Jumaat, 29 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


AHMAD MASLAN TERUS MALANG

Posted: 29 Jan 2016 07:04 AM PST

shahbudindotcom


 
 
 
Kesian dengan Ahmad Maslan, dalam waktu terdekat ini saja sudah  dua kali beliau diturunkan pangkatnya oleh Najib Razak. 

Orang lain membodek dan mengampu dapat naik pangkat, beliau diturunkan pula pangkatnya.

Sebelum ini, beliau diturunkan pangkat sebagai timbalan menteri di kementerian paling senior iaitu kewangan kepada timbalan menteri juga di kementerian perdagangan antarabangsa dan industri, kini jawatannya dalam UMNO sebagai ketua penerangan pula diturunkan kepada ahli MT lantikan saja dengan pengkhususan mengetuai biro IT.

Jawatan Ketua Penerangan UMNO yang disandang oleh Ahmad Maslan sejak Najib menjadi Presiden UMNO bermula 2009 lalu kini diambil alih oleh Annuar Musa, seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.

Jika penurunan pangkatnya sebagai timbalan menteri di kementerian paling senior kepada yang  kurang senior sebelum ini dikaitkan dengan kegagalannya memberi penerangan berkaitan GST sehingga timbul pelbagai kekeliruan dan momokan, barangkali pertukaran jawatan dalam UMNO ini kerana Najib juga tidak puas hati dengan prestasinya dalam memberi penjelasan berkaitan isu-isu semasa dalam negara.

Dengan  mengetuai biro IT yang berperanan dalam hal-hal siber dan digital untuk UMNO, Ahmad Maslan pasti tidak akan banyak bercakap seperti selalu lagi, sebaliknya akan lebih kerap bermain di medium media sosial dan alam maya saja.

Agaknya dalam perkiraan Najib, pointer 3.85 yang dimilikinya tidak cukup sesuai untuk Ahmad Maslan banyak bercakap dan memberi penerangan di sana sini.

Sabarlah Mat...banyak-banyak main Facebook, Twitter, Whatsapp dan Telegram sajalah lepas ini.


Penyokong berhimpun zahir sokongan pada Mukhriz

Posted: 29 Jan 2016 07:02 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Sekumpulan kecil penyokong, dikatakan pro-Mukhriz Mahathir mengadakan protes secara aman di luar pusat khidmat Adun Bakar Bata di Seberang Jalan Putera di sini.
 
Mereka menyuarakan kekecewaan dengan memegang sepanduk dan plakad, membantah tindakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
 
Kumpulan yang mendakwa mereka sebagai penduduk di Pokok Sena itu turut menyuarakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk terus menjadi Menteri Besar.
 
Bantahan yang bermula pada pukul 11.05 pagi itu hanya bertahan kira-kira lima minit.
 
Pada 20 Januari, ketua Umno bahagian dan ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri negeri mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.
 
 

Panel kubah baru masjid Shah Alam RM32 juta, dari Jerman

Posted: 29 Jan 2016 06:56 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kerja menggantikan panel kubah dan jubin yang mempunyai tulisan ayat suci al-Quran di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dijangka siap, hujung tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Mas Abd Rahman Mas Mohamed berkata, pihaknya menjangkakan kontraktor yang dilantik dapat menyiapkan kerja berkenaan sebelum atau pada 5 Dis depan.

"Panel kubah dan jubin kubah masjid ini nanti akan diganti dengan panel jenis 'vitrous enamel' yang diimport dari Jerman.

"Panel jenis ini lebih ringan dan tahan lasak, ia hanya perlu dicuci menggunakan air tanpa perlu menggunakan sebarang cecair kimia," katanya ketika berucap merasmikan kerja-kerja pemasangan panel itu di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Tengku Shahruddin Shah.

Menurut beliau, kerja baik pulih berkenaan menelan kos sebanyak RM32.4 juta dan JKR sudah mengarahkan kontraktor membina tangga serta saluran air di kubah berkenaan bagi memudahkan kerja penyelenggaraan.- Bernama


MTUC, Cuepacs bantah potongan 3% KWSP pekerja

Posted: 29 Jan 2016 06:52 AM PST

Kow Gah Chie


 


Dua kesatuan pekerja terbesar di negara ini tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengurangkan caruman pekerja bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus seperti yang diumumkan dalam semakan Bajet 2016.

Kedua-duanya - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 11.4 juta pekerja swasta dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili 1.6 juta kakitangan awam - menyuarakan kebimbangan mereka berhubung langkah sedemikian.

Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Kishnam berkata pihaknya menentang tindakan secara automatik untuk mengurangkan caruman pekerja-pekerja bermula Mac 2016 hingga Disember 2017.

"Kami akan menulis surat bantahan kepada Perdana Menteri. Dia tidak seharusnya meminta pekerja yang ingin mengekalkan caruman KWSP pada kadar sebanyak 11 peratus untuk membuat permohonan.

"Sebaliknya, beliau perlu meminta mereka yang setuju caruman KWSP dikurangkan sebanyak tiga peratus menjadi lapan peratus untuk mengisi borang," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada ucapan semakan Bajet 2016 semalam, Najib mengumumkan langkah itu sebagai satu daripada 11 langkah utama untuk merangsang ekonomi dan meningkatkan perbelanjaan penggunaan sektor swasta kepada RM8 bilion setahun.

Hidup selesa

Gopal berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan dana persaraan pekerja sebagai sasaran berikutan kebimbangan bahawa ia mungkin tidak cukup bagi mereka untuk hidup selesa selepas bersara.

"Ia adalah satu kesalahan mengikut Akta KWSP yang menetapkan bahawa pekerja perlu menyumbang sekurang-kurangnya 11 peratus daripada pendapatan bulanan mereka," katanya.

Gopal juga mempersoalkan bagaimana pegurangan sekecil tiga peratus boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

"Jika kerajaan mahu membantu golongan berpendapatan pertengahan dan rendah, mereka perlu menggalakkan majikan membayar kos pelarasan sara hidup (Cola) kepada kakitangan mereka.

"Kerajaan mengemukakan idea sama iaitu mengurangkan tiga peratus caruman KWSP pada tahun 2009 tetapi ini tidak diterima secara meluas.

"Mengapa perdana menteri tidak belajar daripada pengalaman itu?" soal Gopal.

Presiden Cuepacs Azih Muda ketika dihubungi berkata pihaknya cukup tidak bersetuju dengan pengurangan tiga peratus caruman KWSP oleh pekerja.

Menurutnya, sebahagian besar rakyat tidak sanggup melihat dana persaraan mereka dikurangkan.

Beliau menggesa orang ramai supaya memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka ingin mengekalkan caruman KWSP mereka pada 11 peratus.

"Saya juga cadangkan kepada kerajaan untuk hanya melaksanakan langkah itu bagi tahun ini.
"Jangan lanjutkannya hingga Disember 2017," katanya.

Tanpa memberikan butirannya, Azih meminta kerajaan dan majikan untuk membantu pekerja apabila langkah itu berkuat kuasa.

Derma RM2.6b jadi hujah bebas bekas pembantu MB

Posted: 29 Jan 2016 06:45 AM PST

Hafiz Yatim


 


Sumbangan politik sebanyak RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digunakan sebagai salah satu hujah untuk memohon pembebasan bekas pembantu kepada Menteri Besar Selangor pada tahun 2008, Mohd Yahya Mat Sahri, di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.

Ia merupakan asas yang pertama kali digunakan di negara ini, berikutan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali Selasa lalu untuk tidak mengenakan pendakwaan terhadap Najib.

Peguam Manjeet Singh Dhillon memberitahu panel tiga hakim bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam hansard parlimen berkata sumbangan politik adalah perkara biasa dan mereka yang menerimanya tidak boleh dikenakan tindakan.
"Dalam kes kami melibatkan Mohd Yahya Mat Sahri, pembantu politik kepada menteri besar Selangor, sumbangan politik diperolehi untuk meraikan 100 hari (Pakatan Rakyat) memerintah pada tahun 2008, di mana penderma telah dikenalpasti, penerima parti politik telah dikenal pasti (PKR) dan penderma itu memberikannya secara rela dan memberi keterangan tiada penipuan dan kekeliruan, dan parti politik itu menyediakan akaun yang telah diaudit.
"Wang itu tidak pernah digunakan, tidak walau sesen oleh pelanggan saya," kata Manjeet, bekas presiden Majlis Peguam merujuk kepada derma RM50,000.
Beliau bertanya apakah jenayah yang dikatakan dilakukan oleh pelanggannya Mohd Sahri, di mana penderma yang merupakan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Datuk Abdul Karim Munisar memberi keterangan bahawa dia tidak ditipu dalam pemberian RM50,000 bagi meraikan 100 hari pemerintahan pembangkang.

Mohd Yahya disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan rotan kerana dikatakan menipu Abdul Karim.
Bekas pembantu kepada menteri besar terdahulu, Tan Sri Khalid Ibrahim itu pertama kali dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Oktober 2013.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menangguhkan keputusan hari ini kepada Mac. Ini merupakan peluang terakhir bagi Mohd Yahya untuk membuat rayuan.

Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno

Posted: 29 Jan 2016 06:34 AM PST

SINAR HARIAN


Annuar Musa
Annuar Musa


KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan Umno yang baharu, menggantikan Datuk Ahmad Maslan. 

Beliau berkata Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian, akan memegang portfolio baharu sebagai Pengerusi Biro Teknologi Maklumat parti.

Najib yang juga Perdana Menteri, turut mengumumkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Anggota Parlimen Baling) sebagai Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keanggotaan parti dan Datuk Johari Abdul Ghani (Anggota Parlimen Titiwangsa) sebagai Pengerusi Biro Ekonomi. 

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Anggota Parlimen Kepala Batas) pula menjadi Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara Umno, kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.  

Selain itu, beliau berkata Datuk Mohd Razali Ibrahim (Anggota Parlimen Muar) menerajui Biro Institusi Pengajian Tinggi Swasta manakala Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Anggota Parlimen Lenggong) pula menjadi Pengerusi Biro Kebajikan.

Najib seterusnya berkata Majlis Tertinggi Umno turut berbincang mengenai perkara seperti tarikh persidangan tahunan Umno peringkat cawangan dan peringkat bahagian bagi tahun ini, serta sambutan Ulang Tahun Umno ke-70 pada 11 Mei ini.

"Kita telah memutuskan persidangan tahunan untuk cawangan-cawangan parti akan bermula 18 Mac 2016 hingga 1 Mei 2016, (manakala) mesyuarat perwakilan bahagian pada 1 Ogos sehingga 15 September.

"Kita juga berbincang tentang sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-70 ... acara sambutan ini akan kita beri butirannya secara lebih lanjut lagi sebab tempat cadangan asal (iaitu) Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh digunakan kerana sedang dibangunkan semula," katanya.

Beliau berkata antara program yang dirancang bersempena sambutan itu ialah larian bendera dan karnival sukan, dan ia akan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Annuar, ketika ditemui pemberita, berkata beliau berterima kasih kepada presiden kerana mengamanahkan kepadanya tugas yang besar dalam Umno.

"Saya sedar jawatan ini berat tanggungjawabnya ... saya perlukan kerjasama semua pihak dalam Umno sama ada pengerusi-pengerusi perhubungan, sayap-sayap mahupun anggota parti," katanya. - Bernama


Empat universiti kaji impak bencana alam

Posted: 29 Jan 2016 06:32 AM PST

SINAR HARIAN


Bencana Alam
Levelyn Alcoriza meninggalkan kediamannya selepas rumahnya terlibat dalam banjir di utara Manila, Filipina. - Foto AFP


KUALA LUMPUR - Kumpulan dari empat universiti iaitu Universiti Teknologi Mara, Asia-Pacific University, KDU University College (Pulau Pinang) dan Universiti Kuala Lumpur sedang mengusahakan penyelesaian untuk membantu mengurangkan impak akibat bencana alam atau membina semula infrastruktur di kawasan padat selepas bencana.

Mereka menyertai program Rebuild It Green (RIG), pertandingan berkaitan pembinaan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebagai sebahagian daripada perayaan menyambut ulang tahun ke-20.

CIDB berkata, dalam satu kenyataan bahawa pelajar dikehendaki menghasilkan kaedah penyelesaian yang praktikal atau komersial untuk mengurangkan atau menangani impak bencana alam, sama ada sebelum bencana atau selepas bencana melanda.

Pertandingan ini dilancarkan pada November tahun lalu dan akan berlangsung sehingga pertengahan April tahun ini.

Ia kini dalam fasa mentor, dengan pasukan dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah pun mengunjungi dua daripada kumpulan universiti, untuk memberi tunjuk ajar mengenai kaedah antarabangsa untuk merancang dan melaksanakan projek untuk produktiviti maksimum. - Bernama


Isu TH: 'Hanya saya dan Jamil Khir dapat surat itu'

Posted: 29 Jan 2016 06:26 AM PST

SINAR HARIAN


Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
 
 
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat laporan polis berhubung kebocoran kandungan surat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan kewangan yang dibocorkan kepada umum, ujar Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

"Hanya saya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dapat (surat itu). Macam mana surat itu boleh keluar?

"Jadi, kita akan lihat hasil siasatan polis, siapa yang mengeluarkan surat itu," katanya Pengerusi TH itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

TH menjadi topik hangat di media sosial kebelakangan ini mengenai tarikh pembayaran bonus pendeposit dan surat Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan rizab.

[ARTIKEL BERKAITAN: TH mampu bayar dividen yang 'memberangsangkan']

Beliau berkata tindakan BNM itu tidak salah dan tidak sepatutnya timbul sebarang isu mengenainya.
Katanya isi kandungan surat tersebut lebih kepada BNM memberi peringatan kepada TH, sama seperti yang dilakukan kepada institusi kewangan lain di bawah pemantauan BNM.

"Beliau (Zeti) memberi pandangan dan nasihat supaya menjaga keuntungan demi masa hadapan. Bukan kata TH kerugian atau kehilangan duit. Tindakan mereka tidak salah.

"Yang salah adalah dalang yang mengeluarkan surat tersebut dan memutarbelitkan (fakta yang tidak sepatutnya). Orang itu yang kita akan ambil tindakan, tidak kira siapapun dia," tegasnya. - Bernama

Potong biasiswa tapi biarkan skandal rasuah berleluasa

Posted: 29 Jan 2016 06:22 AM PST

zairil2 jpa

Roketkini.com


KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia tidak dapat menerima pemotongan peruntukan program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika gejala rasuah dan skandal kewangan pemimpin utama kerajaan menjadi-jadi.

Sepatutnya, Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari , berkata Kerajaan UMNO BN mengurangkan ketirisan dan skandal kewangan, bukannya memotong peruntukan empat program biasiswa JPA antara 20 hingga 60 peratus.

"Berpuluh-puluh bilion ringgit dibazirkan melalui skandal kewangan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Zon Bebas Pelabuhan Klang, Forex Bank Negara dan lain-lain.

"Mengikut laporan badan pemerhati kewangan, Global Financial Integrity terbitan bulan lalu, Malaysia kehilangan USD48.25 bilion pada 2013 melalui aliran keluar wang haram berpunca dari pengelakan cukai, jenayah, rasuah dan aktiviti haram lain.

"Dengan memperkenal dasar perolehan lebih telus seperti tender terbuka, merombak monopoli tidak kompetitif dan mengurangkan amalan mencari sewa, simpanan kira-kira RM30 bilion atau lebih 10 peratus Bajet 2016 boleh dicapai," katanya.

Beliau mengulas pemotongan peruntukan 20 hingga 60 peratus bagi empat program biasiswa iaitu program Biasiswa Nasional, program Khas Kejuruteraan, program Lepasan Bursari dan program Ijazah Pertama dalam Negara yang dibentang Perdana Menteri, semalam.

Program Biasiswa Nasional untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik dipotong daripada 50 kepada 20 orang, pemotongan 60 peratus dan program Khas Kejuruteraan dari 300 kepada 200 orang, iaitu pemotongan 33 peratus.

Selain itu, lebih 250 pelajar program Lepasan Bursari dan lebih 2,000 pelajar program Ijazah Pertama Dalam Negara akan 'dikorbankan' kerana peruntukan dikurangkan, masing-masing mengalami pemotongan antara 25 peratus dan 21 peratus.

"DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan memotong peruntukan biasiswa kerana ia mengorbankan masa depan anak muda.

"Apabila RM500 juta boleh dibayar sebagai 'komisen' bagi pembelian kapal selam dan RM250 juta pinjaman mudah diberi atas dasar kronisme, ia mempersenda lebih 2,000 anak muda dengan potensi besar yang bekerja keras tapi dinafi peluang melanjutkan pelajaran," katanya.

Selain mengurangkan amalan ketirisan dan skandal kewangan, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, banyak program boleh dimansuh antaranya Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara (BTN), TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). -Roketkini.com


Keputusan Apandi bebas Najib, apa pendirian Hadi?

Posted: 29 Jan 2016 06:18 AM PST

hadi awang apandi


Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoal pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari skandal kewangannya.

Katanya, soalan itu relevan ekoran Hadi satu-satunya pemimpin pembangkang yang memberi sokongan tidak terhingga kepada Najib sebelum ini, malah mendapat pujian Najib kerana menyebelahinya berhubung skandal derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International.

"Bagi menyelesaikan isu itu, tindakan berani kedua-dua komuniti politik dan undang-undang atau kehakiman diperlukan, justeru penting mengetahui sama ada Hadi menyokong keputusan Apandi.

"Kita juga mahu tahu pendirian Hadi sama ada menyokong Peguam Negara ada 'kuasa diktator' bagi menjalankan 'budi bicara mutlak' melepaskan Najib dari sebarang salah laku atau tidak," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas kenyataan Apandi yang mengisytihar tindakan mempersoal keputusan Peguam Negara bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana panel ditubuhkan bagi tujuan itu menyalahi undang-undang.

Menentang keras kenyataan Apandi, beliau berkata, ia berlawanan dengan prinsip undang-undang asas yang diucap Pemangku Ketua Hakim Malaya ketika itu, Raja Azlan Shah dalam kes Sri Lempah tahun 1979 iaitu:

"Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang, jika tidak akan menyebabkan pemerintahan diktator. Secara khususnya, ia adalah satu keperluan ketat yang mengikut budi bicara yang perlu dilaksanakan untuk tujuan yang betul, dan ia tidak boleh dijalankan secara tidak munasabah. Dalam erti kata lain, setiap budi bicara tidak boleh bebas dari kekangan undang-undang; dan jika ia salah dilaksanakan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk campur tangan."

Kata Kit Siang, sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang mendapat perhatian serius pelbagai pihak dalam negara mahupun masyarakat antarabangsa membabitkan tujuh negara yang mahu siasatan bebas dibuat ke atas Najib berikutan keputusan Apandi itu.

"Adakah Malaysia ada dua diktator – Perdana Menteri hasil dari Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara dan Peguam Negara yang mendakwa ada 'budi bicara mutlak' ala-Apandi?" katanya pada kenyataan media, hari ini.

Namun, Kit Siang berkata masih ada harapan buat rakyat apabila beberapa bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan, juga pakar undang-undang utama dan peguam di Malaysia, bersedia mencabar doktrin 'jijik' yang dibawa Apandi.

Katanya, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan bersetuju tidak wujud kuasa mutlak dalam sistem demokrasi dan budi bicara Peguam Negara perlu dijalankan secara munasabah selepas mengambil kira seluruh faktor. -Roketkini.com


Salih Yaakob cerai isteri kedua

Posted: 29 Jan 2016 06:11 AM PST

 
Salih memujuk bekas isterinya tetapi tidak berjaya dan penceraian adalah jalan terakhir untuk kebaikan semua pihak. 


Salih-Yaakob_cerai


PETALING JAYA: Selebriti Salih Yaakob yang mempunyai empat isteri, mendedahkan beliau telahpun menceraikan isteri keduanya, Nor Raha Hamad, selepas sambutan Aidilfitri tahun lalu.

Sebuah portal hiburan melaporkan, Salih telah memujuk isterinya tetapi tidak berjaya dan penceraian adalah jalan terakhir untuk kebaikan semua pihak.

"Sebagai suami dan ketua rumah tangga saya sudah berusaha memperbaiki keadaan. Saya memujuk dan mengingatkannya yang anak sudah besar dan dia sepatutnya menunjukkan contoh serta teladan yang baik kepada mereka.

"Namun dia tetap mendesak saya untuk menceraikannya dengan menggunakan alasan saya tidak berlaku adil terhadapnya. Saya sudah menasihatinya, tetapi dia enggan terima dan terus mendesak saya melepaskannya. Lebih baik saya turutkan saja kemahuannya daripada keadaan menjadi semakin buruk," kata Salih.

Penyampai radio di Sinar FM itu mengakui, penceraian mereka berpunca daripada orang ketiga selepas bekas isterinya itu menghadiri perjumpaan semula rakan sekolah.

"Kalau hatinya sudah tertutup untuk saya, tidak perlulah dipaksa-paksa lagi. Apabila perkara ini terjadi, saya anggap hanya setakat itu jodoh kami. Tidak perlulah terus menyalahkan antara satu sama lain. Saya harap dia bahagia dengan jalan baru yang dipilihnya dan apa yang penting anak-anak dapat menerima apa yang berlaku," katanya.

Salih dan bekas isterinya itu telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun dan dikurniakan lima anak berusia 22 hingga 13 tahun dan seorang cucu.

Sementara itu, tiga lagi isterinya iaitu Norlizah Mamat, 51, Norfara Wahida Sulaiman, 37, dan Samihah Syeikh Ali, 29, masih kekal bersamanya dan daripada keempat-empat perkahwinannya, Salih dikurniakan 13 anak.

TM batal rancangan kenakan caj RM5 untuk bil bercetak

Posted: 29 Jan 2016 06:08 AM PST

 
Ia diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).


mohamed_tm_600


PETALING JAYA: Telekom Malaysia (TM) bersetuju membatalkan rancangan mengenakan caj RM5 terhadap bil bercetaknya kepada pelanggan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang CAP, SM Mohamed Idris berkata, keputusan itu dibuat selepas TM mengadakan perbincangan dengan pihaknya.

Menurutnya, perkara itu disahkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Dalam satu perbincangan dengan CAP, TM berkata, ia sedang menimbang semula kaedah penghantaran bil kepada pelanggannya. Dan SKMM dan Kementerian mengesahkan TM telah mengubah suai terma-terma bagi caj bil bercetaknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, caj baru bil bercetak mulai Januari 2016 adalah; bil bercetak bagi pelanggan Streamyx dan Unifi sahaja, manakala bagi pelanggan yang ingin mendapatkan bil bercetak, TM telah mengurangkan yuran sebanyak RM2 untuk kos percetakan.

Pelanggan telefon talian tetap yang tidak melanggan dengan mana-mana perkhidmatan jalur lebar akan terus menerima bil bercetak secara percuma, katanya.

"Pengguna kini boleh memilih bagaimana mereka mahu menerima bil TM masing-masing," Ujarnya lagi.

Hujung tahun lalu, TM merancang untuk mengenakan caj RM5 untuk bil bercetak kepada pelanggan jalur lebar bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan memilih bil elektronik.



Ahmad Maslan jeneral perang siber baharu

Posted: 29 Jan 2016 06:06 AM PST

 
Penyusunan semula struktur MT UMNO melibatkan perlantikan 7 pengerusi baharu


ahmad2


KUALA LUMPUR: Awas penentang kerajaan, kerana Datuk Ahmad Maslan kini jeneral perang siber UMNO yang baharu.

Perlantikan Ahmad Maslan itu merupakan salah satu daripada penyusunan semula struktur Majlis Tertinggi UMNO, yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak seusai Mesyuarat (MT) UMNO, petang tadi, di ibu negara.

"Datuk Seri Ahmad Maslan dilantik MT memegang Biro Teknologi Maklumat, (manakala) Ketua Penerangan UMNO baharu saya lantik Tan Sri Annuar Musa," kata Najib dalam sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penyusunan semula MT 60 anggota itu bertujuan untuk memperkukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ahmad melalui Twitter berikrar akan memikul tanggungjawab itu dengan sehabis baik.

"Saya berjanji akan memberi khidmat terbaik melalui jawatan baru yang sangat mencabar. Media sosial sangat penting dalam perjuangan UMNO kini," kata Ahmad.

Sementara itu, ketika ditemui FMT di perkarangan PWTC, Annuar berkata beliau akan mengumumkan beberapa langkah kepada media selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri dan Ahmad.

"Saya terkejut dengan pengumuman ini. Saya akan cuba untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin," kata Annuar.

Sementara itu, perlantikan lain termasuk Datuk Sri Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian; Datuk Johari Abdul Ghani selaku Pengerusi Biro Ekonomi; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selaku Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara; Datuk Razali Ibrahim selaku Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta, dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah selaku Pengerusi Biro Kebajikan.

Orang Thailand, penyokong PAS solat hajat untuk Mukhriz

Posted: 29 Jan 2016 06:03 AM PST

 
Keperibadian Mukhriz yang mesra rakyat dan suka membantu membuatkan rakyat Kedah sayangkan beliau.


mukhriz-malaysia-thailand-pas


ALOR SETAR: Rakyat Thailand yang tinggal di sempadan Malaysia- Thailand dikatakan turut mengadakan solat hajat memohon Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikekalkan sebagai Menteri Besar Kedah.

Begitu juga dengan penyokong-penyokong PAS yang dikatakan mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing mendoakan Mukhriz tidak digantikan.

"Ini semua kerana sepanjang Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah, beliau membantu semua orang termasuk parti pembangkang seperti PAS," kata seorang rakyat Kedah, Norwani kepada FMT.

Kakitangan sebuah hotel di tengah-tengah bandaraya ini berkata, keperibadian Mukhriz yang mesra rakyat dan tidak lokek untuk memberi bantuan kepada masyarakat luar bandar membuatkan beliau disenangi.

"Mukhriz juga sering memberi bantuan menggunakan gaji dan elaun Menteri Besarnya sendiri kepada rumah-rumah pondok dan tahfiz di kawasan luar bandar di Kedah.

"Mukhriz disukai sehinggakan di kawasan Sik yang merupakan kubu kuat PAS di Kedah membenarkan Mukhriz masuk. Dahulunya orang Barisan Nasional (BN) tidak dibenarkan masuk ke dalam Sik. Tetapi Mukhriz dibenarkan masuk kerana mereka suka Mukhriz," katanya.

Mohd Saidi, 45, yang bekerja sebagai pembantu restoran berkata, Mukhriz memberi banyak sumbangan dalam bidang sukan di negeri itu.

"Pemuda suka sebab beliau sering mengikuti anak muda main bola pergi ikut sama ke padang dan sorak sama-sama. Kalau ada kekurangan beliau akan bantu.

"Beliau suka berkawan. Saya sedih kerana tidak sempat lihat Mukhriz bangunkan Kedah," katanya.

Pesara kerajaan yang hanya mahu dikenali Pak Cik Arif berkata, sumbangan terbesar Mukhriz dalam bidang sukan apabila melonjak status pasukan bola sepak Kedah.

"Bola sepak pasukan Kedah yang dulunya telah jatuh ke Liga Perdana kini naik ke Liga Super dan sehingga jadi Naib Juara Piala Malaysia pada tahun lepas.

"Ini mungkin berkat usaha dan cara kepimpinannya yang berkesan, Alhamdulilah," katanya.

Sementara itu, Shariff Mohamad berkata, dia menyokong penuh kepimpinan Mukhriz walaupun tidak memihak atau menyokong mana-mana parti.

Dia juga tidak menolak penyingkiran Mukhriz ini dengan masalah dalaman yang berlaku dalam politik Malaysia.

"Kenapa perlu ditukar pemimpin yang baik kepada semua orang. Penyingkiran Mukhriz ini satu penghinaan kepadanya," katanya.

KKM ambil langkah cegah virus Zika

Posted: 29 Jan 2016 06:01 AM PST

 
Lima langkah pencegahan dan berjaga dicadangkan


zika-virus


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengambil langkah mencegah virus Zika merebak ke negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini berkata Kementerian Kesihatan mencadangkan lima langkah membendung virus Amerika Selatan itu.

"Semua pelawat dari benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik hendaklah melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran semasa tiba di Malaysia.

"Di samping itu, pemantauan bagi kes "microcephaly" juga ditingkatkan di hospital-hospital," katanya, dan menambah nasihat kesihatan (health advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil juga akan diedarkan.

Setakat ini tiada tanda-tanda Zika dikesan di negara ini.

"Daripada pemantauan berterusan oleh KKM, sebanyak 288 sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan telah diuji dan keputusannya semua adalah negatif untuk virus Zika," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus memerangi nyamuk pembunuh dan menggesa orang-ramai untuk menghapuskan mana-mana kawasan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes," katanya.

Kedah : MB baharu angkat sumpah Isnin ?

Posted: 29 Jan 2016 05:54 AM PST


DETIK DAILY
 



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mendapatkan mandat Istana Kedah untuk
menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar, lapor Mstar Online.

Sumber memberitahu portal itu, persetujuan Jemaah Pemangku Sultan Kedah menerima kedatangan Najib hari ini bermakna usaha untuk menggantikan Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

"Pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah perlu untuk mendapat perkenan bagi melantik menteri besar yang baharu," kata sumber berkenaan kepada Mstar Online.


Sumber itu turut memaklumkan kepada portal itu, Najib sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik menteri besar Kedah yang baharu ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Rabu.

Minggu lalu, Mukhriz menerima tekanan daripada Adun dan Ahli Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah.

Pagi ini, Najib menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Kuala Lumpur.

Kunjungan terhadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah adalah untuk mempersembahkan senarai calon menteri besar Kedah yang baharu bagi menggantikan anak kepada perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mstar Online, difahamkan semua 3 ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berada di ibu negara untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Sultan Kedah.

Tiga ahli jemaah berkenaan ialah pengerusinya, Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah, Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz .

Menurut Mstar Online, sumber itu memberitahu, Ahmad yang juga senator dan timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan adalah calon bagi menduduki kerusi menteri besar Kedah.

Selain Ahmad, seorang lagi pemimpin Umno yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu ialah exco negeri yang juga Adun Guar Chempedak Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, 63.

Ku Rahman berkelulusan iIjazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains dari Universiti Loughborough, United Kingdom.

Menurut sumber itu, jika ahli jemaah bersetuju dengan calon yang dikemukakan, difahamkan majlis angkat sumpah jawatan menteri besar yang baharu akan berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah pada Isnin.

1.6 Juta Kakitangan Awam, 10 Ribu Pekerja Kontrak Kerajaan Tidak Diberhentikan. Malah Naik Gaji Lagi!

Posted: 29 Jan 2016 01:00 AM PST

1.6 Juta Kakitangan Awam, 10 Ribu Pekerja Kontrak Kerajaan Tidak Diberhentikan. Malah Naik Gaji Lagi!


pekerja kontrak kerajaan


Terima kasih kepada bantuan daripada rakyat termasuk ibu bapa, golongan pencen, kanak-kanak, pelajar, mahasiswa, kakitangan awam, pekerja swasta yang membayar cukai 6 peratus setiap kali anda semua membelanja.

Jikalau tidak, jikalau tidak sudah pastinya kalangan penjawat awam masih ada kerja, kakitangan awam yang berstatus kontrak tidak terkesan dengan gelombang ekonomi Malaysia hari ini.
Secara statistik, Malaysia hari ini ada sejumlah 1.6 juta kakitangan awam dan 10,000 pekerja kontrak kerajaan. Terbaru, Najib Razak mengatakan :
  • "GST bukan untuk menyusahkan rakyat, GST adalah penyelamat kepada rakyat Malaysia.
  • "Dengan keadaan harga minyak jatuh AS$30 setong, Malaysia masih mampu mengekalkan semua penjawat awam.
  • "Tidak ada seorang pun kita hentikan termasuk pegawai-pegawai lantikan kontrak (pekerja kontrak kerajaan)," katanya
Sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah nafikan laporan berita dan desas-desus kononnya elaun penjawat awam bakal dipotong, pekerja kontrak kerajaan diberhentikan, kena potong gaji dan juga kenaikan pangkat kakitangan awam dimansuhkan. Macam-macam.

Terkini, Perdana Menteri telah menjelaskan dalam pengumumannya di dalam siri pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 Malaysia dengan mengatakan :

 

Pengumuman Pengubahsuain Bajet 2016 : Pekerja Kontrak Kerajaan?

 

  1. Kakitangan tetap kerajaan tidak terkesan dengen ketidaktentuan ekonomi Malaysia hari ini
  2. Pekerja kontrak kerajaan tidak akan berhadapan dengan kemungkinan diberhentikan atau tidak disambung kontraknya
  3. Ketiga, kenaikan gaji tahunan KGT bagi bulan Julai 2016 sepertimana diumumkan dalam Bajet 2016 akan kekal seperti biasa. Itu jaminan Najib Razak
Alhamdulillah.

P/S : Adakah dengan umumkan naik kadar peratus GST akan ada lebih banyak peluang pekerjaan dalam kumpulan kakitangan kerajaan di masa akan datang?

PP/S : Jangan salahkan peniaga naikkan harga barang. Anda buat satu dasar untuk perkenalkan cukai GST 6 peratus, anda mesti bertanggungjawab untuk menguruskannya, mengawalnya, dan menguatkuasakannya. Jikalau anda tiada keupayaan mengawalnya, usah menyalahkan orang lain atas kekhilafan sendiri.

PPP/S : Pada masa negara kita dilimpahi kemakmuran eknomi, kita kurang berjimat, boros. Pada masa kita berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa. Kemudian sekarang, kita perlu berterima kasih kepada pelaksanaan GST 6 peratus? Patutkah?

PPPP/S : Kenyataan pelaksanaan 6 peratus bagi cukai GST telah menyelamatkan jawatan kakitangan awam tetap dan penjawat kontrak kerajaan, tidak patut dikeluarkan daripada mulut seorang yang bergelar Perdana Menteri. Memalukan…

PPPP/S : Tahun 90 dahulu harga minyak dunia sekitar 30 dolar juga, kerajaan Malaysia masih mampu bayar gaji tanpa sebarang rungutan? Siap ada subsidi pelbagai lagi, GST pun tiada. Ermmmm….


Guru maut disambar petir

Posted: 29 Jan 2016 12:55 AM PST

NORAIZURA AHMAD

 

mayat-m1-600x360
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian mangsa dalam keadaan basah kerana hujan lebat dan memegang bidai tembaga sebelum berlakunya petir. Foto hiasan TRP 


SHAH ALAM,  Seorang guru lelaki maut selepas disambar petir di sebuah sekolah menengah di Seksyen 11, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa, Mohd Farhan Masudi, 32 dikatakan berteduh bersama lima guru lain di kawasan dewan sekolah selepas menjalani aktiviti di padang sekolah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika kejadian mangsa dalam keadaan basah kerana hujan lebat dan memegang bidai tembaga sebelum berlakunya petir.

Menurutnya, mangsa terkena renjatan eletrik dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

"Dua rakan mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang cuba membantu turut terkena renjatan elektrik dan pengsan di tempat kejadian.

"Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan sebelum Mohd Farhan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dua rakan mangsa kini dilaporkan stabil.

Shafien berkata, mangsa yang mengajar di sebuah sekolah di Tanjung Karang itu hadir ke sekolah berkenaan bagi menghadiri kursus kejurulatihan bola sepak yang turut disertai 40 orang guru dari seluruh negeri Selangor.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mukhriz diminta keluar mesyuarat MT Umno

Posted: 29 Jan 2016 12:50 AM PST

SM AMIN

 

mukhriz
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata arahan tersebut dikeluarkan Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan merujuk kepada beliau. - Foto TRP/Adib Hakim


KUALA LUMPUR,  Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno yang tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat pada hari ini diminta beredar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata arahan tersebut dikeluarkan Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan merujuk kepada beliau.

"Mereka yang turut hadir yang tidak dijemput hadir diarah keluar.

"Ia merujuk kepada saya. Arahan daripada Setiausaha Agong," kata Mukhriz sebelum beredar meninggal ibu pejabat Umno, Menara Datuk Onn di sini pada 4 petang.

Mukhriz tiba pada 3.05 petang untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat sebelum diminta beredar dari mesyuarat.

PKR kekal tahaluf siyasi dengan Pas, kukuh hubungan dalam PH

Posted: 29 Jan 2016 12:48 AM PST

ADNAN MOHAMAD

 

azmin
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini dapat memberi ruang cukup baik bagi parti itu dalam hubungan antara parti politik yang berpegang kepada semangat agenda reformasi untuk bawa perubahan dalam sistem pemerintahan negara. - Foto TRP


KOTA BHARU,  PKR bertegas mahu mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan dalam masa yang sama mengekalkan tahaluf siyasi dengan Pas.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini dapat memberi ruang cukup baik bagi parti itu dalam hubungan antara parti politik yang berpegang kepada semangat agenda reformasi untuk bawa perubahan dalam sistem pemerintahan negara.

"Saya ingin tegaskan kita ingin kukuhkan hubungan dengan parti dalam PH iaitu DAP dan Amanah.
"Pada masa sama mengekalkan kerjasama dalam PR bersama Pas," katanya ditemui media selepas Majlis Amanat Pimpinan Pusat di sini hari ini.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Azmin berkata pihaknya ada melakukan perbincangan dengan Pas dan difahamkan sudah ada satu kata muafakat sudah dipersetujui.

"Kita harus mengetahui hakikat pada PRN lalu Pas bertanding enam kerusi dan pertemuan itu kita telah membincangkan kedudukan kerusi yang akan dipersetujui secara bersama.

"Dan sudah tentu kita perlu berbincang dengan PH kerana prinsip kita kekalkan prinsip 'satu lawan satu' pada PRU akan datang," katanya.

Menurutnya semua pertindihan perlu diselesaikan dan harap dapat diselesaikan lebh awal sebab persediaan perlu dibuat kerana khususnya Sarawak sebuah negeri yang luas.

Bagaimanapun, katanya, seperti mana PRU lalu, rundingan mengambil masa tetapi diyakini dengan kebijaksanaan semua parti politik yang ada ianya dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kita sudah berbincang beberapa kali tetapi belum dimuktamadkan lagi dan. Kita akan memaklumkan apabila tiba masa yang sesuai," katanya yang dijadual berangkat ke Sarawak bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, esok.

Cuaca panas akibat El Nino dijangka hingga Mac ini

Posted: 29 Jan 2016 12:45 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang melanda negara sejak awal Januari ini dijangka berterusan sehingga Mac ini berikutan fenomena El Nino, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail.
 
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai diminta supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan banyakkan meminum air bagi mengelakkan hidrasi.
 
Fenomena El Nino itu juga telah menyebabkan negara tidak dilanda banjir besar semasa musim tengkujuh baru-baru ini seperti mana musim tengkujuh sebelum ini, katanya kepada Bernama di sini.
 
Pada kebiasaannya, keadaan cuaca pada bulan Disember adalah lebih lembap, namun aktiviti monsun yang membawa luruan udara sejuk dari benua China dan Siberia berkurangan menyebabkan kurangnya curahan hujan di negara ini, katanya.
 
"Keadaan itu mengakibatkan kebanyakan kawasan mengalami kekurangan hujan di antara 20 hingga 60 peratus dan cuaca menjadi panas dan kering dengan peningkatan paras suhu udara sebanyak 0.5 ke 2.0 darjah Celsius," katanya.
 
Lazimnya, pada musim tengkujuh, kawasan pantai timur Semenanjung, Sarawak Barat dan pantai timur laut Sabah akan mengalami hujan lebat mulai November hingga Januari setiap tahun.
 
Menurut rekod jabatan itu bagi taburan hujan Disember tahun lepas, kawasan pedalaman Pahang, Negeri Sembilan, selatan dan barat Perak, utara Kedah dan Perlis telah merekodkan jumlah hujan kurang daripada 200 milimeter.
 
Kawasan pantai timur juga telah mencatatkan lebih daripada 20 peratus pengurangan jumlah hujan.
 
 

236 pelancong dihalang masuk Sabah

Posted: 29 Jan 2016 12:44 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah telah menolak kemasukan 236 pelancong asing ke negeri ini sepanjang tahun lepas.
 
Pengarahnya Musa Sulaiman berkata tindakan itu dibuat apabila pelancong terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelancong tulen.
 
"Jabatan tidak teragak-agak untuk menghalang kemasukan pelawat yang dipercayai mengancam keselamatan atau menggugat keharmonian negeri Sabah.
 
"Dalam usaha menjamin tahap keselamatan tinggi, para pegawai Imigresen di pintu-pintu masuk telah diarahkan untuk melaksanakan pemeriksaan lebih teliti terhadap penumpang yang masuk dan keluar dari negeri ini," katanya pada sidang akhbar mengenai pencapaian jabatan itu sepanjang tahun lepas di sini, Jumaat.
 
Musa berkata jabatan tersebut juga telah mewajibkan pemeriksaan biometrik terhadap semua pelawat, manakala sistem senarai semak penumpang sentiasa dikemaskini.
 
Beliau turut memberitahu jabatan itu telah menahan seramai 18,874 pendatang asing tanpa izin (PATI) tahun lepas menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 
"Di samping itu, kita juga telah menghantar pulang seramai 27,769 tahanan (termasuk yang berada di pusat-pusat tahanan sementara pada tahun sebelumnya) melibatkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan, India dan China," katanya.
 
Musa turut mengumumkan waktu operasi di Pos Kawalan Imigresen Sindumin, Sabah dan Merapok, Sarawak dilanjutkan dari 6 pagi hingga 10 malam kepada 6 pagi hingga 12 tengah malam mulai 1 Feb ini.
 
"Perlanjutan waktu operasi ini diharapkan dapat meningkatkan kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat, khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.
 
Ketika ditanya mengenai Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 semalam, Musa berkata Jabatan Imigresen Sabah akan meneliti kaedah bersesuaian dalam membantu industri menggaji pekerja asing.
 
"Jabatan juga telah beberapa kali menjalankan program pemberian permit kerja sah kepada PATI yang bekerja di Sabah sebelum ini

Pelajar Malaysia maut kemalangan di India

Posted: 29 Jan 2016 12:31 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perubatan Malaysia maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Chitradurga, Karnataka, India pada Rabu malam.
 
Menurut Kementerian Luar Negeri, pelajar berkenaan K. Uthaya Kumar, 23, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga.
 
Kejadian antara 11 hingga 12 malam itu berlaku kira-kira 600 kilometer barat dari Chennai, kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
 
"Pegawai Konsular dan Pegawai JPA dari Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai dalam perjalanan ke hospital berkenaan untuk melawat dan menguruskan mayat , kata kenyataan itu.
 
Kementerian Luar Negeri dan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Uthaya serta menyatakan pihaknya bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada keluarga mendiang.
 
 

Malaysia tak akan lupa

Posted: 29 Jan 2016 12:24 AM PST

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman


 


Malaysia tak akan lupa
Malaysia tak akan lupa
Malaysia tak akan lupa
Kala perwira perwiranya disingkirkan
Malaysia tak akan lupa
Kala PAC dibubarkan
Malaysia tak akan lupa
Kala siasatan dicampurtangan orang berkepentingan
Malaysia tak akan lupa
Kala intelek rakyat dikerdilkan
Malaysia tak akan lupa
Kala politik wang diutamakan, rakyat diketepikan
Malaysia tak akan lupa
Kala rakyat ditindas, diperkecilkan, disenyapkan,
Mulut dikunci, tangan digari
Malaysia tak akan lupa
Kala nasihat Gabenor Bank Negara tidak diendahkan
Malaysia tak akan lupa
Kala saranan Badan Anti Rasuah tidak diacuhkan
Malaysia tak akan lupa
Peristiwa itu menakung air mata rakyat, suatu sejarah dalam rekaan; belum berakhir penceritaan. Dugaan apa lagi perlu kami tanggung? Derita banyak mana lagi perlu kami pikul?
Sampai bila perlu kita diam sahaja, memekakan telinga, menutup rongga, dan mulut kita bisukan?
sampai bila perlu kita diratah kuasa si pemegang takhta?
Sampai bila?
aku yakin pewaris bumi langkasuka bukan boneka tak berjiwa.
Buktikan pada semua
Bukan saja Melayu, namun Malaysia tak akan lupa!
Wahai bangsaku,
Berjuanglah!
Biar kejayaan menjadi penutup sejarah ini
Kerana perjuangan kita belum selesai.

*  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan seorang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pendebat terbaik Asia, dan pensyarah sambilan.


Pelantikan Apandi ke TH: Kegilaan apakah ini?

Posted: 29 Jan 2016 12:20 AM PST

Dr Dzulkefly Ahmad


 


ULASAN Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohd Apandi Ali baru sahaja memberikan keputusan 'membebaskan' Datuk Seri Najib Razak daripada segala kesalahan jenayah yang bersabit dengan derma RM2.6 bilion.

Walaupun seluruh dunia mengatakan sebaliknya, Najib pada hakikatnya telah diberikan 'sentuhan maut' oleh Apandi.

Pastinya Najib sedang tersengih waktu ini.

Dalam keghairahan dan masih dalam suasana meraikan 'pembebasan' itu, Najib ditanggapi telah mengarahkan Tabung Haji untuk melantik Apandi sebagai ahli lembaga pengarahnya, sebelum sempat debu-debu berantakan terhadap keputusan itu mendap.

Tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan jika mereka mempunyai prasangka dan mentafsirkan bahawa lantikan Apandi di Tabung Haji itu sebagai habuan yang sangat lumayan buat kerja yang baru dilunaskan.

Tindakan Najib itu adalah satu yang amat jelik.

Malah sebenarnya tindakan itu adalah amat merendah martabatnya dan tentunya Najib tidak boleh lagi mengecapi untuk bercakap tentang moral dan integriti yang tinggi selepas ini.

Apakah pelantikan itu terlalu mendesak sehingga tergesa-gesa, sebelum tempoh pelantikan Apandi sebagai AG berakhir, yang kebetulan hanya berbaki dua bulan lagi?

Mungkinkah jua beliau disambung berkhidmat?

Justeru, bukankah ini memungkinkan wujud konflik peranan, Apandi selaku peguam negara hanya pendakwa dalam sistem perundangan Malaysia.

Lebih-lebih lagi dalam kes-kes yang melibatkan kedudukan Tabung Haji yang berdepan dengan pendakwaan kritikal dan amat serius.

Bukankah telah menjadi persetujuan umum bahawa penjawat awam yang berjawatan tertinggi tidak seharusnya diberi ganjaran dengan sesuatu jawatan dan kedudukan setelah persaraan terutama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana ia ditanggapi awam sebagai amalan nepotisme dan politik naungan?

Walaupun Najib punya kuasa mutlak di Putrajaya dan beliau boleh bertindak secara wewenang akan apa sahaja dan bila masa, tanpa kekangan, tetapi beliau harus tahu bahawa rakyat juga berkuasa berbuat demikian apabila tiba masanya.

Mengapa terus-terusan menghina dan mendera rakyat bila kita sudah pun tersungkur dengan pukulan mautmu, wahai PM?

* DR DZULKEFLY AHMAD pengarah strategi Parti Amanah Negara (AMANAH).


Tiada ulasan: