Isnin, 22 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[TERKINI] Bekas Bendahari PAS Pokok Sena Sertai AMANAH

Posted: 22 Feb 2016 12:14 AM PST

POKOK SENA - Pas Kawasan Pokok Sena sekali lagi menerima tamparan hebat apabila bekas bendahari bersama 10 ahlinya mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), baru-baru ini.

Bekas bendaharinya, Yusoff Ariffin berkata, beliau dan beberapa rakan kecewa dengan kepimpinan sekarang dan perjuangan Pas pada hari ini sudah kabur berbanding dahulu.

Menurutnya, dahulu Pas mahu menegakkan keadilan dan menjatuhkan Umno, tetapi sekarang hala tuju itu semakin hilang tujuan.


"Saya bersama Pas selama 30 tahun dan turut memegang beberapa jawatan penting dalam Pas Kawasan Pokok Sena. Bagaimanapun sejak Pas mulai bersekongkol dengan Umno menyebabkan ramai ahli Pas tergores," katanya.

Yusoff berkata, tindakan mereka itu bukan sahaja turut diikuti ahli Pas sahaja, tetapi beberapa ahli Umno di kawasan itu sudah pun dan akan menyertai Amanah.

"Perjuangan Amanah juga bertunjangkan Islam seperti diperjuangkan Pas selama ini dan ahlinya berasa lebih berkesan menyertai parti ini dalam menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum nanti,"
katanya.

Katanya, Amanah di Pokok Sena mendapat sambutan baik terutamanya dalam kalangan anak muda yang sudah bosan dengan kerajaan hari ini.

"Kegagalan kerajaan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib telah memberi semangat kepada golongan muda untuk terus memberi undi pada pilihan raya nanti," katanya.

Tambahnya, kejatuhan harga getah memberi kesan mendalam kepada penduduk di luar bandar dan ini sekali gus membuka mata mereka bahawa Umno serta parti komponennya sudah tidak mampu lagi memperjuangkan nasib penoreh getah.

"Oleh itu tidak hairanlah Amanah menjadi pilihan generasi hari ini dalam menentukan hala tuju politik mereka pada masa akan datang," katanya.

Dalam majlis penyerahan itu, Yusoff menyampaikan borang keahlian kepada Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh. -SH

[VIDEO] Lori Rempuh 22 Kereta & 2 Motorsikal DI Nibong Tebal

Posted: 21 Feb 2016 09:54 PM PST

Sebanyak 22 kereta dan 2 motosikal yang diparkir di bahu jalan di kawasan Pasar Awam Taman Berjaya di Nibong Tebal, mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah lori dipandu seorang lelaki hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi tadi, pemandu lori berusia 30-an terbabit dikatakan "bertindak gila" merempuh kereta dan motosikal tersebut selepas berang ekoran tidak dapat melalui jalan itu kerana terhalang kenderaan berkenaan.

Seorang pemilik kereta dikenali sebagai Lam, 37, berkata orang ramai menjerit dan meminta pemandu lori berkenaan berhenti apabila melihat kejadian itu, namun tidak dihiraukannya.


Lam berkata dia dan isteri sedang membeli barang keperluan di pasar tersebut sebelum terdengar bunyi bising dan bergegas ke tepi jalan untuk melihat apa yang berlaku.

"Kami semua menjerit ke arah pemandu lori itu agar berhenti tetapi dia terus memandu laju dan merempuh kenderaan di situ termasuk kereta Proton Wira saya yang turut rosak akibat kejadian berkenaan.

"Hampir setiap hari jika ke pasar ini, saya dan pemilik kereta lain akan meletak kenderaan kami di bahu jalan ini," katanya di Nibong Tebal hari ini.

Seorang lagi pemilik kereta, Poo Sim, 34, berkata semasa kejadian dia dan anak perempuannya berusia 8 tahun, baru sahaja keluar dari kenderaan mereka dan sedang berjalan di bahu jalan berkenaan.

"Nasib baik kami sudah keluar dari kereta, kalau tidak mungkin saya dan anak cedera kerana Perodua Myvi saya turut dirempuh dan rosak di bahagian belakang termasuk pecah cermin belakang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata polis sedang menyiasat kejadian itu dan mengesan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati lori itu didaftar atas nama sebuah syarikat beralamat di George Town dan kami sedang mengesan pemilik syarikat serta pemandu kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya menerima tujuh laporan daripada pemilik kereta yang mengalami kerosakan teruk akibat dirempuh lori berkenaan. – Bernama

Tiada ulasan: