WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- KERJASAMA DENGAN BN: PAS SUDAH LAMA BERI TALIAN HAYAT
- NAJIB TUKAR PERSIDANGAN UMNO JADI MAJLIS KENALI PM’
- DUA PAKATAN HADAPI BN PRU 14: IDEA GILA
KERJASAMA DENGAN BN: PAS SUDAH LAMA BERI TALIAN HAYAT Posted: 10 Dec 2015 01:16 AM PST Kerjasama dengan BN: Pas sudah lama beri talian hayatParti Amanah Negara (Amanah) tidak terkejut dengan tawaran terbuka Umno untuk bekerjasama dengan PAS kerana parti Islam itulah selama ini yang memberikan oksigen kepada Umno. Timbalan presiden Amanah, Salahudin Ayub berkata, PAS telah memberikan cukup oksigen kepada Umno kerana di saat Umno hampir kelemasan, tiba-tiba pimpinan tertinggi PAS berikan talian hayat melalui pembelaan mereka kepada pimpinan Umno. "Umno dapat bekalan oksigen yang cukup… ini satu penghargaan dari Najib kepada PAS," katanya mengulas ucapan dasar Najib di perhimpunan agung Umno hari ini. Ketika memberikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini, Najib mengajak ahli-ahli Umno agar turut bekerjasama dengan ahli PAS. "Saudara dan saudari, kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, apabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang. "Dengan hati yang terbuka dan sanubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya," kata Najib di hadapan perwakilan Umno yang memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Bagi Salahudin, pendekatan yang diambil pimpinan PAS sekarang menunjuk dasar mereka sudah berubah. "Ia bukan menjadi rahsia umum lagi bila PAS tidak menentang Bajet 2015 Najib, Mursyidul Am PAS yang meminta ahli PAS agar jangan lawan Umno, PAS tidak serang isu besar seperti 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib. "Ini semua pendekatan mesra Umno yang semakin hari semakin mesra," kata Salahudin yang merupakan bekas naib presiden PAS itu. Sehubungan dengan itu, bagi beliau ucapan Najib ini tidak mengejutkan. "Tanpa Amanah perlu berusaha keras untuk mengatakan semua itu terhadap PAS, perbuatan dan pendekakan yang PAS bawa hari ini menjelaskan kedudukannya di mata rakyat," kata Salahudin. |
NAJIB TUKAR PERSIDANGAN UMNO JADI MAJLIS KENALI PM’ Posted: 10 Dec 2015 01:14 AM PST 'Najib tukar persidangan Umno jadi majlis kenali PM'Bekas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar menyindir ucapan Presiden Umno Najib Razak hanya semata-mata mempertahankan diri dan tidak selayaknya diucap oleh ketua parti yang memerintah negara. Menurut Mahfuz, Najib tidak langsung menyatakan hala tuju Umno dalam suasana ekonomi negara yang tidak memberangsangkan dan gagal menjawab isu yang berbangkit dan berkaitan dirinya seperti Skandal 1MDB, Rasuah RM2.6 bilion dan lain-lain. "Sebagai pahlawan Bugis, ucapan Najib lebih bertujuan mengaut emosi dan sentimen pimpinan serta perwakilan dengan menyindir dan menyerang Tan Sri Muhyidin Yassin serta Datuk Shafie Apdal selepas mereka berdua diikat kaki, tangan dan ditampal mulut daripada memberi apa-apa ucapan bermakna pada perwakilan. Najib juga cuba membangkitkan kebencian perwakilan kepada Tan Sri Muhyidin, Tun Mahathir dan Datuk Shafie. "Namun, daripada sudut kepentingan politik pendekatan ini terpaksa dilakukan untuk memastikan hayat politiknya dapat bertahan selepas dia berjaya meyakin Ahli Majlis Tertinggi Umno serta kepimpinan BN agar berdiri bersamanya dan tidak menyertai kem Muhyidin. "Saya percaya PAU kali ini akan dijadikan Najib sebagai bukti pemimpin dan ahli Umno berdiri teguh di belakangnya. "Cuma masyarakat umum akan terus mempersoalkan Najib kenapa takut beri peluang kepada Muhyidin dan Shafie jika benar slogan Najib dalam ucapan dasar sebagai pahlawan Bugis "I Am Gentleman". Maka bagi rakyat Perhimpunan Agong Umno (Pau) ini lebih kepada medan 'kukus kueh pau' berbanding persidangan yang berguna buat negara," katanya dalam satu kenyataan. |
DUA PAKATAN HADAPI BN PRU 14: IDEA GILA Posted: 10 Dec 2015 01:12 AM PST Dua pakatan hadapi BN PRU 14: Idea gilaKomen Naib Presiden PKR Tian Chua bahawa dua pakatan akan digerakan menghadapi BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 pada 2018 ditertawakan para penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH). Tidak cukup komen itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menumpang 'keliru' Tian dengan berkata tahaluf siyasi antara PKR dan Pas akan diteruskan di Selangor dan di peringkat nasional. "Sekiranya Amanah tidak mahu ada dua gabungan pakatan (pembangkang) dan menolak (untuk bekerjasama dengan) PAS itu adalah keputusan mereka," kata Azmin kepada pemberita 7 Disember lalu. Kedua-dua pemimpin PKR ini berkemungkinan menjawab cabaran Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria agar pemimpin PKR menyatakan pendirian sama ada bersama Pas atau Pakatan Harapan. Menurut Razman, PAS disemua peringkat sukar bekerjasama dengan Pakatan Harapan selaras dengan pendirian parti. Pemimpin Pas lain pula berkata, parti itu tidak gentar menghadapi PRU 14 secara bersendirian tanpa PKR atau sesiapa pun sebagai sekutu. Cuma yang tidak dinyatakan oleh mereka adalah rekod bersendirian Pas sejak merdeka yang tidak pernah berupaya menawan mana-mana negeri kecuali Kelantan pada 1960an dan terlepas pada 1978. Selepas itu, Pas hanya berjaya menawan semula Kelantan pada PRU 1990 bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Menawan Terengganu pada PRU 1999 bersama Barisan Alternatif. Kemudian menawan Kedah, Perak serta meluaskan pengaruh ke Selangor pada PRU 2008 bersama Pakatan Rakyat. Terbahagi tiga Realitinya, setelah PR bubar pada Jun 2015 ahli Pas terbahagi kepada tiga aliran. Ahli yang berfikiran realistik menyokong Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun masih menyarung baju Pas. Ahli yang tidak realistik terus menyokong Pas tetapi tidak sanggup bersama Umno dan ahli yang tidak mampu berfikir mendiamkan diri. Mereka berkemungkinan tidak akan mengundi pada PRU 14. Tiba-tiba, dalam situasi Pas yang berantakan, dua pemimpin PKR pula bersungguh-sungguh mahukan parti Islam itu bersama PKR menghadapi BN dalam PRU depan. Lalu muncullah idea dua front; PR dan PH yang disatukan oleh PKR. Penyokong PH mempersoalkan apakah Tian Chua sedar perkara yang diucapkannya itu? Tian masih menuntut di institusi pengajian tinggi luar negara ketika Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menubuhkan APU antara Semangat 46 (S46), Pas, Hisbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada 1989. Manakala satu lagi front ialah Gagasan Rakyat (GR) antara Semangat 46, DAP, Barisan Progresif India (IPF), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Solidariti Malaysia (MSP) dan Kongres India Muslim (KIMMA). Tian tidak berada dalam negara untuk mengerti bagaimanakah gabungan itu berfungsi dan segala macam masalah yang melandanya. Begitu juga Azmin Ali masih pada peringkat awal berpolitik. Azmin ketika itu adalah pengagum Mahathir dan kemudian diarah bekerja di bawah Anwar Ibrahim. Anak muda yang baru bertatih politik ini hanya mengangguk membuta tuli apa sahaja ajaran politik yang disebut Anwar. Tidak selayaknya kedua-dua mereka menghidangkan kepada rakyat Malaysia front politik yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Gagasan Rakyat berantakan pada 1995 apabila DAP menarik diri dan APU musnah pada 1996 apabila Ku Li membawa masuk ahli dan pemimpin S46 ke dalam Umno secara en block. Namun sebelum itu gagasan tersebut telah pun gagal bergerak lancar apabila Pas dan DAP tidak mempunyai matlamat perjuangan bersama. Rakyat tidak percaya dua parti utama yang tidak boleh duduk semeja akan memerintah Malaysia. Dalam PRU 1990 dan 1995 terbukti rakyat lebih mempercayai BN bagi mengekalkan kestabilan negara. Pakatan tidak masak Adakah front tidak stabil sebagaimana APU dan GR mahu dihidangkan oleh pembangkang kepada rakyat dalam PRU 14 kelak bersama slogan 'menuju politik baharu'? Rakyat mempercayai pembangkang pada PRU 2008 dan 2013 kerana melihat mereka boleh duduk semeja dan bersatu hati membincangkan masalah rakyat. Sebaik sahaja Pas dan DAP bercakaran pada awal 2015 rakyat hilang keyakinan. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya APU mempunyai bisa apabila mampu menetapkan pertandingan satu lawan satu di kebanyakan kawasan dalam PRU 1990. Sebaliknya dua pakatan yang baharu ini sangat teruk kerana sejak awal lagi Pas telah menunjukkan keras kepala. Pas mahu bertanding di hampir setiap kerusi DAP yang mana mereka mempunyai cawangan. Pas juga tidak mahu memberi laluan kepada Amanah bertanding di kerusi mereka. Pas bukan parti yang boleh bertolak ansur. Hal itu terbukti pada PRU 13, dalam keadaan Pakatan Rakyat paling mantap pun, Pas meletakkan 6 calon di kerusi DUN yang dipersetujui PKR bertanding. Apatah lagi dalam keadaan Pas tidak bersetuju dengan DAP dan Amanah. Tentu sekali pemimpin seperti Tian Chua dan Azmin Ali akan ditertawakan penyokong PH sebaik sahaja penamaan calon PRU 14 selesai. Pas yang berjanji kepada Azmin mahu bertanding satu lawan satu dengan formula dua pakatan akan didapati meletakkan calon mereka bertanding di separuh kerusi DAP dan kesemua kerusi Amanah. Pakatan bodoh apakah yang mahu dijual oleh Tian dan Azmin? Jangan beri muka Pas tidak boleh lagi diberi muka. Sekiranya mereka mahu bersedirian maka biarkan mereka menyendiri. Tidak guna dipujuk manusia yang tidak mahu mendengar kata dan tidak jelas arah tuju kehidupannya. Sekiranya Pas kalah banyak kerusi dalam PRU depan maka pengajaran itu akan menjana arus perubahan dalaman menjatuhkan presiden Hadi Awang dan para penasihatnya seperti Nik Abduh, Tantawi, Mustafa Ali, Dr Zuhdi, Zaharuddin dan lain-lain. Pas pernah mengalami revolusi kepimpinan apabila kalah teruk dalam PRU 1981. Peristiwa yang sama pasti akan berulang. Manakala parti lain yang lebih kuat hanya perlu bersama Pas selepas revolusi itu. Bukan sebelumnya. Sekiranya PKR mahu bersolidariti bersama Pas hari ini maka rekod terbaik perkahwinan mereka adalah PRU 2004, selepas DAP menarik diri. PKR hanya menang 1 kerusi Permatang Pauh dan Pas 6 kerusi parlimen. Kedua-dua parti akan dilanda revolusi kepimpinan walaupun PKR lebih mantap. Tidak ada gunanya menggendong Pas yang semakin tidak mampu berjalan. Sebaliknya PKR perlu fokus kepada PH yang sedang semarak mekar dan mendapat perhatian ramai. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan