WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Guru buat #8kerja tapi satu gaji
- HIPOKRIT: HALANG ATLET ISRAEL TAPI BERDAGANG DENGAN ZIONIS
- PTPTN: PKR DESAK PEMOTONGAN AUTOMATIK UNTUK GAJI RM4,000 KE ATAS
- Catatan: Membawa cahaya ke Kampung Ulu Papar
Guru buat #8kerja tapi satu gaji Posted: 28 Dec 2015 05:32 PM PST Guru telah lama mengeluh kerana dibebani tugas pentadbiran di samping kenaikan kos sara hidup PETALING JAYA: Berbanding Datuk Ahmad Maslan yang melakukan tiga kerja, guru pula melakukan lapan kerja (#8kerja) tetapi hanya dibayar satu gaji. Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, guru bekerja mengajar, menyemak, menyediakan kertas soalan peperiksaan, bermesyuarat, menjadi guru kaunseling, menjadi penasihat kelab dan persatuan, menjadi guru disiplin dan memasukkan data ke sistem PBS. Katanya, guru di negara ini sudah lama mengeluh kerana kerja banyak dan dihimpit kos sara hidup. Namun, ada pula Timbalan Menteri yang menyarankan supaya melakukan #2kerja untuk menambah pendapatan. "Bezanya #8kerja mereka hanya dibayar satu gaji. Mereka tidak senasib baik Pak Timbalan Menteri yang mungkin dapat #3gaji untuk #3kerja – Ahli Parliamen, Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO- pada waktu kerja yang sama. Nasib hidup di bawah UMNO, gitulah gayanya," sindirnya. Saranan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa itu menjadi topik perbualan hangat di media sosial. Dalam penjelasannya, Ahmad Maslan berkata saranan itu lebih sesuai untuk mereka yang bekerja sendiri kerana pekerja tetap perlu mematuhi peraturan syarikat. Katanya, pekerjaan yang dimaksudkan ialah perniagaan atas talian atau e-commerce yang boleh dilakukan pada waktu malam dan hujung minggu. |
HIPOKRIT: HALANG ATLET ISRAEL TAPI BERDAGANG DENGAN ZIONIS Posted: 28 Dec 2015 04:50 PM PST Hipokrit: Halang atlet Israel tapi berdagang dengan ZionisBekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar mengecam kerajaan BN yang disifatkannya sebagai talam dua muka dalam tindakan menghalang kemasukan atlet sukan luncur angin Israel daripada menyertai Kejohanan Remaja Dunia (ISAF) di Langkawi. Sedangkan, menurut Mahfuz, Malaysia diakui oleh para menterinya mempunyai hubungan dagang dengan Israel sekali gus membantu entiti haram penindas umat Islam Palestin itu. "Walaupun kita bersetuju tindakan menghalang kemasukan ahli sukan tersebut tetapi bukan bermakna kerajaan tegas dengan keputusan tiada sebarang hubungan diplomatik, ekonomi dan perdagangan dengan negara haram Israel. "Pada 18 march 2012, Datuk Seri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengakui Malaysia tidak mengiktiraf Israel kerana menindas rakyat Palestin tetapi dalam masa yang sama Malaysia ada menjalankan perniagaan dengan negara haram Israel. "Pada saya inilah dasar kemunafikan Umno BN. Pada satu masa Malaysia membantu dan membela negara dan rakyat Palestin tapi dalam masa yang sama juga membantu pengukuhan ekonomi dan perdagangan Israel," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Suara pakatan daily. Mahfuz juga memetik Khairi Jamaludin pada 21 Feb 2012 yang mengakui Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel sejak tahun 1996. Pada 1 Nov 2011 pula, Timbalan Menteri Luar Negara, Datuk Richard Riot menyatakan warga Israel dibenarkan memasuki Malaysia dengan tiga syarat. Penegasan dasar Malaysia ini dibuat di Parlimen dalam penggulungan Bajet 2012. Kata Richard Riot, warga Israel boleh memasuki Malaysia untuk menyertai aktiviti sukan dan mesyuarat atau persidangan yang bersifat antarabangsa. Antara syaratnya ialah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri, aktiviti yang disertai tidak boleh diberi publisiti oleh media tempatan dan mereka dijemput oleh penganjur program. Kerajaan Malaysia juga mengambil firma perunding yang mempunyai hubungan dengan kepentingan Israel, APCO Worldwide dalam memberi khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia. "Kepada Khairi Jamaludin dan kerajaan Umno BN, usahlah bersifat hipokrit untuk tunjuk hero dalam isu tidak membenarkan ahli sukan luncur angin remaja dari Israel memasuki Malaysia atas dasar simpati kepada rakyat Palastin. "Sedangkan dasar kemunafikan kerajaan Umno BN jelas menunjukan mereka sangat terbuka dengan dasar dan polisi dalam menjalinkan hubungan dengan Israel dengan berselindung di sebalik perniagaan, perdagangan, sukan dan persidangan. "Beranikah kerajaan Umno BN membatalkan semua dasar dan polisi yang berkaitan perniagaan dan perdagangan dengan Israel? Beranikah kerajaan mengumumkan tiada lagi kebenaran yang akan diberikan pada mana mana warga Israel walaupun untuk menyertai apa-apa jenis kejohanan sukan serta menyertai apa-apa mesyuarat dan persidangan di Malaysia? "Kepada semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama serta ideologi politik, perlu menjarakan pemikiran mereka daripada pemikiran hipokrit pemimpin Umno BN. Mereka seharusnya bersikap lebih sensetif terhadap perasaan umat Islam dan kemarahan terhadap kezaliman Israel," akhiri ahli perlimen Pokok Sena itu. |
PTPTN: PKR DESAK PEMOTONGAN AUTOMATIK UNTUK GAJI RM4,000 KE ATAS Posted: 28 Dec 2015 04:48 PM PST PTPTN: PKR desak pemotongan automatik untuk gaji RM4,000 ke atasPKR hari ini mendesak agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar tidak lagi melaksanakan potongan maksimum secara automatik gaji penjawat awam sebaliknya mencadangkan agar ianya dilakukan dengan mekanisme tertentu. Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya mencadangkan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperoleh gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan. "Saya menyeru Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah supaya mengeluarkan arahan serta merta kepada pengurusan PTPTN untuk menghentikan amalan membuat potongan bayaran maksimum PTPTN secara automatik bagi penjawat awam yang mengundang kontroversi setakat ini. "Saya menerima pelbagai aduan bagaimana sistem potongan cukai maksimum ini mengejutkan peminjam kerana mereka tidak dimaklumkan atau diberi sebarang amaran mengenai jumlah maksimum yang akan dipotong," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini. Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kaedah pemotongan maksimum secara automatik itu menyebabkan ada kakitangan kerajaan yang gajinya berbaki puluh-puluh ringgit. "Sudah tentu tidak ada sesiapa di negara ini yang boleh menampung sara hidup dengan baki gaji puluhan ringgit apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi. "Oleh yang demikian, wajarlah amalan ini dihentikan serta merta sementara satu langkah yang lebih adil dan praktikal dapat dikenal pasti untuk dilaksanakan," katanya. Beliau turut mengulangi cadangannya agar PTPTN mengambil contoh amalan di Australia yang mana peminjam pinjaman pendidikan hanya perlu mula membayar balik pinjaman sekiranya gajinya lebih tinggi daripada paras tertentu. Beliau berkata, dasar itu bertujuan untuk memastikan peminjam yang terdiri daripada graduan muda dapat memulakan hidup kerjaya tanpa terlalu dibebankan dengan hutang pendidikan. "Selepas keadaan kewangan mereka lebih stabil, mereka akan mula dikenakan bayaran ansuran yang berkadar dengan pendapatan mereka ketika itu. "Maka, saya mencadangkan supaya PTPTN merubah kembali peraturan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperoleh gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan," katanya. Sebagai pertukaran, beliau berkata peminjam perlu mengemas kini butiran pekerjaan dan gaji yang disahkan majikan setiap 6 bulan bagi memastikan mereka mula membayar secara potongan automatik mengikut jadual yang dipersetujui setelah gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan. "Mana-mana peminjam yang tidak mengemas kini butiran pekerjaan dan gaji bolehlah dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka ingkar walaupun skim bayaran yang lebih adil ditawarkan kepada mereka," katanya. Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau akan memfailkan satu usul pada sidang Parlimen Mac 2016 untuk membawa kembali isu PTPTN kerana ia menjadi beban kepada banyak keluarga muda. "Saya juga akan mengusahakan dengan aktivis dan tokoh-tokoh anak muda untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan memperjuangkan nasib peminjam PTPTN dalam masa terdekat," katanya. |
Catatan: Membawa cahaya ke Kampung Ulu Papar Posted: 28 Dec 2015 04:24 AM PST UDARA pagi yang nyaman menyapu wajah ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda itu. Sesekali kami yang berada di belakang terpaksa menutup hidung apabila kenderaan menelusur sisa-sisa tanah merah. Pemandangan sekeliling tak ubah seperti memasuki ke kampung Melayu di Manong. Ada rumah kayu, ada rumah batu, ada warung-warung kecil dan kedai runcit begitu juga dengan bengkel kampung. Bezanya, ada gereja-gereja kecil, ada banyak anjing di depan rumah. Setiba di kota Jeselton, nama asal bagi Kota Kinabalu, saya sudah berada dalam hutan jauh di pedalaman Ulu Papar. Jalan ke situ melalui pekan Penampang, bumi Kadazan Dusun terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar raya itu. Jantung luruh apabila melihat keindahan sungainya yang luas ditemani pokok dan padi bukit menghijau. Terpukau dengan keindahan itu, ia seperti pernah saya impikan sejak kecil. Atau mungkin pernah melihatnya di kaca televisyen. Syurga! Kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong, Kuala Lumpur bosan, sesak, banyak karbon monoksida, "Not adventure like here lah…" katanya sambil membetulkan duduk di sebuah batu tepi sungai. Hampir saya khayal merenung kocakan sungai. Jimmy ramah, senang didekati dan sangat sederhana. Orang kata dia tak macam ahli politik lain. Dia aktivis! kata seorang kawan yang sungguh-sungguh mengagumi Jimmy. Dia pernah mogok lapar dan dipukul hingga membuatkan pihak berkuasa di Tawau terpaksa akur dengan tuntutannya melibatkan isu bekalan elektrik. "Hafiz, hidup kau tak lagi flat saja… full off experience and exitement! Sini kita naik bukit, turun bukit, lompat-lompat belakang kereta, masuk kampung keluar kampung, mandi air gunung. Air sini tak sama dengan sungai sana…" kata Jimmy, ketawa kecil. Saya hanya tersenyum mengangguk-angguk kepala ralit memerhati lenggok deru sungai yang makin membeku. Alangkah indahnya jika saya terbuang di sini tanpa perlu sibuk dengan media sosial, terpisah dengan dunia luar yang bingit dan hanya menguruskan kebun ubi kayu atau padi bukit. Hari sudah santak petang. Alice, rakan sejawat baru turun ke sungai. Kawan-kawan lain ada baru hendak ke sungai, ada membantu kak Eton dan Francis memasak. Malam nanti katanya akan ada sebuah 'persembahan magik!' Jarak antara pekan Penampang dengan Kampung Pongobonon, Ulu Papar sekitar 20 kilometer dari pekan Penampang. Tetapi, kami menempuh perjalanan dua jam setengah untuk tiba dengan empat kenderaan pacuan empat roda akibat laluan tanah merah berlopak, tidak stabil dan berbatu-batu. Mungkin jika tiada projek penanaman getah berkelompok, perjalanan kami akan mengambil masa lebih lama, antara tiga hingga empat jam. Mungkin jadi 'sangat-sangat adventure'. Dengan projek penanaman getah berkelompok kerajaan itu, akses jalan tanah merah elok sedikit dari sebelumnya apabila traktor dan jentolak digunakan untuk meratakan tanah supaya mudah lori balak keluar masuk mengambil balak yang sudah ditebang bagi menyediakan tanah bagi anak getah pula. "Pedalaman sudah kurang hutan. Kalau ada pun semua hutan sekunder," kata Ayong masa berbual dengan Julian yang bertubuh lampai yang menjadi pelatih di Tonibung. Patutlah tak nampak pokok-pokok besar. Paling-palingpun sebesar dua, tiga pemeluk, itupun tidak banyak. Yang lain hanya pokok-pokok hutan yang masih mentah dan pokok-pokok jenis palma, mungkin pokok rumbia yang tak laku. Tak tahu bagaimana projek penanaman getah berkelompok akan menguntungkan penduduk kampung dan siapakah yang mengambil laba dari balak yang ditebang untuk menyemai anak getah – itulah yang saya, Ayong dan Julian bualkan hampir sepanjang perjalanan dua jam 30 minit sambil terlompat-lompat di belakang kenderaan pacuan empat roda. Kira-kira separuh perjalanan, kami merentas anak sungai kecil berbatu. Kawasan itu ada beberapa kain rentang dan sepanduk dengan mesej "Hentikan Projek Empangan Kaiduan", "StopKaiduan Dam" dan lain-lain yang mencela pihak yang memusnahkan syurga kecil itu. Lewat sungai itu, kenderaan kami dipandu lebih perlahan, jalannya curam, berbecak dan lebih kecil. "Sini lori tak masuk sebab itu jalan lagi teruk…" kata Ayong. "Hmmm. Tengok sana habis semua…. Tinggal semak saja," sampuk saya. "Kalau dari satelit, memang nampak semua hijau…" kata Ayong. "Main tipu itu bah," tambah saya. Daerah itu menjadi panas apabila kerajaan BN Sabah bersetuju membina Empangan Kaiduan bernilai RM2.8 bilion yang diluluskan pada 13 April 2009. Bagaimanapun, ia mendapat bantahan keras dari kumpulan sivik dan masyarakat Orang Asal. Mengikut laporan bulan lalu, kerajaan mahu meneruskan projek itu atas alasan untuk menampung keperluan air yang mendesak. Bermakna, seluruh kawasan melibatkan sembilan kampung, akan tinggal kenangan manakala penduduk asal dipaksa meninggalkan tanah warisan nenek moyang mereka. "Jadi pertanian kelompok itu seperti tindakan buffer (penampan) sebelum semua proses untuk melaksanakan Empangan Kaiduan siap sepenuhnya…?" soal saya. "Nampaknya begitulah," kata Julian. Sepanjang perbualan dengan masyarakat setempat, pertanian berkelompok biasanya melibatkan isu sensitif, lebih sesuai dipanggil skandal melibatkan syarikat tempatan yang ada pertalian dengan agensi kerajaan. Ia tidak hanya melibatkan pertanian berkelompok tetapi juga pembalakan haram. Saya percaya, masih banyak kawasan hutan di Sabah belum diwarta sebagai hutan simpan dan ada keresahan kuat bahawa hutan itu bakal digantikan menjadi hutan sawit sahaja. Selepas mungkin 20 atau 30 tahun, 'hutan-hutan sawit' itu akan berubah menjadi hutan-hutan konkrit. Tanah berstatus pertanian akan ditukar kepada status komersil. Harganya melonjak dan sudah tentu kerajaan akan mendapat kutipan cukai lebih banyak. Sebelum tiba di Kampung Pongobonon, kami berhenti makan tengah hari di salah sebuah rumah penduduk yang juga pusat komuniti masyarakat setempat di Kampung Buayan. Kelilingnya ditanam pokok tembakau, jambu, betik, rambutan. Cuaca panas meruap tak mematahkan semangat walaupun lutut berasa longgar akibat terlompat-lompat di belakang kenderaan pacuan empat rodai. Merasa juga saya masakan kampung masyarakat Dusun. Nasi ulam dan kerabunya dimakan dengan sup ayam dan beras padi bukit yang ditanam sendiri. Sembat berbual dengan bekas JKKK kampung, Mositol Sondigon yang berusia 64 tahun. Katanya segala kemudahan percuma, bukan kerana diberi kerajaan tetapi diusahakan NGO. Kemudahan air menggunakan sistem paip air graviti manakala elektrik menggunakan sistem mikro hidro. Kampung itu terhampar antara bukit dan lembah di pinggir Sungai Ulu Papar. Ia istimewa dengan kewujudan Sekolah Kebangsaan Buayan yang dibina tanpa akses jalan raya. Jarak antara rumah penduduk dan sekolah itu sekitar 300 meter sahaja. Jadi, kami berjalan kaki menadah terik matahari. Biasanya, jika ada menteri datang melawat kampung, mereka naik helikopter manakala orang kampung terpaksa mengusung motorsikal mereka di jalan tanah merah. Masa berkunjung ke sekolah itu, sempat bertemu beberapa guru. Rumah mereka hanya seberang padang sekolah. Masa cuti sekolah, mereka berehat santai tak berbaju sambil merokok. Saya bersembang dengan mereka. Ada seorang guru dari Terengganu yang sudah berkhidmat 15 tahun. Tanpa menyebut namanya, saya bertanyakan pendapatnya tentang Kampung Buayan. Dia kata dia suka. 'Tenang'. "Macam mana dengan jalan cikgu?" soal saya. "Itu kami memang dah biasa. Tak ada masalah…" katanya tersenyum. Mungkin tidak mahu mengulas panjang memandangkan kami bawa logo 'Roket'. Sebenarnya, DAP tiada masalah memasuki kampung pedalaman Sabah. Mereka sentiasa terbuka walaupun ada saja pihak cuba mengeruhkan suasan dengan melontarkan sentimen, DAP parti Malaya (semenanjung). Hakikatnya, DAP parti Malaysia. Kami kemudian berangkat ke Kampung Pongobonon kerana perlu memasang khemah. Perjalanan ke pedalaman kampung itu bertujuan melihat kejayaan pemasangan sistem mikrohidro oleh NGO Tonibung dengan bantuan modal insan dari Impian Sabah supaya rumah orang kampung tidak lagi bergelap, malah dapat memperoleh elektrik percuma. Namun, bukan sekejap orang kampung tunggu bekalan elektrik. Jika Tonibung dan Impian Sabah tidak masuk, mungkin penduduk tidak sempat menikmati kemudahan elektrik kerana air Empangan Kaiduan telahpun menenggelamkan semuanya sekali. Kejayaan itu usaha keras Adrian Lasimbang yang menerajui Tonibung sejak penubuhannya pada 1991. Ia giat memberi perkhidmatan dan pendidikan kepada penduduk pedalaman melibatkan pembangunan modal insan dan kemudahan asas. "Kos tak mahal tapi hairan kenapa kerajaan tak boleh buat?" kata Adrian. "Kalau belum jadi kerajaanpun boleh buat, kalau jadi kerajaan lagi macam-macam boleh buat," tambah Jimmy. "Baiklah kita mulakan sekarang," kata Adrian "Satu, dua, tigaaa….yyeeaahh!" semua bertepuk tangan. Lampu di atas kepala kami di rumah pam bercahaya. Jimmy memetik suis. Malam yang gelita kemudian diterangi lampu, bermula dari rumah pam kemudian rumah tuan tanah dan di tapak kem. Inilah 'magik' NGO Tonibung bersama Impian Sabah membawa cahaya buat penduduk kampung itu. "Sistem janakuasa akan beri elektrik kepada 12 rumah sekitar sini," kata Adrian. Dari rumah pam, kami kembali ke tapak kem dengan menyeberang titi gantung, makanan sudah tersedia secara gotong royong, sup ayam, tumis ikan masin, ayam bakar, beberapa jenis kerabu, dua jenis nasi menjadi santapan kami malam itu. Paling tidak boleh dilupa ialah keenakan 'ikan polian' dalam bahasa tempatan atau ikan kelah segar dari sungai Ulu Papar. Bukan semua orang boleh ambil ikan di sungai itu, asal sahaja ia di Tagal, perlulah dapat kebenaran penduduk. Jika tidak, boleh didenda Jabatan Pertanian atau secara tradisi, boleh disoget (didenda) – biasanya dengan seekor babi atau kerbau. Usai makan, Jimmy dan beberapa ahli jawatankuasa DAP Sabah masuk ke rumah bersebelahan kem bersama yang lain untuk beramah mesra dan memberi penerangan. Beliau duduk bersila di tengah-tengah, dikelilingi penduduk kampung. Gayanya yang spontan dan sederhana itu begitu mencuri perhatian. "Kita sudah lama di sini. Kita sendiri tengok, parti-parti tempatan di Sabah datang dan pergi sesuka hati mereka. Yang penting bagi mereka ialah kuasa. Lepas dapat kuasa mereka diam-diam di sana. Tak sama macam kita Roket, DAP. Kami datang terus masuk ke kampung-kampung berjumpa tuan-tuan…." kata Jimmy. Asap rokok daun berhembus-hembusan. Sempat saya menyibuk di dapur melihat proses perahan tapai ubi yang telah diperam beberapa minggu lalu. "Ubi-ubi direbus, dimasukkan dalam baldi ni, tabur yis. Biar beberapa minggu…" kata seorang makcik. "Air yang mula-mula keluar itulah dipanggil 'lehing', sesuai juga buat ubat demam…" kata Francis yang memerah tapai. Baunya tak ubah seperti tapai ubi yang dibungkus dalam daun getah yang dijual di gerai Melayu di kampung. Proses pengeramannya sama sahaja. Seperti mana-mana perkhemahan, tak lengkap jika tanpa lagu. Kebetulan Adrian, Alice dan Joe Lugai-Lugai boleh bermain gitar. Kami bersuka-ria malam itu dengan menyanyi dan bersembang politik hingga ke pagi. Suara kami malam itu mengiringi deruan sungai dan salakan anjing di hutan memecah keheningan malam sehingga santak dua pagi. Esok, ada tugas lain di Kampung Teriang. Entahlah bila lagi akan ke sini? Mungkin, suatu masa akan datang, mungkin beberapa tahun lagi, saya hanya mampu melawat sebuah empangan raksasa yang menelan segala memori manis saya di syurga kecil ini. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan