Sabtu, 6 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kena Tipu UMNO Berkali-kali Tanda PAS Matang?

Posted: 06 Feb 2016 01:04 AM PST

"Jika Pas matang kenapa ditipu Umno?" selar netizen

Laman Facebook bagi portal berita rasmi Pas, Harakahdaily menerima kecaman ramai pengguna media sosial itu berhubung kedudukan Pas yang dianggap sudah matang dalam tindakan.

Status Facebook yang dimuatnaik pada malam tadi itu berbunyi, "Politik itu seni, jangan tuduh Pas lagi: Pas ketika membuat satu keputusan, bukan ikut mana-mana telunjuk. Pas sudah matang di dalam tindakan."

Bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline pagi ini mendapati majoriti daripada lebih 40 ulasan yang memberi reaksi terhadap ungkapan yang memetik kenyataan Naib Presiden Pas, Ustaz Idris Ahmad itu menganggap parti tersebut tidak matang dan mudah diperalat oleh Umno.


"Jika Pas matang kenapa ditipu Umno? Barangkali nak jadi matang mestilah ditipu umno BERULANG kali," kata Hamdan Mohamad antara pengguna Facebook yang memberi reaksi dalam status yang dimuatnaik selama 10 jam itu.

Sementara itu, Kamarul Mohamad menulis, "Kalau matang tak adalah istilah jebon, nyamuk, anwarinas, salak bukit, baru#, jahil, pan###, parasit, dan lain-lain. Jika pilih Islam perkuat dakwah, bukan melabel."

Hal sama juga ditekankan oleh pengguna Facebook yang memakai nama Mak Labu dengan berpendapat sejumlah pemimpin lama dalam parti yang berjasa dan telah diuji dengan pelbagai cabaran tidak akan dihalau keluar oleh Pas jika parti itu matang.

"Kalau matang Pas tak dikencing Umno dlm hudud. Kalau matang Pas tak diperalatkan Umno untuk guna hudud pecahkan PR (Pakatan Rakyat)," tegas Mak Labu lagi.

Pas kuat sendirian

Sementara itu, ujar pengguna Facebook, Mohd Mahfuz, Umno akan senang hati apabila melihat Pas kalah teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti kerana bersendirian.

Menyaksikan Pas lebih banyak berperang dengan parti pembangkang, Zahid Abdul Ghafor pula berpandangan Pas usah asyik retorik seperti Umno sebaliknya rakyat mahu melihat parti itu melaksanakan hudud.

"Tak habis lagi ke? Kuat bila sendirian… Dah kuat buat aja la kerja… asyik cari simpati buat apa? Nak bela Melayu tapi perguna Melayu untuk kekal kuasa dan kezaliman.

"Rasa pelik tengok Pas tak berhenti meroyan lepas membersihkan dengan cara yang cukup suci. Kata dah kuat tapi hudud pun senyap. Rakyat makin dizalimi. Dulu nak ambil kuasa dari orang gila tapi kini nak nasihat orang gila pulak," bidasnya lagi.

Terus mempersoalkan kematangan Pas, Azman Kasim menulis, "Matang hapakebenda! Golongan cerdik pandai dan profesional habis disepaknya ditendangnya. Pada Pas yang pakai kopiah dan serban saja yang layak jadi pemimpin. Matang ke tu?" soalnya.

Beliau juga mempersoalkan kemungkinan pemimpin muda Pas pada masa ini bersedia dikenakan hukuman penjara seperti pemimpin Pas terdahulu.

"Orang yang berjuang berpuluh tahun sanggup keluar masuk penjara demi parti dan rakyat langsung tak dihargai. Matang ke tu? Agak-agak ada tak pemimpin muda Pas sekarang yang berani masuk penjara?" tambah Azman lagi.

Dakwaan Idris kononnya Pas sudah matang juga mendapat sindiran Amin Saedi yang menyoal, "Termasuklah mengkhianati perjanjian yang telah dimeterai adalah seni berpolitik?"

Reaksi sinis turut dilontarkan oleh Mohd Syukri apabila meninggalkan komentar berbunyi, "Politik itu seni, jangan tuduh Pakatan Harapan, PKR, Dap, Amanah lagi…"
-MD
ULASAN GB

Teruk nampak gayanya Naib presiden PAS kena belasah dengan warga internet.

Pandai bercakap tapi tak tahu apa yang dia cakap. "Seni berpolitik" katanya. Kalau PAS tahu seni berpolitik tidaklah ia menjadi kera sumbang sekarang ini.

Mungkin "mencaci dan memaki-hamun" dengan perkataan-perkataan barua, tolol, pengkhianat dan seumpamanya itu juga "seni berpolitik". Tikam rakan, memfitnah pil kuda dan komunis juga mungkin termasuk di dalam seni berpolitik PAS sekarang ini.

Mana mungkin PAS yang berhasrat nak menjadi ketua, tetapi tak mampu untuk menjadi pengikut yang baik?

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. PAS semakin dipinggirkan dan PAS yang nampaknya akan terus hilang seperti HAMIM dan BERJASA seperti yang dituduhnya kepada pihak lain.

[BONGKAR] Kaedah Keji Singkirkan Mukhriz Terdedah

Posted: 05 Feb 2016 11:27 PM PST

Puteri Umno dedah Ketua Bahagian Kedah diberi RM50,000

Ibarat rumah siap pahat berbunyi. Itu situasi yang dilihat berlaku bagi menggambarkan kemelut Umno Kedah ekoran penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru, Pulau Pinang, Aeiza Hassan mendedahkan berlaku sogokan kepada sejumlah Ketua Umno Bahagian dan sayap parti negeri itu bagi menghadiri sidang media tergempar, 20 Januari lalu.


Beliau berkata, salah seorang Ketua Umno Bahagian di Kedah mengaku bahawa Ketua-ketua Bahagian diberi RM50,000 manakala Ketua-ketua Sayap Bahagian pula diberi RM5,000 sebagai saguhati kerana hadir dalam sidang media berkenaan di Hotel Grand Alora, Alor Setar.

Kenyataan Aeiza yang kemudiannya tersebar di media sosial WhatsApp itu menyatakan pemberian sejumlah wang terbabit bagi tujuan menyatakan hilang sokongan kepada Mukhriz yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Saya tanya apa yang berlaku? Jawab beliau (salah seorang Ketua Umno Bahagian), 'MB (Menteri Besar) kurang memberi'. Tanya saya, 'Kurang apa lagi? Projek? Tender ataupun jawatan GLC Negeri?' Dia hanya menjawab, 'Aeiza tak faham'.

"Tetapi akhirnya beliau mengaku bahawa Ketua-ketua Bahagian diberi RM50K sebagai saguhati kerana hadir ketika PC di Hotel Grand Alora," ujarnya menceritakan kembali perbualan beliau melalui telefon dengan salah seorang salah seorang Ketua Umno Bahagian terbabit.

Menyifatkan murahnya nilai maruah ketua-ketua bahagian dan sayap Umno di Kedah, Aeiza mempertikaikan tindakan ke atas Mukhriz hanya kerana bekas Menteri Besar ke-11 itu lantang bersuara.

"Mainan politik apakah ini? Gila apakah yang sedang berlaku didalam Umno yang kami sayangi? Siapa boleh menafikan bahawa faktor kemenangan Umno dan BN di Kedah adalah disebabkan seorang anak muda yang bernama Mukhriz Mahathir? Saya tidak memihak mana-mana pihak.

"Cuma sudah terlalu banyak isu, kontroversi, tindakan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan atasan yang dilihat makin lama makin memakan diri," tegas Aeiza yang juga Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia itu.

Beliau turut menyelar kepimpinan atasan Umno yang dianggapnya dipekakkan telinga, dibutakan mata dan masih dalam sindrom penafian serta 'menjaga' pemimpin Bahagian dengan beri habuan semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

"Kami bukan pekak. Juga bukan tuli yang hanya terima segala perbuatan kepimpinan atasan. Kami lihat, kami dengar, kami baca, kami berbual, kami timbang, kami bincang, kami rasa dan kami cari jawapan. Tetapi kami tahu, suara kami tidak akan ke mana. Tidak akan didengar," ujarnya berterus-terang.

Mengulas 'tempias' pengunduran Mukriz yang ujarnya turut dirasai di Pulau Pinang, beliau berkata, Umno bukan lagi pilihan anak muda sekiranya Mukhriz turun dari jawatan Menteri Besar.

"Kami terpaksa kerana kami kesal. Bukan Umno ini yang kami mahukan. Kami anak muda yang benar-benar sayangkan Umno. Kepada Umno tempat kami bersandar, bergantung harap," tambahnya lagi. -Malaysia Dateline


Adun Kedah dedah diburu, hampir jatuh laut, dipaksa sokong pecat Mukhriz

Datuk Abu Hassan Sarif mendedahkan dipaksa menyokong kumpulan penentang yang mengatur rancangan menyingkirkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh itu berkata, beliau diburu dan dipaksa semata-mata mahu mendapatkan sokongan menolak Mukhriz dan menjatuhkan menteri besar penggal pertama itu.

"Saya amat mengenali menteri besar kita, saya lakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan Datuk Mukhriz walaupun saya tak sehebat pegawai sekeliling. Kita ada tugas dan tanggungjawab saya sebagai Adun untuk pertahankan Datuk Mukhriz.

"Saya lari, saya hilang, hampir-hampir jatuh di laut, diburu semata-mata nak dapatkan sesuatu daripada saya," kata Abu Hassan sambil menangis di hadapan orang ramai semasa program bagi menyatakan sokongan kepada Mukhriz di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam malam tadi.

Abu Hassan tidak menjelaskan mengapa beliau diburu, namun sumber mendedahkan kira-kira 19 Adun sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak kepimpinan Mukhriz.

Adun 5 penggal itu berkata, beliau sangat sedih mengenangkan apabila seorang pemimpin yang disanjung rakyat akan digulingkan dengan begitu hina sekali.

"Saya menangis, saya tak pernah menangis depan anak dan isteri. Kita ada lelaki ada ego tapi di sini saya menangis depan anak saya, depan rakan saya menangis.

"Bagaimana orang yang ikhlas, jujur dan amanah, tidak mempunyai moral dan akhlak tidak baik, bertanggungjawab, tak amal rasuah, pemimpin yang boleh majukan masyarakat, rakyat dan negeri Kedah ini, tiba-tiba beliau akan digulingkan dalam keadaan yang amat menyedihkan, saya tidak reda," katanya.

Abu Hassan juga mendedahkan semalam Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memanggil semua Adun Kedah bertemunya di Putrajaya.

Dalam pertemuan itu Abu Hassan berkata, beliau membuat rayuan kepada Najib supaya Mukhriz dikekalkan sehingga habis penggal.

"Beri masa, saya kata kepada PM, beri masa kepada Mukhriz, kalau nak buang dan ganti pun tunggu habis penggal.

"Biar beliau jalankan tugas dan kita nak pastikan Datuk Mukhriz memang pemimpin yang disukai rakyat dan bukan cakap kosong," katanya.

Abu Hassan turut menasihati rakan-rakannya supaya memikirkan mengenai masa depan Umno dan bukan semata-mata mengejar habuan dan jawatan.

"Jangan kita lari nak habuan dan pangkat, tapi hari ini orang lari takut hilang pangkat dan juga sekarang ini orang lari nak kejar pangkat, nak jadi exco, nak jadi menteri, nak jadi menteri besar," katanya.
-TMI


ULASAN GB

Kalaulah dah sampai macamtu nak singkirkan Mukhriz, berkatkah kaedah sedemikian, wahai menteri agama UMNO, DS Jamil Mohd Khir?

Dan kepada AG yang mempersoalkan serangan TDM terhadap Najib itu samada berlandaskan Islam atau tidak, kita menyoal pula AG samada kaedah di atas yang terang-terang tidak berakhlak itu berlandaskan Islam atau tidak?

Ada pula menteri yang terlajak bodek, dari Kota Belud, menyatakan Najib tak terlibat di dalam penyingkiran Mukhriz? Agaknya rakyat mana yang nak percaya kenyataan Kota Belud itu? Sedangkan semua orang tahu siapa Basha dan Jamil Khir yang mengadakan sidang media awal untuk menyingkirkan Mukhriz?

Kita tidak menyatakan kita penyokong kuat TDM dan Mukhriz. Tetapi kaedah keji dan jelek yang dilakukan oleh Najib menyingkirkan Mukhriz itu akan tetap diketahui rakyat dan tidak akan diterima oleh manusia yang berfikiran waras apatah lagi jika berpegang kepada landasan agama. Hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan.

Tiada ulasan: