Khamis, 18 Februari 2016

.

.


Zahid sang peniup serunai dengan tedung

Posted: 17 Feb 2016 09:14 PM PST

CATATAN TENGAHARI

Sedari dulu hingga sekarang kalau bercakap mengenai Ahmad Zahid Hamidi orang tidak akan lalai daripada memperkatakan suatu kehebatan yang ada kepada anak Jawa Bagan Datoh ini, yakitu mempunyai PR (public relation) yang cukup baik. Saya ingin menambah, bukan sahaja PR yang baik yang menjadikan beliau disenangi, tetapi satu lagi kebolehan konsisten Zahid ialah licit memuji alias membodek.

Dalam politik, Zahid juga play safe, atau boleh juga dikatakan bijak bermuka-muka. Zahid seorang yang tahu kelemahan dirinya dan dia mengatasi kelemahan dirinya dengan cara tersendiri tanpa pun memerlukan modal dan menunjukkan kualiti. Satu lagi modal Zahid ialah menggambarkan dia seorang agamawan?  Terma-terma atau istilah yang digunakan berbau padang pasir, atau hamis-hamis unta.


Salah satu kelicitan Zahid ialah membodek siapa yang menjadi bosnya. Satu masa Zahid mempunyai dua bos serentak, Anwar Ibrahim dan Najib Razak. Kedua orang inilah menjadi tempat pergantungannya dan Zahid berjaya dalam politiknya sehingga berada pada takah yang ada kini. Zahid menyangkut baju politik kepada dua tokoh ini kerana dia tahu costume politik tidak seberapa sangat.

Semasa melancarkan buku diterbitkan sempena 40 tahun Najib Razak berkucah dalam politik, Zahid  meneruskan tradisi pengampuan dan pembodekan kepada ketuanya, Najib. Ada dua kekaguman yang mengenai Najib yang diangkat oleh Zahid semasa berucap meluncurkan buku berkenaan. Pertama ialah mengenai kesabaran tinggi Najib sebagai seorang pemimpin yang dilukiskan sebagai cukup hebat.

Zahid menceritakan macam mana Najib tenang menghadapi situasi gawat apabila pemandunya membrek kereta dengan mengejut sehingga PM itu tersungkur, bagi mengelak sekumpulan kambing. Saya pernah mendengar cerita ini daripada mulut Zahid. Waktu itu ceritanya bukan kambing, tetapi lembu. Tetapi versinya sama, cuma bertukar jenis haiwan sahaja. Biasalah orang politik. Mungkin untuk 40 tahun lagi haiwan yang hendak dilanggar itu gajah atau harimau pula, biar nampak lebih hebat.

Najib yang dalam perjalanan ke Pekan terlelap, tiba-tiba tersedar apabila tersungkur kerana henjutan brek kereta yang kuat. Menurut Zahid, Najib hanya biasa sahaja dan bertanya, kenapa? Selepas mengetahui keadaanya Najib hanya mengomen tanpa pun mengenakan apa-apa tindakan terhadap pemandunya itu.

Sikap Najib itu mengkagumkan Zahid menyebabkan dia menilai bos itu sebagai seorang yang penyabar dan sekaligus sifat demikianlah menyebabkan Najib berada ditempatnya kini.

Perkara kedua diangkat oleh Zahid untuk menunjukkan kehebatan Najib ialah, Najib menjaga kebanjikan bekas ketua-ketua pemuda di zamannya. Najib tidak melupai mereka dan semua ketua-ketua pemuda diingati dan diberi tanggungjawab. Sudah pasti juga diberi habuan. Ini termasuklah Zahid sendiri yang tidak dilupai oleh Najib termasuklah bersedia memberi jawatan TPM.

Apa yang diceritakan Zahid itu tidak boleh ditolak. Itulah hakikat dan sifat yang ada kepada Najib. Beliau seorang yang sememangnya tenang, baik dan pemurah sangat.

Secara peribadi kalau sesiapa mengenali Najib, dia mengambil perhatian kepada setiap orang dikenali. Saya sendiri pernah tersua dengan Najib dan beliau meminta saya ke pejabatnya kalau ada apa-apa? Ceritanya apabila timbul salah faham mengenai saya oleh Najib. (Tetapi saya tidak ke pejabatnya). Apa hendak dinyatakan bahawa Najib seorang yang peka dengan keadaan apa lagi kalau keadaan itu membabitkan dirinya.

Pengalaman saya itu bagi mengiya apa yang Zahid daulatkan terhadap Najib. Najib memang seorang prihatin, berperwatakan lemah lembut dan baik.

Tetapi apakah cukup dengan memberi dua gambaran kebaikan budi dan saksiah Najib itu untuk melayakkan Najib menjadi seorang perdana menteri? Apakah itu kretria yang perlu ada kepada seseorang perdana menteri tanpa memiliki keistimewaan dan integriti lain lagi?  Kalau hanya itulah sahaja kretrianya ia terlalu cetek. Dangkal sangatlah penilaian Zahid terhadap Najib.

Seorang pemimpin besar perlu memiliki kehebatan dan keunikan lebih daripada itu. Bukan sahaja sifat peribadinya tetapi pemikiran dan wawasan, itu paling penting. Penting juga agendanya untuk masa depan negara. Selebihnya apakah track record yang ada kepada Najib. Najib perlu diukur dalam skala yang lebih besar sesuai dengan kedudukannya kini, bukan setakat dia sabar atau pun tidak marahkan driver.

Mungkin kalau setakat menjadi ketua pemuda Umno apa diangkat Zahid boleh diterima, tetapi bukan sebagai PM. Zahid perlu sedar Najib kini adalah perdana menteri yang sedang diperhati dan dinilai oleh dunia bukan oleh bahagian-bahagian Umno sahaja. Lantaran itu Zahid harus meletaklkan Najib dalam gelanggang dan medan yang luas.

Sesiapa tidak marah kalau Zahid ingin memanggungkan Najib, tetapi biarlah ianya berasas dan logik. Jangan kerana hendak membodek dan mengambil hati Najib maka ia dinilai dengan subjek yang remeh temeh dan boleh diketawakan dunia.

Zahid juga perlu mengukur kebolehan dan darjah yang ada kepada Najib waktu ini, setelah Najib menjadi PM bukan lagi bersenandung dengan kisah-kisah lama. Najib adalah perdana menteri bukan ketua pemuda Umno lagi. Apakah Zahid lupa dengan beberapa kelemahan dan kecacatan yang jelas dan nyata ada kepada Najib. Kelemahan atau beberapa isu tertentu membabitkan integriti Najib menjadi perhatian dan ukuran orang terhadapnya.

Antara isu-isu yang mengelilingi Najib kini dan sedikit sebanyak mencalarkan integritinya sebagai perdana menteri seperti isu dana RM2.6 billion dan juga kemasukan wang ke dalam akaunnya. Isu ini cukup mencabar wibawa Najib. Mungkin wang itu tidak besar tetapi sikap diambil Najib tidak mahu menjawabnya telah mencacatkan Najib. Kewibawaanya akan dipersoalkan selama-lamanya.

Najib tidak pernah menjawab secara pasti dan berdolak dalik perkara berkenaan. Dia lebih menyerahkan kepada orang lain untuk menjawabnya, termasuk juga Zahid. Tindakan dilakukan oleh Peguam Negara yang menggunakan kuasa yang ada kepadanya mengarahkan SPRM menututp siasatan berhubung perkara itu telah mencemarkan Najib sebagai perdana menteri. Dan tindakan itu mengilankan banyak orang.

Ini tidak termasuk beberapa kejutan lain yang berlaku dalam pentadbiran negara khasnya SPRM. Gangguan terhadap siasatan oleh SPRM terhadap kes membabitkan Najib sehingga ada pegawai SPRM dikenakan tindakan, ia memberi gambaran ketidaktelusan Najib sebagai perdana menteri. Kejadian itu disuluh Najib sebagai menggunakan kuasa untuk melindungi dan menyelamat diri sendiri.

Hal-hal atau kejadian seperti inilah yang sepatutnya dinilai sama oleh Zahid sebelum beliau tergamak mengangkat Najib dengan bahasa pujian dan sanjungan.

Mungkin Zahid sudah melupai Anwar dan tidak mengharap Anwar memberi syufaat politik kepadanya lagi. Zahid sudah boleh mendabit dada bahawa kedudukan atau pencapaian politiknya sudah setanding dengan Anwar, sama-sama menjadi timbalan perdana menteri. Namun dalam membuat perbandingan dan penilaian antara kedua bos beliau itu, Anwar dan Najib, Zahid harus adil. Tanpa membandingkan sama Anwar penilaian Zahid akan dilihat tempang.

Apakah beliau mengira Najib sudah mengatasi rekod perjuangan Anwar? Sekiranya Zahid masih waras dia dapat membuat penilaian mampan antara kedua orang ini. Mungkin Zahid boleh mengatakan Najib sahabat atau bos paling hebat dan berjasa kepadanya, tetapi tidak untuk meletakkan Najib berada atas Anwar pada bila-bila masa sahaja.

Satu sahaja juzu boleh dijadikan perbandingan, Najib sepanjang 40 tahun penglibatannya dalam politik tidak pernah melalui ujian segetir Anwar. Jadi Najib tidak boleh diikhtiraf sebagai pejuang bangsa kerana beliau tidak melalui ujian itu seperti mana Anwar. Ertinya pengikhtirafan Zhid kepada Najib itu adalah satu pengikhtirafan kosong dan palsu tanpa berasaskan fakta dan hakikat sebenar. Jadi pelambungan Zahid terhadap Najib itu akan diketawakan, dan ia tidak ubah seperti peniup serunai dengan ular tedung sahaja. [wm.kl.1:06 pm 18/02/16]

Penjelasan tabung solidariti Mohamad Sabu

Posted: 17 Feb 2016 05:54 PM PST

PERNYATAAN

Perjuangan menegakkan kebenaran (haq) dan membela rakyat bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kepada orang yang bukan sahaja berani untuk memperjuangkannya, tetapi yang ikhlas, gigih dan istiqamah. Kerana itu bukan semua orang betah atau dapat mempertahankan diri berada dalam gelanggang perjuangan.

Nasib atau diri seorang pejuang itu tidak menentu, dan mereka sebenarnya dalam keadaan merbahaya dan terdedah kepada bermacam bentuk fitnah dan tribulasi.

Status pelancaran Tabung Solidariti Mat Sabu.
Kerana itu seorang pejuang apabila ia melangkah turun dari rumahnya menuju ke medan jihad, telah menganggap sebelah kakinya sudah berada dalam penjara. Ertinya mereka sudah pun terikat. Justeru meyedari betapa besar pengorbanan yang perlu dibayar oleh seseorang pejuang itulah maka saya bangkit untuk menyatakan simpati dan solidariti kepada sdr Mohamad Sabu apabila mendapat tahu bahawa beliau kemungkinan berhadapan dengan tindakan bankrupsi apabila mahkamah memerintahnya membayar RM200,000 berikutan tuntutan dibuat oleh seorang manusia lain.



Saya sedar dan yakin Mohamad Sabu yang mempunyai ramai kawan dan kenalan, mampu untuk melunasi tuntutan itu. Apalah sangat wang sebanyak itu kalau hendak dikira dengan pengorbanan, jasa dan budi yang ditabur oleh Presiden AMANAH itu demi rakyat dan negara.

Apa lagi dalam hidupnya yang Mohamad tidak lakukan? Beliau telah berkorban apa sahaja untuk dirinya. Hampir atau lebih 3/4 daripada hidupnya dihabisi untuk menentang kezaliman, dari zaman mahasiswa ke zaman kemuncak usia melewati lebih 60 tahun.

Dan beliau sendiri sudah menghadapi segala macam kerenah, fitnah, dihina, dicerca, dilokap, didakwa, ditahan dibawa ISA dan sebagainya. Tidak keterlaluan kalau dikatakan Mohamad Sabu telah melalui semua rintangan dan halangan yang tidak pun pernah dilangkahi oleh sesetengah pejuang lain yang hanya enak bersimpul dalam selaan. Kalau diadakan hadiah novel untuk pejuang palit ulit di kalangan Melayu, maka kemenangannya ialah Mohamad Sabu.

Kerana menilai itulah, menyedari akan keberanian serta keikhlasan dan daya juang tinggi bekas Timbalan Presiden parti agama itu, maka saya telah mengambil inisiatif awal untuk mengumpulkan dana sebagai menyatakan solidariti kepadanya dengan melancarkan Tabung Solidariti untuk mengumpulkan wang bagi membantunya.

Seperti saya nyatakan tadi, usaha saya adalah sebagai simbolik dan gimik untuk menguji sejauh manakah keprihatian kita semua dalam menilai atau menghormati perjuangan Mohamad Sabu. Saya jelaskan, saya menyokong beliau bukan kerana peribadi beliau, tetapi kerana keulitan perjuangan beliau. Apa yang dilakukan untuk mengetahui sejauh manakah pengaruh, simpati dan kesanggupan para penyokongnya untuk sama-sama merasa susah senang tatkala pejuang mereka berhadapan dengan masalah. Mungkin untuk menyatakan sokongan mudah, tetapi untuk berkorban sesuatu bukan senang. Jadi Tabung itu adalah satu "testimoni".

Ternyata usaha yang saya mulakan itu mendapat sambutan dan perihatian membanggakan. Apabila saya menyatakan hasrat untuk mengada tabung bagi membantu Mohamad Sabu, status saya pada 13 Februari yang diposkan pada pukul 18:47 mendapat sokongan (Like) sebanyak 210 orang, manakala dikongsi (Share) sebanyak 15 orang rakan lain dan diberi komen sebanyak 59 orang.

Manakala sebaik saya melancarkan tabung berkenaan, status yang diposkan pada pukul 20:27 disokong (Like) oleh 247 orang dengan dikongsi (share) seramai 50 orang dan mendapat komen daripada 60 orang rakan. Jumlah yang menyokong tabung berkenaan menjadi lebih besar dan meluas lagi apabila ia turut dikongsi oleh rakan-rakan lain dan sekejap sahaja menjadi virial di internet.

Tindakan segera dari rakan-rakan facebook saya itu jelas menunjukkan mereka simpati atas nasib yang menimpa Mohamad Sabu.

Paling menyeronokkan saya juga mereka yang mengambil bahagian memberi reaksi kepada dua status saya itu, ada yang menyatakan kesanggupan dan kesediaan untuk menghulurkan derma mengikut kemampuan masing-masing. Sebenarnya bagi  saya kalau mereka tidak menghulurkan derma pun tidak mengapa, tetapi sokongan dan komen mereka sudah memuaskan hati. Bahawa Mohamad Sabu ada pendokong tersendiri dan pejuang rakyat itu tidak bersendirian. Sokongan itu pasti akan menyuntikkan semangat buat Mohamad dan yang lain juga.

Sehubungan itu di sini ingin saya jelaskan, kutipan derma yang berjaya dikumpul menerusi Tabung Solidariti dari rakan-rakan facebook saya berjumlah sebanyak RM1,467 (Ringgit: Satu ribut empat ratus enam puluh tujuh sahaja). Sumbangan ini datang daripada 37 orang menyumbang. Jika ada sumbangan terlewat akan saya maklumkan kemudian.

Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada rakan-rakan penyumbang. Insya-Allah wang ini akan saya salurkan kepada salah satu Tabung Solidariti Mohamad Sabu yang dibuka oleh kumpulan penyokong tokoh berkenaan. 

Sehubungan itu, dengan ini juga saya mengumumkan Tabung Siladiriti Mohamad Sabu yang saya buka dari kalangan rakan Facebook saya, DITUTUP dengan rasminya. Bagaimana pun rakan-rakan yang masih belum menghulurkan derma tetapi mahu berbuat demikian boleh terus menyalurkan derama sebagai sokongan anda menerusi mana-mana tabung yang dilancarkan oleh apa dinamakan Kumpulan Sahabat Mohamad Sabu.

Sekali lagi di atas perhatian rakan-rakan Facebook saya yang telah menyokong, baik menghulurkan derma, Like atau share status saya diucapkan berbanyak terima kasih. Seperti selalunya saya sungguh terharu di atas kepercayaan dan komitmen anda semua terhadap apa jua yang saya lakukan. Hanya Allah jualah yang dapat membalas atas kebaikan anda semua. Wassalam Mso. [wm.kl. 9:43 am 18/02/16]

Tiada ulasan: