Sabtu, 27 Februari 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Kenali dalang sebenar penyingkiran Muhyiddin ...

Posted: 27 Feb 2016 08:38 AM PST

Satees Muniandy

  Seperti yang diramal kebanyakkan pemerhati politik tanahair, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan daripada Umno.

 Laporan media menyatakan Muhyiddin digantung keahlian serta merta, sehingga pemilihan Umno 2018. Setiausaha agung Umno mengumumkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Zahid Hamidi akan mengambil alih tugas timbalan presiden.

 Penyingkiran Muhyiddin dilihat sebagai 1 tindakan terakhir untuk menghukum pengkritik utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak isu derma RM2.6 Billion ke akaun peribadi Najib mula dilaporkan.

 Muhyiddin mula mengkritik Najib, dengan kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno. Najib membalas serangan Muhyiddin dengan menyingkirkan timbalan presiden Umno itu daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kini menyingkirkannya dari jawatan timbalan presiden Umno.

 Pemerhati politik pernah menjangka pemecatan Muhyiddin daripada kabinet akan menimbulkan kemarahan ahli Umno dan akan mempercepatkan kejatuhan Najib.

 Sebaliknya, dengan penyingkiran 2 orang pengkritiknya daripada kabinet, Najib mengukuhkan kedudukanya dalam Umno. Seorang timbalan presiden dan seorang naib presiden yang dipilih majoriti ahli Umno dilucutkan jawatan mereka dalam kerajaan, tetapi tiada bantahan ataupun tentangan hebat daripada ahli Umno sendiri.

 Cukup berbeza dengan situasi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan. Seluruh ahli Majlis Tertinggi Umno dilihat menyokong Najib dalam keputusan itu. Yang membuat bising adalah segelintir kecil ahli Umno yang masih setia kepada mantan perdana menteri Tun Mahathir dan Muhyiddin sendiri.

 Najib tidak pernah tergesa-gesa untuk menyingkirkan Muhyiddin, tetapi lebih berhati-hati dalam percaturan politiknya.

 Satu persatu pengkritik Najib disingkirkan tanpa sebarang tentangan. Karisma Mahathir dilihat tidak efektif lagi di kalangan ahli Umno.

 Cara Najib mengendalikan seluruh isu skandal 1MDB, SRC International dan derma politik RM2.6 Billion nyata membawa satu imej negatif terhadap perdana menteri itu.

 Pengkritik dalam parti disingkirkan, penjawat awam ditamatkan perkhidmatan, diganti, media diharamkan dan rakyat terus diberi amaran.

 Segala tindakan ini tidak akan membantu Najib untuk terus menerajui Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

 Namun begitu, Najib dilihat begitu agresif dalam percaturan politiknya. Apakah sebabnya?

 Sedang kita semua membuat kesimpulan, Najib menjadi penggerak penyingkiran Muhyiddin, kita mungkin terlepas pandang satu lagi individu yang menjadi pemain utama dalam drama Umno ini.

 Dalam pemilihan Umno yang lalu, kita melihat bagaimana Zahid menjadi naib presiden Umno dengan sokongan yang kuat. Kedua-dua presiden dan timbalan presiden Umno dipilih tanpa bertanding. Jawatan tertinggi dalam hierarki Umno yang melihat persaingan sengit adalah jawatan naib presiden. Zahid muncul sebagai pemenang dalam pemilihan tersebut dan mencatatkan nama sebagai pemimpin utama Umno.

 Najib memilih Zahid untuk menggantikan Muhyiddin, kerana Najib memang sedar populariti Zahid di kalangan ahli Umno.

 Dengan penyingkiran Muhyiddin semalam, Zahid secara automatik menjadi pengganti Muhyiddin dalam hierarki parti. Dilaporkan semasa pengundian untuk penggantungan Muhyiddin dibuat, Najib dan Zahid meninggalkan mesyuarat.

 Najib difahamkan meninggalkan mesyuarat kerana tidak mahu dilihat mendesak Majlis Tertinggi Umno. Tetapi, kenapa Zahid perlu meninggalkan mesyuarat itu?

 Walaupun Najib dilihat dan ditonjolkan sebagai penggerak utama penyingkiran Muhyiddin, yang sebenarnya menjadi penggerak dan penyebab utama penyingkiran tersebut bukanlah Najib.

 Penggerak utama di sebalik tabir sebenarnya adalah Pemangku Timbalan Presiden Umno, Zahid Hamidi. Kebanyakkan daripada kita tidak sedar tentang proses peralihan kuasa yang sedang berlaku dalam Umno dan Najib sedang bersiap sedia untuk mengundur diri.

 Umno sendiri sedar, jika dipimpin seorang presiden yang penuh dengan skandal, mustahil untuk Umno mengekalkan kuasa.

 Najib sendiri sedar akan kenyataan itu. Satu-satunya kebimbangan Najib, bukanlah tentang Umno tetapi dirinya.

 Jika Najib mengundur diri dengan dibelenggu skandal kewangan-politik terbesar, kemungkinan besar dirinya akan diburu penentang dalam parti dan pembangkang setelah pengunduranya juga.

 Satu-satunya cara untuk melepaskan diri dari segala kepincangan ini adalah melalui cara "strike a deal" dengan penggantinya.

 Menurut hierarki Umno, apabila presiden meletak jawatan, secara automatiknya timbalan presiden akan mengambil alih tugasnya.

 Walaupun, penyingkiran Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri tidak menjadi masalah besar kerana kuasa mutlak tersebut di bawah perdana menteri, situasinya berbeza dalam parti, di mana timbalan presiden akan menjadi pemangku presiden sejurus presiden mengundur dan mula melaksanakan tugasnya.

 Najib memang tidak boleh mengundur diri tatkala Muhyiddin masih menjadi timbalan dalam parti.

 Penyingkiran Muhyiddin kini adalah hasil daripada persefahaman antara Najib dan Zahid untuk peralihan kuasa.

 Peralihan kuasa itu bakal berlaku dalam beberapa bulan lagi.

 Rasanya, keseluruhan MT Umno setuju dengan pelan peralihan kuasa Najib-Zahid.

 Mereka hanya menunggu masa untuk menyingkirkan Muhyiddin dari parti dan mantan timbalan itu masuk jerat seperti yang dimahukan kepimpinan Umno.

 Penyingkiran Muhyiddin dari jawatan timbalan presiden Umno bukanlah dirancang Najib, tetapi bakal penggantinya dan orang kuat bakal perdana menteri.

 Bukankah penyingkiran Muhyiddin akan meningkatkan tentangan? Kenapa Umno atau Najib mahukan serangan berterusan?

 Sebenarnya, penyingkiran Muhyiddin adalah untuk mewujudkan laluan kepada Zahid, bukan untuk melindungi Najib atau Umno daripada diserang.

 Sejak sebulan yang lalu, beberapa orang pegawai kerajaan dalam jawatan tertinggi dinaikkan pangkat atau ditukar jawatanya. Walaupun, perubahan sedemikian dikatakan urusan pentadbiran, tetapi dapat dilihat sebilangan daripada mereka melaporkan terus kepada timbalan perdana menteri.

 Menurut sumber dalaman, bakal perdana menteri akan mencanangkan "Perubahan Dari Dalam" sebagai motonya untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya.

 Diperkatakan juga beliau sudahpun melantik beberapa orang pegawai khas yang tidak berasal dari parti politik yang akan menjadi penasihat hal ehwal orang bukan Melayu, untuk mengendalikan mengembalikan kepercayaan mereka kepada Umno-BN.

 Malah, keputusan untuk membekukan pengambilan warga asing termasuk 1.5 juta warga Bangladesh untuk berkerja di Malaysia juga diperkatakan sebagai salah 1 gimik yang menonjolkan imej "bakal perdana menteri mendengar kepada rakyat".

 Perubahan besar dalam landskap politik negara dijangka bakal berlaku selepas pilihanraya Sarawak dan tamatnya perkhidmatan gabenor Bank Negara.

 Adakah perubahan sedemikian dapat membawa impak kepada Malaysia dan rakyat?9 Kita perlu tunggu dan lihat. – 27 Februari, 2016.

 *Satees Muniandy ialah Setiausaha DAP Batu Kawan dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai ~ sumber

Bekas peguam negara tunjuk bukti derma 2.6 bilion, SRC sah jenayah, kata Muhyiddin

Posted: 26 Feb 2016 10:36 PM PST

  Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan hari ini bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu derma RM2.6 bilion di dalam akaun Datuk Seri Najib Razak merupakan 1 perbuatan jenayah.

 Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, lebih menghairankan, walaupun yang didakwa melakukan kesalahan ialah Najib, Umno menggantung keahliannya.

 "Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan peguam negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!

 "Yang menjadi punca segala masalah Umno hari ini bukan saya, tetapi Najib.

 "Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

 Muhyiddin turut mempersoalkan adakah membantu presiden itu bermaksud mempertahankan kesalahannya.

 "Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam Umno menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti.

 "Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam Umno bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada Umno," katanya.

 Sebelum penggantungannya semalam, beberapa pemimpin Umno mendesaknya agar setia membantu kepimpinan presiden parti. – 27 Februari, 2016.~ sumber

Tiada ulasan: