadi aset, termasuk bangunan tempat akhbar itu beroperasi di di Jalan Pahang.

Manakala Harakah online yang dikenalikan oleh Zulkifli pula mengikuti dekat dan sama popular dengan sebuah portal berita ulung negara ini. Media berkenaan pendeknya menjadi bahan bacaan dan sumber rujukan penting bagi orang ramai untuk mengetahui perkembangan politik yang realis dan tidak dikelentungkan oleh media PB.

Saya pernah difahamkan kutipan iklan menerusi Harakah online sahaja mencecah RM80 ribu sebulan. Kehidupan dan suasana di Jabatan Penerangan Pas yang mengendali dan bertanggungjawab menguruskan media berkenaan, sungguh lumayan ketika itu. Sesungguhnya sumbangan daripada media Pas untuk kewangan parti itu besar.

Hari ini kegemilangan itu sudah menjadi kenangan. Ketika bersembang tadi, Zulkifli memaklumkan kedudukan semasa akhabar lidah rasmi Pas itu sangat tidak kondusif. Kewangan di Jabatan Penerangan juga sudah mulai kering. Pas terpaksa menjual beberapa aset bagi menampung kos penerbitan kerana jika diharapkan kepada jualan dan iklan ternyata ia tidak mampu lagi untuk menanggung biaya penerbitan dan gaji wartawan serta pengurusan lain.

Petang semalam juga salah satu unit dibawah Jabatan Penerangan juga terpaksa keluar dari bangunan yang disewa kerana tidak mampu untuk membayar sewa? Perkembangan dalam Jabatan Penerangan Pas yang bertanggungjawab menerbit media massa akhir-akhir ini seolah-olah akan meletakkan jabatan itu semacam tahun-tahun sebelum 2000, yang tenat.

Khabarnya beberapa wartawan termasuk wartawan kanan telah meninggalkan akhbar berkenaan. Manakala wartawan yang mempelopori akhbar berkenaan yang berkhidmat dengan semangat dan dibayar gaji tidak seberapa atau sekadar diberi makan, sudah lama meninggalkannya. Pelbagai faktor kenapa berlaku begitu ia termasuk soal kepuakan dan kronisme.


Ditanya mengenai nasib akhbar itu kenapa jadi demikian, Zulkifli dan Subky sepakat mengatakan antara lain kerana media Pas itu tidak kagi diuruskan oleh mereka yang alim dalam bidang kewartawanan.

"Journalisme sudah tidak ada lagi dalam Harakah," demi kata Zulkifli. Ia kini diuruskan mereka yang tidak ada pengalaman dan tidak mempunyai ilmu luas dalam bidang kewartawanan. Bila journalisme sudah tidak ada dalam sesebuah akhbar, maka fahamlah kita, akhbar itu bukan lagi bersifat sebagai akhbar, jadi tidak pelik kalau ia berhadapan dengan kelumpuhan pembaca.

Saya tidak mahu komen dan membuat perbandingan di sini nanti dikatakan cuba menjaga tepi kain, tetapi sejujurnya saya sendiri sudah tujuh tahun tidak membaca dan menatap akhbar berkenaan dan juga membuka website onlinenya. Adalah diharap Jabatan Penerangan Pas akan memulih keadaan ini dan kembalikan semula kedua-dua media berkenaan, cetak dan eletronik sebagai akhbar dan sumber politik realis yang diperlukan.

Itu mengenai media Pas, kami juga sempat berbual fasal Pas dan parti serpihannya Amanah. Ternyata Subky walaupun menghormati kewujudan parti itu atas sifat demokrasi, tetapi beliau sangsi akan parti itu dapat bertahan lama apa lagi menyaingi Pas sebuah parti yang sudah utuh.

Subky tidak yakin Amanah dapat hidup seperti mana yang diharapkan. Dan mengenai penyertaan dalam pilihan raya, seperti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, beliau tidak menolak ada keperluan Amanah untuk bertanding sama.

"Apabila sesebuah parti ditubuhkan, maka ia akan menyertai pilihan raya. Kalau ia ditubuhkan bukan untuk tujuan itu, untuk apa ia ditubuhkan," begitulah hujah dan mantik Subky. Jadi baginya tidak menjadi masalah kalau di pilihan raya Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu berlaku pertandingan banyak penjuru.

Bahkan menurut ramalannya, dalam pilihan raya ke-14 nanti semua parti akan bertanding. Beliau meramalkan akan berlaku pertandingan berbagai-bagai penjuru.

Meramal lanjut mengenai pilihan raya akan datang dengan mengambil kira perkembangan hari ini, bekas ahli Jawatankuasa Pas itu, mengakui kedudukan Pas juga akan terancam. "Pas mungkin akan kalah dalam pilihan raya ke-14 nanti, mungkin hanya menang satu kerusi sahaja, tetapi ia akan hidup semula pada pilihan raya seterusnya," ramal beliau.

Keadaan ini dilihat kepada sejarah lampau apa yang pernah dihadapi Pas. Pada satu masa Pas hanya menang satu kerusi sahaja, selepas itu Pas memperolehi lebih 30 kerusi bahkan menguasai beberapa negeri. Kekebalan ini akan kekal kepada Pas.

Subky yakin sunatullah yang pernah dilalui Pas ini akan berulang. Justeru beliau meramalkan, hanya Pas dan DAP sahaja dua buah parti yang dapat survive sebagai parti politik di masa akan datang dan terus menjadi lawan kepada BN buat selama-lamanya.

Di kesempatan itu juga kami sempat menyebut fasal Husam Musa. Zulkifli bertanya saya ke mana hala tuju politik Husam selepas dipecat daripada Pas. Apa yang ingin diketahui Zul, apakah wadah baharu Husam selepas tidak menjadi ahli Pas.

Untuk masa ini saya mengira Husam akan mendiamkan diri dan bergerak secara profesional tanpa menyertai mana-mana wadah politik. Beliau akan menumpukan kepada usaha menjatuhkan Najib Razak untuk selamatkan Malaysia dalam gerakan Deklarasi Rakyat. Husam tidak akan menyertai Amanah mengikut firasat saya, apa lagi untuk memimpin Amanah Kelantan. Husam sama sekali tidak akan "memerekupkan" dirinya dengan menyertai Amanah walaupun ada tawaran untuk beliau mengambil kepimpinannya.

Bagi saya Husam masih Pas dan cintakan Pas. Sebab itu saya kata dan berharap kepada Subky agar Pas tidak melupai begitu sahaja Husam, sebab dari kebolehan dan cara dia berpolitik, Husam adalah eset penting bagi Pas. Harus ada mediator bagi memulihkan salah faham yang berlaku dalam Pas sehingga terjadi tindakan pecat memecat seperti dialami Adun Salor itu.

Mengenai kebolehan yang ada kepada Husam, disetujui Subky. Katanya "kelebihan yang kepada Husam ialah beliau bijak menghadapi krisis politik serta kemampuannya untuk membaca permainan politik musuh.".

Apa yang dapat disimpulkan, dan membaca rasa hati Subky mengenai pemecatan Husam, sesuatu yang mendukacitakannya, tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana kena akur, sebab ia adalah keputusan parti. Sebagai seorang yang sangat menghormati keputusan jemaah, mungkin Subky berharap Husam menerima pemecatan itu dengan tenang tanpa ada sebarang protes kemudian kembali semula kepada. [wm.kl.8:01 am 14/05/16]

Tiada ulasan: