Jumaat, 1 Januari 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Sokongan luar biasa orang Melayu kepada Amanah di Kelantan

Posted: 01 Jan 2016 08:44 AM PST

Majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan pada malam ini yang diadakan di Dewan Sivik, Petaling Jaya mendapat sambutan di luar jangkaan pihak penaja sendiri. Lebih seribu kehadiran dari seluruh negara telah turut menjayakan majlis tersebut.

Datuk Husam yang masih menganggotai PAS telah menyampaikan ucaptama yang sangat bermakna dan membuktikan bahawa Amanah adalah inklusif - menerima siapa sahaja yang mahu bersama dalam perjuangan untuk melakukan reform terhadap landskap politik negara.

Sewaktu majlis memperkenalkan barisan kepimpinan Amnah Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diisytiharkan pada satu majlis malam ini sebagai salah seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Presiden PKR, Dr Wan Azizah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PasMa, Datuk Pahrolradzi.

Lim Kit Siang telah diberikan kesempatan untuk berucap. Sementara itu, apabila tiba giliran Dr Wan Azizah, dia terpaksa bergegas pulang segera kerana ada urusan keluarga yang memerlukannya.

Naib Presiden Amanah, Salahuddin Ayub turut menyampaikann ucapannya mewakili presidennya, Mohamad Sabu yang masih berada di Mekah mengerjakan Umrah.

Antara ucapan Dato Husam malam tadi, dia berjanji akan cuba menasihatkan partinya supaya turut bersama berusaha untuk membebaskan Anwar dari penjara. 

Sementara Salahuddin Ayub berkata, Amanah akan meneruskan legasi perjuangan kedua orang almarhum Ust Fadzil Nor dan TGNA. Amanah mempunyai barisan pemimpin yang kuat dan berdedikasi untuk meneruskan legasi perjuangan mereka.

Ust Ahmad Awang telah berucap dibahagian penutupan majlis.

Lim janji teruskan BR1M, hapus GST jika tawan Putrajaya

Posted: 01 Jan 2016 03:19 AM PST

Zikri Kamarulzaman
 
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berjanji jika Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, rakyat akan terus menerima pemberian tunai sambil menikmati kos hidup yang lebih rendah hasil daripada tadbir urus yang baik.

 "Di bawah Pakatan Harapan, rakyat Malaysia tidak perlu mempunyai dua pekerjaan untuk terus hidup.

 "Pakatan Harapan akan meringankan beban 30 juta rakyat Malaysia dengan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan.

 "Rakyat Malaysia akan masih menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan tanpa GST, kesan daripada kerajaan yang bersih dan menjalankan tender terbuka," kata Lim dalam ucapan tahun baru hari ini.

 Dalam mesej yang dipaparkan di laman Facebook rasmi beliau, Lim berkata BN menjadikan keadaan ekonomi lebih buruk kerana "pengurusan ekonomi yang gagal".

 Beliau merujuk kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan bahawa rakyat Malaysia perlu melakukan dua kerja untuk menampung kos hidup.

 Tidak wajar jadi hamba ekonomi

 Lim turut membidas Ahmad kerana mengheret namanya dalam cadangan supaya orang ramai melakukan dua pekerjaan.

 "Walaupun saya melakukan pelbagai tanggungjawab dalam kerajaan dan parti politik saya, saya hanya mempunyai satu kerja iaitu berkhidmat kepada rakyat," katanya.

 Lim berkata demikian sebagai respon kenyataan Ahmad bahawa beliau juga melakukan tiga pekerjaan sebagai ahli Parlimen, ADUN dan ketua menteri.

 Menurut Lim, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menyingkirkan pemimpin BN seperti Ahmad Maslan dan hidup dalam ekonomi yang lebih bermaruah dengan melakukan satu pekerjaan.

 "Rakyat Malaysia tidak wajar menjadi hamba ekonomi oleh BN.

 "BN perlu diganti dalam pilihan raya umum yang akan datang supaya kita tidak menjadi pelarian ekonomi atau hamba ekonomi di negara kita sendiri," katanya.

Orang kahwin pun merogol, kata Wan Ji

Posted: 31 Dec 2015 11:06 PM PST

PETALING JAYA: Penceramah Wan Ji Wan Hussin menyangkal cadangan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali bahawa perkahwinan adalah 'ubat paling mujarab' bagi menangani isu rogol statutori.

 "Jika kahwin boleh selesai masalah rogol, kenapa banyak kes rogol melibatkan orang yang sudah berkahwin? Jadi dakwaan itu tidak tepat.

 "Anjuran untuk berkahwin adalah bagus, tetapi tidak semestinya untuk kanak-kanak bawah umur yang masih dalam proses menuntut ilmu dan membesar," katanya melalui laman Facebooknya.

Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkahwinan adalah ubat paling mujarab untuk menangani isu rogol statutori.

 Beliau malah mengatakan ibubapa patut memberikan sokongan penuh kepada anak-anak yang ingin berkahwin, manakala kerajaan perlu memberikan bantuan insentif kepada mereka.

 Mengulas lanjut, Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mengajukan cara yang lebih praktikal bagi menangani masalah tersebut.

 "Ramai yang tak takut kerana mereka tidak tahu betapa kerasnya hukuman yang bakal mereka dapat.

 "Mungkin kerajaan perlu menggunakan media untuk dedahkan kepada rakyat betapa beratnya hukuman bagi kesalahan ini agar lahir rasa takut untuk merogol," katanya lagi.  ~ sumber

Gani Patail mula kerjaya baharu sebagai peguam, membuktikan dia sihat!

Posted: 31 Dec 2015 06:30 PM PST

Kurang 3 bulan selepas bersara daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersedia menjadi peguam selepas kini menyertai Majlis Peguam.

 Menurut sumber, Gani memfailkan petisyen untuk diterima masuk ke Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi awal bulan ini untuk memulakan "chambering" (latihan amali) di bawah peguam Ragunath Kesavan, bekas presiden majlis itu.

 Gani mula bertugas minggu ini.

 Sumber berkata, Gani, yang berkhidmat selama 35 tahun, sebenarnya boleh menulis surat kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi mendapat pengecualian daripada menjalankan latihan sebelum layak memasuki Majlis Peguam. Bagaimanapun beliau tidak berbuat demikian.

 Gani dipecat secara mengejut pada 27 Julai lalu ketika beliau sedang menganggotai pasukan petugas khas yang menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

 Bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador pada Oktober lalu berkata dalam satu surat terbuka kepada kerajaan, Gani harus tampil menjelaskan isu berkaitan 1MDB, kerana bekas peguam negara itu kelihatan "senyap" selepas dipecat. ~ sumber

Komen al-Husseyn :
Draf pendakwaan yang dimaksudkan
Maka terbukti benarlah bila Gani Patail beritahu kita semua dulu, "Saya sihat tetapi sila faham ini: Apabila saya masih bertugas di pejabat (sebagai peguam negara), saya memang sudah menjalani rawatan dialisis.

Gani bersedia menjadi peguam kemungkinan besar  mahu membuktikan kepada rakyat Malaysia semua bahawasanya dia sihat dan masih mampu untuk melaksanakan tugas-tugas biasanya.

Gani Patail dipecat atas alasan kesihatan secara tiba-tiba sahaja walaupun dia tinggal sebulan sahaja lagi untuk bersara. Tak bolehkah tunggu dulu?

Tidak diragukan pemecatan Gani secara mengejut itu adalah sebahagian perancangan untuk menyelamatkan Najib Razak yang sedang disiasat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gani Patail dipercayai telah bersedia untuk mendakwa Perdana Menteri dan beliau telahpun mendrafkan pendakwaan terhadapa PM atas tuduhan rasuah dan pecah amanah tetapi apabila perkara ini diketahui PM, PM telah mengarahkan KSN untuk melucutkan jawatan Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara.  

Tiada ulasan: