"BERANI KERANA BENAR!" |
| Posted: 21 Feb 2016 07:51 PM PST Punica granatum atau lebih dikenali sebagai buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk menjaga kesihatan. Ia juga dikenali sebagai pomegranate, rumman, rumien atau rimmon. Buah delima memang terkenal dengan khasiat kerana mengandungi antioksidan yang tinggi malah kajian menunjukkan kandungan antioksidan dalam buah itu dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah. Malah kualiti antioksidan delima juga dikatakan lebih baik daripada beri biru, kranberi dan oren kerana polifenol di dalamnya lebih tinggi. Ketika ini ramai pengusaha produk kecantikan mahupun makanan berlumba menggunakan buah delima dalam produk mereka disebabkan khasiatnya. Bagi pencinta aiskrim, anda boleh mendapatkan khasiat buah delima melalui Magnum Pink Pomegranate yang dihasilkan daripada seratus peratus buah delima asli serta coklat Belgium. Menurut Chef Isadorai Chai, umum mengetahui buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk menjaga kesihatan. Ia kaya dengan sodium dan mengandungi unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Kajian dijalankan juga menunjukkan buah delima mengandungi zat protein dan lemak dalam kuantiti sedikit. "Selain bagus untuk kesihatan, buah delima juga tidak mempunyai kandungan gula yang tinggi malah lebih baik berbanding buah oren. "Selain itu coklat pahit (dark chocolate) juga kaya dengan kandungan mineral penting antaranya, kalium, kalsium, magnesium, zat besi dan tembaga selain mineral coklat juga mengandungi vitamin C yang sangat baik untuk memperkuat sistem imun," katanya ketika ditemui pada pelancaran Magnum Teases Upcoming Ice Cream Launch Through A Molecular Gastronomic di ibu negara, baru-baru ini. Jelasnya lagi, pesakit kecing manis juga boleh makan buah delima tetapi dalam kuantiti yang sederhana kerana setiap buah mempunyai rasa manis sendiri. "Saya percaya setiap makanan yang diambil dalam kuantiti yang sederhana tidak akan mendatangkan kesan mudarat. Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri," katanya. Delima berasal dari Iran dan juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Daun delima mempunyai permukaan yang berkilat dan berbentuk oblong berukuran antara tiga hingga tujuh sentimeter (sm) panjang dan 1.3sm lebar. Bunga delima berwarna merah terang, ada yang mempunyai bunga oren terang terutama bagi spesies delima katik atau kerdil (dwarf pomergranate) atau nama saintifiknya punica granatum nana. INFO MANFAAT DELIMA - Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Penelitian dijalankan American Journal of Clinical Nutrition, mendapati antioksidan dalam delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol jahat) pada tikus. Hal ini menurunkan kadar LDL dan meningkatkan HDL (kolesterol baik). - Dapat mencegah dan mengubati barah. Buah delima memiliki khasiat mencegah dan mengubati pelbagai jenis barah. Jus delima dapat menghancurkan sel barah payudara dan mengaktifkan sel sihat. Ini kerana ekstrak biji delima kaya dengan polifenol yang berupaya memulihkan leukemia. - Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat. Dalam penelitian terhadap 50 lelaki yang minum 205 gram jus delima setiap hari didapati melambatkan ukuran perkembangan barah prostat. - Buah delima dikatakan mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer. Kajian dijalankan ke atas tikus yang diberi minum jus delima menunjukkan sel aktif meningkat. - Kandungan gula dalam delima bertindak sebagai 'penggosok' untuk menyingkirkan sel kulit mati. Hasilnya kulit segar dan muda. - Kulit buah delima boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Kulitnya yang dijemur dikisar dan digunakan bersama sedikit air perahan limau nipis. - Dapat menghilangkan kejang kaki yang biasa dihadapi wanita hamil. - Bagi ibu mengandung, delima baik diambil kerana kandungan asid folik tinggi mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan langit bibir sumbing pada bayi. - Ketika membeli delima, pilih buah yang berat dan kulitnya bersih tanpa cela serta tidak merekah. - Boleh dibeli banyak kerana ia tahan enam bulan dalam peti sejuk. |
| Posted: 21 Feb 2016 07:38 PM PST Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI MENGAMBIL masa dua tahun untuk disiapkan dan menelan belanja keseluruhan berjumlah RM5 juta merupakan pelaburan yang besar buat Animonsta Studios dalam menghasilkan filem animasi Boboiboy The Movie yang bakal ditayangkan bermula 3 Mac hadapan. Pastinya pelaburan besar yang dilakukan oleh syarikat tersebut seiring dengan kualiti yang bakal dipersembahkan kepada umum memandangkan soal kualiti dan jalan cerita yang menarik merupakan elemen terpenting dalam menghasilkan animasi. Sudah pasti debaran makin dirasai oleh pengarah BoboiboyThe Movie, Nizam Razak. Baginya sepanjang dua tahun terlibat dalam proses pra-penerbitan, dia dan 50 kru yang lain sudah bertungkus-lumus mencari kekuatan dan kelainan untuk dipersembahkan kali ini. "Apabila keputusan untuk membuat filem diambil, saya dan rakan-rakan yang lain sudah berfikir macam-macam hal untuk projek ini. Apa yang pasti soal kelainan adalah elemen terpenting untuk tidak dilihat sama dengan siri yang ditayangkan di kaca televisyen. "Jadi setelah berbincang dan kami temui apa yang perlu dilakukan untuk animasi ini. Selain soal jalan cerita, antara kelainan yang ditampilkan termasuklah menerapkan lebih aksi dan emosi," katanya lagi. Menjadi tulang belakang dan tunjang kekuatan siri Boboiboy sejak watak tersebut mula dicipta, pastinya pengalaman luas yang ada pada pengarah muda ini sudah teruji sebelum itu lagi. Pernah terlibat sama membangunkan siri animasi Upin & Ipin dan menjadi pengarah untuk filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula bagi animasi yang sama, pastinya pengalaman yang ada diterjemah bagi menghasilkan naskhah yang lebih baik. Tambahnya, untuk menyiapkan BoboiboyThe Movie menjadi sebuah filem animasi yang baik tidak mudah tetapi dengan bantuan yang diberikan oleh seluruh tenaga kerja, akhirnya mereka dapat menghidupkan filem tersebut dengan baik. "Apabila siri televisyen mahu difilemkan, sudah tentu penonton mahukan kelainan. Tidak boleh terlihat sama dan menggunakan asas yang sama, semua itu perlu diberi 'nyawa' baharu termasuklah lokasi, jalan cerita dan latar belakang itu. "Paling penting kita turut menyelitkan unsur emosi dalam beberapa babak agar dapat menyentuh hati penonton. Walaupun filem ini telah siap tetapi banyak perubahan dari semasa ke semasa yang kita buat bagi memastikan mesej itu sampai kepada penonton," katanya lagi. Tidak sekadar menyasarkan golongan kanak-kanak semata-mata, Boboiboy The Movie juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Menariknya, berpandukan kepada kajian yang telah dibuat oleh AC Nielson menunjukkan sebanyak 60 peratus daripada penonton siri televisyen animasi ini terdiri daripada golongan yang berusia 14 tahun ke atas. Teruja TIDAK sekadar ditayangkan di Malaysia, Boboiboy The Movie juga bakal ditayangkan serentak pada tarikh yang sama di Brunei dan kemudian masuk ke pawagam di seluruh Indonesia pada 13 April hadapan. Paling membanggakan apabila filem ini boleh ditonton di 100 buah panggung di seluruh negara berkenaan. Menyifatkan perkara itu sebagai satu yang menggembirakan, pastinya keterujaan jelas terpancar di wajah lelaki ini memandangkan apa yang dilakukan akhirnya mendapat maklum balas yang baik daripada penggemar animasi dari negara luar. "Sejak siri televisyen ini ditayangkan di Indonesia bermula tahun 2015, maklum balas yang diterima begitu baik. Di sana, Boboiboy mendapat rating kedua tertinggi pada hari tayangan dan membuktikan animasi ini diterima ramai. "Apabila sudah diterima ramai, banyak produk-produk lain yang mahu melakukan kerjasama strategik dengan kami. Perkara itu sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawasanya Boboiboy benar-benar diterima di negara luar. "Kita gembira kerana mereka masih mengekalkan suara yang sama dan tidak dialih bahasa. Setidaknya peminat di sana masih dapat mempelajari Bahasa Melayu juga," katanya lagi. Boboiboy The Movie mengisahkan tentang sekumpulan makhluk asing pemburu harta karun bernama Tengkotak telah tiba di bumi dan menculik Ochobot (robot kesayangan Boboiboy) bagi untuk kegunaan mereka mengesan 'power sphere' yang purba dan berkuasa yang tersembunyi di bumi. BoboiBoy, Gopal, Yaya, Ying dan Fang perlu mengejar masa untuk menyelamatkan Ochobot dan membongkar rahsia di sebalik 'power sphere' tersebut. Perjalanan mereka akan membawa mereka ke sebuah pengembaraan yang penuh dengan aksi, komedi, emosi yang berpaksikan kepada persahabatan sejati. Sebagai tambahan, siri animasi televisyen Boboiboy sebenarnya sudah ditayangkan di 45 buah negara sejak beberapa tahun yang lalu dan ditonton lebih 85 juta kali di YouTube. Tambah Nizam lagi, beberapa pihak lain sudah berbincang untuk membawa filem animasi ini ke negara mereka termasuklah Vietnam, Thailand dan Kemboja dalam tempoh terdekat. "Insya-Allah jika kita sudah melakukan beberapa perbincangan untuk membawa filem ini keluar Asia Tenggara. Cuma saya masih belum boleh memberi tahu memandangkan segala-galanya masih belum ada kata putus," tambahnya lagi. Menariknya, filem ini juga menggunakan runut bunyi yang dinyanyikan oleh kumpulan Bunkface (Masih Di Sini) dan kumpulan popular Indonesia D'Masiv (Di Bawah Langit Yang Sama). |
| You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States | |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan