Ahad, 20 Mac 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Guan Eng Cabar Shahbudin Ulang Tuduhan Di Luar Parlimen

Posted: 20 Mar 2016 12:04 AM PDT

Shahbudin tidak seberani yang saya sangkakan – Guan Eng

PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kecewa kerana Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya tidak seberani seperti yang disangkakannya.

Katanya, beliau juga kesal apabila Shabudin tidak hadir untuk minum kopi bersamanya di Pejabat Ketua Menteri, KOMTAR di Georgetown, hari ini, untuk bersemuka dengannya bagi mendapatkan fakta berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn.


"Ternyata anggapan saya salah apabila beliau (Shabudin) tidak hadir hari ini. Jika beliau benar, kenapa tidak hadir untuk berjumpa dengan saya di hadapan media?

"Saya kesal apabila beliau hanya berani membuat tuduhan di dalam Parlimen sahaja. Jika beliau benar mempunyai maklumat bahawa saya 'makan duit', saya cabar beliau menyatakan di luar Parlimen supaya saya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana memfitnah saya," katanya kepada media, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP itu mendakwa tuduhan berkaitan rasuah oleh Shahbudin di Dewan Rakyat tidak berasas apabila mengaitkan pembelian banglo itu dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada 2012 kepada pemaju swasta untuk pembinaan hospital swasta dan hotel.

Kata Guan Eng, tiada apa yang akan disembunyikannya berhubung pembelian banglo bernilai RM2.8 juta itu dan beliau mahu mendengar sendiri apa fakta yang mendorong Shabudin membuat tuduhan sedemikian. -FMT


Isu rumah: Guan Eng ‎bawa media melawat rumahnya


GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng membawa lebih 30 petugas media ke rumahnya di Jalan Pinhorm di sini bagi menepis semua fitnah dan tohmahan ke atas pembelian rumahnya itu. 

Guan Eng menjemput kesemua media yang menghadiri sidang medianya di Komtar untuk membuat lawatan itu bagi melihat sendiri kondisi rumahnya itu.

Menurutnya, dia adalah satu-satunya Ketua Menteri yang berani bertindak demikian dan tindakan itu dilihat pertama kali dibuat oleh seorang pemimpin negeri.

"Saya tidak tahu sama ada tindakan saya ini akan menjadi amalan kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri lain. Adakah mereka berani dan cukup telus untuk buat apa yang saya lakukan hari ini?

"Rumah ini rumah biasa sahaja berbanding rumah pemimpin lain. Saya tidak faham mengapa pembelian rumah ini menjadi isu besar dan saya yakin, ia adalah fitnah ke atas saya," katanya kepada media di rumahnya tadi sambil ditemani isterinya, Betty Chew. -SH


ULASAN GB

FITNAH adalah sesuatu yang amat Allah murkai walau apa sekalipun hasrat dan tujuannya. Dilarang memfitnah di kalangan manusia sekalipun terhadap bukan-Islam.

Jika benar dakwaan YB Shahbudin Yahaya itu, maka beliau perlu sahut cabaran LGE supaya mengulangi tuduhan di luar mahkamah. Bukan berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli Dewan Negara untuk melontarkan fitnah hendak menyamakan pemimpin Pakatan Haran dengan pemimpin UMNO seperti Khir Toyo.

Hukum kebenaran dan keadilan PASTI berlaku. Si pemfitnah tetap akan menerima balasanNya.

Apa Maksud Salahuddin Sedia Bincang Dengan PAS?

Posted: 19 Mar 2016 10:43 PM PDT

Kerusi PRU: Amanah sedia bincang dengan Pas

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menegaskan parti itu sentiasa membuka pintu kepada semua pihak termasuk Pas untuk mengadakan perbincangan jika parti-parti pembangkang mahu hanya satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, meskipun pihaknya sentiasa bersedia untuk berbincang namun partinya itu sentiasa dilabel sebagai parti serpihan oleh parti Islam tersebut.

"Daripada awal lagi Amanah ditubuhkan, kita telah membuka pintu kita untuk semua orang berbincang, jika kita mahu satu lawan satu.



"Tapi Pas tetap mengatakan kita pengkhianat, kita ini parti serpihan, tidak panjang umur, tapi Amanah, kita buka pintu kita demi kebaikan rakyat dan negara," katanya ringkas ketika ditanya kesediaan Amanah bekerjasama dengan blok politik ketiga, Pas-Ikatan yang baharu sahaja diwujudkan berdepan dengan Umno.

Rabu lalu, Pas mengumumkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai rakan komponennya dalam blok politik ketiga.

Sebelum ini, bekas pemimpin Pas yang kecewa membentuk parti baharu, Amanah dan bekerjasama dengan DAP dan PKR serta membentuk Pakatan Harapan.

ULASAN GB

Ramai juga yang menghubungi GB meminta GB mengulas isu di atas. Ada yang bertanya: benarkah itu kenyataan Timbalan Presiden AMANAH? Benarkah AMANAH mahu berbincang dengan PAS?

Lalu GB menghubungi Tn Hj. Salahuddin Ayub meminta penjelasan.

Apa yang dinyatakan oleh Salahuddin adalah benar TETAPI bukan mewujudkan atau menjalinkan kerjasama sepertimana yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak.

Apa yang dimaksudkan beliau ialah perbincangan untuk "satu lawan satu" di dalam PRU nanti jika benar PAS senada dengan Pakatan Harapan meletakkan UMNO BN sebagai musuh dan ingin menewaskannya.

AMANAH sebagai parti yang progresif, inklusif dan peduli tidak menutup ruang untuk perbincangan dengan mana-mana pihak sepertimana sikap AMANAH terhadap DAP dan PKR sebelum ini sehingga telah berjaya menubuhkan Pakatan Harapan.

"AMANAH mengalu-alukan PAS sekalipun Pas selama ini mengatakan AMANAH sebagai pengkhianat, AMANAH sebagai parti serpihan, tidak panjang umur, balaci DAP dan sebagainya, namun bagi AMANAH, kita tidak memperdulikan maki hamun PAS terhadap kita, kita buka pintu dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara paling utama," kata Salahuddin.

"Dan kita tahu untuk satu lawan satu, PAS pastinya tidak bersetuju dengan kita (khususnya DAP dan AMANAH) kerana PAS telah menganggap kami sebagai musuh mereka," tegas Salahuddin lagi.

Kita perlu bersikap rasional. Walaupun kita teruk dimakihamun oleh PAS, namun kita jangan jadi seperti mereka.

Sebaliknya, memetik kata-kata hikmat Hassan Al-Bana, "jadilah kita seperti pohon rendang yang berbuah, walaupun dibalingkan dengan batu, namun pohon itu meberikan buah sebagai balasan."

Hukum kebenaran dan keadilan akhirnya akan menentukan siapa sebenarnya mengamalkan "politik matang" yang digembar-gemburkan selama ini.

Isu Rumah LGE: Tuduhan Tidak Berdasarkan Fakta, Hanya Cakap-cakap Orang

Posted: 19 Mar 2016 05:37 PM PDT

Segera siasat saya, Guan Eng beritahu SPRM

GEORGETOWN - "Saya gesa SPRM (Suruhanraya Pencegahan Rasuah) segera siasat saya," tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembelian rumah banglonya di Jalan Pinhorn, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, beliau akan memberi sepenuh kerjasama kepada SPRM dalam siasatan itu berikutan yakin tiada sebarang unsur amalan rasuah dalam isu pembelian rumahnya dengan penjualan tanah di Taman Manggis.

Menurutnya, isu pembelian rumahnya adalah satu fitnah jahat dan taktik politik kotor untuk menyerangnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.


"Kali ini sungguh cepat maklum balas oleh SPRM terhadap kes saya. Saya tidak mempunyai masalah untuk membantu siasatan malah saya gesa segerakan siasatan ini kerana saya percaya, tiada unsur rasuah dalam kes ini. Namun apa yang menghairankan, SPRM negeri ada menyatakan pernah menjalankan siasatan sebelum ini berkaitan penyewaan rumah saya pada 2009.

"Sekiranya benar, mengapakah SPRM tidak membuat pengumuman kepada orang awam sejak 2009 bahawa ia tidak berasas? Saya tidak pernah disoalsiasat oleh SPRM berkaitan dengan penyewaan rumah saya sebanyak RM5,000 sebulan sebelum saya membelinya," katanya.

Terdahulu, Guan Eng mendakwa transaksi pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn yang berharga RM2.8 juta itu dibuat secara rela hati antara pembeli dan penjual tanpa sebarang paksaan.

Guan Eng berkata, transaksi itu berasaskan kesanggupan secara bebas dan rela hati di antara beliau dan penjual yang membawa kepada rumah jenis banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn yang berusia 30 tahun itu dibeli dengan harga berkenaan.


Pembelian rumah LGE meragukan? NGO lapor polis

KUALA LUMPUR: Kerana khuatir pembelian rumah yang dikatakan bernilai RM6.5 juta berkait dengan penjualan tanah untuk rumah kos rendah, Pasukan SEMUT (Sensible, Ethical, Malaysian United Team) Malaysia membuat laporan polis mendesak siasatan keatas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengerusinya, Zaparudin Abdul Rahim berkata pihaknya mendapati isu ini hampir sama dengan kontroversi membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

"Berdasarkan semakan rambang, dan disebut ramai orang, nilai semasa banglo berkenaan sekitar RM6.5 juta. Kemudian ia di beli Lim Guan Eng dengan hanya RM2.8 juta. Berapa juta beza tu?" katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Pada 23 Dis 2011, Khir disabit kesalahan kerana menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk memperoleh dua bidang tanah dan sebuah rumah di bawah harga pasaran pada 2007.

Dalam kontroversi kali ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya semalam mendakwa rumah yang dibeli Guan Eng pada RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, George Town adalah di bawah harga pasaran.

Beliau khuatir pembelian itu berkait dengan penjualan tanah seluas 1.1 ekar di Taman Manggis yang dimaksudkan untuk pembinaan rumah kos rendah.

"Alasan yang diberi, banglo tersebut adalah rumah biasa dan tiada 'swimming pool'. Kelakar kan? Adakah kos bina kolam renang cecah hingga jutaan ringgit?" soal Zaparudin.

Menurut kronologi yang dibentangkan Shabudin di Parlimen, banglo itu disewa Guan Eng sebagai kediamannya sejak menang pilihan raya umum ke-12, setelah enggan mendiami rumah yang disediakan kerajaan negeri atas alasan anai-anai.

Kemudiannya, Guan Eng membeli rumah itu daripada pemilik, Phang Li Koon pada 21 Okt 2015 dengan harga RM2.8 juta – 12 peratus lebih tinggi daripada harga belian oleh Li Koon pada 2008.
-FMT


ULASAN GB

Cemburu, irihati dan dengki. Itu sebenarnya yang ada di hati mereka yang melemparkan tuduhan tidak berasas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Cemburu kerana Pulau Piang telah dinyatakan sebagai negeri yang paling sedikit hutangnya dengan kerajaan pusat berbanding dengan negeri-negeri lain.

Berita itu tidak disenangi oleh kelompok yang membenci DAP dan Pakatan Harapan.

Lantas dicipta fitnah untuk menjatuhkan Lim Guan Eng iaitu isu rumah banglo yang kononnya dibeli dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran.

Namun tuduhan itu tidak bersandarkan kajian, tetapi hanya bersandarkan "cakap-cakap orang". Lihat petikan di bawah:

"Berdasarkan semakan rambang, dan disebut ramai orang, nilai semasa banglo berkenaan sekitar RM6.5 juta. Kemudian ia di beli Lim Guan Eng dengan hanya RM2.8 juta. Berapa juta beza tu?" katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini.

Hanya "bersandarkan kajian rambang dan disebut ramai orang," membuktikan TIADA fakta yang benar tatkala membuat tuduhan tersebut.

SPRM pula dengan sepantas kilat membuka keratas siasatan. Sedangkan skandal Najib dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion tidak ada jawapan kecuali tertutup begitu sahaja.

Tiada ulasan: