KOTA BHARU,  Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan parti itu dan Kelantan tidak ada sebarang perbincangan dengan Parti Amanah Negara (Amanah).


Beliau berkata, Pas tiada sebarang hubungan dengan parti serpihan terbabit dan tiada apa yang perlu dibincangkan.

"Kita tidak akan memanggil mana-mana wakil Amanah untuk berbincang kerana kita tiada hubungan.

"Malah sekiranya Amanah mahu memanggil untuk diadakan perbincangan, kita juga tidak akan pergi (hadir) kerana tiada sebarang hubungan," katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Pre-Council di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, semalam.

Jelas Mohd Amar, sekiranya Amanah mahu bertanding di Kelantan tiada pihak boleh menghalangnya kerana Malaysia adalah negara demokrasi.

"Kalau mereka (Amanah) mahu bertanding, kita tak boleh halang tetapi kita mesti ingat janji mereka sebelum ini yang mengatakan tidak akan bertanding di Kelantan.

Semalam dilaporkan Wan Abd Rahim mengatakan Amanah sudah menunggu selama empat bulan bagi mengadakan perbincangan dengan Pas khususnya di Kelantan.

Beliau juga membayangkan Amanah kemungkinan akan bertanding di Kelantan sekiranya kerajaan negeri yang ada sekarang tiada usaha untuk mengadakan perbincangan kerana matlamat kedua-dua parti adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).