Khamis, 25 Februari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


SIAPA YANG BUAT TUDUHAN TAK BERASAS, TIDAK TERBUKTI DAN SIAPA YANG MEMALUKAN NEGARA?

Posted: 25 Feb 2016 06:45 AM PST

shahbudindotcom

 






Untuk kesekian kalinya, berkatalah lagi Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan bahawa tuduhan yang berulang, tidak berasas dan tidak terbukti oleh The Wall Street Journal atau WSJ adalah bertujuan merosakkan nama Malaysia dan pembangunan ekonominya.

Sama seperti banyak kenyataannya sebelum ini, beliau nampaknya tidak menggunapakai otak kiri dan kanannya sebelum berkata-kata. 

Sebagai pemimpin, bukankah wajar beliau menilai dengan jujur terlebih dahulu tentang siapakah sebenarnya yang membuat tuduhan tidak berasas dan tidak terbukti itu dan siapa pula yang merosakkan nama negara dan pembangunan ekonominya?

Adakah ianya WSJ atau Najib Razak?

Apakah tuduhan WSJ berkaitan wang sebanyak RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak merupakan tuduhan yang tidak berasas dan tidak terbukti atau ia merupakan fakta melibatkan Perdana Menteri yang telah memalukan nama negara ke seluruh dunia?

Jika benar tuduhan WSJ sebagai tidak berasas dan tidak terbukti, bagaimana Panel Penilaian Operasi SPRM boleh mengatakan terdapat bukti kukuh untuk agensi penguatkuasa anti rasuah itu mendakwa Najib berkaitan skandal kewangan yang melibatkan akaun peribadinya?

Apakah Panel Penilaian Operasi yang dibarisi oleh tokoh-tokoh berwibawa itu hanya "temberang kosong"  saja apabila mahukan SPRM meneruskan siasatannya berkaitan wang tersebut serta mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara agar membenarkan bantuan undang-undang bersama atau MLA digunakan untuk mendapatkan bukti dan dokumen daripada luar negara?




Selain pendedahan pertama WSJ terbukti benar, mengapa dakwaan kedua WSJ bahawa wang tersebut bukannya datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, tetapi daripada pelbagai akaun berkaitan 1MDB, masih tidak berani disanggah oleh Najib yang selalu berbangga dengan darah Bugisnya?

Bagaimana jika WSJ mendedahkan bukti-bukti sokongan yang dimilikinya tidak lama lagi?

Adakah sekali lagi Abdul Rahman mahu menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas, tidak terbukti dan mahu merosakkan nama negara juga?

Dalam hal ini, antara WSJ yang mendedahkan kebenaran dengan Najib yang secara konsisten boleh dianggap terlibat dalam skandal kewangan paling besar, siapakah yang telah memalukan nama negara dan merosakkan pembangunan ekonominya?

Mengapa takut menyaman WSJ jika benar-benar yakin tuduhan akhbar perniagaan itu tidak berasas dan tidak terbukti?

Kepada Rahman, rakyat tidaklah sebodoh yang mungkin beliau fikirkan untuk menilai yang mana benar dan salah berkaitan wang tersebut.

Sebagai menantu kepada tokoh terkenal iaitu Prof. Dr Awang Had Salleh serta beliau sendiri seorang yang berpendidikan, sebaiknya berhentilah mengeluarkan kenyataan yang semata-mata untuk mengipas Perdana Menteri, sedangkan rakyat makin mahu "termuntah" mendengar.


DAP belum terima jemputan himpunan anti Najib, Rafizi akan hadir

Posted: 25 Feb 2016 06:42 AM PST

Geraldine Tong


LIHAT VIDEO DI SINI

DAP hari ini mengesahkan bahawa parti itu belum menerima sebarang jemputan rasmi bagi menghadiri perjumpaan tertutup 27 Mac anjuran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bagi menumbangkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata demikian pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
"Saya belum dimaklumkan mengenai sebarang jemputan rasmi kepada DAP," katanya.

Menurutnya, jika parti itu mendapat jemputan, mereka akan membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau juga menjelaskan bahawa DAP tidak terlibat sama sekali dengan penganjuran perjumpaan itu.

Selasa lalu, Zaid berkata perhimpunan yang dijadualkan pada 27 Mac itu bukan merupakan bantahan awam tetapi sebenarnya adalah acara "tertutup" dan atas "jemputan sahaja" kepada kira-kira 1,000 orang.
Sebaliknya, beliau berkata acara 27 Mac itu adalah hanya perjumpaan tertutup.

"Saya lihat ramai pembaca masih bercakap mengenai perhimpunan pada 27 Mac Ia satu perjumpaan pemimpin dalam suasana tertutup.

"Saya tidak pernah kata ia akan menjadi protes jalanan atau perhimpunan awam.

"Saya bukannya seperti BERSIH," tulis Zaid dalam tweet.

Rafizi terima jemputan

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata beliau telah menerima dan menerima jemputan Zaid bagi menghadiri perjumpaan berkenaan.

Namun, Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau akan hadir atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil PKR.

"Saya berbincang dengan Zaid semalam. Dia beritahu saya format perjumpaan itu dan saya berkata, saya akan hadir," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Saya tidak pernah akan lepaskan peluang untuk hentam Najib atau Rosmah," katanya secara berseloroh sambil menambah jemputan telah dihantar kepada kebanyakan pengkritik pasangan itu.

Cadangan daftar blog jadikan Malaysia negara autokrasi

Posted: 25 Feb 2016 06:22 AM PST

rara3

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Undang-undang mewajibkan penulis blog mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) seperti cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikhuatiri mendorong ketidakadilan terhadap hak rakyat bersuara.

Malah, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman berkata ia boleh disalah guna bagi menghentikan kritikan umum terhadap kerajaan sekaligus cuba menutup skandal wakil rakyat UMNO BN.

"Apa jaminan kerajaan undang-undang itu tidak akan disalah guna dengan mengambil tindakan terhadap penulis blog yang tidak memihak kepada kerajaan?

"Bagaimana pihak berkuasa mahu mentakrif sesuatu tulisan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab? Atau hanya kena ikut cita rasa dan telunjuk pemimpin sahaja?" katanya kepada Roketkini.

Beliau mengulas cadangan KDN baru-baru ini untuk menggubal undang-undang supaya penulis blog wajib mendaftar dengan KKMM, kononnya bagi mengekang penulisan berunsur fitnah dan tidak bertanggungjawab di internet.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Rara turut mempersoal sama ada kerajaan mahu menuju ke arah negara diktator apabila mahu memantau penulisan di internet seperti amalan di China, Vietnam, Arab Saudi dan negara autokratik lain.

"Undang-undang itu tidak patut ada di Malaysia kerana ia patut berasaskan prinsip demokrasi, bukannya autokrasi. Adakah langkah itu mengesahkan pandangan betapa negara ini sebenarnya dipimpin secara autokratik oleh diktator?

"Jika langkah itu dilaksanakan, apa pula yang akan cuba dikawal kerajaan selepas ini? Adakah pengguna Twitter dan Facebook juga perlu mendaftar dengan KKMM? Ia tidak munasabah," katanya.

Menyifatkan langkah itu sebagai drakonian, Rara berpendapat ia juga mengganggu ruang awam rakyat dan menyekat kebebasan maklumat ekoran terlalu banyak skandal pemimpin kerajaan didedah kebelakangan ini.

"Adakah cadangan itu bertujuan menakut-nakutkan rakyat? Saya tidak fikir tulisan yang kononnya memfitnah dan tidak bertanggungjawab seperti diuar-uar KDN itu menggugat keamanan dan kestabilan negara.

"Negara ini masih aman, pemerintah yang korup dan zalim masih kekal memerintah," katanya. -Roketkini.com


Kurangkan kadar GST kerana kutipan hasil langkaui jangkaan

Posted: 25 Feb 2016 06:19 AM PST

11078105_1147384771945126_1419325989808168380_n


Oleh Fatih Hassan Nordin


PERAK: Kerajaan Persekutuan dicadang sekurang-kurangnya mengurangkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada tiga peratus jika berdegil enggan memansuhkannya sebagaimana desakan pembangkang.

Menyatakan pendapatan kerajaan melalui GST melangkaui jangkaan, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Taiping, Chong Zhemin, berkata pengurangan itu dapat mengurangkan beban golongan isi rumah B40 yang terjejas teruk akibat pelaksanaan cukai itu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dedahkan bulan lalu bahawa GST yang terkumpul ketika ini ialah RM51 bilion. Angka itu terkumpul sejak sembilan bulan lalu sejak pelaksanaannya, secara purata ia berjumlah kira-kira RM68 bilion setahun.

"Pada bajet tahun lalu, kerajaan menjangka mengumpul RM39 bilion keuntungan GST. Jumlah RM68 billion itu hampir dua kali ganda dari jangkaan dan empat kali ganda dari hasil RM18 billion cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 2014.

"Ia bermakna, kadar enam peratus cukai amat tinggi dan tidak munasabah. Adalah adil untuk kerajaan mengurangkan kadar GST. Langkah itu akan mengurangkan beban isi rumah B40," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas Laporan Matlamat Pembangunan Milenium Malaysia 2015 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menunjukkan isi rumah berpendapatan bawah 40 peratus (B40) paling terjejas teruk akibat pelaksanaan GST.

Ia sekaligus menunjukkan dakwaan kerajaan UMNO BN kononnya GST tidak memberi kesan regresif terhadap rakyat berpendapatan rendah di negara ini disangkal laporan pertubuhan antarabangsa itu.

Walaupun kerajaan mendakwa GST di negara ini ada senarai Barangan Berkadar Sifar (Zero rated) GST, Zhemin berkata, kesannya tetap dirasai rakyat berpendapatan rendah.

Malah, katanya, sukar untuk mereka bergantung kepada senarai Barangan Sifar GST ekoran pelbagai keperluan harian kebanyakannya diproses bersekali, bermakna turut dikenakan cukai enam peratus itu.

"Contoh, walaupun roti dalam senarai Barangan Sifar GST, hanya roti putih dan roti mil penuh hanya zero rated, roti dengan inti kaya, inti kacang dan inti mentega dikenakan cukai enam peratus.

"Walaupun ayam tidak dikenakan GST, ayam diperap dikenakan GST. Walaupun minyak masak dari minyak sawit, kelapa dan kacang tanah dikecualikan GST tetapi bahan lain seperti bunga matahari, jagung, kacang soya dan zaitun dikenakan GST.

"Keperluan asas seperti Milo, mee segera, biskut dan makanan dalam tin dan air berperisa dikenakan cukai enam peratus. Bagaimana kerajaan boleh harapkan rakyat miskin bergantung kepada makanan dalam Barangan Sifar GST sahaja," katanya.-Roketkini.com


Syarikat akhbar dikuasai UMNO terus catat kerugian besar

Posted: 25 Feb 2016 06:17 AM PST

utusan

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Syarikat akhbar dikuasai UMNO, Utusan Melayu Malaysia Berhad terus mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM17.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Laporan Bernama menyatakan, pendapatan syarikat akhbar itu juga jatuh kepada RM248.38 juta berbanding 290.20 juta sebelum ini, merujuk kepada kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, penurunan pendapatan bagi suku pertama sebanyak 11.8 peratus adalah kerana penurunan segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan.

Bagi suku keempat, syarikat itu mencatatkan kerugian pracukai sebanyak RM45.20 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM25.57 juta dalam suku yang sama.

Pendapatan syarikat pada suku itu juga mencatatkan kerugian sebanyak RM9.06 juta iaitu penyusutan kepada RM67.45 juta berbanding RM76.51 juta sebelum ini.

Laporan Bernama turut menyatakan Utusan Melayu Malaysia Berhad akan terus berhadapan dengan unjuran cabaran berterusan pada 2016 disebabkan isu yang menjejaskan sentimen pelanggan termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan akibat kelembapan ringgit yang akan mempengaruhi kenaikan kos bahan tertentu.

Pada Mei 2015 lalu, The Edge melaporkan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd mencatat kerugian berpanjangan untuk tempoh suku pertama tahun itu.

Kerugian syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia itu bertambah kepada RM19.97 juta berbanding RM19.81 juta pada suku pertama 2014.

Antara penyebab utama kerugian ialah kemerosotan jualan akhbar dan majalah terbitannya. –Roketkini.com


Isu JPA: Sudahlah tak dapat belajar luar negara, biasiswa pula ditukar jadi pinjaman

Posted: 25 Feb 2016 06:12 AM PST

anthony loke

Oleh Hafiz Zainuddin


KUALA LUMPUR: Semua biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun 2016 ditukar kepada pinjaman boleh ubah, berbeza dengan keputusan pengecilan bajet 2016 Januari lalu yang hanya menyentuh penajaan biasiswa kepada pembelajaran dalam negara.

Kecewa dengan model baharu penajaan JPA itu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan Persekutuan bersikap tidak jujur dan tidak adil terhadap mahasiswa yang menerima tawaran biasiswa JPA sebelum ini.

"Mahasiswa bukan sahaja tidak dapat belajar luar negara tetapi biasiswa JPA pula ditukar kepada pinjaman,"" katanya merujuk pengumuman model baharu penajaan JPA di laman sesawangnya,mahasiswa diberi tiga mekanisme perjanjian pinjaman.

Pertama, mahasiswa tidak perlu membuat bayaran balik jika berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Kedua, graduan dikehendaki membayar balik 50 peratus pinjaman jika memilih untuk bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketiga, graduan dikehendaki membayar balik keseluruhan pinjaman jika tidak memilih untuk berkhidmat dengan sektor awam mahupun GLC.

Anthony Loke juga mempersoal sama ada kerajaan mahupun syarikat GLC mempunyai jumlah perjawatan yang mencukupi bagi semua graduan JPA.

"Adakah kerajaan mampu menyerap 11,000 pelajar JPA dalam perkhidmatan awam, lebih-lebih lagi bilangan perjawatan sudah ditetapkan. Berapa peratuskah mereka misalnya mahasiswa dari luar negara mendapat tawaran bekerja dalam sektor awam?

"Bagaimana pula dengan mahasiswa yang mahu bekerja dalam sektor awam tetapi kerajaan tidak ada jawatan untuk ditawarkan? Adakah selepas ini kerajaan mahu tawarkan lebih jawatan?" katanya.

Merujuk kepada laporan media yang menyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong terkejut dan tidak menyedari perubahan itu, beliau kesal berikutan isu itu tidak dibincangkan langsung di peringkat menteri,.

"Adakah ini bermaksud perubahan yang JPA buat ini langsung tak dibincangkan? Saya rasa tindakan ini amat tidak betul," kata Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan itu kerana berpendapat sebarang perubahan dasar memerlukan perbincangan.

"Saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak arahkan JPA supaya tangguhkan dulu perlaksanaan model baharu mereka ini," katanya. –Roketkini.com


NGO Melayu bantah sidang Freemason di Pulau Pinang

Posted: 25 Feb 2016 06:10 AM PST

Susan Loone

 
Kira-kira 30 orang yang mewakili beberapa NGO Melayu hari ini di Batu Ferringhi di Pulau Pinang bagi membantah persidangan antarabangsa kumpulan 'masonic' dari Scotland itu.

Mereka diketuai oleh Ketua Gerakan Merah Malaysia, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju; Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah dan Ketua Pemuda Perkasa Pulau Pinang, Ridzuan Azuddin.

Sambil melaungkan slogan anti-Yahudi dan mendesak untuk berjumpa Pengurus Besar Hotel Bayview Beach tempat sidang tiga hari itu diadakan.

Kira-kira jam 3:15 petang, pihak polis mula campur tangan dan berkata mereka akan membuat tangkapan jika kumpulan itu merempuh masuk ke dalam hotel.

Kumpulan NGO itu terus mendesak untuk berjumpa dengan pengurus besar hotel berkenaan dan beberapa ahlinya kemudian dibenarkan masuk pada jam 3.40 petang untuk bertemu dengan pihak pengurusan hotel.

Anggota FRU tiba pada jam 3.45 petang untuk menghalang ahli NGO lain daripada memasuki hotel itu.

Kumpulan itu sebelum ini mendakwa bahawa Freemason dikaitkan dengan Zionis dan menyebarkan propaganda "teori konspirasi jahat terhadap Islam dan umatnya".

Jepun tinjau pasaran kosmetik halal

Posted: 25 Feb 2016 06:08 AM PST

BERNAMA


Industri kosmetik Jepun berminat untuk memasuki pasaran halal di negara-negara Islam, kata Persatuan Industri Kosmetik Jepun.

Pengarah Bahagian Dalamannya Tetsuya Kambe berkata walaupun permintaan bagi produk kosmetik di negara-negara Islam semakin meningkat, cabaran paling besar ialah untuk mendapatkan pensijilan halal terutama bagi beberapa bahan-bahan yang digunakan dalam produk.

Persatuan itu juga melihat kerjasama dengan Malaysia sebagai platform yang baik untuk meneroka pasaran halal kerana negara ini dianggap sebagai hab global bagi pengeluaran serta perdagangan barangan dan perkhidmatan halal, katanya.

"Industri halal berkembang pesat dan permintaan di negara-negara Islam bagi produk kosmetik juga menggalakkan.

"Tetapi kami perlu mengkajinya dan masih berbincang mengenai potensi industri halal," katanya kepada Bernama di Seminar Minggu Kecantikan Jepun yang berlangsung di kediaman Duta Besar Jepun ke Malaysia di Kuala Lumpur.

Pasaran kecantikan dan penjagaan diri Jepun bernilai kira-kira US$50 bilion dari segi saiz, kedua selepas Amerika Syarikat (iaitu kira-kira US$70 bilion), menurut Euromonitor International.

Walaupun pasaran kosmetik di Jepun adalah antara yang paling berdaya saing di dunia dan sebahagian besarnya dikuasai oleh pengeluar domestik seperti Shiseido, Kanebo, Kose dan Kao, syarikat-syarikat dan pengguna masih aktif mencari produk inovatif dari luar negara.

Sementara itu, Pengarah dan Kaunselor Hal Ehwal Ekonomi Kedutaan Jepun Kohei Nakamura berkata produk kosmetik Jepun boleh menghadapi persaingan yang sengit di Malaysia apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) mula berkuat kuasa.

"(Tetapi) ini merupakan peluang untuk meningkatkan kualiti produk kami. Kami menghargai persaingan, ia akan menjadi lebih mencabar tetapi kita perlu berfikir secara positif," katanya.

Nakamura berkata Malaysia mengimport produk kosmetik Jepun bernilai dua bilion yen (RM800 juta) tahun lepas.


Kebanyakan ahli PAC di luar negara: Adakah Hasan berbohong?

Posted: 25 Feb 2016 06:04 AM PST

MALAYSIAKINI




Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mahu tahu sama ada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin dengan sengaja menipu apabila beliau berkata "kebanyakan anggota PAC berada di luar negara" sedangkan katanya, majoriti mereka di negara ini.

Dalam satu kenyataan media, Lim berkata PAC mempunyai kuorum yang selesa dengan kehadiran sebahagian besar mereka di negara ketika ini.

Lim juga menyoal Hasan sama ada beliau sendiri secara tergesa-gesa ke luar negara pada Selasa lalu supaya alasannya "kebanyakan anggota PAC berada di luar negara" mempunyai untuk mewajarkan pembatalan saat akhir mesyuarat PAC semalam dan hari ini.

Beliau juga menggesa Hassan untuk mendedahkan di mana beliau berada di luar negara, dan apa yang dilakukannya di sana ketika PAC dijadual mengadakan mesyuaratnya untuk membuat kesimpulan berhubung siasatan PAC ke atas skandal 1MDB.

"Hasan perlu sedar bahawa jika beliau seorang askar, beliau akan dihadapkan ke mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman yang berat kerana meninggalkan kubu dan tugasnya pada saat paling penting dan kritikal."

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa beliau mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa Hasan tidak bercakap benar apabila beliau berkata bahawa "kebanyakan anggota PAC berada di luar negara".

"Apakah tidak benar bahawa hanya dua anggota PAC berada di luar negara untuk menunaikan umrah - Ahmad Hamzah (Jasin) dan Nawawi Ahmad (Langkawi)?" soalnya.

Mahdzir: Mana boleh Muhyiddin kritik presiden Umno?

Posted: 25 Feb 2016 06:02 AM PST

BERNAMA




Timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bekerjasama dengan pemimpin lain dalam parti itu sebagai satu pasukan padu, bukannya mengkritik pemimpin tertinggi, kata anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ketika menyuarakan sokongannya terhadap saranan agar tindakan diambil terhadap Muhyiddin, Mahdzir berkata kritikan yang dibuat berulang kali oleh Muhyiddin tentang cara pihak pentadbiran negara menangani kontroversi 1MDB, boleh melemahkan kerajaan.

Menteri Pendidikan itu berkata: "Untuk membina sebuah pertubuhan politik yang kuat, kita perlu bersatu sebagai sebuah pasukan yang mempunyai hubungan kerja yang kukuh antara pemimpin parti dan anggota peringkat akar umbi.

"Mana boleh anda mengkritik presiden parti sendiri? Apa jua masalah perlulah diselesaikan dengan cara sewajarnya melalui perbincangan di dalam parti, bukan secara terbuka," katanya kepada pemberita selepas melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan di Petaling Jayahari ini.

Isnin lepas, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Muhyiddin perlu berundur sekiranya beliau tidak lagi boleh menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau dengan sewajarnya.

Ditanya sama ada tindakan perlu diambil terhadap Muhyiddin, Mahdzir berkata: "Saya menyokong penuh saranan agar Muhyiddin dirujuk kepada jawatankuasa disiplin. Beliau sering menyuarakan komen (terhadap kepimpinan tertinggi) sejak kebelakangan ini dan sebarang perbuatan yang boleh merosakkan parti, perlulah dihentikan."-Bernama


Nazri: Shafie bodoh fikir saya panggil Muhyiddin anjing?

Posted: 25 Feb 2016 05:54 AM PST

Alyaa Azhar

 


Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz hari ini melabelkan naib presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai "bodoh" kerana memikirkan beliau menyamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah sebagai "anjing".

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Shafie yang mengakui bahawa beliau kecewa dengan sesetengah pihak yang menyifatkan mereka yang menegur dan mengkritik pemimpin dilabel sebagai pengkhianat dan seolah-olah sebagai anjing yang menggigit kaki.

"Dia (Shafie) harus dengar betul-betul. Dia seorang Naib Presiden yang bodoh," kata Nazri kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Nazri menjelaskan bahawa beliau hanya bermaksudkan bahawa seseorang itu tidak boleh bergerak ke hadapan jika anjing terus menggigit.

"Saya tak kata dia (Muhyiddin) anjing. Shafie ini (adalah) orang bodoh yang fikir saya panggil orang lain anjing.

"Saya cuma bagi contoh bagaimana susahnya jika kita mahu kerja (dan) anjing terus gigit. Perkara pertama yang saya terfikirkan adalah anjing yang menggigit kakia," katanya.

Oleh itu, katanya, beliau tidak hairan Shafie telah 'ditendang' daripada Kabinet.

PKR: Sekat portal bukti k'jaan takut media bebas

Posted: 25 Feb 2016 05:39 AM PST

MALAYSIAKINI

 
PKR hari ini mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang dilapor menghalang akses pengguna daripada beberapa penyedia perkhidmatan internet (ISP) ke laman berita The Malaysian Insider.

Pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata tindakan itu bersifat kuku besi dan melanggar Akta Jaminan MSC Malaysia yang antara lain menjamin tiada penapisan internet.

Katanya, tindakan itu juga mungkin ada kaitan dengan laporan mengenai isu derma politik RM2.6 bilion yang melibatkan pemimpin utama negara.

"Ia menjadi bukti Putrajaya takut pada media bebas, terutama media online yang tidak mudah didiamkan khusus mengenai isu-isu penting dalam negara.

"Sudah pasti tindakan ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap kedudukan kebebasan media di Malaysia," ujarnya dalam kenyataan media.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan tindakan SKMM menyekat laman web TMI atas alasan melanggar undang-undang negara seperti dipapar kepada pelayar di web itu.

Bagaimanapun semakan mendapati, laman itu hanya tidak dapat dicapai melalui talian Celcom.

Menurut maklumat SKMM, laman itu disekat di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melanggar undang-undang.

Keterangan menyebut ia melanggar peruntukan seksyen 233 akta yang sama tetapi tidak menyebut kesalahan secara khusus.

Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


Mahkamah tetap 4 April bicara kes bunuh Kevin

Posted: 25 Feb 2016 05:33 AM PST

SINAR HARIAN


Morais


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menetapkan 16 hari bermula 4 April ini untuk perbicaraan kes enam lelaki dan seorang doktor yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais, yang mayatnya ditemui dalam tong dram berisi konkrit pada September tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini untuk prosiding serahan dokumen.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan 79 jenis dokumen berkaitan kes itu termasuk 700 keping gambar kepada pihak pembelaan pada pagi ini .

"Kami akan mengadakan rundingan prabicara untuk berbincang mengenai eksibit yang akan dikemukakan kepada mahkamah dan saksi-saksi yang akan dipanggil.

Setakat ini, pihak pendakwaan mempunyai 60 saksi," katanya.‎

Abdul Razak juga memaklumkan kes seorang lagi tertuduh, A. Murugan, yang didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin, di Mahkamah Tinggi Shah Alam selesai apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya selepas dia mengaku bersalah melupuskan nombor casis dan kereta mangsa di bengkelnya di Petaling Jaya.

Katanya hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum iaitu pada 17 Februari lepas.
  
Pada 27 Jan lepas, G. Gunasekaran, 43; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravichandaran, 34, mengaku tidak bersalah membunuh Kevin, yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pakar Patalogi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 52, pula mengaku tidak bersalah bersubahat dengan enam lelaki itu membunuh Kevin di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.‎

Peguam V. Rajehgopal mewakili Gunasekaran, Vishwanath, Nimalan dan Ravichandaran sementara peguam M. Manoharan mewakili Dinishwaran dan Thinesh Kumar manakala Kunaseegaran diwakili peguam Datuk N.Sivananthan.

Sementara itu, peguam Datuk Simon Sabapathy bertindak sebagai peguam pemerhati bagi adik bongsu mendiang, Datuk Richard Dilaan Morais, turut ‎hadir hari ini.

Mayat Kevin, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September tahun lepas.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September lepas dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q. - Bernama


Perompak larikan dua mesin ATM guna jengkaut

Posted: 25 Feb 2016 05:30 AM PST

Perompak larikan dua mesin AMT guna jengkaut
Pemilik jengkaut masih dalam siasatan polis.


BESTARI JAYA - Dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di pekan ini dilarikan perompak selepas memecah masuk menggunakan jengkaut kira-kira jam 5 pagi, tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit dan kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, maklumat mengenai kejadian itu diterima daripada seorang lelaki yang memaklumkan bank terbabit dirompak dan suspek melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux.

"Suspek dipercayai melarikan diri dengan kenderaan terbabit ke arah Jalan Kuala Selangor," katanya.

Akses kepada TMI disekat atas sebab ‘keselamatan negara’

Posted: 25 Feb 2016 04:31 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Pembaca mengadu sekatan yang dikenakan apabila melayari laman web TMI. – Gambar The Malaysian Insider, 25 Februari, 2016. 
 
Pembaca mengadu sekatan yang dikenakan apabila melayari laman web TMI. – Gambar The Malaysian Insider,
 
 
Ketika The Malaysian Insider (TMI) mencecah usia genap lapan tahun hari ini, akses kepada laman itu disekat beberapa pembekal Internet susulan tindakan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas sebab "keselamatan negara".

Ketika dihubungi, Ketua Penguatkuasa SKMM Zulkarnain Mohd Yasin mengesahkan tindakan itu dan menyatakan akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

"Kami akan keluarkan kenyataan kemudian," katanya kepada TMI.

Bagaimanapun, sumber berkata, SKMM mengarahkan pembekal perkhidmatan Internet untuk menyekat TMI atas sebab "keselamatan negara". 
 
 Katanya, tindakan ini diambil kerana kesalahan didakwa dilakukan TMI mungkin memberi kesan kepada kestabilan negara, ketenteraman awam dan keharmonian, dan kestabilan ekonomi.

Beberapa pembaca memaklumkan kepada TMI perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses portal berita itu.

Pembaca TMI yang menggunakan perkhidmatan Celcom, dan di sesetengah tempat, Unifi, kedua-duanya syarikat yang dikawal kerajaan, mengadu mengenai sekatan itu.

Bagaimanapun, sesetengah pengguna Maxis dan U-Mobile berkata mereka masih boleh mengakses laman The Malaysian Insider daripada telefon bimbit walaupun arahan dikeluarkan kepada semua ISP.

Mereka menerima notis SKMM yang menyatakan portal berita ini melanggar undang-undang Malaysia, apabila melayari laman web TMI.

Bagaimanapun, tiada notis dihantar kepada TMI mengenai pelanggaran sebarang undang-undang.

"Ini satu kejutan yang tidak menyenangkan. SKMM sudah menjawab pertanyaan saya mengenai perkara ini, mengatakan mereka akan mengeluarkan kenyataan," kata Pengarang dan Ketua Eksekutif TMI Jahabar Sadiq, hari ini. 
 

Kenapa UMSKAL kenakan yuran tidak masuk akal ?

Posted: 25 Feb 2016 04:26 AM PST

Oleh Ashraff Nazrin 


Yuran itu dikenakan secara penuh dengan hanya mengecualikan yuran kolej kediaman sahaja ke atas pelajar semester akhir yang sedang menjalani Latihan Industri.
 
 
 
yuran-mahal


Selepas isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin dibekukan, kemudian beberapa pelajar terpaksa berhenti kerana tidak mampu menyelesaikan yuran akibat daripada status tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tergantung, kali ini Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pula menyusul dengan tindakan mengenakan yuran servis yang langsung tidak digunakan.

Yuran ini dikenakan secara penuh dengan hanya mengecualikan yuran kolej kediaman sahaja ke atas pelajar semester akhir yang sedang menjalani latihan industri.

Pelajar semester akhir Fakulti Komputer dan Informatik Labuan (FKI) yang sedang menjalani latihan industri ini dikenakan yuran servis seperti yuran komputer, khidmat kesihatan, sukan dan sebagainya. Ironinya, pelajar ini langsung tidak berada di kampus untuk menggunakan servis-servis ini.

Apabila sedang berada di tempat Latihan industri mereka menggunakan komputer sendiri, apabila sakit, mereka ke klinik dengan wang poket sendiri, apabila bersukan langsung tidak menggunakan fasiliti universiti kerana berada jauh dari kampus.

Ada yang menjalani latihan industri di semenanjung, dan mustahil pihak Pentadbiran tidak nampak perkara seperti ini dan masih merasakan mereka masih ada peluang menggunakan fasiliti universiti.

Alasan-alasan seperti perkara ini termasuk dalam perjanjian yuran, adalah tidak boleh diterima sama sekali. Pihak pentadbiran terutamanya pengarah kampus perlu membawa usul ini dalam mesyuarat tergempar senat kerana alasan sebegini adalah tidak munasabah. Pelajar ini membayar perkara yang mereka tidak gunakan.

Sekitar isu profesor yang dipecat, mahasiswa lapar dan kenaikan yuran universiti membawa kita kepada satu persoalan iaitu apakah isu pokok untuk permasalahan ini?

Di UMSKAL, satu projek dewan kuliah dan perpustakaan yang dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu sehingga kini masih tidak siap-siap sedangkan projek tersebut dikatakan salah satu daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ada dua kemungkinan isu pokok yang boleh kita rumuskan, sama ada kerajaan pusat sudah kehabisan duit, atau tatakelola kewangan universiti berada di tahap yang kronik.

Saya lebih berat mengatakan bahawa tatakelola kewangan universiti di tahap yang teruk kerana projek di bawah RMK-10 sudah semestinya mendapat peruntukan kerajaan pusat. Tetapi sehingga sekarang masih belum siap.

Duit makin hilang, servis makin teruk, yang dimangsakan adalah poket mahasiswa. Pelajar terpaksa bayar apa yang tidak digunakan, pelajar dipaksa untuk membayar yuran awal untuk mendaftar subjek walaupun tidak mempunyai wang. Ini semua akibat daripada masalah kewangan yang gagal difungsikan dengan baik oleh pentadbiran Universiti.

Pentadbiran UMSKAL perlu jawab adakah mereka mempunyai masalah kewangan dari kerajaan pusat sehingga timbul perkara-perkara yang tidak masuk akal sebegini dan mansuhkan yuran tidak servis yang tidak digunakan ini selamanya!

Ashraff Nazrin adalah Aktivis Pro Mahasiswa UMSKAL.

Mukhriz tanggung tindakan bapanya – Nazri

Posted: 25 Feb 2016 04:22 AM PST

 
Serangan Mahathir terhadap Najib mengundang amarah penyokong yang mengambil peluang daripada kelemahan Mukhriz sebagai pemimpin
 
 
 
nazri-mukhriz


KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan Mukhriz Mahathir dikorban sebagai Menteri Besar, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri menjelaskan kempen berterusan Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengundang amarah penyokong Najib.

"Sukar untuk mengugurkan Mukhriz sekiranya benar Mukhriz seorang pemimpin yang baik tetapi kelemahan beliau telah diambil kesempatan oleh penyokong Najib yang mahu Mukhriz disingkir sebagai balasan terhadap Mahathir," katanya ketika diminta mengulas serian Mahathir kepada rakyat supaya mengenepikan perbezaan politik dan tunjuk kepedulian akan keadaan negara ketika ini.

Pada Nazri, seruan itu mencerminkan kekecewaannya.

"Mukhriz satu kegagalan politik kerana dalam masa tak cukup penggal telahpun digugurkan…itu perkara yang amat memalukan pada keluarga Mahathir,"

"Apa yang lebih mendukacitakan Mahathir adalah tidak ada tarikan – tiada tunjuk perasaan besar-besaran – jadi sebab itu beliau ajak semua orang menunjuk perasaan," katanya seusai pelancaran Kalendar Program Istana Budaya 2016.

Awal bulan ini, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menggantikan Mukhriz dua minggu selepas Ahmad Bashah dan 14 ketua-ketua UMNO Kedah menyeru Najib menggantikan Mukhriz atas alasan gagal menguruskan negeri dengan baik.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai seruan supaya Mahathir mengisytiharkan harta, Nazri hanya menjawab "Hahaha."

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao menggesa Mahathir supaya mengisytiharkan aset-asetnya.

Berhubung soalsiasat polis keatas Mahathir berhubung satu muatnaik blog, Nazri berkata tiada seorang pun yang mengatasi undang-undang.

"Pada saya, lantak pi lah dia nak buat apa…dia sendiri cakap dirinya sudah tua," katanya dan menambah apa yang dilalui Mahathir pada ketika ini barangkali pembalasan diatas apa yang dilakukannya terhadap Tunku Abdul Rahman.

Nazri menjelaskan bahawa Mahathir hasut orang Melayu membenci Tunku dan menggambarkan Tunku sebagai pro-Cina walaupun sebenarnya Tunku pemimpin rakyat Malaysia dan menyokong semua bangsa.

LIHAT VIDEO DI SINI

Sultan Johor beli pesawat Boeing 737-800?

Posted: 25 Feb 2016 04:14 AM PST

 
Pesawat berwarna emas yang tertera lambang keluarga Diraja Istana Johor itu dikatakan mempunyai ruang dalaman yang direka mengikut spefikasi Sultan Ibrahim.


sultan-johor


PETALING JAYA : Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan membeli sebuah pesawat peribadi Boeing 737-800.

Menurut The Malaysian Insider yang memetic sumber, sebuah pesawat dengan tertera logo keluarga Diraja Istana Johor dikesan di lapangan terbang Everett, Washington.

Pesawat Boeing 737-800 mampu terbang tanpa henti selama 10 jam.

Pesawat berwarna emas yang tertera lambang Johor itu dikatakan mempunyai ruang dalaman yang direka khas mengikut spefikasi Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim merupakan peminat kereta dan kapal terbang. Malah, baginda juga dilaporkan memiliki lesen juruterbang.

Pesawat itu dijangka tiba di Johor Bahru beberapa minggu lagi, beritahu sumber itu kepada portal berkenaan.

Selain koleksi kereta, Sultan Johor juga memiliki sebuah track 'Mack' termahal di dunia. Baginda juga pernah menghadiahkan kapal terbang sempena ulang tahun kelahiran anakanda baginda, Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tuanku Ismail.

Dakwa salahguna dana kerajaan, PKR lapor polis

Posted: 25 Feb 2016 04:07 AM PST

 
Peruntukan itu sepatutnya disalur kepada peniaga kecil India, namun disalahguna untuk tujuan politik BN.


Manivanan,-Najib,-kaum-India.


KUALA LUMPUR: Laporan polis dibuat terhadap Datuk Seri Najib Razak hari ini, atas dakwaan menggunakan dana Kementerian Kewangan sebanyak RM2.1 juta untuk kempen pilihan raya.

Laporan polis itu dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, G Manivanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Manivanan mendakwa, dana berkenaan diserahkan kepada sebuah pertubuhan untuk masyarakat India tetapi digunakan bagi kempen 'Nambikei' Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Dakwanya, pemimpin pertubuhan masyarakat India terbabit turut menyalahi piagam pertubuhan dengan menggunakan wang itu demi kempen pilihan raya untuk BN.

"Pendedahan ini adalah gambaran bahawa peruntukan yang sebegitu banyak diumumkan Perdana Menteri sebelum ini tidak sampai kepada masyarakat kaum India.

"Saya kesal kerana nama masyarakat India dan peniaga kecil India disalahgunakan untuk mendapatkan dana kerajaan yang akhirnya tidak sampai kepada masyarakat India.

"Saya percaya penyelewengan dana rakyat dengan menggunakan nama masyarakat India yang didedahkan ini lebih luas lagi kerana sudah menjadi amalan BN mengagihkan dana kerajaan melalui NGO," katanya.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan beberapa baucar bayaran yang didakwa mengandungi maklumat terperinci cara mendapat manfaat daripada RM2 juta wang pembayar cukai untuk biaya kempen PRU-13.

Anggota Parlimen Pandan itu mendakwa Kementerian Kewangan pada tahun 2013 meluluskan jumlah berkenaan sebagai geran derma kepada sebuah persatuan kaum India yang menyokong BN.

Tiada lagi akses The Malaysian Insider

Posted: 25 Feb 2016 04:02 AM PST

 
Paparan sekatan akses terhadap portal berkenaan menunjukkan ia melanggar undang-undang negara


TMI-Blocked


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyekat akses terhadap portal The Malaysian Insider menerusi beberapa penyedia perkhidmatan internet.

Semakan FMT mendapati, penyedia internet Celcom, U Mobile dan UniFi menyekat laman sesawang itu dengan paparan 'ia melanggar undang-undang negara'.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia gagal dihubungi FMT untuk mendapatkan maklum balas ketika ini.

Sementara itu, pengarang dan Ketua Eksekutif The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq mendakwa tiada notis dihantar kepada pihaknya berhubung sekatan itu.

"Ia kejutan yang amat tidak menyenangkan. Saya cuba menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi pegawainya sedang bermesyuarat," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, laman sesawang Sarawak Report disekat pada Julai 2015 atas alasan kandungannya yang disifatkan mengancam keselamatan negara.

Pihak berkuasa negara ini sudah menyekat pelbagai laman sesawang seperti Malaysia Chronicle, Asia Sentinel, beberapa blog dan kandungan yang berunsur pornografi.

Kementerian Kesihatan diminta siasat produk Johnson & Johnson

Posted: 25 Feb 2016 04:00 AM PST

 
Pengguna dinasihatkan supaya berhenti sementara menggunakan produk syarikat itu sehingga disahkan selamat.


Johnson & Johnson


PETALING JAYA: Syarikat Johnson & Johnson Malaysia dinasihatkan supaya secara sukarela menarik balik produk-produk yang mengancam keselamatan pengguna di negara ini, susulan kematian seorang wanita di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan penggunaan produk keluaran syarikat itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan sukarela itu bagi membuktikan syarikat berkenaan peka terhadap keselamatan pengguna.

Dalam masa sama, beliau menggesa Kementerian Kesihatan menjalankan ujian terhadap produk-produk syarikat itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

"Pengguna pula dinasihatkan agar berhenti menggunakan produk ini buat sementara waktu sehingga Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa ia benar-benar selamat digunakan," katanya kepada FMT.

Media antarabangsa melaporkan Johnson & Johnson telah diperintahkan membayar $72 juta (RM294juta) setelah kematian seorang wanita akibat kanser yang dikaitkan dengan produk keluaran syarikat itu.

Laporan Metro.co.uk menyebut, Jacqueline Fox mati akibat kanser ovari yang didapati berkait dengan penggunaan produk talkum Baby Powder dan Shower to Shower yang digunakan oleh Fox selama beberapa dekad.

Keputusan itu dibuat setelah perbincangan yang mengambil masa selama lima jam dan selepas melalui perbicaraan selama tiga minggu.

Juri mendapati Johnson & Johnson bertanggungjawab terhadap penipuan, kecuaian dan konspirasi, kata peguam keluarga Fox.

FBI siasat 1MDB – New York Post

Posted: 24 Feb 2016 10:01 PM PST

FBI siasat 1MDB – New York Post

 
Akhbar itu juga melaporkan Goldman Sachs turut disiasat agensi undang-undang AS itu kerana disyaki terbabit pengubahan wang haram.



fbi-1mdb


PETALING JAYA: Pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) semakin hampir membongkar skandal kewangan berkaitan Goldman Sachs and 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyiasat antarabangsa, L Burke Files memberitahu New York Post, FBI dalam usaha memperoleh dokumen sensitif dan mengenalpasti saksi dalam siasatan kes yang membabitkan pengerusi sebuah bank di Asia Tenggara iaitu Tim Leissner, 45

Perkara itu dilaporkan Bloomberg semalam, bahawa Leissner sudah meninggalkan firma perbankan dan ia disahkan jurucakap Goldman Sachs tanpa mengulas lanjut sebarang perkembangan mengenainya.

Sementara itu, Files dilaporkan sebagai berkata, "sumber memberitahu saya bahawa Kerajaan AS juga sedang menyiasat 1MDB meliputi pelbagai aspek dan aktif dalam mendapatkan dokumen dan mengenalpasti saksi berpotensi dari seluruh dunia."

Goldman Sachs dan Leissner dikaitkan dengan kontroversi 1MDB berikutan hubungan rapat dengan pegawai tinggi kerajaan di Malaysia, yang mana menyaksikan badan perundangan dari beberapa negara menyiasat syarikat pelaburan itu kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

Beberapa laporan media antarabangsa juga ada menyebut bahawa Goldman Sachs mengenakan caj pada 'kadar yang sangat tinggi' terhadap transaksi kewangan yang dibuat 1MDB.

Leissner yang sudah bersama Goldman Sachs selama 18 tahun juga dilaporkan menjana keuntungan berjumlah jutaan ringgit hasil urusannya dengan 1MDB.

Sementara itu, New York Post melaporkan bahawa FBI enggan mengesahkan dan mengulas lanjut mengenai dakwaan siasatan itu. Wakil Goldman Sachs juga enggan memberikan sebarang komen, lapor akhbar yang berpangkalan di AS itu.

Nasihat Perjalanan Terhadap Malaysia Tidak Jejas Ketibaan Pelancong - Nazri

Posted: 24 Feb 2016 09:55 PM PST

Oleh: THE STAR
 
 
Pulau Sipadan yang terletak di Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah merupakan destinasi wajib dikunjung pelancong.
 
)
PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yakin mencapai sasaran 30.5 juta pelancong tahun ini meskipun nasihat perjalanan dikeluarkan terhadap negara ini.

Walaupun Menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan kementerian tidak memandang ringan amaran tersebut, beliau berkata ia adalah perkara biasa bagi mana-mana kerajaan untuk mengeluarkan nasihat perjalanan.

"Ia akan menjadi tahun yang amat baik bagi kita walaupun nasihat perjalanan dikeluarkan. Saya fikir jika Malaysia mengangkat dirinya sebagai destinasi wajib dilawati, pelancong masih akan datang. Mereka perlu pergi ke sesuatu tempat.

"Jika ada ancaman IS di KL, maka setiap bandar berada dalam ancaman... Paris, London. Jika kita fikir bahawa semua nasihat adalah halangan, maka pelancong tidak boleh pergi ke mana-mana sahaja sama sekali. Mereka terpaksa tinggal di negara sendiri," katanya kepada The Star Online di pejabatnya di sini, Rabu.

Pada Ahad, nasihat perjalanan dikeluarkan dalam laman web Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

Malah ia turut menasihat warga Australia supaya 'mempertimbangkan perjalanan ke beberapa kepulauan di pantai timur Sabah yang bersempadanan dengan Filipina.

Pada minggu lalu, United Kingdom turut mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya mengelak berkunjung ke pantai timur Sabah yang bersempadanan dengan Filipina dengan memetik risiko ancaman culik dan jenayah lain terhadap pelancong asing.

Ditanya sama ada tindakan memenggal kepala warga Malaysia, Bernard Then Ted Fun akan menjejaskan industri pelancongan di Sabah, Nazri berkata ketibaan pelancong di sana sejak empat bulan lalu menunjukkan peningkatan.

"Sabah mencatatkan jumlah pelancong yang ramai. Hotel penuh," katanya.

Pelancong China juga dijangka meningkatkan jumlah ketibaan pelancong di Malaysia dengan kementerian mensasarkan empat juta penduduk negara itu pada tahun ini berbanding 1.5 juta pada 2015.

Pada Mac hingga hujung tahun lalu, pelancong China tidak memerlukan visa untuk memasuki negara ini.

"Kami melihat apa yang dilakukan Thailand pada tahun lalu apabila memudahkan keperluan visa... mereka sama sekali menerima jutaan ketibaan pelancong China," kata Nazri.

Mat Sabu akur Amanah sukar cari sokongan

Posted: 24 Feb 2016 09:51 PM PST

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO 
 
 
KUANTAN - Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui parti tersebut berdepan tugas getir dalam meraih keyakinan rakyat di negara ini.

Presidennya, Mohammad Sabu berkata, parti itu perlu berdepan dengan propaganda yang dimainkan pemerintah terutamanya membabitkan isu perkauman dan survival bangsa Melayu.

Namun parti tersebut tidak mahu mengalah dan akan bekerja keras dalam meraih keyakinan rakyat untuk bersama parti tersebut untuk membina masa depan lebih baik negara pada masa depan.

"Kita sedar dengan isu yang dimainkan oleh pemerintah dan ejen-ejennya seperti isu bagaimana bangsa Melayu untuk bertahan jika parti Umno kalah.

"Kita akur memang kita berdepan tugas sukar namun itu tidak melemahkan Amanah untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan pejabat Zon Timur Amanah di Jalan Bukit Sekilau di sini yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaafar; Ketua Penyelaras Amanah Parlimen Kuantan,
Khairul Anuar Mohd Yusof; Ketua Penyelaras Amanah Parlimen Paya Besar, Mat Shukri Daud dan Pengerusi Penyelaras Parlimen Indera Mahkota, Abdul Aziz Ahmad.

Menurutnya, sehingga kini Pejabat Pendaftar (ROS) telah meluluskan cawangan di 110 buah kawasan Parlimen di seluruh negara dan Johor sedang mendahului negeri negeri lain dengan penubuhan di 17 buah kawasan Parlimen.

"Buat masa kini kita tumpukan pada pendaftaran untuk semua peringkat di kawasan parlimen dan cawangan selain mengembangkan pengaruh di kawasan kampung-kampung.

"Kita akan akan menjalankan pelbagai program antaranya sebaran risalah, ceramah, dialog berkelompok selain siaran akhbar secara berkala kerana sedar parti ini masih baru dan kurang dikenali lagi," katanya lagi.

Pelajar OKU impikan kaki palsu

Posted: 24 Feb 2016 09:48 PM PST

Pelajar OKU impikan kaki palsu
Siti Aishah melihat kaki kiri Muhammad Aidil (kiri) yang kudung selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 2013.
 
 
KUALA PILAH - Terbabit kemalangan jalan raya hampir tiga tahun lalu menyebabkan seorang pelajar tingkatan empat kehilangan kaki kirinya sehingga terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

Muhammad Aidil Aswad Masli, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad (TMS), di sini bagaimanapun menganggap ia sebagai takdir yang perlu diterima dengan hati reda.

Mengimbas kembali tragedi kira-kira 3.30 petang pada 30 Mac 2013, Muhammad Aidil menunggang motosikal untuk menghantar ibunya, Siti Aishah Syed Alwie, 50, ke tempat kerja dari arah Kampung Gentam ke Kampung Parit.

Bagaimanapun, mereka berdua terbabas, lalu dirempuh sebuah kenderaan sehingga menyebabkan kaki kiri Muhammad Aidil putus, manakala ibunya cedera di jari kaki kiri, patah kaki kiri dan mengalami gegaran otak yang serius.

Katanya, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, selama tiga minggu, sementara ibunya koma selama dua bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Buat masa ini, saya pergi ke sekolah setiap hari menggunakan tongkat. Mujur kelas saya berada di tingkat bawah dan tidak perlu menaiki tangga. Abang ipar saya yang akan hantar dan ambil saya ke sekolah," katanya.

Namun jauh di sudut hati Muhammad Aidil mengharapkan dapat memiliki kaki palsu untuk memudahkan pergerakannya.

"Saya berharap supaya suatu hari nanti saya boleh pakai kaki palsu bagi memudahkan pergerakan saya," kata anak bongsu dari tiga beradik ini.

Sementara itu, ibunya, Siti Aishah berkata, kehidupannya sekeluarga semakin terhimpit memandangkan dia sudah tiga tahun tidak bekerja, sekali gus tidak mampu menampung perbelanjaan menempah kaki palsu yang kosnya mencecah RM16, 500.

"Pada awalnya kami meminta bantuan dari Baitulmal. Baitulmal setuju membayar kos kaki palsu sebanyak RM10,000.

"Tapi nak dapatkan RM6,500 lagi, saya tak mampu. Saya dah tak bekerja, kini bergantung harap kepada anak sulung untuk tampung perbelanjaan harian kami semua," katanya merupakan seorang ibu tunggal.

Selain itu, katanya, dia yang turut mengalami penyakit diabetes memerlukan kos rawatan susulan ekoran tiga ibu jari kirinya dipotong selepas kemalangan berkenaan.

Orang ramai yang mahu membantu, boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun 1550-4179-1203 (Maybank) atas nama Nor Nadia Atika Masli.