Sabtu, 2 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


AHMAD MASLAN LEBIH CERDIK DARIPADA NAJIB ATAU NAJIB LEBIH TERUK DARIPADA AHMAD MASLAN?

Posted: 02 Jan 2016 04:12 AM PST

shahbudindotcom


 
 
Hampir tidak ada yang tidak mengkritik cara 1MDB melangsaikan hutang-hutangnya. Menjual sebahagian besar atau mungkin semua harta-hartanya semata-mata untuk membayar hutang, terutama kepada pihak asing, membuatkan Najib Razak yang menubuhkan 1MDB, menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya dan berbangga dengan kaedah "jual harta mak bapak" itu, menjadi sasaran utama kritikan ramai. 
 
Pelan rasionalisasi hutang dengan menjual 60 peratus Bandar Malaysia yang diumumkan 31 Disember lalu dan keseluruhan Edra Energy sebelum ini sebagai memenuhi janji Najib untuk menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan, akhirnya langsung tidak menimbulkan kebanggaan atau "stim" kepada sesiapa pun.

Hakikatnya, kaedah sebegitu tidaklah bernilai apa-apa kepada orangramai, malah tidak ubah seperti meniru cara yang biasa dilakukan oleh seseorang yang kalah judi untuk membayar hutang-hutang perjudiannya.

Bagi bekas Ahli Parlmen UMNO, Tamrin Tun Ghafar, cara penyelesaian hutang dengan cara menjual harta-harta seperti yang dilakukan Najib itu hanya memalukan nama Tun Razak dan Tun Rahah semata-mata.

Katanya, Najib hanya pandai berpura-pura seolah-olah langkah penyelesaiannya itu merupakan suatu kejayaan, sedangkan ia tidak mampu menutup pemborosan, kehilangan wang dan pembaziran berterusan yang dilakukannya selama ini.

Penjualan harta dan tanah yang sepatutnya kekal menjadi milik negara  itu, tambahnya, hanya mengesahkan tabiat Najib yang suka menjual apa saja yang ada untuk menutup beban atau hutang yang tidak ketahuan ke mana perginya.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan pula berkata, cara yang dilakukan Najib itu boleh dilakukan oleh sesiapa saja, termasuk murid-murid sekolah Tingkatan Enam sekali pun.

Bahkan, katanya, ia juga tidak menjawab banyak persoalan lain seperti ke mana hilangnya pelaburan di Pulau Cayman, wang di BSI Bank Singapura, pinjaman daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen sebanyak RM4 bilion, faedah tinggi diberi kepada Goldman Sachs dan lain-lain lagi.

Bekas ahli Wanita UMNO Langkawi yang pernah menyaman Najib, Anina Saaduddin turut mengkritik dengan mengatakan kaedah menjual segala harta untuk membayar hutang itu menjadikan Ahmad Maslan pun layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Anina juga mengandaikan, berikutan pendekatan Najib yang disifatkannya gagal itu, barangkali menjadikan Ahmad Maslan yang kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antaragangsa dan Industri, lebih berjaya menguruskan negara berbanding Najib.

Hahaha...walaupun Najib mungkin sedih disamakan dengan Ahmad Maslan, tetapi Ahmad Maslan tentunya bangga apabila dikatakan turut layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Cumanya, membandingkan Najib dengan Ahmad Maslan akan membawa kepada persoalan lain pula - apakah ini bermakna Ahmad Maslan lebih cerdik daripada Najib, Najib sebenarnya lebih teruk daripada Ahmad Maslan atau kedua-duanya tak boleh pakai?

Boleh mana-mana cai Najib tolong jawab persoalan ini? 


Ringgit dijangka rendah minggu depan

Posted: 02 Jan 2016 04:08 AM PST

BERNAMA


 


Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan unjuran harga komoditi lebih rendah, kata peniaga.

Menurut peniaga, penurunan harga minyak mentah global itu turut menjejaskan mata wang negara yang bergantung kepada komoditi seperti Malaysia.

Pada Rabu lepas, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, susut lebih tiga peratus yang menghampiri paras terendah dalam 11 tahun, selepas data menunjukkan peningkatan dalam bekalan minyak mentah AS.

Ini menyebabkan dolar AS diniagakan rendah dan turut mempengaruhi mata wang negara sedang pesat membangun lain, termasuk ringgit.

"Unit tempatan itu berkemungkinan diniagakan rendah jika harga komoditi terus lemah," katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan harga minyak mentah Brent susut sebanyak US$1.33 atau 3.5 peratus kepada US$36.46 setong.

Dagangan dalam minggu yang singkat berikutan cuti umum, menyaksikan ringgit naik kepada 4.2900/2970 berbanding dolar AS daripada 4.3070/3136, pada Rabu.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0367/0423 daripada 3.0609/0660, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun susut 3.5637/5698 daripada 3.5589/5647 berbanding yen pada Rabu.

Ia naik berbanding euro kepada 4.6851/6940 daripada 4.7024/7100 pada Rabu lepas dan meningkat berbanding pound British kepada 6.3604/3716 daripada 6.3890/3997, sebelum ini.

Pasaran ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Tahun Baharu.- Bernama


Hidang arak, pramugari menangis depan mufti

Posted: 02 Jan 2016 03:58 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Seorang pramugari Malaysia Airlines datang dan menangis di hadapan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung semasa bertugas.

Perkara itu diakui Asri dalam Facebook beliau, yang menyatakan rasa tersentuhnya.

"Malam ini jiwa saya agak tersentuh. Dalam penerbangan MAS malam ini, seorang pramugari datang mengadu dan menangis di hadapan saya mengenai nasibnya.

"Jiwanya menderita kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung. Dia bekerja untuk menyara anak-anaknya," tulis Asri.

Menurut Dr Asri atau lebih dikenali dengan Dr Maza dalam laman Facebook, beliau simpati dengan nasib yang menimpa pramugari tersebut.

Namun, apa yang lebih menyedihkan Asri adalah sikap rakyat di negara ini berhubung tindakan MAS itu.

"Sesetengah orang Melayu jika diberitahu ada syarikat tertentu halang wanita Muslimah memakai tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan mengamuk sakan.

"Segala dalil dan semangat akan dihamburkan.

"Malangnya kita lupa bahawa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti Malaysia itu sendiri tidak membenarkan pramugarinya memakai tudung dan terpaksa menghidangkan arak," sinis Asri.

Tambah Asri, retorik-retorik politik berbaur agama yang sering didengar di media dan bicara "ahli-ahli siasat itu" tidak setakat mana jika dilihat apa yang berlaku kepada pekerja Islam MAS.

Justeru, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu menyeru rakyat di negara ini memohon kerajaan agar pramugari MAS dibenarkan berpakaian memenuhi sifat pakaian wanita Muslimah serta tidak menghidangkan arak.

"Terimalah itu sebagai hak mengamalkan agama mereka iaitu Islam. Bahkan MAS tidak wajar menghidangkan arak. Banyak penerbangan yang tidak menghidangkan arak, mengapa perlu kita menghidangkannya?

"Marilah kita menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan nama Islam dalam pelbagai slogannya. Mohon mencadangkan," kata Asri.


Tuan Ibrahim: Ahli PAS boleh hadir ke mana saja

Posted: 02 Jan 2016 03:47 AM PST

BERNAMA
 
 
 


Semua anggota PAS tidak dihalang menghadiri mana-mana jemputan selagi ia selaras dengan pendirian parti, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu memastikan majlis yang dihadiri itu boleh membawa kebaikan kepada parti.

"Anggota PAS boleh hadir mana sahaja jemputan selagi kehadirannya untuk menyampaikan risalah Islam, menyuruh yang makruf dan menentang yang mungkar," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kehadiran bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa dalam majlis makan malam anjuran parti serpihan PAS, Amanah, di Petaling Jaya semalam.

Husam, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Salor di Kelantan, ketika berucap pada majlis itu berkata kehadirannya ke majlis itu adalah selaras dengan ketetapan parti yang 'mengizinkan' anggotanya untuk hadir ke mana-mana majlis parti lain.

Tuan Ibrahim (gambar) berkata kebiasaanya PAS akan menilai setiap jemputan yang diterima, dan perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat dalaman parti untuk menimbang kehadiran mana-mana anggota ke majlis berkenaan.

Selain itu, katanya anggota PAS turut bertanggungjawab mempertahankan parti daripada segala tohmahan buruk pihak luar terhadap parti itu

"Adalah menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk mempertahan tohmahan buruk pihak di luar parti dan membetulkan persepsi terhadap parti," katanya.- Bernama


PERKASA kritik langkah terbaru 1MDB

Posted: 02 Jan 2016 03:17 AM PST

Zikri Kamarulzaman


 


Kumpulan pendesak Melayu PERKASA kecewa dengan tindakan kerajaan menjual 60 peratus kepentingan milik 1MDB dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata ini kerana tindakan tersebut telah mengakibatkan maruah Melayu dan kedaulatan rakyat tergadai.

"Sedih kecewa yang amat sangat. Tidak boleh buat apa, ia sudah dijual.

"Mungkin kesuntukan masa dan sikap ambil mudah sebagai jalan pintas maka tergadailah maruah dan kedaulatan rakyat apatah lagi bagi kaum pribumi.

"Ini yang di katakan menang sorak kampung tergadai," tegas Ibrahim kepada Malaysiakini.

Malah, Ibrahim berkata segala usaha bagi menghalang penjualan tersebut sudah terlewat.

"Dah terlewat. Jika kerajaan baca resolusi dan usul yang diluluskan oleh PERKASA dalam wacana, meja bulat, konvensyen malah kongres PERKASA sebelum ini yang telah diserah kepada kerajaan berkaitan isu ekonomi, tanah dan pelbagai kepentingan rakyat dan negara.

"Jika ia diberi perhatian dan dihayati, penjualan ini sewajarnya tidak berlaku. Sepatutnya ada cara lain," kata bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Kelmarin, 1MDB menjual kepentingan 60 peratus miliknya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (CREC) Sdn Bhd.

Majlis menandatangani perjanjian itu dengan dua rakan kongsi baru mereka diadakan di Royale Chulan Hotel di Kuala Lumpur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dilaporkan sebagai berkata kepentingan 60 peratus saham syarikat itu dijual kepada konsortium berkenaan pada nilai RM7.41 bilion manakala penilaian semasa Bandar Malaysia diletakkan pada RM12.35 bilion.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata beliau bimbang aset negara akan terus dijual pada masa depan lebih-lebih lagi sebaik sahaja Malaysia memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan datang.

"Sebelum ini syarikat tenaga IPP (pengeluar tenaga bebas) dan terbaru tanah di Sungai Besi tempat yang strategik dan amat bernilai.

"Kita bimbang TPPA boleh menyebabkan harta negara terancam tapi tanpa TPPA pun tanah dan tenaga sudah dijual kepada orang luar.

"Mana dia semangat pengisian kemerdekaan? Sekadar mencurah perasaan yang terlalu kecewa kerana tak boleh buat apa, berputih matalah rakyat," tambah Ibrahim.


Isu tajaan: Penaja diminta hormati Kafa

Posted: 02 Jan 2016 03:07 AM PST

Annuar Musa
Annuar Musa
 

PENAJA yang berhasrat untuk memberi tajaan kepada Kelantan musim ini tidak seharusnya terburu-buru mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum ada rundingan sebenar.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini untuk mengelak salah faham dan  mengganggu rundingan dengan penaja-penaja lain.

"Saya harap mana-mana penaja yang nak taja TRW tidak akan membincangkannya dalam media sebelum ada rundingan sebenar.

"Sebarang tajaan perlu mengikuti prosedur tertentu dan harus ada rundingan secara rasmi. Saya mohon perkara ini dihormati dan Kafa tidak mahu isu tajaan menimbulkan salah faham kepad mana-mana pihak," katanya.

Saranan Annuar itu dipercayai merujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung perbincangan melibatkan kedua-dua pihak.

Menurut Dr Hasmiza, beliau menetapkan dua syarat kepada Kafa sebelum bersedia menaja badan induk itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

Dua syarat berkenaan ialah Stadium Sultan Muhammad IV ditukar kepada merah jambu dan nama baharu skuad Kelantan seharusnya didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW).

Sementara itu,  Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mahizi Mahmood ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada Kafa menentukan keputusan.

"Kita penyokong hanya harapkan 2016 tahun yang terbaik bagi menambah kantung kewangan Kafa selepas tahun lepas kita berdepan masalah tersebut," katanya.


Bukan mahu meraih simpati

Posted: 02 Jan 2016 03:05 AM PST

SINAR HARIAN


 Bukan mahu meraih simpati
Zurina menidurkan anaknya sebelum menoreh getah.
 

BEGINILAH rutinku dan suami setiap hari. Seusai solat subuh, tatkala jalan masih gelap, tanggungjawab demi masa depan anak perlu dilunaskan.

Aku mahu dia pandai supaya kepayahan kami alami sekarang tidak berpanjangan.

Sebaik anak sulung melangkah kaki ke sekolah, aku dan suami serta anak bongsu bergegas ke kebun getah.

Walaupun kami bukan tuannya, tetapi pokok inilah yang menyara hidup kami empat beranak.

Ku cari dahan yang selalu ku gantung buai anakku. Aku tiada pilihan. Jikaku mampu anak ini pasti tidak perlu berada di sini. Dia boleh saja berada di rumah pengasuh.

Tapi apakan daya. Pendapatanku dan suami hanya RM40 sebulan. Aku dan suami mengambil upah menoreh pokok orang lain. Mana mampu nak gajikan pengasuh.

Jika disoal kepada sampai bila anak kecil ini perlu 'diasuh' di dalam kebun getah, ku tiada jawapannya.

Jika kesudahan nasibku tiada nokhtah aku reda, mungkin ini takdir dari yang maha Esa.

Selalunya, sebelum menoreh getah yang menyara hidup kami anak beranak, Aku akan menyuap anak kecil berusia dua tahun ini dengan nasi lemak yang dibeli suami.

Bila kekenyangan, baru ditidurkan di dalam buaian yang diikat suami di pohon getah.

Tangan yang menghayun buaian ini ku iringi selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW, mudah-mudahan dengan berkat selawat ke atas Baginda, anakku tidak lupa kami bila dia berjaya kelak.

Bila memandang wajahnya, hati tiba-tiba sayu, ku terkenang beberapa pengalaman yang pernah menimpanya.

Beberapa ekor beruk buas pernah mengganggunya, mujur ku sempat melempar sesuatu kepada haiwan itu dari bertindak di luar jangkaan.

Kakaknya pula biasa disengat kala jengking di kebun ini, ketika itu hanya ALLAH yang tahu bagaimana perasaan seorang ibu. Alhamdulillah, dia selamat dari bahaya selepas dirawat di klinik kerajaan.

Jika cuti sekolah setiap minggu, mahu atau tidak, anak sulung turut dibawa ke kebun getah ini seharian.

Lamunan terhadap kenangan lalu terhenti, sehelai daun pokok getah yang melayang jatuh di hadapan wajahku buatkan ku tersedar.

Pokok getah, bisik hati kecil hatiku, harap-harap hari ini susu dapat keluar banyak.

Selepas anak bongsu ini lelap, ku capai pisau di dalam raga motosikal, perlahan-lahan meninggalkan anak kecil yang lena di dalam buaian.

Aku dekati suami yang selesai menoreh 15 batang pokok, dia menunjukkan isyarat tangan kepada ku ke arah pokok yang belum ditoreh.

Dengan kudrat yang ada, aku turuti arahan suami, kami bersama-sama menoreh di dalam kedinginan Subuh.

Mungkin bagi mereka yang tidak pernah menoreh, pekerjaan ini seboleh-bolehnya ingin dijauhi, tiada yang sanggup bermain dengan bau busuk dan lekit getah kecuali mereka yang hidupnya memang dihimpit kesusahan.

Namun, aku bersyukur, sehingga hari ini, setidak-tidaknya kami anak beranak tidak perlu mengemis di tepian jalan seperti insan senasib kami.

Dengan hasil susu getah ini, suami akan bahagiakan kami anak beranak.

Biarpun selama hidup bersamanya jariku ini tidak pernah disarungkan cincin mahal, tidak pernah dipakaikan seutas rantai berharga, tetapi hati ini tenang hidup di sampingnya.

Selalunya, makanan yang dimasak di rumahku hanya nasi kosong, ikan masin dan air garam.

Alhamdulillah, biarpun itu yang selalu kami jamah hampir setiap hari, tetapi jika reda dan bersyukur dengan rezeki yang ada, pasti ALLAH akan limpahkan rasa cukup dengan apa yang diberikan oleh-Nya.

Bagaimanapun, ku akui, disebabkan kemiskinan ini anak-anak juga terpaksa menempuh dan menanggung derita.

Jika ikan masin, beras atau sekurang-kurangnya telur dan ikan sardin mampu dibeli, tetapi susu tepung untuk anak kami berusia dua tahun itu tidak mampu dibeli.

Jika dibeli sekalipun, mungkin sekali dalam setahun.

Pernah anak merengek kerana lapar mahukan susu, dalam poket suami tika itu hanya ada RM5, berbanding harga satu tin susu tepung mencecah puluhan ringgit benar-benar buatkan kami tidak mampu.

Dalam tangisan itu, akhirnya dia diam apabila diberikan minuman disangkanya susu.

Bersama mata yang digenangi air, ku bancuhkan kepada anakku itu teh atau kopi menggantikan susu.

Sungguh! Jika harga getah tidak serendah sekarang, mungkin susu tepung masih mampu dibelikan suami.

Seperti kebiasaannya, anakku akan mengalami ciri birit selepas meminum 'susu' yang dimintanya, bersandarkan tawakal kepada ilahi, ku akur dengan perjalanan hidup ini.

Anak sulung juga terpaksa menerima hakikat betapa dia hidup bersama ayah dan ibunya yang tidak kaya seperti keluarga lain, tatkala musim hujan, aku dan suami tidak mampu membekalkannya duit kerana pendapatan kami merosot.

Pokok tidak dapat ditoreh, bagaimana dapatkan hasil?

Bukan sekadar duit berbelanja di sekolah tidak mampu diberi, malah wang mengisi minyak motosikal terpaksa difikir berkali-kali sebelum diisi.

Seperti bulan November baru-baru ini, dalam sebulan hanya tiga kali pokok dapat ditoreh, mujur anak sulung kami menerima bantuan makanan dari sekolah.

Adakalanya suamiku sendiri terpaksa menebalkan muka berhutang di kedai.

Ku punya jalan hidup berbeza, anak sulung kami berusia 11 tahun ini sebenarnya anak kepada suami pertama, selepas diceraikan, hadir seorang lelaki yang sanggup menerima dan membela kami.

Sebagai isteri, aku hanya mampu berdoa agar suamiku dilindungi ALLAH. Ku titipkan kalimah rahsia kepada ALLAH agar diberikan suamiku ini sebuah syurga kepadanya.

Zurina Jusoh, 32,
Kampung Seri Dacing, Sik, Kedah.


Rumah Ngaji Darul Takzim komited

Posted: 02 Jan 2016 03:01 AM PST

Rumah Ngaji Darul Takzim komited
Peserta Rumah Ngaji Darul Takzim diberi tunjuk ajar bermula dari asas menerusi bacaan Iqra'.


JOHOR BAHRU - Rumah Ngaji Darul Takzim terus komited untuk menarik lebih ramai murid menyertai kelas mengaji yang ditawarkan secara percuma kepada orang ramai di sekitar daerah ini.

Pengurusnya, Masila Mas'od berkata, rumah ngaji di Taman Tampoi Utama itu, dibuka sejak April lalu dan diuruskan sendiri bersama rakannya, Roslina Ismail.

Menurutnya, rumah ngaji berkenaan dibuka bagi membantu orang ramai mendalami ilmu al-Quran secara percuma dengan bimbingan profesional oleh guru bertauliah dilantik.

"Terdapat dua kelas mengaji di sini iaitu kelas bacaan asas pada setiap Jumaat dan Sabtu untuk murid yang tidak tahu membaca al-Quran.

"Kami juga mempunyai kelas mengaji dan tadabbur setiap Khamis dan Ahad untuk murid yang sudah lancar membaca.

"Misi kita untuk memastikan setiap masyarakat mampu mengaji dan mendalami al-Quran," katanya.

Masila berkata, menerusi kelas mengaji dan tadabbur, peserta diberi pendedahan mendalami al-Quran dengan memahami maksud setiap surah dalam kitab suci berkenaan.

"Dalam setiap kelas, kami akan fokus kepada 10 ayat dan guru mengaji akan menerangkan maksud ayat berkenaan agar dapat diamalkan murid kerana sebahagian ayat dalam al-Quran juga adalah doa.

"Tujuan kami supaya setiap peserta dapat memahami maksud ayat yang dibaca agar mereka menghayati al-Quran dan meninggalkan kesan pada jiwa masing-masing," katanya.

Jelasnya, rumah ngaji berkenaan mampu menempatkan kira-kira 30 pelajar dan kemudahan pembelajaran seperti al-Quran dan Mukaddam turut disediakan untuk murid.

"Kelas mengaji di sini terbuka kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

"Murid boleh mengikuti kelas yang disediakan mengikut jadual ditetapkan sehingga mereka mahir dan lancar membaca. Kami mahu peserta belajar dengan penuh istiqamah hingga mahir," katanya.

Masila berkata, mereka turut menyediakan kelas Asmaul-Husna pada Khamis minggu terakhir setiap bulan sebagai bimbingan kepada peserta mendalami sifat-sifat ALLAH dan merancang membuka kelas Bahasa Arab dan Tajwid.

"Selain kelas mengaji, kita juga ada kelas Asmaul Husna dan aktiviti lain termasuk mengadakan bacaan yassin bersama anak-anak yatim.

"Kita berharap dapat membuka lebih banyak rumah ngaji di negeri ini selain diperluaskan dan memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini hanya 10 murid menyertai rumah ngaji itu dan berharap orang ramai khusus di kawasan sekitar mengambil peluang berkenaan.

"Penyertaan murid masih kurang walaupun ia percuma.

"Golongan dewasa dan warga emas amat dialu-alukan menyertai kelas ini.

"Mana-mana pihak yang ingin belajar secara peribadi di sini bersama guru mengaji juga boleh berunding dengan guru berkenaan," katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai kelas di rumah ngaji  di sini boleh menghubungi Maslina di 019-7778010 dan Roslina 019-7575098 atau ke No-26-01, Jalan Sri Perkasa 2/18, Taman Tampoi Utama


‘Penoreh getah hanya dapat RM400 sebulan’

Posted: 02 Jan 2016 02:59 AM PST

'Penoreh getah hanya dapat RM400 sebulan'
Zali Sani


GEMENCHEH - "Sejak harga getah jatuh RM2 sekilo, pendapatan bulanan saya hanya RM400 hingga RM500 saja. Dah setahun tak naik-naik... harga getah turun," kata Zali Sani, 56.

Zali yang tinggal di Kampung Gemencheh Lama, di sini, mula menoreh getah sejak lima tahun lalu di kebun getah milik isterinya seluas 1.2 hektar di Kampung Tengah, di sini.

Menurutnya, harga getah semasa sekarang RM1.92 sekilogram iaitu amat rendah dan penoreh terpaksa berjimat cermat dalam berbelanja.

"Pendapatan bulanan saya habis macam tu saja. Barang sekarang mahal, dengan RM400 cukup untuk belanja dapur dan keperluan saya dan isteri saja.

"Saya terpaksa buat kerja sampingan baiki rumah untuk cari duit tambah," katanya di sini, semalam.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, kos hidup yang tinggi sekarang memberi beban kepada penoreh getah kerana pendapatan yang rendah.

"Saya suami isteri saja habis RM400 sebulan untuk belanja dapur. Itu belum lagi nasib penoreh getah yang ada anak ramai dan masih sekolah.

"Tambah sekarang musim hujan, semakin kuranglah pendapatan kami kerana tak dapat keluar menoreh," katanya.

Zali yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan berkata, bantuan Risda sebanyak RM500 setahun kepada penoreh getah sedikit sebanyak membantu meringankan beban, namun bantuan itu masih tidak mencukupi.

"Bantuan RM500 hanya dapat sekali setahun. Jika dibahagikan selama 12 bulan, kami dapat RM41 saja sebulan.

"Kita harap kerajaan dapat menaikkan bantuan ini kerana kos hidup yang semakin tinggi ditambah pula harga barang naik mendadak," katanya.


Husam bimbang Pas jadi pelindung korupsi Umno

Posted: 02 Jan 2016 02:53 AM PST

Umno-Pas
Umno-Pas
 
 
PETALING JAYA - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyatakan kebimbangan beliau terhadap hubungan baik di antara Pas dengan Umno yang akan memberi kesan kepada nasib orang Melayu selepas ini.

Menurut Husam, Pas dibimbangi akan menjadi pelindung kepada agenda korupsi yang dilakukan oleh Umno demi kepentingan parti berkenaan.

"Saya bimbang kalau-kalau parti saya (Pas) berpakat dengan Umno untuk melindungi korupsi. Tindakan ini lebih membawa bahaya kepada orang Melayu.

"Kepimpinan Melayu tidak akan diterima sekiranya track recored parti agama yang dibawa oleh Pas tidak mampu mempertahankan korupsi yang buruk dan laknat,"katanya ketika hadir di Majlis Makan Malam Pari Amanah Negara (Amanah) Kelantan yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ, malam tadi.

Beliau berkata, korupsi merupakan satu dosa dalam Islam malah Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 lalu turut menganggap perkara ini adalah sebagai satu isu yang penting untuk dibincangkan.

Dalam pada itu, Husam turut memaklumkan bahawa isu penyelewengan yang didakwa berlaku dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah merupakan salah satu bentuk rasuah.

"Mana pergi pinjaman berbilion yang dibuat daripada bank-bank dengan mencagarkan tanah diberikan kerajaan?

" Lebih manfaat kalau wang-wang ini digunakan untuk membantu penduduk Melayu di luar bandar,penduduk  desa,dan nelayan-nelayan miskin," katanya.

'Rahsia perkahwinan kerana ada hati perlu dijaga'

Posted: 02 Jan 2016 02:49 AM PST

Adira
 

BERITA perkahwinan Adira Suhaimi, 25 bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu hampir sebulan lalu bukan lagi rahsia.

Bahkan penyanyi kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia itu mengakui bergelar isteri kedua juga bukan alasan dia tidak mengecapi kabahagiaan rumah tangga seperti orang lain.

Berkongsi mengenai statusnya sebagai seorang isteri kini, kata Adira, dia meminta maaf kepada semua jika tindakannya itu mengguris hati banyak pihak.

"Ia sesuatu yang sangat peribadi bagi saya. Apa yang penting mereka sudah tahu saya telah pun berkahwin.

"Hal-hal lain tidak boleh dikongsikan demi menjaga hati pihak sebelah dan keluarga saya sendiri," katanya ketika di temui di majlis perasmian Butik Benang Hijau di Damansara tengah hari tadi.

Bulan lalu, Adira mengesahkan menjadi isteri kedua Adnan selepas tersebar gambar di laman sosial bahawa penyanyi pujaan ramai tersebut berkongsi suami dengan seorang wanita dikenali sebagai Datin Red.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Adira sahkan kini isteri nombor 2 Datuk Seri]

Tambah Adira, dia bukan sengaja merahsiakan perkahwinannya itu.

"Saya sendiri masih tidak percaya saya sudah bergelar isteri. Cukuplah saya katakan saya sangat bahagia kini.
"Asalkan ada orang yang menjaga dan mengambil berat mengenai saya, itu sudah memadai.

"Cuma, untuk menjadi suami saya, dia adalah orang yang tepat kerana selain mampu menjaga saya dengan baik, dia mampu menghormati dan membahagiakan ibu saya," katanya.

Dalam pada itu, Adira meminta agar semua peminat dan pihak lain mendoakan kebahagiaannya.

"Pandangan dan penerimaan orang berbeza-beza, bagi yang suka dan gembira dengan status saya kini, saya berterima kasih dan ucapkan Alhamdullilah, tetapi bagi yang sebaliknya, saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya lagi.


Kerajaan Persekutuan digesa gantung aktiviti bauksit

Posted: 02 Jan 2016 02:41 AM PST

 
Ini kerana Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan kerajaan negeri tidak mempunyai kesungguhan dan kekuatan politik untuk melaksanakan keputusan kabinet itu.


fuziah-salleh


PETALING JAYA: Kerajaan dan agensi persekutuan digesa mengambil alih tugas menggantung segala aktiviti melibatkan industri bauksit di Kuantan.

Ini kerana Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak mempunyai kesungguhan dan kekuatan politik untuk melaksanakan keputusan kabinet untuk berbuat demikian.

Itu kata Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit, Fuziah Salleh yang juga merasakan tidak wajar bagi penduduk Kuantan terus terseksa dalam 'neraka dunia' semata-mata kelemahan kepimpinan Adnan Yaakob.

"Sebelum keadaan menjadi bertambah parah, saya seru Kerajaan Persekutuan mengambil alih usaha penggantungan ini. Tambahan pula Perdana Menteri ialah berasal dari Pahang. Saya seru bertindak segera.

"Keadaan di Kuantan kini terlalu mencemaskan dan melibatkan 700,000 warga Kuantan yang terdedah kepada risiko kesihatan yang amat tinggi," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan berkata, ikan-ikan dan kehidupan di sungai kawasan berkenaan telah tercemar serta merbahaya untuk dimakan.

"Malah air sungai di beberapa sungai di Kuantan merbahaya untuk di sentuh akibat kehadiran logam-logam berat.

"Udara pula merupakan udara yang bukan sahaja berdebu dengan IPU – Indeks Pencemaran Udara yang tinggi di kawasan terbabit malah udara juga bertoksid dan bahaya buat kesihatan," katanya.

Tambahnya lagi, jalan raya juga tidak selamat dengan kehadiran lori-lori yang mengangkut bauksit, tidak menghormati dan patuh kepada peraturan.

"Industri dan ekonomi tempatan terjejas teruk akibat pencemaran disebabkan industri bauksit. Hakisan tanah dan tanah runtuh juga risiko amat tinggi yang kita hadapi apabila bukit-bukit dikorek dengan rakus .

"Akan tetapi risiko yang paling tinggi ialah apabila Kerajaan Negeri Pahang tidak mampu untuk memberhentikan aktiviti melombong, mencuci bauksit, mengorek dan mengangkut bauksit yang haram serta juga tidak dapat mengawal himpunan stockpile bagi yang berlesen," ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, keadaan menjadi lebih parah lagi apabila kawasan hulu tadahan air minuman di kawasan berkenaan dibiarkan dengan aktiviti-aktiviti yang mencemarkan sumber air minuman.

TPPA: Perspektif Kedaulatan dan Geopolitik

Posted: 02 Jan 2016 02:39 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY


TPPA menyediakan ruang buat Malaysia untuk mengukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat, sedang dalam masa yang sama tidak menghalang daripada mengeratkan hubungan dengan kuasa besar lain.
 
 
 
TPPA copy

Oleh: Abdul Muein Abadi


Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal dibahaskan di Parlimen Malaysia pada 26-27 Januari ini. Pihak Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) juga sudah pun mengeluarkan laporan analisis kos-faedah (cost-benefit analysis) pada 3 Disember lalu. Tulisan ini akan menghuraikan secara spesifik perspektif kedaulatan dan geopolitik yang terkandung dalam laporan ISIS tersebut.

Di bawah tema "Kedaulatan", ISIS telah menggariskan tiga sub-tema: Dominasi kuasa besar, campur tangan asing, dan juga halangan pembuatan polisi bagi Malaysia. Di bawah tema "Geopolitik" pula, ISIS turut mengemukakan tiga sub-tema: ASEAN, China, dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi dimensi sub-tema pertama di bawah "Kedaulatan" – iaitu "Dominasi kuasa besar" – ISIS mendapati bahawa sememangnya terdapat impak yang positif buat Malaysia. Malaysia sebagai sebuah negara yang relatif kecil dan terlibat dengan beberapa pertikaian wilayah dengan negara-negara jiran sememangnya perlu untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak.

Dari perspektif TPPA, ia menyediakan ruang buat Malaysia untuk mengukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS), sedang dalam masa yang sama tidak menghalang daripada mengeratkan hubungan dengan kuasa besar lain. Di bawah sub-tema kedua iaitu "campur tangan asing" pula, ISIS secara khusus memberi fokus kepada impak keperluan pensijilan AS (US certification requirement).

Dalam aspek ini, Malaysia telah berhasil untuk memperoleh pengecualian (non-conforming Measures NCM) di bawah TPPA, yang mana antara yang paling utama ialah pengecualian cukai eksport (export tax) dan juga kawalan tembakau daripada prosedur Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement ISDS).

Dari perspektif sub-tema ketiga di bawah tema "Kedaulatan" pula, iaitu "Halangan pembuatan polisi bagi Malaysia", ISIS mengakui sememangnya terdapat kebimbangan bahawa rejim perundangan TPPA mungkin akan dipengaruhi pengaruhi AS dan juga syarikat-syarikat gergasi AS.

 Tujuh ruang polisi Malaysia yang menjadi perhatian ialah Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement ISDS), dasar Bumiputera, pembasmian kemiskinan, pemerolehan kerajaan (Government Procurement GP), perusahaan milik negara (state-owned enterprise SOE), buruh, dan alam sekitar.

Namun demikian, menerusi pengecualian (non-conforming Measures NCM) serta sedikit pengubahsuaian yang khusus diperoleh Malaysia di bawah TPPA, kadar penentuan polisi Malaysia masih kekal utuh. Antara yang paling ketara ialah dalam aspek pelaburan di mana sebahagian besar pemerolehan kerajaan bagi Bumiputera dan juga syarikat berkaitan kerajaan (Government-linked corporations GLC) masih dikecualikan daripada sekatan sepenuhnya TPPA. Hanya bagi pemerolehan serta projek gergasi sahaja ruang persaingan dibuka sepenuhnya kepada syarikat-syarikat asing.

Di bawah tema "Geopolitik", ISIS memberi prioriti kepada sub-sub tema yang berkaitan hubungan Malaysia dengan rakan dagang utama. Dari perspektif sub-tema Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), diakui bahawa terdapat kemungkinan jurang antara negara ASEAN yang menyertai TPPA – Malaysia, Brunei, Vietnam, dan Singapura – dengan anggota ASEAN yang tidak menyertai TPPA bakal bertambah.

Hal ini demikian kerana hanya anggota TPPA sahaja yang akan menikmati akses pasaran yang mudah ke negara-negara anggota TPPA yang maju seperti AS, Jepun, Australia, Kanada, dan New Zealand.Namun demikian, hakikat bahawa kesemua negara anggota ASEAN turut terlibat dengan beberapa lagi aturan bersama – antaranya seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan akses ke China dan India – di samping kemajuan dalam projek Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community AEC) pada hemat penulis, tidak akan memudarkan kesepaduan 10 negara anggota ASEAN.

China merupakan fokus analisis ISIS yang kedua di bawah tema "Geopolitik". TPPA sememangnya dilihat sebagai salah satu strategi AS bagi mengekang (containment) kemaraan China di rantau Asia dengan slogan "Pivot to Asia".

Namun perlu disedari bahawa penyertaan Malaysia ke dalam TPPA tidak sama sekali menghalang Malaysia daripada turut mengukuhkan hubungan bilateral dengan Beijing. Hal ini terbukti menerusi komitmen Malaysia yang menyokong penuh inisiatif "One Belt One Road" (OBOR) oleh China.

Bukan sahaja menyertai rundingan RCEP, Malaysia bahkan merupakan antara negara terawal yang menandatangani penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) tajaan Beijing disamping meletakkan sasaran untuk mencapai nilai dagangan dua hala sebesar US$160 bilion menjelang tahun 2017 dengan China.Sub-tema terakhir di bawah "Geopolitik" ialah Kesatuan Eropah (EU) di mana Malaysia merupakan rakan dagang EU kedua terbesar selepas Singapura di Asia Tenggara. EU pula merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia.

Pada 2012 Malaysia menunda rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU kerana memberi fokus kepada TPPA. Namun penyertaan Malaysia ke dalam TPPA dijangka ISIS tidak memberi impak besar dalam hubungan dua hala tersebut.

(*) Abdul Muein Abadi merupakan pensyarah Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

MIC kecewa dengan keputusan kes Indira Gandhi

Posted: 01 Jan 2016 04:19 PM PST

MICHAEL MURTY

 

SUBRA (M) 2016
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata keputusan itu sekali lagi membuka semula kotak Pandora mengenai kelemahan ibu bapa bukan beragama Islam dalam kes ini. Foto fail TRP 


KUALA LUMPUR,  MIC meluahkan rasa kesal mereka berhubung keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini membabitkan kes pertikaian hak penjagaan anak Indira Gandhi.


Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata keputusan itu sekali lagi membuka semula kotak Pandora mengenai kelemahan ibu bapa bukan beragama Islam dalam kes ini.

"Ia menunjukkan bagaimana mereka yang bukan Islam tidak dapat melindungi status agama anak mereka dalam kes penukaran unilateral kanak-kanak oleh pasangan lain," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata peruntukan perlembagaan berkaitan dengan isu ini, telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam pelbagai peringkat Kerajaan termasuk Jemaah Menteri pada tahun 2009.

"Ada cubaan untuk meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi membantu menyelesaikan sebahagian daripada isu ini. Malangnya, ada halangan dalam usaha itu.

"Perdana Menteri sudah banyak kali menyatakan bahawa isu ini sepatutnya diselesaikan dengan mempertimbangkan hak ibu bapa yang tidak memeluk Islam dan juga ibu bapa yang beragama Islam.

"Beliau pernah meminta agensi berkaitan untuk mengemukakan penyelesaian berkesan bagi menamatkan masalah ini. Malangnya, isu ini kekal tidak selesai."

Subra menyatakan bahawa hak bagi ibu yang tidak memeluk Islam dalam menentukan agama anak kecilnya masih kekal terdedah tanpa bukti perlindungan dalam sistem penghakiman di negara ini, seperti yang ditunjukkan oleh keputusan baru-baru ini.

"MIC sangat kecewa dengan situasi semasa dan tetap komited dalam mencari penyelesaian efektif dan pantas dalam masalah ini menerusi Kabinet dan pejabat Perdana Menteri."

Pada masa sama, Wanita MIC membuka laman Facebook yang memberi tekanan bagi mendapatkan keadilan dalam kes Indira Gandhi.

Ia dibuka bagi memperjuangkan hak kanak-kanak berkaitan kes penukaran agama bagi mendapatkan tekanan perundangan.

Media sosial bidas syarat Datuk Seri Vida kepada KAFA

Posted: 01 Jan 2016 04:15 PM PST

NORAIZURA AHMAD & MICHAEL MURTY

 

Datuk Seri Vida Qu Puteh
Dua syarat yang ditetapkan Datuk Seri Vida bagi memberikan penajaan kepada KAFA dibidas pengguna media sosial. Foto kredit Instagram @datoserivida


KUALA LUMPUR,  Media sosial membidang pengasas dan juga Ketua Pegawai Ekesekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, berhubung syarat penajaannya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).


Menurut Berita Harian, Datuk Seri Vida mencadangkan dua syarat kepada pasukan bola sepak Kelantan untuk beliau memberi penajaan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

"Stadium Sultan Muhammad IV harus ditukarkan kepada warna merah jambu dan skuad bola sepak dimulakan nama dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW)."

Tinjauan dalam Twitter mendapati dua syarat ytang diberikan itu mendapat dikritik pengguna media sosial.

CM@naquib_najid dalam twitternya berkata: "Baik dia beli je team Kelantan. Lepas tu dia boleh buat ikut suka dia. Itu pun kalau bolehlah".

Bauk Selat@bauk_selat dalam twitternya berkata: "Kelantan ni nak main bola ke nak bagi badan langsing".

Pemerhatian mendapati pelbagai gambar dimuat naik termasuk gambar pemain Kelantan memakain gaun berwarna merah jambu.

Muszamni pula menulis dalam tweet: "Mungkin mereka mahu memalukan pasukan bola sepak negeri.

Jager dalam akaun Twitter milinya berkata: "Pasukan bola sepak Kelantan buat lawak ke apa?"

Datuk Seri Vida berkata, syarat yang diberikan bukan sekadar untuk mengubah wajah bola sepak Kelantan tetapi bagi membolehkan mereka mendapat dana tambahan bagi mengubah kredibiliti mereka.

"Stadium harus ditukar kepada warna merah jambu kerana ia akan memberikan kelainan.

"Nama harus ditukar seperti yang dilakukan Negeri Sembilan iaitu NS Matrix.

"Mari bersama menaik taraf pasukan yang satu masa dulu dihormati."

Namun ada juga netizen yang bersetuju dengan syarat supaya Stadium Sultan Muhammad IV diubah kepada warna merah jambu.

Atiqah Azmi@eykaazmi berkata: "If betul stadium Kelantan tukar warna pink confirm jadi the red warriors dan after thiss".

Lia adam.@IamEMILIANAA berkata: "Kalau stadium Kelantan warna pink, I should go there dan support em (saya patut pergi dan sokong mereka)".

Ibu doa anak hilang di Madinah ditemui selamat

Posted: 01 Jan 2016 04:07 PM PST

MALAYSIAKINI


"Kini saya hanya mampu berdoa semoga anak saya selamat ditemui," kata Zamhani Zakaria dengan penuh harapan berhubung anak perempuannya yang hilang ketika berada di Madinah.

Menurutnya kali terakhir dia bersama-sama anaknya Nor Azimah Ibrahim, 31, adalah pada 19 Disember lepas.

"Nor Azimah tidak sihat pada hari berkenaan, selepas sembilan hari kami berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

"Kami (saya dan suami) berjanji untuk berjumpa (Nor Azimah) di Masjid Nabawi selepas pulang dari program ziarah pada tengah hari, namun Azimah tidak kelihatan di sekitar masjid berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya dia dan suaminya Ibrahim Abdul Rahman, 54, juga telah memberikan segala maklumat berkenaan anaknya yang hilang itu kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

"Suami saya masih berada di sana untuk membantu pihak berkuasa Arab Saudi dalam mengesan Azimah, namun sehingga kini masih tiada khabar berita," katanya.

Zamhani, 52, yang tiba di tanah air pada 23 Disember lepas berkata dia, suaminya dan Nor Azimah berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah pada 11 Disember lepas dan dijadual pulang ke Malaysia pada 22 Disember.

Nor Azimah merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan, berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor.- Bernama


Anak Nik Aziz sertai AMANAH

Posted: 01 Jan 2016 04:01 PM PST

Zulaikha Zulkifli




Salah seorang anak kepada bekas mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan telah menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH).

Dalam satu majlis makan malam anjuran parti itu malam tadi, Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin mengumumkan Nik Omar Nik Aziz dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah AMANAH Kelantan.

Nik Omar bagaimanapun tidak hadir dalam majlis tersebut yang berlangsung di Petaling Jaya. Namun ketika ditemui Malaysiakini selepas itu, Nordin menafikan beliau ada menyebut penyertaan Nik Omar dalam AMANAH.

Malah, beliau mengatakan mungkin wartawan tersalah dengar berhubung pengumuman tersebut.

"Eh mana ada anak Nik Aziz masuk AMANAH. Kamu salah dengar ni. Mana ada," katanya selepas majlis yang dihadiri kira-kira 1000 penyokong parti itu.

Bagaimanapun, menurut seorang pemimpin AMANAH Kelantan yang ditemui Malaysiakini mengesahkan anak lelaki sulung kepada bekas menteri besar Kelantan itu memang telah menyertai parti berkenaan.

Sumber tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata Nik Omar bagaimanapun tidak akan hadir pada majlis-majlis yang melibatkan orang ramai pada ketika ini.

Hormati permintaan keluarga

Katanya, ia bagi menghormati permintaan keluarganya serta kematian bapanya yang meninggal dunia pada Februari lalu.

"Sebenarnya dia (Nik Omar) memang dah sertai AMANAH tapi sebab nak menghormati permintaan bondanya serta keluarganya yang lain.

"Tetapi kalau ada mesyuarat dalaman memang dia akan hadir cuma di majlis terbuka seperti ini dia tak mahu menonjol," katanya kepada Malaysiakini.

Masih belum bersedia.

Selain itu, beliau menambah Nik Omar belum bersedia "menunjukkan" dirinya kerana permintaan ibunya sendiri Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

"Lagi pun permintaan bonda dia. Iyalah, seorang (anak) PAS, seorang AMANAH.

"Tapi sebenarnya, dialah (Nik Omar) yang betul-betul mewarisi seperti ayahnya dari segala segi," kata sumber itu lagi.

Nik Omar merupakan anak kedua daripada sepuluh adik-beradik. Sebelum ini beliau dikhabarkan akan menyertai AMANAH tetapi menafikannya.

Manakala adiknya, Nik Abduh yang merupakan anak kelima pula merupakan Ketua Pemuda PAS dan anggota parlimen Pasir Mas.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Nik Omar untuk mendapatkan pengesahan daripada beliau sendiri.



Stadium pink, logo Kafa pink 'banjiri' Facebook

Posted: 01 Jan 2016 03:54 PM PST

Stadium pink, logo Kafa pink 'banjiri' Facebook
Stadium Kelantan telah diwarnakan merah jambu dalam Facebook.


SHAH ALAM - [VIDEO] Selepas ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menetapkan syarat agar Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu, sekiranya menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)  'profile' dan 'cover' Facebook pelayar media sosial hari ini,  dibanjiri dengan profile stadium Kelantan itu berwarna merah jambu.

Tinjuan Sinar Online di media sosial mendapati ramai pelayar media sosial 'menyambut' saranan itu dengan mengubah profile dan cover Facebook mereka dengan 'warna merah jambu'.

'Jambu la The Red Warrior (TRW)  pahni (selepas ini)," kata Haikal selepas memberi komen ke atas profile stadium merah jambu yang terpampang di cover Facebook penyokong Kelantan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cat stadium merah jambu antara syarat taja TRW

Terdahulu, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menetapkan dua syarat  kepada Kafa sebelum bersedia menaja badan induk itu.

Menurut Dr Hasmiza atau dikenali sebagai Datuk Vida, antara syarat yang dikenakan ialah Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu untuk menghasilkan satu kelainan kepada penyokong bola sepak Kelantan.


Anggota TLDM disyaki cabul rakan sekerja

Posted: 01 Jan 2016 03:37 PM PST

Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 21 tahun ditahan kerana dipercayai mencabul rakan sekerjanya di bilik stor di Pangkalan TLDM, Lumut, Rabu lalu.

Difahamakn dalam kejadian 10 malam 30 Disember lalu, mangsa yang berusia 30-an sedang bertugas sebelum menyedari pintu bilik itu diketuk suspek yang mengatakan mahu berjumpa dengannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boon Khim berkata, ketika mangsa membuka pintu suspek bertindak menumbuk mangsa di kepala dan menolaknya sehingga terjatuh ke lantai.

"Suspek menindih badan mangsa dan mangsa cuba menjerit meminta tolong namun suspek menutup mulut mangsa dengan tangan.

"Mangsa cuba menyelamatkan diri dan ketika bergelut mangsa mengigit jari dan menolak suspek sebelum melarikan diri," katanya ketika di temui di sini, hari ini.

Menurut Chong, mangsa lebam di kepala akibat terkena almari dan bengkak di kaki kanan dibantu rakan setugasnya selepas memaklumkan kejadian itu dan kemudian membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

Menurutnya, suspek yang masih bujang itu ditahan di dalam pangkalan TLDM dengan bantuan pasukan keselamatan TLDM pada hari yang sama.



CHONG Boon Khim. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Sasar 5 juta pelancong ke Kedah 2016

Posted: 01 Jan 2016 03:34 PM PST


Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Kerajan negeri melancarkan program Discover Kedah atau Jelajahi Kedah 2016, malam ini dengan sasaran lima juta kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun ini.

Pelancaran berkenaan sejajar dengan misi negeri untuk memperkenalkan Kedah sebagai destinasi pelancongan menarik sehingga ke peringkat dunia.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, seramai 3.3 juta pengunjung termasuk 1.2 juta pelancong dari luar negara melawat negeri ini pada 2014 lalu dan berharap berlaku peningkatan positif pada tahun ini menerusi perancangan dilaksanakan.

Menurutnya, terdapat banyak tempat menarik di negeri ini seperti Kompleks Tamadun Kedah Tua, Sungai Batu di Sungai Petani serta Gunung Jerai dengan pemandangan indah, selain Langkawi serta gugusan pulau-pulaunya dan empat pulau di persisiran pantai daerah Yan.

Katanya, Dataran Warisan Alor Setar mempunyai mercu tanda ikonik seperti Masjid Zahir, Muzium Padi berhampiran Gunung Keriang dan kawasan pendalaman Kedah seperti Sungai Sedim Canopy Walk; Air Panas Ulu Legong di Baling, Taman Rimba Ulu Muda serta Pantai Merdeka.

"Pastinya pengalaman melancong di Kedah adalah unik kerana terdapat banyak tempat makan yang sedap pada harga berpatutan seperti Gulai Ikan Temenung Kuala Kedah, Gulai Itik di Yan, Laksa Telok Kechai, Laksa Ikan Sekoq, Mi Abu dan Roti Bakar Teloq Meleleh.

"Manakala, usahawan muda Kedah juga menyediakan pelbagai produk makanan dan barangan jenama tempatan antaranya Hydrofit, Ayaq Sungai Petani, Lubok, Lastick Clothing serta Dadihlicious.

"Saya yakin dengan sokongan maka anak-anak muda ini akan menjadi usahawan berjaya (dalam perniagaan) secara online (dalam talian) dan juga di pasaran terbuka, sekali gus turut memperkenalkan Kedah," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Discover Kedah 2016 di Dataran Menara Alor Setar, di sini, malam ini.

Menurutnya, pelbagai program disusun sepanjang tahun ini untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya, pihaknya turut menganjurkan Karnival Sungai Antarabangsa Diraja Kedah, acara eco-tourism, acara makanan dan diakhiri dengan acara muzik, kraf serta kebudayaan dalam menghangatkan kempen Discover Kedah 2016.



Mukhriz melancarkan program Jelajahi Kedah

Tiada ulasan: