Jumaat, 29 Januari 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Ketua Umno marah Menteri Besar Kedah kena halau hadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno

Posted: 29 Jan 2016 08:11 AM PST

 
MB Kedah, DS Mukhriz Mahathir DIARAHKAN meninggalkan 
mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn. 
Seorang ketua Umno cawangan di Kedah, Mejar Anwar Abd Hamid membidas tindakan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghalau Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.


 Ketua cawangan Badlishah itu mempertikaikan tindakan Umno Pusat melarang Mukhriz yang ketika ini berdepan tentangan daripada menghadiri mesyuarat itu kerana beliau masih menteri besar sah.

 "Kuasa melantik menteri besar terakhir sekali adalah Sultan. Tapi nampaknya masih tidak selesai dan setakat ini masih belum ada pengumuman lagi.

 "Tidak ada, maknanya Mukhriz masih sah mengikut undang-undang adalah menteri besar Kedah," kata Anwar pada sidang media mengulas mengenai insiden apabila Mukhriz diarah keluar dari bilik mesyuarat PWTC. Tindakan yang diperlakukan ke atas Mukhriz itu tidak boleh diterima dan dianggap satu penghinaan kepada rakyat Kedah, kata Anwar.

 "Bolehkah kita terima mereka buat macam ini kepada anak muda macam ini," katanya merujuk kepada Mukhriz.

 Mukhriz mencetuskan kontroversi kerana keluar daripada mesyuarat MT Umno sebelum ianya bermula.

 Mukhriz memberitahu pemberita, beliau diarah keluar Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan tanpa diberikan sebarang alasan.

 "Mereka kata yang hadir tidak dijemput harus beredar.

 "Dan ianya ditunjuk pada saya. Arahan daripada setiausaha agung," kata Mukhriz.

 Kemelut politik Kedah sudah masuk seminggu lebih dan sehingga hari ini Najib masih belum mengumumkan nama baharu menteri besar walaupun sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, dipercayai bagi membincangkan mengenai nama menteri besar baharu. – 29 Januari, 2016. ~ sumber

Mengapa AG sekat SPRM dapatkan penyata bank RM2.6b?

Posted: 29 Jan 2016 01:00 AM PST

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mesti menjelaskan mengapa beliau tidak membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan penyata bank luar negara yang berkaitan dengan sumbangan RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 Ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Lim Chee Wee berkata suruhanjaya itu memerlukan persetujuan Apandi dalam permohonan mereka mendapatkan bantuan undang-undang bersama (MLA) bagi memperolehi dokumen-dokumen berkaitan.

 "Ini akan membantu melupuskan spekulasi cubaan untuk tutup oleh peguam negara dan derma yang didakwa itu adalah kononnya dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP)," katanya kepada Malaysiakini dalam e-mel hari ini.

 Apandi pada Selasa lalu membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung 'derma' RM2.6 bilion dan isu SRC International.

 Menurutnya, oleh kerana tidak ada kesalahan jenayah, maka tidak ada keperluan untuk membuat permintaan bagi mendapatkan MLA untuk tujuan melengkapkan siasatan.

 Apandi juga memerintahkan SPRM untuk menghentikan siasatan.

 Lim bagaimanapun berkata, peguam negara tidak mempunyai hak untuk membuat arahan sedemikian kerana dari segi undang-undang beliau wajib memberi persetujuan dengan permintaan mendapatkan MLA itu.

 "Dari segi undang-undang, AG bersalah untuk mengarahkan SPRM untuk menutup siasatannya. Kuasanya adalah untuk mendakwa.

 "SPRM berhak untuk meneruskan siasatan ke atas 1MDB dan bahawa AG mengikut undang-undang wajib memberi bantuannya bagi mereka mendapatkan MLA," katanya.

 Lim yang juga adalah bekas presiden Majlis Peguam turut menggesa Apandi untuk menjelaskan mengapa beliau membebaskan Najib daripada sebarang pertuduhan.

 Sebagai contoh, penasihat SPRM itu berkata Apandi perlu menjelaskan carta aliran yang dipegang beliau pada sidang akhbar Selasa lalu dan memberikan butir-butir sumbangan yang didakwa telah dipulangkan.

 Lim juga mempertikaikan bahawa keputusan peguam negara itu tidak boleh dicabar.

 "Keputusan peguam negara untuk mendakwa atau tidak boleh dicabar oleh mana-mana pembayar cukai di mana-mana mahkamah atau juga dipersoalkan oleh sesiapa sahaja di mana-mana ruang tamu, bilik mesyuarat, bilik lembaga, atau kedai kopi.

 "AG tidak mempunyai budi bicara mutlak dalam kuasa pendakwaan. Ini adalah kedudukan undang-undang di Malaysia, Singapura dan United Kingdom," katanya.

 Lim memberi jaminan kepada Apandi bahawa beliau akan mendapat sokongan padu daripada rakyat jelata sekiranya beliau berpegang kepada amanah sumpah jawatannya. ~ sumber

Ramkarpal: Masa untuk Najib saman WSJ

Posted: 28 Jan 2016 09:00 PM PST

Ho Kit Yen 
Najib akan dilihat tidak yakin dengan penemuan 
Peguam Negara sekiranya tidak saman WSJ
KUALA LUMPUR: Masanya sudah tiba untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengerakkan tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal (WSJ) memandangkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah melepaskan beliau daripada sebarang salahlaku.

 "Perdana Menteri perlu mengerakkan tindakan undang-undang terhadap WSJ demi kepentingan awam kerana hal itu telah tersebar di peringkat antarabangsa dan telah memberi kesan buruk kepada negara," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan yang diterima FMT. 

 Beliau menjelaskan, Perdana Menteri berpeluang mempamerkan bukti yang menunjukkan beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh Peguam Negara sekiranya menyaman WSJ.

 "Saya tidak nampak sebarang sebab untuk Perdana Menteri tidak mengambil peluang ini, kecuali jika beliau sendiri tidak yakin dengan penemuan Peguam Negara," kata Ramkarpal.

 WSJ melaporkan penyaluran RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib melalui entiti yang mempunyai kaitan dengan 1MDB, pada Julai tahun lalu.

 Perdana Menteri mengancam untuk menyaman WSJ, namun tidak meneruskan tindakan itu atas alasan beliau tidak dikenali ramai di Amerika Syarikat maka ganti rugi yang mungkin diterima adalah kecil.~ sumber

AG dakwa PM akan kena pecat, kata bekas hakim

Posted: 28 Jan 2016 06:00 PM PST

Oleh Zikri Kamarulzaman 
 Tidak ada seorang peguam negara yang berani mendakwa seorang perdana menteri, kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah (gambar sebelah)

 Bercakap secara umum, Mohd Noor yang juga seorang pakar perlembagaan, berkata ini kerana peguam negara yang mengerakkan sebarang tindakan ke atas perdana menteri pasi akan disingkirkan terlebih dahulu.

 "Tidak ada peguam negara akan dakwa perdana menteri kerana beliau boleh bertindak balas dengan menasihati Agong untuk memecat peguam negara," kata Mohd Noor pada satu sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya hari ini.

 Katanya, perlembagaan telah dipinda semasa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri dengan memastikan yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat perdana menteri.

 Kenyataan Mohd Noor itu dibuat dua hari selepas Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku peguam negara mengumumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan didakwa berhubung siasatan kes SRC International dan isu 'derma' RM2.6 bilion. 

 Apandi berkata keputusannya tidak boleh dicabar kerana perlembagaan persekutuan memberikannya budi bicara mutlak berhubung keputusan untuk mendakwa.

 Bagaimanapun, Mohd Nor yang juga adalah penasihat panel SPRM berkata secara peribadi beliau tidak bersetuju bahawa kuasa mendakwa peguam negara adalah mutlak.

 "Sebagai AG kuasa anda tidak mutlak. Anda boleh membuat keputusan, tetapi anda perlu bertanggungjawab kepada orang ramai," katanya.

 Bekas hakim itu berkata peguam negara juga boleh dibawa ke mahkamah jika beliau bertindak dengan niat jahat.

 Bagaimanapun, Mohd Noor percaya Apandi tidak bertindak di luar batasannya dan yakin peguam negara telah mengkaji kertas siasatan SPRM dengan teliti.

 Katanya, Apandi seharusnya membenarkan SPRM untuk meneruskan siasatan sehingga mereka benar-benar boleh menutup kes itu.

 "Apabila beliau mengarahkan kes itu ditutup dan tidak diteruskan, peguam negara melampaui kuasanya sedikit," kata Mohd sambil menambah bahawa tugas peguam negara adalah untuk mendakwa dan bukannya menyiasat. sumber

Tiada ulasan: