Isnin, 22 Februari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mizz Nina 'pemandu' Noh elak barai

Posted: 22 Feb 2016 12:06 AM PST

Nadia Azam

 


Penyanyi Noh Salleh mengaku dia berasa agak "segan: dengan kecenderungan isterinya Mizz Nina yang aktif meluangkan masanya menghadiri kuliah agama selepas berhijab.

Perasaan itu timbul apabila vokalis Hujan itu mendengar luahan Mizz Nina yang terpaksa membahagi masa untuk melakukan perkara yang kini dekat di hatinya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Noh berkata, dia begitu 'terasa' dengan sikap Mizz Nina (atau nama asalnya Shazrina Azman), 35, yang dilihat begitu prihatin dengan usahanya berdakwah dan memperbaiki diri dengan ilmu agama.

"Dia fokus berdakwah, itu sebab saya segan dengan dia.

"Ada satu ketika dia menyatakan tertekan kerana tidak cukup masa untuk ke kuliah selepas tertinggal pembelajaran akibat demam selama seminggu.

"Alamak! Lain pula halnya dengan saya kerana tertekan sebab tidak dapat membawa sesebuah lagu atau merungut sebab gitar rosak," katanya.

Pada masa sama, Noh, 31, bersyukur dengan perubahan isteri yang satu ketika dulu pernah digelar ratu hip hop itu.

Berubah kembali dari Makkah

Katanya, Mizz Nina pandai membawa diri terutama selepas menukar imej penampilan, malah sekiranya mempunyai kesulitan tidak pula suka menguar-uarkan masalah kepada umum.

"Alhamdulillah, syukur kerana isteri saya seorang yang pandai membawa diri.

"Dia bukan jenis yang suka berkongsi status meroyan di media sosial," katanya.

Rumahtangga Noh dan Mizz Nina sudah masuk tahun kelima selepas mereka bernikah pada 1 Julai 2011.

Sebelum berhijab, penyanyi What You Waiting For itu sememangnya terkenal dengan penampilan seksi, namun berubah sekembalinya pulang dari menunaikan ibadah haji bersama Noh.


Dengan usia perkahwinan sebegitu, Noh akui, banyak asam garam yang berlaku sepanjang hidup bersama menguatkan lagi hubungan mereka sebagai suami isteri.

"Apabila usia semakin tua, bila timbul masalah kami lebih tenang untuk menghadapinya.

"Kematangan membuatkan kami senang dan lebih terbuka untuk berkomunikasi.

"Justeru, usia ini juga menambah sikap manja pada diri masing-masing," katanya.

Kelibat Mizz Nina boleh dilihat menerusi program dakwah dan amal seperti program Into Taqwa With Mizz Nina.

Ada bagi bayangan

Selain itu, dia juga sering berkongsi status kerohanian menerusi akaun Twitter miliknya.

Biarpun kini Mizz Nina mempunyai 'arah' berbeza, namun dia tidak pula memaksa Noh untuk menukar mahupun menghentikan karier sebagai penyanyi.

Sebagai bukti, Mizz Nina hadir memberi sokongan buat suaminya yang membuat persembahan secara solo Angin Kencang di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 Januari lalu.

Untuk makluman, selain berkumpulan dan berduet, Noh kini tampil pula secara solo.

Dia juga akan menjadi artis penghangat suasana pada konsert 20 tahun Sheila On 7 dijadual berlangsung Mac ini di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall Kuala Lumpur.

Kata Noh dia memang terkejut kerana Mizz Nina masih menyokong kariernya walaupun pernah menjangkakan sebaliknya.

"Dia datang ke AJL 30 tengok saya menyanyi. Dulu adalah dia bagi hint minta saya berhenti dari menyanyi.

"Nak dibandingkan saya yang dulu dan sekarang, masa tu....

"Elok jugalah ada orang beri panduan, kalau terlalu banyak hiburan dalam hidup barai jugak," katanya.


Muhyiddin dihalang tugas - Itu hak presiden, kata Umno Selangor

Posted: 21 Feb 2016 11:59 PM PST

Shakira Buang





Walaupun tugas timbalan presiden Umno adalah membantu - dengan memberi pandangan serta nasihat - kepada presiden, namun penjawatnya tetap tertakluk kepada pertimbangan atasannya.

Dalam keadaan yang difikirkan sesuai, kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail (gambar), presiden berhak memberikan tugasan kepada timbalannya atau tidak.

"Sudah tentu presiden parti tidak akan memberikan tanggungjawab tersebut jika mendapati timbalannya itu tidak mampu melaksanakan tugas yang diberi.

"Memang dalam perlembagaan parti tugas timbalan presiden adalah membantu presiden.

Bagaimanapun, ia terserah kepada presiden sama ada mahu memberikan peranan tersebut kepada beliau (timbalan) atau tidak," katanya.

Pada majlis anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) di Taman Intan Duyung, Port Dickson Sabtu lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa beliau kini dihalang Datuk Seri Najib Razak daripada menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden Umno.

Ia adalah rentetan daripada penyingkirannya daripada jawatan dalam kerajaan, selain dihalang bercakap pada Perhimpunan Agung Umno 2015.

Muhyiddin berkata, beliau menerima tindakan Najib menggugurkannya daripada jawatan timbalan perdana menteri namun sebagai timbalan presiden parti, beliau masih perlu menjalankan amanah menasihati presiden Umno berdasarkan perlembagaan parti.

Cuma tafsiran peribadi

Zein Isma berkata jika Najib tidak memberikan tanggungjawab berkenaan kepada Muhyiddin ia bermakna presiden berpendapat timbalannya tidak sesuai melaksanakan tugasan berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Umno Subang itu menjelaskan sebenarnya Muhyiddin tidak pernah dihalang memberikan nasihat mengikut perlembagaan parti.

Sebaliknya, kata Zein Isma ahli parlimen Pagoh itu saja yang tidak mahu menggunakan kedudukan beliau dengan cara yang betul.

Malah, Zein Isma mandakwa kenyataan Muhyiddin bersifat tafsiran peribadi yang dipengaruhi rasa terkilan selepas digugurkan dari jawatan timbalan perdana menteri serta tidak dibenarkan berucap dalam perhimpuan agung Umno lalu.

"Ia bukan disekat, kerusi beliau masih ada. Ia (dihalang melakukan tugas) soal tafsiran beliau sebagai timbalan presiden.

"Soal perasmian ini bukan perkara termaktub dalam perlembagaan, ia amalan tradisi dan disesuaikan ikut keperluan semasa.

"Tetapi timbalan presiden boleh bersuara dalam majlis tertingi, namun beliau tidak menggunakan kesempatan itu," katanya.

Kata Zein lagi, apa pun yang berlaku kini adalah bergantung kepada niat masing-masing.

Jika benar Muhyiddin sayang dan cintakan Umno, katanya, lebih baik bekas menteri besar Johor itu tidak menyulitkan lagi keadaan sebaliknya mencari penyelesaian terbaik.

"Cukuplah, jangan menyulitkan lagi keadaan dengan membuat tafsiaran yang boleh mengeruhkan suasana. Selesaikanlah melalui rundingan agar tidak lagi menyusahkan kita (Umno)," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Sultan beri amaran keras pada 2 ahli politik Umno

Posted: 21 Feb 2016 11:56 PM PST

MALAYSIAKINI




Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini memberi amaran keras kepada dua ahli politik Umno.

Baginda "menasihatkan" ahli politik, khususnya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat supaya tidak campur urusan istana atau membuat kenyataan mengaitkan istana.

Sultan Ibrahim juga memberi amaran keras kepada menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang sebelum ini memberi amaran untuk "membelasah" Tengku Mahkota Johor (TMJ) jika baginda campur tangan dalam politik.

"Ada juga pemimpin kerajaan yang langsung tidak beradab apabila bercakap, dengan melabelkan orang lain sebagai orang gila; dan lebih teruk lagi dengan angkuh dan sombong hendak "whack" anakanda saya (TMJ).

"Adakah pemimpin seperti ini patut dihormati? Ingatlah pepatah Melayu sering menyebut "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

Pertelingkahan Nazri dan TMJ tercetus selepas anakanda sultan Johor memperli kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke majlis dialog terus terang #Nothing2Hide berkaitan isu 1MDB di Kuala Lumpur.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di ibu pejabat polis kontinjen Johor.

Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook rasmi pasukan bola sepak negeri Johor Southern Tigers.

Tengku Putra pula sebelum ini dilaporkan berkata, amaran Tunku Ismail kepada ahli politik yang cuba mendekati ayahandanya untuk kepentingan peribadi. patut juga dinyatakan kepada golongan taikun perniagaan negeri.

Sementara itu, dalam ucapan sama, baginda juga bertitah tidak akan mencampuri urusan mana-mana parti politik.

Titah baginda, walaupun banyak pemimpin politik yang datang berjumpa, baginda hanya mendengar cerita mereka dan tidak akan memihak kepada mana-mana parti atau individu.

"Apa yang saya pentingkan adalah kesejahteraan hidup rakyat saya dan kemakmuran negeri Johor mesti dijaga melalui perpaduan dan pengukuhan muafakat bangsa Johor," titah baginda.

Timbalan Muhyiddin Yassin sebelum ini mengadap baginda selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri, yang dispekulasikan beliau mendapat dukungan istana.


Rafidah ingatkan pemimpin Umno kisah ‘maharaja tanpa baju’

Posted: 21 Feb 2016 11:52 PM PST

MALAYSIAKINI
 
 


Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan rakan-rakanya tentang kisah 'maharaja tanpa baju' selepas mereka mengkritiknya kerana menegur kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Sejak bila pandangan yang berbeza dan menyoal soalan dianggap sebagai anti-kerajaan?

"Hanya kawan benar sanggup menghulur leher bagi memberitahu perkara seperti keadaan sebenarnya.
Seseorang boleh mempunyai ramai kawan yang hanya berkata apa yang seseorang itu mahu dan lebih suka dengar tetapi kemudian menanggung akibatnya.

"Ingat kisah 'maharaja tanpa baju'?" soal Rafidah dalam satu kenyataan di Facebook pagi ini.

Mengikut cerita dongeng yang terkenal itu, maharaja dijanjikan baju baru yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh golongan yang bodoh dan tidak layak.

Akibatnya, orang ramai berpura-pura mendakwa mereka mampu melihat baju itu sehingga seorang kanak-kanak yang kemudiannya menjerit bahwa maharaja itu sebenarnya sedang berbogel.

Kritikan membina, kata bekas Ketua Wanita Umno itu yang berdasarkan keikhlasan dan didorong oleh cinta kepada negara, harus diterima.

"Saya tidak pernah membenarkan diri saya menjadi pak turut kepada sesiapa. Ia tercatat dalam rekod saya," katanya.

Rafidah menyelar pihak yang menuduhnya sebagai anti-kerajaan atau penentang parti, di mana beliau telah berkhidmat selama setengah abad sedangkan ramai pemimpin muda hari ini dalam Umno masih berada di "tadika" pada masa itu.

"Tidak, saya tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau kerajaan atau untuk menceroboh urusan tadbir urus awam jika tiada keperluan berbuat demikian.

"Tetapi ini tidak bermakna saya, sebagai rakyat jelata, saya tidak boleh dan tidak seharusnya menyuarakan pendapat saya, terutamanya apabila terdapat isu-isu membabitkan kepentingan awam," katanya.

Rafizi ikrar dedah rugi besar tiga lagi pelaburan Tabung Haji

Posted: 21 Feb 2016 11:49 PM PST

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan terus mendedahkan tiga lagi pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada minggu ini.

Katanya, sidang akhbar mengenai tiga lagi pelaburan Tabung Haji itu akan dibuat pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.

Melalui satu kenyataan akhbar, beliau juga terus mendesak Datuk Seri Azeez Abdul Rahim meletak jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji jika tidak mahu badan kewangan itu dipolitikkan.

"Sebagai Ahli Parlimen yang selalu memberi perhatian kepada kedudukan kewangan institusi milik kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus menyemak kedudukan kewangan dan pelaburan besar Tabung Haji.

"Apatah lagi rekod Datuk Seri Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi bukanlah baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rafizi merujuk kepada kenyataan Azeez dalam laporan Bernama, Sabtu lalu supaya pihak tertentu tidak mempolitikkan Tabung Haji dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah.
Sekadar menjerit bohong

Azzez dilaporkan berkata tindakan pihak berkenaan cuba meracuni rakyat, terutama pendeposit Tabung Haji dan semata-mata bermotifkan politik.

"Kalau nak serang saya, seranglah saya dari segi politik tapi jangan serang saya melalui isu Tabung Haji tanpa usul periksa... hentikanlah," katanya yang dipetik selepas Program Melestarikan Integriti Tabung Haji Bersama Masyarakat Baling di Dewan Badminton Kupang di Baling.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau tidak pula menampilkan angka-angka untuk menafikan perkara-perkara yang ditimbulkannya selain mengulangi bahawa ia adalah fitnah belaka.

Katanya, pertama kali beliau membangkitkan perkara itu adalah di Dewan Rakyat pada 16 Mac tahun lalu mengenai potensi risiko jika Tabung Haji terlibat dengan 1MDB.

"Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, reaksi Azeez di dalam Dewan Rakyat ialah dengan menjerit 'bohong' sedangkan sebulan kemudiannya beliau sendiri terpaksa mengakui bahawa Tabung Haji telah membeli tanah kerajaan yang dianugerahkan kepada 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda.

"Sebab itu, jika beliau tidak mahu Tabung Haji menjadi tumpuan politik, maka sebaiknya Tabung Haji tidak boleh ada campur tangan politik.

"Maka saya mengulangi desakan saya supaya beliau meletakkan jawatan agar seorang tokoh bukan politik dilantik menjadi Pengerusi Tabung Haji," katanya.

Minggu lalu, Rafizi pada sidang akhbar Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendakwa terdapat campur tangan politik terhadap keputusan Tabung Haji dalam mengekalkan kepentingannya dalam Felda Global Ventures (FGV) walaupun mengalami kerugian atas kertas berjumlah lebih RM900 juta.

Sebagai reaksinya, Tabung Haji berkata saham-saham dalam FGV adalah sebahagian daripada pelaburan strategik jangka panjang.

Ia memberi jaminan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka 'tidak hilang' seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.


Mangsa banjir di S'wak meningkat kepada 7,931

Posted: 21 Feb 2016 11:45 PM PST

MALAYSIAKINI




Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan meningkat awal pagi ini sehingga menjangkau 7,931 orang daripada 2,033 keluarga berbanding 5,769 orang daripada 1,527 keluarga malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata jumlah pusat pemindahan (PP) banjir juga bertambah menjadi 47 buah berbanding 31 malam tadi.

Beliau berkata sehingga pukul 6 pagi, 24 PP dibuka di daerah Kuching berbanding lapan malam tadi sementara di daerah Bau kekal sebanyak sembilanbuah.

Katanya bahagian Serian kekal sebagaimana malam tadi dengan tujuh PP di daerah Serian serta satu di daerah Padawan, dan bahagian Samarahan juga kekal dengan enam PP di daerah Kota Samarahan.

Menurutnya keadaan cuaca awal pagi ini di bahagian-bahagian berkenaan kelihatan lebih baik berbanding sejak tiga hari lepas.- Bernama


‘Mahathir mahu perubahan sistem lebih daripada reformis’

Posted: 21 Feb 2016 11:22 PM PST

MALAYSIAKINI




Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penyokong kuat perubahan sistem di negara ini daripada reformis semasa.

Bekas pemimpin Umno itu mengulas kritikan terhadap desakannya supaya rakyat berdiri teguh di belakang Dr Mahathir dalam usaha terakhir memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletak jawatan.

"Dr Mahathir juga mahu perubahaan sistem - jika tidak lebih - daripada mereka yang disebut reformis itu.
"Saya jadi penyokongnya kerana melihat keikhlasan dalam keinginannya mengubah cara kerajaan diuruskan.

"Hanya keikhlasan dan semangat cintakan negara boleh menggerakkan seorang lelaki berusia 90 tahun untuk terus berpolitik dan bekerja tanpa mengenal penat lelah. Tidak ada sebab lain, " tulis Zaid dalam blognya hari ini.

Mahathir, perdana menteri yang paling lama berkhidmat, sering dikritik kerana didakwa melemahkan institusi negara bagi mengekalkan cengkaman Umno pada kuasa.

Minggu lau, Setiauasaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata pembangkang hanya akan menyokong Mahathir dan peerhimpunan anjuran Zaid pada 27 Mac ini jika bekas perdana menteri itu bersetuju untuk merombak serta membaik pulih sistem negara.

‘Pelaburan KWSP dalam 1MDB hanya risiko rendah’

Posted: 21 Feb 2016 11:16 PM PST

Kow Gah Chie

 


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi menyangkal dakwaan pembangkang bahawa pelaburannya dalam firma kontroversi, 1MDB menimbulkan risiko yang tinggi.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, dari segi pendedahan ia hanya adalah risiko yang amat rendah.

"Jika rakyat mahu, mereka boleh andaikan itu (pembelian loji kuasa 1MDB pada tahun 2012 dan 2013) sebagai pendedahan, tetapi dari sudut pandangan kami, ia adalah risiko yang amat rendah.

"Ia tidak berbeza daripada pendedahan kami dengan loji kuasa lain, seperti Malakoff atau yang pernah dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya pada taklimat media mengenai Dividen KWSP 2015.

Menurut Shahril, aliran tunai 1MDB dibiayai daripada hasil jualan dan firma milik kerajaan itu tidak pernah terlepas bayarannya dan tidak pernah mengalami penurunan kredit.

1MDB pada tahun 2009 menerbitkan bon bernilai RM5 bilion dan KWSP terbabit dengan membeli sebanyak RM200 juta. Bon berkenaan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada Oktober tahun lalu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa pelaburan KWSP dalam 1MDB terdedah dengan risiko tinggi berdasarkan kadar faedah yang tinggi dan kuantum pelaburan sebanyak RM1.72 bilion.

Shahril, bagaimanapun berkata keadaan akan berubah apabila 1MDB menjual aset tenaga kepada syarikat asing dan pemegang bon tidak akan kerugian. Malah katanya, tindakan itu adalah tidak berbeza daripada mana-mana amalan lain.

Mahkamah Tinggi Syariah tangguh keputusan kes Kassim Ahmad

Posted: 21 Feb 2016 11:14 PM PST

Hafiz Yatim

 


Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya hari ini menunda menyampaikan keputusannya berhubung kes tokoh akademik, Kassim Ahmad, selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, mereka telah memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Ini di sebalik tindakan pihak pendakwaan yang belum lagi memohon untuk kebenaran menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan tangkapan ke atas Kassim oleh Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai menyalahi undang-undang.

Jawi memfailkan permohonan untuk kebenaran semakan pada hari terakhir tempoh 30 hari dari keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 20 Januari lalu.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Azman Omar menetapkan 1 November ini untuk sebutan sementara menunggu keputusan mahkamah tertinggi mengenai perkara itu.

Kassim didakwa menghina agama Islam dua tahun lalu pada ceramah yang diadakan di Yayasan Perdana.
Azman berkata demi kepentingan keadilan beliau sedang menunggu keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

Kassim diwakili peguam Rosli Dahlan.

Zaid soal IGP: Sudahkah kamu siasat Najib?

Posted: 21 Feb 2016 11:12 PM PST

MALAYSIAKINI





Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mahu penjelasan daripada polis sama ada mereka telah menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan pelbagai skandal.

"Pertama, saya berharap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjadi anggota polis yang profesional.

"Beliau sepatutnya memberitahu kita sama ada pihaknya telah menjalankan sebarang siasatan berhubung laporan polis yang dibuat ke atas PM.

"Tugas pegawai polis seperti IGP bukannya untukmelindungi Najib atau sesiapa," kata Zaid dalam tulisannya di blog hari ini.

Beliau merujuk laporan polis yang dibuat ke atas Najib berfubung 'derma' RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya dan skandal wang RM42 juta SRC International.

Najib menafikan sebarang salah laku mahupun menggunakan wang awam itu untuk tujuan peribadinya.

‘Mengapa tak dihalang menteri 'anti-Kristian' ke Sarawak?’

Posted: 21 Feb 2016 11:10 PM PST

MALAYSIAKINI




PKR Sarawak mahu penjelasan daripada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengenai alasan mengapa Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak dihalang daripada memasuki Sarawak walaupun didakwa menghina penganut Kristian yang adalah penduduk besar di negeri itu.

"Ketua Menteri Adenan Satem telah berjanji untuk menghalang golongan pelampau daripada ke Sarawak.

"Saya mahu dia jelaskan mengapa fanatik agama ini (Mahdzir) adalah dialu-alukan ke Sarawak apabila kerajaan mengharamkan pemimpin pembangkang tanpa alasan yang kukuh," kata ketua PKR Sarawak Baru Bian dalam satu kenyataan hari ini.

Baru merujuk kepada kenyataan Mahdzir yang dibuat tahun lalu pada mesyuarat tahunan Umno bahagian Hulu Langat.

Dalam ucapannya, Mahdzir mendakwa Sarawak Report yang melaporkan dakwaan penyelewengan syarikat pelaburan negara 1MDB dan 'derma' RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri adalah sebahagian daripada konspirasi Kristian dan Yahudi untuk memecah-belahkan umat Islam.

"Yahudi dan Nasrani sudah berjanji selagi ada bulan dan bintang, selagi ada bumi sebelum kiamat kami akan menentukan nasib umat Muhammad ini dalam keadaan yang payah dan keliru serta berpecah belah sesama mereka, itu janji Yahudi dan Nasrani.

"Dan hari ini yang buat kepada kita bukan sahaja dari dalam negara tapi juga dari luar negara seperti Sarawak Report, ia bukan berpangkalan di Kuching," katanya pada Ogos tahun lalu.

Walaupun menerima pelbagai bidasan, Mahdzir tidak memohon maaf atas kenyataannya itu.

Tidak semua pensyarah boleh diperalatkan

Posted: 21 Feb 2016 11:01 PM PST

DR HASAN BAHROM
DR HASAN BAHROM
 
 
GELOMBANG kedua penghijrahan golongan profesional ke dalam Parti Amanah Negara (Amanah) membuktikan parti Islam baharu itu mula diterima pelbagai pihak kerana dasar keterbukaannya.

Penyertaan golongan cendekiawan ini khususnya dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dilihat sebagai penolakan secara terang-terangan bukan sahaja kepada parti pemerintah bahkan simbolik kepada pembelaan golongan bukan ulama itu selepas mereka ini disia-siakan Pas sejak tahun lalu.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NIZAM ZAIN dan juru foto ROSLI TALIB bersama Naib
Presiden Amanah, DR HASAN BAHROM baru-baru ini untuk mengupas lebih lanjut tentang keterbukaannya untuk terlibat dalam parti politik secara serius selepas bersara sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 
Apakah yang mendorong Dr selaku bekas pensyarah UiTM untuk terlibat secara langsung dalam parti politik khususnya pembangkang? Kenapa tidak Pas?

Kita harus faham bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan, kedua-duanya saling bersangkutan antara satu sama lain. Politik adalah satu sistem atau peraturan dan dalam kehidupan manusia seharian tidak boleh lari dari sistem. Banyak faktor mendorong saya terlibat dalam parti politik khususnya dalam parti politik pembangkang. Antara faktornya ialah latar belakang pendidikan di mana pendidikan saya di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang politik.

Teori politik yang dipelajari dan selidiki wajar diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal. Mungkin kita mempelajari banyak maklumat dan idea baik dan apakah idea tersebut boleh diterjemahkan dalam bentuk lebih mendasar, dan apakah ilmu yang kita miliki itu dapat diterima oleh masyarakat massa dengan lebih mudah dan meyakinkan.

Banyak penyelidikan dilakukan dan dapatan diperoleh dari kajian namun, kadang-kala dapatan yang diperoleh daripada penyelidikan itu tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang lebih komprehensif dan menyeluruh. Kerana itu, banyak penyelidikan baik dan bermutu dilakukan oleh sarjana di universiti tidak dapat dilaksanakan, malah kadang-kala tidak dapat difahami oleh sebahagian ahli parti politik.

Penglibatan saya dalam parti politik pembangkang khususnya didorong atas dasar kesedaran dan keinsafan untuk bersama  dengan rakan lain memperjuangkan nilai politik lebih keadilan, menentang sebarang bentuk kezaliman, penindasan, penyelewengan dan ketirisan dalam sistem pengurusan negara.

Dengan suasana krisis politik sekarang ini, saya tidak yakin Umno dan BN mampu melakukan perubahan dalam sistem mereka sendiri, sistem kehakiman diragui kemandiriannya kerana semacam ada campur tangan politik, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN), rasuah membarah dalam kehidupan masyarakat, salah guna kuasa serta kegagalan pembinaan bangsa Malaysia bersatu padu kerana dimomokkan dengan isu perkauman dan sistem demokrasi diperkotak-katikkan.

Bagi saya, memilih Amanah adalah satu keputusan tepat, walaupun ia parti politik baharu dalam persada politik negara, namun idea dan pemikirannya bukanlah baharu. Ini kerana ia dipelopori oleh mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam politik.
 
Adakah Amanah lebih terbuka menerima golongan profesional berbanding Pas di mana kebanyakan bekas pemimpin Pas menyertai Amanah juga dalam kalangan profesional?

Saya fikir semua parti berusaha menarik lebih ramai golongan cerdik pandai dan golongan profesional terlibat serta melibatkan diri dalam gerakan parti politik mereka. Amanah juga begitu, ia terbuka dan menerima sesiapa sahaja  menjadi ahli, asalkan ia warganegara Malaysia yang layak. Amanah bukan parti elit milik individu atau golongan tertentu, ahli parti terdiri dari pelbagai fahaman agama, bangsa dan budaya, sekalipun dasarnya berpaksikan kepada Islam, namun  keahliannya merentasi batas agama.

Kita harus berpijak di landasan betul dan realistik, menerima hakikat bahawa negara ini adalah majmuk. Amanah ingin membuang dasar parti perkauman sempit yang wujud selama ini, dan menjadi momokan sebagai modal untuk mengekalkan kuasa.

Adakah polisi universiti berkepentingan kerajaan tidak membenarkan pensyarah terlibat secara langsung dengan politik?

Pada umumnya semua institusi pengajian tinggi malah, kakitangan awam kumpulan A tidak dibenarkan terlibat secara aktif dalam parti politik. Maksud aktif adalah memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, perkara ini terungkap dalam perintah am kerajaan, menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya terlibat secara serius dalam parti politik.

Demikian juga kakitangan awam dalam kumpulan B dan C, namun mereka boleh aktif dalam parti politik setelah mendapat izin daripada ketua jabatan. Larangan ini dilakukan mungkin kerana dikhuatiri berlaku perkara yang tidak sesuai dalam urus tadbir jabatan yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam.

Namun sebagai ahli parti politik tidaklah menjadi kesalahan selagi ia tidak bercanggah dengan kerjaya yang mereka lakukan. Apa yang berlaku sekarang ini ialah terdapatnya kakitangan awam terlibat secara langsung dengan parti politik dan tidak 'menjadi kesalahan' sekiranya mereka terlibat dalam parti politik pemerintah.

Sebaliknya jika kakitangan awam lain terlibat dalam parti politik pembangkang, semacam satu kesalahan, anggapan ini wajar diperbetulkan kerana seolah-olah berlakunya 'double standard' dalam pelaksanaan undang-undang atau peraturan. Kalau kita betul-betul mengiktiraf sistem demokrasi, setiap warganegara berhak melibatkan diri dalam organisasi yang diiktiraf oleh negara. Perkara ini terungkap dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengapa memilih selepas bersara sebagai pensyarah untuk menyertai parti politik?

Sudah menjadi peraturan dalam perkhidmatan awam, penglibatan secara aktif dalam parti politik tidak dibenarkan, dan menjadi kesalahan. Sebagai kakitangan awam yang profesional kita kena akur dengan peraturan yang ada.

Sekalipun kita mempunyai pandangan berbeza dan tidak setuju dengan pemerintah dalam aspek tertentu, namun dalam peraturan sedia ada mengekang gerak kerja yang lebih serius dengan parti politik secara terbuka.Namun kita boleh menyumbang dalam bentuk yang sesuai dengan kapasiti sedia ada.

Pas mahu kerajaan segera perhalusi MKN

Posted: 21 Feb 2016 10:58 PM PST

Tuan Ibrahim


SHAH ALAM – Pas mendesak kerajaan serta Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk memperhalusi beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bagi membuktikan bahawa kerajaan menghormati dan menjunjung Rukun Negara ke-2 iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

"Pada 18 Februari lalu, Apandi berkata, beliau akan mengkaji semula beberapa seksyen di bawah Rang Undang-undang MKN. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, beliau mengambil maklum mengenai desakan Raja-Raja Melayu.

"Diharap Najib dan Apandi tidak menggunakan taktik membisu dan lupa sehingga saranan Majlis Raja-Raja dilupakan sama sekali. Perlu beri komitmen meminda Akta MKN selaras saranan Majlis Raja-Raja," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau dalam pada itu menyatakan sokongan Pas terhadap saranan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja itu.

"Kami desak agar Apandi dan Najib berhenti mendiamkan diri dan serta menunjukkan komitmen bahawa RUU MKN akan diperhalusi mengikut saranan Majlis Raja-Raja dengan memperincikan pindaan yang dijangka dibuat dan tarikh pindaan akan dibentang semula di Dewan Rakyat, Parlimen," katanya lagi.

Di samping itu, pihaknya turut memohon Majlis Raja-Raja meminta Apandi menilai semula keputusannya untuk mengetepikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International yang dimasukkan ke duit peribadi Najib.

"Isu ini masih penting kerana persoalan yang masih membelenggu rakyat adalah apakah SPRM yang membersihkan Najib daripada sebarang tuduhan atau Apandi sendiri yang mengambil keputusan berlainan daripada hasil siasatan SPRM? Jika SPRM menyarankan agar Najib didakwa, apa pula alasan Apandi untuk bertindak sebaliknya?" soalnya

Hutan 80 hektar terbakar, Miri dilanda jerebu teruk

Posted: 21 Feb 2016 10:56 PM PST

Jerebu
Gambar hiasan.


SHAH ALAM – Bandaraya Miri hari ini dilaporkan mengalami jerebu teruk ekoran kebakaran hutan belukar seluas 80 hektar berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri sejak tiga hari lalu.

Setakat ini, semakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) (apims.doe.gov.my), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan setakat pukul 10 pagi adalah 336, melebihi paras berbahaya.

Cerapan pada jam 6 pagi tadi mencatatkan IPU 425 dan meningkat kepada IPU 474 pada jam 7 pagi, sebelum menurun kepada 331 pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun, bacaan itu meningkat kembali pada jam 10 pagi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dianggap baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).



Sembilan Exco Kedah kekal

Posted: 21 Feb 2016 10:53 PM PST

Sembilan Exco Kedah Kekal
Sembilan exco bergambar sebagai kenangan. 
 

ALOR SETAR - Sembilan Adun BN semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal sebagai Exco Kerajaan Kedah.

Masing-masing mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, kira-kira jam 10.30 pagi, tadi.

Istiadat angkat sumpah itu bermula dengan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Datuk Badrol Hisham Hashim, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Datuk Tajuddin Abdullah, Datuk Norsabrina Mohd Noor, Datuk Aminuddin Omar dan Datuk Dr Leong Yong Kong.

[ARTIKEL BERKAITAN: Seorang sahaja muka baharu Exco Kedah?]

Bagaimanapun, portfolio Exco berkenaan masih belum diketahui dan akan diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada hari ini.


Azeez perlu letak jawatan pengerusi Tabung Haji

Posted: 21 Feb 2016 10:48 PM PST

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM




SHAH ALAM - Bagi menggelakkan Tabung Haji mendapat campur tangan politik, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa supaya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatannya sebagai pengerusi badan berkenaan.

Menurut Rafizi, pengerusi Tabung Haji tidak sewajarnya dilantik daripada kalangan ahli politik namun, ia harus dipilih menerusi tokoh-tokoh yang terdapat di negara ini.

"Rekod beliau (Azeez) sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan badan berkenaan yang mengundang kontroversi bukanlah baik,"katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Azeez sebelum ini yang meminta pihak-pihak tertentu agar tidak mempolitikkan Tabung Haji serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah.

Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan bahawa sehingga kini, Azeez masih belum menyatakan sebarang angka berhubung persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 16 Mac tahun lalu tentang risiko yang dihadapi oleh Tabung Haji sekiranya terlibat dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, reaksi beliau (Azeez) di dalam Dewan Rakyat ialah dengan menjerit "bohong" sedangkan sebulan kemudiannya beliau sendiri terpaksa mengakui bahawa Tabung Haji telah membeli tanah kerajaan yang dianugerahkan kepada 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda.

"Sebab itu, jika beliau tidak mahu Tabung Haji menjadi tumpuan politik, maka sebaiknya Tabung Haji tidak boleh ada campur tangan politik," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat tiga lagi pendedahan mengenai pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada hari Selasa, Rabu dan Khamis ini.


Tiada ulasan: