Selasa, 1 Mac 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Sultan mahu akhbar lapor pemimpin rasuah tanpa gentar

Posted: 01 Mar 2016 03:19 AM PST

MALAYSIAKINI




Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah bertitah supaya salah laku rasuah di negara ini dilaporkan tanpa gentar, memihak atau berat sebelah dan tidak mengira siapa yang melakukannnya.

Pada ucaptama Majlis Anugerah Bisnes Utusan di Kuala Lumpur, hari ini, titah baginda juga mahu rakyat negara ini diasuh dengan budaya supaya membenci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukan rasuah.

"Salah laku rasuah hendaklah dilaporkan tanpa memihak, tanpa gentar – tanpa berat sebelah, kerana rasuah ialah rasuah walau siapa juga yang melakukannya.

"Warga perlu diasuh dengan budaya yang benci rasuah dan menolak pemimpin yang melakukan rasuah. Warga perlu dididik untuk memandang rasuah dengan rasa amat jijik," titah baginda.

Menurut Sultan Nazrin, perkara itu perlu dilakukan memandangkan Indeks Persepsi Rasuah 2015 oleh Transparency International meletakkan negara di kedudukan ke-54 daripada 168 buah negara.

Baginda juga memberi peringatan sekiranya rasuah gagal diperangi, ia akan melumpuhkan negara dan rakyat keseluruhannya, terpaksa membayar dengan penderitaan dan kesengsaraan seperti yang dialami oleh rakyat di kebanyakan negara mundur.

"Rasuah merupakan barah yang dikatakan sedang merebak dalam batang tubuh negara; rasuah bagaikan anai-anai yang sedang membusut besar dan semakin mereputkan tonggak-tonggak utama negara.

"Masakan pokok semakin bergoyang, jika tiada angin yang meniupnya.

"Kegagalan memerangi dan kegagalan membanteras rasuah secara serius, secara bersungguh, secara berkesan, secara komited, dibimbangkan berpotensi melumpuhkan negara," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin meminta kumpulan Utusan melalui penerbitannya memainkan peranan aktif mendedahkan pemimpin negara yang terbabit dengan gejala rasuah.

"Kumpulan Utusan melalui bahan-bahan penerbitannya hendaklah berperanan aktif membantu membina sebuah pentadbiran dan sebuah negara bangsa yang sifar rasuah," titahnya.

Baginda juga mencadangkan supaya kumpulan Utusan mewujudkan ruangan yang meningkat kesedaran tentang rasuah dengan menulis tentang tokoh-tokoh yang bersih rasuah untuk dijadikan teladan.

"Sementara kisah-kisah pemimpin yang melakukan rasuah boleh dijadikan sempadan.

"Memerangi rasuah hendaklah dijadikan satu perjuangan – satu jihad.

"Adalah menjadi tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan untuk setiap warga berperanan aktif memelihara negara daripada terjerumus ke lembah kehinaan," titah baginda lagi.


Petronas tamatkan perkhidmatan 1000 pekerja

Posted: 01 Mar 2016 03:16 AM PST

MALAYSIAKINI




Dalam usaha untuk terus berdaya saing ketika harga minyak mentah terus menjunam, Kumpulan Petronas mengumumkan bahawa syarikat itu akan menghentikan perkhidmatan hampir 1000 pekerjanya di bawah rancangan penstrukturan semula.

"Usaha menyeluruh berterusan akan dijalankan bagi menempatkan semula pekerja yang terlibat.

"Petronas seterusnya akan memulakan proses pemisahan bagi pekerja-pekerja ini seperti yang diperlukan yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan akan datang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Mengikut laporan tahunan 2014, Petronas menggaji sejumlah 50,949 pekerja.

Penyusunan semula itu dibuat hanya beberapa bulan selepas Shell Malaysia mengumumkan langkah pengurangan pekerjanya.

Pada 30 September lalu, Shell mengumumkan bahawa ia akan menamatkan perkhidmatan 1,300 perkerja daripada jumlah 6,500 yang berkhidmat dengan syarikat itu.

AYAT APA NI?

Posted: 01 Mar 2016 03:08 AM PST

shahbudindotcom

 

 
 
Di ketika Najib Razak dipertikaikan di seluruh dunia, malah diperkatakan ramai persamaan kepimpinannya dengan pencapaian cemerlang bapanya hampir tidak ada sama sekali, agak menghairankan apabila tiba-tiba Tun Abdullah Badawi boleh berkata sebaliknya pula.

"Saya sebagai seorang ayah, yakin dan percaya, bahawa jika Allahyarham Tun Razak masih ada bersama kita pada hari ini, beliau pasti cukup berbangga dengan apa yang dicapai oleh anak sulungnya dalam mengisi sebuah ruang yang cukup besar ditinggalkan oleh beliau," kata bekas Perdana Menteri itu.

Apa agaknya yang Tun Razak boleh berbangga dengan pencapaian Najib?

Apakah mungkin Tun Razak boleh berbangga dengan 1MDB, derma berbilion-bilion dan dana sebuah syarikat milik kerajaan yang masuk ke akaun peribadi Najib?

Berbanggakan juga Tun Razak dengan segala macam kemewahan serta pembaziran Najib bersama isteri dan anak-anaknya yang bertahun-tahun sudah menjadi bualan ramai?

Lebih-lebih lagi lafaz kata Tun Abdullah itu dilakukan hampir serentak dengan tindakan Tun Mahathir Mohamad keluar UMNO yang bukan saja dilihat terus mengancam kedudukan  Najib di singgahsana Perdana Putra, malah juga menjadikan "hari-hari terakhir" BN semakin di penghujungnya.

Adakah ini merupakan ayat sindiran atau barangkali tanda-tanda sudah termakan dedak juga?


Rakyat sanggup kerja sektor 3D jika gaji berpatutan

Posted: 01 Mar 2016 03:02 AM PST

3d work

Oleh Syazana Hasanudin



BUKIT MERTAJAM: Rakyat Malaysia tidak memilih pekerjaan, bahkan sanggup bekerja dalam bidang pekerjaan 3D – kotor, sukar dan berbahaya – jika mereka dibayar dengan gaji berpatutan seiring dengan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Satees Muniandy, berkata majoriti rakyat tidak mahu bekerja dalam sektor berkenaan pada masa ini kerana pendapatan diterima tidak setimpal dengan tahap kesukaran pekerjaan itu.

"Rakyat negara ini memilih pekerjaan bukan berdasarkan sektor, tetapi jumlah gaji diterima – sama ada mampu menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat akibat dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional.

"Alasan BN bahawa 1.5 juta pekerja asing perlu dibawa masuk bagi melakukan pekerjaan 3D hanyalah cara melepaskan diri dari menyelesaikan masalah pendapatan rendah dan sara hidup tinggi di kalangan rakyat," katanya kepada Roketkini. 

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini bahawa golongan belia terlalu memilih pekerjaan sehingga menyebabkan kerajaan 'terpaksa' membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh untuk memenuhi sektor 3D.

Tambahnya, tuduhan kedua-dua Menteri itu bercanggah dengan situasi di Pulau Pinang apabila sektor 3D dipenuhi dengan rakyat tempatan berikutan gaji diterima setimpal dengan pekerjaan dilakukan mereka.

"Sejak MPSP menghentikan penyumberan luar pada 2014, hampir tiga ribu rakyat Malaysia kini mendapat peluang pekerjaan dalam sektor 3D dengan kami.

"Malah, setiap kali MPSP mengadakan sesi temuduga, ribuan calon hadir bagi merebut peluang pekerjaan. Ia jelas membuktikan bahawa rakyat tidak memilih pekerjaan, asalkan dibayar dengan gaji setimpal," katanya.

Beliau berkata, seorang Pembantu Awam Gred H11 di MPSP menerima pendapatan sebanyak RM1,545 sebulan termasuk elaun, bahkan mampu mencecah RM2,500 sebulan jika rajin bekerja lebih masa.

"Daripada sibuk menyalahkan golongan belia, lebih baik kerajaan berusaha menyelesaikan masalah pendapatan rendah yang semakin membebankan rakyat hari ini," katanya. – Roketkini.com


Kerajaan tarik balik subsidi tepung 25kg

Posted: 01 Mar 2016 02:55 AM PST

ANTARAPOS,COM


Post Pic


PETALING JAYA: Subsidi seguni tepung gandung seberat 25 kilogram akan ditarik balik mulai hari ini.

Pengilang yang menghadiri mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan minggu lalu berkata, mereka dimaklumkan mengenai penghapusan subsidi tepung gandum.

Pemborong juga dipercayai telah menerima pekeliling mengenai perubahan harga bagi tepung gandung seberat 25kg di Semenanjung Malaysia termasuk jenama Blue Key, yang kini dijual pada harga RM42 tanpa subsidi.

Memetik laporan The Star, seorang pengilang tepung yang hanya mahu dikenali sebagai Ng berkata, beliau adalah antara wakil-wakil industri yang hadir pada mesyuarat 24 Februari lalu yang dihadiri oleh pegawai kanan kementerian.

"Tepung gandum RM25kg yang dibeli oleh peruncit seperti kedai kopi dan restoran mamak, akan meningkat daripada RM33.75 kepada RM42," kata Ng.

Kenaikan ini satu mungkin membawa kepada kenaikan harga makanan seperti roti canai, mi dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan mengekalkan harga RM1.35 subsidi bagi 1kg tepung gandum yang dibeli oleh isi rumah seperti jenama Blue Key dan Bunga Cempaka.

Beliau berkata, sebelum ini mereka menikmati RM600 hingga RM800 subsidi bagi setiap tan metrik tepung yang dihasilkan setiap bulan atau 60 sen hingga 80 sen sekilo bergantung kepada harga gandum di pasaran.

Subsidi ini, katanya telah merosakkan harga pasaran tepung kerana kos memproses gandum menjadi tepung boleh melebihi RM33.75 sekilo.

Harga untuk pengeluaran tepung adalah berbeza-beza berdasarkan harga gandum iaitu yang terkini adalah RM968 (AS$230) satu tan metrik.

"Kami mengalu-alukan keputusan kerajaan," katanya.

Seorang lagi pengimport tepung berkata, harga makanan seperti roti canai dan kuih tempatan yang menggunakan tepung biasa boleh terjejas akibat penghapusan subsidi ini.

Beliau berkata roti, biskut dan kek yang menggunakan tepung premium yang tidak mendapat subsidi, tidak akan terjejas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Seri Alias ​​Ahmad enggan mengulas mengenainya.


Proton eksport 1,000 unit Preve ke Chile tahun ini

Posted: 01 Mar 2016 02:52 AM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (Proton) memasuki semula pasaran Chile selepas eksport terakhirnya ke negara itu membabitkan model Proton Wira pada 1998.
 
Bagi pasaran Chile, sebanyak 50 unit kumpulan pertama Proton Preve pemanduan sebelah kiri (LHD) akan dieksport ke San Atonio, Chile daripada 1,000 kereta yang akan dijual di negara berkenaan tahun ini.
 
Kereta Proton akan dijual menerusi anak syarikat Kaufman Group, Andes Motor sebagai pengedar bagi Chile yang menandatangani Perjanjian Pengedar bersama Proton pada 1 Julai tahun lalu.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata rancangan eksport semula ke Chile bermula apabila Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara itu pada Februari 2012.
 
"PROTON menikmati pengecualian duti import sebanyak enam peratus menerusi inisiatif FTA Malaysia-Chile. Ia memberi peluang kepada kami untuk mengenal pasti pasaran berpotensi bagi kenderaan LHD," katanya pada majlis perasmian pelepasan kumpulan pertama Proton Preve ke Chile di sini, sebentar tadi.
 
Ia disempurnakan Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
 

Tun M ambil langkah tepat keluar Umno - Salleh Keruak

Posted: 01 Mar 2016 02:49 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tepat apabila beliau keluar daripada Umno, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
 
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai pilihan terbaik bagi Dr Mahathir ekoran hubungan beliau dengan Umno atau pemimpin lain tidak dapat dipertahankan lagi.
 
"Tindakan Dr Mahathir memudaratkan parti dan adalah kelihatan tidak logik sekiranya beliau terus berada dalam parti, dan pada waktu yang sama, menentang parti.
 
"Sekiranya Dr Mahathir ingin terus menyerang Umno, maka beliau perlu berbuat demikian di luar Umno. Itu merupakan perbuatan mulia dan beretika untuk dilakukan.
 
"Ini kali ke-3 Dr Mahathir meninggalkan Umno," katanya melalui catatan terbaru dalam laman blognya.
 
Kali pertama ialah apabila beliau dipecat presiden parti ketika itu Tunku Abdul Rahman. 
 
Selepas itu beliau sekali lagi keluar daripada Umno pada 2008 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui parti itu.
 
Salleh berkata beliau sedih dengan episod kali ini, bukan kerana Dr Mahathir sekali lagi meninggalkan Umno tetapi kerana keadaan pengundurannya.
 
Tiada siapa boleh menafikan Dr Mahathir banyak berjasa kepada negara sepanjang 22 tahun beliau menjadi perdana menteri, "walaupun tempoh beliau menyandang jawatan itu, tidaklah bebas sepenuhnya daripada kecacatan."
 
"Tetapi, peristiwa yang berlaku pada tahun lepas serta pengundurannya hari ini akan lebih diingati daripada kebaikan yang beliau lakukan.
 
"Saya ingin melihat sisi baik dan buruknya secara saksama dan ingin mengingatkan orang ramai walaupun ini merupakan  sesuatu yang menyedihkan dalam sejarah parti, terdapat juga perkara yang baik dan kita perlu menerima gandingan kedua-duanya.
 
Salleh berkata, beliau sedar pengunduran Mahathir itu tidak akan menamatkan kritikan Mahathir terhadap Umno. 
 
"Saya hanya berharap agar kita dapat menjaga maruah dan tertib serta tidak membawa negara terjerumus ke dalam politik longkang.
 
"Dan, dengan penuh keikhlasan, saya mengharapkan yang terbaik bagi Dr Mahathir pada masa akan datang," katanya.
 
 

Zahid harap Tun M pertimbang keluar Umno

Posted: 01 Mar 2016 02:48 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menghormati keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar daripada Umno, namun berharap bekas presiden parti itu mempertimbangkan semula keputusannya itu.
 
Ahmad Zahid, naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas sebagai timbalan presiden Umno itu yakin bekas perdana menteri itu masih sayangkan Umno dan memahami bahawa seorang presiden Umno memerlukan sokongan daripada ahli-ahlinya.
 
"Saya yakin sebagai salah seorang perdana menteri yang terlalu lama memerintah beliau (Mahathir) tentunya maklum bahawa adanya beliau sebagai perdana menteri disebabkan sokongan daripada ahli Umno," katanya kepada pemberita di sini, selepas merasmikan majlis penyampaian Anugerah Dinar Emas 2016 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin) di ibu negara malam tadi.
 
Dr Mahathir, 90, semalam mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada UMNO selepas pernah berbuat demikian pada 19 Mei 2008 ketika zaman kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
 
"Saya menghormati secara peribadi keputusan dan segala yang telah diputuskan Tun Dr Mahathir. Namun saya fikir bahawa beliau akan tentunya pertimbangkan semula keputusan itu bila tiba masanya kelak," kata Ahmad Zahid.
 
Dr Mahathir dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini membuat pengumuman beliau dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar daripada Umno.
 
Selepas bertindak keluar daripada Umno pada 2008, Dr Mahathir kembali menyertai Umno pada 4 April, 2009 selepas Datuk Seri Najib Razak menerajui kepimpinan negara dan parti.
 
Dr Mahathir juga pernah dipecat keanggotaannya dalam Umno pada 26 September 1969 atas sebab-sebab disiplin semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan kembali ke pangkuan Umno pada 7 Mac 1972 di era pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.
 
Ditanya tindakan Tun Dr Mahathir itu akan memberi kesan kepada parti, Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Umno perlu kukuh bersatu untuk terus mendapat sokongan rakyat.
 
"Saya memahami apa yang penting adalah untuk bekerja bersama-sama bagi membina semula parti terutama membina semula keyakinan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera serta memastikan Umno dan BN mendapat sokongan rakyat," katanya

DAP sedia kerjasama dalam “grand coalition” demi selamatkan Malaysia

Posted: 01 Mar 2016 02:47 AM PST

dapdap

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Demi menyelamatkan negara daripada belenggu skandal dan krisis berpanjangan, DAP menggesa semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan fahaman untuk bersatu di bawah satu gabungan raya atau "grand coalition".

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menjelaskan pakatan besar itu bukan dan tidak sama dengan idea "Kerajaan Perpaduan" yang dipelopori dua parti kaum Melayu terbesar negara, UMNO dan PAS, kerana cadangan "grand coalition" ini akan menjadi gabungan yang berusaha ke arah satu tujuan yang sama, iaitu menyelamatkan Malaysia.

Untuk menjayakan gabungan baru itu, beliau berkata, ia harus mempunyai ciri-ciri sebuah kerajaan yang berdaya maju dan mampan yang merentas kaum, agama, budaya dan wilayah.

"Tambahan pula, ia harus ada visi dan program yang berpandangan hadapan untuk mengembalikan kejayaan negara dan memberi laluan kepada rakyat untuk menjayakan segala aspek kemanusiaan, sama ada politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sukan, teknologi maklumat dan persekitaran.

"(Grand coalition ini) bagi membentuk sebuah negara cemerlang yang bebas rasuah yang mana ia mempertahankan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia," ucapnya dalam satu sesi retreat Ahli Majlis DAP Selangor di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Tambah beliau, DAP sedia untuk bergabung dengan mana-mana individu dan rela melupakan kisah lama demi dasar bersama untuk menyelamatkan negara daripada terus menjadi sebuah negara yang gagal dan dipecahbelahkan oleh pemimpin yang korup.

"Saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mempunyai dasar (Selamatkan Malaysia) dan melupakan perkara yang lalu, termasuk dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu agenda yang sama untuk menyelamatkan Malaysia," jelas beliau.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr. Abdul Aziz Bari, yang turut menyokong gagasan Kit Siang, menyatakan gabunganraya itu wajar dilaksanakan bagi menyelesaikan kemelut yang berterusan dihadapi negara, sekaligus membuka satu jalan baru untuk negara bergerak daripada pengalaman pahit itu.

Katanya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak semakin goyah berikutan masalah dalaman UMNO di mana parti itu menggantung Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Dr Mahathir mengejutkan arena politik tempatan dengan mengumumkan keluar UMNO atas alasan parti itu sudah menjadi menjadi milik Najib sematga-mata.

Aziz yang juga pakar Perlembagaan Persekutuan berkata, setiap Ahli Parlimen harus bertanya diri sendiri sama ada mereka yakin dengan kepimpinan Najib atau mahu mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang lebih baik dalam pilihanraya umum yang baru.

"Apa yang berlaku kepada negara sangat melampau dan tidak mampu ditanggung rakyat….Sudah tiba masanya Ahli Parlimen memikirkan mengenai pakatan itu," katanya. – Roketkini.com


Pendedahan terbaru WSJ: Najib terima RM4.2 bilion, bukannya RM2.6 bilion

Posted: 01 Mar 2016 02:45 AM PST

tony arab

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Akhbar The Wall Street Journal hari ini mendedahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak berjumlah lebih dari USD1 bilion (RM4.2 bilion) dan bukan sekadar USD681 juta (RM2.6 bilion).

Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata Perdana Menteri perlu menolak dakwaan akhbar Amerika Syarikat itu dan menerangkan butirannya kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia jika ia adalah laporan yang dituduh palsu dan berniat jahat seperti didakwanya sebelum ini.

"Najib perlu memberi butiran jelas mengenai wang itu, lebih-lebih lagi WSJ mengatakan sumber maklumat itu datang dari dua negara yang sedang menyiasat skandal kewangannya.

"Malah, laporan WSJ mengatakan wang itu berasal dari 1MDB – dan bercanggah dengan kenyataan Peguam Negara bahawa ia diderma oleh kerabat diraja Arab Saudi," katanya di sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mencadangkan Najib untuk mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan jika dakwaan itu tidak benar, termasuk membuat saman kesalahan fitnah di Amerika Syarikat.

"Jika tindakan tidak boleh diambil terhadap WSJ di Malaysia, maka beliau boleh lakukannya di Amerika Syarikat. Kenapa beliau tidak saman WSJ?" katanya.

WSJ mendakwa Najib menerima lebih dari AS$1 bilion dalam akaun peribadinya, termasuk wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang didakwa telah 'dibersihkan' Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dengan mendakwa ia adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Tony berkata, Apandi pula perlu menerangkan sumber dan ke mana perginya baki wang AS$1 bilion itu kerana beliau sebelum ini hanya menyebut perihal AS$681 juta.

"Apandi perlu menerangkan bagaimana wang sebanyak itu boleh dideposit ke dalam akaun peribadi Najib. Jika sebelum ini ia kononnya datang dari penderma Arab Saudi, mungkinkah kali ini ia datang dari penderma Pakistan?" katanya.

Beliau berpendapat sudah tiba masa Apandi membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima bantuan badan kehakiman bagi mendedah kebenaran berhubung skandal melibatkan Perdana Menteri itu. – Roketkini.com

Mahathir Keluar UMNO Lagi? Apa Impak Kepada UMNO, BN, Pembangkang, Akar Umbi UMNO dan Pengundi?

Posted: 01 Mar 2016 02:40 AM PST

BERITA SEMASA


Mahathir Keluar UMNO Lagi? Apa Impak Kepada UMNO, BN, Pembangkang, Akar Umbi UMNO dan Pengundi?


mahathir keluar umno


Pada minggu ini telah mencatatkan sekali lagi sejarah yang mana mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Mahathir keluar UMNO lagi sebagai reaksi tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib Razak yang dipalit dengan beberapa isu dan skandal.

Mahathir keluar UMNO sebelum ini pada era kepimpinan Pak Lah. Drama politik di Malaysia semakin mencapai klimaks.
Berita Semasa melihat tindakan figura politik yang sudah memimpin negara ini selama lebih 20 tahun lamanya yang mana Tun Mahathir keluar UMNO lagi secara umumnya sebahagian ahli dan pemimpin UMNO meluahkan rasa lega disebalik pergolakan politik yang berada dalam parti UMNO sendiri sehingga ada merasakan selagimana Mahathir berada di dalam, beliau akan menjadi duri dalam daging kepada UMNO itu sendiri.

Persoalannya, apa impak disebalik kepada tindakan Mahathir keluar UMNO kepada parti UMNO sendiri, Barisan Nasional, akar umbi UMNO, bakal pengundi menjelang Pilihanraya umum ke 14 dan juga kepada rakyat Malaysia sendiri umumnya sekaligus memberikan kesan besar kepada landskap politik negara Malaysia selepas ini?

Tetapi Berita Semasa merasakan keluarnya Tun Mahathir Mohamad dari parti UMNO boleh memberikan kesan dan impak kepada beberapa segmen dalam kumpulan pengundi di Malaysia hari ini. Contohnya?

Tun Mahathir Keluar UMNO Lagi : Senarai Kesan dan Impak Kepada….

 

KLIK SINI: Tun Mahathir Tolak Sokong Najib Razak Lemah, Sokongan Teruk, Ekonomi dan..
  1. Contohnya, segmen akar umbi UMNO itu sendiri. Ada kemungkinan yang akan terpengaruh, simpati dan sebagainya. Masakan tindakan sosok Mahathir bukan calang-calang dalam sepak terajang politik di Malaysia.
  2. Keduanya, senario politik pada Pilihanraya Umum ke 12 pada 2008 dan yang bakal mewarnai Pilihanraya Umum ke 14 pada 2018 kelak ada sedikit sebanyak persamaannya. Apa dia? Jangan kita lupa juga, tumbangnya beberapa negeri milik UMNO Barisan Nasional termasuk negeri-negeri di pantai Barat ada disebabakan tindakan ahli UMNO peringkat akar umbi yang protes kepimpinan Tun Abdullah aka Pak Lah disebabkan kritikan-kritikan yang berterusan oleh Tun Mahathir Mohamad. Jadi, jangan ambil mudah. Tatkala pada 2008, negara juga sedang dihimpit masalah ekonomi. Manakala sekarang ini juga ekonomi Malaysia sedang bergelut dan menghadapi kesukaran.
  3. Ketiga, Berita Semasa menjangkakan kumpulan "non partisan" membentuk satu angka yang cukup besar menjangkau 60 peratus daripada jumlah pengundi Malaysia. Yang mana mereka bukanlah kumpulan yang totok, balaci dan pengikut tegar kepada sesebuah parti. Mereka ini mungkin akan terpengaruh, dan akan mula mengkaji apa signifikannya tindakan Mahathir keluar UMNO ini. Kumpulan "non partisan" hari ini yang terdedah dengan pelbagai maklumat, info dan sebagainya sangat mementingkan dan sensitif isu-isu integriti dalam membuat keputusan menjelang Pilihanraya Umum ke 14 kelak.
  4. Keempat, jangan kita lupa tindakan Mahathir akan memberikan markah tambahan kepada pembangkang dan pembangkang akan menggunakan tindakan Mahathir keluar UMNO bermakna apa yang pembangkang perjuangkan selama ini ada asasnya dan relevan kerana dikritik oleh seorang figura politik negara yang disegani iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ya…benarnya sentimen yang hampir sama, pasti tidak. Ya Berita Semasa setuju. Tetapi impaknya pasti ada. Sama-sama kita nantikan, episod drama politik selepas ini.


Rakyat Malaysia dipenjara kerana curi cip kasino S$1juta

Posted: 01 Mar 2016 02:31 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara 48 bulan oleh mahkamah bagi kesalahan mencuri cip kasino bernilai hampir S$1 juta (RM3juta) sebelum melarikan diri dari negara ini.
 
Memetik laporan Channel NewsAsia selain cip itu, Jackson Yeoh turut melarikan kunci sebuah kereta BMW, tiga keping kad kredit dan wang tunai S$9,100.
 
Yeoh ditahan di Malaysia selepas kira-kira lima bulan mencuri di Marina Bay Sands Casino pada September.
 
Menurut laporan itu, daripada jumlah S$910,600 yang dicurinya daripada seorang pesara warga Singapura berumur 71 tahun itu, sebanyak S$701,000 telah ditemukan semula.
 
Pihak pendakwa raya dipetik sebagai berkata cip itu akan dipulangkan kepada mangsa menerusi polis.
 
Apabila ditahan di Kuching, Sarawak, laporan itu menyatakan Yeoh mendakwa telah membuang kad kredit dan kunci kereta itu dan menggunakan wang tunai itu untuk berjudi dan perbelanjaan peribadi. 


Malaysia kekal pilihan industri petrokimia, minyak dan gas

Posted: 01 Mar 2016 02:30 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai lokasi pilihan bagi operasi perniagaan, terutama industri berkaitan petrokimia, minyak dan gas, meskipun berhadapan cabaran global.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Azman Mahmud berkata Malaysia memiliki infrastruktur untuk ketiga-tiga industri berkenaan, selain asas ekonomi negara ini tetap kukuh, dengan ekonomi dijangkakan berkembang antara 4.0 dan 4.5% tahun ini.
 
"Menerusi pelaksanaan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid), Malaysia kini berada dalam peta dunia dari segi peluang pertumbuhan dalam ekosistem ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Schmidt + Clemens Group. 


Sultan Perak pertahan Utusan sebagai 'tidak rasis'

Posted: 01 Mar 2016 02:27 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Akhbar bahasa Melayu tertua di negara ini, Utusan Malaysia, bukan sebuah organisasi rasis tetapi digambarkan sedemikian rupa oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi, kata Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi ini.
 
Dalam ucapan perasmian di Anugerah Perniagaan Utusan 2015, baginda bertitah akhbar itu memperjuangkan isu-isu Melayu sejak pembentukannya 78 tahun lalu dan hanya meneruskan dasar yang kini menjadi sebahagian daripada asas teras syarikat itu.
 
Peranan ini, titah sultan tidak bermakna atau tidak boleh dianggap sebagai tanda Utusan menentang kaum lain atau membenci mereka.
 
"Apa saja persepsi negatif yang dikenakan ke atas Utusan Malaysia, ia bukan sebuah akhbar yang diskriminasi. Ini dapat dilihat apabila ia mempertahankan seorang gadis Cina (Melissa Gooi)," kata Sultan Nazrin.
 
Gooi merupakan seorang pengguna Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong pada 2013.
 
Penolong Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia Zaini Hassan mempertahankan Gooi dan meminta lebih banyak usaha diambil Kementerian Pendidikan untuk mendidik rakyat Malaysia asas-asas mengenai Perlembagaan Persekutuan di sekolah.
 
Sultan Nazrin berkata lagi, akhir-akhir ini, percubaan menggambarkan Utusan Malaysia dalam keadaan negatif kelihatan lebih ketara.
 
"Ia dibuat mereka yang ada agenda menghapuskan kontrak sosial dipersetujui pemimpin terdahulu ketika memformulakan dasar teras yang membentuk negara merdeka.
 
"Mereka jadi lebih vokal dalam mempersoalkan hak Bumiputera dan buat pelbagai aktiviti subversif, cuba mengurangkan hak istimewa Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
"Tindakan itu sama seperti menjolok sarang tebuan. Mereka sebenarnya bermain dengan api," katanya.
 
 

UMNO dan PAS tidak mungkin bersatu

Posted: 01 Mar 2016 02:23 AM PST

 
Majlis Tertinggi UMNO tidak percaya dengan pakatan yang hanya memanfaatkan satu golongan atau satu agama


nazri


KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz membantah sebarang rancangan bergabung kuasa dengan PAS.

Pendirian itu lantaran UMNO dan BN untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama dan bukan "untuk kepentingan Islam" semata-mata.

"Saya seorang manusia yang menghormati kemanusiaan…Apasal kita nak bermusuh? kita semua rakyat Malaysia."

"Bila kata PAS dengan Umno kena bersatu untuk kepentingan Islam. Bila kamu cakap macam tu, siapa musuh kamu? Musuh kamu bukan Islam lah kan?" katanya, dengan jari mencucuk langit menegaskan perkara itu.

"Kalau orang jumpa saya cakap kita kena bantai Cina saya tak suka," kata Nazri memberi contoh. "Kebetulan dia Cina, dia minta ke jadi Cina? Tuhan jadikan dia Cina.

"Orang bukan Islam pun sokong kita juga. Orang bukan Islam tak sokong kita, kita marah. orang Islam tak sokong kita, kita ajak bergabung. Mana boleh macam ni. Tak logiklah!" kata Nazri dalam satu wawancara bersama FMT Ahad lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini berlegar spekulasi perikatan atau penggabungan antara PAS dan UMNO. Spekulasi bertiup kencang selepas parti Islamik itu berpisah dengan bekas rakan sekutu, DAP.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan dirinya tidak mahu terlibat dengan himpunan anti-Najib yang dirancang diadakan pada 27 Mac depan, yang dijangka menemukan pemberontak UMNO dan pembangkang.

Hadi dilaporkan berkata meskipun beliau melawan parti UMNO, beliau mahu berhubungan baik dengan ahli-ahli UMNO.

Mengulas lanjut, Nazri berkata masalah dijangka berbangkit lantaran kedua parti itu bertembung dalam pilihan raya, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, lantas menyebabkan pembahagian kerusi hampir mustahil.

"Saya tak setuju dengan PAS dan UMNO parti politik. Pilihan raya nanti, kita bertanding di atas kerusi yang sama. Parlimen dan negeri. Macam mana nak bahagi?

"Macam kawasan saya, PAS mesti nak Lubuk Merbau. Kalau saya bagi Lubuk Merbau marahlah orang saya yang selama ni berentap lawan PAS di situ."

Nazri turut berharap PAS tidak akan bertolak-ansur dengan parti pembangkang lain, justeru menambahbaik kebarangkalian untuk UMNO dalam pilihan raya akan datang.

"Kita haraplah Amanah dan PAS ni tak kompromi. Pecah undi kita menang," katanya secara nakal.

PRESMA janji tidak akan naikkan harga roti canai

Posted: 01 Mar 2016 02:22 AM PST

 
Ahli PRESMA menyatakan kesanggupan untuk menyerap kos kenaikan harga tepung untuk tidak membebankan pengguna.


presma


PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) berjanji tidak akan menaikan harga roti canai dan makanan berunsurkan gandum sekiranya kerajaan menarik balik subsidi gandum 25 kilogram (kg).

Presiden PRESMA, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, pengusaha restoran muslim akan menyerap kenaikan harga tepung kerana tidak mahu membebankan pengguna yang telahpun terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

"Dengan keadaan ekonomi semasa, rata-rata ahli yang kita hubungi telah menyatakan mereka akan serapkan kos harga tepung.

"Ini bagi memastikan kekerapan pelanggan itu ada datang ke kedai mereka. Menaikkan harga makanan bukan pilihan utama," katanya kepada FMT.

PRESMA dianggotai 3,200 pengusaha restoran seluruh negara.

Noorul berkata PRESMA akan bertemu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Putrajaya, esok, bagi membincangkan kenaikan harga tepung.

"PRESMA dan persatuan lain telah dipanggil oleh KPDNKK bagi membincangkan isu kenaikan harga tepung ini.

"Kita tidak tahu lagi keputusan muktamad pihak kerajaan. Esok baru kita akan tahu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengilang tepung memaklumkan tepung gandum seberat 25 kg yang sebelum ini dibeli dengan harga RM33.75 akan naik menjadi RM42 selepas subsidi dihapuskan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi tepung seberat 1 kg pada harga RM1.35.

Tiada ulasan: