Rabu, 10 Februari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BILA PENGUNDI KEDAH MULA MARAH

Posted: 10 Feb 2016 07:49 AM PST

shahbudindotcom

 




Bagaimana Ahmad Bashah kata isu pertukaran Menteri Besar bukan saja  sudah selesai, malah boleh menang dua pertiga dalam PRU 14 nanti? 

'Kedah Mengamuk', Bendera BN Digantung Terbalik

Posted: 10 Feb 2016 07:45 AM PST

 
 
 
 
PETALING JAYA: Selepas hampir seminggu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah, ketua kerajaan negeri yang baharu dilantik itu dilihat berhadapan protes di kalangan ahli Barisan Nasional (BN).

Terbaharu bendera BN dengan lambang dacing dikesan sengaja digantung dalam keadaan terbalik di beberapa lokasi tertentu di Kedah.

Antara gambar yang menjadi viral dan dimuat naik oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama 'Fharid Bin Ismail' menunjukkan bendera terbalik itu digantung di Kuala Kedah.


Salah satu bendera yang digantung terbalik.
 
Menerusi posting yang dibuat pada awal pagi Rabu, Fharid Bin Ismail meletakkan keterangan pada enam gambar yang dimuatnaiknya dengan tajuk "Kedah mengamuk! Ini kali KALIH lah!"

Turut dimuat naik ialah gambar baju kemeja-T biru yang biasanya dipakai oleh jentera BN tetapi kali ini ia digantung secara terbalik.

Bahagian tengah baju berkenaan turut diconteng dengan tulisan 'kalih' dalam loghat utara yang bermaksud 'tukar'.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Salmiah Omar menulis pada ruangan komen "Memang akan kalih (tukar) sampai terbeghalih (beralih)...bai2 dacing".

Kemeja-t berlogo dacing digantung terbalik. Turut kelihatan tulisan 'kalih' yang bermaksud 'tukar'.
 
Kedah berhadapan krisis dalaman bermula pada 20 Januari lalu apabila majoriti kepemimpinan Umno Kedah dan wakil rakyat negeri itu menyuarakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Pada 4 Februari lalu, Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata akhirnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz.

Ia susulan pengumuman Mukhriz meletak jawatan kerana menurutnya telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

PRU-14:Generasi Muda Tolak Umno-BN - Kaji Selidik Pendebat Terbaik Asia

Posted: 10 Feb 2016 07:42 AM PST

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK


Paparan skrin Twitter milik Syed Saddiq.
 
 
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka berhadapan laluan sukar untuk meraih sokongan generasi muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, demikian hasil kaji selidik yang diterajui pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi kaji selidik itu, sebanyak 88 peratus atau 16,775 pengguna Twitter memilih untuk menolak Umno dan BN.

Daripada kaji selidik yang dikhususkan kepada generasi muda itu, hanya 12 peratus mengundi untuk memilih parti pemerintah berkenaan.

Peratusan itu mewakili 2,288 pengundi di Twitter.


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kaji selidik yang bermula sejak Isnin dan berakhir pada petang Khamis lalu itu melibatkan 19,063 pengundi.

Posting kaji selidik berkenaan turut diulang twit oleh lebih 2,700 pengguna media sosial itu.

Syed Saddiq yang memenangi gelaran Pendebat Terbaik Asia sebanyak tiga kali adalah graduan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau kini dilihat menjadi antara generasi muda tanpa mewakili mana-mana parti politik yang cukup lantang menyuarakan pendapat dan idea berhubung isu semasa dan politik negara.

Namanya semakin dikenali di kalangan pengikut media sosial selepas menegur dan membalas kenyataan anak timbalan perdana menteri, Nurulhidayah Ahmad Zahid tentang haknya untuk bersuara berhubung Perhimpunan Bersih.

"Saya Ada Bukti, Fakta Ahli Amanah Kembali Sokong PAS" - Takiyuddin

Posted: 10 Feb 2016 07:40 AM PST

 
MSTAR ONLINE    
 

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau mempunyai bukti ada anggota Parti Amanah Negara (Amanah) yang  mengubah haluan menyokong perjuangan PAS.

Mengulas kenyataannya berhubung perkara itu baru-baru ini, Takiyuddin meminta kepimpinan Amanah untuk menyiasat sendiri perkara itu kerana beliau tidak akan mendedahkan nama-nama individu yang terlibat.

"Saya sebut (ada anggota Amanah sertai PAS semula) itu sebab saya ada fakta.

Mereka datang jumpa saya baru-baru ini. Ada beberapa orang. Kami berbincang dan berbual. Mereka telah salah faham dengan perjuangan Amanah.

"Walaupun berbeza pandangan parti politik dengan individu tersebut, namun kami boleh duduk semeja, berbual dan berbincang pelbagai perkara termasuk perjuangan kedua-dua parti.

"Amanah perlu siasat sendiri siapa mereka. Saya tidak bertanggungjawab untuk mendedahkannya," katanya kepada Bernama hari ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika ditemu ramah satu portal online berkata beliau tidak mempunyai maklumat tersebut, manakala Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mencabar Takiyuddin mendedahkanvnama-nama individu yang terlibat.

Takiyuddin ketika ditanya sama ada individu yang menemuinya itu perlu atau telah mengisi borang keahlian PAS semula, anggota Parlimen Kota Baharu itu berkata perkara tersebut bergantung kepada status keanggotaan mereka.-- Bernama

Ambulans Terperangkap Dalam Kesesakan Disebabkan Pesta Belon Udara Panas

Posted: 10 Feb 2016 07:33 AM PST

Oleh: THE STAR
 
 
Keadaan sesak di sepanjang Jalan Residensi pada Selasa.
 
 

GEORGE TOWN: Sebuah ambulans yang dalam perjalanan dari Jalan Residensi menuju ke Hospital Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerana sepanjang laluan tersebut sesak dengan kenderaan yang berkunjung ke Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 2016 di Padang Polo.

Kenderaan diletak sesuka hati di sepanjang jalan menuju ke Padang Polo, Jalan Ross dan Jalan Scott menyebabkan kesesakan teruk di laluan tersebut.

Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata ahli lembaga pengarah dan beberapa individu prihatin telah memantau keadaan laluan di sana sejak dua hari lalu, memberikan perkembangan terkini secara kerap.

"Saya percaya terdapat seorang pesakit di dalam ambulans kerana lampu amaran kecemasan dihidupkan.

"Saya tidak tahu berapa lama ambulans itu terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas tetapi gambar di dalam WhatsApp yang dihantar kepada saya diambil pada pukul 7.20 malam," katanya.

Lim berkata keadaan trafik sama teruk pada malam Rabu kerana orang ramai datang menyaksikan pesta belon tersebut dan pertunjukan bunga api.

"Kenderaan juga diletakkan di tempat letak kereta hospital, mengehadkan kemudahan tersebut kepada mereka yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau melawat ahli keluarga.

"Keseluruhan tempat jadi tidak teratur.

"Apa sahaja yang kerajaan negeri dakwa berlaku ternyata bertukar menjadi tidak benar. Mereka kata ruang letak kereta perlu disediakan dan lalu lintas akan menjadi lebih terkawal tetapi sebaliknya berlaku.

"Saya harap acara ini tidak diadakan di sini tahun depan kerana lokasi penganjurannya tidak sesuai sama sekali. Hospital terletak hanya 50 meter dari lokasi acara tersebut.

"Saya berharap tiada nyawa dalam bahaya hanya disebabkan acara ini," katanya.

Pada Khamis, Lim berkata tinjauan yang dilakukan ahli lembaga itu menunjukkan daripada 396 responden yang ditemubual, hanya empat yang berkunjung ke pesta di Padang Polo itu.

"Adalah penting lokasi penganjuran pesta itu ditukar kerana Padang Polo diwartakan sebagai kawasan pendaratan kecemasan untuk helikopter dan kebanyakan pihak membantah pesta tersebut diadakan di sana," katanya kepada pemberita di Hospital Pulau Pinang

Husam boleh dipecat, kata Takiyuddin

Posted: 10 Feb 2016 07:30 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Datuk Husam Musa boleh dikenakan hukuman tatatertib sama ada dilucutkan jawatan atau dipecat daripada PAS, demikian kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan.    
 
Memetik laporan Bernama, ulas Takiyuddin, ADUN Salor itu tidak mustahil dikenakan hukuman berikutan tindakannya yang kebelakangan ini dilihat banyak menghentam parti itu.
 
Malah kata Takiyuddin, perkara itu kini dalam perhatian pihaknya.
 
"Husam boleh dikenakan hukuman tatatertib sama ada dilucutkan jawatan dalam parti, digantung keanggotaan mahupun dipecat daripada parti," katanya.
 
Sementara itu Takiyuddin berkata PAS mengalu-alukan Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.
 
Beliau berkata PAS tidak mempunyai kaitan langsung dengan parti itu walaupun ramai pemimpin dan anggota PAN terdiri daripada kalangan bekas anggota PAS.
 
"(PAN) tak ada kena mengena dengan kita dan dia tak perlu nak 'consult' dengan kita pun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Presiden Kehormat Gabungan Pertubuhan Tionghua Kelantan Datuk Chan Chia Ling.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
 
Pengerusi PAN Selangor Ir Izham Hashim sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen dan DUN yang diwakili PAS.
 
 

Banjir Sarawak: KM nafi beri cuti umum

Posted: 10 Feb 2016 07:19 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Menteri menafikan berita yang tersebar luas berhubung pengumuman Tan Sri Adenan Satem mengenai cuti umum hari ini.
 
Setiausaha akhbar Adenan, Ambrose Cheng berkata berita itu tidak benar.
 
"Ia ditulis dengan niat jahat. KM mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan mematuhi arahan petugas Bilik Gerakan mengenai keselamatan mereka bila berlaku banjir di kawasan masing-masing.
 
"Bila orang ramai dikehendaki berpindah, mereka perlu berbuat demikian demi keselamatan diri mereka," kata Cheng dalam satu kenyataan malam tadi.
 
Bagaimanapun, Adenan menyuarakan rasa sedih terhadap nasib menimpa mangsa banjir dan berharap mereka bersabar dalam menempuh musibah itu. 
 
"Ketua Menteri turut mengingatkan mangsa banjir, terutama penduduk di lokasi berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya. 
 
Katanya, orang ramai juga diminta supaya mendapatkan maklumat daripada saluran sah, termasuk Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri dan pihak berkuasa berhubung perkembangan terkini banjir di kawasan masing-masing bagi mengelak sebarang kekeliruan.
 
 

Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat

Posted: 10 Feb 2016 07:18 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETRA JAYA: Beberapa penempatan yang terletak berhampiran tebing Sungai Sarawak, termasuk Kampung Seberang Hilir, di sini sekali lagi ditenggelami air awal pagi tadi. 
 
Paras air sungai mula meningkat kira-kira jam 4 pagi tadi berikutan pertembungan dengan fenomena air pasang besar.
 
Malah, ia diburukkan lagi dengan hujan lebat yang melanda bandar raya ini sejak jam 8 malam tadi. 
 
Sehingga jam 5.30 pagi ini, air sudah mencecah dua meter dan menunjukkan semakin meningkat di beberapa kawasan Kampung Seberang Hilir.
 
Sementara itu, seramai 5,017 mangsa banjir daripada 1,405 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga jam 7 pagi ini. 
 
Jumlah itu meningkat berbanding 3,230 mangsa banjir daripada 829 keluarga sehingga jam 8 malam tadi.
 
Terdapat dua pusat pemindahan banjir baharu yang dibuka hari ini iaitu Surau Darul Fadzillah Kampung Gita Laut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Serian. 
 
Keseluruhannya, 21 pusat pemindahan dibuka di Kuching, manakala lima di Bau dan satu di Serian.
 
 

MB Kedah jumpa PM bincang senarai exco

Posted: 10 Feb 2016 07:16 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini bagi membincangkan senarai anggota exco yang baru negeri itu.
 
Beliau yang ditemui di kediamannya di sini mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri.
 
Ketika ditanya mengenai spekulasi kemungkinan menggantikan barisan exco sedia ada, Ahmad Bashah memberitahu semuanya bergantung kepada pertemuan itu.
 
"Segala-galanya bergantung kepada hasil perbincangan saya dengan perdana menteri nanti. Boleh jadi saya kekalkan barisan exco yang sedia ada dan ada kemungkinan juga satu dua muka baru akan muncul," katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.
 
Secara tradisi, di Kedah pertukaran menteri besar turut melibatkan rombakan kepada jawatan-jawatan exco kerajaan negeri.
 
Ahmad Bashah telah dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke-12, 4 Februari lalu mengantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang melepaskan jawatannya sehari sebelum itu ekoran kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
 
Undian sulit dilakukan di hadapan ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah kepada kesemua ahli dewan Barisan Nasional dan Pembangkang.
 
Jelas Ahmad Bashah, perubahan adalah perkara biasa dalam politik, sambil menambah, tidak semestinya perubahan kepada jawatan menteri besar bermakna seluruh anggota exco lama akan digugurkan.
 
"Secara konvensyennya di Kedah, setiap kali adanya perubahan ke atas jawatan MB, Yang Dipertua Dewan akan menasihati agar anggota-anggota exco turut mengangkat sumpah taat setia.
 
"Jadi ini bermakna secara langsungnya mereka akan mengangkat sumpah sebagai barisan exco yang baru, " jelas Ahmad Bashah.
 
Menurut beliau, mesyuarat exco tidak akan diadakan sehingga barisan exco baru mengangkat sumpah. 


[KEMASKINI] Mahkamah putuskan hak penjagaan anak selepas masuk Islam ditentukan mahkamah sivil

Posted: 10 Feb 2016 07:15 AM PST

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan Mahkamah Sivil perlu menentukan hak penjagaan kanak-kanak yang memeluk agama Islam dalam kes S Deepa melawan bekas suaminya, yang merupakan seorang mualaf, Izwan Abdullah.
 
Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif berkata, perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila salah satu pihak memeluk Islam.
 
"Penceraian dan hak penjagaan anak bagi perkahwinan bukan Islam adalah bidang kuasa eksklusif mahkamah sivil," katanya ketika menolak rayuan Izwan Abdullah.
 
Lain-lain hakim ialah Hakim Besar Malaya, Zulkfli Ahmad Makinudin, Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdull Hamid Embong; Suriyadi Halin Omar dan Azahar Mohamed.
 
Panel hakim kemudiannya menegaskan bahawa pasangan bukan beragama Islam tidak boleh menyalahgunakan faktor memeluk agama Islam sebagai tujuan melarikan diri daripada obligasinya.
 
Panel hakim itu bagaimanapun, memutuskan dalam kes ini, S. Deepa akan terus mempunyai hak penjagaan ke atas anak perempuannya Sharmila manakala, Izwan terhadap Mithran.
 
"Kedua-duanya sudah selesa dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa boleh mempunyai akses kepada anak-anak mereka," kata Raus.
 
Dalam pada itu mahkamah berehat sebentar bagi memberi laluan kepada lima panel hakim untuk membuat keputusan berhubung jadual lawatan bagi kedua-dua ibu-bapa melawat anak masing-masing.
 
Sebelum sebarang perbicaraan dibuat hari ini, panel hakim sebelum itu menemui kanak-kanak berkenaan di dalam kamar.
 
Dalam pada itu, suasana pagi tadi di sini agak tegang sedikit apabila Deepa meminta supaya anak perempuannya duduk di sebelahnya sebelum kes dibicarakan.
 
Bagaimanapun beliau tidak boleh berbuat demikian selepas hakim meminta kedua-dua anak mereka diasingkan duduk daripada ibu-bapa mereka memandangkan hakim mahu berjumpa kedua-dua anak tersebut dahulu.
 
Anak perempuan Deepa kemudiannya ditenangkan oleh pegawai-pegawai mahkamah sebelum dibawa ke bilik pengasingan.
 
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan setiap dua bulan sekali, setiap hari Sabtu daripada jam 10pagi hingga 3 petang.
 
Kedua-dua ibu bapa perlu membawa anak di bawah jagaan masing-masing untuk sesi melawat di rumah ibu Deepa yang juga seorang mualaf.
 
Keputusan ini dicapai selepas kedua-dua ibu-bapa tersebut mencapai kata sepakat untuk berbuat demikian.
 
Kedua-dua mereka mempunyai lima jam untuk sesi melawat tersebut. 
 
 

Adenan jamin situasi banjir di Sarawak terkawal

Posted: 10 Feb 2016 07:13 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETRA JAYA: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, hari ini memberi jaminan situasi banjir di negeri ini adalah terkawal dan dapat ditangani dengan baik. 
 
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Banjir dan Tanah Runtuh di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, di sini sebentar tadi, Adenan berkata banjir kali ini dapat ditangani dengan baik disebabkan koordinasi cemerlang dan kerjasama erat semua pihak. 
 
"Saya amat berpuas hati dengan kerjasama diberikan dan setakat ini tiada laporan kecelakaan nyawa ataupun rumah dibawa arus banjir dilaporkan. 
 
Malah, katanya, sistem baraj yang dilaksanakan di Sungai Sarawak juga berfungsi dengan baik dalam mampu mengawal kenaikan paras air. 
 
Dalam kejadian banjir petang semalam dan pagi ini, jumlah air yang bertakung di Sungai Sarawak melebihi kadar air laut, malah melimpahi kadar ketinggian pintu baraj. 
 
Adenan menjelaskan sehingga minggu depan, air pasang dan hujan tetap berlaku, tetapi diramalkan tidak seteruk sebelum ini. 
 
Mengenai jalan raya yang terjejas kerana banjir dan tanah runtuh, beliau memaklumkan kerja-kerja baik pulih akan dilakukan serta-merta, dan sehingga kini, semua laluan yang terjejas sudah dapat digunakan. 
 
Difahamkan, banjir sejak dua hari lalu menyebabkan 29 jalan rosak dan 38 kejadian tanah runtuh yang menelan kos baik pulih sehingga lebih RM23 juta. 
 
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan wang ehsan, beliau menegaskan bahawa perkara itu bukan keutamaan ketika ini. 
 
"Kita sedang memberi tumpuan kepada proses menyelamat dan akan mempertimbangkan dana ehsan kemudian. "Jika ada, ia akan hanya diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan," katanya. 
 
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri, Datuk Misnu Taha. 
 
Kuching sekali lagi dijangka mengalami air pasang besar setinggi 8.2 meter pada jam 5 petang ini. Kali terakhir Kuching dilanda banjir buruk adalah pada tahun 2004.
 
 

Anwar sudah cakap lama dah

Posted: 10 Feb 2016 07:07 AM PST



Oleh Farhan Zulkefly


Pada 10 Februari 2015 merupakan tarikh yang cukup memilukan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim sekeluarga serta penyokong setia beliau.Kira-kira jam 12 tengah hari, hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun buat ketua pembangkang itu.

Saya tidak berniat untuk mengingat kembali kes fitnah yang jijik dan meloyakan ini kerana bagi saya cukup mudah.
Orang yang beriman dan berakal pasti akan menolak fitnah dan cubaan mengaibkan seseorang tanpa batas seperti yang dikenakan terhadap Anwar.

Walaupun masih ada yang mentertawakan air mata Datuk Seri Wan Azizah dan mempersendakan tangisan Nurul Izzah Anwar dan adik beradiknya yang lain, saya yakin mereka yang menganggap jasad Anwar terpenjara kali ke-2 ini merupakan sesuatu yang lucu pasti akan dibalas Allah kelak.

Walaupun sudah setahun Anwar meringkuk di dalam penjara dan tidak dapat memberi ceramah selama setahun, rakyat dapat lihat tuduhan dan pembongkaran Anwar selama ini bukan sekadar tuduhan, tetapi merupakan fakta yang tidak dapat dinafikan.

Antaranya ialah kepincangan sistem kehakiman negara. Apabila Anwar mempertikai kredibiliti badan kehakiman negara dan mengaitkan pemimpin kerajaan dengan kes beliau, penyokong Umno bukan main melenting.

"Ini keputusan mahkamah. Kena hormat". Itulah antara ayat yang diulang beribu kali oleh mereka.
Bukan setakat penyokong Umno, malah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir juga antara yang mendesak rakyat menghormati segala keputusan mahkamah.

"Rakyat mesti terima. Negara ini ditadbir dengan undang-undang". Cukup tegas pendirian Dr Mahathir.
Malangnya, tidak sampai setahun, Dr Mahathir sudah hilang pendirian. Di dalam blognya, beliau membangkitkan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan cuba menimbulkan persoalan sama ada bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar membunuh kerana mendapat arahan atau tidak.

Mengapa Dr Mahathir hendak bangkitkan isu ini lagi? Bukankah kes ini sudah selesai di mahkamah? Kalau benar Dr Mahathir seorang yang cukup yakin dengan sistem kehakiman negara dan tidak langsung merasakan ada campur tangan orang lain termasuk perdana menteri, mengapa mempertikai keputusan mahkamah?

Begitu juga apabila kes lucu, RM2.6 bilion yang terdapat di dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disahkan peguam negara dana itu bukan rasuah, tetapi derma daripada dermawan Arab.

Mengapa Dr Mahathir tidak minta maaf kepada Najib selepas peguam negara membuat keputusan ini?
Bukankah sebelum ini, Dr Mahathir kata wang ini tidak logik didermakan hartawan Arab dan hanya orang Arab gila sahaja yang akan menderma wang sebanyak itu.

Sekarang, peguam negara sudah sahkan. Mengapa masih tidak percaya?

Apakah Dr Mahathir dan sesetengah penyokong Umno sudah mula mempercayai dakwaan Anwar terdapat kepincangan dalam sistem kehakiman negara kita? Anwar sudah cakap lama dah.

Begitu juga sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Anwar beri jaminan jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan, ia akan menurunkan harga petrol, air, elektrik, dan mansuhkan tol, manakala Anwar menegaskan berulang kali jika BN menang, pasti mereka akan melaksanakan cukai yang kononnya efektif, cukai barangan dan perkhidmatan (GST)? Apakah Dr Mahathir dan penyokong Umno lakukan? Sokong BN.

Akhirnya selepas Anwar dipenjara, GST dilaksanakan dan hampir setiap hari rakyat maki hamun Najib seolah-olah hanya Najib yang terlibat melaksanakan GST. Jika hanya Najib yang sokong GST, GST tidak mampu dilaksanakan.

Ini keputusan bersama barisan menteri. Kerana undian penyokong BN, menteri laksanakan GST. Sekarang, sesetengah kamu penyokong Umno membantah pula cukai ini.

Apakah kamu penyokong Umno sudah mula sedar dakwaan Anwar itu benar? Anwar sudah cakap lama dah.

Apabila Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan diaibkan Dr Mahathir pada 1998, apa yang Anwar katakan?

"Kalau saya yang TPM diperlakukan sebegini, bagaimana pula dengan rakyat biasa? Hari ini Anwar kena, esok orang lain pula akan dilakukan sebegini jika sistem tidak diubah".

Ketika itu, penyokong Umno tidak langsung endahkan ayat Anwar. Bagi mereka, itu hanyalah ayat retorik yang keluar dari mulut seorang yang tewas.

Selepas Anwar dipenjara, apa yang berlaku? Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dilucutkan jawatan secara tiba-tiba oleh Najib.

Apa respons penyokong Umno? Marah, kecewa, dan terkejut. Malah, Ummi Hafilda, penyokong Umno yang cukup terkenal menjaja nama buruk Anwar sendiri mengeluarkan ayat yang saling tak tumpah seperti ayat Anwar, "Kalau seorang TPM (Muhyiddin) diperlakukan sebegini, bagaimana pula rakyat biasa".

Apakah kamu Ummi Hafilda dan penyokong Umno sudah mula sedar dakwaan Anwar itu benar? Anwar sudah cakap lama dah.

Begitu juga dengan hutang 1MDB. Sejak 2013 lagi Anwar konsisten mengkritik salah urus kewangan di bawah 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Semasa hutang 1MDB tidak cecah RM20 bilion lagi Anwar sudah kritik 1MDB dan mengaitkan Jho Low dengan 1MDB.

Apa respon penyokong Umno? Tiada respons langsung kerana mereka tidak ambil tahu pun.

Tetapi pada awal 2015, apabila Dr Mahathir menaikkan semula isu hutang 1MDB dan ketika itu hutang pun sudah mencecah RM43 bilion, barulah penyokong Umno mula melenting dan mempersoalkan kredibiliti kerajaan.

Barulah kita dapat lihat wajah terkejut penyokong Umno seolah-olah inilah satu-satunya kes korup yang pernah kerajaan BN lakukan.

Kalau kamu penyokong Umno sudah mula bangkit dan melawan salah urus 1MDB sejak Anwar bongkarkan, pasti hutang 1MDB tidak sebanyak itu.

Malangnya kamu terlewat. Yang pasti, kamu akhirnya bangkitkan isu yang Anwar bangkitkan 2 tahun sebelum itu.

Apakah kamu penyokong Umno sudah mula sedar dakwaan Anwar itu benar? Anwar sudah cakap lama dah.

Kepada rakyat Malaysia, khususnya penyokong Umno, sedarlah. Orang yang kamu cerca, caci, maki, dan aibkan itu, sudah lama bersuara untuk kamu.

Rajin-rajinlah mendengar ucapan Anwar atau sekurang-kurangnya lihatlah ucapan beliau di Parlimen.
Tidak ada ahli Parlimen yang konsisten mempertahankan masalah rakyat seperti isu Bernas, GST, 1MDB, kuasa rakyat, dan sebagainya seperti Anwar.

Selepas setahun Anwar dipenjara, akhirnya kamu mula sedar yang perjuangan Anwar itu benar. Anwar sudah cakap lama dah.

* Penulis merupakan mahasiswa kejuruteraan awam tahun akhir dan penulis buku "Sudahlah Politikus" terbitan Merpati Jingga.

TMJ cabar pihak tak puas hati berdebat

Posted: 10 Feb 2016 07:00 AM PST

 
Debat itu merangkumi polisi, projek, korupsi dan apa sahaja isu mengenai bola sepak tempatan. 


tmj453


PETALING JAYA : Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya berkaitan bola sepak agar berdebat secara terbuka di televisyen.

Pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, debat secara langsung itu merangkumi polisi, projek, rasuah dan apa sahaja isu mengenai bola sepak.

"Dan di situ anda boleh membuktikan bahawa saya salah. Berada dalam penafian tidak akan meletakkan anda di mana-mana dalam kehidupan.

"Beberapa pegawai dan peminat bola sepak Malaysia menafikan hakikat itu, tetapi seluruh dunia mengenali potensi saya, wawasan dan pencapaian, " katanya menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

TMJ berkata, disebabkan itu ramai daripada mereka sanggup bekerja dengannya dan bukan orang lain yang terlibat dalam bola sepak Malaysia.

"Ini adalah fakta. Saya tidak mempunyai apa-apa jawatan mengarut dalam bola sepak Malaysia atau FIFA untuk dunia mengenali saya dan apa yang saya lakukan. Jadilah bijak. Berfikir dengan kepala anda dan bukan dengan emosi anda," katanya.

Dalam perkembangan lain, TMJ turut menggesa pasukan bola sepak yang terlibat dalam isu tidak membayar gaji pemain agar menyelesaikan perkara terbabit.

Menurutnya, pemain yang tidak dibayar gaji itu adalah manusia dan bukannya ternakan.

"Untuk Tan Sri Annuar Musa, saya percaya bahawa anda adalah seorang ahli politik yang berpengalaman dan sudah tentu anda tahu apa perkara yang betul untuk dilakukan.

"Untuk Datuk Affendi, Datuk Mokhtar, Datuk Rozabil, Datuk Hamidin dan semua ahli Exco FAM. Ambil perhatian kepada apa yang saya katakan. Saya memerhatikan anda.

"Hidup supaya apabila anak-anak anda fikirkan tentang keadilan, kasih sayang dan integriti, mereka memikirkan anda," tegasnya.

PAS tidak dijemput sertai #BebasAnwar

Posted: 10 Feb 2016 06:58 AM PST

 
Ketidakhadiran bukan bermakna kita tidak bersimpati kepada beliau


#BebasAnwar


PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man tampil menjelaskan bahawa partinya tidak dijemput penganjur memyertai Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat.

"Saya ingin tegaskan PAS tidak pernah menerima sebarang surat jemputan sebagaimana di dakwa dan tiada sesiapa pun yang menghubungi saya atau pejabat Agong bagi memaklumkan program tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang diterima FMT.

The Malaysian Insider melaporkan jurucakap penganjur yang menggelar diri mereka "Pro98 Reformis Malaysia", Dr Badrulamin Bahron berkata PAS tidak mengendahkan jemputan dua bulan lalu untuk menyertai mesyuarat menganjurkan acara malam semalam itu.

Jurucakap penganjur daripada kumpulan yang menggelar diri mereka "Pro98 Reformis Malaysia", Dr Badrulamin Bahron berkata, mereka terkilan kerana tiada pimpinan PAS hadir di acara malam semalam.

Beliau, yang juga ahli PKR turut mendakwa PAS tidak mengendahkan jemputan mesyuarat penganjuran acara itu yang dihantar dua bulan lalu.

"PAS dukacita di atas tuduhan yang dibuat dan kita telah tegaskan PAS menentang sebarang bentuk kezaliman dan penyalahgunaan kuasa.

"Kita bersimpati dengan apa yang menimpa DSAI dan ketidakhadiran bukan bermakna kita tidak bersimpati kepada beliau," tegas Tuan Ibrahim.

Penyata kewangan berpiawai, menurut prinsip syariah – TH

Posted: 10 Feb 2016 06:53 AM PST

 
Keuntungan terkumpul masih positif selepas pembayaran bonus RM3.2 bilion


tabung-haji


PETALING JAYA: Menepis dakwaan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) mengamalkan 'creative accounting', TH memaklumkan bahawa penyata kewangannya disediakan mengikut piawaian pelaporan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB), malah menurut prinsip syariah juga.

TH juga memberitahu bahawa "Ketua Audit Negara telah mengesahkan Jabatan Audit Negara telah menyemak" polisi perakaunan yang digunapakai oleh TH "adalah konsisten dan mematuhi konsep berhemat (prudence)".

"Oleh yang demikian, tiada sebarang isu berkaitan dengan 'creative accounting' yang digunapakai oleh TH seperti yang digembar-gemburkan oleh setengah pihak," menurut TH dalam satu kenyataan yang diterima FMT.

Seterusnya, TH menekankan bahawa keuntungan terkumpulnya masih kekal positif selepas pembayaran bonus 2015, yang "dibayar berdasarkan daripada keuntungan daripada tahun semasa dan tidak sesekali menggunakan rizab."

Awal bulan ini, TH mengumumkan bonus sebanyak 3 peratus dan dividen sebanyak 5 peratus untuk pencarum.

"TH telah mengkredit sebanyak RM3.2 bilion bayaran bonus kepada 8.85 juta pendeposit sejak Isnin, 8 Februari 2016," menurut TH, manakala keuntungan terkumpul lembaga itu kini adalah sebanyak RM609 juta berbanding RM293 juta pada akhir tahun 2014.

Berhubung isu rizab negatif, TH menjelaskan pihaknya mempunyai dua kategori rizab iaitu Rizab Boleh Agih dan Rizab Tidak Boleh Agih.

Menurut TH, Rizab Boleh Agih itu terdiri daripada keuntungan terkumpul dan keuntungan semasa, manakala Rizab Tidak Boleh Agih adalah daripada Rizab Nilai Saksama (AFS Reserve) yang berubah mengikut pasaran saham semasa.

Tiada ulasan: