Rabu, 2 Mac 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Rafizi Cabar Tabung Haji Samannya, Bukan Sekadar Laporan Polis

Posted: 02 Mar 2016 01:01 AM PST

Kalau tak benar, samanlah saya, Rafizi cabar TH

PETALING JAYA: Rafizi Ramli tidak terkejut dengan laporan polis yang dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) terhadapnya kerana mendakwa agensi tersebut memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Sebaliknya, Naib Presiden PKR mencabar TH supaya membuat saman secara sivil di mahkamah sekiranya segala pendedahan beliau itu fitnah.


"Tindakan itu tidak cermat seolah-olah pengurusan Tabung Haji lupa bahawa rakyat masih marah dengan pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji baru-baru ini.

"Saya juga mengulangi gesaan saya bahawa jika mana-mana fakta yang saya kemukakan setakat ini adalah tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, wajarlah Tabung Haji mengambil tindakan saman sivil di mahkamah dengan segera.

"Saya bersedia mempertahankan dan membentangkan fakta-fakta ini di mahkamah di bawah undang-undang sivil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malah Setiausaha Agung PKR itu tidak menolak tindakan TH memilih untuk membuat laporan polis berbanding saman di mahkamah kerana ingin menyelesaikan kes tersebut secara mudah.

"Tindakan saman di bawah undang-undang sivil mengambil kira hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk memberi komen yang munasabah ("fair comments") atau komen berdasarkan maklumat-maklumat yang saya ketahui ("qualified privileges").

"Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat.

"Sebab itu saya perhatikan ada kecenderungan oleh pimpinan UMNO dan badan-badan kerajaan untuk membuat laporan polis supaya saya disiasat di bawah undang-undang jenayah sedangkan sepatutnya ia dibawa sebagai saman sivil sahaja," katanya yang memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis. -FMT


LAPORAN POLIS: PENGURUSAN TABUNG HAJI JANGAN SEMBUNYI DI BELAKANG PEGUAM NEGARA, JAWAB PRESTASI DAN RISIKO PELABURAN DI DALAM TH HEAVY ENGINEERING (THHE) DAN LAIN-LAIN

Saya tidak terkejut dengan tindakan pengurusan Tabung Haji yang membuat laporan polis terhadap saya mengenai isu "Corporate Guarantee" (CG atau jaminan korporat) berhubung pelaburan di dalam TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Tindakan itu tidak cermat seolah-olah pengurusan Tabung Haji lupa bahawa rakyat masih marah dengan perlantikan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, Peguam Negara sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji baru-baru ini.

Jika Tabung Haji berpendapat bahawa isu yang saya timbulkan adalah fitnah dan telah menjatuhkan reputasi Tabung Haji, maka pengurusan Tabung Haji sepatutnya mengambil tindakan saman secara sivil di dalam mahkamah.

Sebaliknya, Tabung Haji membuat laporan polis dengan niat supaya saya didakwa di bawah akta jenayah (bukannya undang-undang saman sivil seperti biasa). Ini tidaklah mengejutkan kerana faktor-faktor berikut:

1. Kuasa pendakwaan terletak di tangan Peguam Negara yang kebetulannya adalah seorang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji. Jika pengurusan Tabung Haji berharap "kebetulan" ini akan memudahkan saya didakwa di mahkamah, sudah tentu ia akan dicabar oleh peguam saya kerana pendakwaan itu boleh ditafsirkan sebagai pendakwaan terpilih atau pendakwaan yang berpunca dari pertembungan kepentingan ("conflict of interest")

2. Pendakwaan di bawah akta jenayah lebih mudah disabitkan berbanding dengan tindakan saman di bawah undang-undang sivil. Tindakan saman di bawah undang-undang sivil mengambil kira hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk memberi komen yang munasabah ("fair comments") atau komen berdasarkan maklumat-maklumat yang saya ketahui ("qualified privileges"). Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat. Semua pembuktian dan hak memberi komen di bawah pembelaan "fair comments" dan "qualified privileges" tidak wujud di bawah akta jenayah. Pendakwa selalunya hanya membuktikan bahawa saya telah mengeluarkan kata-kata tersebut.

Sebab itu saya perhatikan ada kecenderongan oleh pimpinan Umno dan badan-badan kerajaan untuk membuat laporan polis supaya saya disiasat di bawah undang-undang jenayah sedangkan sepatutnya ia dibawa sebagai saman sivil sahaja.

Contohnya, komentar saya mengenai kesan permainan politik Umno terhadap hubungan antara kaum dan keharmonian agama di negara ini dalam tahun 2014 telah menyebabkan saya didakwa dan disabitkan kesalahan (lalu didenda RM1,800) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan "menimbulkan kemarahan ahli Umno". Sedangkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah untuk kes-kes yang mana seseorang memaki hamun satu kumpulan orang secara berdepan dengan niat menimbulkan kemarahan kumpulan orang itu lalu menyebabkan pergaduhan, kekacauan dan lain-lain.

Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa akibat laporan polis yang dibuat pengurusan Tabung Haji ini. Saya juga mengulangi gesaan saya bahawa jika mana-mana fakta yang saya kemukakan setakat ini (berkenaan rizab yang negatif, pelaburan syarikat roti yang rugi RM90 juta, pelaburan saham FGV yang susutnilai RM933 juta dan pelaburan THHE yang susutnilai RM200 juta/terdedah risiko kerugian RM1.4 bilion) adalah tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, wajarlah Tabung Haji mengambil tindakan saman sivil di mahkamah dengan segera. Saya bersedia mempertahankan dan membentangkan fakta-fakta ini di mahkamah di bawah undang-undang sivil.

Bahagian II: Prestasi Pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering Berhad

Saya sebenarnya kecewa kerana pengurusan Tabung Haji seolah-olah mahu mengelak dari menjawab isu sebenar yang saya timbulkan berhubung pelaburan Tabung Haji di dalam TH Heavy Engineering Berhad, iaitu:

1. Berapa kerugian yang telah dialami oleh Tabung Haji (melalui susutnilai saham) setakat ini apabila melabur di dalam syarikat bermasalah (dahulunya Ramunia Holdings Berhad) dan terus menyuntik dana ke dalam syarikat itu (kini dikenali TH Heavy Engineering Berhad) sedangkan unjuran prestasinya tidak baik?

2. Berapa banyak lagi simpanan pendeposit Tabung Haji yang akan disuntik ke dalam THHE dalam keadaan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh 5 hingga 8 tahun akan datang dan THHE mempunyai hutang tertunggak yang besar kepada kontraktor sedia ada?

Kedua-dua perkara ini timbul kerana dokumen-dokumen dalaman Tabung Haji sendiri yang bocor kepada orang ramai. Dokumen pertama ialah Laporan Risiko Pelaburan ("Investment Risk Assessment") dan dokumen kedua ialah surat dari Kementerian Kewangan kepada Tan Sri Ismee Ismail memaklumkan kelulusan permohonan Tabung Haji memberi "Corporate Guarantee" kepada THHE untuk mendapatkan pinjaman bank sehingga USD228.2 juta (bersamaan RM981.3 juta) untuk membiayai projek FPSO Layang.

Sehingga ke hari ini, pengurusan Tabung Haji tidak menafikan bahawa kedua-dua dokumen ini sahih. Dalam laporan polis terhadap saya pun, pengurusan Tabung Haji tidak menyatakan bahawa dokumen-dokumen ini palsu sedangkan jika saya menyebarkan maklumat berdasarkan dokumen palsu, itu sudah tentu menguatkan kes jenayah terhadap saya.

Maknanya kedua-dua dokumen ini adalah benar, lalu boleh disimpulkan ia mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. THHE memerlukan suntikan dana RM981.3 juta untuk menyiapkan kontrak FPSO Layang yang kini dibimbangi akan tersasar dari jadual yang telah dipersetujui dengan pemiliknya iaitu JX Nippon Oil. Jika THHE terus mengalami masalah aliran tunai dan tidak mampu membayar kontraktornya (sekarang ini pun ada tuntutan sebanyak RM109.7 juta yang masih tertunggak dengan kontraktor), maka kelewatan projek FPSO Layang ini akan menyebabkan THHE tidak dibayar (atau bayarannya dipotong) oleh JX Nippon Oil. Ini pernah berlaku bagi salah satu projek THHE sebelum ini melibatkan kontrak dengan Murphy Oil.

2. Oleh kerana projek FPSO Layang ini adalah projek terbesar THHE setakat ini dan prospek industry minyak dan gas yang lembap akan menyebabkan tidak ada kontrak-kontrak baru, kelewatan FPSO Layang (atau pembatalan pembayaran) akan menyebabkan THHE berhadapan dengan kedudukan kewangan yang meruncing sekali lagi dan risiko muflis. Jika ini berlaku, pelaburan sedia ada oleh Tabung Haji sebanyak RM525 juta (kerugian harga saham sebanyak RM200 juta, pinjaman sukuk RM50 juta dan ICPS RM275 juta) akan hangus begitu sahaja.

3. Sebab itu nampaknya Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali memastikan THHE mendapat bantuan kewangan baru bagi membiayai kerja-kerja menyiapkan FPSO Layang. Atas sebab inilah, saya menyimpulkan bahawa pengurusan Tabung Haji TELAH BERSETUJU untuk memberikan Corporate Guarantee ("CG") kepada pinjaman baru THHE sebanyak RM981.3 juta bagi mengelakkan THHE berdepan risiko kewangan yang meruncing.

4. Hasil dari keputusan itu, pengurusan Tabung Haji membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 12 November 2015 kerana tindakan memberi CG kepada syarikat bersekutu (pelaburan Tabung Haji hanyalah 30%) adalah melanggar akta. Dalam surat bertarikh 8 Disember 2015, Kementerian Kewangan meluluskan permohonan Tabung Haji itu.

5. Walau bagaimana pun, Bahagian Pengurusan Risiko Tabung Haji di dalam laporannya bertarikh 7 Januari 2016 telah menyatakan risiko-risiko kewangan yang besar jika Tabung Haji meneruskan hasratnya memberikan CG kepada THHE (walaupun diluluskan Kementerian Kewangan). Risiko terbesar ialah kerugian keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion jika THHE gagal menyiapkan FPSO Layang tepat mengikut jadualnya.

6. Pada 25 Januari 2016, surat Kementerian Kewangan dan Laporan Risiko Pelaburan bocor kepada orang ramai dan tersebar di Internet.

Sudah tentu dalam tempoh dari tarikh 25 Januari 2016 (bila mana dokumen-dokumen itu bocor) dan kenyataan media saya mengenai kerugian pelaburan Tabung Haji di dalam THHE pada 25 Februari 2016, ada beberapa kemungkinan yang berlaku mengenai CG kepada THHE ini:

i. Perjanjian pinjaman bank di antara THHE dan bank terbabit belum dimuktamadkan walaupun CG telah diluluskan; atau

ii. Tabung Haji membuat keputusan membatalkan keputusan awalnya memberikan CG kepada THHE apabila perkara itu bocor kepada orang awam

Namun ini tidak menukar persoalan pokok yang saya ajukan mengenai pelaburan Tabung Haji di dalam THHE, iaitu bagaimanakah Tabung Haji mahu mendapatkan kembali dana pendeposit yang telah dilaburkan setakat ini mengambil kira kedudukan aliran tunai THHE dan jadual projek FPSO Layang yang berdepan risiko kelewatan?

Jika THHE membatalkan CG kerana bimbang dengan kemarahan rakyat, maka THHE berkemungkinan tidak mempunyai cukup dana untuk membayar kontraktor sedia ada dan kerja-kerja akan datang. Ini akan membawa kesan kepada kelancaran projek FPSO Layang yang membawa risiko JX Nippon tidak membayar THHE (kerana lewat), seperti mana Murphy Oil dilaporkan tidak membayar THHE sebelum ini. Dalam keadaan ini, pelaburan sedia ada Tabung Haji berjumlah RM425 juta akan hangus begitu sahaja (seperti Laporan Risiko Pelaburan).

Jika THHE meneruskan dengan keputusan awal memberikan CG, ini bermakna FPSO Layang berkemungkinan akan disiapkan mengikut jadual yang dipersetujui. Walau bagaimana pun, industri minyak dan gas sedang melalui zaman menguncup dan harga minyak mentah dijangka kekal rendah bagi tempoh 5 hingga 8 tahun akan datang. Dalam keadaan THHE hanya mempunyai projek FPSO Layang sebagai projek terbesarnya, bagaimanakah THHE akan kekal mencatatkan keuntungan tanpa perlu ada suntikan baru dari Tabung Haji. Jika THHE berhadapan dengan masalah kewangan lagi di masa akan datang, Tabung Haji terdedah kepada kerugian berjumlah RM1.4 bilion (seperti Laporan Risiko Pelaburan).

Ini adalah perkara-perkara penting yang perlu dijelaskan oleh pengurusan Tabung Haji dan pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim. Sebaliknya, pengurusan Tabung Haji mengambil tindakan kebudak-budakan dan bermain politik dengan membuat laporan polis terhadap saya dengan menuntut saya menamakan bank yang terlibat (tidak ubah seperti laungan cyber trooper UMNO sebelum itu).

Orang ramai kebanyakannya faham bahawa ada kemungkinan perjanjian pinjaman belum dimuktamadkan atau CG dibatalkan setelah dokumen-dokumen bocor. Kegagalan Tabung Haji memberi jawapan yang mudah dan jelas terhadap isu yang saya timbulkan (sebaliknya berselindung di sebalik laporan polis) akan melunturkan lagi keyakinan orang ramai terhadap pengurusan Tabung Haji dan pengerusinya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan yang memberi tumpuan kepada pelaburan Tabung Haji yang merugikan dan isu-isu tata kelola yang lain minggu ini dan minggu depan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


ULASAN GB

Syabas YB Rafizi.

Orang yang berpegang kukuh kepada prinsip "menegakkan kebenaran dan keadilan" tidak gentar apa-apa pun. Dia akan sentiasa terbela oleh hukum itu.

Apa tah lagi apabila ia bersandarkan kepada fakta-fakta jelas yang telah dilakukan "homework" terlebih dahulu.

Negara hanya boleh diselamatkan apabila kita kembali kepada hukum kebenaran dan keadilan. Apa juga masalah dan kepincangan yang berlaku sekarang ini, maka yang menimbulkan masalah dan kepincangan itu (termasuklah para penyokong dan pengampunya) akan terpaksa membayar "harga yang mahal", kerana lebih telah kerosakan dan kezaliman yang dilakukan, maka akan lebih teruk juga balasan yang akan diterima.

Itu GOLDEN RULE, yang merentasi segenap sempadan tak terkecuali sempadan "agama". Walaupun seseorang itu bergelar "ulamak besar" sekalipun namun hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan ke atasnya. Seorang ulamak besar juga boleh ditimpa musibah seperti jatuh sakit, masuk hospital, diheret ke mahkamah dan sebagainya.

Al_Quran mencatatkan dengan indah GOLDEN RULE ini:

"Dan apa saja musibah (kecelakaan) yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah mema'afkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan kamu)." (As-Syuura' : 30)



GB dah kata pun sebelum ini, peluru dari langit ini akan tiba juga:

KPPHM: Selamatkan Malaysia, Turunkan Najib!

Posted: 01 Mar 2016 06:37 PM PST

KENYATAAN MEDIA KPPHM

1) Umum mengetahui bahawa kepincangan yang berlaku di dalam sistem politik, ekonomi dan sosial di dalam negara adalah hasil dari kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal seperti 1MDB, Isu derma RM2.6 bilion, pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia yang mencurigakan dan lain-lain skandal.

2) Pemecatan Peguam Negara, pemindahan dan penangkapan beberapa pegawai SPRM, penggantian ahli-ahli PAC sehinggalah kepada penyingkiran Datuk Seri Muhyidin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO yang sebelum ini berani tampil untuk mengkritik Najib adalah bukti nyata Najib kini begitu terdesak untuk melakukan apa sahaja demi mempertahankan kuasanya.


3) Rasuah semakin menjadi-jadi dengan berteraskan prinsip Najib "I help U, U help me" menyebabkan lahir begitu ramai para menteri dan pegawai kerajaan yang sanggup menjadi pengampu, pembodek dan pak turut . Rasuah dan ketirisan wang negara seakan tidak terbendung lagi.

4) Dibawah kepimpinan Najib juga, dunia sinis terhadap Malaysia, media dan akhbar luar negara melabelkan Malaysia "The Most Corrupt Country In The World".

5) Rakyat semakin tertekan dan menderita. Dasar-dasar kerajaan yang dirangka lebih bermotifkan kepada pengekalan kuasa kerajaan UMNO BN dan bukan bertujuan untuk mensejahterakan rakyat. Peruntukan sektor penting kehidupan rakyat dipotong di pelbagai kementerian, tetapi peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri dinaikkan sebanyak RM1.1 bilion adalah langkah keterlaluan.

Justeru itu, Kelab Penyokong Pakatan Harapan Malaysia (KPPHM) menyokong segala usaha bagi tujuan menyelamatkan Malaysia daripada terus terjebak dalam pelbagai masalah dan kepincangan sehingga menyebabkan negara menjadi rosak binasa lantarannya.

KPPHM menyokong dan akan bersama dengan mana-mana gerakan yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

KPPHM juga menyokong supaya Najib dan BN ditukarkan agar rakyat dapat melaksanakan agenda reformasi dalam ekonomi, politik dan sosial di negara ini. KPPHM mahu menggunakan saluran demokrasi supaya Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

KPPHM berpendapat selagi Najib menjadi PM, negara akan terus menjadi lebih rosak dan ianya perlu dihentikan segera.

Justeru, KPPHM menyokong penuh kenyataan media Presiden Parti Amanah Negara dan juga kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini yang menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik kepartian di dalam usaha SELAMATKAN MALAYSIA.

Greenboc
Timbalan Presiden
Kelab Penyokong Pakatan Harapan Malaysia
merangkap
Pengerusi Biro Publisiti dan Komunikasi KPPHM

1 Mac 2016


KENYATAAN MEDIA
AMANAH SEDIA BERSAMA SEMUA PIHAK DALAM MISI SELAMATKAN MALAYSIA

1. Suasana negara hari ini menuntut semua pihak bertangungjawab melakukan yang terbaik untuk memulihkan maruah negara setelah Perdana Menteri culas melaksanakan tanggungjawabnya. Kegagalan Institusi Pejabat Peguam Negara mempertahan kepentingan rakyat menangani secara tuntas dalam skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International, sangat mengaibkan negara. Krisis kepercayaan (trust deficit) terhadap kepimpinan dan kedaulatan negara sudah sampai kepada kemuncaknya.

2. Hari ini bekas Perdana Menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamed telah melahirkan rasa kesalnya ke atas apa yang berlaku dan menyeru kita semua meninggalkan kepentingan parti demi menyelamatkan negara daripada kepimpinan Perdana Menteri hari ini. Seruan Tun Mahathir selaku seorang tokoh perlu diambil serius oleh semua pihak walaupun gerakan massa menyelamatkan negara dari kepincangan kepimpinan negara sudahpun diaktifkan lebih awal oleh Gerakan Reformasi (1999-2008) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (dipenjarakan 2 kali) yang kemudiannya disambung melalui wadah Pakatan Rakyat (2009-2014) dan terbaru Pakatan Harapan (2015 hingga kini).

3. Antara sebab utama DS Najib sukar untuk diganti adalah kerana UMNO masih mempertahankan kedudukan Perdana Menteri. Ketua-Ketua Bahagian UMNO terbelenggu daripada melihat kepentingan yang lebih besar kerana terperangkap dalam budaya politik wang dan hanya mementingkan tembolok sendiri.

4. AMANAH bersama dalam mana-mana gerakan yang menolak penyelewengan dan salah guna kuasa namun pada waktu yang sama AMANAH mendesak agar reformasi institusi negara secara menyeluruh dapat disegerakan dengan menukar kerajaan sedia ada secara demokratik.

5. Oleh itu, AMANAH dengan slogan HARAPAN BARU, bersedia melihat kepentingan gerakan SELAMATKAN MALAYSIA bagi membantu cita-cita perubahan dan reformasi yang telah digerakkan selama ini oleh PR dan PH serta masyarakat madani. Oleh itu, AMANAH akan bersama mana-mana gerakan rentas kepartian atas prinsip warganegara yang prihatin terhadap masa depan negara.

"Harapan Baru"

TN HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara 1 MAC 2016



KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

MUAFAKAT RAKYAT SELAMATKAN MALAYSIA

Pakatan Harapan menyifatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan Tun Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan.

Kenyataan-kenyataan Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini ada menunjukkan kecenderongan mereka menerima hakikat bahawa sistem kerajaan yang memusatkan kuasa di tangan Perdana Menteri adalah berbahaya. Pendirian itu secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang menyeluruh.

Pakatan Harapan menghormati suara rakyat yang mahukan kepentingan dan perbezaan politik diketepikan demi menyelamatkan negara. Pakatan Harapan juga mempertahankan kehendak rakyat supaya sebarang perubahan mestilah melibatkan reformasi institusi yang menyeluruh (termasuklah pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa salahguna kuasa), bukannya setakat menukar Perdana Menteri tetapi mengekalkan sistem sedia ada.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mengalu-alukan semua pihak untuk merangka kempen bersama yang akan digerakkan secara bersepadu melibatkan semua golongan dan kumpulan rakyat. Untuk tujuan itu, Pakatan Harapan akan memanggil satu sidang rundingan dengan semua pihak yang mahu turut serta dalam usaha menyelamatkan negara ini. Butir-butir sidang rundingan ini akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 7 Mac 2016 di Bangunan Parlimen.

1 Mac 2016

YB DATO' SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH


Tiada ulasan: