Jumaat, 26 Februari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MUHYIDDIN DIGANTUNG, NAJIB ATAU ZAHID YANG UNTUNG?

Posted: 26 Feb 2016 04:42 AM PST

shahbudindotcom


 
 
 
Kemungkinan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatannya dalam mesyuarat MT petang ini semakin sukar dielakkan.

Selain Nazri Aziz yang berdegar-degar mahu membawa usul penggantungan itu, beberapa pemimpin yang lain juga nampaknya tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada cadangan itu.

Untungkah Najib Razak jika Muhyiddin digantung dan tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan UMNO?

Selain isu berkaitan 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta yang masih belum selesai, tidak dinafikan penggantungan Muhyiddin mungkin menyebabkan Najib lebih diserang, dikecam dan dibenci rakyat.

Dari segi UMNO, kalau pun tidak berpecah dua, penggantungan pemimpin nombor dua itu sedikit sebanyak akan menjadikan parti tambah bergolak dan menyukarkan lagi penyatuan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Dalam keadaan itu, Najib tentu akan terus cemas dan terumbang-ambing untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang berpihak kepadanya.

Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal tanpa ragu-ragu melihat tindakan menggantung Muhyiddin hanya untuk kepentingan pemimpin tertentu sahaja.

Dalam hal ini, seperti Shafie dapat merasakan penggantungan Muhyiddin bukan semata-mata untuk menyelamatkan Najib, meskipun luarannya seolah-olah begitu.

Untuk kepentingan siapakah penggantungan Muhyiddin itu jika bukan untuk mengukuhkan Najib?
 
 
 
 
 
Lihat...belum pun sah Muhyiddin digantung, siapa yang bakal untung sudah pun mula ditunjukkan secara terang-terangan.

Untung kepada Najib tidak pernah diperkatakan, tetapi rezeki kepada Zahid Hamidi awal-awal lagi sudah mula dikompangkan ke seluruh kampung.

Bagaimana jika dengan penggantungan Muhyiddin, kedudukan Najib terus lemah, goyang dan semakin sukar untuk menggapai kemenangan, tidak mustahilkah gerombolan yang sama yang menolak Muhyiddin ini akan melakukannya kepada Najib pula?


Muhyiddin Tak Hadir Mesyuarat MT Umno

Posted: 26 Feb 2016 04:39 AM PST

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno berlangsung tanpa kehadiran Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas timbalan perdana menteri itu tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan petang Jumaat ketika tumpuan diberikan kepadanya.

Difahamkan Muhyiddin tidak hadir kerana beliau kini berada di luar negara.

Kehadiran Muhyiddin pada mesyuarat kali ini turut ditunggu-tunggu pihak media di lobi Menara Dato'Onn selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya beliau digantung sebagai timbalan presiden.

Nazri yang juga Ahli MT Umno, dilaporkan akan membuat aduan rasmi terhadap Muhyiddin supaya perkara itu boleh dirujuk kepada lembaga disiplin parti.

Ia susulan tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapannya pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana Muhyiddin mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.

Sementara itu Najib tiba untuk menghadiri mesyuarat pada pukul 3.35 petang disambut oleh Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebaik tiba beliau diiringi ke majlis pelancaran buku berjudul 'Najib Razak Kembara Politik - 40 Tahun' yang disempurnakan oleh Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

Buku tersebut diterbitkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Tiada pilihan lain, Mahathir sahkan hadir 27 Mac ini

Posted: 26 Feb 2016 04:37 AM PST

MALAYSIAKINI




Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa beliau akan menghadiri perhimpunan pada 27 Mac ini yang mahu menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya, pilihan lain bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan sudah disekat dan ini memaksanya menyertai perhimpunan yang tidak dipersetujui dan ditentangnya semasa menjadi perdana menteri.

"Perkara sudah ubah. Dulu, kita ada forum untuk suarakan bantahan kepada kerajaan. Sekarang dah tak ada. Perhimpunan juga tak dibenarkan.

"Sekarang, rakyat juga dihalang bermesyuarat walaupun di dalam bilik. Sebelum ini, boleh. Tapi sekarang tak boleh. Rakyat tak boleh cakap apa-apa langsung sekarang, kena dengar kerajaan saja," katanya.

Perhimpunan 27 Mac ini adalah anjuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang memaklumkan bahawa ia adalah acara tertutup.

Beliau juga berkata selain parti-parti politik daripada pelbagai pihak, badan bukan kerajaan serta beberapa individu akan dijemput dengan Dr Mahathir sebagai tetamu utama.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu juga menyatakan kesudiannya untuk berucap bagi menerangkan masalah yang melanda rakyat dan negara ketika ini.

"Jika mereka mahu saya ucap, ya, saya akan cakap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di KLCC di Kuala Lumpur.

Himpunan 365 Bebas Anwar: Polis siasat Selangorkini

Posted: 26 Feb 2016 04:35 AM PST

Anne Muhammad

 


Akhbar mingguan rasmi kerajaan negeri Selangor, Selangorkini, dilaporkan sedang disiasat polis kerana didakwa menyiarkan berita politik berikutan Ekoran laporan bertajuk "Lebih 3,000 gegar Himpunan 365 Bebas Anwar".





Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi menemui pihak pengurusan syarikat percetakan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd di Seksyen 16 Shah Alam.

Jurucakap syarikat itu berkata polis bertanya mengenai penyiaran bahan berita yang dianggap berunsur politik.

Katanya, akhbar yang disiasat itu adalah edisi 12 - 19 Februari.

"Menurut pegawai polis, Selangorkini tidak boleh menyiarkan berita berunsur politik dan berkaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu jurucakap Selangorkini enggan memberi sebarang komen, sebaliknya memberitahu mereka akan membuat kenyataan melalui peguam selepas ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din pula ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas laporan tersebut.

"Saya tidak dapat sahkannya," kata Mohd Zani ringkas.


PKR mahu JK parlimen pantau SKMM

Posted: 26 Feb 2016 04:32 AM PST

MALAYSIAKINI




PKR menggesa sebuah jawatankuasa pengawasan yang bertanggungjawab kepada parlimen ditubuhkan untuk mengawas dan meneliti aktiviti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Gesaan itu dibuat setelah suruhanjaya itu menyekat capaian The Malaysian Insider (TMI), yang diakui menteri mempunyai kaitan dengan laporan bahawa terdapat cukup bukti untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil (gambar) berkata jawatankuasa dicadangkan itu boleh turut mengesyorkan langkah-langkah perlu jika terbukti wujud salah guna kuasa SKMM.

"Hanya dengan langkah-langkah ini maka SKMM yang neutral dan yang lebih bertanggungjawab kepada Rakyat boleh menjadi realiti," katanya.

Fahmi menegaskan keperluan mekanisme semak dan imbang diwujudkan selari dengan prinsip tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.
Perkara itu, katanya lagi, boleh dilaksana dengan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 pada sesi parlimen akan datang untuk memastikan SKMM perlu mendapat perintah mahkamah sebelum menghalang akses laman web.

SKMM semalam menyekat TMI kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu semalam tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat.

Bagaimanapun, polis akan menyiasat laporannya mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.

Mengulas sekatan semalam, Fahmi berkata perkara itu menjadi bukti bahawa "kuasa tanpa kawalan adalah ancaman kepada demokrasi di Malaysia".

"Oleh itu saya menggesa SKMM untuk berhenti dari menghukum dengan sewenang-wenang, terutama berkaitan kandungan yang diakses di Malaysia," katanya.


Mahfuz: Bentang siasatan isu RM2.6b Najib, SRC di Parlimen

Posted: 26 Feb 2016 04:28 AM PST

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mencadangkan supaya kertas siasatan berhubung 'derma' RM2.6 bilion dan wang SRC International yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibentangkan di Parlimen.

Ini, katanya akibat kekalutan apabila Penal Penasihat Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan siasatan diteruskan sedangkan Peguam Negara, Mohamed Tan Sri Mohd Apandi Ali pula mengarahkan kes itu ditutup.

"Saya sarankan jika benar dakwaan peguam negara tiada kes dalam kedua-dua kertas siasatan dan arahan kes ditutup, saya cabar PM dan peguam negara membentangkan kedua-dua kertas siasatan tersebut ke sidang parlimen yang akan bermula 7 Mac ini untuk dijadikan dokumen awam," katanya.

Melalui kenyataan medianya hari ini, Mahfuz berkata tindakan itu sebagai langkah berkesan menjadikan kertas siasatan itu sebagai dokumen awam.

"Tiada undang undang yang menghalang untuk PM dan peguam negara untuk berbuat demikian," katanya.

SPRM sedang menyiasat dana RM42 juta milik syarikat negara, SRC International dan derma AS$ 681 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri.

Najib menafikan salah laku dan peguam negara juga 'membersihkannya' tetapi SPRM merayu keputusan supaya tidak ada pertuduhan dikenakan dalam kes berkenaan.

SPRM, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Panel Penilaian Operasi telah meminta supaya mengemukakan semula kertas siasatan SRC International kepada Peguam Negara.

Suruhanjaya itu berkata ia juga dinasihatkan mendapatkan kerjasama peguam negara untuk memohon Bantuan Guaman Bersama (MLA) bagi mendapatkan maklumat perbankan luar negara berhubung wang RM2.6 bilion.


Sekat portal: HRW gesa tekanan global pada M'sa

Posted: 26 Feb 2016 04:20 AM PST

MALAYSIAKINI




Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia, selepas sekatan terhadap sebuah portal berita semalam.

Timbalan Pengarah HRW Phil Robertson berkata kerajaan terang-terangan melanggar kebebasan media dan meningkatkan kebimbangan pada komitmennya pada hak asasi dan prinsip demokrasi.

"Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan kerajaan-kerajaan lain perlu campur tangan untuk menekan pemimpin Malaysia supaya menghindarkan diri daripada dasar-dasar sesebuah media yang dijangkakan di negara satu parti seperti Vietnam, dan bukan sebuah negara yang mendakwa moden, demokrasi pelbagai parti," katanya

Robertson berkata tiada keraguan lagi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dang mengetatkan penapisan terhadap portal berita atas talian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam menyekat The Malaysian Insider (TMI) kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu semalam tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat, tetapi diakui menteri mempunyai kaitan dengan laporan bahawa terdapat cukup bukti untuk mendakwa Najib.

Polis berkata akan menyiasat laporan TMI mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Najib dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.

Vida labur RM3.8 juta dapatkan siaran langsung setiap perlawanan

Posted: 26 Feb 2016 04:17 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
PETALING JAYA: Bermula malam ini (Jumaat), penyokong Kelantan yang berada di luar negeri pantai timur itu berpeluang menyaksikan perlawanan skuad ijang menentang Sarawak pada aksi Liga Super secara langsung di stesen televisyen, TV9.
Berita gembira itu adalah hasil inisiatif penaja utamanya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman selepas mencapai rundingan dengan Media Prima Berhad (MPB) untuk mendapatkan hak penyiaran membabitkan pasukan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM3.8 juta pada malam Khamis.
Bukan sahaja perlawanan Liga Super, penyokong turut berpeluang menonton secara langsung aksi Piala FA pasukan itu yang akan disiarkan di dua stesen televisyen milik MPB iaitu TV3 dan TV9.
Menurut jutawan kosmetik itu, pelaburan besar itu dikeluarkan kerana prihatin dengan keluhan penyokong Kelantan yang tidak berpeluang menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru.
"Saya terima maklum balas daripada penyokong yang kecewa kerana tidak dapat menonton sendiri perlawanan tersebut. Jadi anggaplah ini hadiah saya kepada penyokong dalam usaha mengangkat mutu bola sepak di Kelantan.
"Demi cita-cita yang tinggi terhadap pasukan ini, saya cuba penuhi permintaan penyokong. Saya harap mereka akan terus memberikan sokongan kepada Kelantan," katanya.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata rundingan dengan MPB mengenai hak penyiaran tersebut dimuktamadkan pada malam Khamis dan kontrak akan ditandatangani sekembalinya dari China pada Sabtu.
Vida menyarung jersi PQPTRW.
"Persetujuan sudah dicapai kerana saya sendiri sukakan sesuatu perkara itu diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Insya-Allah penyokong dalam menyaksikan perlawanan menentang Sarawak di TV9 malam ini," katanya.
Beliau berkata pelaburan besar itu bukan sekadar gimik tetapi sebahagian daripada usahanya untuk melakukan transformasi besar-besaran terhadap PQPTRW musim ini selain meningkatkan nilai komersial pasukan tersebut.

Portal Rakyat Post 'gulung tikar', henti operasi Isnin ini

Posted: 26 Feb 2016 04:15 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR:  Portal berita, The Rakyat Post (TRP) dijangka akan menghentikan operasi Isnin ini ekoran masalah 'aliran tunai'.
 
Menurut sumber dalaman portal tersebut yang dihubungi SuaraTV, disebabkan kemerosotan pendapatan melalui iklan, penaung portal tersebut 'melarikan diri' kerana gagal meraih keuntungan seperti yang diharapkan.
 
"Saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan 'funder' kami (pemilik portal) sudah tidak mampu untuk meneruskan operasi, manakala iklan yang diterima juga agak kecil ditambah dengan perbelanjaan bulanan yang agak tinggi,
 
"Kami juga dimaklumkan sebarang keputusan mengenainya hanya akan diketahui Isnin ini dan sekiranya ia masih gagal untuk diselesaikan operasi akan dihentikan.
 
"Ada di kalangan kakitangan yang telah meletakkan jawatan untuk mencuba nasib di tempat baru dan hingga kini gaji kami telah tertunggak hampir dua bulan," katanya sebentar tadi yang meminta agar identitinya dirahsiakan.
 
"Selain berdoa kami mengharapkan agar masalah ini mampu diselesaikan dengan cara baik," katanya ringkas dengan nada sedih.
 
SuaraTV bagaimanapun gagal untuk menghubungi Ketua Editor TRP untuk mendapatkan pengesahan pengesahan mengenainya.
 
Portal dalam tiga bahasa itu, yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-13, menyediakan berita gaya tabloid. 


Mahkamah Tinggi tolak permohonan MP Bukit Katil untuk batal pertuduhan

Posted: 26 Feb 2016 04:12 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak  permohonan Anggota Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya menyertai perhimpunan 'Blackout 505' di perkarangan sebuah masjid, di sini pada 2013.
 
Hakim Datuk Azman Abdullah ketika menyampaikan keputusan itu berkata dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) telah ditetapkan larangan mengadakan perhimpunan di tempat ibadat dalam jarak 50 meter sama ada ia diadakan secara aman atau tanpa senjata.
 
Beliau berkata larangan itu adalah mengikut Perlembagaan yang menetapkan bahawa tempat ibadat perlu dijaga kesuciannya.
 
"Sekiranya kawasan ibadat dibenarkan untuk adakan perhimpunan, apa akan jadi jika yang datang itu tidak berpakaian menutup aurat mengikut ikutan agama masing-masing.
 
"Sama ada kita beragama A atau B atau C, atau kita bangsa A atau B atau C, atau kita berfahaman politik A atau B atau C, kita mempunyai anutan dan amalan yang berbeza namun kita perlu sensitif berhubung tempat ibadat masing-masing," katanya.
 
Sementara itu, peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Shamsul Iskandar memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
 
Pada 31 Mac 2014, Shamsul Iskandar memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan dihadapinya menerusi Tetuan Fahda Nur  and  Yusmadi.
 
Dalam permohonannya, beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah cacat, defektif dan tidak menepati kehendak-kehendak tempat larangan, selain ia adalah satu penyalahgunaan proses dan mempersenda keadilan.
 
Beliau mendakwa pertuduhan itu lebih cenderung bermotif politik, perbuatan pendakwaan terpilih, dilakukan dengan niat jahat dan menjejas kedaulatan undang-undang.
 
Shamsul Iskandar memohon pertuduhan di bawah Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan 2012 terhadapnya digantung dan/atau diketepikan dan dibatalkan. 
 
Pada 5 Ogos 2013, Shamsul Iskandar yang ketika itu Ketua Angkatan Muda Keadilan; timbalannya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 36; dan naib ketua, Mohd Nazree Mohd Yunus, 29; mengaku tidak bersalah menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu dalam perkarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya di sini antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun. 
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan. 
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.-- Bernama
 
 
 
 
 

Nahas TUDM: Kegagalan enjin paksa pesawat mendarat cemas

Posted: 26 Feb 2016 03:40 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA SELANGOR: Masalah enjin gagal berfungsi memaksa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan pendaratan kecemasan di kawasan pantai berpaya di sini, pagi Jumaat kata polis.
 
Walaupun semua lapan pegawai TUDM terselamat, polis berkata seorang nelayan lemas semasa cuba mengeluarkan mangsa keluar dari pesawat jenis CN235 itu.
 
Pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan TUDM Subang kira-kira pukul 8.30 pagi untuk menjalani sesi latihan rutin dan mengeluarkan isyarat kecemasan 10 minit kemudian.
 
Anak kapal yang diketuai juruterbang Mohd Azri Yacob, 41, kemudiannya melakukan pendaratan cemas di perairan cetek dekat kawasan berpaya berhampiran Taman Malawati Utama.
 
Berlaku kebakaran kecil di bahagian tengah pesawat kesan hentakan kuat.
 
Namun sekumpulan nelayan yang berada di lokasi kejadian bergegas membantu mengeluarkan anggota di dalam pesawat tersebut.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritenden Ruslan Abdullah berkata seorang nelayan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa selepas terjerlus di kawasan berlumpur.
 
Pembantu juruterbang Ahmad Syazwan Mohammed, 32, patah tangan kirinya manakala mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Anggota lain yang turut berada di dalam pesawat itu adalah Mejar Muhamed Afizan Jaafar, 32; Kapten Nurul Azrie Rofdi, 32; Leftenan Meor Ahmad Ali Meor Abdul Wahab, 26; Pegawai Warran 2 Muhd Sayfull Neezam Abdul Manan, 35; Sarjan David Tonge, 35 dan Sarjan Suhaila Pathil, 33.
 
Mayat nelayan yang mati lemas itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang manakala pegawai TUDM diterbangkan semula ke Pangkalan TUDM Subang.
 
"TUDM sedang menyiasat punca kemalangan itu dan akan mengeluarkan pesawat dari lokasi kemalangan yang terbenam di dalam lumpur.
 
"Ia akan mengambil masa selama dua hari. Polis dan anggota bomba masih berada di lokasi untuk memberi bantuan kepada TUDM," kata Roslan.
 
 

Megat Najmuddin Letak Jawatan Pengerusi Tribunal Siasatan Umno

Posted: 26 Feb 2016 03:33 AM PST

Oleh: NORFATIMAH AHMAD

 

Megat Najmuddin mahu memberi tumpuan terhadap rawatan penyakit kanser yang dihidapinya sejak setahun lalu.
 
 
PETALING JAYA: Selepas 14 tahun bersama Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas akhirnya meletakkan jawatan dua bulan lalu kerana masalah kesihatan.

Selaku Pengerusi Tribunal Siasatan Lembaga Disiplin parti, beliau yang disahkan menghidap penyakit kanser sejak setahun lalu perlu melalui proses rawatan rapi dari semasa ke semasa.

Kata Megat Najmuddin, keputusan untuk meletak jawatan itu dibuat tanpa sebarang paksaan atau mendapat tekanan pihak tertentu sama ada di dalam atau luar parti.

"Yang pasti, pengunduran saya tiada kaitan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, jauh sekali kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin atau mana-mana pemimpin tertinggi dalam parti.

"Masalah kesihatan adalah punca saya letak jawatan, hasrat itu disampaikan kepada presiden parti," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Kata pemimpin parti berusia 71 tahun ini, selain rawatan penyakit yang dihidapinya, kegiatan hariannya kini tertumpu kepada tanggungjawab dalam sektor korporat.

"Sepanjang tempoh bersama jawatankuasa disiplin parti dan seterusnya mengetuai tribunal siasatan, ramai kawan-kawan yang kena dakwa dan saat itulah yang beri tekanan kepada saya setiap kali perlu buat keputusan.

"Tetapi selepas meletak jawatan dalam jawatankuasa parti, saya kini lebih tenang dan dapat tumpukan sepenuh perhatian kepada hal-hal yang tidak terlalu berat," katanya.

Katanya, ketika menganggotai jawatankuasa disiplin parti yang bersifat bebas itu, kepentingan dan keutamaan Umno paling utama ketika melaksanakan tugas.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti siapa sama ada penggantinya akan dipertimbangkan di antara 22 ahli jawatankuasa berkenaan atau pihak lain.

Ditanya mengenai perkembangan politik semasa dalam Umno, beliau berkata, sebarang kenyataan melibatkan kepimpinan parti perlu mendapat perhatian dan pertimbangan presiden.

"Saya percaya Datuk Seri Najib matang dan akan membuat keputusan untuk kebaikan semua," katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut.

Najib Mahu Punca Pesawat TUDM Mendarat Cemas Segera Disiasat

Posted: 26 Feb 2016 03:29 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Najib Tun Razak.
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mahu punca pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat pendaratan cemas di Batu 2, Kuala Selangor, pagi Jumaat, disiasat secepat mungkin.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan terbaharu di laman Facebook beliau turut menyatakan rasa syukurnya kesemua lapan anak kapal pesawat itu selamat.

"Terima kasih juga kepada nelayan tempatan yang menghulurkan bantuan kepada anak-anak kapal TUDM. Semoga Allah SWT merahmati anda," katanya.

Dalam insiden pada 8.50 pagi itu, pesawat yang membawa lapan orang anak kapal dilaporkan membuat pendaratan kecemasan berhampiran pantai Kuala Selangor.

Menurut laporan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, semua mangsa kejadian diselamatkan orang awam dengan menaiki perahu nelayan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Umno Hilang Sokongan Jika Muhyiddin Digugurkan - Mukhriz

Posted: 26 Feb 2016 03:24 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
PETALING JAYA: Tindakan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno akan mengakibatkan parti itu hilang sokongan dan kredibiliti, kata bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Jika Majlis Tertinggi Umno bersetuju untuk menggugurkan beliau, ia akan menjadi paku terakhir pada keranda Umno," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Mukhriz berkata, beliau juga tidak terkejut jika Muhyiddin dibuat terus dari parti.

"Terkuburlah nilai dan prinsip yang menjadi tunggak kekuatan Umno selama ini," katanya.

Beliau menambah, tugas timbalan presiden bukan sahaja untuk membantu presiden.

"Seorang timbalan presiden bukan hanya bertanggungjawab semata-mata untuk membantu presiden.

"Beliau juga mesti dipilih atas kebolehan untuk mengganti atau mengambil alih peranan presiden di dalam keadaan yang memaksa.

"Apa jua alasannya, seseorang pemimpin yang menang jawatan parti melalui pemilihan tidak boleh digugurkan dari jawatan itu dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Muhkriz menambah, dakwaan bahawa timbalan presiden tidak membantu presiden, malah mengkritik presiden, dan ini cukup sebagai alasan untuk diambil tindakan, tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau bimbang Umno tidak akan relevan jika rakyat sedar ia tidak lagi memberi manfaat kepada negara.

"Malaysia yang suatu ketika dulu dikenali sebagai negara yang tegas dan mempertahankan prinsip undang-undang kini dilihat semakin banyak memberi alasan untuk menutup pelbagai isu," katanya.

Mukhriz berkata, pengguguran Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri telah menghampakan sebilangan besar rakyat yang percaya seorang anak Johor berpotensi dinaikkan ke pangkat perdana menteri.

"Sebagai pemimpin parti, kita perlu sedar bahawa tindakan yang dilakukan dari semasa ke semasa dipantau rakyat.

"Ingin saya tegaskan di sini, jika Muhyiddin dikhianati, Umno akan kehilangan sokongan terutama di kalangan mereka yang masih berbelah bahagi," katanya.

Umno 'Gantung' Muhyiddin

Posted: 26 Feb 2016 03:21 AM PST

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada memegang jawatan Timbalan Presiden Umno berkuatkuasa serta-merta.

Tempoh penggantungan yang ditetapkan adalah sehingga pemilihan parti akan datang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, petang Jumaat.

Berita selanjutnya menyusul.

PRU14 Pakatan Rakyat Akan Menang Besar

Posted: 26 Feb 2016 03:17 AM PST

 


DETIK DAILY


Bekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar meramalkan Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan yang paling mendapat manfaat sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.

Mahfuz berkata, pemimpin tertinggi Pas dan PKR tidak perlu menyembunyikan realiti pergolakan politik pembangkang daripada para penyokong. Idea meneruskan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR atau mewujudkan dua front politik PH dan Pakatan Rakyat menghadapi PRU 14, katanya, adalah tindakan merendah-rendahkan kebijaksanaan berfikir rakyat.

"Adakah parti pembangkang sekarang mahu menjadi pelawak untuk ditertawakan rakyat dengan aksi lawak mereka? Atas perkiraan ini, PKR tidak akan sanggup meninggalkan PH yang diusahakannya. Inilah yang dijangka berlaku di mana Pas akan bersendirian. Inilah yang akan menyebabkan undi Melayu berpecah tiga."

Jika undi Melayu berpecah tiga, ini akan memberi peluang pada PH untuk menang kerana PH mendapat kelebihan besar sokongan undi bukan Melayu Islam.

"Sebab itu, Najib sudah dapat membaca dan berusaha untuk meminimumkan perpecahan undi Melayu kepada dua kelompok sahaja iaitu PH dan BN. Inilah lontaran hasrat kerjasama dengan Pas di sebalik kalimah silaturrahmi."

Najib juga mengharapkan jika kerjasama ini menjadi kenyataan, Umno akan mendapat limpahan sokongan undi Melayu daripada Pas dan Pas juga akan mendapat limpahan sokongan undi Melayu daripada Umno.

"Saya percaya Najib bersedia mempertaruhkan persempadanan baru kawasan pilihan raya dengan menambah bilangan kawasan pilihan raya Dun dan Parlimen khususnya di Kelantan dan di Terengganu untuk memastikan kerjasama Umno-Pas menjadi kenyataan dan akan mengagendakan kebencian Melayu terhadap kaum Cina dengan menjadikan Dap sebagai 'punching bag'," katanya dalam satu kenyatan media.

Kata Mahfuz lagi, bagi mengelakkan malapetaka kehilangan undi maka Presiden Umno Najib Razak bersungguh-sungguh mahu parti pimpinannya bergabung bersama Pas demi menyatukan undi Melayu.

"Hasrat ini menunjukkan betapa "terdesaknya" Najib dan Umno berdepan krisis kepercayaan rakyat pada beliau. Najib mengharapkan jika dia berjaya mendapat kerjasama politik yang rasmi dengan Pas maka redalah pergolakan dalaman Umno yang menuntut beliau melepaskan jawatan.

"Ini akan mengunci mulut Tun Mahathir dan kumpulan Muhyidin kerana seluruh pimpinan dan ahli Umno akan melihat ini (kerjasama Pas – Umno sebagai) kejayaan kedua selepas kejayaan Allahyarham Tun Razak (membawa Pas bersektu dengan BN pada 1970)," katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz tidak bersetuju dengan cadangan balas bagi mengelakkan Pas terjun ke dalam lubuk BN sebagaimana yang diutarakan oleh pemimpin PKR Tian Chua yang mahu mewujudkan dua pakatan politik menghadapi PRU 14. Bagi Mahfuz, idea dua front politik telah berlalu dan tidak sesuai lagi untuk dipraktikkan.

"Tidak mungkin boleh wujud dua pakatan pembangkang iaitu PKR, Amanah dan DAP atas nama Pakatan Harapan dan satu lagi PKR dan Pas atas nama Pakatan Rakyat. Ini suatu yang sangat mustahil dan pelik."

Ada yang berkata ini pernah berlaku pada 1990 dulu. Pada waktu itu Pas tidak pernah ada kerjasama rasmi dengan DAP secara rasmi. Tetapi jika mahu dibuat sekarang dengan mengambil contoh yang lalu, ia bertembung dengan keadaan semasa di mana Pas dan DAP sebelum ini boleh dan telah pun bekerjasama dalam satu tempoh 1999 – 2003 dan 2008 – 2013.

"Ini akan menjadi persoalan pada rakyat kenapa harus ada dua front yang berasingan," katanya lagi.

Cukup bukti dakwa Najib isu SRC International ?

Posted: 26 Feb 2016 03:15 AM PST



Petikan Themalaysianinsider.com


Keputusan Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya 2 kertas siasatan membabitkan SRC International Sdn Bhd diserahkan semula kepada peguam negara adalah kerana terdapat bukti kukuh untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak, kata seorang ahli panel.

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya berkata, PPO berpengaruh kerana ahlinya diberikan taklimat dan boleh menyemak semula kertas siasatan yang diklasifikasikan "tertangguh" dan "tiada tindakan susulan".

"Penyiasat SPRM mengumpul 'bukti mencukupi' untuk membuktikan kes prima facie terhadap Najib," kata ahli panel itu kepada The Malaysian Insider.


"Kami membuat kesimpulan itu kerana penyiasat SPRM juga memberikan taklimat kepada kami mengenai kes itu. Mereka juga menjawab segala soalan yang kami ajukan."

Panel yang dipengerusikan bekas setiausaha kerajaan negeri Sarawak Tan Sri Dr Hamid Bugo itu, menamatkan penggal mereka semalam selepas tidak menerima surat lantikan semula sebaik tempoh setahun mereka tamat.

Dalam mesyuarat terakhir PPO semalam, ia turut diberi taklimat mengenai perkembangan terkini siasatan membabitkan SRC International Sdn Bhd dan derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Selain memuji sikap profesional, dedikasi dan integriti SPRM, panel berkenaan turut meminta kertas siasatan diserahkan kembali kepada peguam negara dan mendapatkan bantuannya mengeluarkan bantuan perundangan bersama bagi membolehkan SPRM mendapatkan bukti dan dokumen daripada institusi kewangan yang berpangkalan di luar negara.   

Peguam jenayah, M Visvanathan berkata, 'credible evidence' (bukti yang boleh dipercayai) bermakna pendakwaan mempunyai semua bukti cukup dalam kes mereka untuk tertuduh membela diri.

"Ia bermakna, tiada hujah yang boleh dipatahkan ketika di peringkat pembelaan, pendakwaan boleh mendapatkan sabitan terhadap tertuduh," katanya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang juga pendakwa raya pada 26 Januari berkata tidak terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa Najib berhubung isu SRC International, syarikat milik Kementerian Kewangan.

Syarikat itu dilaporkan sebagai salah satu firma dari mana derma itu berasal sebelum disalurkan melalui syarikat lain dan dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Apandi berkata, tiada bukti Najib selaku menteri kewangan menyalahgunakan kuasanya berhubung pinjaman diambil SRC International daripada dana pencen, KWAP.

Beliau juga menjelaskan tiada keperluan meneruskan dengan permintaan mendapatkan bantuan perundangan bersama daripada pihak berkuasa kewangan luar negara dan bank untuk SPRM menyelesaikan siasatan terhadap kes RM2.6 bilion kerana tiada bukti mencukupi.

The Malaysian Insider masih menunggu respons Apandi sama ada beliau akan mempertimbangkan keputusannya menutup siasatan terhadap Najib susulan kenyataan SPRM semalam.

SPRM sebelum ini merakamkan percakapan lebih 100 saksi, termasuk Najib berhubung isu derma tersebut.

Agensi itu membuka siasatan itu susulan laporan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Julai tahun lalu, yang mendakwa daripada jumlah RM2.6 bilion itu, RM42 juta daripada SRC
International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pindahan besar berjumlah AS$681 juta juga dipindahkan ke akaun Najib, daripada Syarikat British Virgin Islands dan melalui Falcon Private Bank di Singapura.

Apandi berkata, Najib mengembalikan AS$620 juta kepada penderma Arab Saudi kerana ia tidak digunakan

Penyampai radio perbodohkan pendengar

Posted: 26 Feb 2016 03:10 AM PST

 
Penyampai radio stesen berbahasa Inggeris wajar dijadikan contoh oleh penyampai radio stesen berbahasa Melayu kerana mereka mampu mengendalikan rancangan berbentuk ilmiah yang boleh dibincangkan oleh para pendengar.
 
 
 
radio


Setiap pagi sebelum pergi ke pejabat saya akan mendengar radio di rumah terlebih dahulu sebagai halwa telinga sebelum pergi ke pejabat. Amalan itu saya lakukan sejak dibangku sekolah lagi dan boleh dikatakan dalam hidup ini tiada pagi tanpa radio.

Bukan sahaja di rumah malah, radio juga menjadi peneman tatkala saya memandu kenderaan berseorangan diri untuk pergi mahupun pulang dari pejabat.

Bagaimanapun, sesuatu yang tidak boleh saya terima ialah apabila penyampai terutama di stesen-stesen radio berbahasa Melayu lebih mementingkan hiburan daripada menyampaikan maklumat berbentuk ilmiah kepada pendengar.

Mereka hanya tahu mengajak pendengar ke satu arah tanpa ada sebarang pengisian yang bermanfaat.

Paling melucukan apabila mereka yang sinonim dengan panggilan `DJ' cuba membuat lawak kononnya mahu menceriakan suasana hingga kadang-kadang dilihat terlebih banyak syok sendiri tanpa menyedari ia kelihatan seperti mempamerkan kebodohan sendiri.

Contohnya, penulis pernah tersalah memilih stesen radio yang kebiasaannya menjadi pilihan. Belum pun penyampainya membuat lawak, dia sudah ketawa terbahak-bahak seperti seorang yang sedang mabuk atau kerasukan syaitan.

Bila diamati betul-betul, sesuatu yang dianggap lawak itu tidaklah kelakar mana pun tetapi, disebabkan mahu menjual nama mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat menarik minat pendengar untuk mengikuti mereka.

Mungkin, inilah punca apabila meletakkan pelawak sebagai pengendali radio. Mereka tidak dapat lari daripada kehidupan sebagai seorang pelawak yang mengada-adakan jenaka untuk membuat orang ketawa.

Walhal, kadang-kadang mereka tidak tahu sebenarnya mereka cuba memperbodohkan orang lain atau diri mereka sendiri yang begitu.

Memang tidak dinafikan ada pendengar yang suka dengan lawak jenaka tetapi, mungkin lebih ramai yang meluat daripada suka.

Berbanding dengan stesen radio berbahasa Inggeris. Para penyampainya dilihat mempunyai pengetahuan dan kebiasaannya mengendalikan sesuatu rancangan yang mampu mengajak pendengar untuk berfikir.

Bukan sekadar mengulas menerusi laporan yang dicungkil dari akhbar, malah, penyampai radio stesen berbahasa Inggeris juga wajar dijadikan contoh oleh penyampai radio stesen berbahasa Melayu kerana mereka mampu mengendalikan rancangan berbentuk ilmiah yang boleh dibincangkan oleh para pendengar.

Saya menegur menerusi tulisan ini bukanlah kerana tidak mahu membenarkan agar stesen radio berbahasa Melayu terbabit berhenti daripada membuat sesuatu program yang berbentuk lawak jenaka.

Sebaliknya, ia perlulah berpada-pada dan lawak itu juga haruslah kena pada tempatnya.

Penerbit juga perlu peka dengan rancangan yang dikendalikan oleh juruhebah mereka itu dan tidak sesekali membenarkan penyampai mengendali program dengan meleret-leret.

Ingatlah, wahai DJ kami sebagai pendengar menilai kamu, janganlah kamu perbodohkan dengan lawak-lawak murahan yang kami anggap sebagai sampah yang kadang kala menyakitkan hati.

PKR desak kerajaan henti sekatan terhadap TMI

Posted: 26 Feb 2016 03:03 AM PST

 
Kebenaran tidak akan dapat ditutup dengan kepalsuan, skandal melibatkan pemimpin tertinggi negara akan terus didedahkan, tegas Azmin


azmin-ali

PETALING JAYA: PKR mendesak kerajaan segera menamatkan sekatan terhadap laman berita The Malaysian Insider (TMI) tanpa syarat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai satu lagi langkah terdesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk "membisukan" media bebas.

"Ini adalah satu lagi kes penyalahgunaan kuasa eksekutif dalam senarai panjang pencabulan Perlembagaan oleh kerajaan untuk menundukkan organisasi media bebas.

"Dengan siri tindakan terdesak lain seperti pendakwaan terhadap suara-suara penentangan, penggunaan kuasa polis untuk menakutkan wartawan, tindakan sewenang-wenangnya Peguam Negara untuk menghentikan siasatan terhadap Perdana Menteri, apa yang kita saksikan adalah gangguan kepada proses demokrasi yang akhirnya akan merosakkan negara.

"Kami mengingatkan Najib bahawa rakyat tidak akan diperbodohkan kerana kebenaran tidak akan dapat ditutup dengan kepalsuan, skandal melibatkan pemimpin tertinggi negara akan terus didedahkan," kata Menteri Besar Selangor itu.

SKMM menerusi kenyataannya menjelaskan, sekatan terhadap TMI dibuat di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas sebab melanggar Seksyen 233 akta yang sama, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Badan itu juga memberi amaran kepada laman berita yang lain agar tidak menyiarkan laporan yang tidak ditentukan kesahihannya kerana boleh "mengundang kekeliruan dan mencetuskan situasi yang tidak diingini".

Sekat TMI dan laman web lucah tidak sama – Menteri

Posted: 26 Feb 2016 03:01 AM PST

 
Sekatan yang dikenakan terhadap TMI itu dilakukan selepas mendapat aduan dari masyarakat.


salleh-keruak_tmi_skmm_600


SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyatakan sekatan yang dikenakan terhadap portal berita dan laman web lucah adalah berbeza.

Ini kerana katanya, sekatan terhadap portal berita seperti The Malaysian Insider (TMI) dilakukan setelah mendapat aduan daripada masyarakat.

Sementara itu, sekatan terhadap laman web lucah dan laman yang didapati berunsur ekstremis pula katanya, sememangnya telah disekat dari awal.

"Memang disekat semua (laman web lucah) tapi bila kita 'block' mereka buat yang lain. Sudah tentu kita akan meneliti semua dan pada dasarnya lucah atau perkara ekstremis itu sendirinya kita akan blok.

"Dan, media online ini kita kena lihat jika ada aduan masyarakat," kata Salleh ketika ditemui pemberita di Kompleks Karangkraf, di sini hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam mengesahkan bahawa ia telah menyekat akses kepada portal berita TMI.

Manakala, hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bertindak memanggil ketua pengarang TMI berhubung siasatan mengenai makalah bertajuk "Enough proof to charge Najib over SRC, says MACC oversight committee", yang memetik sumber daripada Panel Penilaian Operasi (PPO), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang tidak dinamakan.

Makalah berkenaan didakwa telah mengelirukan orang awam.

LIHAT VIDEO DI SINI

Sekat produk pembunuh di pasaran!

Posted: 26 Feb 2016 02:54 AM PST

Kerajaan jangan terlalu mudah membenarkan sesuatu produk berada di pasaran tanpa melakukan kawalan penilaian terhadap bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tertentu.
johnson_fomca_600


Terkejut bila mendapat tahu produk keluaran syarikat Johnson & Johnson didapati tidak selamat untuk digunakan susulan kematian seorang wanita di Amerika Syarikat yang dikait menggunakan produk syarikat itu.

Nasihat oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) semalam yang mahu agar syarikat berkenaan menarik balik produk-produk mereka yang berada di pasaran mungkin sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa cemas kepada golongan ibu bapa yang sering menggunakan produk itu buat anak-anak mereka.

Dalam hal ini, terfikir juga penulis berapa banyakkah agaknya kuantiti dan juga kekerapan penggunaan produk jenama itu oleh wanita Amerika terbabit hingga kematiannya dikaitkan dengan produk syarikat berkenaan.

Setahu penulis, jenama Johnson & Johnson ini sememangnya telah lama diperkenalkan dan ia menjadi pilihan kepada para ibu-ibu untuk menggunakan jenama produk itu khususnya kepada anak-anak kecil terutamanya bayi.

Jika kejadian yang mengorbankan wanita bernama Jacqueline Fox itu boleh berlaku di Amerika Syarikat ia tidak mustahil boleh berlaku di negara kita.

Mengupas mengenai perkara ini ingin penulis mengajak pembaca berfikir, bagaimana kerajaan menerusi pihak-pihak yang diberikan tanggungjawab memainkan peranan mereka dalam melakukan kawalan kualiti terhadap apa sahaja produk yang dibawa masuk ke negara ini.

Pokok pangkalnya, sejauh mana ketelusan oleh pihak-pihak tertentu seperti Kastam Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan dalam melakukan pemeriksaan terhadap produk-produk seperti makanan mahupun kecantikan yang selamat digunakan oleh pengguna.

Almaklumlah, pengguna ini biasanya tidak mengetahui kandungan sesuatu produk sama ada ia selamat untuk digunakan atau sebaliknya.

Biasanya, mereka terpengaruh dengan iklan-iklan yang dilihat hingga membuatkan teruja untuk mendapatkannya.

Kerajaan pula janganlah dengan mudah membenarkan produk-produk seperti itu berada di pasaran tanpa melakukan kawalan penilaian terhadap bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tertentu.

Bukan sahaja produk dari luar malah, perkara sama perlu dilakukan terhadap produk-produk keluaran tempatan sama ada ia dihasilkan menerusi kaedah tradisional mahupun cara moden.

Kita tidak mahu nanti berlaku sesuatu yang tidak diingini, barulah pihak-pihak tertentu terhegeh-hegeh hendak menyiasat atau terfikir mahu memantau sedangkan ia sebenarnya sudah terlambat.

Memang biasa kita dengar sesuatu tindakan hanya akan diambil jika musibah telah berlaku. Janganlah dijadikan peribahasa sudah terhantuk baru nak tengadah sebagai amalan dalam hidup kita ini.

Bertindaklah segera sebelum ia menjadi lebih parah. Bantulah pengguna dalam mendapatkan hak mereka. Hargailah kepercayaan yang telah diberikan.

Baitul Fiqh lancar Rumah Ngaji

Posted: 25 Feb 2016 05:23 PM PST

Baitul Fiqh lancar Rumah Ngaji
Abdul Jalil (kanan) menyampaikan sumbangan wakaf al-Quran kepada Haliza.
 


SUBANG JAYA - Bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat mendekati dan mengaji al-Quran, Program Rumah Ngaji dilancar di pertubuhan kebajikan Baitul Fiqh di SS14.

Inisiatif mewujudkan Rumah Ngaji tersebut bagi memenuhi keperluan rohani penghuni pertubuhan yang datang dari pelbagai latar belakang termasuk anak yatim, ibu tunggal, remaja bermasalah, bekas pekerja seks dan penagih dadah.

Pengerusinya, Haliza Halim berkata, beliau berminat mewujudkan Rumah Ngaji dianjur Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf selepas beberapa kali menyertai program tersebut sebelum ini.

"Saya terus nyatakan hasrat kepada sekretariat yayasan...Alhamdulillah syukur mendapat galakan daripada mereka hingga tertubuhnya Rumah Ngaji di Baitul Fiqh," katanya.

Beliau berharap, kewujudannya dapat melahirkan lebih ramai masyarakat mencintai al-Quran dan memahami maksudnya.

"Program ini juga terbuka kepada komuniti sekitar dan Baitul Fiqh sudah merancang jadual pengisian program hingga April ini," katanya.

Bagi orang ramai yang berminat menyertai Program Rumah Ngaji Baitul Fiqh boleh berhubung dengan sukarelawan 012-6547706 (Harlina Ghaifullah) atau 013-2286992 (Siti Norina Abdul Aziz).

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Warisah Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali yang melancarkan Rumah Ngaji semalam berharap masyarakat bukan sahaja mengenali al-Quran, tetapi suka membaca, fahami maksud, menghayati seterusnya mengamalkan apa yang dibaca dalam kitab tersebut.

"Bagi yang ada peluang ikutlah ilmu agama, jika amalkan insyaALLAH tiada masalah dalam hidup," katanya melalui kaedah digunakan ada individu tidak tahu mengaji boleh mengenali huruf dan mula baca al-Quran dalam tempoh tiga hari.

Peserta, Ramlah Ahmed Koya, 67, berkata, dia mengetahui program itu daripada rakan dan tertarik mengikutinya selepas dilancar semalam.

Katanya, banyak kelas-kelas agama diikutinya sebelum ini, namun dia tetap berminat menyertai Program Rumah Ngaji kerana ada kelainan.

"Peluang ini saya anggap sebagai tambahan mempelajari ilmu agama dan akan digunakan sebaiknya.

"Kalau ada masa lapang, saya cuba hadir majlis ilmu di bawah program Rumah Ngaji di Baitul Fiqh kemudian sampaikan pula apa yang diperoleh kepada kawan," katanya.

Noriah Idris, 69, berkata, dia seronok menyertai program Rumah Ngaji walaupun baru pertama kali menyertainya.

"Rasa seronok dapat datang dengan kawan-kawan untuk lebih menghayati al-Quran," katanya.

Peserta, Jamilah Puteh, 75, berkata, melalui program itu dia berharap dapat memantapkan lagi bacaan al-Quran selain menambah kenalan yang bersama-sama menyertainya.

Bagi bekas penghuni Baitul Fiqh yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja, peluang mengikuti Rumah Ngaji dianggap rahmat besar dalam hidupnya.

Lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia pelacuran selain terlibat dadah, Jaja bersyukur masih sempat 'tersedar' di hujung jalan kehidupan.


Islam haramkan jual beli kucing

Posted: 25 Feb 2016 05:16 PM PST

Kucing
Gambar hiasan. - Foto AFP
 
 
SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr Fathul Bari Mat Jahaya memberitahu ramai di kalangan masyarakat Islam tidak mengetahui bahawa hukum jual beli kucing adalah haram.

Menerusi rakaman video programnya, Fokus Kitab Ahli Sunnah (Fokas)  Fathul yang juga merupakan Exco Pemuda Umno berkata, larangan itu adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W.

"Ini contoh mungkin mengejutkan kita, tapi memang betul pun dalam Hadis, nabi larang jual beli kucing, jadi kita perlu mengelak berurus niaga dalam hal ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya orang Islam dibolehkan untuk membela haiwan tersebut cuma larangan itu hanya ke atas urusan jual beli haiwan itu sahaja.

"Soal kita hendak bela, hendak jaga, hendak ambil tepi jalan ambillah," katanya.

Katanya lagi, larangan ini adalah perintah ALLAH, jadi apa yang perlu kita lakukan adalah cuma mentaati perintahNYA.

"Kenapa dilarang, apa masalahnya? Ini bukan soal kita suka atau tidak tetapi ia soal larangan daripada ALLAH," katanya

Panel pemantau SPRM tak akan dimansuh

Posted: 25 Feb 2016 05:05 PM PST

MALAYSIAKINI


Kerajaan tidak akan memansuhkan dua panel bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata ketua pesuhruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Katanya, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dibentuk secara pentadbiran bawah Akta SPRM 2009.

"Kerajaan kini dalam proses membuat pelantikan keahlian panel-panel berkenaan bagi penggal baru," katanya.

PPO dan panel khas SPRM sebelum ini mahu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa beliau tidak memberi tekanan untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan, sebagai jurucakap panel khas itu berkata, terdapat perkara tertentu orang awam mahu tahu kenapa kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun Najib dan SRC International ditutup.


'Syor panel SPRM bukan mahu cabar peguam negara'

Posted: 25 Feb 2016 05:04 PM PST

MALAYSIAKINI




Syor Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bukan tindakan untuk mencabar kuasa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali.

Ketua pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed justeru berharap syor pada mesyuarat ke-29 panel itu semalam tidak disalah tafsir.

"Saya ingin menegaskan sebagaimana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan kuasa pendakwaan adalah di bawah Peguam Negara," kata Abu Kassim.

PPO semalam menasihatkan SPRM terus menyiasat kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak dari Arab Saudi.

Badan itu juga mendesak SPRM mendapatkan bantuan Apandi untuk mengeluarkan notis kerjasama undang-undang bersama supaya mereka boleh mendapatkan bantuan daripada penguat kuasa luar negara.

Panel juga menyokong keputusan SPRM untuk mendesak Jabatan Peguam Negara menyemak semula keputusan tidak mendakwa Naib dalam kes SRC International.


Tiada ulasan: